Translate

Monday, May 27, 2024

Pemantauan aktiviti pelancongan diketatkan

KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri Terengganu akan meningkatkan pemantauan terhadap aktiviti  semua destinasi pelancongan di negeri ini rentetan pelanggaran garis panduan dilakukan sebuah resort terkenal yang menganjurkan Pesta Aloha di Pulau Lang Tengah, Setiu pada Isnin lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Terengganu, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pemantauan itu bagi memastikan semua aktiviti pelancongan terutama pada musim cuti persekolahan bermula semalam benar-benar mematuhi Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Terengganu 2020.

"Saya telah mengarahkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk memantau semua resort dan hotel di negeri ini agar sentiasa mematuhi garis panduan ditetapkan.

"Kita tidak mahu aktiviti yang tidak menetapi syariah Islam dan mencemarkan imej negeri berulang lagi," katanya di sini semalam.

Wan Sukairi berkata, kerajaan negeri menunjukkan ketegasan dengan mengenakan kompaun maksium RM25,000 terhadap penganjur Pesta Aloha kelmarin.

Tambah beliau, tindakan penguatkuasaan juga diambil segera iaitu dua hari bekerja selepas penganjuran program terbabit tular di media sosial.

"Kerajaan negeri juga tidak menolak kemungkinan mengkaji agar had maksimum denda yang kini cuma RM25,000 dinaikkan lagi," katanya.

Sunday, May 26, 2024

Bekas pengurus tidak lapor rasuah didenda RM27,500

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Bekas pengurus Ladang Tabung Tentera Terengganu didenda RM27,500 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana tidak melaporkan pemberian rasuah  RM17,600 kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Hakim Mohd. Azhar Othman menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Sauddin Che Lamin, 60, membuat pengakuan bersalah atas tiga pertuduhan pilihan yang dihadapinya.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dikenakan hukuman penjara tujuh bulan sekiranya gagal membayar denda.

Berdasarkan kesemua pertuduhan itu, Sauddin didakwa tidak melaporkan pemberian wang RM17,600 yang diberikan pengadu pada Julai, Ogos dan Oktober 2015 kepada SPRM.

Kosmo! 29 November 2021 melaporkan Sauddin didakwa atas enam pertuduhan menerima wang suapan berjumlah RM27,500 daripada pengadu.

Tertuduh didakwa menerima suapan itu sebagai dorongan memilih syarikat TP Parts & Machinery dan Syarikat SS Terus Jaya Enterprise bagi membekalkan barangan kepada Ladang Tabung Tentera Terengganu.

Perbuatan itu dilakukan sejak Julai sehingga Disember 2015. – KOSMO! ONLINE

Pesta Aloha: Pengurusan Summer Bay Resort mohon maaf

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Pengurusan Summer Bay Resort memohon maaf berhubung kelanjuran penganjuran Pesta Aloha yang berlangsung di Pulau Lang Tengah, Setiu pada Isnin lalu.

Pengerusi Eksekutif Summer Bay Resort, Datuk Chong Fah Ming berkata, pihaknya tidak berniat melanggar garis panduan hiburan dan pelancongan ditetapkan kerajaan negeri Terengganu.

Sehubungan itu, beliau berjanji pengurusan resort yang sudah beroperasi sejak 10 tahun tersebut akan lebih berhati-hati dalam penganjuran sebarang program pada masa hadapan.

Fah Ming berkata, program tersebut bukanlah pesta liar seperti didakwa sebaliknya cuma acara kekeluargaan yang mengandungi persembahan permainan api, tiupan seruling dan zumba.

Beliau berkata, pihaknya mengambil pengajaran kontroversi yang berlaku, namun ia tidak sesekali mematahkan semangatnya untuk bersama-sama terus memajukan industri pelancongan Terengganu.

Kosmo! hari ini melaporkan melaporkan kerajaan negeri Terengganu memanggil pengurusan sebuah resort terkenal di Pulau Lang Tengah berhubung penganjuran Pesta Aloha yang tular di media sosial. – KOSMO! ONLINE

Pesta Aloha: Pemilik Summer Bay Resort dikompaun RM25,000

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Pemilik Summer Bay Resort dikompaun RM25,000 oleh kerajaan negeri Terengganu ekoran penganjuran Pesta Aloha yang menimbulkan kontroversi di Pulau Lang Tengah, Setiu pada Isnin lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Datuk Razali Idris berkata, siasatan mendapati penganjuran program tersebut dilakukan tanpa permit dan melanggar Enakmen Hiburan dan Tempat Hiburan 2002.

“Kita telah memanggil pengurusan Summer Bay Resort untuk memberi penjelasan berhubung penganjuran Pesta Aloha.

“Berdasarkan penjelasan tersebut, kita mendapati penganjuran program tersebut telah melanggar Subseksyen 16 (1) Enakmen Hiburan dan Tempat Hiburan 2002,” katanya di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Terdahulu beliau bersama Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Terengganu, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah menerima penjelasan daripada pengurusan Summer Bay Resort diketuai Pengerusi Eksekutif Summer Bay Resort, Datuk Chong Fah Ming.

Razali berkata, siasatan lanjut terhadap pemilik resort terbabit berhubung kesalahan-kesalahan lain berkaitan penganjuran Pesta Aloha tersebut pula akan dilakukan agensi-agensi kerajaan pada masa terdekat.

Jelas beliau, siasatan mendapati Summer Bay Resort telah menganjurkan program pesta seumpama tersebut secara tertutup tanpa pengetahuan pemegang taruh lain termasuk kerajaan negeri Terengganu, Jabatan Pelancongan negeri dan pihak berkuasa tempatan sejak tahun 2015.

Razali berkata, kerajaan juga memutuskan agar penganjuran Pesta Aloha terbabit tidak dibenarkan lagi dianjurkan oleh Summer Bay Resort pada masa hadapan.

Kosmo! hari ini melaporkan kerajaan negeri Terengganu memanggil pengurusan sebuah resort terkenal di Pulau Lang Tengah berhubung penganjuran Pesta Aloha yang tular di media sosial. – KOSMO! ONLINE

Anjur Pesta Aloha, pengusaha resort Pulau Lang Tengah disiasat

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Pengurusan sebuah resort terkenal akan dipanggil kerajaan negeri Terengganu untuk memberi penjelasan berhubung penganjuran Pesta Aloha di Pulau Lang Tengah, Setiu pada kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Datuk Razali Idris berkata, tindakan tegas akan diambil sekiranya penganjuran parti pantai terbabit didapati benar-benar telah melanggar menyalahi Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Terengganu 2020.

“Kita mahu mendengar keterangan pengusaha resort persendirian itu terlebih dahulu sebelum mengambil apa-apa tindakan susulan.

“Sekiranya terdapat elemen kesalahan sama ada garis panduan hiburan dan kebudayaan serta kelulusan permit, kita akan bertindak,” katanya di sini hari ini.

Beliau mengulas penularan penganjuran Pesta Aloha di sebuah resort terkenal di Pulau Lang Tengah pada kelmarin yang kini tular di media sosial.

Pesta pantai itu mendapat kecaman netizen berikutan dakwaan kebanyakan pesertanya yang dikatakan dalam kalangan bukan Islam memakai pakaian mencolok mata.

Razali berkata, siasatan berhubung penganjuran Pesta Aloha terbabit akan turut melibatkan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu.

Tambah beliau, orang ramai yang mempunyai bukti kesalahan penganjuran parti di Pulau Lang Tengah terbabit.

“Jika ada bukti kesalahan atau orang Islam turut terlibat menyertai parti (Aloha) itu, salurkan segera kepada pihak berkuasa untuk membantu siasatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Saturday, May 25, 2024

KPDN tumpas aktiviti seleweng petrol subsidi di Kuala Besut

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

BESUT – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu menumpaskan aktiviti penyelewengan minyak petrol bersubsidi di Kuala Besut di sini semalam.

Dalam serbuan pukul 6 petang itu, pasukan penguatkuasaan KPDN merampas 1,380 liter minyak petrol bersubsidi yang disorokkan di sebuah rumah.

Pengarah KPDN Terengganu, Saharuddin Mohd. Kia berkata, kesemua minyak petrol bersubsidi tersebut didapati disimpan dalam 46 buah tong.

“Siasatan awal mendapati anggota sindiket terbabit membeli minyak petrol bersubsidi terbabit di stesen-stesen minyak di mukim Kuala Besut sebelum menyimpannya di dalam tong.

“Minyak petrol bersubsidi tersebut kemudian dijual kepada pengguna di pulau peranginan berhampiran,” katanya di sini hari ini.

Saharuddin berkata, serbuan juga berjaya menahan dua lelaki berusia 29 dan 31 tahun disyaki anggota sindiket itu.

Beliau berkata, siasatan untuk menjejak rantaian pengedaran minyak petrol bersubsidi yang diseleweng itu sedang dilakukan mengikut Akta Bekalan Kawalan 1961.

“Jika sabit kesalahan, denda maksimum RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali boleh dikenakan bagi pesalah individu.

“Sekiranya melibatkan pesalah syarikat pula, denda maksimum RM2 juta boleh dijatuhkan jika sabit kesalahan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Beli diesel guna permit palsu, jual semula di pasaran gelap

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

DUNGUN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu berjaya menumpaskan aktiviti penyelewengan diesel bersubsidi di Paka di sini kelmarin.

Dalam serbuan di sebuah stesen minyak pada pukul 10 malam itu, pasukan penguat kuasa KPDN berjaya merampas 400 liter diesel disyaki bersubsidi bernilai keseluruhan RM41,000.

Pengarah KPDN Terengganu, Saharuddin Mohd. Kia berkata, serbuan sama berjaya menahan seorang pemandu lori berusia 20-an disyaki anggota sindiket penyeludupan berkenaan.

Beliau berkata, pemeriksaan menjumpai 14 tong plastik mengandungi minyak diesel bersubsidi tersebut.

“Siasatan awal mendapati sindiket itu menggunakan modus operandi membeli minyak diesel dari stesen-stesen minyak sekitar mukim Paka dan daerah Kemaman menggunakan permit barang kawalan palsu.

“Minyak diesel tersebut dipercayai kemudiannya diisi di dalam tong plastik sebelum dijual untuk kegunaan di kawasan perindustrian sekitar daerah ini dan Kemaman secara pasaran gelap,” katanya di sini hari ini.

Saharuddin berkata, siasatan lanjut sedang dilakukan bagi menjejak rantaian pengedaran minyak diesel bersubsidi itu.

Beliau berkata, kes mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961. – KOSMO! ONLINE

APMM tahan 2 bot nelayan Vietnam di perairan Terengganu

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Maritim Malaysia (APMM) berjaya menahan dua bot nelayan Vietnam yang sedang leka menangkap hasil laut secara haram di perairan Terengganu semalam.

Dua bot nelayan asing terbabit ditahan kapal maritim yang sedang mengadakan rondaan pada kedudukan 218.54 kilometer (km) dari timur laut muara Kuala Terengganu pada pukul 10.20 pagi.

Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Mohd. Khairulanuar Abd. Majid berkata, operasi tersebut juga berjaya menahan 20 nelayan Vietnam berusia dalam lingkungan 19 hingga 50 tahun.

“Pemeriksaan mendapati kesemua suspek gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dan perjalanan yang sah.

“Mereka juga tidak memiliki permit untuk menangkap ikan di perairan negara daripada Jabatan Perikanan,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Khairulanuar berkata, APMM juga menyita dua bot, peralatan menangkap ikan, hasil laut dan minyak diesel dianggarkan bernilai RM3 juta.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1963. – KOSMO! ONLINE

Pegawai JKR Hulu Terengganu didenda RM10,000 tidak maklum terima rasuah RM90,000

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang Penolong Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Hulu Terengganu didenda RM10,000 kerana tidak melaporkan pemberian rasuah berjumlah RM90,000 berhubung tender projek penyelenggaraan cerun pada sembilan tahun lalu.

Hakim Mohd. Azhar Othman memutuskan demikian selepas tertuduh, Md. Shahrul Haizal Mohamad, 45, membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan pilihan berkenaan.

Beliau memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara selama tiga bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Md. Shahrul Haizal membayar denda berkenaan.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa tidak melaporkan pemberian suapan berjumlah RM90,000 untuk dirinya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 25(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Kosmo! 6 April 2021 melaporkan Md. Shahrul Haiza didakwa menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan setelah mendapatkan projek kerja-kerja penyenggaraan cerun runtuh di Jalan Felda Tersat, Hulu Terengganu yang bernilai RM96,780.

Dia yang juga pegawai penyelia tapak projek berkenaan didakwa melakukan perbuatan tersebut di Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Hulu Terengganu pada 29 Julai 2015. – KOSMO! ONLINE

Monday, May 20, 2024

Bukit Aman tahan lans koperal edar dadah

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal diberkas bagi membantu siasatan kes pengedaran dadah di Paka, Dungun hari ini.

Suspek ditahan dalam serbuan dilakukan sepasukan anggota Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman pada pukul 12.45 tengah malam tadi.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairuddin berkata, pemeriksaan menjumpai pil dan serbuk disyaki dadah jenis pil Yaba seberat 110.87 gram, syabu (5.42 gram) dan heroin (0.11 gram)

“Nilai rampasan kesemua dadah tersebut dianggarkan RM8,600,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Khairi berkata, anggota polis telah telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun untuk disoal siasat.

Beliau berkata, pemeriksaan urin mendapati suspek bebas daripada pengaruh dadah.

“Dia telah ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Penglibatan anggota polis dalam jenayah penyalahgunaan dadah ini amat diambil serius,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Sunday, May 19, 2024

Pelancong Jerman mati lemas di Pulau Perhentian

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang pelancong wanita warga Jerman warga emas maut akibat lemas sewaktu sedang bercuti di Pulau Perhentian, Besut di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 3.30 petang itu, mangsa, Dr. Loosen-Freling Iris, 74, dikatakan sedang mandi di pantai pulau peranginan terkenal berkenaan bersama suaminya.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairuddin berkata, suami wanita cuba menyelamatkannya daripada lemas dengan menariknya dari pantai dengan bantuan beberapa pengunjung lain.

“Mereka cuba memberi wanita itu bantuan pernafasan (CPR) namun mangsa tidak menunjukkan respon positif.

“Mangsa kemudiannya dikejarkan ke Klinik Kesihatan Pulau Perhentian sebelum disahkan sudah meninggal dunia,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Khairi berkata, kematian Iris telah dilaporkan kepada polis pada pukul 4.37 petang.

Beliau berkata, mayat Iris telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Besut untuk dibedah siasat.

“Setakat ini, tiada unsur jenayah dijumpai dan kematian mangsa diklasifikasikan sebagai kematian mengejut. – KOSMO! ONLINE

Dua bot nelayan Vietnam curi sotong ditahan APMM

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Dua bot nelayan Vietnam yang sedang leka menangkap sotong di perairan Terengganu berjaya ditahan Maritim Malaysia (APMM) di perairan Terengganu pada Khamis lalu.

Kedua-dua bot nelayan asing itu ditahan oleh Kapal Maritim (KM) Pekan pada kedudukan 287.1 kilometer dari timur muara Kuala Terengganu.

Timbalan Pengarah Maritim Terengganu, Mohd. Firdaus Mohd. Anuar berkata, sebaik menyedari kehadiran KM Pekan, dua bot nelayan Vietnam tersebut memecut laju cuba melarikan diri.

“Begitupun, kedua-dua bot terbabit berjaya juga dipintas setelah kira-kira sejam dikejar.

“Pemeriksaan mendapati kesemua 12 nelayan asing yang ditahan gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dan perjalanan sah,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Maritim Terengganu di sini hari ini.

Mohd. Firdaus berkata, bot nelayan Vietnam itu juga tidak mempunyai permit kebenaran menangkap ikan di perairan negara.

Beliau berkata, APMM percaya dua bot nelayan asing terbabit mencerobohi perairan negara bagi mengambil kesempatan lambakan sotong sempena musim mencandat pada masa ini.

“Siasatan awal berdasarkan hasil tangkapan yang dirampas, 12 nelayan Vietnam berusia dalam lingkungan 19 hingga 50 tahun itu memang menyasarkan sotong,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Wednesday, May 15, 2024

Serbu KWSP lepas subuh

\Oleh MOHD AZLI ADLAN, JAMLIAH ABDULLAH dan ROSLIZA MOHAMED

PETALING JAYA – Orang ramai semalam menyerbu pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi membuat permohonan untuk melakukan pemindahan wang daripada Akaun Sejahtera ke Akaun Fleksibel. 

Walaupun permohonan itu boleh dibuat secara dalam talian melalui KWSP i-Akaun, namun pencarum tetap mengunjungi pejabat KWSP untuk memeriksa baki simpanan, membuat pertanyaan lanjut dan mengemas kini kata laluan. 

Tinjauan Kosmo! di pejabat KWSP di tiga negeri iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu semalam mendapati, ada pencarum yang sanggup datang seawal subuh sebelum pejabat KWSP…

 

Tuesday, May 14, 2024

Cuepacs yakin semua kerajaan negeri ikut laksana kenaikan gaji penjawat awam

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) optimis kenaikan gaji lebih 15 peratus yang bakal dinikmati penjawat awam akan dilaksanakan seluruh negara termasuk melibatkan kakitangan kerajaan negeri berkuatkuasa 1 Disember depan.

Presiden Cuepacs, Datuk Dr. Adnan Mat berkata, berdasarkan rekod sebelum ini, tiada satu pun skim saraan perkhidmatan awam yang diluluskan kerajaan Persekutuan ditolak oleh mana-mana kerajaan negeri.

“Skim perkhidmatan awam di negara ini cuma satu dan ia diguna pakai untuk semua kakitangan kerajaan di peringkat Persekutuan, negeri, badan berkanun dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Tidak bolehlah perkhidmatan dan jawatan sama tetapi gaji berbeza (di peringkat persekutuan dan negeri) , ia akan menjadi jurang yang tidak saksama,” katanya ketika ditemui pada Himpunan Penjawat Awam Terengganu di Tok Jiring di sini hari ini.

Terdahulu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis lalu memberi jaminan kerajaan Persekutuan akan membantu kerajaan negeri yang mempunyai masalah kewangan untuk melaksanakan kenaikan gaji penjawat awam yang telah diumumkan awal bulan ini.

Adnan berkata, setakat ini, pengumuman kenaikan gaji penjawat awam tersebut telah disambut baik oleh kerajaan negeri Sabah, Sarawak, Pulau Pinang, Perak dan Pahang.

Ujar beliau, Cuepacs percaya kerajaan negeri lain bukan tidak bersetuju dengan pelarasan gaji penjawat awam tersebut tetapi menunggu perinciannya terlebih dahulu.

“Cuepacs yakin tiada masalah (kerajaan negeri mengikut kenaikan gaji penjawat awam diumum kerajaan Persekutuan).

“Sebelum ini, semua kerajaan negeri mengikut memberi bantuan khas Aidilfitri dan bonus penjawat awam yang diumum kerajaan Persekutuan malah ada yang (memberi) lebih baik lagi,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Hadis 40 Imam Al-Nawawi diajar di tabika Kemas

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Himpunan hadis 40 Imam Al-Nawawi akan dimasukkan dalam silibus pengajaran taman bimbingan kanak-kanak (tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di seluruh negara mulai pertengahan tahun ini.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dasuki berkata, pengajaran kepada murid tabika Kemas beragama Islam berkenaan akan menggunakan buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang ringkas dan mudah difahami.

“Kemas yang merupakan agensi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah telah menjalin kerjasama dengan DBP untuk memperluas pengajaran hadis 40 Imam Al-Nawawi yang sebelum ini di peringkat sekolah ke pra sekolah pula.

“Inisiatif ini sejajar dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar memulakan pemahaman himpunan hadis Imam Al-Nawawi dari peringkat awal lagi bagi membentuk pembinaan peribadi, sahsiah dan akhlak umat Islam negara ini,” katanya selepas melancarkan buku tersebut di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini semalam.

Asyraf Wajdi berkata, pada peringkat awal, pengajaran himpunan hadis 40 Imam Al-Nawawi itu akan diajar di 4,145 tabika pra tahfiz kelolaan Kemas bermula bulan Jun depan.

Tambah beliau, ia melibatkan hampir 80,000 murid tabika Kemas di seluruh negara

“Pengajaran hadis 40 Imam Nawawi tersebut akan diperluaskan ke semua 10,840 tabika Kemas seluruh negara secara berperingkat selepas itu.

“Sebelum itu, guru-guru Kemas akan menjalani latihan modul pengajaran silibus baharu berkenaan pada masa terdekat,” katanya.

Asyraf Wajdi berkata, himpunan hadis 40 Imam Al-Nawawi terbabit akan diajar secara santai agar mudah difahami murid tabika Kemas berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Sunday, May 12, 2024

Mohd. Khairi Ketua Polis Terengganu baharu

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN



KUALA TERENGGANU – Pengarah Seksyen Pelaksanaan Operasi Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Datuk Mohd. Khairi Khairuddin dilantik sebagai Ketua Polis Terengganu baharu berkuat kuasa hari ini.

Beliau menggantikan Datuk Mazli Mazlan yang mengambil alih posisinya di Nadma.

“Saya akan meneruskan misi mengekalkan keamanan dan ketenteraman awam di Terengganu yang merupakan negeri tumpuan pelancong.

“Pengalaman saya di Nadma akan digunakan bagi menghadapi musim tengkujuh yang melanda Terengganu dari bulan Oktober hingga Mac setiap tahun,” katanya selepas majlis serah tugas Ketua Polis Terengganu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di sini hari ini.

Penyerahan jawatan antara beliau dan Mazli disaksikan Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman, Datuk Seri Sahabudin Abd. Manan.

Sebelum bertugas sebagai Pengarah Seksyen Pelaksanaan Operasi Nadma, Mohd. Khairi yang berasal dari Gombak, Selangor turut berpengalaman sebagai Komander Unit Tindakan Khas (UTK), Polis Diraja Malaysia (PRDM).

Dalam pada itu, Mazli berpuas hati amat berkhidmat semalam setahun dua hari sebagai Ketua Polis Terengganu. – KOSMO! ONLINE


Periksa CCTV cari petunjuk kes samun Akhyar

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat kes samun melibatkan pemain Terengganu FC (TFC), Muhammad Akhyar Rashid, 25, pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pasukan khas tersebut sedang giat mencari petunjuk kes jenayah tersebut termasuk menerusi rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di kawasan-kawan yang mungkin dilalui suspek.

“Setakat ini, tiga keterangan telah diambil daripada Akhyar, kakaknya dan seorang penghantar yang membantu mangsa.

“Begitupun setakat ini, tiada petunjuk baharu ditemui. Identiti suspek dan kenderaan digunakan gagal dicam oleh mangsa,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Azli berkata, pemeriksaan cap jari sedang dilakukan bagi mengesan suspek yang menyamun Akhyar.

Tambah beliau, siasatan lanjut juga percaya sekurang-kurangnya tiga lelaki terlibat dalam kes samun melibatkan mangsa yang juga bintang Harimau Malaysia.

“Berdasarkan keterangan mangsa (Akhyar), suspek-suspek terus menyerang dengan kepala dan kakinya dipukul dengan besi boleh laras tanpa berkata apa-apa sebelum melarikan beg dan dompet.

“Mangsa dan keluarganya kelihatan trauma dengan insiden itu. Kawalan keselamatan di kawasan apartmen kediamannya telah dipertingkatkan, ” katanya.

Kosmo! kelmarin melaporkan Muhammad Akhyar cedera dipukul dengan sebatang besi boleh laras dalam kejadian bermotifkan samun di bawah sebuah apartmen didiaminya di bandar raya ini. – KOSMO! ONLINE

Kes serangan Akhyar, Faisal tiada kaitan

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Polis menolak kemungkinan kes serangan melibatkan pemain Terengganu FC, Muhammad Akhyar Abdul Rashid dan pemain Selangor FC, Faisal Abdul Halim berkaitan antara satu sama lain.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, siasatan awal percaya motif dan dalang setiap kes berkenaan adalah berlainan.

“Berdasarkan petunjuk-petunjuk awal yang ditemui setakat ini, kita percaya kes menimpa Muhammad Akhyar bermotifkan samun.

“Tiada persamaan dan hubung kait dengan kes Faisal yang telah disimbah cecair dipercayai asid semalam,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Azli berkata, siasatan lanjut berhubung kes samun Akhyar sedang giat dilakukan pasukan khas yang telah dibentuk baru-baru ini.

Kosmo! Jumaat lalu melaporkan Muhammad Akhyar cedera dipukul dengan sebatang besi boleh laras dalam kejadian bermotifkan samun di bawah sebuah apartmen didiaminya di bandar raya ini.

Dalam kejadian pada pukul 8.53 malam itu, pemain pinjaman dari Johor Darul Ta’zim (JDT) terbabit terpaksa menerima enam jahitan akibat kecederaan pada bahagian kepala dan tapak kaki kiri.

Muhammad Akhyar yang bermain pada posisi sayap juga mengalami kerugian RM4,800 selepas beg tangan jenama LV dn dompet jenama Coach dilarikan penjenayah memakai jaket hoodie berkenaan.

Faisal pula melecur tahap dua apabila disimbah cecair dipercayai asid oleh dua lelaki tidak dikenali yang menaiki motosikal di hadapan sebuah pusat membeli-belah di Damansara, Selangor semalam. – KOSMO! ONLINE

2 bot nelayan Vietnam ditahan APMM di perairan Terengganu

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Maritim Malaysia (APMM) berjaya menahan dua bot nelayan Vietnam yang sedang leka menangkap ikan secara haram di perairan Terengganu pada kelmarin.

Kedua-dua bot nelayan asing itu ditahan pada kedudukan 268.54 kilometer dari timur laut muara Kuala Terengganu pada pukul 3.30 petang.

Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Mohd. Khairulanuar Abd. Majid berkata, pemeriksaan mendapati kedua-dua bot terbabit dikendalikan oleh 18 nelayan Vietnam berusia dalam lingkungan 13 hingga 63 tahun.

“Pemeriksaan mendapati kesemua nelayan berkenaan gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dan perjalanan yang sah.

“Mereka juga tidak memiliki permit untuk menangkap ikan di perairan negara daripada Jabatan Perikanan,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Khairulanuar berkata, bot, peralatan menangkap ikan, hasil laut dan minyak diesel yang dianggarkan bernilai keseluruhan RM1.5 juta telah disita.

Beliau berkata, kesemua barang rampasan itu telah ditunda ke Jeti Markas Maritim Terengganu di sini untuk tindakan selanjutnya.

“Siasatan akan dilakukan mengikut Akta Perikanan 1986 dan Akta Imigresen 1963,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Suami isteri maut dirempuh Mitsubishi Triton selepas hantar kuih

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

MARANG – Sepasang suami isteri maut selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda, Mitsubishi Triton di Kilometer 13.5, Jalan Kuala Terengganu – Kuala Berang berhampiran Bukit Payong di sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 11.50 pagi itu, kedua-dua mangsa, Che Roslan Ab. Manan, 58, dan isterinya, Siti Aishah Abu Bakar, 67, meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan beberapa anggota badan.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd. Razman Setapa berkata, sewaktu kejadian, pasangan suami isteri itu dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Padang Leban, Bukit Payong di sini setelah menghantar kuih di sebuah gerai berhampiran.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal dinaiki kedua-dua mangsa dikatakan menukar haluan dari laluan kiri ke kanan.

“Kenderaan Mitsubishi Triton yang dipandu lelaki berusia 24 tahun dikatakan tidak sempat mengelak lalu merempuh motosikal dinaiki suami isteri itu,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Razman berkata, mayat Che Roslan dan Siti Aishah telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE

Kenaikan gaji penjawat awam: Terengganu tunggu perincian

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Negeri Terengganu belum membuat sebarang keputusan terhadap cadangan kenaikan gaji penjawat awam pada hujung tahun ini, seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada awal bulan ini.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan negeri masih menunggu perincian kenaikan gaji tersebut sebelum mengambil langkah seterusnya.

“Sebenarnya kita masih belum mendapat maklumat lanjut (kenaikan gaji penjawat awam) yang diumumkan Kerajaan Pusat itu.

“Kita tengok perkembangan seterusnya sebelum buat keputusan. Sukar buat tindakan tanpa butiran pelaksanaan itu,” katanya ketika ditemui di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Terdahulu beliau ditemui pada Perhimpunan Kontinjen Terengganu menjelang 100 hari bermulanya temasya Sukma Sarawak.

Ahmad Samsuri berkata, Kerajaan Negeri Terengganu akan melakukan kajian setelah mendapat maklumat lanjut berhubung kenaikan gaji penjawat awam terbabit.

Sebelum ini, Anwar pada sambutan Hari Pekerja pada 1 Mei lalu mengumumkan kenaikan gaji lebih 13 peratus kepada penjawat awam.

Pelarasan gaji antara tertinggi pernah dinikmati penjawat awam negara ini tersebut berkuat kuasa Disember depan. – KOSMO! ONLINE

Saturday, May 11, 2024

Anwar arah kemiskinan tegar 1,663 keluarga Terengganu ditangani

 Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan agensi Persekutuan menyelaras gerak kerja bersama kerajaan Terengganu untuk menoktahkan kemiskinan tegar di negeri ini.

Beliau berkata, setakat ini, sebanyak 1,663 keluarga miskin tegar masih terdapat di Terengganu.

“Besar harapan saya agar semua kementerian dan agensi yang berkaitan memberi perhatian khusus dan segera bagi memastikan kelancaran perancangan dan pelaksanaan projek-projek di Terengganu ini secara berkesan.

“Insya-Allah, projek-projek ini pastinya akan memberi kebaikan buat rakyat Terengganu keseluruhannya,” katanya selepas mempengerusikan Taklimat Pembangunan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Taklimat tersebut turut dihadiri Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

Anwar menjelaskan, taklimat bersama kerajaan negeri terbabit turut memberi fokus pelbagai projek pembangunan penting.

Beliau berkata, ia merangkumi tebatan banjir, bekalan air, keterjaminan makanan, keselamatan di pintu masuk pusat pelancongan negeri dan kesejahteraan sosial. –

Sementara itu, beliau ketika ditemui pemberita semasa menghadiri sambutan Aidilfitri Madani peringkat Terengganu menolak tohmahan kononnya Kerajaan Persekutuan meminggirkan Terengganu ekoran kerajaan negeri dipimpin pembangkang.

Beliau menegaskan, Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan RM7 bilion untuk pembangunan Terengganu melebihi hasil kerajaan negeri termasuk royalti minyak.

“Saya menolak tohmahan kita tidak memberi pertimbangan (disebabkan) kerajaan negeri (Terengganu) dipimpin parti lain.

“Betul ada perbezaan pendapat tetapi projek-projek berkepentingan rakyat, kita tidak akan tangguh,” katanya.

Anwar berkata, Kerajaan Persekutuan sentiasa komited membangunkan semua aspek kesihatan, keselamatan, air dan tebatan banjir di Terengganu.

Beliau berkata, pembasmian miskin tegar dalam kalangan rakyat negeri ini juga diberi perhatian.

“Keluarga miskin tegar di Terengganu ini tidak sampai 2,000 hanya 1,663. Saya percaya boleh selesai dalam tempoh dua bulan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Kerajaan Persekutuan bantu kenaikan gaji penjawat awam negeri

 Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan akan membantu kerajaan negeri termasuk Terengganu untuk melaksanakan pelarasan gaji penjawat awam yang bakal berkuatkuasa Disember depan.

Beliau berkata, kerajaan Persekutuan tidak mahu seorang penjawat awam negeri yang ketinggalan daripada menikmati kenaikan gaji tertinggi dalam sejarah tersebut.

“Datuk SUK (Setiausaha Kerajaan Negeri) dan Menteri Besar jangan bimbang (peruntukan bagi kenaikan gaji penjawat awam).

“Kalau ada keperluan, insya-Allah kerajaan Persekutuan akan bantu supaya tiada pegawai kerajaan yang ketinggalan termasuk di negeri-negeri,” katanya di Kompleks Sukan Gong Badak di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap pada majlis sambutan Aidilfitri Madani peringkat Terengganu yang turut dihadiri Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

Anwar berkata, keputusan menaikkan gaji penjawat awam mulai 1 Disember ini adalah muktamad.

Beliau yakin cadangan itu akan diluluskan Parlimen memandangkan wakil rakyat mewakili kerajaan Perpaduan mempunyai majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

Kosmo! Online melaporkan kerajaan negeri Terengganu masih belum membuat sebarang keputusan terhadap cadangan kenaikan gaji penjawat awam pada hujung tahun ini.

Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri masih menunggu perincian kenaikan gaji tersebut sebelum mengambil langkah seterusnya. – KOSMO! ONLINE

Sunday, May 5, 2024

Alami strok, kelesuan haba ekoran cuaca panas

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN


KUALA TERENGGANU – Cuaca panas sejak dua bulan lalu telah meningkatkan risiko masalah kesihatan berkaitan kulit dan kehilangan air dalam badan dalam kalangan penduduk negeri ini.

Pengarah Kesihatan Terengganu, Datuk Dr. Kasemani Embong berkata, setakat ini terdapat lima kes berkaitan strok dan kelesuan haba dilaporkan sepanjang tempoh itu.

Katanya, ia melibatkan dua anggota tentera dan masing-masing satu membabitkan pekerja projek Laluan Rel Pantai Timur, murid sekolah dan warga emas.

“Dua pesakit masih menerima rawatan di hospital, manakala tiga lagi telah sembuh. Tiada kes melibatkan kematian,” katanya.

Menurutnya, strok dan kelesuan haba meningkatkan suhu sehingga 40 darjah Celsius sekali gus menyebabkan kehilangan air dalam badan yang banyak dan mengakibatkan otot kejang.

Tambahnya, mereka yang terkena strok haba perlu mendapatkan rawatan segera bagi mengelakkan komplikasi lebih teruk.

Kasemani berkata, cuaca panas turut menyebabkan impak kesihatan ringan seperti sela­ran matahari dan ruam kulit.

“Suhu di Besut, Setiu, Du­ngun dan Kemaman mencecah 37 darjah Celsius, manakala 34 darjah di Marang, Kuala Terengganu, Kuala Nerus serta Hulu Terengganu,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai supaya meminum air secukupnya selain mengehadkan aktiviti luar, pakai pakaian tidak tebal, bertopi dan menggunakan payung.

Beliau berkata, berdasarkan ramalan MetMalaysia, cuaca panas disebabkan fenomeba El Nino akan mula melemah pada Julai berikutan kemunculan fenomena La Lina.


Saturday, May 4, 2024

DUN tolak usul Akta Laut Wilayah 2012

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

AKTA Laut Wilayah 2012 kembali menjadi polemik apabila Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu meluluskan usul menolaknya pada 25 April lalu. 

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar memberitahu, penolakan akta yang telah diluluskan di Parlimen sejak 12 tahun itu merupakan usaha kerajaan negeri untuk mendapatkan kembali hak royalti minyak. 

Rasionalnya mudah, royalti minyak ditafsir bukan lagi hak mutlak kerajaan Terengganu berikutan sempadan maritim sesebuah negeri di negara ini ditetapkan cuma tiga batu nautika atau 5.5 kilometer (km) dari…

Friday, May 3, 2024

Akhyar Rashid disamun dua lelaki berjaket hoodie

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Pemain Terengganu FC (TFC), Muhammad Akhyar Abdul Rashid, 25, cedera dipukul dengan sebatang besi boleh laras oleh dua lelaki dalam kejadian bermotifkan samun di bawah sebuah apartmen didiaminya di bandar raya ini malam tadi.

Dalam kejadian pada pukul 8.53 malam itu, bintang Harimau Malaya terbabit terpaksa menerima enam jahitan akibat kecederaan pada bahagian kepala dan tapak kaki kiri.

Pemain pinjaman dari Johor Darul Ta’zim (JDT) terbabit juga kerugian RM4,800 selepas beg tangan jenama LV dan dompet jenama Coach dilarikan dua penjenayah yang memakai jaket hoodie berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, siasatan awal mendapati Muhammad Akhyar telah didatangi dua lelaki tersebut sejurus keluar dari kereta yang diletakkan di hadapan apartmen terbabit.

“Sebelum kejadian, mangsa (Muhammad Akhyar) baru pulang dari menjalani sesi latihan bersama TFC di Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Nerus.

“Sebaik tiba berhampiran lif yang terletak berhampiran lobi apartmen itu, seorang suspek tiba-tiba memukul kepala dan kaki mangsa dengan sebatang besi boleh laras,”katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Azli berkata, dua suspek kemudiannya melarikan beg tangan milik Muhammad Akhyar yang turut mengandungi telefon pintar jenis iPhone 7, kad pengenalan dan lesen memandu pemain bola sepak terbabit.

Beliau berkata, telefon iPhone 7 milik mangsa yang menyertai TFC pada bulan Februari lalu kemudiannya dijumpai dibuang di tepi jalan kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian.

“Mangsa telah dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini. Dia menerima empat jahitan pada bahagian kepala dan dua jahitan pada tapak kaki kiri.

“Setakat ini, serangan dipercayai bermotifkan samun dan mangsa juga tidak mengenali suspek serta tidak pernah berselisih faham dengan sesiapa,” katanya.

Azli berkata, dua suspek yang memakai penutup muka sedang dikenal pasti identitinya dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE