Translate
Monday, January 31, 2011
Menaiki pesawat Infinity Travel
MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my
IPOH - Ingin mencuba menaiki pesawat ke Ipoh, Perak dengan hanya mengambil masa selama setengah jam, jika berminat, Infinitiy Travel & Services Sdn. Bhd. (Infinity Travel), syarikat pengurusan penerbangan tempatan ada menyediakan perkhidmatan tersebut.
Hanya serendah RM29.90 untuk perjalanan sehala atau RM59.80 (ulang alik), perjalanan anda ke negeri berkenaan semakin mudah dan cepat.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Norliza Mustapa berkata, perkhidmatan penerbangan itu mula dilancarkan Jumaat lalu dengan melibatkan penerbangan tiga hala iaitu Subang-Ipoh-Johor.
Menurutnya, syarikatnya yang menyewa pesawat Berjaya Air Sdn. Bhd. itu menawarkan empat jadual penerbangan seminggu iaitu pada setiap Isnin, Rabu, Jumaat dan Ahad.
“Kami yakin akan menerima sambutan yang menggalakkan untuk perkhidmatan tersebut kerana ia memiliki permintaan yang tinggi iaitu hampir 90 peratus untuk setiap penerbangan,” katanya pada majlis pelancaran perkhidmatan penerbangan itu di sini kelmarin.
Seramai 20 anak yatim dari Bait Al-Amin, Parit turut uang diberi peluang menyertai penerbangan sulung per khidmatan tersebut selama kira-kira satu jam 20 minit bermula 4 petang dari LTSAS ke Lapangan Terbang An tarabangsa Sultan Ismail, Senai, Johor.
Menurutnya, syarikat kini berpangkalan di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di sini yang akan memberi tumpuan terhadap laluan bagi perjalanan dari Ipoh ke Johor.
Tambah beliau, segmen perkhidmatan berkenaan bukan satu perniagaan baru bagi para pelanggan kerana ia pernah dikendali dua syarikat penerbangan tempatan lain sehingga 2006 dan ia dihentikan berikutan masalah pendaratan pesawat besar di LTSAS.
Selain itu, Norliza menjelaskan, berdasarkan kajian pasaran yang di lakukan baru-baru ini, permintaan terhadap laluan Ipoh-Johor masih tinggi berdasarkan purata 20 bas ekspres yang beroperasi ke laluan terbabit setiap hari.
Menurutnya, syarikat kini bercadang untuk memfokuskan sebahagian kecil pengguna bas ekspres beralih menggunakan perkhidmatan penerbangan tersebut sebagai alternatif memandang ia lebih selesa, mudah dan menjimatkan masa.
“Berbanding menggunakan jalan darat yang memakan masa sehingga lapan hingga sembilan jam, perjalanan dengan menggunakan perkhidmatan penerbangan Infinity Travel, ia hanya mengambil masa selama satu jam 20 minit.
“Caj yang dikenakan juga berpatutan iaitu RM178.20 sehala atau RM356.40 ulang alik untuk dewasa manakala kanak-kanak hanya RM30 (sehala) dan RM60 (ulang alik),” katanya.
Norliza menjelaskan, setiap penerbangan mampu membawa 72 penumpang.
Friday, January 28, 2011
Perak selaras insentif mulai 2011
azli.adlan@kosmo.com.my
INSENTIF untuk atlet Perak yang cemerlang ketika mewakili negara di peringkat antarabangsa akan diselaraskan mulai tahun ini dengan atlet acara berpasukan bakal menerima ganjaran setara dengan atlet individu.
Pengerusi Jawatankuasa Kesenian, Belia dan Sukan Perak , Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, sebelum ini atlet negeri yang meraih pingat bagi acara berpasukan di Sukan SEA, Sukan Asia, Sukan Komanwel dan Sukan Olimpik menerima ganjaran wang tunai yang lebih rendah daripada atlet individu.
"Contohnya, atlet berpasukan yang meraih sebutir pingat emas dalam Sukan Asia hanya menerima RM3,000 berbanding atlet individu layak meraih RM5,000.
"Sehubungan itu, kerajaan negeri Perak memutuskan untuk membuat penyelarasan agar atlet berpasukan juga menerima ganjaran yang sama banyak dengan atlet individu mulai 2011," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan insentif kepada 11 atlet kelahiran Perak yang cemerlang pada Sukan Komanwel di New Delhi, India dan Sukan Asia di Guangzhou, China penghujung tahun lepas di Wisma Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak di Ipoh, semalam.
Zainol Fadzi berkata, penyelarasan tersebut dibuat sebagai menghargai komitmen setiap atlet terbabit untuk mengharumkan nama negara tanpa mengira dia menyertai acara individu mahupun berpasukan.
Beliau menjelaskan, beberapa atlet Perak telah tampil cemerlang dalam acara berpasukan seperti hoki yang menyaksikan empat pemain kelahiran Perak membarisi skuad negara yang mencipta sejarah meraih pingat perak pada Sukan Asia 2010.
"Saya berharap penyelarasan ini mampu menaikkan moral atlet Perak terutamanya dalam acara berpasukan untuk terus mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa," katanya.
Dalam pada itu, jaguh beregu badminton negara, Koo Kiet Keat mendahului senarai penerima ganjaran dengan meraih RM17,000 berikutan kecemerlangan dia bersama pasanganya, Tan Boon Heong menggondol tiga pingat emas pada Sukan Komanwel 2010 dan pingat perak pada Sukan Asia 2010.
Permata sukan terjun negara, Leong Mun Yee yang meraih pingat perak dalam acara papan anjal 10 meter (m) pada Sukan Komanwel 2010 dan dua pingat perak lagi dalam acara papan anjal 10m dan 3m pada Sukan Asia 2010 pula menerima ganjaran sebanyak RM12,000.
Atlet menembak negara, Nur Suryani Mohd. Taibi menerima insentif RM11,000 setelah memungut dua pingat gangsa masing-masing di Sukan Komanwel 2010 dan Sukan Asia 2010 manakala seorang lagi penembak, Hasli Izwan Amir Hassan pula meraih RM8,000 atas kejayaannya membawa pulang dua pingat perak daripada Sukan Asia 2010.
Seorang lagi penembak negara, Hafiz Adzha yang berpasangan dengan Hasli Izwan dalam acara 25m Rapid Fire Pistol pada temasya sama juga menerima ganjaran RM4,000.
Penerjun negara, Cheong Jun Hoong yang memungut pingat gangsa dalam acara 1m papan anjal wanita pada Sukan Komanwel 2010 meraih RM3,000 sementara pemanah negara, Arif Farhan Ibrahim Putra pula mendapat RM2,000 berikutan kejayaannya memperoleh pingat perak dalam acara memanah berpasukan pada temasya sama.
Empat pemain hoki negara iaitu Azlan Misron, Roslan Jamaluddin, Hafifihafiz Hanafi dan Muhammad Sukri Abdul Mutalib pula masing-masing menerima insentif RM2,000.
Subramaniam rasmi Pusat Latihan Tharshal
Pengarah Urusan Pusat Latihan Tharshal, S. Kalaiarasan berkata, pusat latihan yang mendapat sokongan Persatuan Hotel Malaysia (MAH) menawarkan empat kursus kemahiran.
Menurutnya, kursus-kursus tersebut ialah penyediaan makanan dan minuman, operasi pengurusan bilik hotel, seni kulinari dan penyelenggaraan sistem pendawaian hotel.
"Seramai 200 pelajar menjalani latihan selama enam bulan di pusat latihan itu sejak dibuka pada Oktober lalu dan setiap pelatih menerima elaun latihan RM500 sebulan," katanya.
Tuesday, January 25, 2011
Ribuan ikan mati akibat dituba
Bangkai ikan-ikan tersebut kemudiannya hanyut ke parit taman perumahan berhampiran hingga menyebabkan pencemaran bau sejak kelmarin.
Seorang penduduk, R. Sugunabala, 42, mendakwa perbuatan menuba ikan di sebuah kolam terbiar seluas padang bola sepak itu dilakukan individu tidak dikenali pada Sabtu lalu.
“Kolam itu telah ditinggalkan terbiar oleh pemiliknya setelah tanah tersebut dibeli oleh pemaju Sunway Group Berhad untuk sebagai sebahagian projek pembangunan Bandar Sunway Tambun pada tahun 2005.
“Namun ia tetap dikunjungi pemancing terutama pada hujung minggu kerana mempunyai banyak ikan seperti belida, lampam, haruan, keli, talapia dan rohu,”katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Sugubala mendakwa, segelintir kaki pancing dipercayai mengambil jalan singkat untuk memperolehi ikan dalam kuantiti banyak dengan melakukan perbuatan menuba.
Beliau mendakwa, kegiatan menuba yang terbaru itu telah menyebabkan beribu-ribu ikan yang berada di dalam kolam terbiar itu mati.
“Individu tidak bertanggungjawab cuma mengaut sedikit ikan sahaja sedangkan banyak lagi ikan di kolam yang juga bekas lombong yang mati dibiar begitu sahaja.
“Kami penduduk setempat kesal dengan perbuatan ter sebut apatah lagi, bangkai-bangkai ikan itu kini sudah mula busuk dan hanyut ke dalam parit berhampiran sehingga kami tinggal dalam keadaan tidak selesa,” katanya.
120 ibu tunggal kaum Cina terima angpau
Sumbangan angpau itu bertujuan menceriakan ibu tunggal terbabit menyambut perayaan tersebut.
Zambry berkata, Perak merupakan negeri kedua mempunyai bilangan ibu tunggal teramai di negara ini selepas Selangor iaitu 126,810 orang.
Beliau berkata, sebanyak 33 peratus daripada ibu tunggal di negeri ini berumur antara 45 hingga 54 tahun dan kerajaan negeri Perak sememangnya memberikan bantuan bagi meningkatkan pendapatan golongan tersebut.
Friday, January 21, 2011
Lagi wartawan cuba disamun
kejadian pada pukul 1.30 pagi itu berlaku ketika mangsa, M. Ilangovan, 44, baru sampai ke rumah selepas selesaimembuat liputan pra-sambutan Thaipusam di Kuil Sri Subramaniar, Gunung Cheroh di sini.
"Semasa saya membuka pintu pagar rumah, tiba-tiba salah seorang lelaki tidak dikenali menyerang saya dari arah belakang.
"Seorang lagi lelaki cuba merentap beg galas yang mengandungi kamera digital yang disandang namun saya berjaya menepisnya," cerita wartawan itu ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.
Berikutan itu, cerita Ilangovan berlaku pergelutan sehingga salah seorang penjenayah tersebut bertindak ganas menoreh tangan kanannya dengan sebilah pisau.
Kedua-dua penjenayah itu melarikan diri dengan sebuah motosikal tanpa dapat merampas kamera digital miliknya apabila melihat beberapa orang jirannya keluar untuk membantu.
"Saya dihantar oleh ahli keluarga ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk mendapatkan rawatan. Tangan kanan saya yang tercedera telah menerima empat jahitan.
"Saya percaya penjenayah terbabit mengekori saya sampai ke rumah dengan menyasar untuk menyamun kamera digital," katanya.
Beliau telah membuat laporan mengenai kejadian tersebut di Balai Polis Jelapang semalam.
Ia merupakan kes kedua kamera digital milik pengamal media Perak cuba disamun dalam jangka masa seminggu selepas kes melibatkan Penolong Ketua Biro Kosmo! Perak, Ahmad Syakir Sazili pada Ahad lalu.
Kosmo! Selasa lalu melaporkan Ahmad Syakir bergelut dengan seorang penjenayah yang bersenjatakan kayu yang menceroboh pejabat cawangan Kosmo! di sini demi menyelamatkan kamera digitalnya daripada disamun.
Thursday, January 20, 2011
Budak hilang semalaman ditemui
Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my
SLIM RIVER – Seorang kanak-kanak berusia setahun 10 bulan menghadapi saat-saat cemas apabila tersesat di dalam hutan kira-kira tiga kilometer dari rumah neneknya di Kampung Lintah, Slim Village di sini, tengah hari kelmarin sebelum ditemui 20 jam kemudian.
Nor Aishah Umairah Zamzuri dijumpai semula dalam keadaan berdiri di dalam kawasan berlumpur dengan sebahagian kakinya ditenggelami selut hingga paras betis sambil menangis.
Dia ditemui dua penduduk Orang Asli yang kebetulan melalui kawasan hutan tersebut untuk menoreh getah di ladang getah berhampiran pada kira-kira pukul 7.30 pagi semalam sebelum memaklumkannya kepada penduduk kampung yang menyertai dalam operasi mencari.
Semasa ditemui, tubuh Nor Aishah dipenuhi lumpur hingga ke paras leher selain banyak kesan gigitan serangga dan calar-balar. Kedua-dua tapak kakinya pula pecah dipercayai akibat berjalan berkaki ayam di dalam hutan terbabit.
Nenek mangsa, Norliah Zakaria, 50, berkata, dia menyedari kehilangan cucu sulungnya itu selepas pulang mengambil dua anaknya dari sekolah berhampiran pada pukul 1.30 petang kelmarin.“Sebelum itu Nor Aishah sedang bermain dengan anak angkat saya, Mohd. Shahrizal, 3, di laman rumah yang dikelilingi pagar dan pintu pagar telah dikunci.
“Sedar-sedar Nor Aishah telah hilang sementara Mohd. Shahrizal sedang leka bermain di dalam sebuah parit kontang di hadapan rumah," ceritanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Lintah, Slim Village di sini semalam.
Nor Aishah dibela Norliah sejak lahir sementara ibu bapa bayi itu, Nor Awani Abdul Wahid, 28, dan Zamzuri Mohd. Salleh, 28, menetap dan bekerja di Ipoh.
Norliah berkata, dia yang terkejut setelah kelibat Nor Aishah Umairah gagal ditemui di sekitar kampung segera menghubungi suaminya, Abdul Wahid Nordin, 52, yang bekerja di Majlis Agama Islam dan Adat-Istiadat Melayu Perak (MAIMP) di Ipoh.
Abdul Wahid bergegas pulang bersama Nor Awani dan Zamzuri pada kira-kira 3.30 petang sebelum dia menghubungi polis.
Selepas laporan itu dibuat, pasukan mencari dan menyelamat yang terdiri daripada 80 orang termasuk penduduk kampung.
Menurut Abdul Wahid lagi, keluarganya resah kerana usaha mencari dan menyelamat yang turut disertai Nor Awani jauh ke dalam hutan sehingga pukul 4 pagi gagal menemui cucu sulungnya itu.
“Alhamdulillah dia ditemui oleh dua penduduk Orang Asli kira-kira tiga jam kemudian di kawasan berlumpur di dalam hutan,” katanya.
Abdul Wahid kemudiannya bergegas ke kawasan berkeaan untuk mendukung Nor Aishah Umairah keluar setelah cucunya meragam dan enggan diselamatkan individu lain yang tidak dikenali.
Sementara itu, Nor Awani bersyukur anak tunggalnya selamat dan berhajat untuk mengadakan kenduri kesyukuran dalam masa terdekat.
“Sebaik sahaja diselamatkan, anak saya merengek meminta susu kerana seharian kelaparan sebelum dikejarkan ke Hospital Slim River," katanya.
Pelatih PLKN dakwa dianiaya
azli.adlan@kosmo.com.my
IPOH - Seorang pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang sedang menjalani latihan di Kem Sri Impian, Sungai Bakap, Pulau Pinang mendakwa sebahagian rambutnya telah digunting Ahad lalu tanpa disedarinya.
Basant Singh, 18, mendakwa, kejadian berlaku ketika dia dan sepuluh pelatih lain sedang tidur di kem tersebut.
"Sebelum masuk tidur kira-kira 12 malam, saya telah menanggalkan serban di kepala dan melepaskan rambut seperti yang selalu saya lakukan.
"Apabila bangun pukul 6.30 pagi esoknya, saya terkejut melihat sebahagian rambut saya telah dipotong (gunting)," dakwanya pada sidang akhbar di rumahnya di Jalan Gurdwara di sini semalam.
Basant yang menyimpan rambut sepanjang satu meter sejak lahir mendakwa hampir 60 sentimeter rambutnya digunting.
Menurut Basant, kejadian itu membuatkan dia rasa terhina.
"Memelihara rambut adalah simbol agama yang penting dalam agama Sikh dan saya yakin ia bukan perbuatan rakan sebilik tetapi orang lain yang menceroboh masuk ke asrama kami.
"Biarpun diberi cuti sehingga 23 Januari ini untuk menenangkan fikiran di rumah, saya amat trauma dan enggan menjejakkan kaki lagi di kem tersebut selepas ini," katanya.
Dia dijemput pulang oleh bapanya, Surinderpal Singh sebelum membuat laporan di Balai Polis Bandar Baharu, Kedah pada malam kejadian.
Sementara itu, Surinderpal berkata, beliau kesal dengan kejadian tersebut kerana program PLKN bertujuan menyatukan remaja menghormati kepelbagaian kaum dan agama di negara ini.
Surinderpal yang juga ketua rumah ibadat Sikh di Wadda Gurdwara Sahib di sini berkata, perkara tersebut tidak akan terjadi sekiranya kawalan keselamatan diambil berat oleh pengurusan kem tersebut.
Mayat rentung tepi tong sampah
azli.adlan@kosmo.com.my
IPOH - Seorang pekerja am Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) yang sedang tekun menjalankan kerja-kerja pembersihan tergamam apabila menemui mayat seorang wanita rentung di tempat pembuangan sampah di Jalan Pasir Puteh di sini semalam.
Mahani Mohd. Yusof, 42, berkata, mayat wanita tersebut ditemui pada pukul 8 pagi ketika dia sedang membersihkan longkang di belakang deretan rumah kedai di kawasan pembuangan sampah tersebut.
"Ketika mencuci (longkang), saya perasan ada objek mencurigakan seakan-akan patung yang terbakar berhampiran sebuah tong sampah besar.
"Sebaik dihampiri, saya terkejut dan menggigil apabila mendapati objek itu merupakan satu mayat yang rentung akibat terbakar," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Menurut Mahani, dia kemudian memaklumkan mengenai penemuan mayat tersebut kepada penyelianya sebelum menghubungi polis untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, mayat itu dikenal pasti seorang wanita.
Polis percaya mangsa yang belum dikenal pasti identiti tersebut telah dibunuh terlebih dahulu sebelum mayatnya dibuang dan dibakar di kawasan tersebut.
" Mayat itu telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat," katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta mana-mana individu yang kehilangan ahli keluarga atau kenalan supaya menghubungi balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.
Kes pasir : Dua beranak dituduh rasuah
Ong Eng Lin, 47, dari 137A Mambang Diawan, Kampar, dan anaknya, Kien Choong, 25, didakwa secara bersama memberi suapan berjumlah RM12,000 kepada Penolong Pegawai Tanah PTG Ipoh, Megat Saiful Nizam Megat Wahab di Restoran Sabar Menanti di sini pada pukul 10.35 malam, 11 Disember lepas.
Suapan itu sebagai dorongan supaya Megat Saiful Nizam untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka kerana menggunakan doket pengeluaran pasir yang tidak sah, satu kesalahan mengikut Seksyen 426(1) Kanun Tanah Negara 1965 (Akta 56/1965).
Eng Lin turut didakwa atas tiga kesalahan lain yang dilakukan bagi tujuan sama iaitu menawarkan suapan berjumlah RM12,000 kepada Megat Saiful Nizam di Kampung SMTD, Mukim Chenderiang, daerah Batang Padang pada pukul 1.40 petang pada hari yang sama.
Dia juga didakwa menawarkan wang tunai berjumlah RM3,000 kepada pegawai sama di Restoran Sabar Menanti pada pukul 10.35 malam, juga pada hari sama.
Bagi tuduhan keempat, Eng Lin didakwa memberikan suapan wang tunai RM2,500 kepada pegawai sama di dalam kenderaan pacuan empat roda Toyota jenis Isuzu bernombor pendaftaran AFV 9996 di Jalan Dato Ahmad Said di sini pada pukul 3 petang pada 11 Januari lalu.
Mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694).
Jika disabit kesalahan, mereka boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 berdasarkan yang mana lebih tinggi, bagi setiap kesalahan.
Hakim Julie Lack menetapkan kes itu disebut semula pada 22 Februari ini serta membenarkan kedua-dua mereka diikat jamin RM15,000 bersama seorang penjamin bagi setiap kesalahan.
Sunday, January 16, 2011
Safee akur
Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my
BIARPUN hatinya meronta-ronta untuk menimba pengalaman pada liga bola sepak luar negara, penyerang sensasi negara, Mohd. Safee Mohd. Sali akur sekiranya pengurusan Selangor terus berkeras tidak mahu melepaskannya.
Penjaring terbanyak Piala Suzuki AFF 2010 itu berkata, dia berkemungkinan memilih untuk terus beraksi dengan Selangor sehingga tamat kontrak pada akhir tahun ini.
“Sekiranya perundingan rasmi ketiga-tiga kelab Liga Indonesia dengan pengurusan Selangor yang sedang berlangsung sekarang menemui kegagalan, saya harus menghormati perjanjian yang telah dibuat dengan Selangor.
“Namun selepas itu, saya akan terus berusaha untuk mengintai peluang semula bermain di luar negara kerana ingin belajar sesuatu yang baru,” luah Mohd. Safee.
Mohd. Safee ditemui ketika dirai oleh lebih 3,000 penduduk sekitar Tapah dalam majlis khas sempena kepulangannya ke kampung halaman anjuran Persatuan Bola Sepak Batang Padangdi Stadium Mini Tapah semalam.
Tiga kelab Indonesia yang berminat untuk mendapatkan khidmat penyerang berusia 27 tahun itu ialah Persib Bandung, Balik Papan dan Pelita Jaya.
Dalam pada itu, Mohd. Safee meluahkan keinginan untuk menabur bakti bermain untuk skuad Perak sebelum mengakhiri kariernya sebagai pemain bola sepak.
“Selepas menimba pengalaman di luar negara, saya berniat untuk menyarung jersi Perak, negeri saya dibesarkan dan mendapat pendedahan awal bola sepak,” katanya.
Pada majlis sama, dia menerima ganjaran RM10,000 yang dijanjikan kerajaan negeri Perak berikutan kejayaan menjulang Piala Suzuki AFF 2010 daripada Pengerusi Jawatankuasa Kesenian, Belia dan Sukan Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin.
Turut menerima insentif tersebut ialah pemain pertahanan negara, Sabre Mat Abu, 23, dan Fadhli Shas, 19, yang masing-masing menerima wang tunai RM5,000 sementara jurulatih penjaga gol negara, Fauzi Mukhlas pula meraih RM3,000.
Bagaimanapun, Fadhli tidak dapat hadir kerana mempunyai komitmen dengan skuad Harimau Muda A.
Terdahulu, Mohd. Safee, Sabre dan Fauzi diarak dengan menaiki sebuah kereta antik model Triumph TR4 dengan diiringi lebih 100 motosikal berkuasa tinggi sejauh kira-kira enam kilometer dari rumah ibu bapa Mohd. Safee di Temoh, Tapah.
Saturday, January 15, 2011
20 GRO leka layan pelanggan dicekup
Dalam serbuan pada kira-kira 9.40 malam itu, semua wanita berusia dalam lingkungan 20 hingga 30 tahun tersebut sedang leka melayan pelanggan dengan aksi ghairah.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, siasatan mendapati sembilan daripada wanita tersebut merupakan penuntut institusi pengajian tinggi swasta sekitar bandar raya ini.
"Mereka didapati menyalahguna pas pelajar manakala 10 wanita China lain pula disyaki menyalahguna pas lawatan.
"Seorang lagi yang ditahan mempunyai pas pekerja asing yang sah di Johor," katanya kepada Kosmo! semalam.
Azisman berkata, polis turut menahan seorang lelaki berusia 29 tahun dipercayai penjaga pusat hiburan terbabit.
Menurut beliau, semua GRO dan penjaga pusat hiburan tersebut telah direman selama 14 hari mulai semalam untuk membantu siasatan.
818 ketua kampung terima watikah pelantikan
Zambry berkata, seramai 98 daripada jumlah tersebut merupakan pelantikan baru bagi menggantikan penyandang yang digugurkan kerana faktor usia, prestasi atau meninggal dunia.
"Jangan anggap jawatan ini satu keistimewaan tetapi merupakan tanggungjawab yang berat. Laksana tugas sebaiknya kerana institusi ketua kampung paling penting untuk memberi perkhidmatan kepada akar umbi," katanya.
Pada majlis tersebut, semua ketua kampung terbabit membaca ikrar penerimaan jawatan untuk tempoh dua tahun sehingga 31 Disember 2012 diketuai Ketua Kampung Kampung Chepor Dalam, Ipoh, Sukiman Abdul Jalil.
Thursday, January 13, 2011
IPD Ipoh dipecah dua untuk lancarkan operasi
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, pemisahan IPD Ipoh bertujuan untuk meningkatkan lagi mutu perkhidmatan polis kepada warga bandar raya ini.
“Kawasan liputan IPD Ipoh luas dan perlu menyelia sebanyak 24 balai polis. Sehubungan itu, kami merasakan wujud keperluan untuk bandar raya ini mempunyai dua IPD.
“Idea ini bukan asing untuk bandar raya besar kerana sebelum ini Johor Bahru juga mempunyai dua IPD iaitu IPD Johor Utara dan IPD Johor Selatan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Perak di sini semalam.
Mohd. Shukri berkata, kertas kajian mengenai cadangan tersebut telah dihantar kepada Bukit Aman untuk pertimbangan dan berdasarkan cadangan tersebut, IPD Ipoh akan dipecahkan kepada IPD Ipoh Barat dan IPD Ipoh Timur.
"Setiap IPD akan diketuai ketua polis daerah berpangkat Asisten Komisioner dan masing-masing menyelia 12 balai polis.
"Kami menyasarkan ia dapat direalisasikan menjelang sambutan Hari Polis ke-204 pada penghujung Mac ini," tambahnya.
Pada ketika ini, IPD Ipoh diketuai Asisten Komisioner Azisman Alias yang bertanggunjawab memberi perkhidmatan kepada lebih 710,000 warga kota. Ipoh merupakan bandar ketiga terbesar di negara ini.
Dalam pada itu, Mohd. Shukri memberitahu kadar indeks jenayah di Perak menurun 10.23 peratus pada tahun lalu berbanding tahun 2009.
Menurut beliau, Polis Perak juga berjaya mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) menurunkan jenayah jalanan dengan pengurangan 20.29 peratus kadar jenayah tersebut dalam tempoh sama.
Premis bungkus minyak masak haram diserbu
Semasa serbuan pada kira-kira pukul 11.30 pagi itu, sebanyak 1,640 kilogram (kg) minyak masak dalam paket bernilai kira-kira RM3,936 berjaya dirampas.
Pengarahnya, Mohd. Helmi Mohd. Noor berkata, ketika serbuan, empat pekerja sedang sibuk membungku minyak masak di premis berkenaan dan
siasatan mendapati premis tersebut menjalankan perniagaan membungkus minyak masak tanpa lesen sejak dua tahun lalu.
“Sebuah mesin pembungkusan turut di sita dan premis tersebut telah diarahkan berhenti operasi serta-merta,” katanya.
Mohd. Helmi memberitahu, siasatan akan dilakukan di bawah Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana melakukan urus niaga barangan kawalan tanpa lesen.
Katanya, jika sabit kesalahan, pemilik premis boleh di denda RM100,000 atau tiga bulan penjara.
Datuk Bandar rai pekerja MBI
Pada majlis itu, Roshidi turut menyampaikan amanat tahun baru khususnya sasaran MBI untuk mencapai sifar longgokan sampah haram di bandar Ipoh.
Beberapa cabutan bertuah berupa barangan elektronik seperti peti ais, mesin basuh dan ketuhar gelombang mikro disediakan bagi memeriahkan majlis berkenaan.
Ketika berucap pada majlis itu, Roshidi memberitahu, MBI menawarkan lima pakej umrah, tiga pakej pelancongan ke China dan dua ke India untuk 10 kakitangannya yang menunjukkan prestasi kerja yang cemerlang pada tahun ini.
Sunday, January 9, 2011
Pengakap mati dihempap takal besi
IPOH - Seorang pelajar tingkatan dua maut setelah kepalanya dihempap takal besi yang sedang dipasang pada tali untuk aktiviti flying fox di padang Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMKJC) Hua Lian, Taiping semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu, Goh Swee Kim, 14, sedang menyertai perkhemahan pengakap bersama 40 pelajar lain anjuran sekolahnya sejak petang kelmarin.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusuf Mohd. Diah berkata, semasa kejadian, mangsa bersama beberapa pengakap lain sedang membantu seorang guru memasang menara flying fox di padang sekolah terbabit.
"Ketika itu tiba-tiba sebuah takal terlucut dari tiang lalu terjatuh dan terkena kepala Swee Kim.
"Mangsa tumbang dan mati di tempat kejadian ekoran kecederaan parah di kepala," katanya kepada Kosmo! Ahad semalam.
Difahamkan menara flying fox itu dibina untuk persediaan salah satu aktiviti riadah yang dirancang sepanjang perkhemahan pengakap tersebut yang dijangka berakhir hari ini.Yusuf berkata, mayat Swee Kim telah dihantar ke Hospital Taiping untuk bedah siasat dan kes diklasifikasi sebagai kematian mengejut.
Saturday, January 8, 2011
Tidak serik datang ke Malaysia
Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my
IPOH– Mangsa terakhir yang terselamat dalam nahas terburuk negara di Kilometer 15, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands di sini pada 20 Disember lalu dibenarkan keluar dari wad Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini semalam.
Achara Wiwat, 36, yang mengalami cedera parah di kaki kanan, pinggul, lutut dan jangkitan paru-paru dibenarkan pulang setelah keadaannya dilaporkan semakin stabil.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan dan Hal Ehwal Bukan Islam Perak, Datuk Mah Hang Soon berkata, wanita warga Thailand itu dibawa pulang dengan menaiki ambulans menerusi sempadan Malaysia-Thailand di Bukit Kayu Hitam, Kedah.
“Sebaik tiba di sana nanti, Achara disambut oleh pegawai perubatan Hospital Hatyai, Thailand dan akan menjalani rawatan fisioterapi di hospital tersebut,” katanya selepas menziarahi Achara sebelum wanita itu dibenarkan keluar wad di sini semalam.
Achara yang berasal dari Bangkok, Thailand sebelum ini ditempatkan di wad biasa HRPB.Turut menemani Hang Soon ialah Timbalan Pengarah HRPB (Klinikal), Dr. Rahimi Goon.
Hang Soon memberitahu, Achara dijangka pulih sepenuhnya termasuk mampu berjalan dalam tempoh tiga bulan.
Sementara itu, Achara ketika ditemui mengucapkan penghargaan kepada kakitangan hospital tersebut yang komited bertungkus-lumus menyelamatkan nyawanya selepas terbabit dalam insiden tersebut.
“Saya berasa berpuas hati dengan layanan yang diberi sepanjang dirawat di hospital ini. Memang peristiwa nahas yang turut mengorbankan 26 rakan senegara memberi kesan mendalam.
“Saya sedang berusaha untuk memadam memori hitam itu namun tidak serik untuk kembali ke Malaysia khususnya Perak, kerana semua yang berlaku adalah takdir,” ka tanya.
Kosmo! 21 Disember lalu melaporkan sebuah bas persiaran dua tingkat yang sedang menuruni Cameron Highlands terlibat dalam kemalangan hingga mengorbankan 28 nyawa yang kebanyakan terdiri daripada pelancong Thailand.
Kejadian pukul 11.40 pagi itu turut mengakibatkan seramai 11 penumpang yang lain cedera parah.
Kesemua mereka bagaimanapun telah dihantar pulang ke negara asal secara berperingkat setelah keadaan mereka semakin stabil.
Friday, January 7, 2011
Perak hargai tiga pemain negara
azli.adlan @kosmo.com.my
TIGA pemain yang berasal dari Perak yang menganggotai skuad bola sepak negara menjulang Piala Suzuki AFF 2010 baru-baru ini akan menerima ganjaran wang tunai daripada kerajaan negeri Perak.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, tiga pemain tersebut ialah Mohd. Safee Mohd. Sali, 26, Fadhli Shas, 19, dan Sabre Mat Abu, 23.
"Kerajaan negeri Perak berbesar hati memberi sumbangan RM5,000 setiap seorang kepada Safee, Fadhli dan Sabre.
"Safee juga akan mendapat tambahan ganjaran RM5,000 berikutan muncul sebagai penjaring terbanyak kejohanan tersebut," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh semalam.
Sabre berasal dari Parit Buntar, Fadhli dilahirkan di Lumut manakala keluarga Safee kini menetap di Temoh, Tapah.
Bagaimanapun Sabre kini bermain untuk pasukan Kedah, Fadhli merupakan sebahagian daripada tonggak skuad Harimau Muda A manakala Safee beraksi untuk Selangor.
Zambry berkata, sumbangan tersebut sebagai penghargaan terhadap persembahan mantap skuad bola sepak negara terutama tiga pemain tersebut sehingga mampu membawa pulang Piala Suzuki AFF yang diidamkan sejak 14 tahun lalu.
"Saya sendiri menyaksikan pasukan negara membenam Indonesia 3-0 pada perlawanan akhir pertama di Stadium Bukit Jalil pada 26 Disember lalu.
"Sumbangan tersebut akan diserahkan kepada tiga pemain itu dalam satu majlis khas dalam masa terdekat," katanya.
Malaysia muncul pasukan keempat yang menjulang Piala Suzuki AFF selepas Thailand, Singapura dan Vietnam selepas menumpaskan Indonesia dengan agregat 4-2 dalam perlawanan akhir yang dijalankan secara timbal balik.
Monday, January 3, 2011
Beriadah bersama ahli MBAP di Sungai Klah
Penyelaras MBAP, Azizul Hashri berkata, program bersantai di dua pusat pelancongan terkenal di Perak itu berjaya menarik menyertai lebih 20 ahli termasuk dari Lembah Klang.
"Aktiviti meneroka Gua Tempurung dan berendam di kolam air panas di Sungai Klah merupakan terapi terbaik untuk ahli MBAP bersama keluarga pada hujung tahun.
"Selain itu ia bertujuan mengeratkan lagi hubungan di kalangan ahli kumpulan sosial ini yang sebelum ini hanya berkenalan di alam maya," katanya.
Bikerz Kitchen untuk peminat motor
Beliau yang menunggang motosikal kuasa tinggi Honda Goldwing, melihat restoran konsep itu akan menjadi pusat perjumpaan bagi peminat motosikal berkuasa tinggi di seluruh negara yang sering mengunjungi bandar raya ini.
"Pengalaman saya menjadi marsyal selama lebih lapan tahun mendapati kebanyakan bandar yang kami singgah mempunyai stesen atau lokasi khas untuk peminat motosikal berkuasa tinggi berkumpul.
"Menyedari bahawa Ipoh tidak mempunyai stesen sedemikian, saya dan isteri, Lily Suhaila Rahimi telah ambil inisiatif membuka Bikerz Kitchen bagi penunggang motosikal untuk melepas penat, bersantai dan bertukar pengalaman mereka" katanya kepada Kosmo! selepas pelancaran restoran tersebut oleh Penolong Pegawai Daerah Kinta, Ahmad Rashid Ahmad Rahim di sini baru-baru ini.
Turut memeriahkan majlis tersebut ialah lebih 300 peminat motosikal berkuasa tinggi termasuk Ketua Polis Daerah Tapah, Supritendan Roslan Bek Ahmad yang gemar menunggang motosikal berkuasa tinggi Kawasaki 1,200 cc di sekitar negeri Perak dan kawasan Lembah Klang.
Mohd. Khairil berkata, lokasi Bikerz Kitchen strategik kerana terletak di persimpangan Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands yang merupakan lokasi tumpuan penunggang motosikal berkuasa tinggi yang sering berkonvoi untuk ke Tanah Tinggi Cameron, Pahang.
Menurut beliau, selain itu, restorannya juga terletak hanya 200 meter dari Plaza Tol Simpang Pulai yang merupakan antara pintu masuk utama ke Ipoh dari Lebuh raya Utara Selatan.
"Di samping sebuah dewan yang boleh memuatkan 50 orang pelanggan pada satu masa, restoran dua tingkat ini juga menyediakan pelbagai menu hidangan termasuk stimbot dan makanan barat yang berharga dari RM4 hingga RM50 bagi setiap sajian," jelasnya.
Restoran Bikerz Kitchen dibuka setiap hari dari 10 pagi hingga 1 pagi dan operasinya akan dilanjutkan sehingga 3 pagi pada setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad.
Hospital KPJ pertama buka pusat perlindungan bayi
Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar KPJ Ipoh , Ahmad Nasiruddin Harun berkata, usaha itu merupakan aktiviti tanggungjawab sosial korporat hospital swasta tersebut bagi mengurangkan risiko kematian bayi yang dibuang.
"Idea penubuhan pusat perlindungan bayi ini ditimbulkan Pengarah Perubatan Hospital Pakar KPJ Ipoh , Datuk Dr. Fadzli Cheach Abdullah berikutan peningkatan kes pembuangan bayi sejak akhir-akhir ini.
"Statistik menunjukkan separuh daripada bayi malang tersebut meninggal dunia. Oleh itu, pusat perlindungan bayi ini dibuka untuk memastikan hak bayi tidak berdosa tersebut untuk terus hidup dapat dipertahankan, bukan menggalakkan gejala pembuangan bayi," katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran pusat tersebut yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Pelancongan dan Hal Ehwal Wanita Perak, Datuk Hamidah Osman di sini semalam.
Ahmad Nasiruddin berkata, pusat itu terletak di lokasi terlindung berhampiran Jabatan Kecemasan Hospital Pakar KPJ Ipoh dan dalam bentuk pintu tingkap.
Katanya, sebaik bayi dimasukkan ke dalam bekas khas di situ, satu isyarat akan berbunyi supaya jururawat bertugas segera mengambil bayi berkenaan.
Katanya, kawasan pusat perlindungan bayi itu juga sengaja tidak dilengkapi dengan sistem kamera litar tertutup (CCTV) demi menjaga privasi individu yang menghantar bayi ke situ.