Translate

Sunday, November 19, 2023

Nelayan Vietnam rakus ceroboh perairan negara ditahan

 

KUALA TERENGGANU – Keghairahan 21 nelayan Vietnam terus menceroboh perairan perairan negara sewaktu ketibaan Monsun Timur Laut (MTL) semakin hampir menerima padah apabila ditahan Maritim Malaysia(APMM) pada Jumaat lalu. 

 Mereka berumur antara 22 hingga 46 tahun yang menaiki dua bot berasingan berjaya dikesan sebelum dipintas sebuah kapal maritim APMM di antara pukul 8.30 pagi hingga 9 pagi. 

 Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Mohd. Khairulanuar Abd. Majid berkata, kedua-dua bot nelayan asing itu dikesan pada kedudukan antara 155 dan 156 batu nautika dari perairan Kuala Terengganu. 

 “Sebuah kapal maritim APMM yang sedang mengadakan rondaan mengesan dua bot terbabit dalam keadaan mencurigakan. 

 “Tindakan penguatkuasaan diambil setelah mereka disyaki terlibat dalam aktiviti menangkap ikan secara haram di perairan negara,” katanya di sini semalam. 

 Mohd. Khairulanuar berkata, pemeriksaan mendapati kesemua 21 nelayan Vietnam terlibat tidak memiliki dokumen pengenalan diri dan permit kerja yang sah. 

 Tambah beliau, dua bot nelayan asing itu juga tiada kebenaran untuk menangkap ikan di perairan negara daripada Jabatan Perikanan.

 “APMM bertindak merampas hasil laut, bekalan minyak diesel, peralatan menangkap ikan dan bot yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM3 juta. 

 “Kesemua 21 suspek juga ditahan reman selama 14 hari bagi membantu siasatan mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1963,” ujarnya.

 Tambahnya, APMM akan terus meningkatkan pemantauan di perairan negara termasuk Terengganu walaupun MTL diramal berlaku tidak lama lagi.

No comments:

Post a Comment