Translate

Friday, January 31, 2014

SIRIM perkenal pelan komersial BioNG

KUALA LANGAT - Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) Berhad bercadang untuk melaksanakan pelan pengkomersialan biogas metana mirip gas asli (BioNG) kepada umum dalam tempoh dua tahun lagi.

Presiden dan Ketua Eksekutif SIRIM, Dr. Zainal Abidin Mohd. Yusof berkata, ketika ini, biogas yang dihasilkan melalui kaedah fermentasi oleh mikro organisma terhadap bahan buangan kelapa sawit itu hanya digunakan di dalam ladang kelapa sawit terlibat.

“Projek perintis ladang demonstrasi BioNG dimulakan di ladang-ladang kelapa sawit terpilih milik Sime Darby Plantation.

“Sehubungan itu, SIRIM berharap pelan pengkomersialan bio gas tersebut dapat diperkenalkan dengan lebih cepat menerusi kerjasama dengan firma perladangan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengiringi lawatan kerja Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ewon Ebin di loji perintis biogas yang dibangunkan SIRIM bersama Sime Darby Research Sdn. Bhd. di Pulau Carey di sini semalam.

Turut hadir Pengerusi SIRIM, Datuk Jamaliah Kamis dan Ketua Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Sime Darby Plantation, Dr. Mohamed Nazeeb P. Ali Thambi.

Zainal Abidin berkata, projek pengeluaran perintis biogas di Pulau Carey itu merupakan salah satu daripada 13 projek diluluskan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi melalui skim Dana Tekno sebanyak RM3 juta pada tahun 2009.

Sementara itu, Ewon menjelaskan, kementeriannya menyasar untuk menjalin kerjasama berkaitan dengan projek ladang demonstrasi BioNG dengan lebih banyak lagi syarikat perladangan kepala sawit di negara ini.

Angota APMM gaduh dengan isteri lepas tembakan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

PELABUHAN  KLANG  - Gara-gara perselisihan faham dengan isteri, seorang anggota Maritim Malaysia (APMM) bertindak melepaskan beberapa das tembakan yang mengenai dinding cermin sebuah pasar raya besar di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 4.45 petang itu, suspek dikatakan hilang pertimbangan selepas bertengkar dengan isterinya yang berusia 30 tahun sebelum melepaskan tembakan menggunakan sepucuk pistol yang dibekalkan APMM.

 Ketua   Polis   Daerah   Klang   Selatan,   Asisten   Komisioner   Kamarulzaman   Mamat  berkata, sewaktu kejadian, lelaki berusia 45 tahun itu telah memasuki pasar raya besar terbabit untuk menemui isterinya.

"Tidak lama selepas itu, berlaku pertengkaran antara mereka yang menyebabkan suspek hilang sabar lalu mengeluarkan sepucuk pistol jenis Glock.

"Dia melepaskan beberapa das tembakan yang mengenai dinding cermin salah sebuah lot kedai di tingkat bawah pasar raya besar berkenaan," katanya kepada Kosmo! Ahad di sini semalam.

 Kamarulzaman  berkata, biarpun menimbulkan kegemparan, tembakan itu tidak mengenai sesiapa termasuk isterinya yang tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurut beliau, suspek yang berkhidmat di Markas Maritim Pelabuhan  Klang  di sini kemudian bertindak menyerah diri di Balai  Polis  Pelabuhan  Klang  tidak lama selepas kejadian.

Polis Selangor tumpaskan geng ah long, rampas 45,000 risalah

SHAH ALAM - Satu sindiket  ah   long  yang aktif sejak setahun lalu tumpas dengan penahanan enam lelaki dipercayai anggotanya di sebuah premis di Bandar Bukit  Puchong ,  Puchong  dekat sini kelmarin.

Dalam serbuan pada pukul 9.50 pagi itu, polis turut merampas 45,000 keping risalah berkaitan peminjaman wang tidak berlesen yang dipercayai mahu diedarkan di sekitar Lembah Klang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Selangor, Asisten Komisioner Chong Mun Phing berkata, kesemua suspek berusia antara 19 tahun dan 32 tahun yang dipercayai anggota sindiket  ah   long  berkenaan diberkas di dalam tiga bilik berasingan di rumah teres dua tingkat tersebut.

"Polis turut merampas sebuah buku nota senarai peminjam, resit urus niaga bank, cek, salinan kad pengenalan, bil elektrik dan penyata bank dipercayai milik peminjam, borang pinjaman dan telefon bimbit," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini semalam.

Mun Phing berkata, siasatan awal mendapati, sindiket  ah   long  itu memaparkan nombor pendaftaran syarikat palsu kononnya mereka merupakan syarikat peminjaman wang berlesen bagi mengaburi mata orang ramai.

Rahsia lelaki Romania bawa tas tangan wanita

MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

SHAH ALAM - Cubaan seorang lelaki Romania menjadikan Malaysia sebagai transit penyeludupan  dadah  ke negara lain gagal apabila dia ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ( KLIA ), Sepang dekat sini pada Isnin lalu.

Suspek berusia 47 tahun itu ditahan pada pukul 4 petang setelah dilihat dalam keadaan curiga kerana membawa enam tas tangan wanita.

Ketika kejadian, lelaki terbabit baru tiba dari Dubai, Emiriyah Arab Bersatu dan sedang menunggu ketibaan sebuah pesawat lain untuk ke Hanoi, Vietnam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Asisten Komisioner Nordin Kadir berkata, hasil pemeriksaan menemui 12 bungkusan plastik berisi  dadah  jenis  kokain  disorok di bawah tas tangan wanita yang dibawa suspek.

Menurut beliau, bahagian bawah tas tangan tersebut telah dijahit semula dengan kemas setelah  dadah  dimasukkan bagi mengelakkan pihak berkuasa mengesan kegiatan haram itu.

"Bagaimanapun, taktik ini berjaya dikesan dan kami telah merampas kesemua  dadah  tersebut seberat 2.79 kilogram bernilai RM800,000 daripada suspek," kata beliau pada sidang akhbar di Pusat Media Selangor di sini semalam.

Dalam kes berasingan, Nordin memberitahu, pihaknya telah menahan seorang wanita warga Tanzania di sebuah hotel di Sepang dekat sini pada pukul 11.20 pagi, 11 Januari lalu kerana disyaki cuba menyeludup masuk  dadah  jenis syabu dengan menelan beberapa kapsul.

Beliau berkata, pemeriksaan di hospital kemudian menemui lima kapsul berisi  dadah  seberat 109 gram bernilai RM1,500 berada di dalam perut suspek yang berusia 38 tahun dan merupakan ahli perniagaan.

Kedua-dua suspek warga asing terbabit kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta  Dadah  Berbahaya 1952 kerana mengedar  dadah  dan jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

Thursday, January 30, 2014

Doktor pelatih terima Anugerah Pingat Emas Canselor

SHAH ALAM - Seorangdoktor pelatih Hospital Melaka, Norafzareen Zainol, 27, dinobat sebagai penerima Anugerah Pingat Emas Canselor pada Majlis  Konvokesyen  Universiti Pengurusan dan Sains ( MSU ) Ke-14, di sini semalam.

Norafzareen menerima anugerah itu daripada Canselor  MSU , Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah berikutan kecemerlangan dalam bidang akademik dan kokurikulum merupakan salah seorang daripada 37 graduan perintis jurusan perubatan di kampus induk  MSU  di sini.

Sebelum ini, kursus perubatan universiti itu beroperasi di kampus  MSU  luar negara di Bangalore, India.

"Sepanjang melanjutkan pelajaran di  MSU , saya banyak terlibat dalam kerja-kerja amal memberi perkhidmatan percuma kepada komuniti pendalaman dan golongan kurang berkemampuan.

"Ia memberi keinsafan dan menjadi pendorong untuk saya belajar bersungguh-sungguh agar dapat menyediakan diri menjadi pegawai perubatan terbaik bagi memberi khidmat kepada masyarakat," katanya.

Terdahulu Tuanku Hajah Haminah bertitah, baginda menyeru siswazah universiti agar sentiasa bersifat ikhlas dan bertanggungjawab dalam setiap pekerjaan yang diceburi.

Baginda bertitah, sifat berkenaan akan menjadikan pekerjaan itu sebagai amalan soleh yang bakal menjanjikan kejayaan dan hasil membanggakan.

"Beta percaya intipati sesebuah kejayaan lahir daripada nilai peribadi yang positif, proaktif, kesungguhan dan kerjasama erat yang perlu dibudayakan," titah baginda.

Space Mission tarikan baharu i-City

SHAH ALAM - Taman tema digital, i-City menampilkan tari- kan baharu berkonsepkan penerokaan angkasa lepas,  Space   Mission  yang bakal dibuka kepada orang ramai mulai esok.

Pengurus Informasi I-Berhad, Tang Soke Cheng berkata, taman tema itu menyajikan pembelajaran mengenai galaksi dan teknologi serta sains aeroangkasa melalui permainan interaktif yang menyeronokkan.

"Konsep  Space   Mission  merupakan inspirasi daripada pameran aeroangkasa yang pernah dianjurkan syarikat sebelum ini."Ia menekankan elemen pembelajaran sambil berhibur yang sesuai untuk seisi keluarga termasuk kanak-kanak," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Soke Cheng menjelaskan,  Space   Mission  yang melibatkan kawasan seluas 9,144 meter persegi itu terbahagi kepada empat segmen iaitu Stesen Berlepas, Pene- rokaan Angkasa Lepas, Pengembaraan Antara Galaksi dan Pene- rokaan Planet.

Menurut beliau, pengunjung berpeluang berfantasi menjadi angkasawan yang diserang makhluk asing sewaktu melakukan misi pengembaraan menjela- jah galaksi.

"Bagi menjayakan misi untuk kembali ke bumi, mereka perlu 'bertempur' dengan makhluk asing tersebut selain menghadapi pelbagai rintangan seperti dihujani meteor sepanjang pengembaraan berkenaan," katanya.

Soke Cheng berkata,  Space   Mission  dibuka pada setiap hari dari pukul 10 pagi hingga 12 tengah malam dan tiket kemasukan RM15 seorang.

Tuesday, January 28, 2014

Marahkan isteri, anggota Maritim Malaysia lepaskan tembakan di dalam pasar raya

PELABUHAN KLANG - Gara-gara perselisihan faham dengan isteri, seorang anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia bertindak melepaskan beberapa das tembakan yang mengenai dinding cermin sebuah pasar raya di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Kamarulzaman Mamat berkata, suspek yang berusia 45 tahun hilang pertimbangan selepas bertengkar dengan isterinya di dalam premis tersebut.

"Dia yang hilang pertimbangan telah mengeluarkan sepucuk pistol jenis Glock yang dibekalkan agensinya lalu melepaskan beberapa das tembakan yang mengenai dinding cermin sebuah premis di dalam pasar raya besar berkenaan.

"Tembakan itu tidak mencederakan sesiapa. Suspek kemudiannya menyerah diri di Balai Polis Pelabuhan Klang di sini tidak lama kemudian," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini. - KOSMO!

ADUN Kajang letak jawatan

SHAH ALAM - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang, Lee Chin Cheh, 43, daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) meletakkan jawatan berkuat kuasa semalam.
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Hannah Yeoh berkata, beliau menerima surat peletakan jawatan tersebut yang diserahkan oleh Chin Cheh di pejabatnya di sini semalam.
"Dengan ini, saya mengisytiharkan kerusi N25 DUN Kajang telah dikosongkan pada hari ini (semalam). Saya akan memaklumkan secara bertulis kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada esok (hari ini).
"Selaras dengan Fasal 5 Perkara 70 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor, sesuatu kekosongan luar jangka hendaklah diisi dalam masa 60 hari," katanya di sini semalam.

Mengulas lanjut, Hannah memberitahu, berdasarkan surat peletakan jawatan sepanjang dua perenggan yang diserahkan Chin Cheh yang juga Ketua PKR Cabang Petaling Jaya Utara, tiada sebarang alasan peletakan jawatan diberikan.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 pada Mac 2013, Chin Cheh yang baru menyandang DUN berkenaan sejak 10 bulan lalu menewaskan lima calon lain termasuk Lee Ban Seng dari Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 6,824.

Sementara itu, Pengarah SPR negeri, Dzulkifli Abdul Rahman ketika dihubungi memberitahu, pihaknya belum menerima sebarang surat mengenai peletakan jawatan tersebut.

Menurut beliau, sekiranya ada nanti, pihaknya akan meneliti dulu surat tersebut sebelum boleh mengumumkan kerusi itu kosong atau sebaliknya bagi memberi laluan pada pilihan raya kecil di kawasan tersebut.

"SPR Selangor tidak ada terima apa-apa surat mengenai peletakan jawatan setakat ini (semalam).

"Kita akan kaji dulu surat itu dan sekiranya sah, dalam tempoh 60 hari SPR akan menetapkan satu tarikh untuk pilihan raya kecil di kawasan itu," ujarnya.

Sementara itu, Chin Cheh dalam satu kenyataan yang dikeluarkan malam tadi berkata, keputusannya mengosongkan kerusi DUN  Kajang  adalah demi mengukuhkan Pakatan Rakyat supaya terus berkhidmat untuk rakyat Selangor

Saturday, January 25, 2014

Tidak pernah tarik balik surat pemecatan Azmin

SHAH ALAM - Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohammed Khusrin Munawi berkata, kerajaan negeri tidak pernah mengarahkan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menarik balik surat penamatan perkhidmatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali selaku Ahli Lembaga Pengarah perbadanan itu.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di sini berhubung surat bertarikh 16 Januari lalu yang dihantar oleh Pengurus Besar PKNS, Othman Omar yang mendakwa kerajaan Selangor telah mengarahkan supaya surat bertarikh 8 Januari yang menamatkan perkhidmatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa itu ditarik balik semula dan dianggap terbatal.

"Saya ingin menegaskan bahawa dakwaan Pengurus Besar PKNS dalam surat yang bertarikh 16 Januari 2014 itu adalah tidak benar.

"Kerajaan negeri Selangor tidak pernah mengarahkan PKNS supaya menarik balik penamatan perkhidmatn Mohamed Azmin yang bertarikh 8 Januari 2014," katanya.

Mohammed Khusrin berkata, isu itu akan dibincangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri hari ini.

Pihak pengurusan PKNS juga telah diminta untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berkenaan isu itu bagi mengelak sebarang kekeliruan.

Sementara itu, beliau berkata, siasatan dalaman sedang dijalankan ke atas Othman dan Setiausaha Eksekutif Kerja PKNS, Norita Mohd. Sidek bagi merungkai perkara sebenar di sebalik isu tersebut.

"Saya meminta semua pihak supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan khabar angin yang tidak sahih berkenaan isu ini sehingga siasatan dalaman selesai dijalankan dan Majlis Kerajaan Negeri Selangor membuat keputusan," katanya.

Kosmo! semalam melaporkan mengenai kemelut kerajaan negeri Selangor apabila bertindak menukar Othman dan Norita ke ibu pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri di isni berkuat kuasa seta-merta.

Dalam pada itu, di Klang, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, uruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Transparency International (TI) akan dilibatkan dalam siasatan dalaman terhadap isu berkenaan.

"Pegawai-pegawai dari kedua-dua agensi itu akan dipanggil untuk meneliti dokumen yang dikeluarkan kerajaan negeri dan PKNS berkaitan isu Azmin itu," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke kilang Top Glove di Meru, Klang dekat sini semalam.

Friday, January 24, 2014

Manual operasi sisa pepejal dilancar

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

SHAH  ALAM  - Syarikat konsesi sisa pepejal,  Alam   Flora  Sdn. Bhd. ( Alam   Flora ) semalam melancarkan  manual  operasi kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd. Zain Hassan berkata, buku  manual  yang pertama di negara ini tersebut merupakan panduan lengkap berkaitan operasi pengutipan sampah dan pembersihan untuk subkontraktor.

Ujarnya, menerusi prosedur yang ditetapkan  Alam   Flora  juga menyasarkan pengurangan aduan dan tindakan penguatkuasaan daripada Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA).

" Manual  operasi ini memastikan subkontraktor  Alam   Flora  yang melakukan kerja-kerja pengutipan sisa pepejal dan pembersihan awam di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Pahang jelas dengan prosedur operasi standard ditetapkan," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran  manual  operasi kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam di Wisma EON di Glenmarie di sini semalam.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif PPSPPA, Datuk Ab. Rahim Md. Noor dan Pengerusi Persatuan Kontraktor Sisa Pepejal dan Pembersihan  Alam   Flora , Datuk Amil Salleh.

Mohd. Zain berkata, berdasarkan perjanjian konsesi, subkontraktor yang gagal mematuhi Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) ditetapkan seperti gagal mengutip sampah mengikut jadual ditetapkan akan dikenakan kompaun RM50 bagi setiap premis.

Menurut beliau, antara kandungan  manual  operasi berkenaan menjelaskan skop kerja dan KPI yang perlu dicapai subkontraktor dalam menjalankan kerja-kerja pem bersihan awam.

Selain itu,  manual  operasi itu juga memberi prosedur proses dokumentasi seperti pengumpulan data kawasan pembersihan, isu-isu  alam  sekitar dan keselamatan yang perlu ditangani oleh subkontraktor.

Rizab air terawat tinggal satu peratus

SHAH ALAM - Projek Loji Rawatan Langat 2 (Langat 2) yang sudah tertangguh sejak enam tahun lalu tidak boleh dilengahkan lagi bagi mengatasi krisis bekalan air bersih  Lembah Klang yang semakin meruncing.

Presiden Pertubuhan Air Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya (Swan), Aldric Loong Kim Yew berkata, bekalan air bersih untuk Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya semakin membimbangkan berikutan bacaan rizab air terawat di kawasan tersebut pada bulan lalu menunjukkan ia tinggal satu peratus sahaja.

“Walaupun kebanyakan projek mitigasi seperti loji rawatan air Sungai Labu sudah siap tetapi tetap berlaku kekurangan bekalan air berikutan ketidakmampuan untuk memenuhi permintaan penduduk Lembah Klang.

“Oleh itu, pembinaan Langat 2 sangat mendesak kerana ia merupakan penyelesaian segera. Semuanya telah dirancang, terowong salur air mentah antara Pahang dan Selangor sudah siap dan tender juga telah dibuka,” katanya pada Perundingan Meja Bulat Masalah Bekalan Air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya di sini semalam.

Aldric berkata, projek alternatif ‘Hybrid Off River Augmentation System’ (HORAS) yang diumumkan kerajaan negeri Selangor baru-baru ini bukanlah penyelesaian terbaik untuk menggantikan Langat 2.

Ujarnya, loji rawatan air sedia ada di Lembah Klang sudah tidak mampu lagi menampung penakungan air hujan yang diproses (stormwater) kerana kesemua sedang beroperasi melebihi kapasiti.

“Bagi menampung kapasiti air air bersih antara 600 hingga 700 juta liter sehari dari projek HORAS itu, sebuah loji baru perlu dibina dengan kos yang dianggarkan jauh lebih tinggi,” katanya.

Tuesday, January 14, 2014

Pengusaha kantin akur turun harga

KUALA SELANGOR - Sebahagian besar pengusaha kantin yang menaikkan harga makanan dan minuman sejak sesi persekolahan bermula awal bulan ini telah akur untuk menurunkan semula harga berikutan campur tangan Kementerian Pendidikan.
Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, pihaknya mengarahkan guru besar dan pengetua sekolah terlibat untuk bersemuka dengan pengusaha kantin sekolah masing-masing bagi menangani masalah tersebut.
"Kementerian (Pendidikan) ada terima beberapa aduan rasmi, namun selepas ditegur pengurusan sekolah, pengusaha telah menurunkan semula harga makanan dan minuman di kantin mereka.
"Saya juga telah minta guru besar dan pengetua agar sentiasa memantau harga makanan dan minuman di kantin sekolah masing-masing bagi memastikan murid tidak terbeban," katanya selepas merasmikan Anugerah Kecemerlangan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) peringkat kebangsaan di Sekolah Kebangsaan (SK) Ijok, Bestari Jaya dekat sini semalam.

Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan, Mary Yap Kain Ching, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Khair Mohamad Yusof dan Pengarah Peperiksaan, Lembaga Peperiksaan, Dr. Naimah Ishak.

 Idris  berkata, laporan awal jawatankuasa untuk menyiasat dan menyemak harga makanan dan minuman di  kantin  sekolah yang ditubuhkan baru-baru ini mendapati kebanyakan kenaikan tersebut disebabkan pengusaha terbabit mahu mengambil kesempatan untuk meraih keuntungan berlebihan.

Menurut beliau, pengusaha  kantin  sekolah masih boleh mendapat keuntungan walaupun mengekalkan harga biarpun berlaku sedikit kenaikan kos berikutan peningkatan tarif elektrik dan harga gula.

"Kalau boleh tak perlu naikkan harga makanan dan minuman di  kantin  sekolah kerana kos sekarang ini tidaklah tinggi sangat.

"Kalau mahu naik sekali pun biar munasabah dan berbincang dengan pengurusan sekolah," katanya.

Kosmo! sebelum ini menerima aduan daripada ibu bapa yang menyatakan terdapat pengusaha  kantin  menaikkan harga makanan antara 50 sen hingga RM1 bagi setiap hidangan yang dijual mulai sesi persekolahan tahun ini bermula 3 Januari lalu.

Sehubungan itu, Kementerian Pendidikan telah menubuhkan satu jawatankuasa yang dipengerusi Khair bagi menyiasat dan menyemak harga makanan dan minuman di  kantin  sekolah di seluruh negara pada 6 Januari lalu.

Sunday, January 12, 2014

Persatuan Bible tetap mahu guna kalimah Allah

SHAH ALAM - Persatuan Bible Malaysia (BSM) tetap berkeras mahu menggunakan kalimah Allah dalam Bible versi bahasa Melayu dengan alasan naskhah Bible itu mempunyai cop pengesahan Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Presidennya, Lee Min Choon berkata, pihaknya menganggap tindakan itu adalah tidak salah mengikut undang-undang kerana ia mematuhi resolusi penyelesaian 10 perkara berkaitan penganut Kristian yang diputuskan Kabinet pada 2010.
Menurut beliau, antara perkara yang terkandung dalam resolusi berkenaan ialah membenarkan pengimportan, penggunaan dan percetakan kitab Bible berbahasa Melayu.

"KDN sedar kewujudan perkataan (Allah) itu sebelum meluluskannya berdasarkan resolusi penyelesaian 10 perkara itu dan  Bible  ini untuk kegunaan masyarakat Kristian di seluruh Malaysia dan kebanyakannya diedarkan di Sabah dan Sarawak," katanya ketika ditemui di sini semalam.

 Terdahulu, Min Choon bersama Setiausaha Agung persatuan itu, Simon Wong hadir ke Ibu Pejabat Jabatan Agama Islam Selangor ( JAIS ) di sini kira-kira pukul 10 pagi sebelum keluar meninggalkan tempat itu kira-kira tiga jam kemudian. 

Mereka ditemani dua individu lain iaitu Vincent Wong yang merupakan Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup Kitingan dan pemilik premis yang diserbu, Sinclair Wong. 

Kesemua mereka dipanggil bagi memberi keterangan selepas  JAIS  merampas 351 naskhah  Bible  yang mengandungi kalimah Allah selepas menyerbu sebuah premis di Damansara Kim pada 2 Januari lalu. 

Sementara itu, seramai 200 ahli Sekretariat Badan Bukan Kerajaan Selangor berarak ke Ibu Pejabat  JAIS  dari Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini selepas solat Jumaat untuk menyerahkan memorandum menyokong tindakan pihak berkuasa agama tersebut.

 Pengerusinya, Datuk Jamal Md. Yunos berkata, memorandum itu turut diserahkan kepada Sultan Selangor, Sultan Shafaruddin Idris Shah sebelum baginda meninggalkan perkarangan masjid tersebut. 

Dalam perkembangan lain, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengakui memberikan kelulusan pengimportan kitab  Bible  berbahasa Melayu untuk penganut Kristian di Sabah dan Sarawak serta penggunaan dalaman di gereja-gereja di Semenanjung. 

Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran kementerian, Hashimah Nik Jaafar bagaimanapun berkata, kelulusan itu tertakluk kepada peruntukan undang-undang di negeri-negeri seperti Enakmen Ugama Bu kan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) 1988 di Selangor. 

"Kita di peringkat Persekutuan memang memberikan kelulusan tetapi di negeri seperti Selangor tertakluk kepada sultan yang merupakan ketua agama. "Enakmen ada larangan penggunaan kalimah Allah, jadi negeri ada kuasa untuk membuat penguatkuasaan, namun ikut keputusan dasar kementerian ialah boleh bawa masuk selagi tidak bercanggah dengan negeri," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Terdahulu, Min Choon bersama Setiausaha Agung  persatuan  itu, Simon Wong hadir ke Ibu Pejabat Jabatan Agama Islam Selangor ( JAIS ) di sini kira-kira pukul 10 pagi sebelum keluar meninggalkan tempat itu kira-kira tiga jam kemudian. 

Mereka ditemani dua individu lain iaitu Vincent Wong yang merupakan Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup Kitingan dan pemilik premis yang diserbu, Sinclair Wong. 

Kesemua mereka dipanggil bagi memberi keterangan selepas  JAIS  merampas 351 naskhah  Bible  yang mengandungi kalimah Allah selepas menyerbu sebuah premis di Damansara Kim pada 2 Januari lalu. 

Sementara itu, seramai 200 ahli Sekretariat Badan Bukan Kerajaan Selangor berarak ke Ibu Pejabat  JAIS  dari Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini selepas solat Jumaat untuk menyerahkan memorandum menyokong tindakan pihak berkuasa agama tersebut. 

Pengerusinya, Datuk Jamal Md. Yunos berkata, memorandum itu turut diserahkan kepada Sultan Selangor, Sultan Shafaruddin Idris Shah sebelum baginda meninggalkan perkarangan masjid tersebut. 

Dalam perkembangan lain, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengakui memberikan kelulusan pengimportan kitab  Bible  berbahasa Melayu untuk penganut Kristian di Sabah dan Sarawak serta penggunaan dalaman di gereja-gereja di Semenanjung.

Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran kementerian, Hashimah Nik Jaafar bagaimanapun berkata, kelulusan itu tertakluk kepada peruntukan undang-undang di negeri-negeri seperti Enakmen Ugama Bu kan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) 1988 di Selangor. 

"Kita di peringkat Persekutuan memang memberikan kelulusan tetapi di negeri seperti Selangor tertakluk kepada sultan yang merupakan ketua agama. 


"Enakmen ada larangan penggunaan kalimah Allah, jadi negeri ada kuasa untuk membuat penguatkuasaan, namun ikut keputusan dasar kementerian ialah boleh bawa masuk selagi tidak bercanggah dengan negeri," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.


Saturday, January 11, 2014

Bangunan baharu HTAR 8 tingkat

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

KLANG  -  Hospital  Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini bakal mempunyai sebuah bangunan baharu setinggi lapan tingkat bagi mengatasi masalah kesesakan pesakit di  hospital  itu yang mencecah 2,000 pesakit pada setiap hari.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri S.  Subramaniam  berkata, bangunan yang dianggarkan menelan belanja RM120 juta itu bakal menempatkan 300 katil tambahan untuk kemudahan pesakit.

"Kita sedar HTAR merupakan antara  hospital  paling sibuk di negara ini dengan kesemua 893 katil yang terdapat di  hospital  tersebut dipenuhi pesakit setiap hari.

Malah, ada wad yang terpaksa dimuatkan 60 katil, sedangkan kapasitinya cuma 40 buah.

"Oleh itu, bangunan baharu yang dijangka siap dalam tempoh tiga tahun itu diharap dapat mengurangkan masalah kesesakan pesakit yang sedang dihadapi sekarang," katanya selepas mengadakan lawatan kerja di HTAR di sini semalam.

 Subramaniam  berkata, pihaknya juga bercadang untuk memindahkan wad sakit puan, perbidanan dan pediatrik ke bangunan tambahan tersebut.

"Bagi penyelesaian jangka pendek pula, pengurusan HTAR akan memperkenal beberapa pendekatan baharu untuk memberi keselesaan kepada pelanggan mulai bulan depan.

"Antara pendekatan bagi mengurangkan masa menunggu itu ialah menyediakan ruangan khas untuk pesakit yang sedang menunggu untuk mendaftar keluar bagi membolehkan pesakit baharu memasuki wad untuk mendapatkan rawatan dengan lebih cepat," katanya.

25 tan kentang hilang ditemui

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

SHAH ALAM – Misteri kehilangan dua kontena berisi hampir 25 tan ubi kentang di gudang sebuah syarikat pengimportan bawang dan ubi kentang di Taman Klang Jaya, Klang dekat sini pada 4 Januari lalu terjawab.

Ini berikutan penahanan tujuh lelaki disyaki terlibat dalam kecurian tersebut pada Selasa dan Rabu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Mohd. Adnan Abdullah berkata, seorang lelaki yang disyaki anggota sindiket tersebut diberkas berhampiran stesen minyak di Bandar Sultan Sulaiman, Pelabuhan Klang dekat sini pada pukul 9 pagi, Selasa lalu.

Katanya, ia berikutan aduan dibuat pengurus jualan syarikat pengimportan bawang dan ubi  kentang  berkenaan.

"Hasil soal siasat terhadap suspek, dua buah  kontena  yang dilarikan sebelum ini dijumpai semula dalam keadaan kosong di lokasi berasingan iaitu Persiaran Anggerik Aranda, Kota Kemuning di sini dan Jalan TSB 3, Kota Damansara dekat sini sekitar pukul 1 pagi, 8 Januari lalu.

"Kira-kira 13 jam kemudian, serbuan dilakukan di sebuah gudang pembungkusan bawang dan ubi  kentang  di Kampung Baru Sungai Buloh, dekat sini membawa kepada penemuan kesemua ubi  kentang  diimport dari China itu," katanya di sini semalam.

Sindiket melarikan  kontena  mengandungi ubi  kentang  bernilai lebih RM100,000 itu dipercayai didalangi seorang lelaki yang baru dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan mencuri empat  kontena  berisi tembaga bernilai RM2.3 juta pada 9 Disember tahun lalu.

Pada 9 Disember tahun lalu, akhbar melaporkan seorang pemandu lori bersama empat rakannya, termasuk seorang anggota polis trafik didakwa di Mahkamah Sesyen di sini berhubung kes curi empat  kontena  berisi tembaga bernilai RM2.3 juta di Pelabuhan Klang bulan sebelumnya.

Hakim G. Ramesh membenarkan keempat-empat tertuduh masing-masing diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin.

Dalam pada itu, Mohd. Adnan berkata, sewaktu serbuan, ubi  kentang  yang dicuri terbabit dipek semula dalam bungkusan lima dan 30kg dipercayai untuk pasaran Lembah Klang sempena musim perayaan Tahun Baru Cina.

Ujarnya, ekoran itu, pemilik gudang berkenaan dan lima pekerjanya termasuk dua pendatang asing tanpa izin masing-masing warga Thailand dan Bangladesh ditahan.

"Salah seorang daripada tujuh suspek yang ditahan mempunyai dua rekod jenayah lampau.

"Siasatan awal mendapati, sindiket tersebut menjual kesemua ubi  kentang  dalam  kontena  itu pada harga RM10,000 hingga RM15,000 kepada pemilik gudang pembungkusan bawang dan ubi  kentang  berkenaan," katanya.

Kesemua suspek berusia antara 26 hingga 38 tahun itu ditahan reman hingga esok.


Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Ibu tunggal hadapi 88 pertuduhan tipu RM3.5 juta

SHAH ALAM - Seorang ibu tunggal menghadapi 88 pertuduhan menipu seorang pengurus restoran wanita melibatkan transaksi lebih RM3.5 juta kira-kira empat tahun lalu di Mahkamah Sesyen di sini semalam.

 Fazira   Meor   Hussin , 46, yang kini merupakan seorang penganggur didakwa melakukan perbuatan tersebut dari 20 Januari 2010 sehingga 27 April 2012.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh didakwa memperdaya pengadu, Sharifah Noorazaliah Sy. A. Sahabudin, 52, untuk menyerahkan wang tunai sebanyak RM3,536,965 kepadanya bagi urusan perniagaan yang sebenarnya tidak wujud.

Bagi meyakinkan mangsa yang merupakan seorang pengurus restoran makanan segera,  Fazira  mengemukakan surat jaminan palsu daripada Bank Negara Malaysia.

Dia dituduh melakukan perbuatan tersebut di empat cawangan bank di bandar raya ini dan USJ, Subang Jaya dekat sini dari 20 Januari 2010 sehingga 27 April 2012.

 Fazira  yang mempunyai dua anak kelihatan tenang ketika 88 pertuduhan itu dibacakan oleh jurubahasa mahkamah selama hampir sejam.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, denda dan sebatan jika sabit kesalahan.

Dia yang diwakili peguam, Noramir Ahmad Ibrahim mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan berkenaan dan mohon dibicarakan.

Hakim G. Ramesh membenarkan tertuduh dibebaskan dengan wang jaminan RM50,000 dengan dua penjamin.

Friday, January 10, 2014

Tujuh lelaki ditahan disyaki terlibat curi dua kontena berisi lebih 25,000kg ubi kentang

SHAH ALAM - Tujuh lelaki termasuk seorang pemilik premis pemborong bawang dan ubi kentang ditahan pada Selasa dan Rabu lalu kerana disyaki terlibat dalam kes kecurian dua kontena yang berisi lebih 25,000 kilogram ubi kentang di hadapan sebuah gudang di Taman Klang Jaya, Klang dekat sini pada 4 Januari lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Mohd. Adnan Abdullah berkata, ubi kentang bernilai hampir RM100,000 itu telah ditemui semula di sebuah gudang di Kampung Baru Sungai Buloh dekat sini dalam serbuan pukul 2 petang, Rabu lalu.
"Dua kontena yang dilarikan itu pula dijumpai terbiar kosong di Persiaran Anggerik Aranda, Kota Kemuning di sini dan Jalam TSB 3, Kota Damansara dekat sini.
"Sewaktu ditemui, kesemua ubi kentang itu telah dipek semula dan dipercayai mahu dipasarkan di sekitar Lembah Klang," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Selangor di sini hari ini. - KOSMO!

Paderi pertahan guna kalimah Allah di gereja

Oleh MOHD.  AZLI  ADLAN
azli .adlan@kosmo.com.my
SHAH ALAM - Pengarang The Herald,  Paderi  Lawrence  Andrew  (gambar) terus berdegil apabila dia bukan sahaja enggan meminta maaf kepada umat Islam malah akan meneruskan penggunaan kalimah Allah dalam perhimpunan mingguan gereja Katolik di Selangor.

 Paderi  itu menegaskan, pendirian tersebut diambil berasaskan Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan yang memberi hak kepada rakyat negara ini menganuti dan mengamalkan agama masing-masing.

"Kenyataan saya sebelum ini berkaitan Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan turut menyebut bahawa mana-mana kumpulan agama berhak menguruskan hal ehwal agama masing-masing.

"Kita tidak boleh mengarahkan agama lain apa yang perlu dibuat. Saya tak boleh minta orang Islam, Hindu, Buddha dan Sikh apa yang perlu mereka buat.

"Saya tidak boleh cakap apa-apa tentang agama lain," katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Permodenan Pertanian dan Pembangunan Desa Selangor, Sallehen Mukhyi di sini semalam.

Dalam pada itu, Sallehen berkata, kerajaan negeri Selangor mendukung dan menjunjung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang melarang penggunaan kalimah Allah oleh masyarakat bukan Islam di negeri ini.

Beliau berkata, pihaknya bagaimanapun belum memutuskan sebarang tindakan yang akan diambil jika terdapat gereja di Selangor yang menggunakan kalimah Allah dalam upacaranya.

"Tiada perbincangan dibuat untuk perkara itu, cuma kita berlandaskan titah Tuanku berhubung isu kalimah Allah ini," ujarnya.

Sebelum ini beberapa pertubuhan kerajaan termasuk UMNO Selangor mendesak  paderi  tersebut meminta maaf berikutan tindakan membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam perhimpunan mingguan geraja Katolik di negeri itu.

Thursday, January 9, 2014

Bangunan baharu HTAR bakal dibina bagi atasi kesesakan

KLANG - Sebuah bangunan baharu setinggi lapan tingkat akan dibina bagi mengatasi masalah kesesakan pesakit di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri S. Subramaniam berkata, bangunan yang dianggarkan menelan belanja RM120 juta itu bakal menempatkan 300 katil tambahan untuk kemudahan pesakit.
"Kita sedar HTAR merupakan antara hospital paling sibuk di negara ini dengan kesemua 893 katil di hospital tersebut dipenuhi pesakit setiap hari.
"Oleh itu, bangunan baharu yang dijangka siap dalam tempoh tiga tahun itu diharap dapat mengurangkan masalah kesesakan pesakit yang sedang dihadapi sekarang," katanya selepas mengadakan lawatan kerja di HTAR di sini hari ini. - KOSMO!

Kastam rampas mercun RM1.2j

MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my


PELABUHAN KLANG – Kastam Selangor berjaya mematahkan kegiatan penyeludupan mercun dan bunga api yang dianggarkan bernilai lebih RM1.2 juta termasuk cukai selepas menyerbu sebuah rumah teres dua tingkat di Jalan Kebun, Klang dekat sini pada Jumaat lalu.
Dalam serbuan pada pukul 3 petang itu, sebanyak 665 kotak yang mengandungi pelbagai jenis mercun dan bunga api ditemui di premis berkenaan yang disyaki telah dijadikan sebagai stor penyimpanan.
Pengarah Kastam Selangor, Badaruddin Mohamed Rafik berkata, pemeriksaan mendapati, hampir setiap ruang rumah teres dua tingkat yang tidak berpenghuni itu dipenuhi dengan kotak berisi barangan terbabit.

"Kesemua  mercun  dan bunga api tersebut bernilai RM751,025 manakala cukainya pula sebanyak RM488,166.25. 

"Siasatan awal mendapati, premis itu dijadikan stor penyimpanan barangan larangan tersebut sebelum diedarkan ke seluruh negara sempena sambutan Tahun Baru Cina pada akhir bulan ini. 

"Kita juga sedang mengenal pasti dalang penyeludupan  mercun  dan bunga api tersebut termasuk akan memanggil pemilik premis terbabit untuk memberi keterangan tidak lama lagi," katanya pada sidang akhbar di Wisma  Kastam   Selangor  di Pelabuhan Barat, Pulau Indah di sini semalam. 

Badaruddin berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta  Kastam  1967 kerana menyimpan dan memiliki barang belum lulus  kastam  yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun dan denda antara 10 kali ganda dan 20 kali ganda nilai barang rampasan atau kedua-duanya sekali. 

Dalam kes berlainan, beliau memberitahu, satu sindiket mengilang dan menjual arak haram berjaya dilumpuhkan berikutan penahanan tiga lelaki warga Myanmar di sebuah rumah kedai di Taman Cheras Utama, Kuala Lumpur dekat sini pada 2 Januari lalu. 

Menurut Badaruddin, serbuan pada pukul 3 petang itu juga berjaya merampas 5,208 botol minuman keras yang disyaki dihasilkan secara haram bernilai RM288,455.45.

Badaruddin berkata, pihaknya turut menyita beberapa buah mesin yang disyaki digunakan untuk memproses arak haram berkenaan dan ketiga-tiga lelaki warga Myanmar yang berusia 26 tahun itu telah direman selama tujuh hari sehingga hari ini. 

Ujarnya, selain Seksyen 135 (1) (d) Akta  Kastam  1967, kes terbabit turut disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Eksais 19766 kerana memiliki alat suling dan lain-lain tanpa permit yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda antara RM2,000 dan RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Wednesday, January 8, 2014

Kastam Selangor patahkan cubaan seludup bunga api

PELABUHAN KLANG - Kastam Selangor berjaya mematahkan cubaan menyeludup mercun dan bunga api yang dianggar bernilai lebih RM1.2 juta selepas menyerbu sebuah rumah di Jalan Kebun, Klang dekat sini pada Jumaat lalu.
Pengarah Kastam Selangor, Badaruddin Mohamed Rafik berkata, operasi pada pukul 3 petang itu berjaya merampas 665 kotak yang mengandungi mercun dan bunga api pelbagai jenis.
"Siasatan awal mendapati rumah teres dua tingkat itu dijadikan stor penyimpanan mercun dan bunga api itu sebelum mahu diedarkan ke seluruh negara sempena sambutan Tahun Baru Cina pada akhir bulan ini.
"Semasa serbuan, rumah tersebut tidak berpenghuni dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967," katanya pada sidang akhbar di Wisma Kastam Selangor di Pelabuhan Barat di sini hari ini. - KOSMO!

Sunday, January 5, 2014

KBS tubuh Kelab Sukan dan Rekreasi Komuniti

TANJONG KARANG - Kementerian Belia dan Sukan akan menubuhkan Kelab Sukan dan Rekreasi Komuniti di setiap kawasan Parlimen di negara ini pada masa terdekat.
Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, ia merupakan platform terbaharu golongan muda untuk berkumpul dan menjalankan aktiviti sukan dan rekreasi yang menyihatkan.
"Kita sekarang ini dalam peringkat akhir pelaksanaan penubuhan Kelab Sukan dan Rekreasi Komuniti ini.
"Antara sukan dan aktiviti rekreasi yang akan diberi tumpuan ialah futsal, sepak takraw dan perkhemahan," katanya selepas merasmikan kejohanan Futsal Endurance Terbuka 1Malaysia di Pusat Futsal Batu Enam di sini malam ini. - KOSMO

Pengarang The Herald dipanggil berbincang dan beri penjelasan

SHAH ALAM - Kerajaan negeri Selangor akan memanggil Pengarang The Herald, Lawrence Andrew untuk memberi keterangan berhubung kenyataannya mengenai kalimah Allah pada Selasa ini.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Permodenan Pertanian dan Pembangunan Desa negeri, Salehen Mukhyi berkata, perjumpaan itu juga bertujuan untuk membincang dan memberi penjelasan kepada Andrew mengenai larangan penggunaan kalimah Allah bagi bukan Islam seperti dititahkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sebelum ini.
"Kerajaan negeri (Selangor) selari dengan dengan titah Sultan Selangor bahawa semua pihak perlu menghormati Islam sebagai agama rasmi manakala masyarakat bukan Islam bebas mengamalkan kepercayaan masing-masing seperti termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.
"Semua rakyat Selangor tidak kira agama dan kaum mesti mematuhinya bagi menjamin kelangsungan hidup berharmoni, bekerjasama dan saling menghormati antara satu sama lain seperti yang sudah terjalin sekian lama," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. - KOSMO!

Saturday, January 4, 2014

Frenz United uji skuad B-17 Liverpool

WAKIL negara, Frenz United Malaysia bakal bertembung  dengan skuad remaja Liverpool Bawah 17 tahun (B-17) pada  perlawanan persahabatan di Stadium Selayang, Selangor  malam ini.

Presiden Kelab Bola Sepak Frenz United, Datuk Noor  Ihsan A. Hamid berkata, perlawanan tersebut merupakan  aksi pemanas badan berharga buat pasukannya yang bakal  menghadapi Piala Antarabangsa Fenz Bawah 16 tahun (B-16)  2014 bermula 11 Januari depan.

“Kita berbangga kerana Akademi Liverpool bersetuju  untuk datang ke Malaysia bagi mengadakan perlawanan  persahabatan dengan Frenz United Malaysia.

“Ia pendedahan terbaik untuk dipelajari oleh Frenz United  Malaysia memandangkan Akademi Liverpool bukan sahaja  antara pasukan bola sepak berpengaruh dunia malah ber pengalaman luas dalam pembangunan bola sepak remaja,”  katanya pada sidang akhbar mengenai perlawanan per sahabatan tersebut di Hotel Primiere Bukit Tinggi, Klang,  Selangor semalam.

Turut hadir Ketua Jabatan Pertandingan Antarabangsa  Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Abang Zulkarnain  Abdul Rahman, ketua jurulatih Liverpool B-17, Dos Maheer,  duta kejohanan Piala Antarabangsa Frenz B-16 2014, Steve  McMahon, Pengarah WTC Holding Berhad, Kenny Wong  dan kapten kedua-dua pasukan iaitu Muhammad Shahrul  Akmal Adnan dan Andrew Firth.

Orang ramai terutama peminat bola sepak di sekitar  Lembah Klang disaran untuk memeriahkan perlawanan  persahabatan antara Frenz United Malaysia dan Liverpool  B-7 tersebut yang bakal berlangsung pada pukul 8.45 malam  ini dan kemasukan adalah percuma.

UMNO Selangor gesa tiada pihak berhimpun di gereja esok

SHAH ALAM - Badan Perhubungan UMNO Selangor menggesa mana-mana pihak agar tidak mengadakan sebarang perhimpunan bantahan berhubung isu kalimah Allah di gereja-gereja seluruh negeri tersebut yang dijadual esok.
Pengerusinya, Datuk Seri Noh Omar berkata, selain melarang ahli parti, pihaknya menyeru agar badan bukan kerajaan (NGO) yang turut membantah kenyataan Pengarang The Herald, Paderi Lawrence Andrew kerana berkeras mahu menggunakan kalimah Allah di semua gereja di Selangor juga tidak berbuat demikian.
"UMNO Selangor tidak bersetuju mana-mana pihak mengadakan sebarang himpunan di gereja kerana boleh menimbulkan salah tafsir dalam kalangan rakyat dan menggugat keharmonian kebebasan beragama di negeri.
"Namun Andrew didesak agar membuat permohonan maaf segera kerana kenyataannya bertentangan dengan Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Orang Islam) 1988 dan mengingkari perintah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah," katanya pada sidang akhbar di Bangunan UMNO Selangor di sini hari ini.
Noh berkata, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan pihak polis digesa mengambil tindakan terhadap Andrew selaras peruntukan undang-undang sekiranya paderi itu tetap berdegil. - KOSMO!

Friday, January 3, 2014

UEM Sunrise sumbang pakaian sekolah untuk anak Orang Asli

SUMBANG. Firma pemaju hartanah, UEM Sunrise Berhad (UEM Sunrise) menyumbang pakaian seragam dan peralatan persekolahan kepada 53 pelajar Orang Asli di Kampung Sungai Geroyang dan Kampung Sungai Merbau, Tapah, Perak baru-baru ini.
Ketua Komunikasi Korporat UEM Sunrise, Nik Surina Suria berkata, program Kembali ke Sekolah tersebut turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna, Sumber Manusia dan Masyarakat Sivil, Datuk Shamsudin Abu Hassan.
Beliau berkata, sumbangan berkenaan bertujuan meringankan beban keluarga Orang Asli terbabit dalam menyediakan pakaian seragam dan peralatan persekolahan anak-anak mereka.
"Ia merupakan sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat kami untuk meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat setempat," katanya.

Thursday, January 2, 2014

300 pelajar di Perak sertai seminar alam kerjaya

PENDEDAHAN. Seramai 300 pelajar sekolah menengah, kolej vokasional dan Institut Kemahiran Malaysia (IKM) dari seluruh Perak menyertai seminar Selangkah ke Alam Kerjaya di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh, Perak baru-baru ini.
Pengarah program, Muhammad Razimi Jamaludin berkata, seminar anjuran Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Dr. Muhammad Amin Zakaria.
Beliau berkata, peserta didedahkan tentang persediaan melangkah ke alam kerjaya selain peluang dan kursus yang ditawarkan di institusi pengajian tinggi tempatan.
"Peserta dibantu memilih jurusan yang sesuai dengan cita-cita, minat dan kelulusan demi masa depan mereka," katanya.

Wednesday, January 1, 2014

D Nur tawar khidmat spa mesra muslimah

MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH  - Pusat kecantikan dan spa, D Nur  Beauty   House  di sini menawarkan perkhidmatan rawatan kecantikan yang mesra muslimah.

Pengusahanya, Norul Emasyitah Norman berkata, selain menyediakan ruang privasi kepada pelanggan, pusat kecantikan dan spa itu juga memberi penekanan kepada etika aurat sewaktu memberikan perkhidmatan.

"D Nur  Beauty   House  sedar kepentingan penjagaan aurat antara pelanggan dan pekerja spa biarpun sama jantina.

"Oleh itu, pelanggan khususnya wanita Islam tidak perlu risau sebaliknya merasa selesa mendapatkan perkhidmatan kecantikan dari hujung rambut hingga hujung kaki di pusat kecantikan dan spa kami," katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.

Norul Emasyitah menerangkan, D Nur  Beauty   House  yang terletak di bandar Meru Raya di sini menawarkan perkhidmatan yang lengkap seperti menggunting rambut, rawatan muka, kaki, kuku dan rambut.

Perkhidmatan urutan badan, solekan muka, mandi bunga, rawatan resdung dan mandi lulur turut ditawarkan.

Menurutnya, kesemua perkhidmatan tersebut menggunakan minyak aromaterapi yang sesuai untuk semua jenis kulit.

"Memahami pelanggan kami terdiri daripada pelbagai latar belakang sosial dan ekonomi, pakej-pakej yang disediakan adalah sesuai dengan bajet mereka iaitu antara RM19 hingga RM200.

"Antara pakej yang popular ialah rawatan resdung tanpa asap yang bukan sahaja tidak memeritkan mata pelanggan malah terbukti berkesan mengurangkan alahan," katanya.

Norul Emasyitah berkata, pelanggan juga boleh memiliki kad keahlian dengan kadar RM25 setahun. Ia membolehkan pelanggan menikmati diskaun antara lima peratus sehingga 20 peratus bagi setiap perkhidmatan.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian 012-5564 200 atau layari laman sosial Facebook di facebook/D Nur  Beauty   House   Ipoh .

Kanak-kanak Orang Asli Temiar berkhatan beramai-ramai

IBADAH. Seramai 20 kanak-kanak Orang Asli dari suku Temiar berkhatan beramai-ramai pada program Jiwa Murni anjuran Kor Kesihatan Diraja (KKD) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Legap, Sungai Siput, Perak baru-baru ini.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan ATM, Leftenan Jeneral Datuk Abdul Razak Md. Yusoff berkata, program yang merupakan sebahagian daripada Strategi Lautan Biru Kebangsaan bagi merapatkan hubungan ATM bersama rakyat itu dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Islam, Pembangunan Sahsiah, Usahawan dan Koperasi Perak, Mohd. Nizar Zakaria.
Beliau berkata, kesemua kanak-kanak Orang Asli berkenaan dikhatankan secara percuma oleh doktor dan paramedik KKD ATM.
"Pada program sama, kita turut menawarkan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan percuma kepada hampir 1,300 masyarakat tersebut yang menetap di sekitar Sungai Siput," katanya.