Oleh MOHD AZLI ADLAN
PERSEKITARAN Terowong Bukit Tebuk, Dungun, Terengganu yang dahulunya sepi dan kurang terurus hingga disangkakan ‘berhantu’ telah mengalami transformasi 360 darjah sejak awal Februari lalu.
Kerja-kerja naik taraf pencahayaan dan landskap taraf terowong bersejarah terbabit telah dilaksanakan Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya dengan kos RM200,000, manakala selenggaraannya di bawah tanggungjawab Majlis Daerah Dungun.
Transformasi lanskap kawasan dan pencahayaan lampu berwarna-warni pada waktu malam tersebut telah menggamit kehadiran ramai pengunjung termasuk pelancong di lokasi berkenaan.
Mereka teruja berswafoto berlatarbelakangkan terowong terletak di pinggir Kampung Nibong Kubur itu sebelum memuat
naiknya di media sosial masing-masing.
Kuasa tular kemudiannya pantas mempopularkan Terowong Bukit
Tebuk sebagai destinasi tumpuan
pelancong terbaharu di Dungun.
Lokasi itu turut menjadi antara
tumpuan untuk merakam momen
mengabadikan kenangan berpakaian
raya bersama sanak saudara dan
sahabat-handai pada Syawal lalu.
Salah seorang anak jati Dungun,
Wan Nur Isma Wan Azman, 32,
berkata, sebelum ini, Terowong Bukit
Tebuk sepanjang 143 meter tersebut
hanyalah laluan alternatif biasa buat
penduduk setempat untuk ke pusat
bandar Dungun.
“Saya juga salah seorang yang
pernah beberapa kali melaluinya
sebagai jalan pintas sewaktu kecil,
namun tidak sedar ia sebenarnya
merupakan salah satu khazanah
berharga daerah ini.
“Terowong tersebut salah satu
sisa sejarah yang masih tinggal
membuktikan perlombongan bijih
besi pernah menjadi nadi ekonomi
daerah Dungun pada era 1930-an hingga 1970-an,” katanya kepada
Panorama baru-baru ini.
Wan Nur Isma berkata, dia juga
tidak menyangka laluan terowong
bertar tersebut asalnya merupakan
rel kereta api pengangkut bijih besi
dari Bukit Besi ke pelabuhan yang
terletak di Pengkalan Nibong di sini.
Tambah ibu kepada dua anak itu,
sama seperti tapak pelabuhan, rel
kereta api di dalam Terowong Bukit
Tebuk sudah pupus dalam lipatan
sejarah sejak tahun 1970-an.
“Sehubungan itu, saya sebagai
anak jati Dungun menghargai usaha
kerajaan untuk mengindahkan semula
monumen terbabit.
“Ia mendorong ramai tertarik
mengunjunginya dan secara tidak
langsung mendedahkan semula fakta
sejarah kurang didendang khususnya
kepada generasi muda,” ujarnya.
Sementara itu, Setiausaha
Kehormat Persatuan Sejarah Malaysia
cawangan Dungun, Wan Mohd. Rosli
Wan Ngah berkata, Terowong Bukit
Tebuk dibina syarikat Nippon Mining
Company yang memegang konsesi
perlombongan bijih besi di Bukit Besi
sebelum zaman penjajahan Jepun.
Beliau berkata, sebuah bukit
yang terletak di pinggir Kampung
Nibong Kubur telah ditebuk bagi
menyambung rel kereta api yang sudah dibina dari Bukit Besi hingga
Kampung Che Lijah berhampiran.
“Pembinaan terowong tersebut
dapat memendekkan masa
mengangkut bijih besi menggunakan
kereta api ke pelabuhan Pengkalan
Nibong yang tapaknya kini terletak di
Sura, Dungun.
“Kerja-kerja menebuk bukit
bagi membina terowong kereta api
berkenaan telah bermula pada tahun
1932 sebelum siap sepenuhnya empat
tahun kemudiannya iaitu 1936,”
ujarnya.
Wan Mohd. Rosli berkata, terowong
tersebut telah dipasang dengan
konkrit bagi menjadikan ia lebih
kukuh dan mengurangkan risiko
mudah runtuh.
Jelas beliau, terowong tersebut
dinamakan Terowong Bukit Tebuk
berikutan pembinaan perlu menebuk
sebuah bukit di lokasi berkenaan.
“Keunikannya terowong ini pada
sisi dalamnya terdapat dua lubang
seakan-akan bilik masing-masing di
bahagian kanan dan kiri.
“Fungsinya bagi membolehkan
orang ramai berlindung di dalamnya
sekiranya berselisih dengan kereta
api,” katanya.
Wan Mohd. Rosli berkata, pada
zaman kegemilangan industri bijih
besi di Bukit Besi, terowong tersebut
menjadi saksi beratus ribu tan logam
tersebut diangkut untuk dieksport ke
luar negara.
Cerita beliau, fungsi terowong
kereta api terbabit berjalan selama
lebih kurang 40 tahun sebelum
menghadapi zaman kegelapan seiring
penutupan industri bijih besi berskala
besar di Bukit Besi pada 8 September
1971.
“Eastern Mining and Metal
Company (EMMCO) yang mengambil
alih konsesi perlombongan bijih
besi di Bukit Besi kemudiannya
menanggalkan rel kereta api yang
terdapat di terowong tersebut.
“Sebahagian rel kereta api
terbabit telah dibawa pengurusan EMMCO untuk dipasang di kawasan
perlombongan bijih besinya yang
baharu di Australia,” ujar beliau.
Wan Mohd. Rosli berkata, laluan
Terowong Bukit Tebuk tersebut
kemudiannya ditar untuk kegunaan
kenderaan biasa sebagai jalan pintas
ke pusat bandar Dungun.