BARU-BARU ini kita dikejutkan dengan dua insiden melibatkan dua remaja yang amat mengejutkan.
Kes pertama melibatkan tindakan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun yang disyaki menikam hingga mati bayi baru dilahirkannya tanpa sah taraf di Kemaman pada 8 Februari lalu.
Dua hari kemudian, seorang gadis lain pula dengan beraninya memuat naik video menawarkan untuk menjual daranya pada harga RM6,000 di media sosial.
Hakikatnya, kedua-dua kisah ini merupakan cerminan terhadap masyarakat Malaysia hari ini yang perlu dijadikan iktibar.
Pakar kaunseling, keluarga dan wanita, Dr. Raba`Aton Adawiah @ Robiah Mohd. Yusof berkata, mengecam dan memberi pandangan negatif kepada pihak terlibat bukanlah respons terbaik apabila berhadapan dengan isu sedemikian.
“Menuding jari dan menyalahkan tidak akan membetulkan kesilapan yang berlaku, malah tidak akan menyelesaikan langsung kepincangan itu.
“Ia bukan sahaja memberi kesan lebih buruk kepada remaja terlibat dan ahli keluarganya, malah tidak mustahil boleh diulangi lagi oleh pihak lain kerana isu sebenar tidak ditangani secara holistik,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Raba`Aton Adawiah berkata, masyarakat sebaliknya boleh memainkan peranan membantu dengan memberi informasi dan didikan berhemah terutama sewaktu berinteraksi di media sosial.
Pensyarah Fakulti Pengajian Ekonomi dan Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Terengganu itu berkata, pendekatan tersebut sedikit sebanyak memberi kesedaran dan dokongan moral kepada remaja terlibat ahli keluarganya yang sudah pasti tidak stabil emosinya kini.
“Apa yang lebih penting informasi dan didikan berhemah itu dapat membimbing dan membendung remaja-remaja lain daripada melakukan kesilapan sama.
“Ibu bapa juga perlu mengambil iktibar untuk mengukuhkan institusi keluarga masing-masing. Perkara paling penting ialah menekankan agama sebagai asas paling penting dalam diri anak-anak sejak kecil,” ujarnya.
Raba`Aton Adawiah berkata, komunikasi antara ahli keluarga amat penting terutama melibatkan anak-anak yang sedang meningkat remaja.
Ujarnya, ibu bapa atau penjaga seharusnya mewujudkan situasi menjadi sumber rujukan utama yang selesa buat seseorang remaja itu berkongsi pendapat, masalah dan curahan rasa.
“Kesedihan, kegembiraan, kesakitan dan semua perkara berkait dengan ahli keluarga perlu dikongsi bersama.
“Sekiranya berlaku berlaku sesuatu masalah atau isu, setiap ahli keluarga sepatutnya berbincang bagi mencari penyelesaian secara bersama,” ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu, Hanafiah Mat berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sentiasa memainkan peranan proaktif setiap kali berhadapan isu kepincangan sosial.
“Contohnya kes remaja perempuan di Kemaman, mangsa dan ibunya disantuni kakitangan JKM secara serta-merta.
“Sepanjang tempoh siasatan, JKM menerusi Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah sering melakukan lawatan terhadap remaja tersebut dan menyalurkan bantuan bersesuaian kepadanya termasuklah perkhidmatan psikologi,” katanya.
Hanafiah menambah, ibu remaja itu juga telah diberi khidmat kaunseling dan intervensi awal bagi memastikan kestabilan emosi keluarga.-KOSMO! ONLINE