Translate

Friday, November 17, 2023

Fokus saya menang di PRK Parlimen Kemaman – Raja Mohamed Affandi

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KEMAMAN – Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor akan menggunakan pengalaman lebih 40 tahun dalam perkhidmatan tentera untuk mengempur kubu Pas bagi menakluk kerusi Parlimen Kemaman pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 2 Disember ini.

Bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang dinamakan sebagai calon Barisan Nasional (BN) tersebut menegaskan misinya bertanding adalah untuk menang.

“Fokus saya satu sahaja, hendak menang di (PRK Parlimen) Kemaman. Yang lain itu adalah cara dan kaedah.

“Kalau dalam askar, misi kita adalah menang,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Jentera Pilihan Raya BN PRK Kemaman di sini malam tadi.

Pada majlis sama, beliau telah diperkenalkan kepada jentera parti BN oleh Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.

Raja Mohamed Affandi juga percaya peluang untuk kembali merampas kerusi Parlimen Kemaman yang sudah dikuasai Pas sejak dua penggal lalu bukanlah mustahil.

Beliau menjelaskan misi terbabit akan lebih mudah tercapai sekiranya mendapat bantuan padu daripada jentera parti BN di semua peringkat.

“Saya akan berusaha berjumpa sebanyak mungkin pengundi dan memberi masa sepenuhnya (untuk berkempen).

“Biarlah 14 hari (tempoh berkempen) nanti padat dan mudah-mudahan kesihatan dan semangat tentera yang masih ada lagi, saya mampu laksanakan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment