Translate

Sunday, November 12, 2023

Pasukan SAR berdepan kesukaran kerana laut bergelora

BESUT – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu berdepan cabaran besar dalam misi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa runtuhan tapak pembinaan resort di Pantai Alunan, Pulau Perhentian, Kuala Besut di sini semalam. 

Ketua Zon 1 JBPM Terengganu, Yusmaredza Mirza Mohamed Ali berkata, operasi bermula pukul 10 pagi semalam bukan hanya melibatkan runtuhan di bangunan tiga tingkat setinggi hampir sembilan meter itu, malah menghadapi kesukaran akses ke lokasi di Pulau Perhentian. 

“Perjalanan ke Pulau Perhentian agak mencabar kerana dipukul ombak dan laut bergelora disebabkan peralihan Monsun Timur Laut yang dijangka bermula lusa (esok). 

“Apatah lagi operasi SAR ini memerlukan khidmat Unit Anjing Pengesan (K9) bagi memandu proses pencarian mangsa yang masih tertimbus di bawah runtuhan,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam. 

Yusmaredza memberitahu, operasi SAR melibatkan pelbagai agensi itu dibahagikan kepada dua pasukan iaitu di lokasi kejadian di Pulau Perhentian, manakala satu lagi pasukan menunggu di Jeti Kuala Besut. 

Jelasnya, kaedah itu dilaksanakan bagi melancarkan operasi menyelamat termasuk menghantar mangsa untuk mendapatkan rawatan pada kadar segera di hospital. 

“Operasi SAR ini juga memerlukan khidmat Pasukan Khas Taktikal Operasi dan Penyelamat Bomba (STORM). Mereka mempunyai kepakaran dan terlatih dalam misi penyelamatan mangsa kejadian runtuhan bangunan,” katanya. 

Tambah Yusmaredza, dua mangsa runtuhan berjaya dikeluarkan dan usaha mengesan seorang lagi pekerja sedang giat dijalankan setakat pukul 5 petang semalam.

No comments:

Post a Comment