Translate

Saturday, November 11, 2023

22,400 penghidap HIV tolak rawatan

 

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

HULU TERENGGANU – Seramai 22,400 penghidap HIV positif di negara ini tidak pernah mendapatkan rawatan penyakit berbahaya tersebut. 

 Ketua Sektor Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan, Dr. Anita Suleiman berkata, senario tersebut perlu diambil serius dan membimbangkan kerana ia merangkumi 32 peratus daripada 70,000 rakyat negara ini yang telah disahkan positif HIV.

 “Jangkitan HIV tidak dirawat boleh merebak menjadi AIDS yang kesannya jauh lebih serius. 

 “Lebih membimbangkan kita, penghidap HIV yang tidak menerima rawatan ini berpotensi menyebarkan virus berbahaya berkenaan kepada individu lain kebanyakannya menerusi aktiviti seks,” katanya di Baitul Cakna Terengganu, Kampung Pelandan di sini kelmarin. 

 Terdahulu beliau merasmikan bengkel perusahaan cili penghuni rumah kebajikan itu yang terdiri daripada penghidap HIV. 

Program komuniti tersebut merupakan inisiatif Yayasan AIDS Malaysia dan Yayasan Petronas. Anita berkata, antara faktor utama keengganan penghidap HIV terbabit menerima rawatan ialah malu dengan stigma negatif masyarakat. 

 Beliau juga mengakui sebahagian penghidap HIV tersebut sudah putus asa kerana hanya menunggu mati dan beranggapan sebarang rawatan tidak dapat memulihkan kembali mereka. 

 “Stigma ini salah kerana rawatan yang berterusan dapat memastikan penghidap HIV berkenaan kekal sihat dan menjalani kehidupan normal. 

 “Memang HIV akan kekal dalam badan penghidap jika rawatan berterusan mampu buatkan mereka mencapai tahap kesihatan tidak menyebarkan virus itu kepada individu lain,” katanya.

No comments:

Post a Comment