Translate

Wednesday, May 30, 2012

Pelatih pindah dalam tangisan

 Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

KUALA KANGSAR - Sebanyak 248 pelatih  Kem  Program Latihan Khidmat Negara (PLKN)  Tangkas   Kendiri , Sauk dekat sini mula berpindah ke sembilan  kem  lain di Perak, Kedah dan Kelantan semalam.

Pemindahan itu berikutan  kem  tersebut dikenakan tindakan sita oleh mahkamah pada 22 Mei lalu ekoran masalah hutang pemiliknya.

Proses pemindahan itu bagaimanapun menimbulkan perasaan sedih dalam kalangan pelatih terbabit.

Rata-rata pelatih, baik lelaki mahupun perempuan dilihat agak beremosi sehingga ada yang menitiskan air mata sambil berpelukan antara satu sama lain kerana sebahagian mereka terpaksa berpisah ke  kem  berlainan.

Salah seorang pelatih, Lee Hoi Yan, 18, berkata, dia dan rakan-rakan mengetahui mengenai pengosongan  Kem  PLKN  Tangkas   Kendiri  itu setelah diberi penerangan oleh jurulatih dan pegawai Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) termasuk Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Hadi Awang Kechil.

"Secara jujur, saya sedih kerana terpaksa berpisah dengan kawan-kawan. Hubungan kami tanpa mengira kaum sudah mula rapat walaupun baru berkenalan selama 28 hari sejak mendaftar masuk ke  kem  ini pada 1 Mei lalu," katanya kepada Kosmo!ketika ditemui di  Kem   Tangkas   Kendiri  semalam.

Abdul Hadi turut hadir memantau pemindahan 248 pelatih PLKN terlibat yang mula meninggalkan pekarangan  kem  berkenaan dengan menaiki tujuh buah bas.

Seorang lagi pelatih, T. Thaneswary, 18, berkata, biarpun sedikit sedih, dia optimis untuk terus menimba ilmu dan kemahiran dalam persekitaran dan rakan-rakan baharu kelak.

Sementara itu, Abdul Hadi menjelaskan, tindakan memindahkan semua pelatih  Kem  PLKN  Tangkas   Kendiri  itu bertujuan memastikan pelatih berkenaan dapat meneruskan modul latihan mereka.

Katanya, sebahagian besar pelatih  kem  tersebut iaitu seramai 161 orang dipindahkan ke lima  kem  di sekitar Perak iaitu  Kem  Nilam Ehsan, Bidor;  Kem  Jiwa Murni, Kamunting;  Kem  Teluk Rubiah, Manjung;  Kem  Segari, Lumut;  Kem  Sentosa, Chenderiang dan  Kem  Desa Rimba, Chenderoh.

Tambahnya, baki pelatih lain pula ditempatkan di  Kem  Batu Jong, Kuala Krai dan  Kem  Cancun Park, Pasir Mas di Kelantan serta  Kem  Rekreasi Belia, Baling, Kedah.

Sementara itu, pengurus  kem  berkenaan, Amir Hashim Yot berkata, pihaknya sudah mencari jalan penyelesaian untuk melunaskan hutang kepada sebuah syarikat pembekal yang menjadi punca mahkamah mengeluarkan notis menyita peralatan  kem  itu.

"Masalah ini dijangka selesai dua, tiga hari lagi. Selepas masalah dalaman kami selesai, saya akan rayu agar penempatan pelatih PLKN akan diteruskan semula pada sesi akan datang," katanya.

Tuesday, May 29, 2012

Ekonomi mampu capai sasaran lima peratus

 IPOH - Kerajaan optimis terhadap perkembangan ekonomi negara pada tahun ini dan menyasarkan untuk mencapai pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) lima peratus disokong oleh permintaan domestik yang kukuh walaupun sektor eksport agak perlahan kerana kelembapan ekonomi dunia.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, sasaran itu mampu dicapai berdasarkan kepada prestasi suku tahun pertama yang dicatat pada 4.7 peratus dan ia dilihat sebagai kadar yang menepati ramalan Bank Negara Malaysia yang menyatakan perkembangan sebanyak 4.5 peratus merupakan satu statistik yang munasabah.

“Pertumbuhan 4.7 peratus boleh disifatkan agak tinggi. Sebagai perbandingan, pada tempoh sama, Amerika Syarikat mencatatkan pertumbuhan 2.1 peratus, Jepun (2.7 peratus), Hong Kong (0.4 peratus), Taiwan (0.4 peratus), Singapura (1.6 peratus), China (8.1 peratus) dan
Thailand (0.3 peratus),” katanya..

Beliau berkata demikian selepas merasmikan deretan 11 kedai rakyat Spring Bandar di Kampung Tengku Hussein, Gugusan Manjoi di sini semalam.

Baru-baru ini, Gabenor bank pusat, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz berkata, pertumbuhan pada suku pertama telah melebihi jangkaan tatkala ia dicatatkan pada suasana di tengah-tengah penurunan eksport bersih negara sebanyak 20.8 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Ahmad Husni menerangkan, faktor penggunaan dan pelaburan swasta, negara masih mampu bergantung kepada eksport komoditi negara seperti minyak, kelapa sawit dan getah yang masih tinggi.

"Sebanyak 38 peratus eksport negara kita ke Singapura, Jepun dan China sementara negara-negara di Kesatuan Eropah (EU) pula menyumbang sebanyak 9.5 peratus dan daripada jumlah itu sebanyak 74 peratus daripada nilai eksport ke EU melibatkan Jerman, Belanda, Perancis dan United Kingdom,” katanya.

Tambah beliau, daripada jumlah eskport ke EU itu, lima negara yang berdepan krisis ekonomi seperti Greece, Sepanyol, Itali, Portugal dan Ireland pula hanya menyumbang kepada 0.7 peratus dengan nilai sebanyak RM1.2 bilion,” katanya.

"Meskipun Malaysia turut merasai kesan dari negara-negara Asia yang berurus niaga dengan wilayah dilanda krisis, namun inisiatif domestik akan meningkat menerusi perbelanjaan kerajaan seperti digariskan dalam Belanjawan 2012,” katanya.

Pemandu teksi sertai kursus pelancongan

 KURSUS. Seramai 40 pemandu teksi sekitar Ipoh menyertai Program Kesedaran Pemandu Teksi anjuran Tourism Perak di Institut Global Pelancongan, Ipoh baru-baru ini.

Program sempena Tahun Melawat Perak 2012 (TMP 2012) itu dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Pelancongan dan Hal Ehwal Wanita negeri, Datuk Hamidah Osman.

Hamidah berkata, kursus berkenaan bertujuan memantapkan lagi pengetahuan dan kemahiran komunikasi pemandu teksi bagi memberi perkhidmatan terbaik kepada pelancong yang mengunjungi Perak sempena TMP 2012.

Thursday, May 24, 2012

Kehadiran anakanda Raja Muda Perak mendapat tumpuan

 PUTERI DIRAJA. Kemunculan julung-julung kali anakanda kedua Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah, Raja Nazira Safya pada Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran sempena Ulang Tahun Keputeraan Sultan Perak ke-84 di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar kelmarin mencuri tumpuan ramai.

Raja Nazira Safya yang berusia 10 bulan kelihatan riang dan tidak kekok apabila gelagatnya yang dipangku bonda baginda, Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim dirakam lensa kamera media.

Namun, kekanda baginda, Raja Azlan Muzaffar Shah, 4, kelihatan agak malu-malu dan sering
menutup muka serta berpaling setiap kali gambar baginda mahu dirakam jurugambar.

Menyedari gelagat Raja Azlan tersebut, Raja Nazrin secara berseloroh bertitah kepada para pemberita: "Dia malu"

Monday, May 21, 2012

Gajah liar rosakkan kebun ditangkap

 SUNGAI SIPUT - Seekor gajah betina berusia 12 tahun, dipercayai salah seekor daripada sekawan gajah yang sering merosakkan tanaman penduduk Kampung Jalong dekat sini sejak akhir-akhir ini, berjaya ditangkap sepasukan anggota Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) semalam.

Ketua Unit Gajah Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan, Nasharudin Othman berkata, gajah liar itu dikesan berkeliaran secara bersendirian di kawasan sebuah ladang kelapa sawit di kampung tersebut.

"Sebelum ini kami menerima aduan penduduk kampung tentang sekumpulan sembilan gajah liar mengganggu ketenteraman penduduk Kampung Jalong sejak dua minggu lalu.

"Ekoran itu, operasi khas dengan keanggotaan 26 kakitangan PKGK dilancarkan sebelum menjumpai gajah berkenaan di ladang kelapa sawit itu pada pukul 1 petang kelmarin," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Nasharudin berkata, dua ekor gajah denak yang dibawa khas dari Pusat Konservasi Gajah, Kuala Gandah, Lanchang, Pahang telah digunakan sebagai umpan untuk menarik perhatian gajah betina tersebut.
 Menurutnya, satu das tembakan pelali turut dilepaskan bagi menundukkan  gajah  betina berkenaan sebelum dikeluarkan dari kawasan ladang kelapa sawit itu dengan sebuah lori.

" Gajah  betina yang ditangkap ini akan dilepaskan jauh ke dalam hutan bagi mengelakkan kejadian mengganggu ketenteraman penduduk berulang," katanya.

Walaupun begitu, Nasharudin memberitahu, pegawai PKGK akan tetap ditempatkan di sekitar Sungai Siput terutama Kampung  Jalong  bagi memantau situasi  gajah - gajah  yang lain.

Menurut beliau, pihaknya percaya sekurang-kurangnya lapan ekor  gajah  lagi yang sebelum ini turut merosakkan tanaman penduduk masih berada di sekitar pinggir hutan di kawasan tersebut.

Sunday, May 20, 2012

24,053 guru naik pangkat

Oleh MOHD.  AZLI  ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

KUALA KANGSAR - Seramai 24,053  guru  siswazah dan diploma bakal memperoleh kenaikan  pangkat  secara berperingkat-peringkat mulai bulan depan sehingga akhir tahun ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia merangkumi 8,222 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah dan 15,831 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Diploma.

" Guru - guru  berkenaan dipertimbang untuk kenaikan  pangkat  apabila memenuhi syarat tempoh perkhidmatan mulai 1 Jun hingga 31 Disember 2012.

"Semakan boleh dibuat di laman web Kementerian Pelajaran mulai hari ini (semalam)," katanya pada sambutan Hari  Guru  Peringkat Kebangsaan ke-41 di Dewan Jubli Perak di sini semalam.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, ia selaras dengan usaha kerajaan menambah baik Skim Perkhidmatan Pendidikan.

Menurut beliau, setakat ini 24,809  guru  siswazah dan 12,557  guru  bukan siswazah pelbagai gred telah menerima kenaikan  pangkat  masing-masing.

Bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah gred DG41, hanya lapan tahun diperlukan untuk kenaikan ke gred DG44, lapan tahun untuk gred DG44 ke DG48, enam tahun untuk gred DG48 ke DG52, dan tiga tahun untuk DG52 ke DG54.

Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma gred DGA29, hanya lapan tahun diperlukan untuk  naik  ke gred DGA32, lapan tahun untuk gred DGA32 ke DGA34, dan lima tahun untuk gred DGA34 ke DGA38.

Peniaga pasar malam ditahan bawa pistol

IPOH - Perlakuan mencurigakan seorang lelaki bermotosikal apabila terserempak dengan kereta peronda polis membawa kepada penemuan sepucuk pistol di dalam beg sandang yang dibawanya di Seri Manjung dekat sini.

Dalam kejadian pukul 1 pagi Jumaat lalu, penunggang motosikal jenis Yahama Ego itu tiba-tiba bertindak memecut motosikal setelah bertembung dengan kereta peronda polis yang dipandu Inspektor Roslan Mad Suki berhampiran sebuah stesen minyak.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, ekoran itu, polis mengejar lelaki berusia 34 tahun itu sejauh lima kilometer sebelum motosikal terbabit terbabas.

"Polis berjaya menahan lelaki terbabit dan menemui sepucuk pistol semi auto colt, satu kelopak peluru, lapan butir peluru Cal.38 semi auto dan empat telefon bimbit dalam beg sandang milik suspek," katanya selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Polis Kontijen Perak di sini semalam.

Katanya, suspek yang merupakan peniaga pasar malam dan berasal dari Gerik telah ditahan reman selama enam hari bagi membantu siasatan.

Saturday, May 19, 2012

UniKL-RCMP anjur Karnival Sayang Mama

 HARGAI. Pusat Perubatan Kolej Perubatan Diraja Perak Universiti Kuala Lumpur (UniKL-RCMP) Ipoh menganjurkan Karnival Sayang Mama sempena sambutan Hari Ibu baru-baru ini.

Timbalan Presiden UniKL (Jaringan Industri), Prof. Dr. Mazliham Mohd. Su'ud berkata, karnival tersebut dirasmikan oleh isteri Menteri Besar Perak, Datin Seri Saripah Zulkifli.

Beliau berkata, program sehari yang julung-julung kali diadakan itu mendapat sambutan yang memberangsangkan dengan kehadiran lebih 300 pengunjung.

"Pelbagai aktiviti menarik diatur bagi memeriahkan karnival itu seperti pertandingan mewarna ibu dan anak, pertandingan bayi comel, ukiran buah serta memasak," katanya.

5 rumah kebajikan terima sumbangan Ayam Brand

 SUMBANGAN. Lima rumah kebajikan di sekitar Ipoh menerima bekalan makanan percuma selama dua bulan daripada syarikat pengeluar produk makanan dalam tin, Ayam Brand sempena Kempen Masyarakat Penyayang baru-baru ini.

Pengurus Jenama Ayam Brand, Khoo Wooi Ling berkata, lima rumah kebajikan tersebut ialah Pusat Jagaan Yayasan Latihan Insan Istimewa, The Salvation Army Ipoh Chidren's Home, The Salvation Army Ipoh Boy's Home, Praise Emmanuel Chidren's Home dan Praise Girls Home.

Beliau berkata, kempen berkenaan bertujuan untuk memberi bantuan makanan berkhasiat dan mudah disediakan kepada penghuni rumah kebajikan berkenaan yang terdiri daripada anak yatim dan kanak-kanak kurang berkemampuan.

"Bagi menggalakkan penyertaan komuniti dalam talian, kami akan menambah satu tin produk makanan untuk kempen ini bagi setiap butang Like yang ditekan di laman rangkaian sosial Facebook Ayam Brand," katanya.

Bomba Perak anjur kempen derma darah

 BAKTI. Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak menganjurkan kempen derma darah di Hotel Heritage, Ipoh baru-baru ini.

Pengarahnya, Yahaya Madis berkata, kempen itu merupakan salah satu program yang diatur sempena sambutan Hari Bomba Sedunia peringkat Perak pada 5 Mei lalu.

Beliau berkata, seramai 180 kakitangan agensi itu dari seluruh Perak telah menderma darah bagi mengisi Tabung Darah Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.

"Kempen derma darah itu merupakan tanda penghormatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak kepada masyarakat yang memberi kerjasama dan menghargai komitmen kami sebagai anggota bomba," katanya sambil menambah ia akan dijadikan acara tahunan.

Tuesday, May 15, 2012

Cadangan peguam diberi perhatian

IPOH - Perbincangan mengenai cadangan penubuhan  Akademi   Undang-Undang  akan diadakan dengan Jemaah Menteri dan Peguam Negara dalam tempoh terdekat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Beliau berkata, sudah tiba masa untuk membentuk sebuah organisasi lain yang boleh dianggotai oleh semua pihak yang berlatar belakang pendidikan  undang-undang , selain Majlis Peguam yang keanggotaannya terhad kepada pengamal  undang-undang .

"Majlis Peguam adalah untuk mereka yang mengamal  undang-undang  sahaja tetapi sebahagian besar daripada mereka yang mempunyai kelulusan  undang-undang  seperti ahli akademik di universiti, sektor perbankan termasuk bekas hakim tidak mempunyai persatuan," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan Projek e-Kehakiman Semenanjung di sini semalam.

Seorang ahli Majlis Peguam, Abu Backer Sidek baru-baru ini mencadangkan sebuah badan guaman baharu yang bebas dibentuk kerana Majlis Peguam sedia ada gagal dipertahankan sebagai sebuah badan yang profesional dan berintegriti.

Mohamed Nazri berkata, keanggotaan yang menyeluruh dalam kalangan lepasan  undang-undang  memberi lebih ruang untuk golongan tersebut melontar pandangan mengenai sesuatu tanpa perlu dimonopoli kelompok tertentu yang berkepentingan.

Menurut beliau, kewujudan organisasi seperti  Akademi   Undang-undang  bukan perkara baharu kerana telah diamalkan di beberapa negara lain seperti Singapura.

Monday, May 14, 2012

Remaja tulang bengkok terima sumbangan RM47,000

 IPOH - Derita seorang remaja yang mengalami penyakit tulang belakang bengkok bakal berakhir tidak lama lagi setelah dana bagi membiayai kos pembedahannya diperoleh baru-baru ini.

 Ng   Siew   Hoong , 18, dari Kampung Baru Chendrong, Batu Gajah dekat sini bersyukur apabila tabung bantuan yang dilancarkan Biro Pengaduan MCA Perak pada akhir Mac lalu telah mengumpul sebanyak RM47,000.

"Wang itu mencukupi untuk membolehkan saya menjalani pembedahan membetulkan semula tulang belakang di Pusat Perubatan Universiti Malaya, Petaling Jaya selewat-lewatnya September depan.

"Terima kasih kepada semua yang menderma. Masa depan saya yang dahulu seakan-akan gelap kini mula nampak sinar, ia umpama memberi talian hayat kepada saya," katanya selepas menerima replika cek bantuan itu daripada Pengerusi Biro Pengaduan MCA Perak, Datuk Lee Kon Yin di sini baru-baru ini.

Turut hadir bapanya,  Ng  Kam Loong, 62, yang menyara hidup keluarga mereka dengan pendapatan daripada bengkel basikal.

Menceritakan penyakitnya,  Siew   Hoong  berkata, dia mula disahkan menghidap penyakit tulang belakang bengkok itu di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini kira-kira dua tahun lalu.

Menurutnya, penyakit itu menyebabkan tulang belakangnya membengkok seperti huruf 'S' yang menyebabkannya mengalami kesukaran bergerak.

"Jika tidak dirawat segera, saya mungkin mengalami gejala bongkok dan paling serius bakal lumpuh seumur hidup," katanya.

Sementara itu, Kon Yin memberitahu, selain derma orang ramai, Yayasan Perubatan 1 MCA turut menyumbang RM15,000 untuk dana perubatan remaja berkenaan.

Plaza Tol Ipoh Selatan dirempuh lagi

 IPOH  - Setelah hampir enam tahun menggantikan  Plaza   Tol  Jelapang yang kerap berlaku kemalangan,  Plaza   Tol   Ipoh   Selatan   dirempuh   lagi  buat kali kedua semalam.

Dalam kejadian pukul 6.30 petang itu, pondok  plaza   tol  berkenaan arah  selatan  yang paling kiri  dirempuh  sebuah treler membawa muatan atap.

Rempuhan daripada pintu kiri belakang treler yang tidak tertutup rapat itu menyebabkan seorang juru  tol  bertugas yang dikenali sebagai Fakri nyaris maut.

Seorang kakitangan PLUS Expressway Berhad (PLUS) yang enggan dikenali memberitahu, juru  tol  berkenaan mengalami kecederaan di beberapa anggota badan dan dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HPRB) untuk menerima rawatan.

"Pemandu treler berkenaan memandu keluar kenderaan berkenaan dari pondok tersebut setelah selesai membayar  tol  tanpa menyedari palang besi yang menutup belakang kenderaannya tidak tertutup rapat.

"Sebaik bergerak, pintu sebelah kiri belakang treler itu bergerak lalu 'melibas' pondok  tol  hingga menyebabkan pondok itu runtuh," katanya kepada Kosmo! di tempat kejadian di sini semalam.

 Plaza   Tol   Ipoh   Selatan  berkenaan pernah  dirempuh  sebuah bas ekspres yang dilanggar sebuah treler dari arah belakang pada 9 Oktober 2008 iaitu kira-kira empat bulan selepas dibuka.

Kejadian pukul 3 pagi itu menyebabkan seorang cedera parah dan empat penumpang bas berkenaan cedera ringan.

Friday, May 11, 2012

Bayi nyaris jadi habuan anjing liar

IPOH - Umur seorang  bayi  lelaki yang ditinggalkan di hadapan sebuah rumah di  Anjung   Bercham   Indah,  Bercham  di sini kelmarin masih panjang apabila dia sempat ditemui oleh pemilik rumah itu sebelum menjadi habuan anjing.

 Bayi  seberat 2.7 kilogram yang dibalut dengan sehelai baju-T warna putih sebelum dibungkus pula dengan beg plastik ditemui pada pukul 11 malam oleh Tan Swee Kong, 45.

Swee Kong berkata, dia mulanya berasa pelik apabila terdengar suara tangisan  bayi  sebelum ternampak kehadiran satu bungkusan beg plastik di depan rumahnya dengan seekor anjing liar sedang menggigit bungkusan itu.

"Apabila saya menghampiri bungkusan itu, saya terkejut melihat ada  bayi  lelaki yang masih bernyawa tetapi terlalu lemah dengan suara tangisan semakin perlahan.

"Sebahagian beg plastik itu pula sudah ada kesan koyak dipercayai akibat gigitan anjing. Nasib baik saya sempat sedar, jika tidak mungkin  bayi  itu sudah menjadi habuan anjing berkenaan," kata Swee Kong ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.

Swee Kong berkata, dia amat sedih melihat  bayi  itu yang tidak berpakaian dan kesejukan.

Semasa ditemui,  bayi  itu juga mempunyai beberapa kesan cakaran kuku haiwan di bahagian kaki dan badan.

 Bayi  itu kemudian dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini untuk mendapatkan rawatan dan  bayi  itu kini dalam keadaan stabil.

Thursday, May 10, 2012

571 francaisi baharu

MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

TAIPING - Program Francais Komuniti yang telah dilancarkan pada bulan Oktober lalu telah berjaya menarik penyertaan daripada 571 francaisi baharu untuk dilatih oleh syarikat francais dengan menjana pelaburan bernilai RM64,160 juta.
 Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Tan Lian Hoe berkata, daripada jumlah tersebut, RM16,254 juta diwakili oleh industri francais mikro yang melibatkan pelaburan kurang daripada RM50,000 manakala francais makro pula mencatatkan jumlah sebanyak RM47,906 juta.

“Ini merupakan satu jumlah yang agak besar bagi Program Francais Komuniti yang telah menjelajah sembilan lokasi termasuk Taiping hari ini (semalam) sejak enam bulan lalu,” katanya selepas majlis perasmian Francais Komuniti Taiping di sini semalam.

Pada program tersebut, sebanyak 14 syarikat francaisor seperti Ani Sup Utara, Long Burger, D’ Tandoor, Pusat Tuisyen Mawar, Dina Collection dan Procleaners telah terlibat.

Selain itu, Lian Hoe menjelaskan, program Francais Komuniti bertujuan untuk membantu masyarakat khasnya daripada golongan berpendapatan rendah dan sederhana untuk menambah rezeki menerusi perniagaan francais yang mempunyai risiko lebih rendah.

Tambahnya, sebanyak kira-kira RM2.8 juta pembiayaan menerusi Skim Pinjaman Kecil Francais (SPKF) telah diluluskan kepada francaisi yang menyertai program tersebut.

“Kerajaan telah memperuntukkan dana sebanyak RM8 juta untuk kemudahan SPKF, bagaimanapun, dana itu masih berbaki RM5.2 juta untuk diagihkan kepada para peserta program berkenaan di seluruh negara.

Sementara itu, Lian Hoe menjelaskan, industri francais tempatan telah menjana pendapatan sehingga RM21.48 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2011.

Malah, menurut beliau, jumlah syarikat francais berdaftar tempatan telah meningkat sebanyak 53 peratus dalam tempoh tiga tahun iaitu 607 pada tahun lalu berbanding 396 pada 2009.

“Oleh itu, kami menjangkakan jumlah pendapatan yang diraih industri tersebut mampu ditingkatkan kepada RM22.5 bilion menjelang tahun depan,” katanya.

Thursday, May 3, 2012

Reka cerita selepas bunuh bapa

 Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Tembelang seorang remaja yang datang ke balai polis kononnya untuk memaklumkan mengenai penemuan mayat bapanya terbongkar apabila dia ditahan selepas disyaki menikam perut peniaga kayu itu sampai mati dalam kejadian di Taman Bersatu, Simpang Pulai dekat sini semalam.

Kejadian pada pukul 1 pagi itu menyebabkan Jaswant Singh, 40, mati di dalam sebuah bilik di tingkat bawah rumah teres dua tingkat tersebut selepas disyaki ditikam bertubi-tubi dengan dua bilah pisau oleh anaknya yang berusia 15 tahun.

Difahamkan, anak sulung daripada dua beradik itu bertindak demikian selepas dia tidak tahan melihat perlakuan ganas bapanya yang sering memukul ibunya selain rimas dengan masalah keluarga yang dialami mereka.

Setengah jam kemudian, dia pergi ke Balai Polis  Simpang   Pulai  dekat sini untuk melaporkan penemuan mayat ahli perniagaan tersebut dengan mereka-reka cerita kononnya bapanya menjadi mangsa penjenayah yang memecah masuk rumah mereka.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Dzuraidi Ibrahim berkata, suspek memberitahu yang dia menemui mayat bapanya dalam keadaan terlentang dan berlumuran darah dengan kesan tikaman di perut.

"Dia mengesyaki rumahnya telah dipecah masuk selepas mendapati salah satu pintu rumahnya di tingkat atas terbuka.

"Bagaimanapun, polis yang curiga dengan keterangan suspek kemudian telah menahannya selepas mendapati kedua-dua belah tangannya cedera seolah-olah dia telah terlibat dalam pergelutan," katanya kepada Kosmo!.

Tambahnya, selepas disoal siasat, suspek akhirnya mengaku yang dia telah menikam bapanya sampai mati sebelum membawa polis ke tempat dia membuang dua bilah pisau yang dipercayai digunakan dalam pembunuhan tersebut.

Menurut Dzuraidi, pisau itu dibuang di sebuah padang di Kampung Baru  Simpang   Pulai  kira-kira satu kilometer dari rumahnya sebelum dia datang untuk membuat laporan palsu.

"Polis turut merampas sebuah kereta Mercedes-Benz milik Jaswant yang dipercayai dipandu suspek untuk membuang barang bukti untuk membantu siasatan," katanya yang memberitahu ketika kejadian ibu suspek yang berusia 35 tahun dan adiknya, 13, tidak berada di rumah.

Ujar Dzuraidi, siasatan awal mendapati motif pembunuhan tersebut ialah kerana suspek tertekan melihat ibunya yang sering menjadi mangsa keganasan rumah tangga.

Mayat Jaswant dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini untuk bedah siasat dan suspek kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Isteri mangsa enggan ditemu bual kerana masih trauma dengan kejadian itu.

Tuesday, May 1, 2012

Ular tedung 3 meter ditangkap

 BATU GAJAH - Seorang suri rumah yang sedang menyiapkan makan malam dikejutkan dengan penemuan seekor ular tedung selar sepanjang tiga meter di dapur rumahnya di Kampung Papan Lama, Pusing dekat sini malam kelmarin.

Dalam kejadian pukul 8 malam itu, ular tedung selar itu sedang melingkar di belakang sebuah almari dapur tidak jauh dari kedudukan Ching Chee Meng, 39, sibuk memasak.

Penolong Penguasa Jabatan Bomba dan Penyelamat Batu Gajah, Halid Md. Zain berkata, pada mulanya wanita itu menjangkakan objek hitam yang bergerak-gerak itu adalah seekor kucing.

“Oleh kerana curiga, dia telah menyelidik belakang almari dapur berkenaan dan terperanjat apabila mendapati ia sebenarnya seekor ular tedung selar.

“Chee Meng kemudiannya menghubungi pihak kami untuk meminta pertolongan kecemasan,” katanya ketika ditemui di Balai Bomba dan Penyelamat Batu Gajah di sini semalam.

Halid berkata, lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Batu Gajah telah bergegas ke rumah suri rumah itu daan haiwan berbisa itu dapat ditangkap setengah jam kemudian.

IPTA dibenar tubuh IPTS sendiri

MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Pengurusan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) tempatan diberi kebenaran untuk menubuhkan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) sendiri bagi menjana pendapatan masing-masing.
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Hou Kok Chung berkata, kebenaran itu adalah selaras dengan saranan agar mengurangkan kebergantungan IPTA terhadap pembiayaan daripada kerajaan semata-mata.

“Setakat ini tiga permohonan IPTA telah diberi kelulusan iaitu Universiti Malaya , Universiti Teknologi Mara dan Universiti Putra Malaysia.

”Saya difahamkan, penubuhan IPTS jenis baharu ini turut melibatkan kerjasama dengan institusi pengajian tinggi (IPT) luar negara. Pengumuman lanjut akan dibuat pengurusan IPTA berkenaan dalam masa terdekat,” katanya selepas merasmikan Majlis Kementerian Pengajian Tinggi bersama IPTS Zon Utara yang telah dihadiri 76 pengurusan kanan IPTS Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis di sini semalam.

Kok Chung berkata, IPTS baharu tersebut yang bertaraf universiti dan kolej universiti akan didaftar di bawah Akta Institusi Pengajian Tinggi Swasta 1996.

Menurut beliau, bagi menjamin kepentingan awam, syarat ketat telah dikenakan kepada IPTA berminat termasuklah penubuhan IPTS  tidak boleh dibiayai dengan sebarang sumber  kerajaan seperti geran mengurus tahunan.

“Pengurusan IPTS hendaklah terpisah secara total dengan pengurusan IPTA malah kakitangan akademik dan pengurusan juga perlu berasingan.

“Operasi IPTS berkenaan tidak boleh dijalankan di dalam kampus dan menggunakan sebarang kemudahan dan fasiliti dimiliki IPTA,” katanya.

Jelasnya, walaupun IPTS jenis baharu yang ditubuhkan menerusi anak syarikat IPTA terlibat boleh menggunakan modus pengurusan yang sama, syarat kemasukan dan kadar yuran penggajian yang dikenakan adalah berbeza.