Translate

Monday, April 30, 2012

Wanita maut nahas

IPOH - Seorang ibu maut manakala suami dan bayinya yang berusia tiga bulan parah selepas kereta jenis Toyota Camry yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di Kilometer 306.2 Lebuh raya Utara-Selatan berhampiran Kampar dekat sini semalam.

Kemalangan pukul 11.30 pagi itu mengakibatkan Keng Siew Mei, 35, mati di tempat kejadian akibat tersepit.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Abdul Aziz Salleh berkata, suami mangsa yang dikenali sebagai Tang dan bayinya Tang Lee Yen pula mengalami kecederaan parah di kepala.

“Semasa kejadian ketiga-tiga mangsa dalam perjalanan pulang dari Ipoh ke rumah mereka di Petaling Jaya, Selangor,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Tambahnya, kemalangan berlaku apabila kereta yang dipandu Tang terbabas lalu merempuh penghadang jalan di bahu lebuh raya.

Menurut beliau, anggota bomba dan penyelamat mengambil masa hampir sejam untuk mengeluarkan mayat Siew Mei yang tersepit dalam kereta berkenaan yang remuk di bahagian hadapan.

“Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini untuk di bedah siasat.Tang dan bayinya sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital sama,” katanya.

Wednesday, April 25, 2012

Kembar tiga lahir guna cara IVF

 Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

 IPOH - Seorang wanita telah melahirkan tiga bayi kembar menerusi rawatan kesuburan kaedah persenyawaan tabung uji (IVF) di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini baru-baru ini.

Kelahiran dua bayi lelaki dan seorang perempuan pada 18 April lalu itu sekali gus menamatkan penantian tujuh tahun Lee Fong Theng, 30, dan suaminya, Chan Keng Long, 33, untuk memperoleh cahaya mata.

Bayi lelaki pertama seberat 2.1 kilogram (kg) dilahirkan wanita itu melalui pembedahan kira-kira pukul 8.46 pagi diikuti bayi perempuan seberat 2.8 kg dan bayi lelaki seberat 2.7 kg masing-masing selang seminit kemudian.

Fong Theng berkata, dia tidak mempunyai tiub fallopio (saluran peranakan) selepas kedua-dua saluran itu yang tersumbat telah dipotong pada 2010 selepas mereka berkahwin selama lima tahun.

"Ketika itu, saya gagal hamil biarpun sudah mencuba pelbagai cara. Pembedahan membuang saluran itu hampir membuatkan kami putus asa untuk memperoleh zuriat sendiri.

"Saya kemudian disaran mencuba rawatan IVF di HRPB pada Mac tahun lalu dan saya disahkan mengandung anak kembar kira-kira enam bulan kemudian," katanya pada sidang akhbar di wad bersalin hospital berkenaan di sini semalam.

 Turut hadir meraikan kejayaan kelahiran kembar tiga menerusi rawatan  IVF  yang julung-julung kali dilakukan HRPB itu ialah Pakar Perbidanan, Sakit Puan dan Kesuburan  hospital  tersebut, Dr. Tham Seong Wai.

Sementara itu, Keng Long berkata, dia tidak menyangka penantian untuk menimang zuriat sendiri sejak tahun 2005 berakhir dengan kelahiran anak kembar tiga.

"Sebelum ini saya amat berharap untuk memperoleh anak sendiri walaupun seorang. Saya amat bersyukur dikurnia tiga orang sekali gus," katanya.

Dalam pada itu, Seong Wai berkata, kesemua bayi itu berada dalam keadaan stabil, namun perlu diberi pemerhatian rapi berikut mereka dilahirkan tidak cukup bulan.

Beliau menerangkan, sebanyak empat telur digunakan untuk kaedah kesuburan tersebut dan satu daripadanya tidak berhasil pada cubaan kali pertama pada Mac tahun lalu.

"Tiga daripada telur terbabit kemudian dibekukan menerusi Program Pembekuan Embrio dan akhirnya ia menghasilkan tiga bayi kembar berkenaan," katanya.

Tuesday, April 24, 2012

34 keluarga miskin Tapah dibantu

MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

TAPAH - Seramai 34 keluarga miskin yang kebanyakan daripada kaum India sekitar bandar ini menerima bantuan berupa buku pelaburan Amanah Saham Wawasan 2020 (ASW 2020) dan sewa rumah daripada Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar baru-baru ini.

Timbalan Menterinya, Datuk M. Saravanan berkata, ia merangkumi 25 ketua isi rumah yang masing-masing menerima wang prinsipal RM10,000 dalam bentuk pelaburan ASW 2020.

“Selain itu, sembilan penerima lain yang juga golongan miskin dan miskin tegar mendapat bantuan sewa rumah sebanyak RM1,488 setahun.

“Ia sebahagian daripada program pembasmian kemiskinan bandar yang dilancarkan kementerian sejak tahun 2009,” katanya selepas menyampaikan bantuan terbabit kepada individu terlibat di Dewan Mahatma Gandhi di sini.

Turut hadir, Yang Dipertua Majlis Daerah Tapah, Razali Bakar.

Saravanan yang juga Ahli Parlimen Tapah berkata, program terbabit memberi fokus untuk meringankan beban golongan miskin dan miskin tegar bandar dengan memberi pendapatan tambahan bagi meningkatkan kualiti hidup golongan terbabit.

Menurut beliau, selain pemberian buku pelaburan ASW 2020 dan bantuan sewa rumah, antara projek di bawah program tersebut adalah bantuan bina dan baik pulih rumah serta latihan kemahiran dan keusahawan.

“Pemberian bantuan berkenaan kepada keluarga miskin dan miskin tegar itu bergantung kepada pangkalan data e-kasih,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Saravanan berkata, seramai 5,805 keluarga telah mendapat manfaat bantuan wang prinsipal RM10,000 dalam bentuk pelaburan ASW 2020 sejak ia dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada tahun 2009.

Jaksa Pendamai dituduh rasuah

 Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

 IPOH - Seorang ahli Jaksa Pendamai dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan memberi rasuah kepada Penolong Pegawai Daerah Kinta pada Julai tahun lalu.

Baharun Uda Mat Jali, 66, yang juga seorang kontraktor dituduh melakukan kesalahan tersebut di Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kinta, Batu Gajah dekat sini pada pukul 11 pagi, 20 Julai 2011.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh yang berasal dari Kampung Tersusun Jalan Gopeng, Batu Gajah telah memberi suapan sebanyak RM500 kepada Penolong Pegawai Daerah (Tanah) Kinta, Amir Fadli Mohamed Helmi.

Perbuatan rasuah itu dilakukan tertuduh di bilik pejabat Amir Fadli yang terletak di Unit Teknikal dan Penguatkuasaan, PDT Kinta.

Ia sebagai dorongan agar Amir Fadli memberi kelulusan permohonan menukar kawasan pemindahan pasir oleh Baharun dengan hanya menggunakan permit 4C yang telah luput.

 Permit pemindahan pasir terbabit telah luput pada 3 Julai 2011 dan sepatutnya tertuduh perlu membuat permohonan baru dengan mengisi borang Jadual 1A (Peraturan 2) Kanun Tanah Negara.

Baharun didakwa di bawah Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum bersama Seksyen 24 (1) akta sama.

Jika sabit kesalahan dia boleh dijatuhi hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan.

Baharun yang berkopiah dan berbaju kemeja merah hati membuat pengakuan tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

Hakim Noor Hayati Mat memerintahkan tertuduh dibebaskan dengan wang jaminan RM7,000 dan seorang penjamin serta menetapkan 24 Mei ini untuk sebutan semula kes.

Monday, April 23, 2012

Kilang LNG bernilai RM153.5 juta di Manjung

IPOH - Syarikat pembekalan gas cecair asli (LNG),  Atigas   Technology  Sdn. Bhd. ( Atigas ) bercadang untuk membangunkan sebuah kilang LNG di tapak seluas 60 hektar di Tanjung Hantu, Segari, Manjung.

Pengarah Urusannya, Tang Hock Leng berkata, pembinaan kilang LNG yang dianggarkan bernilai RM153.5 juta itu dijangka beroperasi dalam tempoh dua tahun akan datang.

" Atigas  bakal bekerjasama dengan sebuah syarikat dari Guangdong, China, Zhu Hai Gong Tong Mechanical Equipment Co. Ltd. (Zhu Hai Gong Tong) untuk membangunkan kilang terbabit.

"Kilang itu bakal mempunyai 10 tangki LNG yang mampu membekalkan kira-kira 50,000 meter padu LNG sebulan," katanya selepas menandatangani memorandum perjanjian dengan Zhu Hai Gong Tong yang diwakili Pengarah Urusannya, Wu Zhiming di sini baru-baru ini.

Majlis tersebut turut disaksikan Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Pelancongan dan Hal Ehwal Wanita negeri, Datuk Hamidah Osman.

Hock Leng menjelaskan, susulan daripada projek kerjasama strategik tersebut, Zhu Hai Gong Tong akan memindahkan teknologi pemulihan gas karbon dioksida kepada syarikatnya.

Menurut beliau, teknologi terbabit mampu memproses gas karbon dioksida yang merupakan sebahagian sisa industri LNG menjadi cecair dan kemudiannya boleh dimanfaatkan dalam penghasilan baja dan makanan.

"Ia membantu kami mengurangkan pencemaran malah mampu menjana keuntungan kepada syarikat," katanya.

Tambah Hock Leng, teknologi berkenaan telah dipraktikkan di negara maju sejak enam tahun lalu, namun, tidak diamalkan di negara ini kerana kos pembangunannya yang terlampau tinggi.

Namun, menurutnya, Zhu Hai Gong Tong telah menawarkan kos pemasangan sistem pemulihan karbon dioksida dengan kadar lebih berpatutan.

Maut akibat bisikan misteri

 Oleh AHMAD SYAKIR SAZILI
dan MOHD. AZLI ADLAN
berita@kosmo.com.my

 TANJUNG MALIM - Seorang pelajar perempuan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang mendakwa diganggu bisikan misteri ditemui maut selepas terjatuh dari tingkat lima bangunan E-Learning, kampus terbabit di sini kelmarin.
Kejadian menimpa Fatimah Mina Md. Juferi, 22, dipercayai atas dorongan suara bisikan misteri yang dialami pelajar terbabit sejak beberapa tahun lepas.

Dalam kejadian pukul 5.40 pagi hingga 6 petang itu, pelajar semester empat Pendidikan Awal Kanak-Kanak (PAKK) itu dijumpai dalam keadaan tertiarap di kaki lima bangunan yang terletak tidak jauh dari Pintu Masuk Timur UPSI.

Seorang rakan sekelas mangsa yang enggan dikenali berkata, Allahyarham Fatimah sebelum ini dilihat mengalami kemurungan kerana mendakwa diganggu makhluk halus.

"Fatimah mengadu bisikan dan gangguan tersebut semakin kerap sejak beberapa bulan lalu," katanya ketika ditemui di UPSI di sini semalam.

 Ekoran itu, katanya, mangsa yang menetap di luar kampus bersama beberapa rakan sekuliah di rumah sewa di Taman Universiti di sini dibawa menjalani rawatan tradisional oleh keluarganya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPSI, Datuk Dr. Junaidi Abu Bakar berkata, mangsa dikesan menaiki lif bangunan terbabit secara bersendirian pada pukul 5.26 petang.

"Semasa kejadian semua kelas di UPSI telah berakhir dan kelibat mangsa menaiki lif ke tingkat lima dilihat melalui kamera litar tertutup (CCTV).

"Semasa mangsa jatuh, seorang pelajar lain kebetulan lalu berdekatan kawasan itu terkejut menemui mangsa yang tertiarap sebelum pelajar itu mendapatkan bantuan petugas keselamatan," katanya.

Menurut beliau, Fatimah dari Jeram Bukit Batu, Bakri, Muar, Johor pernah mengambil cuti sakit semasa pengajian untuk membolehkan dia menjalani rawatan tradisional yang diuruskan keluarganya.

"Malah pada hari kejadian, saya dimaklumkan bisikan yang dialami pelajar terbabit semakin kuat mengganggu.

"Beberapa jam sebelum dia dijumpai terjatuh, Fatimah baru mendapatkan rawatan di sebuah klinik panel UPSI di sini dan diberikan ubat telinga bagi mengurangkan bisikan itu," katanya.

Katanya, pihak UPSI percaya tindakan Fatimah yang mengambil Bahasa Arab sebagai jurusan pengkhususan kecil semata-mata didorong gangguan makhluk halus bukannya berniat membunuh diri.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Dzuraidi Ibrahim berkata, mangsa yang mengalami kecederaan parah di muka dan bahagian badan, kaki kanan, rusuk, kedua-dua bahu dan hidung meninggal dunia akibat kecederaan teruk.

Mayat Fatimah dihantar ke Hospital Slim River di sini sebelum dirujuk ke Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk bedah siasat.

Jenazah mangsa dituntut ahli keluarganya semalam.

  

Sunday, April 22, 2012

Dokumentari Saintis Muda ditayang buat pertama kali

 TANJUNG MALIM - Dokumentari Saintis Muda 2011 : Peperangan Minda yang dirakam sempena Ekspo Saintis Muda Perak pada September tahun lalu ditayangkan buat pertama kali di Universiti Sultan Idris Shah (UPSI) di sini semalam.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPSI, Prof. Noraini Idris berkata, penayangan dokumentari terbabit merupakan kesinambungan daripada kejayaan penganjuran Ekspo Saintis Muda Perak.

Menurutnya, pertandingan Peperangan Minda merupakan acara paling signifikan pada Ekspo Saintis Muda Perak yang julung kali dianjurkan UPSI dengan kerjasama KPerak Implementation And Coordination Corporation (KPerak).
.

“Penerbitan dokumentari tersebut selaras dengan objektif penganjuran ekspo terbabit yang bertujuan mencungkil kreativiti dan inovasi pelajar dan guru,” katanya selepas menyaksikan tayangan perdana Saintis Muda 2011 : Peperangan Minda di Dewan Konvensyen, UPSI di sini semalam.

Turut hadir dalam tayangan perdana terbabit ialah pengarah dokumentari terbabit, Jak Othman.

Noraini berkata, UPSI bercadang untuk memasarkan dokumentari yang berdurasi selama sejam dalam bahasa Inggeris itu untuk siaran televisyen tempatan dan luar negara.

Dua maut bas kilang dirempuh treler

MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

KAMPAR - Dua operator pengeluaran wanita maut manakala lapan penumpang sebuah bas kilang cedera apabila bas tersebut dirempuh sebuah treler di Kilometer 38.5, Jalan Ipoh - Kuala Lumpur di sini kelmarin.

Dalam kejadian pukul 8 malam itu, Rohani Ramli, 38, maut di tempat kejadian sementara Russiah Mohamed Yusof, 44, meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh pada pukul 10 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kampar, Supritendan Abdul Aziz Salleh berkata, mangsa yang cedera ringan ialah T. Chandravathi, 22; Norhaliza Mohd. Nawi, 43; Zaiton Busu, 43;  S. Amkala, 25; dan M. Malini, 22; Shila Hashim, 25; Suriati, 27 dan Elizabeth Selvi, 39.

Mangsa-mangsa yang cedera itu dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Kampar manakala pemandu bas dan pemandu treler tidak cedera.

Menurut beliau, semasa kejadian, bas tersebut membawa 10 penumpang dalam perjalanan menghantar pekerja sebuah kilang elektronik di Simpang Pulai, Ipoh pulang di rumah masing-masing di sekitar pekan ini dan Mambang Di Awan dekat sini.

“Ketika bas tersebut membelok ke arah Mambang Di Awan di persimpangan lampu isyarat Kampar - Teluk Intan, sebuah treler dari arah Kuala Lumpur merempuh sisi kiri bas berkenaan.

“Rempuhan itu menyebabkan bas kilang tersebut terseret tiga kilometer. Bahagian kiri bas berkenaan remuk teruk,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Abdul Aziz berkata, kedua-dua penumpang bas itu terbunuh akibat cedera di kepala.

Pemandu treler berusia 32 tahun itu telah di tahan di bawah Seksyen 41 (1) (a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk membantu siasatan,” katanya.

Sementara itu, anak tiri Rohani, Mohd. Shafiq Ahmad Maskor, 20, tidak dapat menahan sebak kehilangan ibu tiri dalam kemalangan seperti kejadian sama yang meragut nyawa ibu kandungnya pada  tahun 1993.

“Kedua-dua orang yang saya sayang diambil cara sebegini,” ulang Mohd. Shafiq berkali-kali sambil ditenteramkan neneknya, Rokiah Din, 58 di perkarangan Rumah Mayat Hospital Kampar.

Saturday, April 21, 2012

Pensyarah perubatan kongsi kepakaran

TAPAH  - Penduduk di luar bandar kini boleh mendapatkan perkhidmatan doktor pakar di  hospital  daerah terpilih menerusi program perkongsian pintar antara Kementerian Kesihatan dan institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, menerusi program tersebut,  pensyarah  fakulti perubatan IPT terlibat akan diserapkan sebagai doktor pakar di  hospital  daerah terpilih di seluruh negara.

"Buat permulaan sebanyak 22 IPT yang menawarkan jurusan perubatan akan terlibat dalam program ini dan masing-masing akan berkhidmat di sebuah  hospital  daerah yang tidak mempunyai khidmat doktor pakar sebelum ini.

"Contohnya,  pensyarah  Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) akan berkhidmat di  Hospital   Tapah , Kolej Perubatan Manipal Melaka ( Hospital  Jasin, Melaka) dan Kolej Universiti Sains Perubatan Allianze ( Hospital  Kepala Batas, Pulau Pinang," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis penandatangani perjanjian kerjasama antara Kementerian Kesihatan dengan IPT di  Hospital   Tapah  di sini semalam.

Kementerian Kesihatan diwakili Ketua Setiausahanya, Datuk Kamarul Zaman Md. Isa manakala IPT terlibat pula diwakili pengurusan kanan masing-masing.

Tiong Lai berkata, program di bawah Strategi Lautan Biru Nasional itu bertujuan memudahkan orang ramai memperoleh perkhidmatan perubatan pakar seperti penyakit jantung dan buah pinggang di  hospital  daerah tanpa perlu dirujuk ke  hospital  negeri seperti diamalkan sebelum ini.

Wednesday, April 18, 2012

IPD Ipoh lancar konvoi orientasi komuniti

 TURUN PADANG. Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh mengadakan konvoi orientasi komuniti polis (CCOP) peringkat Balai Polis Pasir Puteh di Kampung Temiang, Ipoh, Perak baru-baru ini.

Konvoi berkenaan bertujuan merapatkan hubungan penduduk Kampung Temiang dengan pasukan polis tempatan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Ahmad Termizi Abdul Haq berkata, peserta konvoi bersarapan pagi dengan wakil penduduk diketuai Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Temiang, Mohd. Din Mohd. Noor.

"Selain memberi maklum balas terhadap aduan dikemukakan, kami percaya ia mampu mengurangkan kadar jenayah.

"Selain itu ia membolehkan orang ramai berkomunikasi secara terus dengan pegawai polis," katanya.

Tuesday, April 17, 2012

Pertemuan bekas murid SMC

 MENGIMBAU NOSTALGIA. Sebanyak 20 bekas murid Special Malay Class (SMC) Sekolah Rendah Inggeris Tapah yang terpisah lebih 45 tahun bertemu semula pada majlis perjumpaan di Rumah Rehat Tapah, Perak baru-baru ini.

Penganjur program, Datuk Abdullah Sani Juraimi berkata, beliau mengambil masa dua bulan untuk mengumpulkan semula rakan sekelasnya.

Abdullah yang juga bekas Ketua Kelas SMC sekolah terbabit yang kini dikenali sebagai Sekolah Kebangsaan Satu Tapah memberitahu, beliau telah menggunakan kemudahan laman rangkaian sosial, Facebook untuk menjejak rakan-rakannya.

"Selain beramah mesra, kami turut mengadakan majlis tahlil untuk disedekah kepada tujuh orang rakan sekelas yang telah meninggal dunia," katanya.

Tiga ahli Geng Lastik ditangkap

 Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

 IPOH - Sebuah kumpulan pecah rumah dan samun kenderaan mewah bergelar Geng Lastik yang bermaharajalela di Lembah Kinta dan Lembah Klang sejak awal tahun ini berjaya dilumpuhkan dalam serbuan di sebuah hotel di Taman Ipoh di sini kelmarin.

Dalam serbuan pukul 11 pagi itu, tiga lelaki termasuk ketua kumpulan tersebut yang berusia 33 tahun diberkas.

Penjenayah itu digelar Geng Lastik kerana modus operandi pecah rumah dilakukan kumpulan tersebut dengan cara memecahkan cermin tingkap rumah mangsa menggunakan lastik

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, pemeriksaan di hotel itu menjumpai peralatan seperti lastik, guli, alat penyembur lada, dua bilah parang, pisau, rambut palsu, empat telefon bimbit, set kunci rumah dan alat sistem penentuan kedudukan global (GPS).

"Dua buah kenderaan mewah iaitu BMW Hatchback dan Honda Accord yang masing-masing dilaporkan hilang di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur dan Batu Gajah, Perak turut ditemui polis," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

 Menurut Azisman, hotel tersebut dipercayai dijadikan markas anggota  Geng   Lastik  yang aktif dalam melakukan pecah rumah di sekitar bandar raya ini sejak awal bulan ini.

Katanya, kumpulan itu biasanya akan melastik menggunakan guli pada cermin tingkap rumah mangsa sehingga pecah sebelum memasuki rumah tersebut.

Menurut beliau, penjenayah berkenaan bukan sahaja mengambil barangan berharga di dalam rumah tetapi turut melarikan kereta mangsa menggunakan kunci pendua.

"Ketiga-tiga suspek yang berusia 33 hingga 45 tahun itu turut mempunyai kepakaran dalam kegiatan mencuri kenderaan.

"Mereka juga dipercayai menyamar dengan memakai rambut palsu ketika melakukan jenayah bagi mengelak identiti mereka dikenali," kata beliau.

Ujarnya, ketua  Geng   Lastik  didapati mempunyai 11 kes jenayah iaitu tujuh kes curi kenderaan, tiga kes pecah rumah dan satu kes cabul.

Beliau berkata, kesemua suspek direman selama empat hari sehingga 18 April bagi membantu siasatan polis.

Lima beradik sanding serentak

TAIPING - Semalam merupakan hari yang paling membahagiakan buat pasangan Mohd. Idrus Mohd. Zain, 59, dan isteri, Faridah Budin, 57, apabila mereka menyambut lima menantu serentak.

Lima anak Mohd. Idrus iaitu Ilyana Mohd. Idrus, 31; Izzwan, 30; Izzad, 29; Iqram, 26, dan Izzman, 25 dirai dalam majlis persandingan di Dewan Majlis Perbandaran Taiping (MPT) di sini.

Kelima-lima pasangan mempelai berkenaan iaitu Ilyana bersama pasangannya, Jamalullail Salim, 31;  Izzwan dan Elyana Ziezie Mohd. Tarmizi, 30; Izzad dan Nurdidi Zainuddin, 28; Iqram dan Azulia Ibrahim, 25 serta Izzman dan Siti Hajar Hamid, 25 turut sama-sama memotong kek dalam majlis yang dimeriahkan hampir 5,000 tetamu.

Mohd. Idrus yang merupakan pesara Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berkata, lima anaknya berkahwin serentak umpama hadiah bermakna untuk dirinya yang baru memulakan hidup sebagai ‘orang pencen’.

“Dulu setiap kali menghadiri majlis perkahwinan anak kawan-kawan, hati kecil saya sering terdetik menunggu saat menerima menantu.

“Hari ini (semalam) bukan seorang tetapi lima menantu sekali gus saya dapat. Hati bapa mana yang tak gembira,” katanya ketika ditemui.

Banjir Kuala Dipang semakin surut

KAMPAR - Keadaan banjir di Kuala Dipang dekat sini semakin pulih dengan jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sebelum ini mencecah 1,166 sudah berkurangan kepada 312 orang semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan dan Hal Ehwal Bukan Islam Perak, Datuk Dr. Mah Hang Soon berkata, cuaca baik sejak Jumaat lalu telah menyebabkan paras air banjir mulai surut.

Beliau berkata, ekoran itu, hanya sebuah pusat pemindahan sahaja masih dibuka iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampar di sini sementara pusat pemindahan di Dewan Pulau Berganding di sini sudah ditutup kelmarin.

“Namun begitu agensi berkaitan seperti Jabatan Kesihatan, Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia dan Jabatan Bomba dan Penyelamat masih diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga.

“Ia memandangkan cuaca sekarang tidak menentu dan kita tidak dapat jangka bila banjir akan surut sepenuhnya,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Kosmo! kelmarin melaporkan hampir keseluruhan Pekan Kuala Dipang dekat sini ditenggelami banjir setinggi hampir tiga meter dalam kejadian terburuk dalam tempoh 30 tahun.

Sembilan kampung terlibat ialah Kampung Batu 20, Kampung Baru, Kampung Dipang, Kampung Melaya, Kampung Pasir, Kampung Nyior, Kampung Pulau Berganding, Kampung Changkat Jering dan Kampung Mesah dekat sini.

Hujan lebat luar biasa selama lebih lima jam menyebabkan ban Sungai Kampar terletak di Kampung Kuala Dipang Lama pecah.

Monday, April 16, 2012

Tiada campur tangan kerajaan dalam pengurusan Proton

IPOH - Kerajaan tidak campur tangan dalam sebarang keputusan melibatkan perubahan struktur pengurusan Proton Holding Bhd. (Proton) selepas diambil alih oleh DRB-HICOM Bhd. (DRB-HICOM) sejak awal tahun ini.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, sebagai pemilik baharu syarikat automobil negara tersebut, DRB-HICOM berhak melantik barisan pengurusan Proton yang bersesuaian dengan hala tuju perniagaan mereka.

“Sebagai sektor swasta, sudah tentulah DRB-HICOM mahu mendapat pulangan daripada pelaburan tersebut (pemilikan saham terbesar Proton).

“Jadi sebarang perubahan yang akan dibuat (terhadap Proton), bukan kerajaan tetapkan dan tiada campur tangan daripada kerajaan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Hari Kecemerlangan Sekolah Izzuddin Shah (SIS) di sini semalam.

Begitupun, Ahmad Husni percaya sebarang keputusan yang dibuat DRB-HICOM sudah pasti bersandarkan strategi untuk meningkatkan perniagaan dan rangkaian industri automobil negara di peringkat antarabangsa.

Husni diminta mengulas mengenai laporan akhbar baru-baru ini berhubung spekulasi perletakan jawatan pegawai tertinggi Proton dipercayai telah menyebabkan DRB-HICOM menggabungkan barisan pengurusan yang baharu. Ia juga melaporkan gabungan pengurusan baharu dua entiti itu bakal diumumkan pada minggu depan.

Bagaimanapun, Proton telah menafikan khabar angin berkenaan.

760 lepasan Kolej Komuniti Wilayah Perak terima sijil

 KONVOKESYEN. Seramai 760 lepasan kolej komuniti menerima sijil masing-masing pada majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Wilayah Perak kesembilan di Hotel Kinta Riverfront, Ipoh baru-baru ini.

Penyampaian skrol sijil untuk tujuh kursus seperti automobil, teknologi elektrik, industri seramik dan pemprosesan serta kawalan mutu itu disampaikan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Abdul Puhat Mat Nayan.

Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Kolej Komuniti, Amir Md. Noor berkata, konvokesyen terbabit melibatkan lepasan empat kolej komuniti seluruh Perak iaitu Pasir Salak, Sungai Siput, Chenderoh dan Gerik.

Fahmie Izwan Zulkifli, 20, lepasan sijil automobil dari Kolej Komuniti Pasir Salak dinobatkan sebagai pelajar terbaik keseluruhan.

Saturday, April 14, 2012

Banjir Kuala Dipang tidak berubah

 Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

 KAMPAR – Keadaan banjir di Kuala Dipang dekat sini semalam tidak banyak berubah dengan 1,166 penduduk masih ditempatkan di dua pusat pemindahan iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampar dan Dewan Pulau Berganding di sini.

Bagaimanapun, hujan lebat yang melanda awal pagi semalam menyebabkan dua lagi kampung turut dilanda banjir iaitu Kampung Changkat Jering dan Kampung Mesah dekat sini.

Kelmarin, penduduk tujuh kampung terlibat ialah dari Kampung Batu 20, Kampung Baru, Kampung Dipang, Kampung Melaya, Kampung Pasir, Kampung Nyior dan Kampung Pulau Berganding.

Ketua UMNO Bahagian Kampar, Datuk Mohamed Radzi Manan berkata, berdasarkan situasi semasa, banjir yang menenggelami sebahagian besar Pekan Kuala Dipang itu dijangka hanya akan surut dalam tempoh sekurang-kurangnya tiga hari lagi.

"Jika cuaca baik, mangsa banjir boleh pulang ke rumah masing-masing dalam dua atau tiga hari lagi. Kita hanya boleh memperbaiki ban Sungai Kampar yang pecah sebelum ini selepas banjir surut," katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di pusat pemindahan SMK Kampar di sini semalam.

Sementara itu di Pendang, Kedah, sebanyak 28 buah rumah di tiga buah kampung yang terletak berhampiran kawasan kuari tanah di Bukit Jambul dilanda banjir kilat bercampur dengan lumpur ekoran hujan lebat selama hampir dua jam awal pagi semalam.

Kampung terlibat ialah Kampung Kilang Kechil, Kampung Lancut Binjal dan Kampung Air Putih Dalam yang terletak kira-kira 500 meter dari kawasan kuari tersebut.

Friday, April 13, 2012

Kuala Dipang dilanda banjir

 KAMPAR- Hampir keseluruhan Pekan  Kuala   Dipang dekat sini yang meliputi tujuh buah kampung ditenggelami banjir setinggi hampir tiga meter semalam.

Hujan lebat luar biasa selama lebih lima jam menyebabkan ban Sungai Kampar terletak di Kampung  Kuala   Dipang  Lama pecah lalu menyebabkan air Sungai Kampar dan Sungai  Dipang  berhampiran melimpah ke perkampungan terbabit bermula pukul 2.30 pagi.

Tujuh kampung yang terlibat ialah Kampung Batu 20, Kampung Baru, Kampung  Dipang , Kampung Melaya, Kampung Pasir, Kampung Nyior dan Kampung Pulau Berganding yang melibatkan lebih 1,200 penduduk.

Kebanyakan penduduk terbabit tinggal sehelai sepinggang selepas rumah masing-masing ditenggelami sehingga paras bumbung.

Seorang penduduk, Fauziah Abu Hasan Saari, 29, dari Kampung Baru berkata, dia dan rakan serumah Maizura Mior Hashim, 32, sempat menyelamatkan diri sebelum rumah mereka ditenggelami  banjir .

Seorang lagi penduduk Kampung Baru, Abdul Hafiz Mohd. Zamri, 25, memberitahu, lapan buah kereta milik keluarganya yang diletakkan di laman rumah rosak akibat ditenggelami  banjir  yang melanda secara tiba-tiba.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, 1,145 mangsa telah ditempatkan di dua pusat pemindahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Kampar dan Dewan Pulau Berganding di sini.

Thursday, April 12, 2012

Gempa turut gegar Semenanjung

 Oleh WARTAWAN KOSMO!
berita@kosmo.com.my

KUALA LUMPUR – Dua gegaran dalam tempoh hampir dua jam yang berpunca daripada gempa bumi kuat berukuran 8.6 pada skala Richter di Aceh, Sumatera Utara Indonesia semalam mencetuskan suasana panik di kalangan penduduk di beberapa negeri pantai barat Semenanjung Malaysia.

Gegaran pertama berlaku kira-kira pukul 4.50 petang dan disusuli pada pukul 6.45 petang itu menyebabkan penghuni di kediaman tinggi dan berhampiran pantai di negara ini meninggalkan rumah masing-masing.

Antara negeri yang merasai gegaran tersebut ialah Pulau Pinang, Perak, Johor, Selangor dan Kuala Lumpur.

Di pulau pinang, perkhidmatan feri yang menghubungkan Butterworth dan Goerge Town telah dihentikan pada pukul 8.30 malam berikutan gegaran kedua pada 6.45 petang tetapi disambung semula 45 minit kemudian setelah amaran tsunami ditarik balik.

Bagaimanapun, Jambatan Pulau Pinang dibuka seperti biasa.

Seorang penduduk flat Bukit Gedung, Siti Nur Zuriani Zaini, 25, memberitahu, orang-ramai lari lintang-pukang sebaik menyedari gegaran berlaku.

“Bayangkan bunyi gegaran itu sangat luar biasa seperti tanah sedang bergerak manakala pintu dan perabot rumah pula bergoncang,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.

 Di pusat beli-belah Gurney Plaza pula, kira-kira 5,000 pengunjung bergegas keluar dari bangunan tersebut sehingga menyebabkan berlaku kesesakan lalu lintas di sepanjang Jalan Gurney, Jalan Gothlieb menuju ke pusat bandar.

Sementara itu, penduduk di Seberang Jaya turut merasai kesan gempa bumi itu dan tinjauan mendapati, kebanyakan pasar raya mengarahkan pengunjung supaya mengosongkan premis bagi tujuan keselamatan.

Seorang penghuni Flat Ampang Jajar, Butterworth, Mohd. Johi Said, 48, pula memberitahu, dia bersama empat ahli keluarganya sedang menonton televisyen ketika gegaran tersebut berlaku.

"Sebelum ini memang pernah berlaku gegaran di sini disebabkan gempa bumi di Indonesia, tetapi kali ini lebih kuat," katanya.

Di Kuala Lumpur, gegaran tersebut turut menyebabkan sebahagian bangunan tinggi bergoyang sehingga penghuninya bertempiaran lari meninggalkan bangunan tersebut.

Tinjauan di Kondominium Seri Hijau, Seksyen 6, Bandar Mahkota Cheras, kira-kira 1,000 penduduk lari keluar dari kediaman masing-masing apabila bangunan kediaman mereka bergoyang.

Di Perak, gegaran yang sama turut dirasai di lima daerah iaitu Hilir Perak, Manjung, Kerian, Kinta dan Batang Padang.

Di Johor, kawasan yang merasai gegaran termasuk Hotel Puteri Pasific, Hotel Seri Impian dan Apartmen Sri Impian, Larkin Perdana di sini serta Hotel Katerina di Batu Pahat.

Keadaan yang sama turut dirasai oleh penduduk di Selangor terutama di Ampang, Subang Jaya, Kajang, Klang, Petaling Jaya, Puchong, Shah Alam, Semenyih, Sabak Bernam, Tanjung Karang, Gombak, Pandan dan Damansara.

Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor menerima lebih 30 panggilan melaporkan gegaran bangunan ekoran gempa bumi yang melanda Wilayah Aceh, Indonesia semalam.

Wednesday, April 11, 2012

Nando’s buka cawangan ke-42

IPOH - Nando’s Chickenland Malaysia Sdn. Bhd. (Nando’s) kini membuka cawangan restoran Nando’s terbaharu di kompleks beli-belah AEON Station 18 di sini.

Pengurus Jenama Nando’s, Yin Shao Mei berkata, cawangan terbaharu itu merupakan yang rangkaian restoran Nando’s yang pertama di negeri Perak dan ke-42 di seluruh negara.

“Bermula di Jalan Telawi, Bangsar, Kuala Lumpur pada 1998, Nando’s kini sudah bertapak kukuh di Lembah Klang, Pulau Pinang, Johor dan Melaka.

“Kami memilih untuk melebarkan sayap di Ipoh dalam usaha untuk meneroka potensi kepesatan pembangunan di bandar raya ini sejak akhir-akhir ini,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Shao Mei berkata, rangkaian terbaru itu mampu memuatkan sehingga 130 pelanggan pada satu masa.

Pelajar SMK Jati terima komputer riba

 BANTUAN. Sebanyak 413 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati, Ipoh menerima sumbangan komputer riba percuma menerusi Projek Pengagihan Komputer 1Malaysia di sekolah itu baru-baru ini.

Penyerahan komputer riba di bawah Program Pelan Inisiatif Jalur Lebar Negara kelolaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia itu disampaikan oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Pengetua SMK Jati, Halijah Abdullah berkata, pelajar yang menerima komputer riba di bawah program terbabit terdiri daripada keluarga berpendapatan di bawah RM3,000 sebulan.

"Selain meringankan beban ibu bapa berpendapatan rendah, bantuan itu juga diharap dapat melancarkan proses pembelajaran pelajar terbabit," katanya.

Tuesday, April 10, 2012

Bekas anggota keselamatan Perak terima bayaran khas

 REZEKI. Seramai 20 bekas anggota pasukan keselamatan di Perak yang pernah berkhidmat pada zaman darurat menerima bayaran khas RM3,000 pada satu majlis di Pusat Latihan Pasukan Simpanan Persekutuan, Ipoh baru-baru ini.

Bayaran khas itu disampaikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan ia merupakan hadiah untuk golongan terbabit yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada pembentangan Bajet 2012 lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, seramai 6,588 bekas anggota pasukan keselamatan serta duda dan balu mereka dari seluruh Perak layak menerima bayaran khas tersebut.

"Mereka bakal menerima imbuhan terbabit yang diagihkan melalui ibu pejabat polis daerah dan negeri dalam masa terdekat," katanya.

Monday, April 9, 2012

Bit polis dibuka di pasar larut malam Gerbang Malam

 KAWAL. Sebuah bit polis dua tingkat dibuka di lokasi pasar larut malam, Gerbang Malam, Ipoh, Perak baru-baru ini.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Roshidi Hashim berkata, premis yang menempatkan ruang pejabat dan menara tinjau itu dibina Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dengan kos RM33,000 bagi kegunaan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau memberitahu, pembinaan bit polis tersebut merupakan kerjasama strategik antara MBI dan PDRM dalam usaha mengurangkan kadar jenayah di bandar raya Ipoh.

"Ia secara tidak langsung memberi keselesaan kepada pengunjung Gerbang Malam untuk beli-belah dan bersiar-siar tanpa bimbang dengan gangguan keselamatan," katanya.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Zakaria Yusof.

Wednesday, April 4, 2012

Lima pusat perjudian kafe siber diserbu

TAPAH - Sebanyak lima pusat perjudian berkomputer yang berselindung di sebalik kafe siber di sekitar pekan Bidor diserbu polis kelmarin.

Dalam serbuan pukul 3 petang itu, sebanyak 111 unit komputer yang mempunyai permainan berunsur perjudian bernilai lebih RM222,000 dirampas.

Ketua Polis daerah, Superintendan D.  Som   Sak  berkata, wang tunai RM3,166 yang disyaki hasil perjudian turut dirampas manakala empat lelaki berusia 20-an dipercayai penjaga premis ditahan.

"Lima premis perjudian ini dilengkapi sistem kamera litar tertutup tetapi mereka gagal menghidu kehadiran anggota polis yang berpakaian preman," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Turut hadir, timbalannya, Deputi Superintendan Abdullah Arshad.

Som Sak berkata, tiga daripada lima kafe siber berkenaan merupakan pusat perjudian tegar kerana terus menjalankan perniagaan haram itu walaupun pernah diserbu beberapa kali sebelum ini.

Beliau berkata, kesemua suspek ditahan reman sehingga 6 April dan kes disiasat di bawah Seksyen 4B (a) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 yang membawa hukuman denda RM10,000 bagi setiap mesin judi atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Rayu bantu tampung kos anak hidap kanser tulang

 Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH – Seorang pekerja kilang merayu bantuan orang ramai untuk membiayai kos perubatan bagi mengubati anak lelakinya yang menghidap penyakit kanser tulang yang melibatkan kos sebanyak RM78,000.

Wan Ahmad Affendy Wan Mohd. Yaakob, 33, berkata, anak sulungnya, Wan Arif Ferdaus, 8, yang menghidap kanser tahap empat itu menjalani pembedahan pemindahan tulang sum-sum dan penggantian tulang kaki kiri pada kadar segera.

“Pakar perubatan PPUM (Pusat Perubatan Universiti Malaya) beritahu, pembedahan perlu dilakukan selewat-lewatnya dalam tempoh dua bulan, jadi saya tidak mampu jika tidak ada bantuan kewangan,” ujarnya pada sidang akhbar di Pusat Khidmat dan Aduan Barisan Nasional (BN) Perak di sini semalam.

Menurut Wan Ahmad Affendy, tahap kesihatan anaknya kini semakin merosot dan peluang untuk pulih sepenuhnya cuma 40 peratus.
 Turut hadir isteri Wan  Ahmad Affendy, Zetty Ramli, 28, dan Ketua Urus Setia Pusat Khidmat dan Aduan BN Perak,  Mohd.  Ravi Abdullah.

Wan Ahmad Affendy berkata, selain pembedahan pemindahan tulang sum- sum yang dianggarkan menelan belanja RM40,000, tulang kaki kiri   Wan Arif Ferdaus yang terjejas akibat kanser juga perlu diganti dengan implan besi dari paras lutut melibatkan kos sebanyak RM38,000.

Menurutnya, beliau dan isteri yang menetap di Kampung Sentang Tambahan telah membelanjakan hampir RM20,000 untuk rawatan kimoterapi di PPUM sejak akhir tahun lalu.

"Kebanyakan wang tersebut dibiayai daripada sumbangan derma rakan setugas saya dan ahli keluarga. Isteri saya merupakan suri rumah sepenuh masa, manakala pendapatan saya pula tidak seberapa.

"Sekarang ini pendapatan bersih bulanan saya tinggal lebih kurang RM300 kerana terlalu banyak mengambil cuti tanpa gaji untuk berulang-alik dari Batu Gajah ke Kuala Lumpur menguruskan rawatan perubatan anak saya," katanya.

Wan Ahmad Affendy  memberitahu, kaki kiri anak sulungnya daripada tiga beradik itu mula membengkak pada Mei tahun lalu selepas dia terjatuh ketika bermain di laman rumah.

Pada peringkat awal, penyakit kanser gagal dikesan oleh pakar perubatan Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini ketika   Wan   Arif Ferdaus dirujuk di hospital itu dari Mei hingga September 2011.

"Pada Disember lalu, kami suami isteri merujuk Wan Arif Ferdaus di Hospital Pakar Pantai Kuala Lumpur dengan meminjam wang daripada ahli keluarga dan keputusan mengesahkan anak saya menghidap kanser tulang sebelum dia dirujuk ke PPUM pula selepas itu," katanya.

Sehubungan itu, Wan  Ahmad Affendy  merayu sumbangan orang ramai menerusi akaun Maybank miliknya bernombor 158015114461 dan beliau boleh dihubungi di talian 012-5093505.

Ibu tunggal disamun, dirogol

MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Seorang ibu tunggal yang berumur separuh abad amat malang apabila seorang penyamun sanggup memperkosanya sebelum melarikan wang RM10 milik mangsa
di Taman Wai Thong,  Kuala Kangsar dekat sini kelmarin.

Ketika kejadian pada pukul 10 malam, mangsa yang  berusia 51 tahun sedang tidur seorang diri di dalam sebuah bilik di rumah teres.

Ketua Polis Daerah KualaKangsar,Superintendan Abdul Gaffar Mohamad berkata, wanita terbabit yang sedang  nyenyak tidur tiba-tiba dikejutkan oleh seorang lelaki yang memakai bertopeng.

“Sambil mengacu sebilah pisau ke leher mangsa, suspek mengarahkan wanita itu agar melucutkan pakaian. Oleh  kerana terlalu takut, arahan suspek itu dituruti sebelum dia  dirogol,” kata beliau kepada Kosmo! di sini semalam.

Menurut beliau, selepas memuaskan nafsunya, suspek kemudian menggeledah bilik mangsa namun hanya menjumpai wang tunai RM10 sebelum melarikan diri.

Kata beliau, mangsa yang merupakan seorang pembantu kedai kemudian melaporkan kejadian itu di Balai Polis  Kuala Kangsar dan dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk pemeriksaan.

"Siasat awal polis mendapati suspek  memasuki rumah wanita tersebut menerusi bumbung,”" katanya.


Tuesday, April 3, 2012

Tapak pelupusan sampah ditutup

 Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Rasa tidak selesa lebih 6,000 penduduk sekitar Tanjung Rambutan dekat sini yang terpaksa menghidu bau busuk selama 26 tahun kini berakhir apabila  tapak   pelupusan   sampah   Bercham  ditutup secara rasminya di sini kelmarin.

Setiausaha Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Datuk Abdul Rahim Md. Ariff berkata, keputusan menghentikan operasi  tapak   pelupusan   sampah  yang mula dibuka pada tahun 1986 itu dibuat selepas mengambil kira pandangan penduduk dan Jabatan Alam Sekitar.

" Tapak   pelupusan   sampah   Bercham  yang luasnya 38.88 hektar ini menerima sehingga 700 tan  sampah  sehari kini didapati sudah semakin hampir dengan kawasan kediaman sekitar.

"Kita khuatir jika dibiarkan, akan berlaku gelongsoran pada bukit  sampah  di  tapak   pelupusan  terbabit yang kini setinggi 15 meter kerana ia kini sudah terlalu padat dengan  sampah ," katanya selepas secara simbolik menutup  tapak   pelupusan   sampah   Bercham  di Tanjung Rambutan dekat sini kelmarin.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri Hulu Kinta, Datuk Rosnah Kassim.

Abdul Rahim seterusnya memberitahu,  tapak   pelupusan   sampah   Bercham  telah mengaplikasi sistem  pelupusan  tahap satu iaitu melupuskan  sampah  dengan cara memadat dan menimbus ke dalam tanah tanpa kawalan pelepasan gas metana.

Menurut beliau, MBI merancang untuk memulihkan semula lokasi  tapak   pelupusan   sampah  tersebut terutama membebaskan kawasan itu daripada air larut resapan dan gas metana.

"Kami telah menjangka tempoh selama 18 bulan diperlukan untuk merawat sepenuhnya  tapak   pelupusan   sampah  berkenaan sebelum ia boleh dimajukan sebagai padang rekreasi untuk kegunaan penduduk.

"Selepas ini, lokasi pengumpulan sisa-sisa pepejal dan  sampah  untuk penduduk bandar raya ini akan dipindahkan di  tapak   pelupusan   sampah  Papan dekat sini yang mula beroperasi sejak 31 Mac," katanya.

Abdul Rahim seterusnya memberitahu,  tapak   pelupusan  baharu seluas 226.9 hektar itu menggunakan teknologi tahap empat yang lebih canggih dan sensitif dengan isu alam sekitar.

Kosmo! pada 9 Januari lalu melaporkan lebih 6,000 penduduk di tujuh penempatan di Tanjung Rambutan di sini menggesa MBI menunaikan janji sejak lima tahun lalu untuk memindahkan  tapak   pelupusan   sampah   Bercham  ke tempat lain.

Penduduk mendakwa tidak sanggup lagi dengan pencemaran udara dan bau busuk  tapak   pelupusan  berkenaan dan mahu MBI berbuat sesuatu.

Kereta bawa hantaran pertunangan terbakar

 Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

LENGGONG – Seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang membawa persiapan hantaran pertunangan adiknya nyaris maut selepas keretanya tiba-tiba terbakar di Jalan Lenggong-Gerik berhampiran Kampung Kota Tampan di sini semalam.

Sabri Ishak, 29, berkata, semasa kejadian pada pukul 3.30 petang itu, dia dalam perjalanan pulang ke Kampung Batu 8, Baling, Kedah dari rumah abangnya di Kuala Lumpur.

“Saya bertolak pada awal pagi untuk menghantar beberapa barang hantaran adik perempuan saya yang dijadual melangsungkan pertunangan di kampung pada Sabtu ini.

“Sewaktu menghampiri pekan Lenggong, saya panik apabila kepulan asap tiba-tiba keluar dari pendingin hawa kereta Proton Wira milik saya,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini semalam.

Sabri yang bertugas di Pangkalan TLDM Teluk Se panggar, Sabah berkata, dia lantas memberhentikan keretanya di bahu jalan lalu menyelamatkan diri.

Menurutnya, beberapa penduduk kampung yang turut  melalui jalan tersebut membantu mengeluarkan  barangan-barang miliknya dan persiapan hantaran sebelum kereta tersebut mula terbakar.

“Walaupun masih tergamam dengan kejadian itu, saya bersyukur tidak cedera dan barangan  hantaran adik berjaya diselamatkan,” katanya.

Sabri memberitahu kereta yang dibelinya  beberapa tahun lalu jarang digunakan kerana terletak di bawah jagaan abangnya di Kuala Lumpur ekoran dia bertugas di Sabah.

Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat  Lenggong yang tiba di tempat kejadian pada pukul 3.45  petang berjaya memadamkan kebakaran dalam jangkamasa sepuluh minit namun 70 peratus bahagian kereta itu musnah.

Kolej komuniti jadi hab industri automotif

 KERJASAMA. Program kolej komuniti sebagai hab industri automotif dilancarkan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Kolej Komuniti Sungai Siput, Perak baru-baru ini.

Sebanyak 16 syarikat pengedar kenderaan seperti Hyundai Motors Asia, Suzuki Malaysia Automobile Sdn. Bhd., Mitsubishi Motors Malaysia, Toyota Motors dan Proton Edar Sdn. Bhd. terlibat dalam kerjasama strategik tersebut.

Mohamed Khaled berkata, pelajar kolej komuniti wilayah utara bakal dilatih dan seterusnya ditempatkan sebagai tenaga kerja mahir dan berpengetahuan dalam bidang automotif di semua syarikat berkenaan.

Dalam perkembangan sama, Hyundai Motors Asia turut menyumbang dua buah kenderaan utiliti sukan, Santa Fe sebagai kenderaan latihan kemahiran bagi kegunaan pelajar kolej komuniti terbabit.

Monday, April 2, 2012

Agrobank bantu murid menerusi program Menyemai Kasih

 SUMBANGAN. Seramai 100 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Dato' Laksamana Raja Mahkota, Teluk Intan di Perak menerima peralatan sekolah daripada Agrobank dalam program Menyemai Kasih baru-baru ini.

Sumbangan kepada murid yang rata-rata terdiri daripada keluarga kurang berkemampuan itu disampaikan oleh Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Wan Mohd. Fadzmi Wan Othman berkata, setiap murid terbabit turut menerima tabung dan buku akaun simpanan Agromuda-i.

"Pemberian peralatan sekolah, tabung dan buku akaun berkenaan bertujuan untuk menyuntik motivasi agar belajar bersungguh-sungguh dan menyemai sikap menabung di kalangan murid berkenaan," katanya.

Lebih 20,000 pengunjung hadir

 Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

 LENGGONG - Karnival Sukan Parlimen Lenggong yang melabuhkan tirainya di sini semalam mendapat sambutan hangat apabila berjaya menarik lebih 20,000 pengunjung sepanjang tiga hari diadakan.

Pengerusi Jawatankuasa Pengelola, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, tambah membanggakan lebih 7,000 pengunjung telah membanjiri Padang Majlis Daerah Lenggong pada hari kemuncaknya semalam.

"Boleh dikatakan karnival sukan melibatkan penyertaan hampir semua penduduk Parlimen Lenggong sama ada sebagai peserta mahupun penyokong dan pengunjung.

"Selain matlamat memupuk gaya hidup sihat melalui aktiviti sukan dan riadah tercapai, penganjuran program ini secara tidak langsung berjaya mengeratkan hubungan antara masyarakat di kawasan ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis penutupan Karnival Sukan Parlimen Lenggong di Padang Majlis Daerah Lenggong di sini semalam.

Shamsul Anuar berkata, seramai 4,920 individu dari 39 kampung dan 66 perkampungan kecil di Parlimen terbabit menyertai 21 acara sukan yang diadakan.

Menurut beliau karnival itu menyaksikan penglibatan menyeluruh semua kelompok masyarakat daripada murid taman bimbingan kanak-kanak hingga ke warga emas.
 "Sehubungan itu, kami bercadang untuk menjadikan  Karnival   Sukan  Parlimen  Lenggong  ini sebagai acara tahunan sebagai tarikan terbaharu  Lenggong  untuk mengenalkan daerah kecil ini sebagai destinasi pelancongan.

"Hasrat itu telah mendapat lampu hijau daripada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir," katanya.

Sementara itu, rata-rata pengunjung yang ditemui mengakui teruja menyertai 21 acara yang dipertandingkan selain menyaksikan pertunjukan tinju Muay Thai dan persembahan artis tempatan.

Sebahagian pengunjung bertuah juga membawa pulang pelbagai hadiah cabutan bertuah disediakan seperti motosikal, basikal dan barangan elektrik.