Translate

Thursday, April 17, 2025

13 tahun tak beraya bersama keluarga demi tugas

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Tatkala insan lain ceria bersama keluarga tercinta meraikan Aidilfitri, seramai 43 pegawai dan anggota Maritim Malaysia (APMM) berkorban mengawal perairan Terengganu pada pagi 1 Syawal. 

Pegawai Pemerintah Kapal Maritim (KM) Redang, Mohd. Hafizuddin Mohd. Jalal berkata, beliau dan 15 anak kapalnya me­rupakan sebahagian warga APMM yang bertugas dalam Ops Khas Pagar Laut menjaga perairan negara daripada dicerobohi pada musim perayaan ini.

 “Kami ditugaskan mengawal perairan Terengganu sehingga 180 batu nautika (333.36 kilometer) ke sempadan perairan antarabangsa sehingga…

Wednesday, April 16, 2025

Harga emas melambung, kedai sepi pelanggan

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN



KUALA TERENGGANU – Kenaikan harga emas pada masa ini bukanlah berita gembira buat pengusaha emas di Terengganu. 

Harga barangan kemas yang semakin mahal menyebabkan kebanyakan peminat emas tempatan mengurangkan pembelian barangan kemas. 

Semalam dilaporkan emas mencatatkan harga tertinggi sebanyak RM493 bagi satu gram.

Tinjauan Kosmo! baru-baru ini mendapati deretan kedai emas di Pasar Besar Kedai Payang di sini agak sunyi daripada pe­langgan sejak penghujung bulan Ramadan lalu.

Salah seorang pengusaha kedai emas, Zakaria Yusoff berkata, lazimnya premis perniagaan mereka penuh…

Tuesday, April 15, 2025

Seronok beraya nampak, sekarang masa bayar hutang BNPL

 


  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

SIKAP segelintir masyarakat sanggup berhutang demi beraya sakan bukan perkara baharu. 

Tabiat kurang baik tersebut semakin dipermudahkan dengan pengenalan kaedah Beli Sekarang, Bayar Kemudian (BNPL) yang melonggarkan prosedur berhutang. 

Seronok beraya bagai tidak ingat dunia, jangan lupa hutang-hutang BNPL itu perlu dibayar selepas raya. 

Pensyarah Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial Universiti Malaysia Terengganu, Dr. Siti Nurain Muhmad berkata, BNPL kian popular dengan mencatatkan nilai pinjaman keseluruhan RM2.8 bilion sehingga hujung tahun lalu dalam kalangan pengguna domestik. 

Beliau berkata, kebanyakan…

Monday, April 14, 2025

Tukang kebun maut, motosikal rempuh Perodua Ativa membelok

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Gara-gara gagal mengelak sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV), Perodua Ativa, seorang tukang kebun yang menunggang motosikal maut dalam kemalangan di Jalan Kampung Gong Pak Jin di sini malam tadi.

Dalam kemalangan pada pukul 9.50 malam itu, mangsa, Ahmad Faizal Zakaria, 33, meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan beberapa anggota badan.

-Advertisement-

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor, berkata, sewaktu kejadian, Ahmad Faizal dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Gong Datok, Mengabang Telipot, di sini dari sebuah kedai serbaneka berhampiran.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal jenis Yamaha 125ZR yang ditunggangi mangsa dikatakan gagal mengelak lalu merempuh pintu hadapan sebuah kenderaan Perodua Ativa.

“Kenderaan dinaiki empat beranak tersebut pula dikatakan dalam perjalanan ke sebuah dobi berhampiran dari rumah mereka di Taman Kasturi Indah di sini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Azli berkata, siasatan awal mendapati kenderaan Perodua Ativa dipandu seorang penjawat awam berusia 58 tahun dikatakan membelok ke kanan sewaktu kemalangan berlaku.

Beliau berkata, impak kemalangan itu turut menyebabkan isteri pemandu kenderaan Perodua Ativa berkenaan berusia 57 tahun turut mengalami kecederaan pada bahagian muka dan tangan.

“Pemandu kenderaan Perodua Ativa berkenaan dan dua anak lelaki berusia 14 dan 23 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Pesara guru rugi RM181,900 ditipu scammer

Oleh MOHD AZLI ADLAN

BESUT – Gara-gara terlalu takut digertak kononnya bakal didakwa kerana terlibat dalam perbuatan jenayah, seorang pesara guru berputih mata kerugian RM181,900 akibat diperdaya sindiket penipuan atau scammer baru-baru ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan Md. Sani Md. Saleh berkata, pada mulanya, mangsa berusia 60 tahun telah menerima panggilan telefon daripada seorang wanita yang mendakwa kononnya wakil sebuah syarikat insurans pada pukul 10.30 pagi, 2 September tahun lalu.

-Advertisement-

“Mangsa yang menetap Kampung Chegar Batang di sini didakwa kononnya telah membuat tuntutan insurans palsu dan terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram.

“Suspek kemudiannya mengarahkan pesara guru terbabit membuka akaun bank baharu kononnya untuk menyiasat wang milik mangsa,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Md. Sani berkata, lelaki warga emas itu yang ketakutan akur dengan arahan suspek dengan membuka akaun bank baharu menggunakan nama anaknya di cawangan bank terbabit di Machang, Kelantan.

Beliau berkata, mangsa kemudiannya memberikan gambar butiran kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) tersebut kepada suspek.

“Dia juga menyuruh anaknya memasukkan wang berjumlah keseluruhan RM170,000 secara berperingkat ke dalam akaun bank terbabit.

“Mangsa kemudiannya terus mengikuti arahan suspek dengan memasukkan wang tambahan berjumlah RM11,900 lagi ke akaun bank lain,” katanya.

Md. Sani berkata, pesara guru itu akhirnya menyedari dirinya tertipu apabila mendapati baki akaun bank yang baru dibukanya tersebut hanya tinggal RM104.55. – KOSMO! ONLINE

Lelaki maut motosikal rempuh Toyota Vios

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

SETIU – Gara-gara mengelak sebuah kereta Toyota Vios sedang membelok, seorang penunggang motosikal maut manakala pemboncengnya cedera ringan dalam kemalangan di Jalan Kuala Terengganu – Kota Bharu berhampiran Klinik Kesihatan Permaisuri di sini hari ini.

Dalam kemalangan pada pukul 12.55 tengah hari itu, mangsa, Muhammad Syahrul Izzat Ruhadi, 23, yang bekerja sendiri meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.

Rakannya, Mohamad Faris Haiqal Amran, 17, yang membonceng motosikal Honda C1004 tersebut pula cedera pada bahagian lengan kanan dan lutut kiri.

Ketua Polis Daerah Setiu, Superintendan Mohd. Zain Md. Dris berkata, sewaktu kejadian, kedua-dua mangsa dikatakan dalam perjalanan ke Permaisuri dari Kampung Guntong Luar di sini.

“Sewaktu tiba di lokasi kejadian, motosikal jenis Honda C1004 dikatakan mengelak lalu merempuh sebuah kereta
Toyota Vios dinaiki tiga beranak.

“Mereka dikatakan gagal mengelak kereta yang membelok ke kanan tersebut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Mohd. Zain berkata, Muhammad Syahrul Izzat dan Mohamad Faris Haiqal telah dikejarkan ke Klinik Kesihatan Permaisuri untuk menerima rawatan.

Beliau berkata, pegawai perubatan klinik kesihatan itu bagaimanapun mengesahkan Muhammad Syahrul Izzat telah meninggal dunia.

“Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Unit Forensik Hospital Setiu di sini untuk tindakan lanjut manakalan rakannya (Mohamad Faris Haiqal) dirujuk ke unit kecemasan hospital sama.

“Tiga beranak yang menaiki kereta Toyota Vios tidak mengalami kecederaan. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Kena denda RM15,000 sorok 2.21 tan minyak masak peket

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Padah menyorok 2.21 tan minyak masak peket bersubsidi pada tahun lalu, seorang pengusaha premis pemborong didenda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Hakim Mohd. Zul Zakiqudin Zulkifli memerintahkan hukuman demikian selepas Orang Kena Saman (OKS), Abu Bakar Abdul Rahman, 42, membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibacakan.

-Advertisement-

Berdasarkan pertuduhan, Abu Bakar didakwa menyembunyikan 2,210 kilogram minyak masak peket di premis perniagaannya yang terletak di Kampung Rhu Muda, Marang.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu pada pukul 1.38 tengah hari, 31 Januari 2024.

Mengikut fakta kes, Abu Bakar hanya menunjukkan sembilan kotak minyak masak peket yang telah rosak sewaktu premis perniagaannya diperiksa sepasukan anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KDPN).

Begitupun, pemeriksaan lanjut anggota penguat kuasa KPDN kemudiannya menjumpai 130 kotak mengandungi 2.21 tan minyak masak peket di dalam stor penyimpanan.

Minyak masak peket terbabit didapati tidak isytihar OKS bagi tujuan disorok daripada dijual sehingga menyusahkan pengguna.

Abu Bakar didakwa mengikut Seksyen 22 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE

Pemandu lori miliki 1,677.1 liter diesel tanpa kebenaran didenda RM15,000

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Gara-gara memiliki 1,677.1 liter minyak diesel tanpa kebenaran, seorang pemandu lori didenda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini hari ini.

Hakim Mohd. Zul Zakiqudin Zulkifli memutuskan demikian selepas tertuduh, Mohd. Rozi Mohd. Zain, 39, menukar pengakuan kepada bersalah sebaik pertuduhan dibacakan.

Beliau kemudiannya melepaskan dan membebaskan tiga tertuduh lain kes sama iaitu Hasdi Mustapa, 33; Hasrul Azly Mustapa, 44, dan Mohamad Saufi Abdull Ghapa, 30, berikutan pengakuan bersalah Mohd. Rozi tersebut.

Sebelum ini, keempat-empat tertuduh termasuk Mohd. Rozi membuat pengakuan tidak bersalah sewaktu sebutan pertama kes di mahkamah sama pada 18 November tahun lalu.

Berdasarkan pertuduhan, Mohd. Rozi didakwa memiliki 1,677.1 liter minyak diesel tanpa kebenaran Pegawai Bekalan.

Barang kawalan tersebut ditemui dalam tangki tambahan plastik di atas sebuah lori dipandu tertuduh pada pukul 1.55 pagi, 6 Julai 2023.

Ia dijumpai sepasukan anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup dalam serbuan di sebuah stesen minyak di Paka, Dungun.

Mohd. Rozi didakwa mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE

Anggota JPJ Terengganu nyaris maut dirempuh di SJR

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Dua anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu yang bertugas di sekatan jalan raya (SJR) sempena Operasi Khas Hari Raya Aidilfitri (HRA) nyaris maut apabila hampir dilanggar sebuah motosikal di Jalan Sultan Mohamad berhampiran kompleks Mahkamah Kuala Terengganu di sini malam tadi.

Dalam kejadian pada pukul 9 malam itu, penunggang motosikal Yamaha Y16 berusia 41 tahun itu cedera selepas rempuhannya tersasar mengenai papan SJR berkenaan.

Pengarah JPJ Terengganu, Mohd. Zamri Samion berkata, mekanik berasal dari Kampung Pulau Musang di sini terbabit bukan sahaja enggan berhenti untuk pemeriksaan, malah memecut laju motosikalnya sebaik ditahan anggota penguat kuasa di lokasi SJR.

“Motosikal dipecutnya hampir mengenai dua anggota JPJ bertugas, namun sempat dielak sebelum terkena papan penghalang SJR.

“Rempuhan itu menyebabkan motosikal Yamaha Y16 terpelanting sehingga ke pembahagi jalan,” katanya pada sidang akhbar di pejabat JPJ Terengganu di sini hari ini.

Mohd. Zamri berkata, pemeriksaan lanjut mendapati mekanik tersebut bukan sahaja tidak mempunyai lesen memandu malah motosikal dinaiki juga tiada perlindungan insurans dan luput cukai jalan.

Beliau berkata, motosikal Yamaha Y16 itu juga didapati diubah suai secara ekstrem termasuk bahagian enjin dan ekzos.

“Motosikal itu juga tiada brek belakang dan cermin selain saiz tayar tidak mengikut spesifikasi.

“Penunggang motosikal yang kini sedang dirawat di hospital akan disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 78 akta sama,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Sunday, April 13, 2025

Tempah hamper raya kemudian lesap, peniaga rugi RM26,100

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang peniaga kerugian RM26,100 selepas ditipu dalam urus niaga tempahan hamper raya berisi kurma dan coklat premium kononnya daripada sebuah universiti di Dungun.

Wanita berusia 46 tahun itu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di sini pada pukul 12.36 tengah hari semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, mangsa menerima panggilan daripada seorang wanita yang mengaku kakitangan universiti awam itu pada pukul 2.30 petang, Isnin lalu.

“Mangsa menerima tempahan 135 hamper raya kononnya bagi majlis sambutan Aidilfitri peringkat universiti berkenaan yang dijadual semalam.

“Kelmarin, suspek menghubungi mangsa semula kononnya mahu membuat tempahan tambahan 145 kurma dan coklat premium bagi tujuan sama,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Azli berkata, suspek seterusnya mencadangkan pembekal kurma dan coklat premium kepada peniaga terbabit sebelum mangsa membuat pembayaran berjumlah RM21,600.

Bagaimanapun wanita itu mula curiga apabila suspek gagal dihubungi, malah tidak mengambil tempahan hamper raya dari rumahnya di Kampung Gong Kijing, Kuala Nerus seperti dijanjikan semalam.

“Peniaga itu yang menghubungi pihak pengurusan universiti awam terbabit bagaimanapun terpenjat apabila mendapati tempahan hamper raya itu sebenarnya tidak wujud,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Simpanan RM171,338 lebur diperdaya skim pelaburan palsu

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Hasrat seorang peniaga untuk meraih keuntungan besar bukan sahaja tidak kesampaian, malah wang simpanannya berjumlah RM171,338 pula lebur selepas terjerat skim pelaburan tidak wujud.

Lelaki berusia 55 tahun dari Kuala Nerus itu membuat laporan berhubung kejadian di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di sini pada pukul 12.16 tengah hari semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya, peniaga itu tertarik dengan iklan skim pelaburan yang dilihatnya di Facebook pada Disember lalu.

“Mangsa kemudian menghubungi pengendali skim pelaburan itu menerusi aplikasi WhatsApp.

“Kerana tertarik dengan umpan yang dijanjikan, lelaki itu mendaftar dalam skim pelaburan tersebut menerusi aplikasi yang diberikan oleh suspek,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Azli berkata, mangsa melakukan pelaburan berjumlah RM171,338 yang dimasukkan ke dalam tiga akaun bank sejak Disember sehingga Isnin lalu.

“Mangsa mula berasa curiga dan tertipu apabila keuntungan yang kononnya diperoleh hasil pelaburan tersebut tidak boleh dipindahkan ke dalam akaun bank miliknya,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Remaja maut rempuh Toyota Alphard buat pusingan U

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

MARANG – Gara-gara sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV), Toyota Alphard membuat pusingan U, seorang remaja lelaki maut di Kilometer 26.5, Jalan Kuala Terengganu – Kemaman berhampiran Alur Tuman di sini malam tadi.

Dalam kemalangan pada pukul 11.30 malam itu, mangsa, Muhammad Fahrin Fiqri Salleh, 17, yang merupakan pembantu kedai meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan beberapa anggota badan.

-Advertisement-

Ketua Polis Daerah Marang, Superintendan Mohd. Sofian Redzuan berkata, sewaktu kejadian, Muhammad Fahrin dikatakan dalam perjalanan pulang rumahnya di Pulau Kerengga di sini.

“Pada masa sama, sebuah kenderaan Toyota Alphard dipandu seorang lelaki berusia 41 tahun dikatakan membuat pusingan U dari sebelah kiri laluan tersebut.

“Motosikal Yahama 135LC ditunggangi mangsa gagal mengelak lalu merempuh kenderaan itu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Mohd. Sofian berkata, impak perlanggaran tersebut menyebabkan Muhammad Fahrin terjatuh ke jalan raya.

Beliau berkata, pegawai perubatan yang tiba di lokasi kejadian tidak lama kemudian mengesahkan remaja berkenaan telah meninggal dunia.

“Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Sunday, April 6, 2025

Buruh ladang didakwa ‘ratah’ anak tiri

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KEMAMAN – Seorang buruh ladang dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan memperkosa anak tiri perempuannya yang masih di bawah umur pada tahun lalu.

Lelaki berusia 47 tahun tersebut membuatan pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Shariffuddin.

-Advertisement-

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa merogol anak perempuan tirinya yang ketika kejadian berusia 15 tahun sembilan bulan.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di daerah ini antara pukul 1 pagi hingga 3 pagi, Mac 2024.

Lelaki tersebut didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan buat tertuduh dan menetapkan sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen di sini pada Ahad ini.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Muhammad Afif Mohd. Amin, manakala tertuduh pula tidak diwakili peguam. – KOSMO! ONLINE

Pemandu lori produk sejuk beku maut kemalangan

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

BESUT – Seorang pemandu lori membawa muatan produk sejuk beku maut setelah kenderaan dipandunya merempuh sebuah lori lain di Jalan Kuala Terengganu – Kota Bharu berhampiran Kampung Renek di sini ,hari ini.

Kemalangan pada pukul 7.30 pagi itu meragut nyawa Muhammad Amirruldin Abdullah, 31, yang berasal dari Teluk Intan, Perak akibat kecederaan parah pada kepala.

Pemandu dan kelindan lori membawa barangan kedai serbaneka pula cedera pada bahagian kaki dan tangan akibat kemalangan tersebut.

Ketua Polis Daerah Besut, Superitendan Azamuddin Ahmad @ Abu berkata, sewaktu kejadian, Muhammad Amirruldin dikatakan dalam perjalanan membawa produk sejuk beku ke Kuala Terengganu dari Sitiawan, Perak.

Beliau berkata, pada masa sama, sebuah lori yang dalam perjalanan menghantar barangan ke rangkaian kedai serbaneka di sekitar bandar raya ini dikatakan hilang kawalan setelah cuba mengelak sebuah kenderaan pelbagai guna, Toyota Avanza yang tiba-tiba keluar simpang.

“Impaknya lori 10 tan terbabit terbabas lalu merempuh tembok jambatan berhampiran sebelum sebahagian badan kenderaan itu merintangi laluan bertentangan.

“Lori membawa produk sejuk beku dibawa mangsa (Muhammad Amirruldin) gagal mengelak lalu merempuhnya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini, semalam.

Azamuddin berkata, sepasukan anggota bomba mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengeluarkan mayat Muhammad Amirruldin yang tersepit di dalam lori yang remuk teruk berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Anwar luang 15 minit tinjau Bazar Ramadan Masjid Sultan Ahmad, Chukai

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KEMAMAN – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa kira-kira 15 minit mengunjungi Bazar Ramadan Masjid Sultan Ahmad, Chukai di sini hari ini.

Beliau tiba pada pukul 6.32 petang sebelum melawat gerai jualan makanan dan beramah mesra dengan sebahagian penjual dan pembeli.

-Advertisement-

Antara gerai yang dilawati Ahli Parlimen Tambun itu ialah nasi kerabu, sata, popia dan ropa.

Mengiringi beliau, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar.

Anwar kemudiannya menghadiri majlis iftar bersama rakyat di perkarangan Masjid Sultan Ahmad, Chukai di sini sebelum menunaikan solat maghrib di masjid terbabit. – KOSMO! ONLINE

Guru Kafa, takmir, imam, bilal turut terima duit raya RM250 – Anwar

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KEMAMAN – Kerajaan Persekutuan tidak melupakan guru Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) dan takmir, imam, bilal, tok siak serta noja dan marbot masjid seluruh negara dengan turut menyalurkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) Aidilfitri berjumlah RM250 kepada golongan tersebut.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pemberian BKK Aidilfitri melibatkan 70,000 orang itu akan dilunaskan pada minggu depan.

-Advertisement-

“Malam ini saya hendak tambah guru Kafa, guru takmir, imam, bilal, tok siak, noja dan marbot juga terima (BKK Aidilfitri) RM250.

“Ia akan dibayar minggu depan sebelum Aidilfitri,” katanya pada majlis Berbuka Puasa bersama Rakyat Terengganu di sini hari ini.

Anwar berkata, pemberian BKK Aidilftri kepada golongan terbabit melibatkan peruntukan tambahan RM17 juta.

Terdahulu beliau selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Sultan Abdul Samad, KLIA, Sepang hari ini telah mengumumkan penyaluran BKK Aidilfitri sebanyak RM500 kepada penjawat awam Gred 56 ke bawah.

Beliau berkata, selain itu, pesara kerajaan serta veteran dan veteran tidak berpencen juga akan menikmati BKK Aidilfitri terbabit pada kadar RM250. – KOSMO! ONLINE

Saturday, April 5, 2025

Dekorasi pelita R&R Perasing sambut perantau pulang beraya

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KEMAMAN – Jabatan Pelancongan Terengganu mengambil inisiatif menghias kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Perasing di sini dengan lebih 1,000 pelita raya sebagai persiapan menyambut kepulangan perantau meraikan Aidilfitri pada hujung minggu depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Datuk Razali Idris berkata, dekorasi pelita raya tersebut akan terus di pasang di kawasan R&R terbabit sehingga 1 Syawal.

-Advertisement-

Beliau berkata, dekorasi pelita raya yang bergemerlapan tersebut boleh dilihat jelas dari Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT 2).

“Pemasangan pelita raya merupakan tradisi penduduk Terengganu untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.

“Tahun ini kita ceriakan R&R Perasing dengan dekorasi pelita raya untuk menyambut kepulangan perantau,” katanya ketika merasmikan program Pelita @ Perasing di R&R Perasing di sini malam tadi.

Razali berkata, R&R Perasing dipilih kerana ia merupakan destinasi utama yang menjadi pintu masuk utama dari sempadan Pahang bagi pengguna LPT 2.

Beliau berkata, R&R Perasing juga kawasan rehat dan rawat paling luas di LPT 2 dan memiliki kemudahan lengkap seperti surau, tandas, medan selera, tempat letak kenderaan dan stesen minyak buat keselesaan pengguna.

“Sehubungan itu, saya seru pengguna LPT 2 terutama perantau yang melakukan perjalanan pada waktu malam untuk pulang beraya singgah sebentar ke R&R Perasing,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Buskers Terengganu akur tapi terkilan arahan henti persembahan mengejut

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KEMAMAN – Seramai 179 seniman jalanan atau buskers yang mengganggotai Persatuan Buskers Terengganu terkilan dengan keputusan mengejut kerajaan negeri melarang sebarang aktiviti persembahan jalanan atau busking pada 10 malam terakhir Ramadan berkuat kuasa kelmarin.

Setiausaha Agung Persatuan Buskers Terengganu, Mohd. Fazli A. Rahman berkata, rata-rata mereka tersentak kehilangan mata pencarian sekelip mata apabila larangan tersebut dikeluarkan kerajaan negeri tanpa sebarang notis.

-Advertisement-

“Rata-rata kami ini mencari makan semata-mata dengan busking. Kalau dimaklumkan awal, boleh kami rancang untuk cari kerja lain untuk menyara anak isteri dan belanja raya.

“Walaupun akur dengan keputusan kerajaan negeri tetapi hakikatnya kami memang mengharapkan rezeki minggu terakhir sebelum Aidilfitri ini berikutan kehadiran lebih ramai pengunjung berikutan kepulangan perantau,” katanya di sini malam tadi.

Terdahulu beliau mewakili Persatuan Buskers Terengganu mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Datuk Razali Idris.

Mohd. Fazli berkata, rata-rata ahli persatuan mematuhi dengan setiap syarat dikeluarkan kerajaan negeri Terengganu dan pihak berkuasa tempatan (PBT) terlibat.

Jelas beliau, mereka amat menjaga sensitiviti dan kehendak pihak berkuasa serta orang ramai setiap kali membuat persembahan.

Sementara itu, Razali berkata, tindakan larangan aktiviti busking buat sementara waktu terpaksa dibuat setelah segelintir buskers didapati melanggar peraturan ditetapkan sehingga seakan-akan tidak menghormati bulan Ramadan.

“Isu itu mendapat kritikan netizen sehingga menyebabkan kerajaan negeri turut terpalit sama. Harap buskers faham, kita tiada niat sekat siapa-siapa cari makan,” katanya. – KOSMO! ONLINE