Translate

Tuesday, May 31, 2022

Percaya dapat ubati penyakit punca laris

Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF

KUALA TERENGGANU - Makanan tradisi dan kepercayaan khasiat boleh mengubati pe­nyakit menjadi alasan segelintir penduduk Terengganu, terutama generasi lama begitu menggemari telur penyu.

Selain dinikmati secara turun-menurun, segelintir percaya amalan makan telur penyu boleh meningkatkan tenaga batin, mengubati pe­nyakit lutut dan asma walaupun ia tidak pernah dibuktikan secara saintifik.

Salah seorang peminat tegar telur penyu yang hanya mahu dikenali sebagai Khairul, 52, memberitahu, dia meminati telur penyu sejak kecil.

“Sewaktu kecil, saya se­ring mengikut arwah ayah me­ngutip telur penyu di sekitar pesisir pantai di Kemaman.

“Masa itu, penyu spesies belimbing masih banyak dan telurnya jauh lebih besar berbanding spesies agar. Sebaik dikutip, sebahagian kami akan terus rebus dan makan panas-panas,” katanya.

Khairul mendakwa, telur penyu sangat sedap dengan rasa berlemak walaupun teskturnya seperti telur ayam separuh masak.

Dakwanya, kelazatan telur penyu semakin bertambah jika dimakan segar sebaik dikutip di dalam timbunan pasir pantai.

Seorang lagi penggemar te­lur penyu dikenali sebagai Rahimah, 65, pula mendakwa, dia mengamalkan makan telur penyu untuk mengubati penyakit lututnya.

“Sakit lutut saya kurang selepas kerap makan telur penyu. Itu petua orang lama-lama.

“Tidak tahu hendak dapat di mana bekalan telur penyu selepas ini setelah kerajaan (negeri Terengganu) mengha­ramkan sepenuhnya penjualan secara terbuka pada 1 Jun ini,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Jual 10,000 telur penyu sebulan, percaya dapat ubati penyakit

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN dan TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF

KUALA TERENGGANU – Menjelang detik pengharaman penjualan telur penyu secara terbuka di Terengganu mulai 1 Jun ini, sambutan terhadap makanan eksotik itu masih tinggi.

Berdasarkan maklum balas peniaga Pasar Besar Kedai Payang di sini, telur penyu laris bagaikan pisang goreng pada bulan terakhir penjualannya.

Dianggarkan lebih 10,000 biji telur penyu telah terjual sepanjang bulan Mei ini dengan kebanyakan pelanggannya dalam kalangan penduduk tempatan.

Salah seorang peniaga, ­Norshila Shukri, 58, berkata, permintaan terhadap telur penyu mentah mahu pun jeruk tidak pernah menurun walaupun rata-rata mengetahui pengharaman penjualannya akan dibuat tidak lama lagi.

“Saya mampu menjual sehingga 200 biji telur penyu setiap hari sepanjang bulan ini. Kebanyakannya dari spesies agar yang didapati daripada pembekal tempatan.

“Jualan akan meningkat pada hujung minggu kerana terdapat permintaan daripada pelancong yang mahu mencuba,” katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.

Kerajaan negeri Terengganu telah meluluskan pindaan Enakmen Penyu 1951 dengan me­ngenakan hukuman lebih berat iaitu denda antara RM50,000 hingga RM250,000 berban­ding hanya RM3,000 sebelum ini bagi kesalahan berkaitan penyu dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu November tahun lalu.

Terengganu merupakan ne­geri terakhir di negara ini yang mengharamkan penjualan telur penyu.

Norshila mengakui, penjualan telur penyu menjanjikan pendapatan lumayan, namun dia akur dengan ketetapan diputuskan kerajaan negeri.

Seorang lagi peniaga telur penyu, Hayati Mad Zain, 54, memberi jaminan penjualan makanan esotik tersebut akan dihentikan serta-merta mulai 1 Jun ini.

Katanya, permintaan tinggi bukanlah alasan dia dan rakan-rakan peniaga lain untuk terus berniaga telur penyu biar pun secara curi-curi kerana hukumannya sangat berat.

“Denda antara RM50,000 sehingga RM250,000 atas kesalahan menjual telur penyu sangat besar dan di luar kemampuan kami,” katanya.

 

Monday, May 30, 2022

LKM percuma untuk kenderaan diubah suai jadi surau

KUALA TERENGGANU – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) secara rasmi memberi kebenaran penggunaan rumah ibadat bergerak yang diubah suai daripada kenderaan lain seperti bas sekolah dan kilang. 

Ketua JPJ, Datuk Zailani Hashim berkata, perkhidmatan rumah ibadat bergerak itu akan dilesenkan di bawah kod bas perkhidmatan bergerak selain diberi insentif Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau cukai jalan percuma.

Beliau berkata, setakat ini, sebuah surau bergerak yang diubahsuai daripada bas sekolah milikPersatuan Peniaga Trak Makanan  Jambatan Angkat Kuala Terengganu atau Drawbrigde telah menerima kebenaran tersebut.

“Surau bergerak ini diletakkan di lokasi tumpuan ramai yang tiada rumah ibadat bagi memberi kemudahan masyarakat beragama Islam mengerjakan sembahyang lima waktu.

“Ini usaha fardu kifayah JPJ dan negeri-negeri juga disyorkan mengambil langkah sama. Saya pernah tengok perkhidmatan sama di Jepun,” katanya ketika ditemui dalam majlis Hari Raya Aidilfitri di JPJ Terengganu di sini semalam.

Terdahulu beliau menyerahkan LKM kepada pemilik surau bergerak terbabit iaitu Yusuf Hadi Al-Hafiz Sapai yang juga Pengerusi Persatuan Peniaga Trak Makanan Drawbrigde.

Zailani berkata, sebelum kebenaran diberikan, kenderaan yang diubah suai sebagai rumah ibadat bergerak itu perlu menjalani pemeriksaan dengan Bahagian Kejuruteraan Automotif JPJ.

Jelas beliau, kelulusan hanya akan diberikan kepada rumah ibadah bergerak yang memenuhi spesifikasi kejuruteraan automobil ditetapkan JPJ.

“Kelonggaran pengubahsuaian kenderaan untuk dijadikan rumah ibadah bergerak ini bukan sahaja dibenarkan untuk kegunaan penganut Islam, malah untuk agama-agama lain juga.

“Ia sesuai diletakkan di kawasan tumpuan ramai seperti stadium bola, pesta dan lain-lain,"katanya.


Penipuan transaksi online aduan tertinggi diterima KPDNHEP

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Aduan berhubung transaksi online merupakan isu kepenggunaan tertinggi diterima Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, sebanyak 2,652 daripada keseluruhan 8,260 aduan isu kepenggunaan yang diterima kementeriannya dari Januari hingga April lalu melibatkan transaksi online.

Beliau berkata, trend penipuan melibatkan transaksi online dikesan semakin menjadi-jadi sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada awal tahun 2020.

“Ia (transaksi online) menjadi aduan tertinggi sejak PKP dilaksanakan pada tahun 2020.

“Selain transaksi online, sebanyak 1,871 aduan berhubung harga dan 1,812 aduan perkhidmatan mengelirukan turut diterima KPDNHEP sepanjang tempoh sama,” katanya pada program Pemukiman Hala Tuju Penyelaras Kepenggunaan Parlimen (PKP)di sini malam tadi.

Seramai 46 PKP yang berperanan membantu KPDNHEP meningkatkan kefahaman ilmu kepenggunaan dalam kalangan masyarakat menerima watikah pelantikan masing-masing pada program berkenaan.

Sehubungan itu, Rosol memberitahu KPDNHEP akan berusaha melengkapkan pengguna dengan ilmu kepenggunaan digital dan mengelak risiko menjadi mangsa jenayah sindiket penipuan. – KOSMO! ONLINE

PGA rampas rokok seludup RM1.09 juta

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

MARANG – Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan rokok melibatkan rampasan lebih RM1.09 juta di Wakaf Tapai di sini semalam.

Dalam serbuan di sebuah premis pada pukul 3 petang itu berjaya menahan seorang lelaki berusia 27 tahun disyaki anggota sindiket tersebut.

Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Hasan Basro Ahmad Safar berkata, sewaktu serbuan dilakukan, suspek sedang memunggah beberapa kotak yang mengandungi rokok disyaki tidak bercukai.

“Suspek sedang memunggah kotak tersebut dari but dan tempat duduk penumpang belakang sebuah kereta.

“Hasil pemeriksaan menjumpai 7,146 karton atau 1,429,200 batang rokok bernilai keseluruhan termasuk cukai kira-kira RM1.07 juta,” katanya di sini semalam.

Jelas beliau, Briged Tenggara PGA turut menyita sebuah kereta dan telefon bimbit.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.

“Sabit kesalahan, hukuman denda minimum 10 kali ganda nilai barangan atau RM100,000 mana yang lebih tinggi atau penjara antara enam bulan dan lima tahun atau kedua-dua boleh dikenakan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Akar umbi suka tetapi MN sukar dipertahankan

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Kerjasama politik antara UMNO dan Pas menerusi Muakafat Nasional (MN) sukar untuk diteruskan.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, perkembangan semasa menyebabkan gagasan parti politik Melayu dan Islam tanah air tersebut sukar untuk dipertahankan.

“Mula-mula kita memang sangat mengalukan MN tetapi nampaknya muktahir ini menghadapi kesukaran untuk mengamalkan konsep ini.

“Pada peringkat asal tidak boleh agaknya (MN diselamatkan),” katanya ketika ditemui pada Rumah Terbuka Aidilfitri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said, Speaker Dewan Undangan Negeri Terengganu, Datuk Yahaya Ali dan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali.

Begitupun, Najib mengakui konsep MN masih lagi mendapat dokongan kuat di peringkat akar umbi termasuk dalam kalangan pemimpin tempatan.

Jelas beliau, berdasarkan pemerhatian, penyokong UMNO dan Pas di peringkat akar umbi kini begitu selesa dengan MN.

“Sehubungan itu, saya berharap semangat permuafatan ini tidak akan padam dalam bentuk lain walaupun tidak di peringkat nasional.

“Kita boleh kerjasama dalam konteks lain asalkan mendatangkan manfaat kepada Islam, ummah dan negara keseluruhannya,” katanya.

Kosmo! pada 21 Mei lalu melaporkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan MN menerusi kerjasama parti itu dengan Pas diibaratkan hanya tinggal nyawa-nyawa ikan. -KOSMO! ONLINE

Stok makanan negara masih belum cukup

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

SEKURITI makanan adalah agenda kritikal yang perlu dita­ngani secara serius dengan impak kekurangan bekalan dan kenaikan mendadak harga bahan mentah makanan semakin dirasai sejak akhir-akhir ini.

Isu sekuriti makanan bukan sahaja dihadapi negara ini, malah masalah global yang dideritai kebanyakan negara khususnya pengimport bersih makanan se­perti Malaysia.

Pandemik Covid-19 yang mula menular sejak akhir tahun 2019 telah mengganggu rantaian bekalan barangan mentah makanan sehingga menyebabkan kenaikan kos pengangkutan.

Ia diburukkan lagi dengan peperangan antara Rusia dan Ukraine dan penyusutan nilai Ringgit sejak awal tahun ini.

Malaysia sebagai pengimport bersih makanan amat terdedah kepada sebarang kejutan global berkaitan rantaian bekalan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid mengakui masalah global terbabit memberi kesan terhadap pengguna tempatan.

Beliau berkata, harga bara­ngan keperluan telah meningkat sekurang-kurangnya 10 peratus, namun kerajaan sentiasa mencari solusi terbaik untuk mengurangkan impaknya.

“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah diberi tanggungjawab mengetuai Sekretariat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (Naccol).

“Jawatankuasa Sekuriti Makanan yang kembali diaktifkan pula diterajui Kementerian Pertanian dan Industri Makanan,” katanya kepada Kosmo!.

Menurutnya, kedua-dua kementerian berganding bahu bagi memastikan bekalan makanan tidak terputus dan harganya pula berpatutan.

Katanya, beberapa langkah segera telah diambil kerajaan seperti menghapuskan permit import (AP) makanan dan menghentikan eksport ayam bagi menjamin sekuriti makanan rakyat.

Mengulas isu itu, Ketua Program Sarjana Muda Sains Makanan (Teknologi Makanan) Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Madya Dr. Moha­mad Khairi Mohd. Zainol berkata, konflik makanan ketika ini didorong oleh kekurangan bekalan, pe­ningkatan kos pengangkutan, makanan ternakan dan pengelua­ran serta permintaan tinggi luar jangkaan.

Pensyarah Kanan Fakulti Perikanan dan Sains Makanan UMT itu berkata, langkah kerajaan dalam menangani kemelut amat dihargai, namun masih banyak perlu dilakukan bagi menjamin kelangsungan sekuriti makanan negara ini pada masa depan.

“Malaysia belum mencapai tahap kecukupan kendiri untuk makanan asas rakyatnya dan ini sedikit sebanyak membuka ruang manipulasi oleh pengeluar.

“Rancangan jangka panjang yang jitu perlu dilaksanakan bagi mengurangkan kebergantungan bahan mentah dengan negara pengimport,” katanya.

Ujarnya, pengurangan kebergantungan itu perlu dilaksanakan secara tersusun dan berterusan menerusi penglibatan kerajaan, korporat dan rakyat.

“Kerajaan juga perlu lebih agresif membangunkan bidang teknologi makanan agar dapat meningkatkan daya saing menjamin sekuriti makanan nasional.

“Teknologi terkini dalam penghasilan, penyimpanan dan pemprosesan makanan perlu dioptimumkan.

“Keberkesanan kajian berasaskan sekuriti makanan perlu diperingkatkan bagi memudahkan teknologi ini direalisasikan,” ujarnya.


Sunday, May 29, 2022

Koperasi disaran bantu agenda sekuriti makanan kerajaan

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Koperasi tempatan disyorkan agar lebih proaktif membantu kerajaan memastikan kelestarian sekuriti makanan rakyat yang menjadi agenda penting pada masa ini.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, koperasi boleh memainkan peranan lebih signifikan dalam bidang pemborongan dan peruncitan agar rantaian bekalan tidak terus lagi dimonopoli orang tengah.

“Sejak akhir-akhir ini terdapat isu harga barangan keperluan semakin naik, yang sebahagiannya disebabkan manipulasi orang tengah.

“Koperasi boleh membantu mengawal kenaikan harga barangan dengan (mengambil langkah) mendominasi rantaian bekalan,” katanya ketika merasmikan sambutan Hari Koperasi Negara peringkat Terengganu di Teluk Ketapang di sini hari ini.

Teks ucapan Ahmad Samsuri dibacakan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Datuk Yahaya Ali.

Ahmad Samsuri berkata, peranan koperasi dalam menguasai rantai bekalan membolehkan kos pengeluaran barang keperluan tempatan dikawal pada semua peringkat.

Jelas beliau, kawalan kos pengeluaran itu mendorong penetapan harga barangan keperluan pada kadar berpatutan sekali gus mengawal kenaikannya secara mendadak seperti berlaku pada masa ini.

“Saya percaya dengan perancangan rapi, manipulasi orang tengah dapat diatasi, pengguna pula mendapat harga berpatutan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Anggota polis dituduh terima rasuah suspek kes rogol

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menerima dan meminta suapan melibatkan suspek kes rogol berkumpulan pada tahun lalu.

Tertuduh, Norazmi Afiq bin Mohd. Solleh, 27, yang bertugas di Balai Polis Dungun membuat pengakuan tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dazuki Ali.

Berdasarkan pertuduhan pertama, dia didakwa menerima rasuah berjumlah RM2,500 daripada seorang lelaki sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap kes rogol di sebuah kedai makan di Dungun pada pukul 3.15 petang, 30 Mei lalu.

Bagi pertuduhan kedua pula, Norazmi Afiq didakwa mengambil rasuah sebanyak RM2,000 daripada seorang lelaki lain juga sebagai dorongan tidak mengambil tindakan kes rogol sama di tapak Pasar Malam Sura Gate, Dungun pada 9.40 malam, 23 Mei 2021.

Dia juga didakwa meminta suapan RM10,000 daripada dua lelaki terbabit sebagai dorongan tidak mengambil tindakan kes rogol berkumpulan di Dungun pada 19 Mei 2021.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Seksyen 16(a)(B) akta sama.

Kosmo! 6 Jun 2021 melaporkan dua sahabat ditahan bagi membantu siasatan kes rogol membabitkan seorang wanita berusia 19 tahun dan menyamar sebagai penjawat awam di Dungun. – KOSMO! ONLINE

Aset RM4.3 juta hasil edar dadah berjaya disita

 


Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Polis Terengganu menyita tujuh lot tanah dan 10 buah chalet bernilai keseluruhan hampir RM4.3 juta yang disyaki dibeli dengan hasil pendapatan pengedaran dadah.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md. Isa berkata, penyitaan terhadap kesemua aset dipercayai milik suspek kes pengedaran dadah tersebut merupakan terbesar yang pernah dilaksanakan di negeri ini.

Beliau berkata, rampasan aset berkenaan dilakukan susulan daripada penahanan pasangan suami isteri disyaki pengedar dadah di Manir di sini pada 9 Disember 2020.

“Dalam penahanan dua suspek berkenaan, polis telah merampas dadah disyaki jenis ganja seberat 541.18 gram dan dadah dipercayai jenis syabu seberat 46.70 gram.

“Mereka telah disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 39A(2) akta sama,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Rohaimi berkata, sasatan kewangan telah dijalankan terhadap kedua-dua orang berkenaan sebelum pemilikan tujuh harta tidak alih itu berjaya dikesan melalui bank dan institusi kewangan baru-baru ini.

Jelas beliau, kesemua aset terbabit telah disita mengikut Seksyen 28 (1) Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakkan Harta) 1988. – KOSMO! ONLINE.

Bot nelayan Vietnam kaut 700kg ikan ditahan APMM

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Satu lagi bot nelayan Vietnam yang menceroboh perairan negara berjaya ditahan Maritim Malaysia (APMM) pada kelmarin.

Bot tersebut ditahan ketika sedang leka menangkap ikan secara haram pada kedudukan 100 batu nautika dari timur perairan Kuala Terengganu di sini pada pukul 3 petang.

Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Saufi Mohd. Ramli berkata, pemeriksaan lanjut mendapati 15 nelayan Vietnam yang berusia dalam lingkungan 20 hingga 50 tahun terbabit gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.

“Mereka juga tidak memiliki permit kerja yang sah selain bot dinaiki tiada kebenaran untuk menangkap ikan di perairan negara oleh Jabatan Perikanan,” katanya di sini hari ini.

Muhammad Suffi berkata, pemeriksaan di dalam bot menjumpai 700 kilogram (kg) ikan yang dipercayai ditangkap secara haram di perairan negara.

Tambah beliau, APMM turut merampas 1,000 liter minyak diesel, bot dan peralatan menangkap ikan yang keseluruhannya dianggar bernilai RM1.5 juta.

“Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1963,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Jual emas RM50,000 dalam dua jam

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN, MOHD YUNUS YAKKUB dan MUHAMMAD AYMAN GHAFFA

PETALING JAYA – Peniaga emas di seluruh negara kini tidak menang tangan melayan pelanggan sejak hujung minggu lalu meskipun harga emas semasa melebihi RM250 segram.

Kunjungan luar biasa orang ramai ke premis menjual barang kemas itu adalah bersempena dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang berbaki dua ming­gu lagi selain pengeluaran wang RM10,000 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang mula dikreditkan ke dalam akaun pemohon sejak kelmarin.

Di Kota Bharu, pemilik Mah Kampong Kito, Farisha Najwa Rosli, 27, berkata, premisnya mencatatkan jualan lebih RM50,000 dalam masa dua jam selepas dibuka pada pukul 10 pagi semalam.

“Kami menjangkakan ramai pelanggan yang menjual emas kerana harganya tinggi, namun keadaan sebaliknya pula berlaku apabila pembelian barang kemas meningkat.

“Selain Pengeluaran Khas KWSP, cuti umum sempena Nuzul al-Quran digunakan orang Kelantan dari daerah lain untuk berkunjung ke sini hari ini (semalam) bagi membeli emas,” katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.

Menurut Farisha, kebanyakan pelanggan yang datang ke premisnya membeli gelang ta­ngan dan rantai leher rekaan terbaharu berbentuk bulat iaitu boba.

Wanita itu menjangkakan bilangan pelanggan akan terus meningkat saat-saat akhir menjelang Aidilfitri bulan depan.

Sementara itu, seorang pe­langgan, Farah Izzatie Maadin, 29, berkata, dia membelanjakan RM3,000 untuk membeli dua utas rantai leher termasuk dihadiahkan kepada adiknya sempena Syawal.


Di Kuala Terengganu, rangkaian kedai emas di Pasar Besar Kedai Payang yang sebelum ini lengang kembali meriah terutama pada cuti umum semalam.

Pengusaha emas, Nursheila Majid memberitahu, premisnya mula dikerumuni pelanggan sebaik dibuka pada pukul 9 pagi dan kebanyakan mereka membeli emas selain berminat untuk me­ngetahui rekaan terbaharu.

“Keadaan ini berbeza kerana sebelum ini kurang pelanggan disebabkan harga emas tinggi sehingga kami terpaksa tutup operasi pukul 2 petang,” katanya.

Situasi sama turut berlaku di Shah Alam apabila tinjauan di Kedai Emas Sri Tanah Merah, Seksyen 7 semalam mendapati orang ramai tidak putus-putus berkunjung ke premis itu sejak pukul 10 pagi.


Seorang pekerja swasta, Norhasikin Ahmad Nordin, 33, berkata, dia menggunakan sebahagian wang pengeluaran KWSP untuk membeli emas sebagai aset.

“Tahun lepas saya menggunakan wang KWSP untuk beli rumah. Hari ini (semalam) saya membeli rantai leher, gelang ta­ngan dan kaki pula,” katanya.

Kosmo! semalam melaporkan kedai emas dijangka diserbu orang ramai yang ingin membuat pembelian menggunakan wang KWSP yang mula dikreditkan bermula Isnin.

Mayat lelaki OKU hilang 12 hari ditemui dalam belukar

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU – Mayat reput dipercayai seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU) yang dilaporkan hilang pada 13 Mei lalu ditemui di kawasan belukar berhampiran Kampung Tanjung Aur di sini hari ini.

Mayat Abdul Hadi Ismail, 37, ditemui dalam keadaan tertiarap di lokasi tersebut oleh seorang pencari buluh lemang pada pukul 9.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, mayat lelaki kudung kaki tangan tersebut yang dilaporkan hilang 12 hari lalu tersebut sudah berada dalam keadaan reput.

“Mayat lelaki tersebut dijumpai lengkap berpakaian dengan tangan kiri mangsa disyaki telah dimakan binatang liar dengan tulang tangan itu ditemui kira-kira 3.05 meter dari lokasi penemuan.

“Motosikal jenis Honda Dash berserta kunci, selipar dan tongkat dipercayai miliknya berada tidak jauh dari lokasi mayat dijumpai,” katanya di sini hari ini.

Lokasi penemuan mayat Abdul Hadi yang juga pengusaha kek jauh dari jalan besar dan kira-kira 15 meter dari tebing Sungai Terengganu.

Mohd. Adli berkata, mayat Abdul Hadi telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk dibedah siasat. – KOSMO! ONLINE.

Saturday, May 28, 2022

Kelewatan skim pembiayaan usahawan IKS terjejas banjir ditegur

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Kelewatan pengagihan skim pembiayaan kepada usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) yang terjejas banjir oleh SME Corp dan Malaysian Industrial Development Finance Bhd. (MIDF) mendapat teguran kerajaan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, berdasarkan maklum balas, kesemua lebih 200 pemohon dalam kalangan pengusaha IKS terjejas masih belum menerima pinjaman masing-masing walaupun musibah banjir sudah lama berakhir.

Beliau berkata, kelewatan pembayaran pinjaman oleh MIDF disebabkan isu perjanjian yang masih belum selesai walaupun permohonan perbiayaan itu sudah lama diluluskan SME Corps.

“Sebelum ini, saya telah pesan agar syarat-syarat pinjaman dipermudahkan kerana ia bertujuan membantu usahawan (IKS) yang kecemasan (akibat banjir).

“Tidak bolehlah prosedur normal. Begitupun, saya mendapati syarat ditetapkan masih sama sehingga menyebabkan kelewatan,” katanya selepas menyampaikan Geran Bantuan Keluarga Malaysia di sini hari ini.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan dana skim pembiayaan berjumlah keseluruhan RM100 juta bagi membantu usahawan IKS yang terjejas banjir.

Pembiayaan itu merupakan pinjaman mudah tanpa faedah dan ansurans bulanan hanya perlu dibayar oleh usahawan IKS terlibat selepas tempoh setahun. – KOSMO! ONLINE

Masa untuk bangun semua koperasi terjejas Covid-19

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Kerajaan kini memberi fokus diberi untuk membantu koperasi yang terjejas teruk bangkit semula daripada kesan pandemik Covid-19.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Muslimin Yahaya berkata, peralihan ke fasa endemik baru-baru ini merupakan masa sesuai untuk membangunkan semula koperasi-koperasi terlibat.

“Beberapa pakej bantuan telah dilancar dan disalurkan kepada semua koperasi yang layak.

“Setakat ini, sebanyak hampir RM21 juta (peruntukan) telah disalurkan melibatkan 542 koperasi termasuk 55 di Terengganu,” katanya pada sambutan Hari Koperasi Negara peringkat negeri di sini hari ini.

Muslimin berkata, antara bantuan tersebut ialah program Transformasi Ekonomi Gerakan Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Tabung Bantuan Kecemasan Koperasi dan program Sektor Peneraju Ekonomi Koperasi.

Jelas beliau, kelembapan ekonomi akibat pandemik Covid-19 sejak awal tahun 2020 telah memberi kesan besar terhadap gerakan koperasi tempatan.

“Terdapat koperasi terpaksa memberhentikan atau memotong gaji pekerja.

“Lebih serius lagi, sesetengah koperasi terpaksa menghentikan operasi aktiviti kerana sekatan yang dilaksanakan bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Keputusan JISA nahas Terowong Menora diketahui minggu depan

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Keputusan audit keselamatan kenderaan perdagangan (JISA) melibatkan treler yang terlibat dalam nahas negeri mengorbankan lima pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) pada dua minggu lalu akan diketahui dalam minggu depan.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Zailani Hashim berkata, keputusan JISA itu merupakan siasatan lebih terperinci berhubung kemalangan berkenaan dan ia penting bagi memastikan kenderaan benar-benar mematuhi spesifikasi dan peraturan ditetapkan.

“JPJ telah melakukan penugasan pengumpulan maklumat dan keputusan (tindakan undang-undang) akan dibuat selepas laporan JISA disiapkan.

“Kita juga akan memeriksa sama ada kenderaan terlibat menjalani pemeriksaan Puspakom (Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer) atau tidak,” katanya ketika ditemui pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri JPJ Terengganu di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kemalangan maut yang mengorbankan lima pelajar USAS di Kilometer 245.2, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara berhampiran Terowong Menora, Kuala Kangsar pada 12 Mei lalu.

Dalam kejadian pada pukul 12.52 tengah malam itu, kereta Honda City dinaiki kesemua mangsa berusia 19 hingga 23 tahun dirempuh sebuah treler menyebabkannya terbakar.

Pemandu treler berkenaan, Aznizam Razali, 28, membuat pengakuan tidak bersalah memandu secara berbahaya sewaktu dihadapkan di Mahkamah Majistret Kuala Kangsar pada 17 Mei lalu.

Jelas Zailani lagi, tumpuan JISA bagi memastikan kenderaan berat yang terlibat dalam kemalangan ngeri itu benar-benar mematuhi spesifikasi ditetapkan dalam kejuruteraan automobil JPJ. – KOSMO! ONLINE

Pelancong asing mula banjiri pulau Terengganu

KUALA TERENGGANU – Rangkaian pulau-pulau peranginan terkenal di Terengganu akan kembali meriah mulai awal bulan depan dengan kehadiran semula puluhan ribu pelancong asing terutama dari Eropah dan Asia Timur.

Perkembangan itu sangat mengujakan pengusaha resort di pulau peranginan tersebut terutama Pulau Perhentian, Besut dan Pulau Redang, Kuala Nerus setelah dua tahun sepi tanpa kunjungan pelancong antarabangsa ekoran pandemik Co­vid-19.

Pengurus Operasi Pelangi Redang Resort, Foo Ee Lin berkata, pihaknya mula menerima tempahan daripada ramai pelancong asing bermula awal bulan ini.

“Pengumuman peralihan negara ke fasa endemik bermula 1 Mei lalu telah menarik minat dan keyakinan pelancong asing untuk kembali berkunjung ke Pulau Redang.

“Secara kebetulan, nilai Ringgit yang rendah sejak akhir-akhir ini telah memberi kelebihan kepada sebahagian pelancong luar negara kerana kuasa beli mereka semakin tinggi,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Ee Lin berkata, mereka sangat teruja apabila mula menerima tempahan penginapan daripada pelancong Eropah terutama dari Jerman, Itali dan Slovakia selain China.

Menurutnya, berdasarkan maklum balas, waktu puncak kehadiran pelancong asing itu khususnya dari Eropah pada Julai ini.

“Mereka akan mengambil peluang bercuti musim panas sepanjang Jun hingga Ogos ini seperti dilakukan sebelum penularan Covid-19.

“Pulau-pulau peranginan Terengganu termasuk Pulau Redang pasti dirindui pelancong ­asing setelah dua tahun sempadan antarabangsa ditutup,” ujarnya.

Seorang pengusaha resort di Pulau Perhentian, Mohd. Sabri Hamdan pula menjangkakan pulau-pulau peranginan Terengganu akan didominasi pengunjung asing sehingga Ogos depan.

Jelas pemilik Crocodile Rock Villas dan Bistro itu, kunjungan pelancong domestik yang memenuhi pulau peranginan Terengganu sejak musim perayaan Aidilfitri pula akan berkurangan selepas ini.

“Kenaikan kos sara hidup mungkin memberi kesan kepada pengunjung tempatan, tetapi sebaliknya kuasa beli pelancong luar negara pula meningkat.

“Pengusaha resort di pulau-pulau peranginan Terengganu telah membuat persiapan untuk menyambut kehadiran pelancong asing terbabit,” ujarnya.

Pelancong Asia Timur, Eropah tunggu masuk Terengganu

KUALA NERUS – Pemain industri pelancongan Terengganu tidak sabar menunggu pembukaan semula sempadan antarabangsa berikutan peralihan fasa endemik mulai Jumaat ini.

Rata-ratanya sedang rancak membuat persediaan bagi me­nyambut pelancong setelah le­bih dua tahun mengalami kerugian ekoran pandemik Covid-19.

Pengusaha hotel terutama di tujuh rangkaian pulau peranginan di seluruh Terengganu tidak sabar menyambut keha­diran pelancong asing yang kali terakhir diterima mereka sebelum monsun Timur Laut Oktober 2019.

Seramai 62 pemandu teksi juga mengharapkan rezeki mereka kembali melimpah ruah apabila Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di sini kembali meriah kelak.

Pengurus Redang Pelangi Resort, Foo Ee Lin berkata, ke­semua lapan resort yang terdapat di Pulau Redang sudah mula beroperasi secara berperingkat selepas berakhirnya musim tengkujuh mulai 1 Mac lalu.

Beliau berkata, setakat ini, purata kadar penginapan bilik mencecah 60 peratus dalam kalangan pengunjung domestik terutama dari Lembah Klang.

“Kadar tempahan bilik penginapan dalam pelancong asing mula diterima dan dijangka akan terus meningkat berikutan pembukaan sempadan negara mulai 1 April ini.

“Berdasarkan pengalaman sebelum ini, selain dari negara-negara jiran di Asia Tenggara, pelancong Asia Timur seperti China, Korea Selatan dan Jepun gemar mengunjungi Pulau Redang antara bulan April hingga Jun,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Ee Lin berkata, pelancong Eropah pula biasanya akan tiba ke Terengganu apabila mereka mula bercuti musim panas mulai Mei depan.

Jelasnya, kesemua pengusaha resort di rangkaian pulau peranginan di Terengganu termasuk Pulau Redang telah membuat persiapan rapi bagi menyambut kehadiran lebih ramai pelancong sekali gus bero­perasi secara penuh.