Translate

Saturday, March 22, 2025

Kes suri rumah langgar pelajar UiTM Dungun dipindah ke Mahkamah Tinggi

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

DUNGUN – Mahkamah Majistret di sini hari ini memerintahkan kes seorang suri rumah yang dituduh membunuh tiga pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun dalam satu kemalangan pada 9 Oktober tahun lalu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu.

Majistret Nur Amira Fatihah Osman memerintahkan demikian selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Azhani Azman bagu kes melibatkan tertuduh, Norizan Ismail, 50.

-Advertisement-

Berdasarkan tiga pertuduhan, Norizan didakwa menyebabkan kematian Muhammad Akmal Md. Tukirin, 25; Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20; dan Khairil Anwar Jamaludin, 20.

Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh yang ketika itu memandu kenderaan utiliti sukan (SUK) Honda CR-V di Jalan Pantai berhampiran Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun di sini pada pukul 7.30 malam, 9 Oktober lalu.

Norizan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman hukuman mati atau penjara antara 30 tahun dan 40 tahun serta hukuman minimum 12 sebatan sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Kosmo! 11 Oktober lalu melaporkan tiga pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun maut manakala seorang lagi cedera parah selepas dua motosikal dinaiki mereka dirempuh kenderaan Honda HR-V dipandu Norizan.

Sewaktu kemalangan, tertuduh dikatakan memandu kenderaan tersebut tanpa pengetahuan suami dan anak bongsunya yang sedang mengerjakan solat maghrib.

Ibu anak tiga berkenaan juga menghadapi satu lagi pertuduhan cubaan membunuh seorang lagi mangsa yang cedera iaitu Muhammad Ammar Danish Muhammad Ridzuan, 20, di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu. – KOSMO! ONLINE

Duit pesara RM108,000 lesap ditipu scammer


 Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Gara-gara terlalu takut digertak sindiket penipuan atau scammer kononnya akan ditangkap polis, seorang pesara wanita kerugian RM108,000 baru-baru ini.

Wanita berusia 61 tahun bukan sahaja kehilangan simpanan Tabung Hajinya malah akur dengan arahan suspek hingga membuat permohonan peribadi baharu.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pihaknya menerima laporan kira-kira pukul 1.59 tengah hari, semalam.

Menurutnya, pada mulanya, wanita warga emas berkenaan telah dihubungi suspek yang mengaku kononnya wakil sebuah syarikat insurans pada pukul 9 pagi, 10 Januari lalu.

“Mangsa dimaklumkan kononnya namanya telah disalah guna bagi tujuan tuntutan insurans perubatan palsu berjumlah RM63,000.

“Dia bertambah panik apabila panggilan itu kemudiannya disambungkan kepada suspek lain kononnya pegawai polis,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Azli berkata, mangsa telah mengikut arahan suspek agar membuka akaun bank baharu sebelum memindahkan simpanan Tabung Hajinya berjumlah RM45,000.

Beliau berkata, pesara terbabit juga akur membuat pinjaman peribadi RM50,000 yang turut dimasukkan ke dalam akaun baharu berkenaan.

“Selain itu, mangsa turut mengikut arahan memasukkan wang miliknya berjumlah keseluruhan RM13,000 ke dalam dua akaun bank berasingan menerusi tiga transaksi,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Takut kena siasat ubah wang haram, pesara ‘sedekah’ scammer RM60,000

Oleh MOHD AZLI ADLAN

BESUT – Seorang pesara kerajaan kerugian RM60,000 apabila diperdaya sindiket penipuan atau scammer yang mendakwa kononnya dia terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram pada, awal bulan ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan Md. Sani Md. Saleh berkata, pada mulanya, wanita berusia 64 tahun yang menetap di Permaisuri, Setiu itu telah dihubungi suspek yang mendakwa kononnya wakil agensi insurans pada pukul 2.15 petang, 2 Februari lalu.

-Advertisement-

“Suspek mendakwa mangsa telah menuntut pampasan insurans di Hospital Ampang, Selangor selain sedang disiasat atas dakwaan terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram melibatkan 23 akaun bank berasingan.

“Mangsa yang ketakutan kemudiannya mengikut arahan suspek membuka akaun sebuah bank secara dalam talian menggunakan nombor telefon bimbit diberikan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Md. Sani berkata, wanita warga emas terbabit kemudiannya mengikut arahan suspek memindahkan RM25,000 wang simpanannya termasuk Tabung Haji ke dalam akaun bank baharu terbabit di cawangan bank itu di Jertih di sini.

Beliau berkata, pesara tersebut terus mengikut arahan suspek memindahkan pula wang berjumlah keseluruhan RM35,000 ke dalam dua akaun bank berasingan.

“Mangsa melakukan pemindahan wang berkenaan menerusi tiga transaksi antara 4 Februari hingga 16 Februari lalu.

“Kes sedang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Gerakan mengumpul bukti dan menjejak suspek sedang giat dilakukan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

TFC mahu jadikan The Cats mangsa ‘lepas geram’

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

TERENGGANU FC (TFC) mahu melupakan kekecewaan tewas mengejut 1-2 kepada Kuala Lumpur City FC (KL City) pada minggu lalu sebaliknya fokus memburu tiga mata pada pertemuan dengan Kuching City dalam aksi Liga Super pada malam esok.

Pengendali TFC, Badrul Afzan Razali berkata, kemenangan dengan skuad The Cats amat penting bagi memastikan misi mereka untuk menamatkan musim ini di tempat ketiga ke atas kembali ke landasan sebenar.

“Kita tidak boleh keciciran mata lagi, kemenangan dengan Kuching City di gelanggang sendiri pada malam esok (ini) adalah penentunya.

“Saya meminta pemain-pemain saya melupakan kekalahan dengan KL City tempoh hari dan kembali fokus serta mengulangi kesilapan sama kali ini,” katanya ketika ditemui di Kuala Terengganu semalam.

Begitupun, Badrul Afzan mengakui skuad TFC bakal turun sedikit tempang tanpa kelibat arkitek mereka, Nurillo Tukhtasinov yang digantung akibat menerima kad kuning pada aksi lalu.

Beliau berkata, sayap harapan, Akhyar Rasid juga tidak pasti diturunkan kerana kurang cergas disebabkan baru pulih daripada cirit-birit.

“Ketiadaan kedua-dua pemain itu berkemungkinan digantikan oleh Akram Mahinan dan Engku Nur Syakir Engku Yacob yang sudah pasti akan bermain sebaik mungkin.

“Kami pun sudah melatih ketajaman serangan bagi memastikan masalah ketumpulan yang berlaku sebelum ini diatasi sepenuhnya,” katanya.

Badrul Afzan mengakui setiap peluang yang bakal didapati dalam aksi tersebut kelak perlu dimanfaatkan memandangkan Kuching FC terkenal dengan keutuhan barisan pertahanannya.

Tambah beliau, benteng pertahanan skuad Sang Penyu juga harus mengawal aksi lincah duo penyerang lawan iaitu Jordan Mintah dan Tchetche Kipre.

“Mereka ini bekas pemain yang sudah tahu kelebihan dan kelemahan kita. Apapun barisan pertahanan saya pun kenal benar kemampuan kedua-dua pemain ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Penjaja buat tak endah, terus jual gummy ball

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN dan NORLIDA AKMAR IDROS

PETALING JAYA – Gummy ball yang mempunyai pelbagai corak dan warna menarik masih dijual di pasaran kerana sentiasa dicari murid sekolah setiap kali tamat waktu persekolahan. 

Tinjauan Kosmo! di bebe­rapa lokasi mendapati, gula-gula berbentuk bola itu masih dijual secara berleluasa oleh penjaja yang membuka gerai berdekatan sekolah biarpun ramai terkejut dengan berita kematian seorang murid di Sungai Dua, Seberang Perai, Pulau Pinang akibat tercekik jajan itu kelmarin. 

Di Kuala Terengganu, penjaja menjual gula-gula berbentuk jeli atau gummy ball itu kerana…

Kabel, bateri pelantar minyak negara dicuri sindiket Indonesia

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Maritim Malaysia (APMM) berjaya mematahkan kegiatan menceroboh pelantar minyak untuk mencuri kabel elektronik dan bateri solar yang didalangi sindiket antarabangsa di perairan Kuala Terengganu dekat sini, semalam.

Pencerobohan pelantar minyak untuk mencuri kabel elektronik dan bateri solar itu merupakan kali keempat dilaporkan di perairan Terengganu sejak awal tahun ini melibatkan kerugian lebih jutaan ringgit ekoran gangguan operasi.

Serbuan sepasukan anggota APMM pada pukul 11.30 pagi itu berjaya menahan tujuh anggota sindiket berkenaan yang kesemuanya warga Indonesia berusia dalam lingkungan 25 hingga 45 tahun.

Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Mohd. Khairulanuar Abdul Majid berkata, kapal maritim (KM) Rawa yang sedang mengadakan rondaan segera ke lokasi tersebut yang terletak kira-kira 142.6 kilometer dari timur perairan Kuala Terengganu sebaik mendapat maklumat pencerobohan sebuah pelantar minyak di Lapangan Tembikai terbabit.

“Pelantar minyak terbabit tidak berpenghuni dan ia merupakan sokongan bagi pelantar utama syarikat cari gali minyak berkenaan terletak berhampiran.

“Kita memperolehi maklumat pencerobohan itu pada pukul 1.30 tengah hari Rabu lalu (kelmarin) namun hanya berjaya menaiki pelantar itu pada 11.30 pagi esoknya ekoran laut bergelora,” katanya pada sidang akhbar di Markas Maritim Terengganu di sini, hari ini.

Mohd. Khairulanuar berkata, pasukan, anggota APMM kemudiannya mendapati pelantar minyak tersebut telah dicerobohi dengan kabel sudah dipotong dan bateri yang mahu dicuri telah dilonggokkan.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut akhirnya berjaya menangkap semua tujuh anggota sindiket itu yang bersembunyi di dalam bilik jana kuasa pelantar minyak terbabit. – KOSMO! ONLINE

Friday, March 21, 2025

Liga Super: Terengganu FC ‘gigit jari’ diikat Kuching City

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Terengganu FC (TFC) berputih mata terpaksa berkongsi satu mata apabila diikat Kuching City FC (Kuching City) 2-2 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di sini sebentar tadi.

Kedudukan skuad Sang Penyu di tempat keempat kian goyah apabila hanya berkelebihan empat mata di hadapan Kuching City selain semakin jauh ketinggalan lapan mata kepada Sabah.

-Advertisement-

Tuan rumah bermula garang selepas tendangan percuma pemain tengah import, Manuel Ott dari Filipina menerjah gawang bagi mendahului 1-0 pada minit ke lapan.

Skuad The Cats berpeluang untuk menyamakan kedudukan namun tandukan kapten pasukan, James Okwuosa pada minit ke-15 tidak menetapi sasaran sebaliknya sipi melepasi kanan gawang tuan rumah.

TFC berpeluang untuk menjarakkan kedudukan namun tiga percubaan keemasan pada minit ke-21, 43 dan 45 disia-siakan penyerang, Muhammad Syahmi Zamri.

Skuad Sang Penyu melebarkan kedudukan kepada 2-0 selepas penyerang import, Ismaheel Akinade bijak memanfaatkan hantaran Ott pada minit ke-58.

Kuching City bagaimanapun tidak mudah menyerah kalah apabila berjaya merapatkan kedudukan 1-2 menerusi Jordan Mintah yang juga bekas penyerang TFC pada minit ke-63.

Selang seminit kemudian, seorang lagi bekas pemain tuan rumah, Petrus Shitembi menceriakan skuad The Cats apabila menyamakan kedudukan 2-2 menerusi tendangan percuma.

TFC cuba bangkit melakukan serangan bertali arus pada lewat perlawanan termasuk rembatan deras Ott yang mengenai palang gol lawan pada minit ke-90. – KOSMO! ONLINE

Kadar minimum zakat fitrah Terengganu kekal RM10

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Kadar minimum zakat fitrah di Terengganu kekal RM10 seorang seperti tahun lalu.

Satu lagi kategori bagi yang memakan beras premium jenis basmathi dan setara dengannya pula ialah RM21 sekepala iaitu kurang RM1 berbanding tahun lalu.

-Advertisement-

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, penetapan kadar zakat fitrah tersebut berdasarkan harga beras mengikut gred dan jenis yang dimakan umat Islam negeri ini.

“Kadar minimum zakat fitrah RM10 itu berdasarkan harga jualan beras super import dan Siam di negeri ini.

“Tinjauan mendapati rata-rata umat Islam Terengganu memakan beras gred tersebut memandangkan beras gred super tempatan lima peratus sukar didapati,” katanya di Kompleks Seri Iman di sini hari ini.

Shaikh Harun berkata, kebiasaannya kebanyakan umat Islam Terengganu membayar zakat fitrah melebihi kadar minimum telah ditetapkan.

Beliau berkata, ia terbukti apabila purata bayaran zakat fitrah bagi setiap individu di negeri ini pada bulan Ramadan tahun lalu adalah RM11.

“Begitupun, kita tetap terima (bayaran zakat fitrah melebihi kadar minimum) dan amil akan merekodnya di dalam resit,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tiada ‘imam import’ solat tarawih di Terengganu tahun ini

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Masjid dan surau di seluruh Terengganu tidak dibenarkan menggunakan ‘imam import’ dari negara asing untuk solat tarawih pada bulan Ramadan ini.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, sebaliknya pengurusan masjid dan surau negeri ini digalakkan melantik imam tarawih dalam kalangan pelajar tahfiz tempatan.

-Advertisement-

“Tiada imam solat tarawih asing contohnya dari Mesir dan Arab Saudi kecuali mereka yang sudah sedia menetap di negeri ini sebagai guru sekolah dan pensyarah (institusi pengajian tinggi).

“Kita sangat galakkan pelajar-pelajar kita yang hafal al-Quran dilantik sebagai imam tarawih dan dibiayai (elaun) oleh pengurusan masjid dan surau,” katanya di Kompleks Seri Iman di sini hari ini.

Terdahulu beliau ditemui selepas mengagihkan bantuan zakat asnaf fakir miskin negeri ini sempena Ramadan.

Shaikh Harun berkata, pendekatan memberi keutamaan kepada pelajar tahfiz tempatan itu bertujuan memberi lebih pendedahan kepada golongan tersebut mengetuai solat tarawih pada usia muda.

Beliau berkata, besar harapan Maidam agar pelajar tahfiz dilatih terbabit kelak mendapat permintaan menjadi imam solat tarawih di luar Terengganu termasuk luar negara pada masa depan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, perbincangan telah dilakukan dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) bagi memastikan keselamatan masjid dan surau demi keselesaan jemaah pada bulan Ramadan ini. – KOSMO! ONLINE

Gummy ball bernilai RM1,300 dirampas di Terengganu

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

SETIU – Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) telah menyita gula-gula kenyal ‘gummy ball’ membabitkan nilai rampasan kira-kira RM1,300 di seluruh negeri ini sejak kelmarin.

Pengarah Kesihatan Terengganu, Datuk Dr. Kasemani Embong berkata, operasi terbabit diambil berikutan kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun di Pulau Pinang akibat tercekik gummy eye ball pada Khamis lalu.

-Advertisement-

Beliau berkata, pasukan penguatkuasaan JKNT telah merampas gula-gula terlarang terbabit di beberapa premis perniagaan yang didapati masih menjualnya sekitar daerah Kuala Nerus, Hulu Terengganu dan Marang.

“Kita telah menubuhkan pasukan penguatkuasaan untuk membuat pemeriksaan dan pemantauan terhadap penjualan gula-gula (gummy ball) ini.

“Tindakan penguatkuasaan termasuk rampasan telah diambil setelah pemeriksaan mendapati ia melanggar peraturan pelabelan (di bawah Peraturan peraturan Makanan 1985, Akta Makanan 1983), katanya Dewan Komuniti Sri Langkap di sini hari ini.

Sebelum ini KKM pada Jumaat lalu telah melarang penjualan gula-gula ‘gummy ball’ terbabit termasuk menerusi platform dalam talian.

Ia berikutan kematian Mohamad Fahmi Hafiz Mohammad Fakhruddin, 10, akibat tercekik dua biji gula-gula terbabit pada Khamis lalu.

Siasatan KKM juga mendapati produk yang menjadi kegemaran kanak-kanak tersebut menyalahi keperluan pelabelan diperuntukkan di bawah Peraturan- Peraturan Makanan 1985, Akta Makanan 1983. – KOSMO! ONLINE

Lelaki sedang lombong bitcoin diberkas di Kuala Nerus

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang lelaki diberkas bagi membantu siasatan melakukan penyambungan bekalan elektrik secara haram untuk melakukan perlombongan bitcoin di sebuah premis di Taman Sejati, Kampung Wakaf Baru, Kuala Nerus dekat sini semalam.

Serbuan pada pukul 10.45 malam itu berjaya menangkap suspek berusia 53 tahun berkenaan bersama pelbagai peralatan melombong bitcoin yang bernilai keseluruhan RM15,600.

Ketua Polis Daerah Terengganu, Asisten Komosioner Azli Mohd. Noor berkata, serbuan dilakukan bersama pegawai Tenaga Nasional Berhad (TNB) tersebut berikutan maklumat berlakunya aktiviti mencuri arus elektrik di premis tersebut.

“Hasil pemeriksaan dengan bantuan juruteknik TNB mengesahkan berlakunya aktiviti penyambungan bekalan elektrik bagi pemasangan mesin bitcoin.

“Soal siasat awal mendapati suspek mengaku terlibat dalam aktiviti perlombongan bitcoin,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Azli berkata, serbuan tersebut berjaya merampas mesin bertulis avalonminer dan alat penyejuk mesin bitcoin yang masing-masing berjumlah 12 unit serta
sebuah telefon bimbit.

Beliau berkata, kesemua peralatan melombong bitcoin yang dirampas berkenaan dianggarkan bernilai RM15,600.

“Suspek telah direman selama empat hari mulai hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 akta sama serta Seksyen 37 (3) Akta Bekalan Elektrik 1990,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tiga jemaah cilik solat subuh berjemaah 40 hari berturut-turut terima basikal

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KEMAMAN – Tiga termasuk dua remaja lelaki tersenyum lebar menyambut Ramadan dengan basikal baharu yang dihadiahkan pengurusan Masjid Titian Berayun, Kijal di sini menerusi program ‘King of Subuh Warrior’.

Pengarah Program, Wan Mohd. Redzuan Mohd Kamar berkata, Muhammad Aiman Khaiyiza Mohammad Khairul Azan, 13; Muhammad Ukail Uwais Mohd Khairuddin, 13; dan Muhammad Zakir Hadi Mohd, 9, dinobatkan pemenang setelah konsisten menunaikan solat subuh berjemaah di masjid tersebut selama 40 hari berturut-turut.

-Advertisement-

Beliau berkata, mereka juga menerima hadiah iringan lain berupa. piala, baucar penginapan, hamper dan sijil penghargaan.

“Program ‘King of Subuh Warrior’ dianjurkan bagi menarik golongan muda untuk mengunjungi masjid sekaligus melatih mereka mencintai ibadah sejak kecil lagi.

“Sambutan diterima bagi program dianjurkan bermula akhir bulan Januari lalu mendapat sambutan memberangsangkan daripada remaja dan kanak-kanak kampung ini,” katanya di sini hari ini.

Wan Mohd. Redzuan berkata, hadiah basikal terbabit sebagai menghargai kesungguhan remaja dan kanak-kanak terbabit istiqamah menunaikan solat subuh berjemaah di masjid.

Beliau berkata, ganjaran juga diberikan kepada peserta lain yang berjaya menunaikan solat subuh berjemaah di masjid berkenaan selama 10, 20 dan 30 hari.

“Kami harap ia dapat menjadi perangsang kepada generasi muda untuk terus memakmurkan masjid terutama pada bulan Ramadan ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Thursday, March 20, 2025

Doktor pun jadi mangsa ‘scammer’

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Hasrat seorang pegawai perubatan sebuah hospital di bandar raya ini untuk meraih keuntungan berganda daripada pelaburan kripto lebur menyebabkan dia kerugian sebanyak RM86,200 selepas diperdaya sindiket penipuan.

Wanita berusia 39 tahun yang menyedari menjadi mangsa penipuan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di sini pada pukul 4.16 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Nor berkata, mangsa memasuki kumpulan WhatsApp berkaitan pasaran saham selepas diperkenalkan seorang lelaki pada Oktober lalu.

“Sebulan kemudian, dia diperkenalkan dengan skim pelaburan kripto dalam kumpulan WhatsApp itu.

“Mangsa yang tertarik mengeluarkan wang simpanan berjumlah RM86,200 untuk menyertai pelaburan tersebut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Azli memberitahu, kesemua wang itu diserahkan menerusi lima transaksi sejak 21 November hingga 31 Disember lalu.

Pegawai perubatan itu hanya menyedari dia ditipu apabila sukar untuk mengeluarkan keuntungan selain diberikan pelbagai alasan oleh suspek.

“Suspek kemudian mengarahkan mangsa memasukkan wang tambahan dalam mata wang kripto berjumlah RM1.6 juta,” katanya. – KOSMO! ONLINE

UMT wajibkan modul AI kepada pelajar

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Universiti Malaysia Terenggganu (UMT) akan memperkenalkan modul Kecerdasan Buatan (AI) yang akan diwajibkan kepada semua pelajarnya mulai sesi kemasukan baharu 2025/2026 pada Oktober depan.

Naib Canselor UMT, Prof. Dr. Mohd. Zamri Ibrahim berkata, pengenalan modul AI tersebut bagi memastikan semua graduan universiti awam berkenaan celik AI sekaligus bersedia untuk menghadapi cabaran mendatang industri.

“UMT menyahut seruan kerajaan memastikan setiap warganya mahir dalam AI.

“Modul AI ini wajib dipelajari semua pelajar UMT sebelum mereka bergraduat,” katanya ketika ditemui pada majlis Perutusan Tahunan Naib Canselor UMT di sini hari ini.

Mohd. Zamri berkata, modul AI itu tidak aka. membebankan pelajar kerana ia akan ditawarkan secara micro-credential yang fleksibel dengan jadual pengajian.

Beliau menjelaskan modul AI tersebut disediakan secara kursus jangka pendek yang boleh diikuti secara dalam talian pada bila-bila masa sepanjang tempoh pengajian pelajar terlibat.

“Modul AI tersebut akan diwajibkan mulai sesi kemasukan baharu Oktober depan. Buat masa ini ia ditawarkan secara elektif kepada pelajar sedia ada dahulu.

“Selain pelajar, kita juga mahu semua kakitangan UMT termasuk tenaga pengajar menguasai AI,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Pusat Masakan Kemas mohon sijil pengesahan halal

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) menyasar sekurang-kurangnya sebuah pusat masakan kendalian agensi itu di setiap negeri akan memiliki sijil pengesahan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Ketua Pengarah Kemas, Datuk Mohd. Hanafiah Man berkata, pendekatan tersebut bertujuan membantu memberi nilai tambah terhadap peserta yang mengeluarkan produk makanan di pusat masakan terbabit.

-Advertisement-

“Pusat Masakan Kemas merupakan fasiliti yang digunakan peserta dalam kalangan masyarakat luar bandar untuk mengeluarkan produk makanan.

“Sebagai individu, mungkin mereka payah tetapi sekiranya pusat masakan kita yang memperolehi sijil pengesahan tersebut, produk dikeluarkan boleh mendapat status halal,” katanya ketika ditemui pada program Desa Cerdas di Kampung Pulau Manis di sini malam tadi.

Mohd. Hanafiah berkata, usaha bagi permohonan sijil pengesahan halal terbabit sedang giat dilakukan oleh Kemas.

Beliau berkata, penerimaan sijil pengesahan halal berkenaan bakal membuka lebih peluang pasaran terhadap produk makanan dihasilkan pelatih Kemas termasuk ke peringkat antarabangsa.

“Pusat Masakan Kemas juga aktif menganjurkan bengkel-bengkel masakan melatih masyarakat luar bandar.

“Kursus dianjurkan diiktiraf sehingga mencapai Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap Tiga (setara Diploma),” katanya. – KOSMO! ONLINE

Rakan Kebun Kemas mampu raih RM20,000 setiap pusingan

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) berhasrat memperluaskan lagi program Rakan Kebun yang berjaya membantu komuniti luar bandar meningkatkan pendapatan menerusi aktiviti berkebun.

Ketua Pengarah Kemas, Datuk Mohd. Hanafiah Man berkata, program Rakan Kebun yang diperkenal tiga tahun lalu menunjukkan perkembangan memberangsangkan.

-Advertisement-

Beliau berkata, sebahagian komuniti terlibat mampu meraih pendapatan tambahan mencecah RM20,000 bagi setiap pusingan tanaman.

“Setakat ini lebih 200 komuniti luar bandar di seluruh negara terlibat dalam program Rakan Kebun termasuk Kampung Pulau Manis di sini.

“Kita menyasar untuk melibatkan tambahan 50 komuniti lagi dalam projek ini sepanjang tahun ini,” katanya ketika ditemui pada program Desa Cergas di Kampung Pulau Manis di sini malam tadi.

Mohd. Hanafiah berkata, pengarah Kemas negeri-negeri juga telah diarahkan untuk membantu mengembangkan prospek kebun peserta program yang dilihat berdaya maju.

Beliau berkata, program Rakan Kebun berkenaan mendapat kerjasama Institut Piawaian Malaysia (SIRIM) yang menawarkan teknologi ekosistem pertanian terkini.

“Program Rakan Kebun melibatkan penyertaan antara seorang sehingga 15 orang bagi setiap komuniti menanam sayur-sayuran mempunyai permintaan tinggi seperti salad Coral, sawi putih, kangkung dan terung secara fertigasi atau hidroponik,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Pelajar tahfiz maut, dua motosikal bertembung

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang pelajar tahfiz maut selepas motosikal dinaikinya bertembung dengan motosikal lain di Jalan Pengadang Baharu di sini malam tadi.

Dalam kemalangan pada pukul 10.45 malam itu, mangsa, Muhammad Adam Syakir Rahmat, 19, disahkan meninggal dunia akibat parah pada kepala dan beberapa anggota badan.

Seorang lagi mangsa, Muhammad Hafeeq Izzuan Mohd. Izzad Izzuan, 19, yang menunggang motosikal Yamaha Y125 pula parah pada beberapa anggota badan.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, sewaktu kejadian, Muhammad Hafeeq Izzuan yang juga pelajar dalam perjalanan ke pulang ke rumah di Kampung Gong Kiat dari Kepong di sini.

“Setibanya di lokasi kejadian berhampiran persimpangan Sungai Rengas, motosikal Honda RS150R dinaiki Muhammad Adam Syakir dikatakan tiba-tiba keluar simpang untuk memasuki persimpangan Taman Adeli 2 di sini.

“Motosikal ditunggang Muhammad Hafeeq Izzuan gagal mengelak lalu bertembung dengan motosikal tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Azli berkata, pegawai perubatan yang tiba di lokasi mengesahkan Muhammad Adam Syakir meninggal dunia. Mayat remaja itu dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini untuk dibedah siasat. – KOSMO! ONLINE

Keuntungan boleh agih akhir tahun Felcra melonjak 154 peratus

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU – Lebih 68,400 peserta Felcra Berhad (Felcra) bakal menerima durian runtuh selepas agensi itu mengumumkan bayaran keuntungan boleh agih akhir tahun 2024 berjumlah lebih RM192.51 juta.

-Advertisement-

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, agihan keuntungan tersebut merupakan kenaikan RM192.5 juta atau 154 peratus daripada tahun 2023.

“Agihan keuntungan ini memberi manfaat kepada lebih 68,400 peserta di seluruh Malaysia melibatkan 583 projek yang mencatat keuntungan. Pembayaran dibuat secara berperingkat bermula hari ini,” katanya pada majlis Santunan Kasih Ramadan di Kampung Kuala Akob di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata, prestasi cemerlang keuntungan boleh agih keseluruhan tahun 2024 sebanyak RM521.9 juta iaitu peningkatan 138.4 peratus tersebut membuktikan dedikasi dan kerja keras Felcra dalam memperkasakan ekonomi luar bandar.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, pembayaran interim satu dan dua masing-masing berjumlah RM96 juta dan RM129 juta telah dibayar pada Jun dan September tahun lalu.

“Peningkatan keuntungan boleh agih berkenaan membolehkan purata pendapatan bersih setahun seorang peserta Felcra meningkat kepada RM4,420 per hektar.

“Kejayaan ini didorong oleh beberapa faktor utama, termasuk peningkatan hasil ladang kelapa sawit dalam program Penyatuan dan Pemulihan (P&P) yang mencatat peningkatan 9.24 peratus atau 1.44 metrik tan per hektar,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, peningkatan keuntungan boleh agih kepada peserta itu juga disumbang oleh pelaksanaan strategi penjimatan kos pengeluaran yang menyumbang kepada pengurangan kos lebih RM401 per hektar.

Sehubungan itu, beliau berharap agihan keuntungan yang lebih besar itu dapat menggembirakan peserta Felcra dan ahli keluarga mereka untuk merancang keperluan dengan lebih selesa. – KOSMO! ONLINE