Translate

Wednesday, June 29, 2011

Gajah musnah tanaman penduduk ditangkap

GERIK - Kebimbangan penduduk Kampung Tawai dekat sini dengan masalah serangan gajah yang bertindak memusnahkan tanaman mereka sejak beberapa bulan lalu berakhir dengan penangkapan seekor gajah jantan kelmarin.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Shabrina Mohd. Shariff berkata, gajah subdewasa seberat satu tan itu berjaya ditangkap Unit Tangkap Gajah (UTG) setelah didapati berkeliaran di belakang sebuah rumah penduduk Sabtu lalu.

“Sebelum ini, Perhilitan Perak menerima banyak aduan daripada penduduk kampung tentang tanaman kelapa sawit, getah dan dusun buah-buahan di usahakan mereka dimusnahkan gajah.

“Anggota kita telah terserempak dengan seekor gajah jantan berkeliaran di belakang sebuah rumah penduduk pada pukul 6 petang sebelum bertindak menembak dengan menggunakan ubat pelali,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Shabrina berkata, gajah yang mempunyai ukuran tapak kaki se besar 33.02 sentimeter (sm) itu berjaya dijinakkan pada 8.30 malam sebelum dirantai.

“Gajah jantan berkenaan telah dilepaskan semula di habitat asalnya di Hutan Simpan Papulut. Kita percaya dianggarkan tujuh ekor gajah menghuni hutan simpan tersebut yang terletak berhampiran Kampung Tawai.

“Sebelum ini, UTG pernah menangkap seekor gajah jantan lain yang berkeliaran di kampung sama pada Jun tahun lalu,” katanya.

Tuesday, June 28, 2011

Dua lelaki Myanmar dicari polis

TAPAH - Polis mencari dua lelaki Myanmar bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhan seorang pekerja Bangladesh di sebuah ladang ternakan ayam di Air Kuning dekat sini pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Tapah, Supritendan Roslan Bek Ah mad berkata, Hla Kyaw Sein dan Nyunt Win dipercayai telah melarikan diri ke Kuala Lumpur sebaik Abdul Salam, 36, dibunuh pada pukul 11 malam.

“Kedua-dua lelaki Myanmar berusia 36 tahun itu merupakan rakan sekerja mangsa di ladang tersebut. Polis telah menemui sebatang kayu yang digunakan untuk memukul kepala mangsa," katanya.
Tambahnya, motif kejadian dipercayai akibat perselisihan faham.

Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kedua-dua lelaki itu supaya menghubungi balai polis terdekat.

Monday, June 27, 2011

Guna teknologi laser terkini rawat rabun dan ketarak

IPOH - Individu yang mempunyai masalah rabun dan ketarak mata kini boleh menjalani rawatan pembetulan penglihatan dalam jangka masa sesingkat 10 minit sahaja di Pusat Mata Lee di sini.

Pengerusi Pusat Mata Lee, Datuk Dr. Lee Yow Chan berkata, pusat optalmologinya menawarkan perkhidmatan pembedahan mata dengan teknologi laser terkini menerusi mesin Wavelight Refractive Suite.

“Pusat Mata Lee merupakan satu-satunya pusat optalmologi di rantau ini yang menggunakan mesin terbabit yang bernilai kira-kira RM3.9 juta setelah ia dilancarkan di Eropah pada September lalu.

“Mesin terbabit merupakan platform terpantas di dunia dalam rawatan masalah mata seperti rabun jauh dan dekat, astigmatism serta ketarak mata,” katanya selepas majlis pengenalan mesin terbabit di sini baru-baru ini.

Yow Chan menjelaskan, rawatan pembetulan penglihatan dengan mesin Wavelight Refractive Suite selamat dan tidak menyakitkan.

Menurutnya, rawatan teknologi laser terbabit diadakan dalam tempoh singkat dan keputusannya dapat diketahui selepas itu maka pelanggan tidak akan dibebani dengan prosedur pembetulan berulang.

“Ia alternatif terbaik buat individu masalah penglihatan yang mahu bebas daripada bergantung sepenuhnya dengan cermin mata dan kanta lekap.

“Malah ia juga mampu membantu memnyelesaikan ma salah mereka yang gagal memperolehi keputusan memuas kan daripada prosedur pembedahan lasik dan ketarak yang konvensional,” katanya.

Yow Chan berkata, kos rawatan pembetulan mata dengan mesin Wavelight Refractive Suite juga adalah berpatutan iaitu sekitar RM2,500 hingga RM5,000 bergantung kepada tahap ke sihatan mata pelanggan.

Thursday, June 23, 2011

Tanam RM1 juta

IPOH – Polis menemui petunjuk baharu untuk menyelesaikan kes tipu melibatkan pasangan suami isteri yang dicari sejak April lalu apabila menemui wang RM1.095 juta yang ditanam di belakang rumah anak lelaki mereka di Kuala Muda, Kedah 14 Jun lalu.

Wang yang dimasukkan ke dalam sebuah beg itu ditemui selepas polis menyoal siasat anak pasangan itu yang ditahan pada hari sama.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, pihaknya percaya, pasangan terbabit, Chong Heoy Choo, 50, dan Song Siew Weng, 49, bertindak menanam sebahagian daripada wang RM7 juta yang diperoleh hasil penipuan kerana bimbang kegiatan mereka telah terbongkar.

Bagaimanapun katanya, pasangan itu masih belum diberkas.

“Mereka dicari selepas kita menerima laporan daripada tujuh mangsa yang mendakwa ditipu mengenai penawaran projek dan tender yang tidak wujud di sekitar Perak sejak awal tahun ini.

“Anak mereka yang berusia 21 tahun itu juga disyaki terlibat dalam membantu ibu bapanya untuk menipu,” katanya.

Kosmo! pada 16 April lalu melaporkan polis mencari Heoy Choo dan Siew Weng bagi membantu siasatan berhubung kes penipuan.

Modus operandi suspek ialah sering membuat temu janji di restoran mewah dan menaiki kereta mahal selain turut memberi derma mencecah ribuan ringgit di rumah-rumah ibadat dan pusat pendidikan untuk mengaburi mata orang ramai.

Menurut Syukri, kebanyakan mangsa terperdaya dengan tawaran suspek kononnya boleh membantu mendapatkan tender kerajaan.

“Antaranya mendapatkan tanah rizab kerajaan, pembekalan buah-buahan dan barangan runcit untuk Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta projek membina saliran," katanya.

Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau pernah terserempak dengan Heoy Choo dan Siew Weng diminta tampil bagi membantu siasatan.


Wednesday, June 22, 2011

Lelaki mati ditembak, pengawal ditahan

IPOH - Seorang pengawal keselamatan ditahan bagi membantu siasatan berhubung tindakannya menembak mati seorang lelaki yang disyaki cuba menceroboh sebuah kilang besi di Lahat dekat sini semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Mohd. Dzuraidi Ibrahim berkata, lelaki berusia lingkungan 50-an tersebut ditahan selepas didapati telah melepaskan tembakan menggunakan senapangnya ke badan They Thar Singh, 41, dalam kejadian pukul 3.15 pagi.

Katanya, siasatan awal mendapati, sebelum kejadian, pengawal keselamatan itu bersama dua rakannya telah terserempak dengan suspek dalam keadaan mencurigakan.

“Satu tembakan amaran ke udara dilepaskan selepas suspek bertindak melarikan diri selepas ditegur pengawal keselamatan terbabit.

“They Thar kemudiannya dikejar oleh tiga pengawal keselamatan kilang tersebut sebelum salah seorang da ripadanya melepaskan tembakan yang membawa kematian suspek,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Tambahnya, polis kemudian menahan pengawal keselamatan itu dan selaras senapang bagi membantu siasatan.

Mayat suspek dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini untuk dibedah siasat.
Semakan mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau.

Hairuman mula sesuaikan diri

TANJUNG MALIM - Setelah hampir sebulan dibenarkan keluar selepas enam bulan terlantar di hospital, mangsa renjatan elektrik bervoltan tinggi, Muhammad Hairuman Miskon, 22, semakin cekal menyesuaikan diri dengan keadaan fizikal barunya.

Menurutnya, berkat dorongan keluarga terutama kakaknya, Maryuni, 32, dia kini mampu melakukan beberapa aktiviti fizikal asas seperti makan dan minum sendiri tanpa bantuan.

“Namun luka lama masih belum sembuh sepenuhnya. Kulit saya tidak boleh terdedah lama dengan cahaya matahari mahupun cuaca panas. Jika tidak, akan berlaku komplikasi pendarahan.

“Pada masa ini, saya juga perlu menjalani rawatan susulan dan fisioterapi di Hospital Slim River dua kali seminggu sekurang-kurangnya hingga akhir tahun ini,” katanya ditemui semasa lawatan amal 30 pelajar dan kakitangan Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) Bangi di kediaman Maryuni di sini semalam.

Kunjungan diketuai Pengerusi KPTM, Datuk Sohaimi Shahadan itu turut disambut Maryuni dan suaminya, Ahmad Faiz Hafiz.

Hairuman berkata,semangatnya untuk melanjutkan pelajaran masih berkobar-kobar.

"Memang saya begitu meminati bidang pendawaian elektrik namun memandangkan keadaan fizikal sekarang, saya mungkin beralih ke bidang lain yang lebih sesuai.

“Antaranya seperti perniagaan, seni kraftangan dan melukis. Apapun masa masih panjang dan biarlah saya be nar-benar sembuh,” katanya.

Sementara itu, Sohaimi berkata, kunjungan sempena program KPTM Prihatin bertujuan untuk menyumbang derma RM2,093 dan barangan keperluan hasil kutipan pelajar dan kakitangan KPTM Bangi.

Pada kejadian 26 November 2010, Hairuman melecur teruk di seluruh badannya selepas terkena renjatan elektrik ber voltan tinggi ketika mengait kelapa sawit bersama rakannya di kebun Sungai Tengi Kanan Darat, Kuala Selangor.

Ekoran kejadian itu, doktor menasihatkan agar kedua-dua pergelangan tangan dan kakinya dipotong atas faktor perubatan.

Michelle duta IIR 2011

LARIAN Antarabangsa Ipoh (IIR) edisi ke-16 pada 3 Julai depan kian bersemarak dengan pelantikan Datuk Michelle Yeoh sebagai duta kejohanan.

Michelle berkata, sebagai anak jati Ipoh, pelantikan se bagai duta IIR 2011 merupakan tawaran yang tidak mampu ditolak biarpun agak sibuk dengan komitmen sebagai artis antarabangsa.

“IIR perlu disokong kerana ia merupakan acara sukan yang menggalakkan gaya hidup sihat. Saya berharap lebih ramai golongan muda khususnya pelajar sekolah menyertainya.

“Bagi menyuntik semangat, saya berjanji akan melakukan kunjungan hormat ke sekolah yang dapat menghantar pe nyertaan terbanyak dalam IIR 2011,” katanya dalam sidang akhbar yang turut dihadiri Datuk Bandar Ipoh, Datuk Roshidi Hashim di bangunan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Ipoh semalam.

Sementara itu, Roshidi berkata, IIR 2011 dijangka mampu menarik penyertaan lebih 13,000 peserta termasuk dari Indonesia, Singapura, Jepun, Thailand dan Kenya.

Menurut beliau, sebanyak 11 kategori bagi peringkat umur 13 hingga 50 tahun akan dipertandingkan termasuk terbuka, wanita, veteran, remaja dan pelajar.

“Hadiah berupa wang tunai bernilai keseluruhan RM96,750 akan ditawarkan kepada pemenang pertama hingga ke-20 bagi setiap kategori terbabit," katanya.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi talian 05-2422743 atau melayari laman web http://www.mbi.gov.my dan http://ipohrun.com.

Tuesday, June 21, 2011

Ekspo hartanah di Ipoh tawar 700 unit rumah

IPOH - Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) Perak dan Persatuan Pembuat dan Penjual Perabot (PFMDA) Perak akan menganjurkan Ekspo Hartanah, Perindustrian dan Perabot (Mapex) selama empat hari bermula Khamis ini.

Pengerusi Rehda Perak, Datuk Francis Lee Yew Hean berkata, ekspo yang mendapat kerjasama Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) itu bakal berlangsung di Stadium Indera Mulia di sini.

“Ekspo tersebut merupakan pusat sehenti yang mempamerkan hartanah berupa pembangunan bercampur dan perabot terbaik untuk penduduk sekitar bandar raya ini.

“Sebanyak 29 syarikat terdiri daripada pemaju, ejen hartanah, institusi kewangan dan insurans serta pengusaha perabot terlibat dalam ekspo kali ini,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Yew Hean menjelaskan, Mapex 2011 juga menawarkan 700 unit pembangunan bercampur yang bernilai RM740 juta yang meliputi rumah teres setingkat dan dua tingkat, rumah berkembar, apartmen, kondominium dan banglo.

Menurutnya, antara pemaju perumahan yang terlibat ialah Golden Palm Marketing Sdn. Bhd., Gopeng Land and Properties Sdn. Bhd. dan Baktipadu Sdn. Bhd.

“Ia turut disertai The Haven Sdn. Bhd., Sunway City (Ipoh) Sdn. Bhd., Pulai Height Sdn. Bhd. dan Kinta Saujana Sdn. Bhd.

“Tumpuan juga diberikan kepada pembeli yang ingin menyertai program ‘Rumah Pertamaku’ dan setiap hartanah dijual pada harga yang kompetitif dan pelbagai tawaran diskaun dan pengecualian mengikut kelayakan,” katanya.

Selain itu, Yew Hean menjelaskan, sebanyak 11 syarikat perabot dan kelengkapan rumah seperti Noa Gallery, Betek Furniture Sdn. Bhd. dan Eastern Decorator turut menyertai ekspo berkenaan.

500 sertai pertandingan memancing Kampar

RIADAH. Lebih 500 kaki pancing memeriahkan Pertandingan Memancing Kampar di Mambang Di Awan, Kampar baru-baru ini.

Kejohanan julung kali anjuran Rohaizam Enterprise itu dimenangi Mazrul Nizam Mat Nor, 34, yang berjaya me naikkan ikan tongsan seberat 6.82 kilogram (kg).

Beliau meraih hadiah wang tunai RM15,000 diikuti pemenang tempat kedua dan ketiga Norizam Basir, 40, dan Ong Yang Siong, 49, yang masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 dan RM5,000.

Sebanyak 2,000 naskhah Kosmo! turut diedarkan secara percuma kepada peserta dan penonton bagi memeriahkan pertandingan memancing itu.

Tamar Jalis dedah identiti

MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Identiti penulis novel mistik, Siri Bercakap Dengan Jin (SBDJ) dikenali sebagai Tamar Jalis yang kekal misteri selama hampir 30 tahun akhirnya terbongkar di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara di sini semalam.

Tamar Jalis atau nama sebenarnya, Mohd. Radzi Mahmud, 73, membuat kemunculan pertama di khalayak dalam Wacana SBDJ anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara dan Karyawan Perak.

Mohd. Radzi yang pernah berkhidmat sebagai kerani pengedaran Utusan Melayu (M) Sdn. Bhd. cawangan Perak pada 1970-an berkata, beliau mempunyai sebab tertentu untuk tidak menonjolkan diri.

“Saya mula menulis SBDJ pada April 1981 bagi membantu rakan saya yang juga penerbit Variasari meningkatkan jualan majalah itu.

“Saya gunakan nama samaran Tamar Jalis dan tidak dedahkan identiti diri kerana menganggap ia merupakan karya biasa berbanding karya-karya sastera saya lain termasuk dua cerpen yang pernah memenangi sayembara,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Kesenian, Belia dan Sukan negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin merasmikan Wacana SBDJ yang menampilkan sembilan tokoh akademik, sastera dan budaya antaranya Prof. Madya Dr. Talib Samat dan Dr. Mohd. Affandy Yusof yang turut mengupas novel itu.

Mohd. Radzi yang kini menetap di Kota Damansara, Petaling Jaya berkata, nama pena Tamar Jalis adalah inspirasi daripada nama anak jin Tamar Bunga yang terkandung dalam Hikayat Inderapura.

Bekas Penolong Ketua Editor, akhbar Watan itu mengakui 60 peratus jalan cerita SBDJ adalah berdasarkan pengalamannya sendiri bersama datuknya yang berasal dari Beruas.

“Pada masa itu, saya memilih untuk menulis kisah berkaitan alam mistik dan tahyul kerana percaya ia dekat dengan pembaca dan ternyata berjaya dan menjadikan jualan Variasari meningkat mendadak sehingga 80,000 sebulan.

“Siri itu bertahan sehingga 23 tahun enam bulan sehingga tamat pada Januari 2005. Saya tidak menyangka SBDJ mempunyai pengaruh tersendiri,” katanya.

Saturday, June 18, 2011

Makan malam istimewa Hari Bapa di Hotel Heritage

IPOH - Sempena sambutan Hari Bapa, Hotel Heritage di sini menawarkan set makan malam istimewa bermula 6.30 petang hingga 10 malam hari ini.

Eksekutif Perhubungan Awam Hotel Heritage, Shams hidar Mohamad Khirudin berkata, makan malam akan di adakan di Polo Cafe khusus untuk mereka yang datang bersama seorang yang bergelar bapa.

“Pelbagai set makanan lazat seperti stik kambing, stik daging, sosej dan ketam bunga BBQ di samping pelbagai pencuci mulut akan disajikan pada majlis tersebut.

“Golongan muda disarankan mengambil kesempatan ini untuk makan malam bersama di hotel kami bagi menghargai jasa bapa sempena sambutan hari istimewa tersebut,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Shamshidar berkata, selain sajian lazat, suasana pada malam tersebut akan dimeriahkan dengan iringan muzik.

Menurut beliau, pek khas yang mengandungi kek, coklat dan beberapa barangan istimewa juga akan diedarkan percuma kepada pelanggan terbabit.

"Untuk maklumat lanjut, sila hubungi talian 05-2428888,” katanya.

Monday, June 13, 2011

Kelincahan pesilat 'Mat Saleh' tarik perhatian

SERI ISKANDAR - Ketangkasan dua pesilat 'Mat Saleh' bertempur dengan mengguna senjata Melayu menarik perhatian ramai dalam Kejuaraan Seni Silat Warisan Mahaguru di Dewan Besar, Universiti Teknologi Petronas (UTP) yang berakhir malam kelmarin.

Permainan keris dan parang Ed Chard, 45, dan pasangannya, Scott McQuaid, 35, masing-masing dari Australia dan Britain dipilih sebulat suara oleh barisan juri sebagai naib juara kategori tempur bersenjata.

Chard berkata, beliau tidak menyangka cuma ketinggalan lima mata di belakang pesilat Persatuan Silat Sri Gayong Panglima Ulung yang muncul juara dalam kategori berkenaan.

"Bagi kami, melangkah ke pusingan akhir sudah menjadi satu pencapaian besar kerana kami perlu bersaing dengan 14 pasukan lain yang mewakili persatuan silat mempunyai reputasi hebat.

"Saya juga puas hati persembahan tempur bersenjata kami yang diinspirasi daripada pertarungan Hang Tuah dan Hang Jebat mendapat sambutan hangat penonton," katanya ketika ditemui selepas menerima hadiah piala dan penginapan percuma di sebuah resort di Pulau Pangkor daripada Pengerusi Jawatankuasa Kesenian, Belia dan Sukan Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin di sini kelmarin.

Terdahulu persembahan tempur bersenjata Chard dan McQuaid yang turut menyelitkan gimik berhenti sebentar untuk meminum air sebelum kembali bertarung ala pertarungan Hang Tuah dan Hang Jebat mendapat tepukan gemuruh daripada lebih 3,000 penonton.

Chard dan McQuaid menganggotai Persekutuan Harimau Berantai Pencak Silat Australia yang ditubuhkan oleh Jak Othman.

Kategori tempur bersenjata tersebut diungguli pasangan Muhammad Akmal Hafiz Jamaluddin dan Muhd. Azim Abdul Aziz daripada Persatuan Silat Sri Gayong Panglima Ulung yang mewakili Persekutuan Silat Kebangsaan (Pesaka) Perlis.

Mereka berjaya meraih 243 mata setelah menampilkan persembahan mantap menerusi pertarungan menggunakan enam senjata Melayu iaitu tekpi, kerambit, keris, golok, parang dan kayu panjang.

Sunday, June 12, 2011

Aziwahiya pendekar bunga silat

Oleh AHMAD SYAKIR SAZILI dan MOHD.AZLI ADLAN
berita@kosmo.com.my

SERI ISKANDAR – Jagoan silat dari Persatuan Gayong Fattani dinobatkan pendekar bagi kategori bunga silat (solo) pada Kejuaraan Seni Silat Warisan Mahaguru di Universiti Teknologi Petronas (UTP) di sini semalam.

Dr. Aziwahiya Yeop, 39, menjadi pilihan selepas mempamerkan persembahan bunga silat penuh seni yang berjaya menarik perhatian barisan juri berpengalaman.

Beliau menerima hadiah berupa wang tunai RM1,000 dan piala yang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin.

Turut hadir pengarah kejuaraan, Jak Othman, Ketua Pegawai Eksekutif KPerak Implementation & Coordination Corporation, Dr. Ahmad Kamil Mahmood dan Pengarang Kosmo!, Baharom Mahusin.

Terdahulu penganjuran sulung kejohanan tersebut mendapat sambutan hangat dengan kehadiran lebih 3,000 orang penonton.

Sementara itu, kategori tempur tanpa senjata diungguli pesilat dari Persekutuan Silat Kebangsaan (Pesaka) Negeri Sembilan dan seterusnya membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000 dan piala.

Pesilat dari Pesaka Perlis pula membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 dan piala selepas menguasai kategori tempur bersenjata.

Pasangan tunggal bukan Melayu, Ed Chard, 45, dan Scott McQuaid, 35, yang masing-masing dari Australia dan Britain hampir-hampir membuat kejutan apabila dipilih sebagai pemenang tempat kedua kategori tempur bersenjata.

Kelincahan pesilat wanita dari Persatuan Silat Cekak Harimau menjadi pilihan juri untuk dinobatkan sebagai juara kategori serikandi.

Nurul Janatul Atikah Mohd. Azmi, 17, membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 dan piala.

Kejuaraan Seni Silat Warisan Mahaguru dianjurkan oleh Homeland Frontier Sdn. Bhd. dengan kerjasama KPerak manakala Kosmo! menjadi akhbar rasmi.

Saturday, June 11, 2011

15 guru silat berpengalaman jadi pengadil

SERI ISKANDAR – Bukan calang-calang juri yang akan mengadili Kejuaraan Seni Silat Warisan Mahaguru 2011 di Dewan Besar, Universiti Teknologi Petronas (UTP) di sini.

Pengarah kejohanan, Jak Othman berkata, barisan juri terpilih daripada 15 guru silat yang berpengalaman selama puluhan tahun dan diiktiraf Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka).

Aspek penjurian amat ketat kerana kita mahu hanya pesilat yang benar-benar mampu menonjolkan seni bela diri Melayu tulen dinobatkan sebagai juara.

“Dalam erti kata lain, setiap peserta perlu mempamerkan persembahan mantap yang menepati ciri-ciri pendekar Melayu,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.

Ujarnya, aspek yang ditekankan adalah keaslian, kesenian, ketangkasan, adab masuk gelanggang, inovatif persembahan dan busana.

“Contohnya, jika pesilat itu mewakili persatuan silat yang berakar umbi daripada budaya Bugis, lebih baik jika berbusana seperti pendekar Bugis dahulu kala.

“Kita juga tidak mahu elemen seni bela diri luar seperti karate-do dan judo diselitkan dalam setiap persembahan peserta. Jika tidak penyertaan akan dibatalkan serta-merta,” katanya.


PSSPGM idam kuasai semua kategori

IPOH – Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayong Malaysia (PSSPGM) mahu mengungguli dalam Kejuaraan Seni Silat Warisan Mahaguru yang bermula hari ini.

Jurulatih Kanan PSSPGM, Mohd. Khoharullah Raja Abdul Majid berkata, pihaknya telah mengatur strategi rahsia bagi mengatasi peserta lain.

“PSSPGM yakin dengan kemampuan pesilat yang bakal mewakili kami dalam kategori bunga silat, tempur tanpa senjata, tempur bersenjata dan serikandi.

“Kejuaraan dalam kejohanan itu ditagih kerana ia mampu menaikkan lagi nama pertubuhan silat ini bagi menarik lebih ramai golongan muda menyertai kami pada masa depan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Bagaimanapun, Mohd. Khoharullah berkata, PSSPGM sedar saingan daripada para pesilat lain amat sengit kerana kebanyakan mereka mewakili pertubuhan silat terkenal dan mempunyai reputasi tinggi.

Menurutnya, Pertubuhan Seni Silat Cekak Harimau dari Pahang akan menjadi pencabar utama dan memberi saingan kepada pesilat mereka dalam pertandingan berkenaan.

96 pesilat terbaik sedia untuk bertempur

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

SERI ISKANDAR – Seramai 96 pesilat terbaik tempatan dan antarabangsa menunggu masa untuk bertarung dalam Kejuaraan Seni Silat Warisan Mahaguru di Dewan Besar Universiti Teknologi Petronas (UTP) di sini hari ini.

Pengarah kejohanan, Jak Othman berkata, mereka mewakili 14 pertubuhan silat seluruh negara dan antarabangsa untuk merebut gelaran pendekar.

“Gelanggang sudah tersedia dan kini hanya menunggu pesilat memasuki gelanggang untuk memulakan aksi pertarungan,” katanya ketika ditemui semasa meninjau persiapan terakhir kejohanan itu di sini semalam.

Menurut Jak, berdasarkan persiapan rapi setiap pasukan, beliau menjangka saingan sengit bagi keempat-empat kategori yang dipertandingkan iaitu bunga silat, serikandi, tempur tanpa senjata dan tempur dengan bersenjata.

“Orang ramai terutamanya penduduk setempat disaran tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan kejohanan yang menampilkan seni silat Melayu tulen.

“Saya jamin mereka akan mendapat pengalaman baru tentang seni silat yang sudah jarang ditampilkan,” katanya.

Friday, June 10, 2011

Silat perlu diiktiraf sebagai harta intelek negara

IPOH - Kejohanan Seni Silat Warisan Mahaguru yang bakal berlangsung lusa disasar mampu menjadi pemangkin kepada usaha untuk pematenan seni silat dan senjata warisan Melayu.

Ketua Pengawai Eksekutif KPerak Implementation and Coordination Corporation (KPerak) Dr. Ahmad Kamil Mahmood berkata, pihaknya melihat seni silat bukan sekadar ilmu pertahanan diri warisan tetapi juga harta intelek berharga kepada negara.

“Setahu saya kita mempunyai lebih 2,000 cabang silat dan 245 senjata Melayu yang diwarisi sejak ratusan tahun dulu namun kesemuanya tidak pernah dipatenkan.

“Bagi KPerak, usaha untuk mematenkan silat dan senjata warisan itu penting bagi menyemarakkan lagi perkem bangan seni pertahanan diri warisan itu ke peringkat antarabangsa bagi setanding dengan judo, karate-do dan taekwondo,” katanya.

Beliau ditemui bersama penganjur Kejohanan Seni Silat Warisan Mahaguru, Jak Othman di pejabatnya di Pusat Dagangan Tekno Perak (PTTC) di sini semalam.

Ahmad Kamil berkata, penglibatan KPerak dalam kejohanan yang akan berlangsung di Universiti Teknologi Petronas (UTP), Seri Iskandar itu adalah langkah strategik ke arah usaha pempatenan tersebut.

Menurut beliau, pertandingan julung kali itu adalah pe luang terbaik untuk mengenali lebih dekat seni bela diri asli Melayu kerana disertai wakil dari persatuan silat terbaik negara.

Ujarnya, sebagai syarikat milik penuh kerajaan negeri yang berperanan membangunkan industri teknologi maklumat dan komunikasi di Perak, K Perak akan membantu pengedaran dokumentari digital berkaitan pertandingan itu ke peringkat antarabangsa.

Kemunculan semula silat cekak

IPOH - Penyertaan dalam Kejohanan Seni Silat Warisan Mahaguru yang bakal berlangsung lusa memberi makna besar kepada Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM).

Ketua Penerangan PSSCM, Rosman Mat Deli berkata, kejohanan itu adalah pertama disertai persatuan silatnya dalam tempoh 27 tahun.

“Ia umpama kemunculan semula PSSCM setelah hampir 30 tahun tidak menyertai sebarang pertandingan silat di peringkat kebangsaan.

“Kejohanan ini menarik kami kerana berkonsepkan seni persilatan Melayu tulen,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Rosman berkata, PSSCM percaya penganjurkan kejo hanan julung kali itu mampu menjadi pemangkin untuk menghidupkan semula seni silat Melayu.

Selain itu, beliau memberitahu, pihaknya mahu menjadikan pertandingan tersebut sebagai medan untuk me nonjolkan pencak tari dan buah pukul cekak yang unik kepada masyarakat.

“Sehubungan itu enam daripada 23,000 pesilat yang bernaung di bawah PSSCM di seluruh negara akan di tampilkan untuk membawa cabaran kami dalam Kejohanan Seni Silat Warisan Mahaguru,” katanya.

Kejuaraan pamer aksi pertarungan sebenar

Oleh MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

SERI ISKANDAR - Aksi pertandingan silat Melayu sebenar bakal dipertontonkan kepada orang ramai sepanjang Kejohanan Seni Silat Warisan Mahaguru di Dewan Besar, Universiti Teknologi Petronas (UTP), Seri Iskandar di sini esok.

Pengarah kejohanan, Jak Othman berkata, ia berbeza dengan pertandingan silat lain yang dianjurkan pada masa ini yang berkonsepkan silat olahraga.

"Adab masuk gelanggang, tari silat dan penggunaan senjata pada kejohanan ini benar-benar menetapi tradisi pemilihan hulubalang Melayu yang pernah diamalkan dahulu kala.

"Penonton juga dibenarkan bersorak, bertempik dan memainkan alat muzik tradisional seperti gendang dan kompang untuk memainkan semangat peserta,” katanya selepas meninjau lokasi pertandingan di sini semalam.

Turut sama Pengurus Kanan KPerak Implementation and Coordanation Corporation (KPerak), Saidon Puteh.

Kejohanan itu adalah anjuran Homeland Frontier Sdn. Bhd. dengan kerjasama KPerak.

Ia akan menampilkan peserta dari 20 pertubuhan silat Melayu serta beberapa pesilat dari Britain, Australia, Jepun, Pakistan,Arab Saudi, Syria dan Kuwait.

Jak memberitahu, orang ramai yang ingin menyaksikan pertandingan itu tidak dikenakan sebarang bayaran.

“Pusingan awal bakal bermula pukul 2 petang. Setiap pasukan akan diuji dalam empat kategori iaitu bunga silat, tempur tanpa senjata, tempur bersenjata dan serikandi,” katanya.

Ujarnya, lima peserta terbaik setiap kategori untuk berentap dalam pusingan akhir mulai pukul 8.30 malam.

Kejohanan itu akan dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, ICT, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid.

Info Kejuaraan Seni Silat Warisan Mahaguru

Jumaat 10 Jun
8 malam - 10 malam :
Sesi taklimat oleh penganjur dan cabutan undian kejuaraan.

Sabtu 11 Jun 2011
2 petang - 6 petang
Pusingan awal kesemua kategori

8.30 - 10.30 malam :
Pusingan akhir dan majlis penutup

Thursday, June 9, 2011

Format kejohanan berdasarkan tradisi pemilihan hulubalang Melayu

IPOH - Format Kejohanan Seni Silat Warisan Mahaguru yang berlangsung Sabtu ini berdasarkan tradisi pemilihan hulubalang muda Melayu dahulu kala.

Pengarah Kejohanan silat itu, Jak Othman berkata, setiap pasukan bakal diuji dengan empat kategori iaitu aspek bunga silat, tempur tanpa senjata, tempur bersenjata dan serikandi.

“Dalam kategori pertama, peserta akan mempersembahkan bunga silat persatuan masing-masing kerana ia adalah asas kepada seni persilatan.

“Biasanya asal-usul, falsafah dan budaya seni persilatan dapat diketahui daripada jurus bunga silat yang dipamerkan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Jak memberitahu, setiap peserta juga akan diuji dalam seni pertempuran tanpa senjata menerusi kategori kedua manakala kategori ketiga pula, peserta diminta bertempur menggunakan senjata.

“Hanya penggunaan senjata warisan Melayu sahaja dibenarkan dan setiap pasukan bebas memilih 245 jenis senjata Melayu yang telah digazetkan.

“Dalam kategori serikandi, peserta wanita bebas memilih salah satu daripada tiga kategori berkenaan untuk dipersembahkan di hadapan juri,” katanya.

Jak berkata, hanya dua minit diperuntukkan bagi setiap kategori dan persembahan tersebut akan dinilai oleh 15 juri pengalaman terdiri daripada guru persilatan seluruh negara.

Tuesday, June 7, 2011

Kampus Segi Enclave bernilai RM500 juta di Perak

MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Kolej Universiti Segi yang merupakan salah sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) terbesar negara akan menubuhkan cawangan terkini iaitu ketujuh di Kledang di sini.

Naib Canselornya, Profesor Emeritus Dr. Muhammad Awang berkata, pengambilan pertama pelajar kampus yang dinamakan Segi Enclave itu dijangka bermula selepas pem binaannya siap sepenuh pada pertengahan 2013.

“Kampus yang terletak di tepi Jalan Ipoh-Lumut yang kos pembinaannya dianggarkan bernilai RM500 juta itu mampu menempatkan 8,000 pelajar dalam setiap semester pengajian.

“Kampus Segi Enclave yang dibina di atas plot seluas 24.3 hektar tersebut bercirikan reka bentuk kampus moden dengan kemudahan kediaman untuk pelajar dan tenaga kerja, rekreasi dan ruang komersial,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis pe cah tanah yang disempurnakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir di tapak kampus berkenaan di Kledang di sini semalam.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Seg International (Seg International) Berhad, Lee Kok Cheng dan Pengarah Urusan Seg International, Datuk Seri Clement Hii.

Muhammad berkata, kampus Segi Enclave tersebut bakal menawarkan pelbagai program dari peringkat asasi, diploma dan ijazah.

Menurut beliau, antara jurusan yang ditawarkan ialah Kesihatan, Perniagaan, Kejuruteraan, Seni Kreatif, Pelan congan, Sains Kesihatan Bersekutu dan Hospitaliti.

Kolej Universiti Segi yang beroperasi sejak 34 tahun lalu mempunyai enam kampus di sekitar Lembah Klang, Sa rawak dan Pulau Pinang dengan jumlah pelajar seramai 24,000.

Sementara itu, Zambry berkata, pembinaan kolej yang berkonsepkan hub pendidikan kosmopolitan itu akan merancakkan pembangunan modal insan dan ekonomi di Perak.

Serimau Hitam tekad bawa pulang kejuaraan

IPOH - Persatuan Seni Silat Serimau Hitam Perak (Serimau Hitam) sudah bersiap sedia turun ke gelanggang bagi muncul johan dalam Kejuaraan Seni Silat Warisan Mahaguru 2011 di sini pada Sabtu ini.

Pengerusinya, Mohd. Ruzaimi Juani berkata, pihaknya telah membuat persiapan rapi sejak lebih sebulan lalu untuk mengharungi cabaran pertandingan yang bakal berlangsung di Universiti Teknologi Petronas (UTP) itu.

"Sudah pasti sasaran kami untuk muncul juara apatah lagi kejohanan tersebut diadakan di bumi Perak sendiri. Namun kami sedar saingan pasukan lain pasti sengit.

"Untuk itu, para pesilat kami telah berlatih setiap hari di gelanggang silat kami di Kampung Telok Bakong, Malim Nawar sejak lebih sebulan lalu," katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Mohd. Ruzaimi berkata, enam pesilat terbaik Serimau Hitam akan dipertaruhkan bagi membawa cabaran cabang seni mempertahankan diri itu dalam kejohanan tersebut.

Menurutnya, keenam-enam pesilat itu ialah Muhammad Munzir Amir Rosli, 34, Asmawi Harun, 35, Muhammad Yazid Hamdan, 18, Zulhusni Sayuti, 18, Mohd. Muinuddin Md. Radzi, 18, dan seorang serikandi, Nor Syariha Nor Azaha, 18.“Semua pesilat terbabit mempunyai kepakaran ma sing-masing dalam aspek bunga silat, tempur tanpa senjata dan tempur dengan bersenjata,” katanya.

Mohd. Ruzaimi berkata, silat Serimau Hitam unik kerana mengabungkan lima cabang persilatan iaitu Silat Gayung, Silat Jawa, Silat Cekak, Silat Sambarani dan Silat Wali Suci.

Oleh itu, beliau berharap penampilan Serimau Hitam dalam kejohanan seni silat anjuran Homeland Frontier Sdn. Bhd. dan KPerak Implementation and Coordination Co rporation (KPerak) itu dapat mengembangkan lagi pengaruh persatuan silatnya sehingga ke peringkat tempatan dan antarabangsa.


Monday, June 6, 2011

2,000 sertai perarakan Upin dan Ipin

IPOH - Perarakan seramai 2,000 kanak-kanak memakai kostum watak dalam siri animasi Upin dan Ipin menarik perhatian pengunjung Karnival Komunikasi dan Teknologi Maklumat (ICT) Bersama Upin Ipin di Stadium Indera Mulia di sini semalam.

Pengurus Les’ Copaque Production Sdn. Bhd., Burha nuddin Md. Radzi berkata, perarakan terbesar watak ani masi yang pernah dianjurkan di dalam negara ini.

"Acara ini dijayakan murid taman bimbingan kanak-kanak (Tabika) dan sekolah rendah sekitar bandar raya ini.

“Kanak-kanak terbabit memakai kostum watak-watak dalam siri animasi keluaran syarikat kami seperti Upin, Ipin, Kak Ros, Jarjit Singh, Mei Mei, Mail, Ehsan dan Susanti.

“Selain itu, mereka juga mengayakan kostum sebahagian tema episod siri animasi berkenaan seperti lanun dan puak Orang Asli,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Perarakan tersebut turut disaksikan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir yang kemudiannya merasmikan karnival KPerak dengan kerjasama syarikat animasi, Les’ Copaque Production itu.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif KPerak Imple mentation and Coordination Corporation (KPerak), Dr. Ahmad Kamil Mahmood.

Sementara itu, Ahmad Kamil berkata, pihaknya berpuas hati dengan sambutan hangat yang diterima pada karnival yang julung kali diadakan itu.

Campuran besi pintu Kaabah

BERBEZA dengan kebanyakan keris lain yang mempunyai tujuh atau sembilan luk Taming Sari unik kerana hanya mempunyai tiga luk.

Menurut ceritanya, keris terbabit diperbuat daripada 20 jenis besi termasuk serpihan besi ganggang pintu Kaabah. Sarung pula diperbuat daripada kayu berukir halus se mentara hulunya bertatahkan batu delima serta bersalut emas.

Namun oleh kerana peredaran masa, Panglima Perang Kiri Istana Perak, Muhammad Dzulkanain Osman berkata, sarung kayunya uzur dimamah usia.

“Saya difahamkan, hampir 30 tahun lalu, Sultan Perak telah menitahkan agar sarung kayu baru dibuat oleh pa kar-pakar pembuatan keris setempat bagi menggantikan sarung lama terbabit.

“Bagaimanapun, setelah siap, tiada satu pun yang muat dengan bilah keris Taming Sari terbabit biarpun banyak sarung kayu baharu telah dibuat.

"Akhirnya sarung kayu asal disadur dengan dedaun emas tulen untuk memastikan ke tahanannya seperti dilihat hari ini atas perkenan Tuanku,” ujarnya kepada Jurnal.

Menurut Muhammad Dzulkain selain keris kuasa, Taming Sari dipercayai akan bergerak-gerak sendiri sebagai memberi petunjuk sekiranya Perak bakal dilanda sebarang musibah atau bencana.

Bagaimanapun sepanjang berbelas tahun beliau berkhid mat di Istana Iskandariah, fenomena mistik itu belum pernah lagi terjadi.

Keris Taming Sari antara merupakan alat kebesaran asal Ke sultanan Melayu Perak yang dikurniakan kepada Sultan Muzaffar Shah I oleh ayahandanya, Sultan Mahmud Shah ketika baginda ditabalkan sultan pertama negeri itu.

Alat kebesaran lain yang turut dibawa mengiringi baginda dalam upacara pertabalan berkenaan ialah dua tepak sirih emas yang bergelar Puan Naga Taru dan Puan Bujur serta Keris Warisan yang bermata emas.

Sunday, June 5, 2011

Taming Sari diuji lelaki Jawa

MOHD. AZLI ADLAN

Saturday, June 4, 2011

Suri rumah dipenjara dua tahun

Oleh MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Mahkamah Tinggi di sini semalam menjatuhkan hukuman penjara dua tahun ke atas seorang suri rumah selepas dia mengaku bersalah menyebabkan kematian seorang lelaki yang cuba memperkosanya tahun lalu.

Hakim Datuk Zainal Adzam Abd. Ghani memerintahkan S. Kalaichelvi, 24, menjalani hukuman tersebut selepas mengaku bersalah menyebabkan kematian M. Kumaran, 29, di dalam rumahnya di Taman Bistari, Ayer Tawar, Manjung di antara pukul 3 hingga 3.30 pagi pada 7 Januari 2010.

Suami tertuduh, G. Kalipar, 26, yang turut dituduh atas kesalahan sama dibebas tanpa dilepaskan oleh mahkamah.

Bagaimanapun, Kalipar kemudian didakwa sekali lagi atas tuduhan baharu iaitu melupuskan barang bukti di Mahkamah Manjung kerana membantu isterinya membuang mayat mangsa di kawasan pembetung air di Jalan Lekir, Manjung dekat sini.

Zainal Adzam dalam penghakiman bertulisnya berkata, tertuduh sepatutnya dihukum lebih berat kerana pembunuhan kejam tersebut.

“Tertuduh juga telah menyerah diri tiga hari selepas kejadian dan mengaku bagi pertuduhan pindaan,” ka tanya.

Berdasarkan fakta kes, Kumaran telah memecah masuk rumah tertuduh untuk memaksa Kalaichelvi melakukan hubungan intim semasa ketiadaan suaminya.

Tertuduh kemudiannya menyembur serbuk kari di muka mangsa sebelum memukul kepala Kumaran dengan besi. Tertuduh turut menetak mangsa dengan sebilah parang sehingga mati.

Kalipar yang pulang ke rumah selepas kejadian kemudian bertindak membantu isterinya membungkus mayat mangsa sebelum membuangnya di kawasan pembetung di Jalan Lekir.