Translate

Sunday, June 30, 2019

Dua lelaki disyaki pengedar dadah diberkas

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Polis Terengganu berjaya menahan dua lelaki yang dipercayai antara pengedar dadah terbesar di daerah ini melibatkan rampasan pelbagai jenis dadah termasuk syabu seberat lebih satu kilogram dalam dua serbuan berasingan pada Rabu dan Khamis lalu.

Siasatan awal daripada risikan lebih sebulan mempercayai kedua-dua suspek yang masing-masing berusia 22 dan 25 tahun memperolehi bekalan dadah daripada sumber sama iaitu dari negara jiran walaupun tidak bergerak secara berkumpulan.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail berkata, sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Terengganu telah menahan seorang lelaki berusia 22 tahun di hadapan sebuah kedai makan di Kampung Titian Baru di sini pada pukul 1 pagi, Khamis lalu.

"Pemeriksaan pada motosikal Yamaha Nouvo miliknya telah menjumpai ketulan kristal dipercayai dadah jenis syabu seberat kira-kira 1.018 kilogram yang disorok di dalam bungkusan plastik ubat tradisional Cina.

"Selain itu, sebanyak 4,000 pil berwarna merah dan hijau dipercayai pil kuda juga telah ditemui di dalam 20 peket plastik berwarna biru di dalam beg hitam milik suspek," katanya pada sidang akhbar di IPK Terengganu di sini hari ini.


Aidi berkata, penahanan suspek berikutan maklumat telah diberikan oleh seorang lelaki juga seorang pengedar dadah yang berjaya ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Kubang Buyong di sini pada pukul 12 tengah hari, sehari sebelum itu. - K! ONLINE

Pramugara, kekasih ditahan disyaki pecah masuk kedai dobi

KUALA TERENGGANU - Seorang pramugara sebuah syarikat penerbangan dan teman wanitanya ditahan reman selama empat hari sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan kes pecah masuk sebuah kedai dobi layan diri di Gong Badak, Kuala Nerus minggu lalu.

Perintah reman itu dibenarkan Pendaftar Mahkamah Sesyen/Majistret Kuala Terengganu, Roszita Md. Saad di sini hari ini.

Sebelum ini, kedua-dua suspek yang masing-masing berusia 39 dan 32 tahun ditahan di Damansara Perdana, Petaling Jaya, Selangor pada pukul 1.35 petang semalam.

Mereka disyaki melakukan jenayah memecah masuk sebuah kedai dobi layan diri 24 jam di Gong Badak, Kuala Nerus pada pukul 7.29 pagi, Jumaat lalu.

Kejadian yang menyebabkan kerugian kira-kira RM30,000 hanya disedari pemiliknya apabila dimaklumkan salah seorang pelanggannya yang terlihat kesan berlubang pada dinding berhampiran sebelah salah sebuah mesin basuh automatik di kedai dobi layan diri terbabit kira-kira sejam kemudian.

Pemeriksaan lanjut juga menjumpai kesan umpilan pada mesin menukar token selain wang tunai dianggarkan RM1,000 didalamnya turut lesap disyaki dilarikan kedua-dua suspek. - K! ONLINE

Op Selamat 15 : Polis Terengganu keluarkan 21,284 kompaun

KUALA TERENGGANU - Polis Terengganu telah mengeluarkan 21,284 kompaun kepada pesalah trafik sepanjang 13 hari Op Selamat 15 sempena musim perayaan Aidilfitri yang dilancarkan pada 29 Mei lalu.

Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, pengeluaran kompaun kesalahan trafik itu menunjukkan peningkatan berbanding 14,615 yang telah dikeluarkan pada Op Selamat 13 pada tahun lalu.

"Kebanyakan kesalahan trafik yang dikesan dilakukan pengguna jalan raya di negeri ini sepanjang Op Selamat 15 ialah memandu melebihi had laju dibenarkan, melanggar peraturan lampu isyarat dan memotong di garisan berkembar.

"Begitu pun, kemalangan maut di negeri ini berjaya diturunkan kepada 13 kes sepanjang Op Selamat 15 berbanding 24 kes dalam tempoh sama pada Op Selamat 13," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontijen Terengganu di sini hari ini.

Allaudeen berkata, kesemua kemalangan maut terbabit berlaku di jalan persekutuan dan negeri manakala Lebuh Rayu Pantai Timur 2 (LPT 2) pula mencatatkan sifar kematian sepanjang musim perayaan Hari Raya Aidilfitri ini.

Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu, sebanyak 640 kes kemalangan dicatatkan di Terengganu sepanjang Op Selamat 15 berbanding 570 pada Op Selamat 13 tahun lalu. - K! ONLINE

Saturday, June 29, 2019

Terengganu catat peningkatan kes penipuan transaksi

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Kes penipuan melibatkan transaksi atas talian semakin meningkat di Terengganu berikutan penerimaan 151 aduan oleh pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri sejak awal tahun ini.

Pengarah KPDNHEP Terengganu, Shaharudin Mohd. Kia berkata, aduan berhubung penipuan transaksi atas talian itu merangkumi 51 peratus daripada keseluruhan kes yang diterima  daripada pengguna seluruh negeri ini sepanjang tempoh sama.

"Sebanyak 151 daripada 292 aduan yang diterima daripada pengguna di negeri ini sejak awal tahun ini melibatkan dakwaan transaksi atas talian.

"Ia menunjukkan trend peningkatan setiap tahun iaitu masing-masing 156 dan 217 aduan pada tahun 2017 dan 218," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis sambutan Aidilfitri peringkat KPDNHEP Terengganu di sini hari ini.

Shaharudin berkata, berdasarkan siasatan pihaknya, kebanyakan pengguna terbabit menjadi mangsa penipuan selepas terpedaya dengan teknik pengiklanan yang mengelirukan.


Sehubungan itu, beliau menasihatkan pengguna agar lebih berhati-hati dalam melalukan transaksi atas talian dengan melakukan perbandingan harga, menyemak maklumat perniagaan dan testimoni pembeli terdahulu serta memilih urusniaga di platform urusniaga yang dipercayai. - K! ONLINE

Pengusaha Raisya Medispa didenda RM100,000

Mohd. Azli Adlan

KUALA TERENGGANU - Seorang pengusaha premis kecantikan, Raisya Medispa didenda RM100,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah menawarkan amalan perubatan estetik tanpa berdaftar dengan Kementerian Kesihatan pada dua tahun lalu.

Hakim Azman Mustapha memerintahkan demikian terhadap Farabi Ahmad Mohd. Amin @ Che Min, 31, selepas mendapati pihak pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Zafirah Rosli berjaya membuktikan kes prima facie.

Berdasarkan pertuduhan, Farabi Ahmad didakwa menyediakan klinik perubatan swasta berupa amalan perubatan estetik tanpa pendaftaran sah mengikut peruntukan Seksyen 27, Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu sewaktu serbuan dilakukan pasukan penguat kuasa Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu di Raisya Medisya yang terletak di Jalan Besar Sura Gate, Dungun pada pukul 11.15 pagi, 13 April 2017.

Mengikut fakta kes, serbuan tersebut telah menjumpai peralatan perubatan seperti picagari dan ubat-ubatan yang dipercayai digunakan untuk amalan perubatan estetik di dalam premis Raisya Medispa.

Semakan dengan Majlis Perubatan Malaysia juga mendapati Farabi Ahmad bukan pengamal perubatan berdaftar dengan tidak pernah memiliki Sijil Amalan Tahunan.


Farabi Ahmad didakwa mengikut Subseksyen 4(1) Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM300,000 atau penjara enam tahun atau kedua-duanya. - K! ONLINE

Budak lelaki lemas di Taman Rekreasi Lagun Kuala Ibai

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Keceriaan sebuah keluarga menetap di Johor Bahru pulang beraya di kampung halaman bertukar hiba apabila salah seorang daripada mereka lemas di Taman Rekreasi Lagun Kuala Ibai di sini hari ini.

Mayat mangsa, Muhammad Aidil Muhammad Razali, 9, yang dibawa arus deras lagun terbabit pada pukul 10.15 pagi telah ditemui lebih enam jam kemudian.

Ketua Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Abdullah Zawawi berkata, mayat kanak-kanak berkenaan dijumpai pasukan mencari dan menyelamat pada kedudukan kira-kira 300 meter dari lokasi dia dilaporkan hilang.

"Sewaktu kejadian, mangsa (Muhammad Aidil) sedang bermain pasir di lagun berkenaan bersama enam beradiknya sambil dipantau ibunya, Noraini Yahya, 42.

"Mangsa dikatakan terpijak pasir jerlus menyebabkan kawasan tebing lagun itu tiba-tiba runtuh menyebabkan kanak-kanak tersebut hanyut dibawa arus deras hingga ke muara Sungai Ibai," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Abdullah, mayat Muhammad Aidil yang ditemui pada pukul 4.48 petang tadi telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini untuk dibedah siasat.

Sementara itu, Noraini berkata, mereka sekeluarga yang menetap di Johor Bahru pulang ke kampung halamannya di Kampung Tanjung di sini sejak kelmarin untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.

"Setiap kali pulang bercuti ke kampung, kami memang sering beriadah di Taman Rekreasi Lagun Kuala Ibai di sini.

"Muhammad Aidil juga beriya-iya mengajak kami ke taman rekreasi ini sejak pagi tadi. Kejadian berlaku dengan pantas, saya cuma nampak tangannya terkapai-kapai selepas terjatuh sebelum kelibatnya hilang dibawa arus," katanya.


Noraini berkata, sewaktu kejadian, dia sangat panik dan hanya mampu menjerit memanggil suaminya, Muhammad Razali, 38, yang ketika itu berada di sebuah kedai berhampiran untuk membeli air. - K! ONLINE

Friday, June 28, 2019

Kejayaan paling bermakna buat TFC I

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

TERENGGANU Football Club I (TFC I) memperoleh kemenangan berharga selepas menewaskan Kuala Lumpur 3-1 pada aksi Liga Super di  Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu kelmarin.

Pengendali sementara TFC I, Nafuzi Mohd. Zain berkata, apa yang memuaskan hatinya ialah apabila menyaksikan anak-anak buahnya kembali menampilkan karektor sebenar dengan bermain bermati-matian untuk meraih tiga mata penting tersebut.

Menurutnya, ketiadaan tonggak import untuk mengemudi barisan pertahanan berikutan kemelut perpindahan Luis Gustavo Camilo yang sepatutnya menggantikan Igor Zonjic sebelum ini telah memberi kelompongan besar kepada benteng TFC I.

“Mahu tidak mahu, saya terpaksa menurunkan pemain tempatan yang rata-ratanya muda dan kurang berpengalaman di benteng pertahanan pasukan sejak lima perlawanan lalu.

“Saya katakan kepada mereka, anggap ini peluang terbaik untuk mereka membuktikan kemampuan sebenar. Ternyata persefahaman pemain-pemain pertahanan itu sudah semakin baik pada aksi ini, sekali gus membalas kepercayaan yang diberi,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan kelmarin.

Nafuzi berkata, barisan pertahanannya bukan sahaja berjaya memperbaiki kelemahan masing-masing, malah turut memainkan peranan penting ketika membantu meraih kemenangan ke atas skuad The Hawks berkenaan.

Antara yang menyerlah ialah pemain pertahanan muda, Muhammad Mohd. Faudzi yang meledak gol kedua TFC I pada minit ke-75 biar pun baru pertama kali diletakkan dalam kesebelasan utama pasukan.

“Saya juga menghargai sumbangan penyerang, Abdul Malik Mat Ariff yang memainkan peranan berkesan termasuk menjaringkan gol ketiga walaupun baru pulih dan masih belum cergas sepenuhnya daripada kecederaan,” katanya.

Ugut sembelih isteri angkara terlupa gosok baju kerja

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Gara-gara baju kerja terlupa digosok, seorang lelaki berang mengugut mahu menyembelih isterinya di Kuala Nerus kelmarin.

Tidak cukup dengan itu, lelaki berusia 44 tahun terbabit turut mengejar anak sulungnya dengan sebilah parang setelah remaja itu cuba mele­raikan pertengkaran dia dan isterinya.

Sumber memberitahu, insiden itu bermula pada pukul 7.30 pagi kelmarin apabila suspek naik berang selepas baju kerjanya terlupa digosok oleh isterinya yang didapati leka bermain telefon bimbit.

“Dia yang terlewat ke tempat kerja akibat ke­cuaian tersebut bertindak ganas mencekik, menampar, memaki hamun serta me­rampas telefon pintar milik isteri­nya.

“Pergaduhan tersebut berjaya dileraikan anak sulung­nya, namun rupa-­rupanya ia masih tidak selesai apabila suspek sekali lagi mengamuk sewaktu dia pulang dari tempat kerja pada pukul 9 malam semalam (kelmarin),” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Sumber itu berkata, lelaki itu yang menuduh isteri­nya yang berusia 38 tahun ­mengadu masalah rumah tangga mereka kepada orang lain telah bertindak nekad mengacu mangsa dengan sebilah parang sambil mengugut mahu menyem­belihnya.

Menurutnya, anak sulung pasangan itu sekali lagi mahu meleraikan pergaduhan tersebut, namun kali ini remaja itu pula telah dikejar bapanya dengan bersenjatakan parang berkenaan.

“Remaja itu bernasib baik dapat menyelamatkan diri. Dia dan ibunya kemudiannya membuat laporan berhubung insiden itu di Balai Polis Gong Badak, Kuala Nerus tidak lama kemudian,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din mengesahkan kejadian dan memberitahu kes sedang disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Liga Super : TFC I atasi Kuala Lumpur 3-1

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Terengganu Football Club I (TFC I) mudah menewaskan Kuala Lumpur 3-1 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini sebentar tadi.

Tuan rumah mendahului 1-0 selepas kapten pasukan, Lee Andrew Tuck berjaya menyempurnakan tendangan penalti pada minit ke-36.

Terdahulu, pengadil Mohd. Hasrol Mohd. Amir menghadiahkan sepakan penalti itu selepas penjaga gol Kuala Lumpur, Mohd. Sharbinee Allawee Ramli menjatuhkan pemain sayap TFC I, Mohamad Nabil Ahmad Latpi dalam perebutan bola di kotak penalti pada minit ke-34.

Pasukan pelawat tidak menunggu lama untuk bangkit semula apabila berjaya menyamakan kedudukan 1-1 menerusi jaringan pemain tengah import, Darko Markovic pada minit ke-41.

Begitu pun, serang bertali arus skuad Penyu kemudiannya membuahkan berhasil selepas pemain pertahanan, Muhammad Mohd. Faudzi berjaya meledak gol kedua tuan rumah pada minit ke-75.

Sharbinee Allawee terus tertewas buat kali ketiga selepas terperdaya dengan kuisan penyerang gantian TFC I, Abdul Malik Mat Ariff pada minit ke-82.


Sebelum itu, gawang skuad The City Boy juga hampir bocor namun sepakan percuma penyerang sensasi TFC I,  Kipre Tchetche berjaya ditepis Sharbinee Allawee pada minit ke-79. - K! ONLINE

918 pelajar baharu mendaftar masuk UniSZA

Mohd. Azli Adlan

KUALA NERUS - Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini menerima 918 pelajar baharu yang mendaftar untuk sesi kemasukan 2019/2020 bermula hari ini.

Naib Canselor UniSZA,  Prof. Datuk Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata, 615 orang daripada pelajar baharu tersebut terdiri daripada perempuan manakala baki 303 pula adalah pelajar lelaki.

Beliau berkata, kesemua pelajar baharu berkenaan masing-masing akan mengikuti program Asasi Sains Perubatan dan diploma di tujuh fakulti yang terdapat di UniSZA.

“Fakulti yang menawarkan program diploma untuk pelajar baharu terbabit ialah Bahasa dan Komunikasi, Ekonomi dan Sains Pengurusan, Informatik dan Komputeraan serta Pengajian Kontemporari Islam.

“Selain itu, ia turut melibatkan Fakulti Reka Bentuk Inovatif dan Teknologi, Sains Kesihatan, Sains Sosial Gunaan serta Undang-Undang dan Hubungan Antarabangsa,” katanya kepada Kosmo! Online di sini hari ini.

Hassan Basri berkata, pendaftaran pelajar baharu yang rata-ratanya ditemani ibu bapa dan ahli keluarga mereka telah bermula pada pukul 8 pagi.

Menurut beliau, kesemua pelajar baharu terbabit akan menjalani Minggu Mesra Siswa selama lima hari sehingga Jumaat ini.


“Mereka akan melalui pelbagai aktiviti suai kenal kepada alam kampus sepanjang Minggu Mesra Siswa ini termasuk larian kemanusiaan, bicara siswa dan program sukarelawan bersama komuniti,” katanya. - K! ONLINE

Remaja lelaki maut, motosikal rempuh kereta Perodua Myvi

KEMAMAN - Seorang pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Kerteh maut selepas motosikal Honda C100 yang ditungganginya merempuh sebuah kereta Perodua Myvi di Kilometer 7 Jalan Ibok - Payoh, Chukai di sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 3 petang itu, Muhammad Adib Mohd. Shukri, 15, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Rakan sekolah remaja itu, Muhammad Hakim Syazwan Noor Mazni Shah, 15, yang membonceng motosikal tersebut pula patah kedua-dua kaki dan tangan kanan.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd. Said Ibrahim berkata, sewaktu kejadian, kedua-kedua remaja lelaki berkenaan dipercayai dalam perjalanan keluar beraya dari rumah masing-masing di Kampung Baru Kerteh dekat sini.

"Sewaktu tiba di lokasi kejadian, motosikal yang dinaiki Muhammad Adib dan Muhammad Hakim Syazwan tiba-tiba hilang kawalan sehingga memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh bahagian hadapan kereta Perodua Myvi berkenaan.

"Rempuhan itu menyebabkan kedua-dua mangsa yang tidak memakai topi keledar itu tercampak sejauh beberapa meter," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Mohd. Said berkata, Muhammad Adib kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang tiba di lokasi kejadian tidak lama kemudian.

Menurut beliau, mayat Muhammad Adib telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Kemaman di sini untuk dibedah siasatan manakala Muhammad Hakim Syazwan yang cedera parah dikejarkan ke unit kecemasan hospital sama untuk menerima rawatan.

"Pemandu kereta Perodua Myvi yang merupakan kakitangan Klinik Kesihatan Kerteh dekat sini pula terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya. - K! ONLINE

Thursday, June 27, 2019

Kes penipuan transaksi online meningkat di Terengganu

KUALA TERENGGANU – Kes penipuan melibatkan transaksi online semakin meningkat di Terengganu berikutan penerimaan 151 aduan oleh pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Ne­geri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri sejak awal tahun ini.

Pengarah KPDNHEP Terengganu, Shaharudin Mohd. Kia (gambar kecil) berkata, aduan berhubung penipuan transaksi online itu merangkumi 51 peratus daripada keseluruhan kes yang diterima  daripada pengguna seluruh ne­geri itu sepanjang tempoh sama.

“Sebanyak 151 daripada 292 aduan yang diterima daripada pengguna di ne­geri ini sejak awal tahun ini melibatkan dakwaan transaksi dalam atas talian atau online.

“Ia menunjukkan trend pe­ningkatan setiap tahun iaitu ma­sing-masing 156 dan 217 aduan pada tahun 2017 dan 218,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis sam­butan Aidilfitri peringkat KPDNHEP Terengganu di sini semalam.
Shaharudin berkata, berdasarkan siasatan pihaknya, kebanyakan pengguna terbabit menjadi mangsa penipuan selepas terpedaya dengan teknik pengiklanan yang mengelirukan.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan pengguna agar lebih berhati-hati dalam melalukan transaksi online dengan melakukan perbandingan harga, menyemak maklumat perniagaan dan testimoni pembeli terdahulu serta memilih urus niaga di platform urus niaga yang dipercayai.

“Pengguna tidak harus terperdaya de­ngan tawaran yang terlalu menarik dan tidak munasabah. Selain itu, sebolehnya, pilih urus niaga secara pembayaran tunai secara penerimaan bagi meminimumkan risiko untuk tertipu.

“Sebaiknya beli di platform perniagaan yang mempunyai rekod dan komen baik daripada pengguna terdahulu,” katanya.

Shaharudin berkata, berdasarkan Peraturan-peraturan Perlindungan Pengguna (Urus Niaga Perdagangan Elektronik) 2012, peniaga online perlu mendedahkan identiti, alamat, e-mel dan nombor telefon, ciri utama barang dan perkhidmatan ditawarkan, harga penuh, kaedah pembayaran, terma dan syarat serta anggaran masa penghantaran untuk maklumat pengguna.

Ujar beliau, denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya boleh dikenakan terhadap peniaga yang melanggar peraturan itu.

Nafuzi fokus mantapkan TFC I tanpa khidmat Camilo

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

PENGENDALI sementara Terengganu Football Club I (TFC I), Nafuzi Mohd. Zain enggan menjadikan kemelut pemain import baharu, Luis Gustavo Camilo menjadi ‘duri dalam daging’ kepada skuad kendaliannya.

Akur TFC I harus terus melupakan khidmat pemain berasal dari Brazil itu, beliau menegaskan tidak mahu pening kepala memikirkannya sebaliknya hanya mahu memberi tumpuan kepada barisan pemain sedia ada.

“Isu perpindahan pemain baharu saya serahkan kepada pengurusan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT). Saya tidak mahu fikirkan pada (pemain) yang tiada dan hanya tumpu pemain sedia ada sahaja.

“Apa yang penting, saya telah menyiapkan pasukan untuk menghadapi Kuala Lumpur di laman sendiri (Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah) esok (malam ini),” katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.

Begitu pun, Nafuzi mengakui kekurangan seorang pemain import dalam skuad Penyu yang kini hanya memiliki empat pemain dan sedikit sebanyak mengehadkan keupayaan anak buahnya.

Tambahnya, beliau juga terpaksa mengubah taktikal pasukan ekoran ketiadaan beberapa pemain tempatan seperti Abdul Malik Mat Ariff, Mohamad Ashari Samsudin dan Nasrullah Haniff Johan yang masih dibelenggu masalah kecederaan.

“Saya mahu pemain-pemain terus fokus kerana aksi de­ngan Kuala Lumpur wajib menang dan mengutip tiga mata. Segala kelemahan sewaktu tewas 1-3 ketika menentang Perak tempoh hari terutama kesilapan apabila berhadapan dengan situasi bola mati lawan telah diatasi.

“Lagi pun, kehadiran semula ketua pasukan, Lee Andrew Tuck yang juga pemain utama TFC I bakal memperkuatkan semula jentera tengah kami,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung PBSNT, Datuk Tengku Farouk Husin Tengku Abdul Jalil mengesahkan TFC I kempunan mendapatkan khidmat Camilo kerana rayuan kedua pihaknya berhubung sijil perpindahan antarabangsa pemain itu telah ditolak Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Beliau berkata, alasan utama penolakan tersebut adalah kelewatan pihaknya melakukan pendaftaran iaitu 30 saat selepas Sistem Pemadanan Perpindahan ditutup pada hujung bulan lalu.

Budak lelaki buat laporan palsu dakwa cuba diculik

Mohd. Azli Adlan

KUALA TERENGGANU - Hanya kerana takut dimarahi ibu kerana lewat pulang ke rumah kerana asyik bermain futsal, seorang budak lelaki berusia 12 tahun sanggup menipu kononnya cuba diculik oleh sekumpulan lelaki menaiki van berwarna putih di Kampung Jambu Bongkok, Marang semalam.

Pelajar sebuah sekolah rendah di daerah Marang tersebut seterusnya ditemani ibunya telah membuat laporan polis kononnya berhubung insiden cubaan menculik tersebut di Balai Polis Merchang, Marang pada pukul 9.08 malam.

Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, budak lelaki itu mendakwa cuba ditarik masuk oleh sekumpulan lelaki ke dalam sebuah van berwarna putih sewaktu dalam perjalanan pulang ke rumah daripada bermain futsal pada pukul 7 malam.

Beliau berkata, Kanak-kanak lelaki itu mendakwa berjaya melepaskan diri setelah melawan sebelum menyorok di sebuah rumah kosong berhampiran.

“Begitu pun hasil soal siasat kemudiannya mendapati ia sengaja direka-reka kerana bimbang dirotan ibunya kerana pulang lewat ke rumah.

“Semakan juga mendapati nombor pendaftaran van yang didakwa budak lelaki digunakan dalam kes cubaan penculikan terbabit sebenarnya milik seorang individu yang kini berada di selatan tanah air,” katanya di sini hari ini.


Sebelum ini, dakwaan kanak-kanak lelaki itu termasuk laporan polis dibuatnya telah tular di media sosial sejak malam tadi sehingga menimbulkan keresahan kepada masyarakat setempat. - K! ONLINE

Bas Sani Ekspres bawa enam penumpang terbakar di Setiu

SETIU - Enam penumpang sebuah bas Sani Ekspres cemas selepas kenderaan dua tingkat yang dinaiki mereka tiba-tiba terbakar di Jalan Kota Bahru- Kuala Terengganu berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Chalok dekat sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 10.30 pagi itu, kesemua penumpang terbabit terselamat dengan sempat keluar dari bas berkenaan namun semua beg dan barangan peribadi mereka yang diletakkan di ruangan bagasi musnah dalam kebakaran itu.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Setiu, Mohd. Sulaiman Merah berkata, sewaktu kejadian, bas ekspress berkenaan dalam perjalanan untuk membawa penumpang terbabit ke Klang, Selangor dari Kuala Besut dekat sini.

"Kebakaran yang dipercayai bermula dari bahagian belakang bas itu disedari pemandunya, Hilmi Mamat, 46, sewaktu tiba di persimpangan lampu isyarat Chalok dekat sini.

"Dia (Hilmi) cuba memadamkan kebakaran dengan alat pemadam api tetapi gagal sebaliknya api yang semakin marak," katanya kepada Kosmo! Online di sini hari ini.

Mohd. Sulaiman berkata, pemandu bas ekspres itu sempat mengarahkan kesemua penumpaang keluar untuk menyelamatkan diri.

Menurut beliau, Hilmi kemudiannya menghubungi pihak berkuasa untuk memohon bantuan sebelum berlaku letupan kecil akibat kebakaran berkenaan.

"Sepasukan bomba yang bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima maklumat berjaya memadamkan kebakaran tersebut dalam tempoh 25 minit.

"Kebakaran berkenaan menyebabkan bas ekspres dua tingkat terbabit musnah dalam 95 peratus. Punca kebakaran sedang disiasat," katanya.

Mohd. Suhaimi berkata, kesemua enam penumpang yang terlibat kemudiannya meneruskan perjalanannya dengan sebuah bas ekspres lain yang dalam perjalanan ke Kuala Terengganu. - K! ONLINE

Wednesday, June 26, 2019

Warga emas maut digigit beruk belaan

Mohd. Azli Adlan

KUALA TERENGGANU - Seorang warga emas maut manakala anak lelakinya cedera parah selepas diserang seekor beruk jantan belaan yang tiba-tiba naik minyak di Kampung Leban Besar, Tepoh, Kuala Nerus dekat sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 10 pagi itu, Ngah Muhammad, 72, meninggal dunia serta-merta selepas pergelangan tangan kanannya putus digigit beruk berusia lima tahun itu.

Mohd. Zakaria yang merupakan anak keenam mangsa daripada sembilan beradik pula luka di bahagian leher selepas bergelut dengan haiwan terbabit bagi menyelamatkan bapanya.

Menceritakan detik cemas itu, Mohd. Zakaria berkata, sewaktu kejadian, ayahnya sedang mengarahkan beruk terbabit memetik buah kelapa dari sebatang pokok di belakang rumah mereka.

“Tidak lama kemudian saya yang pelik keadaan menjadi senyap sunyi tanpa suara ayah, beruk dan bunyi buah kepala jatuh telah pergi menjenguk mereka yang berada kira-kira 50 meter dari rumah kami.

“Alangkah terkejutnya saya mendapati ayah telah terbaring terlumpuran darah dipercayai akibat diserang beruk belaan yang kami gelar John,” katanya ketika ditemui di perkarangan Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini hari ini.

Mohd. Zakaria berkata, sewaktu dia cuba membantu ayahnya yang sudah tidak sedarkan diri, beruk terbabit tiba-tiba yang ketika itu berada di batang pokok kelapa tiba-tiba bertindak menerkam lehernya dari arah belakang.


Ujarnya, biarpun dalam kesakitan, dia menggagahkan diri bergelut dengan John sebelum dapat menambat semula beruk terbabit dengan menggunakan tali yang masih berada di leher haiwan itu. - K! ONLINE

Tukang cuci maut, motosikal rempuh babi hutan

KEMAMAN - Gara-gara merempuh seekor babi hutan yang tiba-tiba melintas jalan, seorang tukang cuci wanita maut manakala anak gadisnya cedera dalam kemalangan di Kilometer 17 Jalan Mak Lagam - Cheneh berhampir Bukit Jemalang dekat sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 4.30 petang itu, Roslina Muhamad, 43, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan sebahagian anggota badan.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd. Said Ibrahim berkata, anak wanita tersebut,  Khairunnisa Radin, 21, yang membonceng motosikal jenis Honda Dash berkenaan turut mengalami kecederaan ringan di bahagian tangan.

"Sewaktu kejadian, dua beranak itu dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Felda Neram 2, Bandar Cheneh Baru dekat sini dari bandar Chukai di sini.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal jenis Honda Dash yang ditunggang Roslina gagal mengelak seekor babi hutan yang tiba-tiba menyeberang jalan lalu merempuh haiwan liar itu," katanya kepada Kosmo! Online di sini hari ini.

Mohd. Said berkata, rempuhan terbabit menyebabkan Roslina dan anaknya, Khairunnisa tercampak sejauh beberapa meter. - K! ONLINE

Tuesday, June 25, 2019

Perkeso turun padang serah pampasan kepada suri rumah bisu

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Nasib seorang suri rumah bisu yang kehilangan suami secara mengejut pada bulan Ramadan lalu terbela apabila menerima bantuan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Suriani Jusoh, 47, berkata, dia hilang tempat bergantung selepas kematian suaminya, Mahadi Jusoh, 39, akibat serangan jantung pada 15 Mei lalu.

"Allahyarham (Mahadi) pergi secara mengejut, Pada mulanya, dia mengadu sakit dada selepas makan sahur sebelum meninggal dunia selepas menyapu dadanya dengan minyak angin dan berehat di atas sofa tidak lama kemudian.

"Saya dan dua anak lelaki, Muhammad Hafizzuddin Mahadi, 12, dan Abdul Hamid, 4, bagaikan hilang arah kecuali mengadu nasib kepada keluarga sehingga adik, Mohd. Sani, 32, membantu menguruskan pampasan caruman di Pejabat Perkeso Terengganu di sini pada kelmarin," katanya.

Dia berkata dalam bahasa isyarat yang diterjemah ibunya, Minah Hassan, 70, ketika ditemui ketika dilawati Skuad Prihatin Perkeso yang diketuai Pengarah Perkeso Terengganu, Farihah Che Husin di rumah keluarganya di Kampung Tok Pong, Kedai Buluh di sini hari ini.

Sementara itu, Farihah berkata, Suriani dan dua anaknya layak menerima faedah pengebumian jenazah sebanyak RM2,000 dan pencen penakat bulanan sebanyak kira-kira RM800.

Beliau berkata, pampasan tersebut merupakan hasil caruman Mahadi yang juga orang kelainan upaya (OKU) cacat pertuturan sebagai operator di sebuah kilang memproses plastik di Kawasan Perindustrian Bukit Koh, Marang sewaktu hayatnya.

"Skuad Prihatin Perkeso mengambil inisiatif untuk turun padang bertemu sendiri balu Allahyarham Mahadi yang merupakan OKU bagi memudahkan dia yang mungkin menghadapi masalah komunikasi jika berurusan dengan pegawai agensi kami di kaunter pejabat.


"Semoga pampasan ini meringankan beban balunya untuk membesarkan dua anak mereka yang masih kecil. Pencen penakat itu layak diterima Suriani sepanjang hayat manakala dua anak lelaki mereka sehingga kedua-duanya berusia 21 tahun atau menamatkan pengajian di peringkat ijazah sarjana pertama," katanya. - K! ONLINE

Status Camilo buat TFC I pening

TERENGGANU FC I (TFC I) semakin buntu berhubung khidmat pemain import baharu, Luis Gustavo Camilo yang masih belum dapat digunakan biarpun telah hampir sebulan ditandatangani.

Pengurus Pasukan TFC I, Ahmad Shahrizal Yahya berkata, setakat ini, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) masih belum memberi pelepasan terhadap Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC) Camilo yang berasal dari Brazil.

“Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) berusaha sebaik mungkin untuk memastikan Camilo tiba seawal mungkin bagi memperkuatkan lagi benteng pertahanan pasukan, namun sehingga kini isu ITC tersebut masih belum selesai.

“Dia bakal terlepas lagi beberapa aksi Liga Super termasuk pertembungan de­ngan Kuala Lumpur di laman sendiri pada lusa (esok),” katanya kepada Kosmo! di Kuala Terengganu semalam.

Sebelum ini, Camilo yang dikenali sebagai The Thanker dipilih menggantikan Igor Zonjic dari Serbia yang telah digugurkan pada jendela perpindahan pertengahan musim Liga Malaysia pada akhir bulan lalu.

Ahmad Shahrizal memberitahu, beliau tidak menolak kemungkinan skuad Penyu akan menggunakan khidmat pemain pertahanan import, Serhii Andrieiev yang beraksi dengan pasukan pelapis, TFC II bagi mengatasi kekosongan ditinggalkan Camilo pada aksi menentang Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, beliau menyerahkan kepada percaturan pengendali sementara TFC I, Nafuzi Mohd. Zain untuk penentuan akhir pemilihan Andrieiev yang berasal dari Ukraine bagi perlawanan berkenaan.

“Saya minta para pemain TFC I yang sedia ada terus kekal fokus bagi mempamerkan prestasi sebenar dalam menghadapi baki lima perlawanan Liga Super.

“Saya percaya jika mampu mencatat kemenangan maksimum sebelum penghujung liga, kita mampu membaiki pencapaian berada di tempat kelima Liga Super pada musim lalu,” katanya.

Ejekan punca kes buli di sebuah sekolah di Setiu

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Ejek-mengejek dipercayai punca kes buli melibatkan seorang pelajar lelaki tingkatan dua sebuah sekolah menengah di Setiu dibelasah di dalam kelas baru-baru ini.

Berdasarkan video berdurasi 10 saat yang tersebar di dalam media sosial sejak semalam, mangsa telah ditendang dan ditumbuk bertubi-tubi oleh pembulinya yang dipercayai seorang pelajar lelaki tingkatan empat sekolah sama.

Pelajar tingkatan dua itu tidak mampu melawan dan sekadar menjerit kesakitan ketika dibelasah pembulinya sambil diperhatikan beberapa rakan sekelasnya yang tidak dapat berbuat apa-apa kerana bimbangkan keselamatan mereka.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail yang ditemui mengesahkan kes tersebut berlaku di sebuah sekolah menengah di Setiu dan ia berada di dalam pengetahuan polis.

"Setakat ini, polis masih belum menerima sebarang laporan daripada mana-mana pihak berhubung kes tersebut. Saya difahamkan pengurusan sekolah mahu berunding dengan ibu bapa kedua-dua pelajar terlibat terlebih dahulu.


"Begitupun, kes tersebut masih dalam pemantauan pihak polis. Siasatan awal mempercayai ia berpunca daripada kejadian ejek-mengejek antara kedua-dua pelajar berkenaan," katanya kepada pemberita sebagai mengulas penyebaran video buli tersebut di sini hari ini. - K! ONLINE

Pelajar UniKL-MFI maut kemalangan

KEMAMAN - Seorang pelajar Institut Malaysia Perancis Universiti Kuala Lumpur (UniKL- MFI) maut selepas motosikal jenis Yamaha Y15 ZR yang ditungganginya merempuh sebuah kereta Proton Wira di Kilometer 120, Jalan Kuala Terengganu - Kuantan berhampiran Kompleks Petronas Rantau, Kemasik dekat sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 5 petang itu, Mohamad Akram Noordin, 25, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd. Said Ibrahim berkata, sewaktu kejadian, Mohamad Akram yang dikatakan baru pulang dari kampus universitinya di Bangi, Selangor untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Titian Berayung,  Kijal dari Kerteh dekat sini.

"Sewaktu tiba di lokasi kejadian, motosikal jenis Yahama Y15 ZR yang dinaiki mangsa gagal mengelak sebuah kereta Proton Wira yang tiba-tiba keluar dari persimpangan kompleks membeli-belah Mesra Mall, Kemasik dekat sini.

"Motosikal itu telah merempuh pintu belakang kereta sebelah kanan yang dipandu seorang kakitangan sebuah hotel di daerah ini sebelum mangsa tercampak sejauh beberapa meter," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Mohd. Said berkata, mayat Mohamad Akram kemudiannya telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Kemaman di sini untuk dibedah siasat. - K! ONLINE

Monday, June 24, 2019

KBS bakal lancar FitMy App galak rakyat bersukan

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan melancarkan aplikasi pintar, FitMy App yang bertujuan menggalakkan budaya bersukan dalam kalangan rakyat negara ini pada akhir tahun ini.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, antara perkhidmatan yang bakal ditawarkan oleh aplikasi pintar ialah penjejakan kecergasan, mata ganjaran, tempahan fasiliti sukan.

"FitMy App kini telah melepasi fasa lantikan (pembangun aplikasi) menerusi tender terbuka dan bakal dilancarkan pada akhir tahun ini. Ia akan memudahkan lagi pendaftaran (penggunaan kemudahan) di infrastruktur sukan di seluruh negara.

"Sistem diskaun bagi penggunaan kemudahan sukan berkenaan akan dilaksanakan kepada semua pengguna (FitMy App) sekali gus menggalakkan aktiviti bersukan dalam kalangan rakyat berbilang kaum," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Jelajah Fit Malaysia peringkat Terengganu yang dijayakan lebih 15,000 peserta di Dataran Batu Burok di sini hari ini.


Syed Saddiq berkata, aplikasi FitMy App berkenaan juga membolehkan kerajaan mengumpul data bagi mengesan indeks budaya sukan dalam kalangan masyarakat negara ini secara keseluruhan. - K! ONLINE

Dua pengedar dadah diberkas, polis rampas syabu

KUALA TERENGGANU – Kegiatan dua lelaki mengedar dadah tidak bertahan lama apabila mereka diberkas bersama sejumlah syabu dalam operasi berasingan pada Rabu dan Khamis lalu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail berkata, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 22 tahun di hadapan sebuah kedai makan di Kampung Titian Baru di sini pada pukul 1 pagi, Khamis lalu bersama lebih 1 kilogram syabu.

“Pemeriksaan pada motosikal jenis Yamaha Nouvo miliknya menemui ketulan kristal disyaki syabu sebe­rat 1,018 gram yang disorok dalam bungkusan plastik ubat tradisional Cina.

“Polis juga menemui 4,000 biji pil disyaki pil kuda di dalam 20 peket plastik yang dijumpai di dalam beg hitam milik suspek,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di sini semalam.

Menurut Aidi, pihaknya menemui tiga botol air minuman berisi cecair berwarna kehitaman disyaki kodein dalam beg plastik pada motosikal suspek.

Katanya, tangkapan ke atas penganggur  itu dibuat selepas pihaknya menahan seorang pembantu kedai runcit di Jalan Kubang Buyong di sini sehari sebelumnya.

“Polis menemui serbuk kristal disyaki syabu seberat 154.3 gram di dalam poket seluar lelaki berusia 25 tahun itu. Kedua-dua suspek ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Jelas beliau, bekalan dadah yang dipercayai diperoleh dari negara jiran itu boleh menampung kegunaan kira-kira 400 penagih.

Ejekan punca kes buli

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Ejek-mengejek dipercayai punca kes buli melibatkan seorang pelajar lelaki tingkatan dua dibelasah di dalam  kelas ­sebuah sekolah menengah di Setiu dekat sini baru-baru ini.

Berdasarkan video ­berdurasi 10 saat yang tersebar di media sosial sejak semalam, mangsa telah ditendang dan ditumbuk bertubi-tubi oleh pembulinya yang dipercayai seorang pelajar lelaki ­tingkatan empat sekolah sama.

Pelajar tingkatan dua itu tidak mampu melawan dan sekadar menjerit kesakitan ketika dibelasah pembulinya sambil diperhatikan beberapa rakan sekelasnya yang tidak dapat berbuat apa-apa kerana bimbangkan ­keselamatan mereka.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail bagaima­napun memberitahu, pihak­nya belum menerima ­laporan daripada mana-mana pihak berhubung kes tersebut tetapi mengesahkan kejadian berkenaan di dalam pengetahuan polis.

“Siasatan awal mempercayai ia berpunca daripada kejadian ejek-mengejek antara kedua-dua pelajar ­berkenaan,” katanya ­mengulas penyebaran video buli tersebut di sini semalam.

Beliau berkata, difahamkan pihak sekolah sedang berunding dengan ibu bapa kedua-dua pelajar ­berkenaan untuk mencari penyelesaian tanpa melibatkan polis.

“Kami nasihatkan semua pihak termasuk ibu bapa dan sekolah supaya memainkan peranan masing-masing bagi mencegah kejadian ­seumpama ini daripada berlaku,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan ­Negeri Terengganu (JPNT), Shafruddin Ali Hussin berkata, beliau masih ­menunggu laporan penuh daripada ­sekolah terbabit dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Setiu berkaitan kejadian itu.

“Saya sudah mengarahkan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Setiu dan pengurusan sekolah terbabit mengambil tindakan berhubung perkara ini dan melaporkan segera kepada JPNT,” jelasnya.

Lima ahli tambahan MPKK di negeri pembangkang

MOHD. AZLI ADLAN

DUNGUN - Kementerian Pembangunan Luar Bandar melantik lima ahli tambahan untuk menganggotai Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di lima negeri dikuasai pembangkang iaitu Terengganu, Kelantan, Pahang, Perlis dan Sarawak.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, pelantikan oleh kerajaan Persekutuan itu menjadikan MPKK di setiap kampung di lima negeri berkenaan memiliki 16 anggota termasuk 11 orany yang dilantik kerajaan negeri masing-masing sebelum ini.

"Setiap ahli tambahan MPKK berkenaan akan memegang portfolio khusus iaitu biro Perpaduan, Kesejahteraan dan Keceriaan, Ekonomi dan Keusahawanan, Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan serta Pembangunan Prasarana.

"Hanya satu MPKK ditubuhkan bagi setiap kampung iaitu penglibatan bersama kerajaan negeri dan Persekutuan," katanya selepas menyerahkan Watikah Ahli Tambahan MPKK Terengganu di Pusat Komuniti Desa Terengganu, Bandar Al Muktafi Billah Shah, Bukit Besi dekat sini malam tadi.

Rina berkata, kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan tersebut diharap dapat meningkatkan imej MPKK sebagai penggerak utama sesebuah kampung.


Dalam perkembangan sama, Rina berkata, lima ahli tambahan MPKK berkenaan akan berfungsi sebagai mata dan telinga kepada kerajaan Persekutuan sekali gus mewujudkan budaya semak dan imbang kepada badan itu sendiri. - K! ONLINE

Sunday, June 23, 2019

Abang tembak adik guna senapang angin

KUALA TERENGGANU – Seorang lelaki yang berang dituduh mencuri wang RM100 bertindak menembak adik pe­rempuannya dengan se­laras senapang angin dalam dua kejadian pada awal ming­gu ini di Tepoh, Kuala Nerus.

Mangsa merupakan wa­nita berusia 30-an bernasib baik apabila kedua-dua das tembakan yang dilepaskan abangnya pada Isnin dan Selasa lalu tidak mengenai sasaran.

Sumber berkata, suspek yang berusia 40-an tidak berpuas hati terhadap adiknya itu apabila dituduh mencuri wang tunai RM100.

“Suspek yang berang telah mengamuk dan melepaskan tembakan menggunakan senapang angin di perkarangan rumah mereka di Tepoh, Kuala Nerus pada pukul 8 malam, Isnin lalu.

“Tembakan itu tidak mengenai sasaran sebelum mangsa bertindak mengurungkan diri ke dalam rumah bagi meredakan keadaan,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Sumber memberitahu, lelaki itu yang masih tidak berpuas hati dengan tuduhan tersebut sekali lagi cuba menembak adik pe­rempuannya dengan senapang angin sama pada pukul 8.30 malam keesokan harinya.

Menurut sumber, mang­sa sekali lagi bernasib baik apabila tembakan itu juga tidak mengenai sasaran sebelum melarikan diri dari rumah mereka.

“Mangsa yang ketakutan telah membuat laporan polis di Balai Polis Batu Rakit, Kuala Nerus,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din mengesahkan kejadian itu.

Saturday, June 22, 2019

Peragut gempal diberkas

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

MARANG – Seorang lelaki yang berhijrah dari Mersing, Johor semata-mata mahu meneruskan jenayah ragut berjaya diberkas polis di Felda Rantau Abang 2, Jambu Bongkok dekat sini kelmarin.

Suspek yang merupakan seorang penganggur itu disyaki terlibat dalam sekurang-kurangnya dua kes ragut yang menyasarkan wanita bermotosikal di sekitar Merchang dekat sini termasuk kes terbaharu pada Isnin lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Razmi Mohd. Gunnos berkata, modus operandi lelaki berbadan gempal itu ialah mengekori wanita yang menunggang motosikal di jalan sunyi sebelum melarikan bara­ngan berharga mangsa.

“Dalam kejadian pertama pada pukul 10.30 pagi, 11 Mei lalu, dia disyaki melanggar motosikal yang ditunggangi seorang wanita berusia 40-an dari arah belakang sebelum meragut beg tangan mangsa yang dile­takkan di dalam raga.

“Mangsa yang cedera pada bahagian bahu kerugian hampir RM2,300 selepas dompet me­ngandungi wang tunai RM2,000, Mykad dan sebentuk cincin emas dilarikan suspek,” kata­nya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Marang di sini semalam.

Razmi berkata, kejadian kedua pula melibatkan mangsa wanita berusia 50-an yang membonceng motosikal cucu saudaranya berusia 30-an serta cicit berusia tiga bulan pada pukul 10.15 pagi, Isnin lalu juga di kawasan Merchang.

Siasatan awal mendapati lelaki yang berasal dari Felda Tenggaroh 9, Mersing baru berpindah untuk menetap di rumah saudaranya pada awal tahun ini.

“Ujian urin mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan dia ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan sehingga lusa,” katanya.

Perunding perkahwinan melecur 20 peratus meninggal dunia

BESUT - Seorang perunding perkahwinan yang membakar diri di dalam kereta Proton Persona miliknya dalam kejadian di tapak Pasar Malam Tok Has, Jerteh di  sini pada Jumaat lalu telah meninggal dunia semalam.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata, lelaki berusia 37 tahun itu menghembuskan nafas terakhir pada pukul 4.30 petang selepas tiga hari bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kelantan.

"Mangsa telah melecur 20 peratus di bahagian kepala dan mukanya akibat kebakaran terbabit," katanya kepada Kosmo! ketika dihubungi di sini semalam.

Mohd. Zamri berkata, siasatan mendapati kematian mangsa tidak melibatkan unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Dalam kejadian pada pukul 12.13 tengah hari itu, lelaki tersebut dipercayai sanggup datang dari Kota Bahru, Kelantan semata-mata untuk membakar diri dalam kejadian yang disyaki bermotifkan bunuh diri.

Pemeriksaan di dalam kereta berkenaan telah menjumpai sebotol air mineral berisi minyak petrol yang dipercayai telah digunakan dalam kebakaran terbabit.

Friday, June 21, 2019

Rondaan semasa Aidilfitri diperketat banteras pencerobohan

KUALA TERENGGANU - Maritim Malaysia (APMM) akan meningkatkan rondaan di perairan Pantai Timur meliputi Kelantan, Terengganu dan Pahang  bagi membanteras pencerobohan nelayan asing khususnya Vietnam pada musim perayaan Hari Raya Aidilfitri ini.

Pengarah Maritim Pahang, Datuk Zulkarnain Mohd. Omar berkata, berdasarkan pengalaman sebelum ini, tempoh seminggu bermula beberapa hari menjelang 1 Syawal menjadi kegemaran nelayan Vietnam menjadi semakin agresif menceroboh perairan negara untuk menangkap ikan secara haram.

"Mereka mungkin beranggapan kesibukan kita untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri sebagai kesempatan terbaik untuk memasuki perairan Pantai Timur bagi mengaut hasil laut secara haram sebanyak mungkin.

"Pada tahun ini kita telah lebih bersedia dengan melaksanakan operasi bersepadu melibatkan APMM, Tentera Laut Diraja Malaysia, Pasukan Polis Marin, Jabatan Imigresen dan Jabatan Perikanan melakukan rondaan kerap di perairan Kelantan, Terengganu dan Pahang sejak 24 April lalu," katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.

Zulkarnain berkata, setiap bot nelayan Vietnam yang berjaya ditahan akan disenaraikan dalam laporan khas sebelum diserahkan kepada pasukan polis antarabangsa, Interpol untuk tindakan lanjut.

Ujar beliau, ia bertujuan agar industri perikanan Vietnam yang sebelum ini menerima kad kuning oleh Kesatuan Eropah dikenakan oula tindakan kad merah pada masa terdekat lantaran perbuatan rakus menceroboh perairan negara itu.

"Pemberian kad merah itu akan menyebabkan industri perikanan Vietnam terjejas kerana bekalan hasil lautnya bakal diharamkan daripada memasuki pasaran Eropah," katanya.

Thursday, June 20, 2019

Lelaki disyaki peragut diberkas

MOHD. AZLI ADLAN

MARANG - Seorang lelaki yang disyaki aktif menjalankan aktiviti meragut di sekitar daerah ini sejak bulan lalu berjaya diberkas polis di Felda Rantau Abang 2, Jambu Bongkok dekat sini kelmarin.

Suspek yang merupakan seorang pengganggur tersebut disyaki terlibat dalam sekurang-kurangnya dua kes ragut yang menyasarkan wanita bermotosikal di sekitar Merchang dekat sini termasuk kes terbaharu pada Isnin lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Razmi Mohd. Gunnos berkata, modus operandi lelaki berbadan gempal berkenaan ialah mengekori wanita yang menunggang motosikal di yang jalan sunyi sebelum melarikan barangan berharga mangsa.

"Dalam kejadian pertama pada pukul 10.30 pagi, 11 Mei lalu, dia disyaki telah melanggar motosikal yang ditunggangi seorang wanita berusia 40-an dari arah belakang sebelum meragut beg tangan mangsa yang diletakkan di dalam raga.

"Mangsa yang cedera di bahagian bahu kerugian hampir RM2,300 selepas dompet mengandungi wang tunai RM2,000, MyKad dan sebentuk cincin emas berada di dalam beg tangan tersebut dilarikan suspek," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Marang di sini hari ini.

Razmi berkata, kejadian kedua pula melibatkan mangsa wanita berusia 50-an yang membonceng cucu saudaranya berusia 30-an serta cicit berumur tiga bulan pada pukul 10.15 pagi, Isnin lalu juga di kawasan Merchang. - K! ONLINE

Reka cerita diculik kerana takut

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Hanya ke­rana takut dimarahi ibu kerana pulang lewat ke rumah, seorang budak lelaki berusia 12 tahun sanggup menipu ibunya kononnya cuba diculik sekumpulan lelaki yang menaiki van putih.

Perkara itu terbongkar selepas polis melakukan siasatan setelah menerima laporan daripada ibu kanak-kanak tersebut yang datang ke  Balai Polis Merchang, Marang bersama anaknya pada pukul 9.08 malam kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, mengikut laporan yang dibuat, budak lelaki itu mendakwa cuba ditarik oleh sekumpulan lelaki ke dalam sebuah van berwarna putih semasa dalam perjalanan pulang ke rumah selepas bermain futsal.

“Budak itu mendakwa dia dapat melepaskan diri selepas bergelut dan menyorok di sebuah rumah kosong berdekatan kira-kira 200 meter dari rumahnya.

“Hasil soal siasat polis mendapati kejadian culik itu direka kerana budak itu bimbang dia akan dirotan oleh ibunya kerana pulang lewat,” katanya di sini semalam.

Menurut Allaudeen, kebia­saannya budak itu pulang ke rumah pada pukul 6.40 petang namun dia pulang lewat setengah jam kelmarin kerana bermain futsal.

Jelasnya, semakan ke atas nombor plat van yang didakwa terlibat dalam kejadian culik itu sebenarnya milik seorang individu yang berada di selatan tanah air.

Sebelum ini, satu laporan polis yang mendakwa seorang budak diculik tular dalam media sosial sehingga menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat setempat.

Allaudeen berkata, beliau berasa kecewa dengan tindakan budak itu dan tidak menolak kemungkinan mengambil tindakan undang-undang kerana membuat laporan palsu.

“Sebelum ini, polis pernah terima laporan kononnya dua budak cuba diculik dengan modus ope­randi sama di Kuala Nerus dan siasatan mendapati ia palsu,” katanya.

Warga emas maut diserang ‘John’

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang warga emas maut selepas diserang seekor beruk jantan peliharaannya yang tiba-tiba naik minyak dalam kejadian di Kampung Leban Besar, Tepoh, Kuala Nerus dekat sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 10 pagi itu, mangsa, Ngah Muhammad, 72, cedera dengan urat nadi tangan kanannya terputus akibat digigit oleh haiwan berusia lima tahun tersebut. Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

Anak Ngah, Mohd. Zakaria turut mengalami kecederaan pada leher selepas bergelut de­ngan haiwan itu ketika cuba menyelamatkan bapanya.

Menceritakan detik cemas itu, Mohd. Zakaria berkata, semasa kejadian, ayahnya sedang memberi arahan kepada beruk yang digelar ‘John’ untuk memetik buah kelapa kira-kira 50 meter dari rumah mereka.

“Tidak lama selepas itu, kea­daan bertukar sepi tanpa suara ayah, ‘John’ dan bunyi buah kelapa jatuh.

“Saya pergi ke belakang rumah (tempat kejadian) dan terkejut melihat ayah dalam keadaan terbaring berlumuran darah,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik, Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini semalam.
Menurut anak keenam daripada sembilan adik-beradik itu, dia cuba membantu bapanya yang sudah tidak sedarkan diri namun haiwan tersebut bertindak menerkam lehernya dari arah belakang.

Jelas lelaki itu,  biarpun dalam kesakitan, dia menggagahkan diri bergelut dengan ‘John’ dan menambat semula haiwan itu dengan menggunakan tali yang masih ada pada lehernya.

“Seorang jiran yang mende­ngar jeritan saya datang ke tempat kejadian untuk membantu sebelum kami menghubungi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) yang kemudian datang menangkap beruk itu,” katanya.

Mohd. Zakaria berkata, ayah­nya mengambil upah memetik buah kelapa dengan menggunakan khidmat beruk sejak 20 tahun lalu.

Jelasnya, ‘John’ yang dipelihara bapa­nya sejak kecil menerima latihan memetik buah kelapa di sebuah pusat latihan di Kampung Banggol Nyiur semasa berusia setahun.

“Sebelum ini,  ‘John’ pernah mengamuk semasa berjumpa dengan seekor beruk betina liar pada akhir tahun lalu tetapi berjaya ditenangkan.

“Saya tidak pasti punca dia naik minyak hari ini (semalam), mungkin ‘John’ tertekan kerana sudah lama tidak memanjat pokok kelapa,” katanya.

Tambah Mohd. Zakaria, kali terakhir ‘John’ memanjat pokok kelapa adalah pada pertengahan bulan lalu.

Ego punca utama bekas suami enggan bayar nafkah anak

KUALA TERENGGANU - Bukan tidak mampu tetapi ego punca utama bapa culas mematuhi perintah mahkamah syariah untuk melunaskan nafkah bulanan kepada anak-anak mereka yang berada di bawah jagaan bekas isteri.
Ketua Hakim Syarie Terengganu, Wan Mohd. Zakri Wan Mohd. berkata, berdasarkan kajian Jabatan Kehakiman Syarie Terengganu, antara punca utama kegagalan membayar nafkah ialah mahu melepaskan geram kepada bekas isterinya.

"Ada (bekas sumai) yang bimbang wang nafkah yang menjadi hak anak itu digunakan secara tidak sewajarnya oleh bekas isteri dan kegagalan komunikasi antara mereka seperti ibu enggan membenarkan anak bertemu dengan bekas suami.

"Bagi mereka, tidak membayar nafkah itu sebagai 'hukuman' kepada bekas isteri walaupun sebenarnya tanpa sedar yang menjadi mangsa ialah anak-anak," katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.

Wan Mohd. Zakri berkata, antara faktor lain yang menyebabkan bekas suami gagal melunaskan nafkah anak adalah seperti masalah kewangan, tidak mempunyai pekerjaan tetap dan berada di dalam penjara.

Lebih mengecewakan, ada dalam kalangan bekas suami terbabit lebih sanggup melancong ke luar negara dan membeli kereta baru berbanding memikirkan kebajikan anak.

Tambah Wan Mohd. Zakri, Jabatan Kehakiman Syarie telah mengambil inisiatif memperkenalkan Bantuan Pendahuluan Nafkah bagi membela nasib anak-anak yang memerlukan.

Jelasnya, Jabatan Kehakiman Syarie Terengganu dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu memperuntukkan RM200,000 setiap tahun untuk memberi bantuan pendahuluan nafkah yang sepatutnya menjadi tanggungjawab seorang bapa.

"Bantuan pendahuluan nafkah ini diberikan pada bulan Ramadan dan akhir tahun agar anak-anak ini dapat menggunakan duit itu untuk membeli persiapan hari raya dan persekolahan," katanya.

Wednesday, June 19, 2019

Pekerja kilang keropok disyaki edar dadah diberkas

Mohd. Azli Adlan

KUALA TERENGGANU - Perbuatan seorang pekerja sebuah kilang keropok untuk mencari duit mudah dengan mengambil upah menyimpan stok dadah membawa padah apabila dia diberkas polis di rumahnya di Kampung Losong Haji Su di sini semalam.

Serbuan di rumah lelaki berusia 37 tahun yang tinggal bersama bapanya berumur 70-an mengalami strok dan hanya terlantar di atas katil telah berjaya menemui sejumlah pil dan serbuk dipercayai dadah jenis heroin, ganja serta pil kuda berjumlah keseluruhan RM10,700.

Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, pemeriksaan telah menjumpai enam biji pil berwarna merah dipercayai pil kuda dan tiga botol mengandungi serbuk disyaki heroin di atas lantai di bahagian hadapan rumah berkenaan.

“Suspek yang telah disoal siasat kemudiannya menunjukkan sebuah almari yang menjadi lokasi penyimpanan 13 botol plastik dipercayai mengandungi heroin, 40 paket pil kuda dan sembilan ketulan mampat disyaki ganja.

“Sebuah motosikal jenis Honda EX5 milik lelaki itu turut disita bagi membantu siasatan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontijen Terengganu di sini hari ini.


Allaudeen berkata, siasatan awal percaya suspek telah menjadikan rumahnya sebagai lokasi penyimpanan stok dadah terbabit dengan upah RM80 sehari sejak dua minggu lalu. - K! ONLINE

Sudut ASEAN promosi 100 produk koperasi terbaik

KUALA NERUS – Sudut ASEAN akan dibangunkan di ibu pejabat koperasi induk bagi setiap negara rantau ini termasuk di premis Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) di Petaling Jaya, Selangor.

Presiden Organisasi Koperasi ASEAN (ACO), Datuk Abdul Fatah Abdullah berkata, sudut itu akan mula beroperasi pada suku pertama tahun ini.

Ia bertujuan untuk merancakkan perdagangan produk koperasi di Asia Tenggara dan bakal menempatkan 100 produk terbaik seperti makanan, minuman, ubat-ubatan dan buah-buahan keluaran koperasi dari setiap negara.

“Inisiatif ini bertujuan untuk meluaskan pasaran produk koperasi ke peringkat antarabangsa secara bersepadu bermula dengan merentas antara negara-negara di rantau Asia Tenggara terlebih dahulu.

“Pasaran Asia Tenggara sangat berpotensi kerana mempunyai 250,000 koperasi dengan keahlian 64 juta orang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Aidilfitri Angkasa Terengganu di Gong Badak di sini semalam.

Abdul Fatah yang juga Presiden Angkasa menjelaskan, ACO menyasar untuk memperluaskan inisiatif meningkatkan perdagangan produk-produk koperasi ASEAN tersebut ke peringkat Asia Pasifik dan seterusnya global menjelang tahun 2025.

Pramugara, kekasih didakwa pecah masuk kedai dobi, curi wang

KUALA TERENGGANU – Seorang pramugara sebuah syarikat penerbangan dan teman wanitanya dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas pertuduhan mencuri dan memecah masuk dua kedai dobi layan diri di Kuala Nerus dua ming­gu lalu.

Tertuduh, Remy Izwan Roseli, 39, dan Aimi Shairai Ismail, 32, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.

Pasangan itu didakwa bersama-sama cuba mencuri di sebuah kedai dobi layan diri di Rimba Square, Gong Badak, Kuala Nerus antara pukul 4 pagi dan 4.53 pagi, 7 Jun lalu.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda.

Kedua-dua tertuduh turut didakwa memecah masuk sebuah kedai dobi layan diri lain di Dataran Tembusu, Kuala Nerus dan mencuri wang tunai RM1,000 antara pukul 5.48 pagi dan 7.20 pagi hari yang sama.

Sabit kesalahan, kedua-duanya boleh dihukum penjara maksimum 14 tahun dan denda di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam diikat jamin RM12,000 setiap seorang dan menetapkan 2 Julai ini untuk sebutan semula kes.

Kosmo! 12 Jun lalu melaporkan seorang pramugara dan teman wanitanya ditahan selepas dipercayai memecah masuk kedai dobi layan diri di Gong Badak pada 3 Syawal lalu.

Pelajar terharu terima biasiswa UniSZA untuk sambung belajar

KUALA NERUS – Seorang pelajar menerima hadiah ­Aidilfitri paling berharga apabila dianugerahkan Biasiswa Wakaf Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) baru-baru ini.

Pelajar tahun satu Sarjana Muda Kerja Sosial UniSZA, Siti Nor Hasma Fauzi, 21, berkata, dia bersyukur kerana biasiswa itu dapat me­ringankan kos pembe­lajarannya yang me­rupakan anak yatim piatu sejak kematian ibu bapa empat tahun lalu.

“Saya kehilangan ibu bapa akibat pe­nyakit kanser dan asma pada 2015. Sejak itu saya dan dua adik yang masih ber­sekolah disara oleh adik beradik lain.

“Kos pengajian dan sara hidup bulanan saya di kampus misalnya dibiayai abang ketiga, Mohd. Saiful Arif, 30, yang be­kerja di Majlis Perbandaran Kajang,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini baru-baru ini.

Terdahulu beliau menerima biasiswa berupa pembiayaan penuh kos pengajian, pengi­napan dan elaun sara hidup dalam tempoh empat tahun pengajian berjumlah RM24,000 daripada Naib Canselor UniSZA, Prof. Datuk Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan.

Siti Nor Hasma yang merupakan anak keenam daripada lapan beradik memberi­tahu, elaun sara hidup bulanan se­banyak RM600 sebulan yang bakal diterima amat melegakan beliau sekali gus me­ngurangkan beban Mohd. Saiful.

Ujarnya yang memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif 3.48 pada semester pertama pe­ngajian, dia sedar abangnya itu walaupun masih bujang mem­punyai ba­nyak komitmen lain apatah lagi dia me­netap di Lembah Klang yang mempunyai kos sara hidup agak tinggi.

“Penerimaan Biasiswa Wakaf UniSZA ini menjadi perangsang untuk saya belajar bersungguh-sungguh demi masa depan dan membalas jasa abang dan kakak yang telah menunaikan tanggungjawab sebagai pengganti ibu bapa sejak tiga tahun ini,” ujarnya.