Translate

Tuesday, April 30, 2019

Dedah batasan seksualiti pada anak, elak jadi mangsa jenayah

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Ibu bapa disaran agar memainkan peranan lebih proaktif memberi pendedahan awal kepada anak masing-masing bagi mengelakkan mereka menjadi mangsa perbuatan jenayah seksual.

Pengarah Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga, Kementerian Kesihatan, Dr. Faridah Abu Bakar berkata, kanak-kanak baik lelaki dan perempuan perlu dididik untuk mengetahui batasan seksualiti merangkumi pergaulan, sentuhan fizikal dan perkataan.

"Banyak kes menunjukkan kanak-kanak yang menjadi mangsa jenayah seksual tidak mengetahui perbuatan dilakukan penjenayah terlibat sebenarnya menyalahi undang-undang.

"Peranan ibu bapa memberi pendedahan kepada anak-anak mereka sangat penting agar kanak-kanak sedar dan seterusnya mengadu kepada orang dewasa sekiranya menjadi mangsa perbuatan seksual,"  katanya selepas merasmikan Seminar Kesedaran Pencegahan Jenayah Seksual Kanak-Kanak peringkat Terengganu di sini hari ini.

Faridah berkata,  inisiatif tersebut perlu diambil secara serius kerana berdasarkan statistik, perbuatan jenayah seksual terhadap kanak-kanak semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini.


Ujar beliau, kebanyakan pelakunya terdiri daripada individu dikenali seperti saudara terdekat dan kenalan keluarga. - K! ONLINE

Pemancing dikhuatiri lemas terjatuh dari bot

KEMAMAN - Keriangan sembilan sahabat melakukan aktiviti memancing laut dalam berakhir dengan tragedi apabila salah seorang daripada mereka dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari bot yang dinaiki di perairan Kuala Kemaman dekat sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 2.30 petang itu, Muhamad Rashidi Basiran, 32, dikatakan terjatuh ketika sedang memancing bersama rakan-rakannya pada kedudukan kira-kira 11 batu nautika dari perairan Kuala Kemaman.

Pengarah Maritim Zon Kemaman, Rashidilhadi Abd Rashid berkata, kejadian mangsa terjatuh dari bot nelayan yang disewa itu telah dimaklumkan kepada Matitim Malaysia (APMM) pada pukul 7.30 malam semalam.

"Sebaik menerima maklumat, pasukan operasi mencari dan menyelamat telah ditubuhkan melibatkan pelbagai agensi seperti APMM Kemaman, Pasukan Polis Marin Kuantan, Balai Bomba dan Penyelamat Chukai dan Persatuan Nelayan Kawasan Kemaman.

"Pasukan mencari dan menyelamat berjaya tiba di lokasi kejadian pada pukul 9.45 malam," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Rashidilhadi berkata, setakat ini usaha untuk mencari mangsa di kawasan berhampiran dia dilaporkan terjatuh masih belum berhasil. - K! ONLINE

KPDNHEP rampas aksesori telekomunikasi Samsung tiruan

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Dua peniaga bakal berhadapan dengan hukuman denda RM3.8 juta kerana disyaki menjual aksesori telekomunikasi jenama Samsung tiruan dalam serbuan dilakukan  Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) pada Rabu lalu.

Serbuan di dua premis perniagaan di bandar raya ini pada pukul 12 tengah hari itu berjaya merampas 3,134 pelbagai jenis aksesori telekomunikasi disyaki tiruan tersebut bernilai keseluruhan RM75,299.

Pengarah KPDNHEP Terengganu, Saharuddin Mohd. Kia berkata, tindakan penguatkuasaan tersebut dilakukan selepas menerima aduan daripada  pemilik sah cap dagang barangan berkenaan iaitu Samsung.

"Antara barangan yang berjaya dirampas ialah bateri, S Pen, fon telinga kabel USB, adapter pengecas kereta dan bluetooth stereo yang kesemuanya kononnya jenama Samsung tetapi sebenarnya tiruan.

"Risikan sebelum itu mendapati kedua-dua peniaga yang berusia 30-an menjual aksesori telekomunikasi disyaki tiruan tersebut dengan harga lebih kurang 70 peratus lebih murah sejak kira-kira setahun lalu," katanya pada sidang akhbar di Pejabat KPDNHEP Terengganu di sini hari ini.

Saharuddin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 8(2)(b) Akta Perihal Dagangan 2011 iaitu membekal atau menawarkan barangan yang menggunakan suatu perihal dagangan palsu. - K! ONLINE

Pakaian sedang dikering di dobi layan diri dicuri

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Seorang suri rumah berputih mata kerugian hampir RM500 selepas semua pakaian yang sedang dikeringkan di sebuah dobi layan diri di Kuala Ibai di sini dicuri individu tidak dikenali pada Khamis lalu.

Dalam kejadian pada 3 petang itu, antara pakaian yang dilarikan penjenayah terbabit ialah pakaian seragam Persatuan Bulan Sabit Merah dan taekwando milik anaknya.

Mangsa, Sukinah Zulkifli, 37, berkata, sewaktu kejadian, dia meninggalkan sekejap dobi layan diri terbabit selama kira-kira 30 minit untuk mengambil anaknya dari sebuah sekolah berhampiran.

"Sekembalinya ke premis dobi itu, alangkah terkejutnya saya mendapati mesin pengering yang digunakan sudah kosong tanpa pakaian.

"Berdasarkan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV), rupa-rupanya kesemua pakaian saya itu dilarikan seorang lelaki yang bertopi dan memakai baju T berwarna biru," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Sukinah berkata, CCTV premis dobi tersebut menunjukkan imej suspek yang membuka pintu mesin pengering berkenaan sewaktu ia masih beroperasi sebelum melarikan kesemua pakaian milik keluarganya.

Dia yang mahu kejadian yang menimpa dirinya menjadi pengajaran kepada pengguna dobi layan diri lain memberitahu laporan polis telah dibuat berhubung kecurian berkenaan.


"Saya tinggalkan baju di dobi layan diri tidak lama. Sebagai ibu, masa itu emas. Dalam tempoh 30 minit sebelum pakaian itu kering, saya terpaksa gunakannya untuk pelbagai urusan lain seperti mengambil anak dari sekolah," katanya. - K! ONLINE

Pelancong mati lemas ketika bersnorkel di Pulau Perhentian

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Seorang pelancong maut akibat lemas ketika melakukan aktiviti bersnorkel di Pulau Perhentian, Besut hari ini.

Mangsa, Lai Jun Hong, 22, dari Johor Bahru, Johor lemas sewaktu melakukan aktiviti riadah air terbabit di perairan Pulau Rawa, Pulau Perhentian pada pukul 10.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata, sewaktu kejadian, mangsa sedang melakukan aktiviti itu bersama tiga pelancong lain dengan pengawasan seorang pembimbing.

Beliau berkata, kesemuanya termasuk Jun Hong memakai jaket keselamatan sewaktu melakukan aktiviti bersnorkel terbabit.

"Selepas mereka menyelam hampir 15 minit, pemandu bot pelancong terlibat perasan mangsa telah lemas sebelum memaklumkan kepada pembimbing terbabit.


"Mangsa kemudiannya telah dikejarkan ke Klinik Kesihatan Pulau Perhentian. Dia telah diberi bantuan penafasan sepanjang perjalanan menaiki bot," katanya kepada Kosmo! Online di sini hari ini. - K! ONLINE

Guru kena tipu rugi RM400,000

KUALA TERENGGANU – Seorang guru wanita berusia 50 tahun berputih mata apabila wang simpanannya berjumlah hampir RM400,000 lesap selepas ditipu sindiket peni­puan Macau.

Mangsa menyedari dia terjerat dengan sindiket penipuan tersebut selepas semakan ke atas akaun bank miliknya pada pukul 12.30 tengah hari kelmarin mendapati bakinya hanya  RM100.

Sumber berkata, siasatan mendapati mangsa pernah dihubungi individu tidak dikenali yang mendakwa wanita itu pernah membuat pinjaman peribadi berjumlah RM50,000 pada 18 Mac lalu.

“Suspek cuba menakutkan mang­sa dengan memberitahu dia disyaki terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram sebelum menyam­bungkan talian kepada individu lain yang didakwa pegawai polis.

“Mangsa yang panik mengikut arahan suspek kedua untuk memindahkan semua wangnya ke dalam satu akaun bank baharu kononnya bagi mengelakkan dikenakan tindakan undang-undang,” katanya kepada Kos­mo! di sini semalam.

Sumber berkata, guru wanita yang mengajar di sebuah sekolah di bandar raya ini membuat laporan berhubung kejadian itu di Balai Polis Kuala Terengganu kelmarin.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din mengesahkan menerima laporan tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Liga Super: Tchetche kembali temui sentuhan

KUALA TERENGGANU - Badi kekalahan tiga kali berturut-turut dalam saingan Liga Super buat Terengganu Football Club I (TFC I) berakhir dengan kejayaan menumpaskan Felda United 2-1 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini malam tadi.

Tambah membuatkan pengendali TFC I, Irfan Bakti Abu Salim mampu kembali mengukir senyuman, ayam tambatannya, Kipre Tchetche menemui semula sentuhan berbisanya apabila meledak kedua-dua gol untuk skuad Penyu pada aksi tersebut.

Beliau mengakui ketajaman Tchetche yang ditemui semula penyerang kelahiran Ivory Coast itu antara faktor yang membawa skuad kendaliannya kembali mendapat rentak kemenangan pada aksi kelmarin.

"Apa yang penting malam ini (semalam) kita menang semula dan Tchetche akhirnya menjaringkan gol (untuk saingan Liga Super).

"Dia (Tchetche) bukan sahaja meledak gol malah gaya permainannya juga sudah semakin baik. Itulah yang dia hilang dalam lapan, sembilan aksi sebelum ini," katanya ketika ditemui selepas perlawanan di sini malam tadi.

Irfan Bakti berkata, beliau mengakui kemerosotan  prestasi penyerang utama kelahiran Ivory Coast itu sedikit sebanyak telah mengugat moral pasukan sebelum ini. - K! ONLINE

Lelaki ditahan disyaki pecah tabung masjid

BESUT - Gara-gara memecahkan dua tabung masjid sebelum melarikan wang tunai keseluruhan berjumlah RM50, seorang lelaki diberkas polis di Felda Tenang, Jerteh dekat sini semalam.

Suspek yang berusia 33 tahun disyaki melakukan perbuatan jenayah itu di Masjid Al-Faqeh, Kampung Balik Bukit, Jerteh di sini pada pukul 7 malam.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata, kejadian dua tabung yang dipecahkan itu disedari oleh salah seorang ahli jawatankuasa (AJK) masjid berkenaan selepas solat Maghrib semalam.

"Dia dan AJK masjid lain kemudiannya memeriksa rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV) masjid itu yang menunjukkan kelibat suspek yang bertanggungjawab memecahkan kedua-dua tabung berkenaan.

"Rakaman CCTV masjid berkenaan juga menunjukkan suspek telah bertindak melarikan diri dengan sebuah motosikal Honda Wave selepas mencuri sejumlah wang tunai dianggarkan berjumlah RM50 dari tabung-tabung berkenaan," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini. - K! ONLINE

Liga Super : TFC I kembali dapat rentak kemenangan

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Terengganu Football Club I (TFC I) kembali mendapat rentak kemenangan selepas menewaskan Felda United 2-1 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini sebentar tadi.

Penyerang import, Tchetche Kipre muncul wira apabila menjaringkan kedua-dua gol penting itu pada minit ke-49 dan 90.

Penyerang kelahiran Ivory Coast tersebut meledak gol pertama yang juga jaringan sulungnya dalam saingan Liga Super musim ini selepas sepakan leretnya berjaya menewaskan penjaga gol Felda United, Norazlan Razali pada minit ke-49.

Bagaikan mendapat semula sentuhan  berbisanya, Kipre memanfaatkan kesilapan komunikasi antara Norazlan dan kapten pasukan, Jasazrin Jamaludin untuk membolosi kubu Felda United buat kali kedua pada minit ke-90.

Pasukan pelawat pula memperolehi gol saguhati hasil sepakan padu pemain tengah import, Kei Ikeda pada masa kecederaan.

Sebelum itu, tuan rumah hampir memecahkan kebuntuan namun rembatan padu penyerang, Abdul Malik Mat Ariff berjaya ditepis Norazlan pada minit ke-19.

Penjaga gawang Felda United itu sekali lagi cemerlang berjaya menepis keluar percubaan berbahaya kapten TFC I, Lee Andrew Tuck dari luar kotak penalti pada minit ke-31.

Pasukan pelawat pula hampir mencemaskan skuad Penyu namun sepakan pemain tengah, S. Chanthuru berjaya ditolak keluar penjaga gawang TFC I, Mohd. Suffian Ab. Rahman manakala percubaan susulan Ikeda pula ditahan dengan badan oleh tonggak pertahanan, Igor Zonjic pada minit ke-38.


Chanthuru yang tidak berputus asa terus mencuba namun tandukannya pada minit ke-42 juga berjaya ditepis Mohd. Suffian. - K! ONLINE

Guru agama maut terjatuh di air terjun Tasik Kenyir

MOHD. AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU - Seorang guru agama yang sedang menyertai rombongan sekolah maut selepas terjatuh ke atas batu di tebing Air Terjun Lasir, Tasik Kenyir dekat sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 12.45 tengah hari itu, Wan Ahmad Faiz Wan Mohamed@Adnan, 36, dari Taman Sri Aman Dalam, Pasir Puteh, Kelantan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, sewaktu kejadian, Wan Ahmad Faiz yang merupakan guru agama di sebuah maahad tahfiz di Kok Lanas, Kelantan sedang menyertai rombongan disertai 18 guru dan enam pelajar ke Tasik Kenyir.

"Rombongan itu yang menaiki rumah bot telah berhenti untuk beriadah di kawasan Air Terjun Lasir pada pukul 10.30 pagi. Sewaktu sedang mandi bersama peserta rombongan lain, mangsa dikatakan telah tergelincir lalu terjatuh sebelum kepalanya terhentak pada timbunan batu.

"Mangsa kemudiannya terjatuh ke dalam dasar air terjun. Jarak dia tergelincir terjatuh kira-kira tiga meter," katanya kepada Kosmo! Online di sini hari ini.


Mohd. Adli berkata, beberapa rakan rombongan bertindak terjun ke dalam kawasan air terjun itu untuk menyelamatkan Wan Ahmad Faiz namun lelaki itu didapati telah meninggal dunia. - K! ONLINE

Penolong Jurutera JPS Terengganu, isteri ditahan SPRM

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Seorang penolong jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu dan isteri ditahan reman hari ini bagi membantu siasatan menyalah guna kuasa melibatkan projek sejak tahun 2015.

Lelaki berusia 42 tahun dan isteri yang merupakan kakitangan sebuah koperasi di Hulu Terengganu masing-masing ditahan reman selama enam hari dan lima hari bermula hari ini.

Perintah reman terhadap kedua-dua suspek dibenarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Sesyen/Majistret Kuala Terengganu, Roszita Md. Saad di sini hari ini.

Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, jurutera JPS negeri terbabit dan isterinya berusia 38 tahun disyaki menyalah guna lesen kontraktor milik kenalan mereka untuk mendapatkan projek-projek yang masih dianggarkan amaunnya dari tahun 2015 hingga 2018.


Beliau berkata, siasatan awal mengesyaki kedua-dua suspek menggunakan lesen kontraktor terbabit sedangkan suspek pertama selaku penolong jurutera JPS di daerah berkenaan bertanggungawab mengawal selia semua projek-projek lain. - K! ONLINE

Paraglider maut, payung terjunam ke muara Sungai Bukit Keluang

KUALA TERENGGANU - Seorang paraglider maut selepas payung terjun yang dipakai tersasar lalu terjunam di dalam muara Sungai Bukit Keluang, Besut di sini ketika sedang melakukan sukan penerbangan luncur udara hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 4.30 petang itu, Ab. Haziz Muhamood, 61, dari Kuala Lumpur meninggal dunia akibat lemas.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata, sewaktu kejadian, Ab. Haziz yang merupakan seorang pesara sedang menyertai aktiviti riadah penerbangan luncur udara bersama beberapa rakan lain di Bukit Bubus, Besut.

"Payung terjun yang dipakai mangsa dikatakan tersalah sasar sebelum terjunam ke dalam muara Sungai Keluang.

"Mangsa gagal menyelamatkan diri sebelum ditemui lemas di dalam sungai berkenaan," katanya kepada Kosmo! Online di sini hari ini.

Mohd. Zamri berkata, pasukan perubatan yang tiba tidak lama kemudian mengesahkan Ab. Haziz telah meninggal dunia.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudiannya telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Besut untuk dibedah siasat. - K! ONLINE

Siasat dakwaan jual cili plastik

Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan NORAINI HASSAN BASRI

KUALA NERUS – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memandang serius dakwaan kewujudan cili tiruan diperbuat daripada plastik seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (gambar kecil) berkata, pasukan penguat kuasa kementerian itu sedang melakukan siasatan berhubung dakwaan itu.

“Kami memerlukan sedikit masa untuk menyiasat kesahihan dakwaan cili plastik terbabit memandang­kan sebelum ini ia hanya tersebar menerusi media sosial.

“Apa pun, KPDNHEP juga telah mengambil tindakan proaktif dengan melakukan pemeriksaan di kedai-kedai (dan pasar raya) yang menjual cili terutama di Lembah Klang iaitu lokasi kes itu didakwa berlaku,” katanya selepas merasmikan program Bank Makanan peringkat Universiti Sultan Zainal Abidin di sini semalam.
Saifuddin Nasution berkata, KPDNHEP tidak akan berkompromi dengan mana-mana peniaga yang tidak bertanggungjawab berkenaan sekiranya dakwaan kewujudan cili plastik itu terbukti benar.

Tegas beliau, keselamatan pengguna yang dikhuatiri mendapat ancaman kesihatan sekiranya memakan cili plastik terbabit menjadi keutamaan pihaknya.

Sebelum ini, seorang suri rumah berusia 40-an telah memuat naik video di akaun ­Twitter ­@­zt000tz mendakwa ibu saudaranya menyedari bahawa cili merah ber­kenaan plastik apabila dia memotong dan makan cili ber­kenaan.

Wanita itu mendakwa membeli cili ter­babit daripada sebuah pasar raya di Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor.

Klip video berdurasi 46 saat yang dimuat naik pada Jumaat lalu memaparkan seorang wanita menunjukkan demonstrasi perbezaan antara cili merah asli dan cili plastik dengan memotongnya.

“Tengok ni melentik, kalau cili betul dia tak melentik dan walaupun (hiris) nipis macam ini, ia putus. Baik-baiklah kalau beli cili jangan terkena cili plastik.

“Saya dah terkena, dah termakan dah pun, telan melekat-lekat di leher (tekak) sebab itu saya tahu cili plastik. Cili plastik itu dijual bercampur dengan cili asli dan mak cik saya sedar apabila memotong cili itu,” katanya menerusi klip video tersebut.

Abang panas baran libas punggung adik guna parang

KUALA TERENGGANU – Gara-gara tidak mengendahkan permintaan abang, seorang lelaki cedera dilibas dengan sebilah parang di sebuah kedai runcit di Ketengah Jaya dekat Du­ngun kelmarin.

Dalam kejadian pukul 10 pagi itu, mangsa yang berusia 26 tahun bagaimanapun hanya mengalami kecede­raan ringan pada punggung.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, sebelum kejadian lelaki itu didatangi abangnya yang berusia 30-an sewaktu sedang berurusan di sebuah kedai runcit.

“Mangsa pada mulanya tidak me­ngendahkan permintaan abangnya yang meminta pil sehingga mencetuskan perbalahan mulut antara mereka.

“Suspek yang naik angin kemudiannya mengambil sebilah parang sebelum melibas punggung adiknya,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Baharudin berkata, mang­sa sempat melarikan diri sebelum membuat laporan di Balai Polis Ketengah Jaya dekat Dungun.

Menurut beliau, polis sedang menyiasat mengenai pil yang menjadi punca pertengkaran antara dua beradik berkenaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan dengan senjata berbahaya dengan sengaja,” katanya.

Pelancong lelaki lemas ketika snorkel di Pulau Perhentian

KUALA TERENGGANU – Seorang pelancong maut akibat lemas ketika sedang melakukan aktiviti snorkel di Pulau Perhentian, Besut semalam.

Mangsa, Lai Jun Hong, 22, dari Johor Bahru lemas sewaktu melakukan aktiviti ­riadah air terbabit di perairan Pulau Rawa, Pulau Perhentian pada pukul 10.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata, sewaktu­ kejadian, mangsa sedang melakukan aktiviti snorkel bersama tiga pelancong lain dengan pengawasan seorang pembimbing.
Beliau berkata, kesemuanya termasuk Jun Hong memakai jaket keselamatan sewaktu melakukan aktiviti snorkel terbabit.

“Selepas me­reka menyelam hampir 15 minit, pemandu bot pelancong pe­rasan mangsa telah lemas sebelum memaklumkan kepada pembimbing terbabit.

“Mangsa kemudiannya dikejarkan ke Klinik Kesihatan Pulau Perhentian. Dia telah diberi bantuan pernafasan sepanjang dalam perjalanan dengan bot,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Mohd. Zamri berkata, Jun Hong disahkan telah me­ninggal dunia oleh pegawai perubatan Klinik Kesihatan Pulau Perhentian.

Menurut beliau, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Jeti Kuala Besut dengan menaiki bot sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Besut untuk dibedah siasat.

Monday, April 29, 2019

Pemain PJ City ‘saiz besar’ – Irfan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

TERENGGANU Football Club I (TFC I) tidak akan memandang mudah cabaran pasukan Petaling Jaya City FC (PJ City) pada aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) malam ini.

Pengendali TFC I, Irfan Bakti Abu Salim berkata, beliau menganggap PJ City mempunyai kekuatan tersendiri memandangkan pemain-pemain tuan rumah memiliki kelebihan fizikal berbanding anak buahnya yang bersaiz kecil molek.

“Rata-rata pemain PJ City memiliki fizikal seperti bintang kelab Eropah dan ia boleh memberi kelebihan kepada mereka terhadap penguasaan bola terutama di udara.

“Oleh itu saya telah me­minta pemain-pemain saya terutama barisan pertahanan agar memberi fokus yang lebih sewaktu menghadapi situasi bola mati (sepakan sudut dan tendangan percuma)," katanya kepada Kosmo! di Kuala Terengganu semalam.

Irfan Bakti berkata, skuad Penyu sudah pasti bertandang ke Petaling Jaya dengan misi mengutip tiga mata penuh, sekali gus terus menghambat posisi teratas liga.

Justeru, beliau berharap dua ayam tambatan mereka iaitu Kipre Tchetche dan Lee Andrew Tuck dapat mengekalkan prestasi cemerlang mereka seperti dipamerkan pada aksi menentang Felda United minggu lepas.

Dalam perkembangan sama, jurulatih berpengalaman itu memberitahu, skuad kendaliannya juga memberi tumpuan berlatih dalam keadaan padang basah dan lecak sebagai persediaan kemungkinan beraksi dalam hujan lebat pada pertemuan itu nanti.

“Berdasarkan ramalan cuaca, Lembah Klang termasuk Petaling Jaya sering mengalami hujan lebat terutama pada waktu petang dan malam sejak akhir-akhir ini berbanding Terengganu yang ketika ini bermusim kemarau sejak beberapa bulan lalu.

“Taktikal dan teknik permainan dalam padang basah dan lecak adalah sedikit berbeza. Oleh itu, kami telah menggandakan sedikit latihan untuk menghadapi kemungkinan itu,” katanya.

KUD medium promosi produk dan perkhidmatan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Karnival Usahawan Desa (KUD) menjadi medium Kementerian Pembangunan Luar Bandar untuk terus membantu usahawan desa mempromosi dan me­ningkatkan akses pasaran produk dan perkhidmatan masing-masing.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, KUD pada tahun ini mengambil pendekatan baharu menjelajah ke seluruh negara meliputi zon utara, timur, selatan dan Malaysia Timur sebelum kemuncaknya di Putrajaya pada Oktober depan.

“Kita mahu seramai mungkin usahawan desa menyertai KUD kerana program berbentuk pameran dan ekspo ini terbukti berkesan untuk meningkatkan peluang pemasaran produk dan perkhidmatan serta melebarkan rangkaian jaringan usahawan desa terbabit.

“Kita menyasar kelima-lima siri jelajah KUD termasuk di Zon Timur selama tiga hari sehingga esok (hari ini) mampu meraih kutipan jualan sekurang-kurangnya RM50 juta dengan penyertaan 2,500 usahawan desa di seluruh negara,” katanya selepas merasmikan KUD Zon Timur di Komplek Sukan Gong Badak di sini semalam.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Terengganu, Dr. Azman Ibrahim.

Rina berkata, selain pembukaan gerai pa­meran dan jualan, usahawan desa dan penduduk setempat juga berpeluang menyertai sesi pe­ma­da­n­­an perniagaan, sesi pe­nerangan dengan agensi pembiayaan dan forum keusahawanan sepanjang penganjuran KUD di setiap zon terbabit.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, kementerian juga menyasar untuk meningkatkan penglibatan usahawan desa bagi memasarkan produk dan perkhidmatan mereka secara online menerusi pelancaran program Desa Digital pada masa terdekat.

“Buat permulaan, inisiatif baru ini menyasar untuk menambah penyer­taan 1,000 lagi usahawan luar bandar berniaga secara online pada tahun ini. Kita juga telah memperluaskan rakan strategik meliputi platform Lazada, Shopee, eBay dan Amazon.

“Penumpuan kepada perniagaan secara online bertujuan untuk meluaskan pasaran produk dan perkhidmatan usahawan desa hingga ke peringkat antarabangsa merangkumi produk seni dan budaya seperti anya­man, tenunan, krafta­ngan, tembikar dan tekat,” ?katanya.

Jentera terbalik hempap tuan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan EZZUAN AHMAD

DUNGUN – Seorang pemandu traktor menemui ajal selepas dihempap jentera itu dalam kejadian di Ladang Prolip, Bandar Al-Muktafi Billah Shah dekat sini kelmarin.

Dalam kejadian pada pukul 4.35 petang itu, mangsa, Rahim Rahman, 39, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, semasa kejadian, mangsa dikatakan baru selesai melakukan kerja-kerja meracun di ladang berkenaan.

“Ketika dalam perjalanan pulang, traktor membawa tong racun yang dipandu mangsa terbabas semasa menuruni bukit.

“Jentera itu kemudian terjunam ke dalam gaung sedalam kira-kira lima meter sebelum menghempap mangsa,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Baharudin berkata, kejadian yang menimpa Rahim itu disedari oleh seorang pekerja ladang lain yang kebetulan melalui kawasan berkenaan sebelum ternampak mangsa di bawah traktor terbalik tersebut.

Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Al-Multafi Billah Shah mengambil masa lebih tiga jam untuk mengeluarkan Rahim yang tersepit di bawah traktor jenis Ford tersebut.

“Jentera pengorek atau excavator digunakan untuk mengangkat traktor tersebut sebelum mangsa dapat dikeluarkan.

“Operasi tersebut tamat pada pukul 8.50 malam,” katanya.
Mayat Rahim dihantar ke Hospital Dungun dekat sini untuk dibedah siasat.

Lelaki mengamuk tak dapat wang ugut ibu, tumbuk adik

KUALA TERENGGANU –  Ha­nya kerana permintaan wang tidak dipenuhi, seorang pemuda tergamak mengugut mahu membelasah ibunya dalam kejadian di Kampung Seberang Limbongan, Jerteh, Besut dekat sini pada Selasa lalu.

Dalam kejadian pada pukul 1.30 pagi itu, suspek yang berusia 25 tahun turut menumbuk adik lelakinya.
Ketua Polis Daerah Besut, Supe­rintendan Mohd. Zamri Mohd. Rowi (gambar) berkata, sebelum kejadian, suspek meminta wang daripada ibunya yang berusia 57 tahun.

“Dia yang berang tidak mendapat wang mengugut untuk memukul ibunya sebelum melepaskan tumbukan dan terkena pada telinga kiri adik lelakinya yang berusia 16 tahun.

“Suspek yang keluar dari rumah selepas kejadian itu dikatakan ke­rap meminta wang daripada ibunya dan akan mengamuk sekiranya permintaannya tidak dipenuhi,” kata­nya kepada Kosmo! di sini semalam.

Mohd. Zamri berkata, ibu suspek yang tidak tahan dengan perangai anaknya itu membuat laporan di Balai Polis Kampung Raja, Besut kelmarin.

“Bertindak atas laporan yang dibuat, polis kemudian memberkas suspek di rumahnya pada pukul 4 pagi (kelmarin),” katanya.

Pemuda itu ditahan reman empat hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 323 kanun yang sama.

Peniaga kemaruk guna gelaran Datuk

KUALA TERENGGANU - Keghairahan seorang peniaga menggunakan gelaran Datuk tanpa kebenaran mengundang padah apabila didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini semalam.

Mohd. Badrul Hisham Mohamed, 40, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah di atas dua pertuduhan yang dijalankan di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.

Berdasarkan pertuduhan pertama, Mohd. Badrul Hisham didakwa menggunakan gelaran Datuk pada kad perniagaan dan kad namanya bagi tujuan perniagaan sedangkan dia belum dikurniakan gelaran atau menerima apa-apa kebenaran bertulis.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut di sebuah kedai makan di Wakaf Tengah, Kuala Nerus pada pukul 7.30 malam, 21 November 2016.

Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa menggunakan gelaran sama bagi mendaftarkan perniagaannya di pejabat Suruhanjaya Syarikat Malaysia cawangan Terengganu di sini antara pukul 8 pagi dan 3 petang, 12 Ogos 2014.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 3 (1) (a) Akta Lambang dan Nama 1963 yang memperuntukkan hukuman hukuman denda RM1,000 jika sabit kesalahan bagi setiap pertuduhan.

Abdul Hayyi mengenakan hukuman maksimum bagi kedua-dua pertuduhan tersebut terhadap tertuduh.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lee Ka Full manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Satu lagi bot nelayan Vietnam ditahan di perairan Terengganu

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Satu lagi bot nelayan Vietnam berjaya ditahan Maritim Malaysia (APMM) di perairan Kuala Terengganu dekat sini semalam.
Bot nelayan asing yang disyaki menggunakan nombor pendaftaran tempatan untuk mengaburi mata pihak berkuasa telah ditahan kapal peronda APMM pada 11.10 pagi.
Pengarah Maritim Terengganu,  Muhammad Suffi  Mohd. Ramli berkata, pemeriksaan juga mendapati tidak memiliki kebenaran untuk menangkap ikan di perairan negara.
"Seramai enam nelayan yang berusia dalam lingkungan 32 hingga 46 tahun juga didapati tidak memiliki permit kerja dan dokumen perjalanan yang sah.
"Bot, peralatan menangkap ikan, minyak diesel dan hasil laut juga yang dianggarkan bernilai RM1 juta telah disita," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Muhammad Suffi berkata, setakat ini, sebanyak 24 bot dan 162 nelayan warga Vietnam telah berjaya ditahan kerana memasuki perairan negara sejak awal tahun ini. - K! ONLINE

Sunday, April 28, 2019

KUD Zon Timur berkampung di Kuala Nerus

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Karnival Usahawan Desa (KUD) yang membawa tema #KUDSejahtera anjuran Kementerian Pembangunan Luar Bandar kini menjelajah Zon Timur di Kompleks Sukan Gong Badak di sini selama tiga hari sehingga esok.

Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Pembangunan Usa­hawan Desa KPLB, Alfizan Omar berkata, ia merupakan siri jelajah kedua KUD pada tahun ini yang menjelajah Zon Utara di Midtown Perda, Tasik Gelugor, Pulau Pinang pada 29 Mac hingga 1 April lalu.

“KUD Zon Timur yang menghimpunkan 308 usahawan luar bandar Terengganu, Pahang dan Kelantan diadakan untuk membuka peluang pemasaran secara terus kepada golongan itu melalui pameran dan jualan produk.

“Edisi kali ini yang akan dirasmikan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd. Harun pada pukul 10 pagi esok (hari ini) juga sempena me­raikan sambutan ulang tahun ke-46 Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Kete­ngah),” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.
Alfizan berkata, antara tarikan utama KUD Zon Timur ialah menampilkan Pasar Ternakan Hidup menerusi konsep jualan terus daripada pengusaha dan zoo mini.

Beliau berkata, antara haiwan ternakan yang dipamerkan untuk jualan dan lawatan ialah lembu sado, kambing, ayam serama, rusa, landak, kancil, burung puyuh serta unta.

“Pengunjung juga berpeluang bermesra dengan Mogwli Malaysia, Muhammad ­Syukur Khamis di laman Pasar Ternakan Hidup pada sepanjang hari esok (hari ini).

“Tambah menarik pengunjung KUD Zon Timur berpeluang memenangi pelbagai cabutan bertuah termasuk seekor lembu,”  katanya.

Alfian berkata, Ketengah turut menawarkan program menukar minyak hitam motosikal secara percuma kepada pengunjung terpilih dari pukul 8.30 hingga 11.30 pagi hari ini.

Pertandingan memancing juga diadakan hari ini di Tasik Kompleks Sukan Gong Badak yang menawarkan hadiah utama wang tunai berjumlah RM55,000.

Guru agama maut selepas tergelincir di air terjun Tasik Kenyir

HULU TERENGGANU – Seorang guru agama yang sedang menyertai rombongan sekolah dilaporkan maut selepas kepala­nya terhantuk pada batu akibat terjatuh di tebing Air Terjun Lasir, Tasik Kenyir dekat sini kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.45 tengah hari itu, Wan Ahmad Faiz Wan Mohamed @Adnan, 36, dari Taman Sri Aman Dalam, Pasir Puteh, Kelantan me­ninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada kepala.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd. Adli Mat Daud (gambar kecil) berkata, sewaktu kejadian, Wan Ahmad Faiz yang merupakan guru agama di sebuah maahad tahfiz di Kok Lanas, Kelantan sedang menyertai rombongan ke Tasik Kenyir bersama 18 guru dan enam pelajar.

“Rombongan itu yang menaiki rumah bot telah berhenti untuk beriadah di kawasan Air Terjun Lasir pada pukul 10.30 pagi. Sewaktu sedang mandi bersama peserta rombongan lain, mangsa dikatakan te­lah tergelincir lalu terjatuh sebelum kepalanya terhentak pada timbunan batu.

“Mangsa kemudiannya terjatuh ke dalam dasar air terjun. Jarak dia tergelincir adalah kira-kira tiga meter,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Mohd. Adli berkata, beberapa rakan Wan Ahmad Faiz bertindak terjun ke dalam kawasan air terjun itu untuk menyelamatkan mangsa, namun lelaki itu disahkan telah mening­gal dunia.

Ujar beliau, insiden menimpa guru agama itu kemudiannya dimaklumkan kepada pihak polis sebelum mayat mangsa berjaya dibawa keluar ke Jeti Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir dekat sini pada pukul 4.30 petang.

“Mayat mangsa seterusnya dihantar ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu di sini untuk dibedah siasat,” katanya.

Pemancing dikhuatiri lemas terjatuh bot

KEMAMAN – Keriangan sembilan sahabat meman­cing di laut dalam berakhir dengan tragedi apabila seorang daripada mereka dikhuatiri lemas selepas terjatuh bot di perairan Kuala Kemaman di sini kelmarin.

Dalam kejadian pada pukul 2.30 petang itu, Muhamad Rashidi Basiran, 32, terjatuh pada kedudukan kira-kira 11 batu nautika dari perairan Kuala Kemaman.

Pengarah Maritim Zon Kemaman, Rashidilhadi Abd. Rashid berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian pada pukul 7.30 malam.

“Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) ditubuhkan melibatkan pelbagai agensi termasuk Pasukan Polis Marin, bomba dan nelayan tempatan. Bot Kilat 2 turut digerakkan dalam operasi sama,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Rashidilhadi berkata, setakat petang semalam, u­saha untuk mencari dan menyelamat mang­sa di kawasan berhampiran dia dilaporkan terjatuh masih diteruskan dan tiada sebarang penemuan.

Pegawai daerah disyaki salah guna kuasa berkaitan projek ditahan SPRM

KEMAMAN - Seorang pegawai daerah sebuah pejabat tanah dan daerah di negeri ini ditahan reman selama enam hari sehingga Ahad ini untuk membantu siasatan kes menyalahguna kuasa melibatkan projek pembangunan bernilai lebih suku juta ringgit pada tahun lalu.

Perintah reman terhadap suspek yang berusia 56 tahun berkenaan dibenarkan oleh Majistret Nik Mohd. Tarmizi Nik Mohd. Shukri di Mahkamah Majistret Kemaman di sini hari ini.

Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, siasatan awal mengesyaki lelaki tersebut menggunakan jawatannya untuk menawarkan beberapa projek yang berjumlah keseluruhan RM266,349.18 kepada sekutunya.

"Suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut sewaktu menjawat jawatan Yang Dipertua sebuah majlis perbandaran di negeri ini pada tahun lalu," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini. - K! ONLINE

Saturday, April 27, 2019

Suspek kes curi motosikal ditangkap penduduk kampung

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS - Seorang suspek kes curi sebuah motosikal Yamaha Ego Solariz berjaya diberkas di Kampung Gemuruh di sini malam tadi selepas hampir 34 jam melarikan kenderaan itu.

Lelaki berusia 46 tahun itu ditangkap pada pukul 11.30 malam selepas dikepung sekumpulan penduduk kampung yang mengetahui kehilangan motosikal berkenaan selepas ia tular di media sosial sejak kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman berkata, sebelum kejadian, suspek disyaki melarikan motosikal tersebut yang diletakkan di hadapan sebuah pasar raya di Tanjung, Kuala Terengganu pada kira-kira pukul 2 petang itu.

"Suspek dipercayai telah melarikan motosikal jenis Yamaha Ego Solariz berkenaan sejauh hampir 20 kilometer daripada lokasi ia dilarikan sebelum ditinggalkan di tepi jalan berhampiran Kampung Gemuruh, Kuala Nerus kerana kehabisan minyak petrol.

"Dia kemudiannya hadir semula untuk mengambil motosikal berkenaan pada pukul 11.30 malam tadi (kelmarin) sebelum ditangkap sekumpulan penduduk kampung yang sudah bersedia untuk memerangkapnya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.


Suffian berkata, sebelum itu, beberapa penduduk kampung curiga dengan kehadiran motosikal berkenaan yang ditinggalkan di tepi jalan sebelum mengetahui ia sebenarnya telah dicuri selepas kehilangan tular di media sosial. - K! ONLINE

Friday, April 26, 2019

Pecah dominasi pasukan STORM

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

MARANG – Dua pegawai bomba wanita mencipta sejarah apabila buat julung kalinya berjaya dipilih sebagai anggota Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM).

Melisa Canda anak Jawan, 26, dan Nurfatin Nadia Jamain, 24, yang masing-masing bertugas di Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur serta Balai Bomba dan Penyelamat Tun Hussein Onn, Kuala Lumpur berjaya melepasi pelbagai ujian dan latihan lasak kursus khas STORM sepanjang dua minggu yang ­berakhir semalam.

Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin berkata, sebelum ini, hanya anggota bomba lelaki sahaja yang berjaya menyertai STORM sejak unit elit Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) itu ditubuhkan lapan tahun lalu.

“Bukan anggota bomba wanita tidak berminat tetapi rata-rata mereka gagal melepasi peringkat saringan yang menguji keupayaan fizikal, kecergasan dan mental.

“Syukur kerana akhirnya dua anggota wanita ini telah membuktikan mereka berkemahiran, berdisiplin dan bermotivasi tinggi untuk diserap dalam pa­sukan STORM kali ini,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis penutup kursus khas STORM di Akademi Bomba dan Penyelamat Wakaf Tapai dekat sini semalam.

Abdul Wahab berkata, kejayaan Melisa Canda dan Nurfatin Nadia diserap masuk sebagai anggota STORM diharap dapat membuka jalan kepada penyertaan lebih ramai lagi anggota wanita ke dalam pasukan elit bomba berkenaan.

Ujarnya, selain keperluan anggota wanita dalam melakukan tugasan mencabar dalam misi penyelamatan STORM, ia juga selaras dengan sasaran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang mahu sekurang-kurangnya 30 peratus golongan hawa dalam perkhidmatan bomba.

“Setakat ini kita ada 466 anggota STORM sejak ia ditubuhkan pada tahun 2011. Kita menyasar bilangannya dapat dipertingkatkan kepada 700 orang dalam tempoh dua tahun lagi.

“STORM sememangnya bersedia untuk melakukan misi penyelamatan berisiko tinggi termasuk di peringkat antarabangsa. Terbaharu, pasukan berkenaan telah menyertai misi pembersihan pencemaran bahan kimia di Sungai Kim-Kim, Pasir Gudang, Johor dan operasi mencari dan menyelamat kehilangan pelari Gupeng Ultra Trail 2019, Mohammad Ashraf Hassan, 29, di Gua Tempurung, Gopeng,” katanya.

Sementara itu, Nurfatin Nadia yang berasal dari Beaufort, Sabah berkata, beliau memang mengimpikan untuk menjadi anggota STORM sejak menyertai perkhidmatan bomba pada Julai tahun lalu.

“Saya akui latihan dan ujian kursus khas STORM memang mencabar mental dan fizikal. Saya sendiri membuat persiapan lebih sebulan untuk mening­katkan tahap kecergasan diri,” katanya.

Thursday, April 25, 2019

Lelaki diberkas pecah masuk rumah majistret

KUALA TERENGGANU – Seorang pemuda ditahan selepas dipercayai memecah masuk rumah seorang majistret di sini pada Ahad lalu.

Suspek yang berusia 23 tahun diberkas di sebuah rumah di Kampung Surau Haji Daud, Atas Tol di sini pada pukul 7.45 petang kelmarin.

Menurut satu sumber, mangsa yang bertugas di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu di sini mendapati rumahnya di Chendering telah dipecah masuk pada pukul 10.52 malam Ahad lalu.

“Dalam kejadian itu, suspek dipercayai melarikan beberapa barangan berharga.

“Susulan kejadian itu, polis kemudian melancarkan operasi dan memberkas seorang lelaki  di Atas Tol bagi membantu siasatan,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Menurut sumber itu, suspek ditahan reman empat hari sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman mengesahkan tangkapan itu dan memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Difahamkan, suspek sebelum ini pernah dikenakan tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan) 2014 atas kesalahan jenayah sama.

Wednesday, April 24, 2019

Abang tetak adik sebab duit

KUALA TERENGGANU – Seorang lelaki yang gagal mendapatkan wang sanggup menetak adiknya dengan sebilah parang di Kampung Baru Bahagia, Jerteh, Besut, Ahad lalu.

Dalam kejadian pukul 1.30 petang itu, mangsa yang berusia 26 tahun cedera parah pada pergela­ngan tangan kirinya.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Zamri Mohd.
Rowi berkata, sewaktu kejadian, suspek yang berusia 33 tahun meminta sejumlah wang daripada adik lelakinya dan permintaan itu tidak dipenuhi hingga menyebabkan perbalahan mulut antara mereka adik beradik.

“Suspek yang naik berang telah mengambil sebilah parang lalu menetak pergelangan tangan kiri mangsa sebelum bertindak melarikan diri,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Menurutnya, mangsa kini dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan.

“Suspek yang melarikan diri masih diburu dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan,”ujarnya.

Pencuri rantai emas diburu

HULU TERENGGANU – Dua wanita asing dipercayai warga Indonesia di­buru selepas disyaki me­larikan seutas rantai leher bernilai RM7,350 dari sebuah kedai emas di Kuala Berang di sini, Sabtu lalu.

Dalam kejadian pada pukul 2.37 petang itu, kedua-dua suspek disyaki menyamar sebagai pe­langgan sebelum salah seorang dari­pada mereka menyorokkan rantai emas itu menggunakan tangan kiri lalu memasukkannya ke dalam beg tangan.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Supe­rintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, suspek juga berpura-pura mahu melihat dua rantai leher lain.

“Perbuatan mencuri itu dilakukan dengan pantas sehingga tidak disedari oleh mangsa dan pekerja-pekerjanya.

“Kelibat dua wanita dipercayai berusia dalam lingkungan 40-an dan 50-an itu hanya dikenal pasti menerusi rakaman televisyen litar tertutup (CCTV),” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Katanya, pada mulanya, pengusaha kedai emas terbabit hanya menyedari kehilangan rantai emas seberat 42.28 gram ber­kenaan sewaktu pemeriksaan stok.

“Berdasarkan gaya percakapan dan pemakaian kedua-dua suspek, mang­sa percaya mereka merupakan warga Indonesia,” katanya.

Sehubungan itu, orang awam yang mengenali kedua-dua suspek boleh menghubungi polis di talian 09-681 1222 dan 09-681 2419 untuk membantu siasatan.

Tuesday, April 23, 2019

Suami kemaruk judi belasah isteri guna topi keledar

KUALA TERENGGANU – Hanya kerana menegur suami yang kemaruk bermain judi atas talian, seorang suri rumah cedera dibelasah lelaki itu dalam kejadian di Kampung Pasir Panjang di sini pada Rabu lalu.

Dalam kejadian kira-kira pada pukul 9.30 malam itu, mangsa yang berusia 33 tahun terpaksa menahan kesakitan pada bahagian kepala, leher dan bibir akibat ditampar dan dicekik serta dipukul de­ngan topi keledar oleh suaminya.
Sumber memberitahu, wanita itu pada mulanya menegur suaminya berusia 22 tahun yang terlalu asyik bermain judi atas talian dengan telefon pintarnya.

“Teguran itu kemudiannya menyebabkan lelaki tersebut berang sehingga mereka bertengkar. Perbalahan mulut antara pasangan tersebut semakin panas dengan suspek mula naik angin.

“Dia bertindak ganas memukul isterinya dengan topi keledar selain mencekik leher serta menampar pipi wanita berkenaan,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Mangsa yang ketakutan kemudiannya melaporkan kejadian itu di Balai Polis Kuala Terengganu pada keesokan harinya.

Sementara itu, Ke­tua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Ko­misioner Abdul Rahim Md. Din mengesahkan kejadian itu.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Sesyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.

Artikel berimpak tinggi karya pensyarah mampu angkat taraf UMT

KUALA NERUS – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) me­nyasar untuk menghasilkan lebih ba­nyak artikel berimpak tinggi dalam kalangan pensyarahnya.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Noor Azuan Abu Osman berkata, tumpuan akan diberikan kepada artikel berimpak tinggi yang layak diterbitkan dalam pangkalan data Web of Science.

“Penerbitan adalah tugas hakiki seorang pensyarah universiti. Seseorang ahli akademik tidak boleh lari daripada lima skop utama iaitu pengajaran, penerbitan, penyeliaan, perundingan dan ­khidmat masyarakat.

“Sesebuah universiti dipandang tinggi oleh masyarakat global sekiranya penyelidikan dan penerbitannya sentiasa menjadi rujukan,” katanya pada Perhimpunan Bersama Warga UMT di Pusat Islam Sultan Mahmud UMT di sini semalam.

Sehubungan itu, Noor Azuan berharap warga UMT memberi fokus terhadap penulisan artikel berimpak tinggi.

Pada pada majlis sama, Noor Azuan turut melancarkan Tabung Fastabiqul Khairat 7.0 sempena ketibaan bulan Ramadan tidak lama lagi.

Pakaian dalam mesin pengering lesap dicuri

KUALA TERENGGANU – Seorang suri rumah cemas apabila pakaian yang dikeringkan di sebuah dobi layan diri di Kuala Ibai di sini dicuri pada Khamis lalu.

Dalam kejadian pada pukul 3 petang itu, antara pakaian yang dilarikan penjenayah adalah pakaian seragam Persatuan Bulan Sabit Merah dan taekwondo milik anaknya.

Mangsa, Sukinah Zulkifli, 37, berkata, semasa kejadian, dia me­ninggalkan premis itu kira-kira 30 minit untuk mengambil anaknya dari sebuah sekolah berhampiran.

“Sekembalinya ke premis dobi itu, saya terkejut apabila mendapati mesin pengering yang digunakan sudah kosong.
“Berdasarkan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV), pakaian saya diambil seorang lelaki yang memakai topi dan baju-T berwarna biru,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Sukinah berkata, ra­kaman CCTV premis dobi itu menunjukkan suspek membuka pintu mesin pengering sewaktu ia masih beroperasi sebelum melarikan ke­semua pakaian.

Sementara itu, Ke­tua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din mengesahkan kejadian itu dan memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Datuk Seri ditangkap khalwat bukan Fizz Fairuz

KUALA TERENGGANU – Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) mengesahkan lelaki yang ditangkap berkhalwat bersama pasangannya di sebuah calet Pulau Perhentian, Besut pada awal bulan ini bukanlah pelakon, Datuk Fizz Fairuz se­perti yang di­tularkan.

Ketua Penolong Pesuruhjaya Bahagian Penguat Kuasa JHEAT, Nik Zulhaiza Ismail berkata, individu bergelar Datuk Seri berusia 40 tahun terbabit bukanlah artis seperti yang diperkatakan.

“Lelaki yang ditahan bersama wanita berusia 32 tahun dalam operasi bersepadu di sebuah calet di Pulau Perhentian, Besut pada 5 April lalu bukanlah artis atau pelakon dan mereka hanya­lah pasangan biasa.

“Begitu pun, JHEAT tidak akan mendedahkan identiti mereka yang ditahan atas tuduhan berkhalwat itu kerana ia me­nyalahi prosedur operasi stan­dard ditetapkan,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Nik Zulhaiza berkata, lelaki bergelar Datuk Seri yang ditahan dalam operasi bersepadu selama lebih lima jam sehingga pukul 5.30 pagi itu sudah ber­isteri, manakala pasangannya pula masih bujang.
Menurut beliau, pasangan terbabit telah dibebaskan dengan bon jaminan sementara menunggu proses pendakwaan di mahkamah syariah.

“Mereka berhadapan dengan siasatan mengikut Seksyen 29 Enakmen Kesalahan Jenayah Sya­riah (Takzir) (Terengganu) 2001 iaitu persediaan untuk melakukan persetu­buhan luar nikah,” katanya.

Kosmo! 15 April lalu melaporkan Fizz Fairuz nekad mahu mengambil tindakan undang-­undang terhadap pengendali Insta­gram @makcik_puaka yang telah menggambarkan dirinya sebagai lelaki bergelar Datuk Seri yang ditangkap berkhalwat di Pulau Perhentian itu.

Sebelum itu, pengendali laman Instagram berkenaan telah membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Fizz Fairuz dan isterinya, Datin Almy Nadia menerusi Instastory, namun ia ditolak kerana dirasakan masih belum mencukupi untuk membersih­kan imej pelakon filem Munafik tersebut.

Lelaki disyaki pecah masuk rumah majistret ditahan

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki ditahan reman selama empat hari sehingga Sabtu bagi membantu siasatan memecah masuk rumah seorang majistret pada Ahad lalu.

Suspek yang berusia 23 tahun ditahan dalam serbuan sepasukan polis di sebuah rumah di Kampung Surau Haji Daud, Atas Tol di sini pada pukul 7.45 petang semalam.

Sumber berkata, seorang majistret yang bertugas di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu di sini mendapati rumahnya di Chendering di sini telah dipecah masuk pada pukul 10.52 malam, Ahad lalu.

"Bebeberapa barangan berharga yang masih dikenalpasti dipercayai telah dilarikan penjenayah tersebut.

"Berdasarkan siasatan dan kesan bukti yang terdapat di lokasi kejadian, sepasukan polis telah memberkas suspek di sebuah premis di Kampung Surau Haji Daud, Atas Tol di sini untuk membantu siasatan," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.


Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman mengesahkan kes tersebut. - K! ONLINE

Monday, April 22, 2019

APMM tahan dua bot nelayan Vietnam di perairan Kuala Terengganu

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Taktik licik dua bot nelayan Vietnam mempamerkan permit meragukan untuk memasuki perairan negara untuk menangkap ikan gagal memperdaya pihak Maritim Malaysia (APMM).
Kedua-dua bot nelayan asing itu berjaya ditahan kapal peronda APMM kira-kira pada pukul 6.45 petang semalam.
Pengarah Zon Maritim Kemaman, Rashidilhadi Abd. Rashid berkata, dua bot nelayan Vietnam itu dikesan menangkap ikan dalam keadaan mencurigakan pada kedudukan 54 batu nautika dari muara Kuala Terengganu dekat sini.
"Sebaik menyedari kehadiran kapal peronda APMM, mereka dipercayai memotong tali pukat gading sambil salah sebuah daripada bot nelayan itu bertindak memecut laju untuk cuba melarikan diri.
"Begitupun, ia dapat ditahan pada kedudukan 45 batu nautika dari muara Kuala Terengganu dekat sini setelah hampir 45 minit dikejar kapal peronda APMM," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Maritim Terengganu di sini hari ini.
Rashidilhadi berkata, sewaktu diperiksa bot nelayan Vietnam membawa muatan 20,000 minyak diesel menunjukkan lesen kapal kargo daripada Jabatan Laut manakala sebuah lagi mengaku bot nelayan tempatan dengan menyerahkan permit menangkap ikan daripada Jabatan Perikanan.
Ujar beliau, penguat kuasa APMM yang meragui ketulenan lesen dan permit terbabit telah melakukan pemeriksaan lanjut sebelum menjumpai dokumen yang membuktikan kedua-dua bot nelayan berkenaan sebenarnya berasal dari Vietnam. - K! ONLINE

Sunday, April 21, 2019

Tchetche buat Irfan tersenyum

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

BADI kekalahan tiga kali berturut-turut Terengganu FC  I (TFC I) dalam saingan Liga Super berakhir apabila berjaya menumpaskan Felda­ United 2-1 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu kelmarin.

Pengendali TFC I, Irfan Bakti Abu Salim mampu kembali mengukir senyuman apabila ayam tambatannya, Kipre Tchetche menemui semula sentuhan berbisa selepas meledak kedua-dua gol untuk kemenangan skuad Penyu pada aksi tersebut.

Irfan Bakti mengakui penyerang kelahiran Ivory Coast itu menemui semula ketajamannya di depan gawang sekali gus menjadi faktor kepada TFC I me­nemui semula rentak kemenangan.

“Apa yang penting malam ini (kelmarin) kita menang dan Tchetche akhir­nya menjaringkan gol (untuk saingan Liga Super).

“Dia (Tchetche) bukan sahaja meledak gol malah gaya permainannya juga sudah semakin baik. Itulah yang dia hilang dalam lapan atau sembilan aksi sebelum ini,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan kelmarin.

Irfan Bakti berkata, beliau mengakui kemerosotan prestasi penyerang utamanya itu sedikit sebanyak mengakibatkan moral pasukan terjejas sebelum ini.

Menurut jurulatih berpengalaman yang kembali mengemudi TFC I selepas 11 hari bercuti kerana mengikuti kursus kejurulatihan profesional itu, kegagalan penjaring kedua terbanyak tersebut memanfaatkan peluang terhidang pada aksi-aksi awal liga sebelum ini telah mengecewakan rakan-­rakan sepasukannya.

“Saya harap Tchetche terus konsisten selepas ini dan berdasarkan maklum balas barisan kejuru­latihan, dia memang ber­usaha gigih untuk kembali pada prestasi sebenar terutama sejak tiga aksi sebelum ini.

“Apa pun, ia bukan bermakna saya sudah ber­puas hati. Prestasi dia akan terus dipantau menjelang jendela perpindahan pemain yang akan dibuka semula pada bulan depan,” katanya.

UniSZA tuan rumah ASM 2018 pada 27 April ini

UNIVERSITI Sultan Zainal Abidin (UniSZA) akan menjadi tuan rumah Majlis Anugerah Sukan Universiti Malaysia (ASM) 2018 pada 27 April ini.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni UniSZA, Prof. Madya Dr. Mohd. Afandi Salleh (gambar) berkata, majlis anugerah anjuran Majlis Sukan Universiti Malaysia (Masum) itu bakal diadakan di Duyong Marina & Resort di Kuala Terengganu.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Majlis ASM 2018 berkata, anugerah itu bertujuan mengiktiraf dan menghargai jasa serta sumbangan atlet, pegawai dan penggiat sukan yang mengharumkan nama universiti serta negara hingga ke persada antarabangsa tahun lalu.

“Berdasarkan prestasi memberangsangkan atlet dalam kalangan warga universiti awam pada tahun lalu, ASM 2018 di­jangka berlangsung dengan meriah.

“Sebagai contoh, atlet dalam kalangan universiti awam cemerlang apabila menyumbang empat pingat emas, tiga perak dan tujuh gangsa untuk kontinjen negara pada Sukan Komanwel 2018,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Mohd. Afandi berkata, tambah membanggakan, seramai 69 atlet dalam kalangan warga institusi pengajian tinggi awam juga telah membarisi kontinjen Sukan Asia Jakarta-Palembang pada tahun lalu.

Katanya, Masum juga telah berjaya menganjurkan Kejohanan Badminton Universiti Dunia 2018 dan kejohanan Bola Keranjang 3x3 Universiti Asia keempat.

Usaha sama Golden Pharos, Gimzan Plywood tingkat pengeluaran venir

KUALA TERENGGANU – Syarikat berkaitan kerajaan negeri Terengganu, Golden Pharos Bhd. menerusi anak syarikatnya, Permint Plywood Sdn. Bhd. (Permint Plywood) menjalin kerjasama dengan Gimzan Plywood Sdn. Bhd.  (Gimzan Plywood) dalam pengelua­ran venir.

Venir merupakan lapisan tipis kayu yang digunakan untuk melapisi papan utama bagi pembuatan pe­rabot, pintu dan lantai.

Ketua Pegawai Eksekutif Golden Pharos, Datuk Ahmad Nadzarudin Abdul Razak berkata, melalui perjanjian tersebut, ia akan membolehkan Permint Plywood mengguna pakai insfrastruktur Gimzan Plywood bagi menjalankan proses pengeluaran venir.

“Permint Plywood boleh melakukan kerja-kerja pengeluaran venir seperti mengupas, mengering dan membungkus produk itu dengan menggunakan kemudahan dimiliki Gimzan Plywood sepanjang tempoh 12 bulan perjanjian bermula Januari tahun depan.

“Ia membolehkan kami meningkatkan pengeluaran venir bagi memenuhi permintaan pasaran yang semakin meningkat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menandatangani perjanjian antara dua entiti tersebut di sini semalam.
Perjanjian itu turut ditandatangani Pengerusi Permint Plywood, Maliaman Kassim manakala Gimzan pula diwakili oleh Pengarahnya, Datuk Sheikh Othman Sheikh Abdul Rahman dan Datuk Seri Yong Tu Sang.

Ahmad Nadzarudin menjelaskan, Permint Plywood menyasar untuk mengeluarkan kira-kira 500 meter padu venir kering yang dianggarkan bernilai RM0.75 juta sebulan sepanjang tempoh kerjasama tersebut.

Tambah beliau, hasil daripada kerjasama tersebut, kira-kira 100 peluang pekerjaan terutama di kawasan Ajil, Hulu Terengganu dijangka ditawarkan kepada masyarakat setempat.

Saturday, April 20, 2019

Maut motosikal rempuh kerbau

KUALA TERENGGANU - Gara-gara merempuh seekor kerbau, seorang pemuda lepasan Akademi Binaan Malaysia (ABM) yang sedang menunggang motosikal Yamaha 125Z maut dalam kemalangan di Kampung Surau Panjang di sini kelmarin.

Dalam kejadian pada pukul 8 malam itu, Muhammad Syawal Jusoh, 24, yang meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah pada badan kerana tidak sempat mengelak seekor kerbau di tengah jalan.

Kerbau yang masih belum diketahui pemiliknya yang dirempuh Muhammad Syawal tersebut juga berada dalam keadaan tenat sebelum disembelih oleh beberapa penduduk kampung.

Ibu mangsa, Zaharah Abdullah, 60, berkata, kejadian merempuh kerbau yang mengorbankan anak kesembilan daripada 11 beradik berkenaan berlaku berhampiran Stor Penyimpanan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Kampung Surau Panjang di sini yang agak gelap.

"Keadaan jalan agak gelap. Sebelum kejadian, anak saya (Muhammad Syawal) sempat pulang sekejap ke rumah selepas bermain bola sepak di padang Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Mansor, Kedai Buluh di sini.

"Dia kemudiannya keluar semula dengan menaiki motosikal Yamaha 125Z. Tahu-tahu sahaja kami sekeluarga dimaklumkan anak saya itu terlibat dalam kemalangan merempuh kerbau tidak lama selepas itu," katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini semalam.

Zaharah berkata, mayat Muhammad Syawal ditemui seorang pemancing yang sedang mengail ikan di sungai berhampiran selepas mendengar bunyi dentuman kuat.

"Saya tidak pasti dia (Muhammad Syawal) hendak pergi ke mana. Mungkin dia mahu berjumpa dengan kawan-kawannya yang juga sedang memancing tidak jauh dari lokasi kejadian," katanya.

Friday, April 19, 2019

Tchetche idam terus buru gol

JARINGAN berharga pada pusingan ketiga Piala FA menentang Kelantan United pada Selasa lalu menjadi ‘tonik’ buat penyerang utama Terengganu Football Club I (TFC I), Kipre Tchetche untuk kembali menjadi penyerang prolifik untuk skuad Penyu.

Pemain kelahiran Ivory Coast berkata, motivasinya kembali meningkat berikutan jaringan itu dan ber­azam untuk terus meledak jaringan pada aksi dengan Felda United pada malam ini.

“Saya lega beban yang membelenggu kerana kemarau gol sejak awal musim ini kini berakhir sudah pada aksi kelmarin (Selasa).

“Kini, saya tekad untuk ‘membuka akaun’ jaringan pula bagi saingan Liga Super menerusi aksi de­ngan Felda United pada malam esok (ini),” katanya kepada Kosmo! di Kuala Lumpur semalam.

Sehubungan itu, Tchet­che bertekad untuk terus berusaha mempertajamkan mutu permainan agar kembali mendapat sentuhan berbisanya seperti sebelum ini.

Ujar bekas kapten TFC I, apa yang pen­ting ialah kemarau kemenangan yang melanda skuad Penyu dalam sai­ngan Liga Super sejak tiga aksi lalu dapat ditamatkan segera.

“Saya akui kemenangan dengan Kelantan United telah menaikkan semula moral kami sepasukan untuk kembali ke landasan sebenar.

“Begitupun, kita juga perlu berhati-hati kerana Felda Uni­ted bukan lawan mudah kerana kelab itu kini dalam momentum kemenangan pada masa ini,” ­katanya.

Pegawai daerah ditahan salah guna kuasa projek pembangunan

KEMAMAN – Seorang pegawai daerah di negeri ini ditahan reman selama enam hari sehingga Ahad ini untuk membantu siasatan kes menyalah guna kuasa melibatkan projek pembangunan berjumlah RM266,349.18 pada tahun lalu.

Perintah reman terhadap suspek yang berusia 56 tahun berkenaan dibenarkan oleh Majistret Nik Mohd. Tarmizi Nik Mohd. Shukri di Mahkamah Majistret Kemaman di sini semalam.

Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, siasatan awal mengesyaki lelaki itu menggunakan jawatannya untuk menawarkan beberapa projek keseluruhan berjumlah RM266,349.18 kepada sekutunya.

“Suspek disyaki melakukan perbuatan itu sewaktu menjawat jawatan Yang Dipertua sebuah majlis perbandaran di negeri ini pada tahun lalu,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Sumber SPRM itu berkata, pegawai daerah tersebut ditahan sewaktu memberi keterangan di pejabat SPRM cawangan Kemaman di sini pada pukul 12.40 tengah hari kelmarin.
Kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.