Translate

Thursday, August 31, 2017

Remaja terlantar terima bantuan perubatan MAIDAM

TARIKH 2 Mei 2011 sudah pasti menjadi detik hitam dan tidak mampu dilupakan oleh Raman Abdullah, 62, dan isterinya, Nik Aini Mohd., 56, hingga ke akhir hayat.

Itulah hari terakhir mereka melihat keletah anak mereka, Iman Adam, 13, yang bukan sahaja periang dan cerdik malah berupaya menghafaz beberapa surah al-Qurah termasuk Yasin.

Kesemua kebahagian itu diragut sekelip mata selepas Iman Adam yang merupakan anak bongsu dari sembilan beradik tersebut dirempuh sebuah motosikal sewaktu melintas jalan ke sebuah kedai di Kampung Kubang Jela, Manir, Kuala Terengganu pada pukul 8 pagi.

Rempuhan kuat itu menyebabkan kanak-kanak tersebut yang sewaktu itu berusia lapan tahun terlantar koma di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu selama tujuh bulan.

Biarpun sedar dari koma kemudiannya, kehidupan Iman Adam tidak seperti dahulu.

Dia bergantung hidup kepada tiga tiub di dalam badannya yang disambung ke jantung, buah pinggang dan perut untuk sepanjang hayat.

Tambah memilukan, biarpun lima tahun berlalu, dia masih terlantar di atas katil sepanjang masa dan sering diserang sawan berikutan kehilangan sebahagian tempurung kepala akibat peristiwa dilanggar lari berkenaan.

Bapanya, Raman yang merupakan seorang pesara memberitahu, dia terpaksa memasang penghawa dingin selama 24 jam untuk mengawal suhu bilik sebagai ikhtiar bagi mengurangkan risiko anak bongsunya itu terkena sawan.

Menurutnya, dia turut menyediakan kemudahan katil mudah laras dan peti dingin beku khas untuk menyimpan ubat-ubatan yang diperlukan oleh Iman Adam yang menelan kos ribuan ringgit.

"Saya bersyukur kesudian Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) yang sudi menghulurkan bantuan bekalan susu khas untuk anak saya itu.

"Setiap bulan, Maidam akan membekalkan 20 tin susu khas tersebut yang berharga lebih RM100 setin untuk kegunaan Iman Adam," katanya ketika ditemui Kosmo! di rumahnya di Kampung Kebor Besar, Manir, Kuala Terengganu baru-baru ini.

Raman berkata, memandangkan beliau sekeluarga kini bergantung kepada wang pencen, bantuan perubatan daripada Maidam yang menelan kos lebih RM2,000 sebulan itu sedikit sebanyak telah meringankan kos rawatan Iman Adam.

"Susu tersebut akan dibancuh dan disalurkan menerusi tiub yang disambung ke perutnya. Itulah satu-satunya makanan yang boleh diterima Iman Adam sejak ditimpa kemalangan tersebut," ujarnya sedih.

Program restorasi karang Jabatan Taman Laut terima pengiktirafan Malaysia Book of Records

Oleh MOHD. AZLI ADLAN


KUALA NERUS - Program restorasi 8,300 fragmen batu karang anjuran Jabatan Taman Laut hari ini menerima pengiktirafan sebagai acara penanaman batu karang secara serentak terbesar di negara ini.
Pengiktirafan tersebut diberikan Malaysia Book of Records yang diwakili pegawainya, Lee Pooi Leng di Taman Laut Pulau Redang dekat sini.
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, program yang bertujuan untuk memulihara sumber marin khususnya terumbu karang tersebut telah dijayakan oleh 200 sukarelawan skuba.
"Selain Pulau Redang, program itu turut diadakan di lima taman laut lain di seluruh negara iaitu Pulau Perhentian, Terengganu; Pulau Tinggi, Johor; Pulau Tioman,Pahang; Pulau Payar, Kedah dan Pulau Rusukan Besar, Wilayah Persekutuan Labuan.
"Program restorasi karang tersebut menumpukan usaha konservasi di kawasan yang terumbu karangnya terjejas akibat pelbagai faktor," katanya selepas merasmikan sambutan Hari Laut Sedunia peringkat kebangsaan di Taman Laut Pulau Redang dekat sini hari ini. - K! ONLINE

Wednesday, August 30, 2017

Buruh didakwa curi 15 helai pakaian dalam wanita

KUALA TERENGGANU - Seorang buruh mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan mencuri 15 helai pakaian dalam milik dua wanita pada Isnin lalu di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Sum Kok Fai didakwa mencuri 14 helai pakaian dalam dan sehelai pakaian dalam masing-masing milik seorang remaja perempuan berusia 19 dan 18 tahun pada 12 tengah hari, 24 Julai lalu.
Kedua-dua pertuduhan tersebut didakwa dilakukan tertuduh di belakang sebuah rumah sewa di Taman Desa Putra, Banggol Tuan Muda, Manir dekat sini.
Dia didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. - K! ONLINE

Pengutip barang terpakai maut dipanah petir

HULU TERENGGANU –  Seorang pengutip barangan terpakai ditemui mati akibat di panah petir di kawasan pembuangan sampah di Batu 22, Jalan Kuala Berang-Ajil di sini kelmarin.

Mayat Sabri Mat Junoh, 51, dari Kampung Merbau Pulas, Ajil dekat sini ditemui di kawasan pembuangan sampah itu pada pukul 7.25 petang.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, mayat Sabri dijumpai dalam keadaan terlentang berhampiran sebuah pondok di kawasan pembuangan sampah tersebut oleh ahli keluarganya.

“Ahli keluarganya mencari mangsa selepas hujan lebat yang melanda daerah ini reda petang semalam (kelmarin) kerana terlalu risaukan mang­sa yang tidak pulang ke rumah seperti biasa pada pukul 5 petang.

“Biasanya mangsa yang mencari rezeki mencari barangan terpakai di kawasan pembuangan sampah tersebut bermula pada pukul 8 pagi setiap hari akan pulang ke rumah tepat pada masanya,” katanya kepada Kosmo! Ahad di sini semalam.

Mohd. Adli berkata, pemeriksaan pada mayat Sabri menjumpai kesan melecur seperti terbakar pada leher, tangan dan perutnya dengan beberapa barangan kitar semula seperti tin minuman ringan dan botol berada di sisinya.

Menurut beliau, mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu untuk dibedah siasat.

Tuesday, August 29, 2017

KDN rampas 67 bingkai hiasan ayat al-Quran mengandungi kesalahan dan langgar garis panduan

KUALA TERENGGANU - Kementerian Dalam Negeri (KDN) merampas 67 keping bingkai hiasan ayat-ayat al-Quran yang mengandungi pelbagai kesalahan bernilai kira-kira RM20,000 dalam operasi di sekitar bandar raya ini hari ini.
Pemeriksaan yang diadakan selama empat jam bermula pukul 9 pagi itu disertai 24 pegawai dan anggota penguatkuasa dari Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks al-Quran KDN, polis dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT).
Ketua Penolong Setiausaha Unit Operasi dan Kawalan Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks al-Quran Putrajaya, Shamsinar Mohd. Jaafar berkata, pemeriksaan di 11 premis jualan di sekitar bandar raya ini bertujuan untuk mengesan bingkai hiasan terbabit yang mengandungi kesalahan ayat al-Quran dan melanggar garis panduan ditetapkan.
"Antara kesalahan yang dikenalpasti ialah ayat al-Quran bercampur dengan ayat lain selain kesilapan pada penandaan termasuk baris ayat-ayat suci terbabit.
"Pemerhatian di sebahagian premis kedai yang dikunjungi terbabit juga mendapati bingkai hiasan ayat al-Quran berkenaan diletakkan di atas lantai dan ia menyalahi garis panduan ditetapkan KDN," katanya kepada pemberita di sini hari ini. - K! ONLINE

Hukuman penjara bekas pemain T-Team kekal

KUALA TERENGGANU – Mahkamah Tinggi di sini semalam menolak rayuan seorang bekas pemain skuad Piala Presiden T-Team yang sebelum ini didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen pada tahun lalu atas pertuduhan memberi keterangan palsu pada perbicaraan kes mengatur perlawanan bola sepak pada tahun 2012.

Hakim Datuk Zainal Azman Ab. Aziz memutuskan Mohd. Azuan Hussein, 25, kekal menjalani penjara selepas mendapati Hakim Mahkamah Sesyen, Murtazadi Amran tidak melakukan sebarang kekhilafan sewaktu menjatuhkan hukuman tersebut pada 10 Mac 2016.

Zainal Azman memerintahkan tertuduh agar menjalani hukuman penjara dua tahun berkenaan bermula semalam.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Irwan Shah Abdul Samat manakala Mohd. Azuan diwakili peguam bela, Kamaruzaman A. Wahab.

Berdasarkan pertuduhan, Mohd. Azuan didakwa memberi keterangan yang tidak selaras ketika menjadi saksi dalam perbicaraan kes bekas jurulatih T-Team, K. Rajendran dan Sufian Ngah di hadapan Murtazadi di Mahkamah Sesyen 1 Kuala Terengganu antara 10 pagi hingga 1 petang pada 3 Disember 2012.

Tertuduh didakwa mengikut  Seksyen 27(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda maksimum RM100,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

MAIDAM bantu bina bengkel jahitan Roslizah

SEJAK 20 tahun lalu, Roslizah Abd. Wahab, 41, tekun mengambil upah menjahit pakaian sebagai mata pencarian untuk menambah pendapatan keluarga.

Kemahiran menjahit tersebut diperolehi ibu kepada empat orang anak yang berusia dalam lingkungan lima hingga 18 tahun itu selepas menyertai kursus anjuran Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu.

"Bersandarkan pada sijil asas membuat pakaian terbabit, saya memberanikan diri mengambil upah menjahit baju kurung, kebaya, jubah dan baju Melayu daripada jiran-jiran.

"Pada mulanya, saya menggunakan ruang kecil di hadapan bilik tidur utama untuk menempatkan mesin jahit bagi menyiapkan tempahan yang diterima tersebut," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Padang Hangus, Kuala Nerus, Terengganu baru-baru ini.

Roslizah berkata, berkat pemasaran dari mulut ke mulut, pelanggan yang memberi kepercayaan kepadanya untuk menjahit pakaian mereka semakin bertambah dari setahun ke setahun.

Begitupun, penambahan tempahan itu menjadikan beliau tidak menang tangan sekali gus menyebabkan beberapa tempahan yang diterima terpaksa ditolak.

"Saya juga mengalami kesukaran untuk meletakkan beberapa peralatan menjahit yang dibeli untuk melicinkan kerja akibat ruang yang semakin sempit.

"Sehubungan itu, saya mencuba nasib memohon bantuan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) untuk membina bengkel jahitan pada tahun lalu," ujarnya.

Roslizah memberitahu, MAIDAM yang sentiasa memberi sokongan penuh kepada usahawan terdiri daripada golongan asnaf seperti beliau tidak menunggu lama untuk meluluskan permohonan berkenaan.

Menurut beliau, pembinaan bengkel jahitan yang menelan kos sebanyak RM10,000 itu telah siap sepenuhnya pada Disember tahun lalu.

"Alhamdulillah, syukur dengan bantuan yang telah dihulurkan MAIDAM. Saya kini boleh menjahit dengan lebih selesa dan perniagaan semakin maju.

"Sekarang bukan sahaja mendapat tempahan daripada individu, saya juga mula diberi kepercayaan untuk menjahit baju seragam daripada agensi kerajaan seperti jururawat," katanya.

Pekerja kilang papan maut rempuh lori pasir

Oleh MOHD. AZLI ADLAN


BESUT - Seorang pekerja kilang papan maut selepas motosikal yang ditungganginya merempuh lalu terperosok di bawah sebuah lori membawa muatan pasir di Jalan Gong Medang, Kampung Raja dekat sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 4.11 petang itu, Kamarulzaman Kamarudin, 44, meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian kepala, perut dan sebahagian anggota badan.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata, sewaktu kejadian, Kamarulzaman yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Golok Semerak, Pasir Puteh, Kelantan dari kilangnya selepas habis waktu bekerja.
"Sewaktu melalui lokasi kejadian yang juga merupakan simpang empat, mangsa dari arah Gong Medang dekat sini tidak berhenti di persimpangan jalan sebaliknya meneruskan perjalanan ke Kampung Paya Rawa dekat sini.
"Sebaik tiba di tengah-tengah persimpangan itu, motosikal mangsa kemudiannya tidak dapat mengelak sebuah lori membawa muatan pasir milik sebuah syarikat yang berpengkalan di Jerteh yang turut berada di situ lalu merempuhnya," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini. - K! ONLINE

Monday, August 28, 2017

Lagi dua bot nelayan ditahan APMM, aset dan hasil laut RM2.4 juta dirampas

KUALA TERENGGANU - Pencerobohan nelayan Vietnam di perairan negara semakin menjadi-menjadi dengan penahanan dua lagi bot dari negara itu oleh penguat kuasa Maritim Malaysia (APMM) kira-kira 100 batu nautika dari perairan Kuala Terengganu dekat sini kelmarin.
Penahanan kedua-dua bot nelayan itu merupakan ke-19 melibatkan nelayan warga Vietnam di perairan Kuala Terengganu sejak awal tahun ini dengan jumlah keseluruhan rampasan setakat ini mencecah RM60 juta.
Pengarah Maritim Daerah Kuala Terenggau, Kepten Maritim Rahim Ramli berkata, risikan APMM mendapati lambakan nelayan Vietnam yang mencerobohi perairan negara disebabkan kekurangan sumber di perairan negara mereka selain peranan petualang disyaki terdiri daripada rakyat tempatan.
Beliau berkata, dalam kes terbaru ini, kapal peronda APMM yang sedang melakukan rondaan telah terserempak dengan dua bot nelayan dinaiki 21 awak-awak warga asing dipercayai warga Vietnam itu yang sedang melakukan penangkapan ikan secara pukat ganding pada kedudukan 100 batu nautika dari perairan Kuala Terengganu.
"Sebaik menyedari kehadiran pasukan penguat kuasa APMM, mereka segera memutuskan pukat ganding dan memecut laju bot nelayan masing-masing namun berjaya juga dipintas bot peronda kami kira-kira setengah jam kemudian.
"Mereka menggunakan modus operandi mengecat bot nelayan masing-masing seperti milik nelayan tempatan selain mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Terengganu namun gagal mengaburi mata pasukan penguat kuasa APMM yang sudah masak dengan taktik bot klon berkenaan," katanya pada sidang akhbar di Markas Maritim Daerah Kuala Terengganu di sini hari ini. - K! ONLINE

Sunday, August 27, 2017

EPIC lancar loji kuasa RM80 juta

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KEMAMAN - Syarikat berkaitan kerajaan negeri Terengganu, Eastern Pasific Industrial Corporation Berhad (EPIC) melancarkan projek pembangunan loji janakuasa tenaga solar berkapasiti tinggi melibatkan kos RM80 juta.

Ahli Lembaga EPIC, Datuk Mohamed Awang Tera berkata, loji janakuasa tenaga solar berskala besar pertama di negeri ini yang memiliki kapasiti 18.5 Megawatt (MW) itu dibina di tapak seluas 28.35 hektar di Teluk Kalong di sini.

Beliau berkata, pembinaan loji yang terbahagi kepada tiga fasa tersebut dijangka mula beroperasi pada Mac depan.

"EPIC menerusi anak syarikat Eastern Pacific GD Solar Sdn. Bhd. telah mendapat kebenaran daripada Suruhanjaya Tenaga untuk membekalkan tenaga solar kepada Tenaga Nasional selama 21 tahun sehingga tahun 2039.

"EPIC mengunjur mampu menjana pendapatan antara RM200 juta hingga RM300 juta sepanjang tempoh perjanjian tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis pelancaran loji janakuasa tenaga solar itu yang disempurnakan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman di sini semalam.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Eastern Pasific (EPIC) Berhad, Noor Fadzil Mohamed Nor dan Pengarah Operasi Wilayah Stork Technical Services Holding B.V, Deon Otto.

Pada majlis sama, Ahmad Razif  turut menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MOU) antara Epic Mushtari Engineering Sdn Bhd dan firma Belanda, Stork Technical Services berhubung perkongsian teknologi dan kepakaran berhubung kejuruteraan loji, paip dan membaikpulih kapal.

Mohammad berkata, projek pembinaan loji janakuasa tenaga solar itu merupakan inisiatif EPIC untuk meneroka industri teknologi sumber tenaga hijau sekali gus mengurangkan pengantungan sepenuhnya pada bahan api gas dan minyak sebagai sumber tenaga.

Sementara itu, Ahmad Razif berkata, projek berskala besar itu  disasar untuk memberi impak positif kepada ekonomi negeri sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan.

Saturday, August 26, 2017

Malaysia bolot dua pingat emas Endurance, Sultan Mizan juara kategori individu

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

SETIU - Kontinjen Malaysia menambah dua pingat emas menerusi acara Edurance bagi kategori individu dan berpasukan yang baru tamat di Terengganu International Edurance Park (TIEP), Lembah Bidong, Setiu, Terengganu sebentar tadi.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin mencipta sejarah meraih pingat emas bagi kategori individu selepas menamatkan perlumbaan dalam tempoh 3 jam 48 minit 38 saat.
Kuda RTES Annaversary yang ditunggang baginda juga mencatat kelajuan 20.994 kilometer sejam.

Pingat perak bagi kategori individu juga diraih atlet negara, Mohd. Bukhari Rozali dengan kepantasan 3 jam 48 minit 40 saat manakala pingat gangsa pula milik Khuntaraporn Warit dari Thailand (4 jam16 minit 5 saat).

Bagi acara pasukan pula, Malaysia yang diwakili Muhammad Fuad Hashim, Azizatul Asma Abdullah, Mohd. Yusran Yusuf dam Mohd. Adhwa Embong meraih pingat emas dengan kelajuan keseluruhan 11 jam 31 minit 30 saat.

Pasukan Thailand yang ketinggalan 4 jam 37 minit 52 saat dari pasukan Malaysia pula memenangi pingat perak manakala pingat gangsa pula milik Kemboja. - K! ONLINE

Friday, August 25, 2017

Pengamal perubatan tradisional didakwa cabul peniaga wanita

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Seorang pengamal perubatan tradisional dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencabul seorang wanita yang mendapatkan rawatan masalah gangguan makhluk halus dengannya pada tahun lalu.
Abdullah Muda, 60, membuat pengakuan tidak bersalah dan mohon dibicarakan sebaik pertuduhan tersebut dibacakan di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.
Berdasarkan pertuduhan, Abdullah didakwa mencabul seorang wanita berusia 38 tahun yang juga seorang peniaga di sebuah premis di Chabang Tiga di sini pada pukul 4 petang, 30 Oktober 2016.
Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan jika sabit kesalahan. - K! ONLINE

Waspada ancaman tebuan di Terengganu

SEPANJANG bulan Ogos ini, empat kes kematian membabitkan empat kanak-kanak akibat disengat tebuan telah direkodkan di seluruh Terengganu.

Insiden menyedihkan itu bermula dengan kes kematian Muhammad Adrian Aiman Mohd. Rosmin, 8, yang maut selepas disengat 60 ekor tebuan yang bersarang di atas pokok gelam berdekatan rumahnya di Kampung Benting Lintang, Besut.

Empat hari kemudian dua beradik, Iffriah Darwisha Abdul Wahab Al Hadi, 3, dan kakaknya, Irdina Batrisyia, 8, pula menjadi mangsa sengatan tebuan yang bersarang di kawasan semak juga berhampiran rumah mereka.

Iffriah Darwisha meninggal dunia beberapa jam selepas serangan itu manakala kakaknya dua hari kemudian sewaktu menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

Mangsa keempat, Puteri Nur Aisyah Azahar, 8, pula maut apabila disengat 30  ekor tebuan yang bersarang di premis kedai makan tinggal bersebelahan rumahnya di Kampung Lay Out, Tok Has, Besut pada Khamis lalu.

Kesemua insiden tersebut mempunyai persamaan iaitu kanak-kanak terbabit diserang tebuan sewaktu asyik bermain berhampiran kawasan rumah tanpa menyedari bahaya menanti.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Che Adam A. Rahman berkata, tebuan yang biasa terdapat di negara ini adalah daripada spesies tanah dan kunyit. Serangga tersebut hidup secara koloni dan akan membina sarang di lokasi yang mempunyai banyak sumber makanan.

“Tebuan seperti juga lebah mula aktif mencari makanan dan membina koloni selepas musim tengkujuh berakhir iaitu mulai Februari lalu.

“Serangga berbisa itu boleh membina sarang di pokok, tanah dan premis bangunan yang biasanya berhampiran dengan sumber makanan utamanya iaitu debunga,” katanya kepada Kos­mo! baru-baru ini.

Che Adam berkata, sejak awal tahun ini, APM Terengganu telah menerima 2,326 aduan orang ramai berhubung kewujudan sarang tebuan berhampiran rumah masing-masing.

Beliau berkata, permohonan bantuan untuk memusnahkan sarang tebuan itu didapati semakin mening­kat mulai Mei dengan 407 kes, Jun (510) dan Julai (851).

“Kebanyakan aduan itu diterima dari daerah Besut, Dungun, Kemaman dan Marang.

“Kita sentiasa bersedia untuk menambah petugas bagi membantu orang awam membuang sarang tebuan yang berkemungkinan mampu mengancam ke­selamatan dan nyawa mereka,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Terengganu, Roslee Daud berkata, insiden empat kanak-kanak negeri itu maut akibat disengat tebuan pada bulan ini sahaja amat mendukacitakan.

Beliau berkata, ia amat membimbangkan dan perlu menjadi iktibar agar orang ramai prihatin dan sentiasa memeriksa kemungkinan wujud sarang tebuan di kawasan rumah masing-masing.

“Mereka perlu melaporkan kepada pihak berkuasa bagi tindakan pemusnahan habitat serangga itu dengan segera.

“Empat kes kematian akibat sengatan tebuan di Terengganu pada bulan ini sahaja agak drastik kerana hanya dua kes sama direkodkan pada tahun lalu,” katanya.

Roslee berkata, sengatan tebuan pada kadar yang tinggi sangat berbahaya kerana bukan sahaja mampu meragut nyawa kanak-kanak malah orang dewasa.

Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr. Muhammad Omar pula menasihatkan orang ramai yang terkena sengatan tebuan agar segera mendapatkan rawatan di hospital berhampiran.

Menurut beliau, racun sengatan tebuan sekiranya dibiarkan berlarutan boleh merebak cepat ke dalam darah sekali gus mengundang kerosakan organ dalaman yang kemudiannya membawa risiko kematian.

“Sekiranya seseorang diserang tebuan mahupun lebah, tutup kepala dengan baju dan segera berlari pantas ke tempat tertu­tup seperti rumah dan kende­raan untuk mendapatkan perlindungan.

“Jika sudah disengat pula, sebaiknya tempat gigitan tebuan itu ditekap dengan ais bagi mengecutkan saluran darah bagi  melambatkan serapan racun sebelum segera ke hospital. 

Thursday, August 24, 2017

Pencerobohan kian menjadi-jadi

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Maritim Malaysia (APMM) mendedahkan kegiatan segelintir rakyat tempatan berperanan sebagai petua­lang menjadi salah satu punca pencerobohan nelayan Vietnam di perairan negara semakin menjadi-jadi.

Terbaharu, penguat kuasa APMM berjaya menahan dua lagi bot nelayan dari negara itu kira-kira 100 batu nautika dari perairan Kuala Terengganu di sini pada Isnin lalu.

Pengarah Maritim Daerah Kuala Terengganu, Kepten Maritim Rahim Ramli berkata, pihaknya telah menyita kedua-dua bot berkenaan, peralatan dan hasil laut seberat tiga tan serta 11,000 liter minyak diesel yang keseluruhannya berjumlah RM2.4 juta.

“Penahanan kedua-dua bot nelayan itu merupakan kes ke-19 melibatkan nelayan warga Vietnam di perairan negeri ini sejak awal Januari lalu dengan keseluruhan rampasan mencecah RM60 juta.

“Risikan APMM mendapati, lambakan nelayan Vietnam menceroboh perairan negara disebabkan kekurangan sumber di perairan negara mereka selain peranan petualang disyaki terdiri daripada rakyat tempatan,” katanya pada sidang akhbar di Markas Maritim Daerah Kuala Terengganu di sini semalam.
Rahim berkata, dalam kes terbaharu itu, kapal APMM yang sedang melakukan rondaan telah mengesan dua bot nelayan dinaiki 21 awak-awak dipercayai warga Vietnam sedang melakukan penangkapan ikan menggunakan pukat ganding di kedudukan 100 batu nautika dari perairan Kuala Terengganu.

“Sebaik menyedari kehadiran kapal APMM, mereka bertindak memutuskan pukat ganding dan memecut bot nelayan masing-masing namun berjaya dipintas bot peronda kami kira-kira setengah jam kemudian.

“Modus operandi yang digunakan ialah mengecat bot mereka seperti milik nelayan tempatan selain mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera negeri Terengganu namun taktik itu gagal mengaburi mata APMM,” katanya.

Tambah beliau, kedua-dua bot nelayan itu tidak mempunyai permit daripada Jabatan Perikanan untuk menangkap ikan di perairan negara.
Katanya, kesemua 21 awak-awak warga Vietnam itu tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah selain lima daripada mereka disyaki remaja berusia 15 hingga 16 tahun.

“Lima remaja itu diserahkan kepada Jabatan Imigresen bagi diusir keluar dari negara ini.

“Baki 16 suspek direman selama 14 hari untuk membantu siasatan mengikut Akta Per­ikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Pelancong China mati lemas di Pulau Redang

KUALA TERENGGANU - Keseronokan dua pelancong warga China mandi-manda di Pantai Tanjung Tengah, Pulau Redang dekat sini semalam berakhir dengan tragedi apabila salah seorang daripada mereka mati akibat lemas.
Mayat Huang Qingfe, 21, yang berasal dari Zhejing, China dijumpai terapung pada pukul 10.50 pagi tadi selepas kira-kira 18 jam dia dilaporkan hilang sewaktu sedang mandi di lokasi kejadian.
Pengarah Maritim Wilayah Timur, Datuk Mamu Said Alee berkata, sewaktu kejadian, Qingfe sedang mandi-manda di pantai berkenaan bersama seorang lagi rakan lelakinya sebelum ditinggalkan bersendirian pada pukul 5 petang semalam.
"Selang lima minit selepas itu, rakan mangsa yang berada di pantai panik apabila tidak dapat melihat lagi kelibat lelaki tersebut.
"Dia kemudiannya memaklumkan kejadian itu kepada salah seorang pekerja resort mereka menginap sebelum maklumat itu disalurkan kepada pihak polis," katanya kepada pemberita di sini hari ini. - K! ONLINE

Tengkorak manusia dijumpai dalam hutan Pulau Perhentian

BESUT – Penduduk Pulau Perhentian Kecil gempar ekoran penemuan satu tengkorak manusia di kawasan hutan berhampiran Kampung Pasir Panjang di pulau peranginan itu di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata, tengkorak manusia itu ditemui oleh seorang pelancong Jermanyang memasuki hutan berkenaan untuk mengambil gambar panorama pada pukul 4.30 petang.

“Dua anggota polis dari Pondok Polis Pulau Perhentian bergegas ke lokasi kejadian sebaik mene­rima maklumat tersebut.

“Pemeriksaan awal turut menjumpai sepasang kasut berwarna hitam, sebuah beg galas berwarna hitam dan cermin mata berdekatan dengan lokasi penemuan tengkorak terbabit,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Mohd. Zamri berkata, pasukan forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu telah dipanggil untuk melakukan siasatan.
Menurut beliau, lokasi tengkorak itu dijumpai di dalam hutan di Kampung Pasir Panjang yang terletak kira-kira tiga kilometer dari jeti Pulau Perhentian Kecil.

“Tengkorak itu akan dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk dianalisis.

“Kita akan menyemak senarai orang hilang untuk membantu siasatan,” katanya.

Skuad endurance buru dua emas

PASUKAN Endurance kebangsaan diketuai Sultan Te­reng­ganu, Sultan Mizan Zainal Abidin akan membawa cabaran negara dalam acara endurance Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) yang membuka tirai di Taman Edu­rance Antarabangsa Terengganu (TIEP), Lembah Bidong, Setiu, Terengganu hari ini.

Perlumbaan disiplin edurance sejauh 80 kilometer itu menawarkan dua pingat emas iaitu individu dan berpasukan bermula pada pukul 3 pagi tadi.

Pasukan Edurance diwakili Sultan Mizan, Muhammad Fuad Hashim, Mohd. Adhwa Embong dan Azizatul Asma Abdullah, Mohd. Bulkhari Rozali dan Mohd. Yusran Yusuf.

Azizatul Asma, 21, berkata, pasukan negara telah berada dalam keadaan fizikal dan mental yang kukuh untuk memenuhi harapan ramai membolot kedua-dua pingat emas yang dipertandingkan dalam disiplin berkenaan.

Bekas penunggang remaja No. 1 itu dunia yang menunggang kuda bernama Mora Tishaka tersebut berkata, persiapan rapi telah dibuat dan keadaan kuda-kuda juga kini berada dalam keadaan baik.

“Secara peribadi, saya agak berdebar juga kerana ini kejohanan besar pertama yang disertai setelah berehat lama selama tiga tahun akibat kecederaan ketika menyertai kejohanan Edurance pada tahun 2014.

“Begitupun, saya berjanji akan melakukan sebaik mungkin untuk memenuhi harapan besar rakyat Malaysia,” katanya kepada ketika dihubungi Kosmo! Ahad di Setiu semalam.

Sementara itu, Muhammad Fuad, 27, berkata, impian besar untuk menyumbang dua pingat emas tersebut pasti mendapat tentangan sengit daripada empat negara yang turut mengambil bahagian iaitu Thailand, Kemboja, Brunei dan Singapura.

Beliau yang merupakan antara taruhan terbaik negara berkata, pencabar utama kontinjen Malaysia pastinya Thailand yang memiliki beberapa atlet bertaraf dunia.

Wednesday, August 23, 2017

Tengkorak manusia ditemui di dalam hutan Pulau Perhentian

Oleh MOHD. AZLI ADLAN


BESUT - Penduduk Pulau Perhentian Kecil gempar dengan penemuan satu tengkorak manusia di kawasan hutan berhampiran Kampung Pasir Panjang di pulau peranginan itu di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata, tengkorak terbabit ditemui oleh seorang pelancong Jerman yang memasuki hutan berkenaan untuk mengambil gambar panorama pada pukul 4.30 petang.
"Dua anggota polis dari Pondok Polis Pulau Perhentian bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat tersebut.
"Pemeriksaan awal turut menjumpai sepasang kasut berwarna hitam, sebuah beg galas berwarna hitam dan cermin mata berdekatan dengan lokasi penemuan tengkorak manusia terbabit," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini. - K! ONLINE

Murid SK Pulau Perhentian pacak Jalur Gemilang di dasar laut

BESUT - Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Perhentian dekat sini mencipta kelainan dalam menyemarakkan semangat patriotisme di kalangan muridnya dengan mengadakan aktiviti memacakkan Jalur Gemilang di dasar perairan pulau peranginan tersebut dekat sini hari ini.
Penolong Kanan Ko-Kurikulum SK Pulau Perhentian, Amri Awang Omar berkata, selaman skuba bagi memacak Jalur Gemilang di dasar laut pada kedalaman tujuh meter tersebut telah dilakukan empat murid tahun lima dengan iringan tujuh guru sekolah terbabit.
Beliau yang juga pengerusi program berkata, aktiviti Skuba Merdeka itu merupakan sebahagian acara Aspirasi Merdeka anjuran sekolah itu yang bertujuan memeriahkan sambutan Hari Kemerdekaan ke-60 yang bakal disambut 31 Ogos ini.
“Semua 11 peserta merangkumi tujuh guru dan empat murid terbabit mendapat bimbingan penyelam profesional dari Kelab Sea Sight Dive Club Centre bagi melakukan selaman skuba berkenaan.
“Jalur Gemilang itu dipacak dalam kedalaman tujuh meter di dalam dasar perairan Pulau Perhentian Besar berhampiran kawasan kincir angin yang menjadi tumpuan pelancong,” katanya kepada Kosmo! dekat sini hari ini. - K! ONLINE

‘Saya bersyukur, bangga sumbang emas buat negara’

SULTAN Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menzahirkan rasa syukur dan bangga dengan kejayaan pasukan endurance negara merangkul kedua-dua pingat emas yang dipertandingkan dalam disiplin tersebut pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) di Taman Endurance Antarabangsa Terengganu (TIEP), Lembah Bidong, Setiu semalam.

Baginda bertitah, kejayaan tersebut merupakan hasil kerja keras dan dedikasi kesemua anggota pasukan endurance negara termasuk mereka yang berada di belakang tabir.

“Pertamanya, saya bersyukur kepada Allah kerana semuanya selamat. Saya gembira kejohanan ini (endurance) dapat diadakan di Terengganu dan mendapat sambutan orang ramai.

“Saya juga rasa bangga dan berterima kasih kepada kerajaan negeri (Terengganu) yang telah memberi sokongan,” titah baginda selepas menamatkan perlumbaan sejauh 80 kilometer semalam.

Sultan Mizan bertitah, baginda berkenan untuk membawa cabaran negara dalam acara endurance pada KL2017 kerana kecintaan kepada sukan ber­kenaan dan kebetulan Terengganu pula terpilih sebagai venue pertandingan.

“Saya pernah mewakili negara dalam Piala Dunia (endurance). Ada kriteria yang perlu diikuti sebelum dipanggil mewakili negara (KL2017) mengikut sistem mata,” titah baginda.

Berkongsi pengalaman sewaktu bertanding, Sultan Mizan bertitah, baginda yang menunggang kuda RTES Annaversary bergerak bersama dua atlet negara lain iaitu Mohd. Bulkhari Rozali dan Mohammad Fuad Hashim hampir sepanjang masa perlumbaan.

“Kami bergerak sebagai satu pasukan dan berbual-bual semasa menunggang, jadi tidak berasa bosan,” titah baginda.

Baginda bertitah, kuda RTES Annaversary berusia 15 tahun yang ditunggangi baginda telah dipelihara sejak lapan tahun lalu.

“Saya pernah memenangi beberapa kejohanan sebelum ini dengan menunggang kuda Annaversary,” titah baginda.

Tuesday, August 22, 2017

Pengedar dadah diberkas di Kuala Besut

Oleh MOHD. AZLI ADLAN


BESUT - Seorang lelaki disyaki pengedar dadah berjaya diberkas polis dipercayai sewaktu sedang menunggu pelanggan di Kuala Besut dekat sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 10.01 pagi itu, tiga jenis dadah iaitu heroin, Erimin 5 dan pil kuda yang dianggarkan bernilai RM400 ditemui sewaktu suspek berusia 38 tahun diberkas.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata, sepasukan anggota polis yang sedang melakukan rondaan di sekitar pekan Kuala Besut telah terserempak dengan lelaki itu dalam keadaan mencurigakan.
"Sebaik menyedari kehadiran anggota polis terbabit, suspek tiba-tiba panik dan bertindak melarikan diri. Sewaktu dikejar anggota polis, dia didapati telah mengeluarkan sebuah beg kecil berwarna kelabu dari poket kanan seluarnya.
"Belum sempat suspek mencampakkan beg kecil tersebut, dia berjaya diberkas anggota polis terlibat," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini. - K! ONLINE

Skuad endurance cemerlang

PERKENAN Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin untuk kembali mengetuai pasukan negara bagi acara endurance Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL 2017) di Taman Endurance Antarabangsa Terengganu (TIEP), Lembah Bidong, Setiu semalam terbukti membawa tuah apabila Malaysia berjaya membolot dua pingat emas.

Tambah manis, baginda yang menunggang kuda RTES Annaversary meraih pingat emas bagi kategori individu selepas menamatkan perlumbaan dalam tempoh 3 jam 48 minit 38 saat (s).

Kuda RTES Annaversary yang ditunggang Sultan Mizan juga mencatat purata kelajuan 20.994 kilometer sejam yang juga rekod baharu Sukan SEA.

Baginda merupakan sultan pertama di negara ini yang menyertai dan memenangi pingat dalam kejohanan Sukan SEA.
Pingat perak kategori individu juga menjadi milik atlet negara menerusi Mohd. Bulkhari Rozali yang menunggang kuda JQ Tuan Junior dengan kelajuan 3:48.40s.

Biarpun seorang atlet negara, Mohammad Fuad Hashim menamatkan perlumbaan di tempat ketiga dengan kelajuan 3:48.42s, namun pingat gangsa terpaksa diserahkan kepada atlet Thailand, Khuntaraporn Warit.

Ia berikutan peraturan yang menetapkan hanya dua atlet endurance sesebuah negara layak naik ke podium bagi kategori individu.
Khuntaraporn yang menunggang kuda Shardell Prince Ali berjaya menamatkan perlumbaan dalam tempoh 4:16.5s.

Bagi kategori berpasukan pula, skuad negara turut gah merangkul emas dengan masa terkumpul keseluruhan 11:31.30s.

Pingat emas berpasukan diraih atlet negara menerusi Mohammad Fuad, Mohd. Adhwa Embong, Azizatul Asma Abdullah dan Mohd. Yusran Yusuf manakala Sultan Mizan dan Mohd. Bulkhari yang telah memenangi pingat dalam kategori individu dikecualikan berdasarkan peraturan pertandingan.

Catatan yang dilakukan pasukan endurance negara itu lebih pantas 4:37.52s daripada pasukan Thailand yang meraih pingat perak.

Pingat gangsa pula milik pasukan Kemboja yang berjaya menamatkan perlumbaan dalam tempoh 16:38.38s.

Selangor, Perak, Negeri Sembilan, Melaka diminta warta taman laut

Oleh MOHD. AZLI ADLAN


KUALA NERUS - Empat negeri iaitu Selangor, Perak, Negeri Sembilan dan Melaka dipohon untuk mewujudkan taman laut di kawasan masing-masing menjelang tahun 2020.
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, setakat ini, hanya empat peratus dari perairan negara merangkumi 42 pulau telah diisytiharkan sebagai taman negara sejak Jabatan Taman Laut ditubuhkan pada tahun 2007.
Beliau berkata, ia masih jauh daripada sasaran awal untuk menjadikan 10 peratus perairan negara sebagai taman laut pada tahun 2020.
"Kesemua negeri sudah memiliki taman laut masing-masing kecuali Selangor, Perak, Negeri Sembilan dan Melaka.
"Saya mohon kerajaan-kerajaan negeri tersebut memberi kerjasama kepada Jabatan Taman Laut untuk mewartakan taman laut masing-masing," katanya selepas merasmikan sambutan ulang tahun ke-10 Jabatan Taman Laut di Taman Laut Pulau Redang dekat sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Taman Laut, Datuk Dr. Sukarno Wagiman.
Pada majlis sama, program restorasi 8,300 fragmen batu karang di enam taman laut di seluruh negara termasuk Taman Laut Pulau Redang anjuran Jabatan Taman Laut dan 200 sukarelawan menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records sebagai program penanaman batu karang secara serentak terbesar. - K! ONLINE

Monday, August 21, 2017

Dua beradik terlibat kes bunuh ditahan selepas dua bulan diburu

BESUT – Pemburuan polis selama dua bulan ke atas suspek kes bunuh seorang pembantu kedai makan di Kampung Pengkalan Nyireh di sini pada Jun lalu akhirnya membuahkan hasil selepas berjaya menahan dua beradik baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata, kedua-dua lelaki berusia 22 dan 24 tahun itu ditahan di Ipoh dan Taiping, Perak pada Jumaat lalu.

“Suspek pertama berusia 24 tahun ditahan di sebuah perumahan di Ipoh manakala adiknya di Taiping. Siasatan awal mendapati mereka bersembunyi di sebuah premis di taman perumahan dua bandar berkenaan selepas melarikan diri pada hari kejadian.

“Penahanan kedua-dua suspek itu berjaya menyelesaikan kes pembunuhan Nik Mohd. Shahrulanuar Nek Der, 21, yang ditemui mati akibat ditetak sekumpulan lelaki di tapak pasar tani Kampung Pengkalan Nyireh di sini pada 21 Jun lalu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Besut di sini semalam.

Mohd. Zamri berkata, pasangan adik-beradik itu ditahan reman selama seminggu sehingga 19 Ogos ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Menurut beliau, sebelum ini, tiga lelaki berusia dalam lingkungan 23 hingga 30 tahun telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Setiu atas pertuduhan membunuh Nik Mohd. Shahrulanuar pada 25 Julai lalu.

“Siasatan awal juga tidak menolak kemungkinan kes pembunuhan Nik Mohd. Shahrulanuar ini mempunyai kaitan dengan kes kematian seorang tauke ikan, Daud@Wan Ahmad Wan Awang, 68, yang ditembak mati dua lelaki tidak dikenali pada 27 Julai lalu,” katanya.

Kosmo! pada 23 Jun lalu melaporkan Nik Mohd. Shahrulanuar maut ditetak oleh sekumpulan lelaki yang bersenjatakan pedang berpunca daripada salah faham antara mangsa dengan suspek.

Sunday, August 20, 2017

APMM tahan bot nelayan Vietnam ceroboh perairan Kuala Terengganu

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Maritim Malaysia (APMM) berjaya menahan sebuah bot nelayan Vietnam yang dipercayai menceroboh perairan negara untuk menangkap ikan pada Khamis lalu.
Bot nelayan asing yang membawa muatan 100 kilogram ikan alu-alu berjaya dipintas kapal peronda APMM pada kedudukan 67 batu nautika dari perairan Kuala Terengganu pada pukul 10.15 pagi.
Pengarah Maritim Terengganu, Rahim Ramli berkata, bot nelayan itu didapati telah melakukan aktiviti penangkapan ikan secara haram tanpa kebenaran Jabatan Perikanan.
Beliua berkata, pemeriksaan mendapati kesemua tujuh awak-awak termasuk tekong yang berusia dalam lingkungan 21 hingga 41 tahun tidak mempunyai dokumen penjalanan yang sah.
"Siasatan awal juga mendapati mereka juga tidak mempunyai lesen dan permit yang sah untuk menangkap ikan di perairan negara.
"Hasil ikan, bot dan peralatan yang dianggarkan bernilai RM200,000 telah disita ke Pengkalan Maritim Terengganu di sini," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini. - K! ONLINE

Ajal dirempuh lori tanah

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

DUNGUN – Malang menimpa seorang ibu tunggal apabila dia maut selepas motosikal ditunggangnya dilanggar oleh sebuah lori yang mengundur secara tiba-tiba di Kampung Paya Cik Lijah di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 10.30 pagi tersebut, Marini Ismail, 53, maut akibat kecederaan parah di kepala dan beberapa anggota badan.

Difahamkan pemandu lori berusia 24 tahun itu mengundurkan lori yang membawa muatan tanah secara tiba-tiba apabila ternampak sekatan jalan raya oleh pasukan penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Jalan Che Lijah di sini.

Pemandu lori terbabit dipercayai melakukan demikian kerana bimbang dikenakan tindakan undang-undang kerana tidak memiliki lesen Kenderaan Barang-Barang.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Mohd. Zailani Yaakob berkata, sewaktu kejadian, Marini dalam perjalanan ke bengkel membaiki kenderaan milik anaknya di Kampung Che Lijah dari rumahnya di Taman Rak­yat Jaya di sini.

“Siasatan awal mendapati lori dari Kampung Paya tiba-tiba mengundur sebaik tiba di persimpangan masuk ke Jalan Che Lijah.

“Lori itu kemudiannya merempuh motosikal ditunggang mangsa yang berada di belakangnya,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Mohd. Zailani berkata, rempuhan itu menyebabkan Marini yang merupakan ibu tunggal kepada empat anak tercampak sejauh beberapa meter dan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Menurut beliau, pemandu lori itu dibebaskan selepas keterangannya diambil. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Saturday, August 19, 2017

APMM tahan dua bot tempatan upah nelayan Vietnam tanpa permit, tangkap ikan yu secara haram

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KEMAMAN - Tindakan dua bot tempatan mengupah nelayan asing tanpa permit dan menangkap ikan yu untuk diambil siripnya secara haram membawa padah apabila ditahan penguat kuasa Maritim Malaysia (APMM) semalam.
Dalam kejadian pada pukul 9.36 pagi itu, dua bot yang dikendalikan 25 nelayan warga Vietnam tersebut juga didapati melakukan aktiviti menangkap ikan secara berganding yang merupakan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985.
Pegawai Memerintah Kapal Maritim (KM) Pekan, Robert Teh Geok Chuan berkata, kapal peronda APMM yang sedang melakukan rondaan telah terserempak dengan dua bot nelayan tersebut yang sedang menangkap ikan di Zon Ekonomi Eksklusif pada kedudukan 60 batu nautika dari perairan Kuala Kemaman dekat sini.
"Sebaik menyedari kehadiran kapal peronda APMM, awak-awak kedua-dua bot yang sedang menangkap ikan secara berganding secara spontan telah memotong tali pukat sebelum memecut laju bagi melepaskan diri.
"Begitupun, kecekapan pasukan penguat kuasa APMM berjaya menahan salah sebuah bot nelayan itu secara serta-merta manakala sebuah lagi bot pada mulanya berjaya melepaskan diri berjaya dipintas kira-kira sejam kemudian," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini. - K! ONLINE

Tauke balak didakwa rasuah


Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan KAMARIAH KHALIDI

KUALA TERENGGANU – Seorang tauke balak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas pertuduhan merasuah seorang pegawai Jabatan Perhutanan Terengganu dua bulan lalu.

Chow Kwee Chai, 47, dari Taman Bersekutu, Kemaman membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azman Mustapha.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amer Abu Bakar Abdullah manakala tertuduh pula tidak diwakili peguam bela.

Berdasarkan pertuduhan, Kwee Chai didakwa memberi suapan berupa wang tunai RM2,000 kepada seorang penolong pegawai Jabatan Perhutanan Terengganu di tepi jalan di Binjai, Kemaman.

Perbuatan itu didakwa sebagai dorongan agar tidak dikenakan tindakan undang-undang terhadap balak-balak yang terdapat di dalam sebuah lori milik tertuduh kerana tidak mempunyai cop tukul hasil.

Ketiadaan cop tukul hasil me­nunjukkan balak-balak terbabit dikeluarkan tanpa pembayaran cukai yang merupakan kesalahan mengikut Seksyen 68 Akta Perhutanan Negara 1984.

Dia didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sekurang-kurangnya lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Azman membenarkan dibebaskan dengan wang jaminan RM7,000 dan seorang penjamin serta menetapkan sebutan semula kes pada 14 September depan.

Kwee Chai membayar wang jaminan tersebut.

8,300 anak karang berjaya ditanam serentak

KUALA NERUS – Sebanyak 8,300 anak atau fragmen karang berjaya ditanam secara besar-besaran dalam program Restorasi Karang di enam Pusat Taman Laut (PTL) di seluruh negara semalam.
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, program konservasi Jabatan Taman Laut Malaysia (JTLM) itu bertujuan menjana semula kawasan yang telah mengalami kerosakan kepada kea­daan yang hampir semula jadinya.

Menurutnya, program Restorasi Karang yang dijalankan semalam melibatkan PTL Pulau Redang dan Pulau Perhentian di Terengganu, Pulau Tinggi (Johor), Pulau Tioman (Pahang) Pulau Payar (Kedah) serta Taman Laut Wilayah Persekutuan Labuan.

“Program ini menumpukan usa­ha konservasi di kawasan yang terumbu karangnya terjejas akibat pelbagai faktor,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Laut Sedunia peringkat kebangsaan di PTL Pulau Redang dekat sini semalam.

Wan Junaidi memberitahu, penjagaan terumbu karang di perairan negara secara berterusan amat penting demi kelestarian sumber laut kerana ia merupakan habitat kepada kepelbagaian hidupan marin.

Katanya, setakat ini, sebanyak 32,498 anak karang telah ditanam menerusi program Restorasi Karang di kawasan seluas kira-kira 2.7 hektar di 42 taman laut di seluruh negara sejak 2011.

“Malaysia telah diiktiraf sebagai salah satu daripada 12 negara di dunia yang telah disenaraikan sebagai negara mega biodiversiti.

“Kawasan perairan negara kita juga kaya dengan sumber marin seperti 1,394 spesies ikan karang dan 405 spesies karang yang me­rupakan khazanah berharga yang perlu dipulihara, dijaga dan diurus dengan baik,” ujarnya.

Friday, August 18, 2017

UMT anjur pameran ikan lut sinar

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS - Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di sini dengan kerjasama Muzium Biologi Laut dan Akuarium Nasional (NMMBA) Taiwan menganjurkan Pameran Ikan Lut Sinar yang julung kali diadakan di negara ini.
Naib Canselor UMT, Prof. Datuk Dr. Nor Aieni Mokthar berkata, pameran hampir 1,000 ikan lut sinar yang dibawa khas dari Taiwan tersebut terbuka kepada umum selama empat bulan mulai esok sehingga November depan dari pukul 9 pagi hingga 4.30 petang setiap hari kecuali cuti umum.
Beliau berkata, pengunjung akan menerima kad lut sinar bersaiz 8.5 sentimeter untuk kenangan.
"Pameran ikan lut sinar ini bertujuan untuk lebih mendekatkan masyarakat dengan bidang biologi menerusi pendekatan pendidikan dan penghayatan seni memandangkan cirinya yang menarik dan cantik.
"Penghasilan ikan lut sinar menerusi proses pengawetan penting untuk pengecaman spesies dan taksonomi ikan, mengenali sejarah evolusi kumpulan ikan dan mengkaji hubungan di antara setiap pengkelasan jenis ikan," katanya kepada pemberita di INOS, UMT di sini hari ini.
Majlis perasmian pameran yang disempurnakan Penasihat Sains Perdana Menteri, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Zakri Abdul Hamid berkenaan turut dihadiri Timbalan Menteri Pendidikan Taiwan, Dr. Tsai Ching-Hwa dan Pengurus Besar NMMBA, Dr. Chen Chii-Shiarng. - K! ONLINE

Thursday, August 17, 2017

Ibu maut dirempuh lori tanah yang mengundur tiba-tiba

DUNGUN - Seorang ibu tunggal maut selepas motosikal ditungganginya dilanggar oleh sebuah lori yang mengundur secara tiba-tiba di Kampung Paya Cik Lijah di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 10.30 pagi tersebut, Marini Ismail, 53, maut akibat kecederaan parah di kepala dan beberapa anggota badan.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Mohd. Zailani Yaakob berkata, sewaktu kejadian, Marini dalam perjalanan ke bengkel membaiki kenderaan milik anaknya di Kampung Che Lijah di sini dari rumahnya di Taman Rakyat Jaya di sini.
"Siasatan awal mendapati lori yang dipandu seorang lelaki berusia 24 tahun dari Kampung Paya tiba-tiba mengundur sebaik tiba di persimpangan masuk ke Jalan Che Lijah.
"Lori itu kemudiannya merempuh motosikal ditunggangi mangsa yang kebetulan berada di belakangnya," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini. - K! ONLINE

Tauke balak didakwa rasuah pegawai Jabatan Perhutanan Terengganu

KUALA TERENGGANU - Seorang tauke balak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merasuah seorang pegawai Jabatan Perhutanan Terengganu pada dua bulan lalu.
Chow Kwee Chai, 47, dari Taman Bersekutu, Kemaman membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azman Mustapha.
Berdasarkan pertuduhan, Kwee Chai didakwa memberi suapan berupa wang tunai RM2,000 kepada seorang penolong pegawai Jabatan Perhutanan Terengganu di Binjai, Kemaman.
Dia didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sekurang-kurangnya lima kali nilai suapan atau RM10,000 manakala yang lebih tinggi jika sabit kesalahan. - K! ONLINE

Pelajar UTHM maut motosikal rempuh pembahagi jalan

KEMAMAN – Seorang pelajar Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM) maut selepas motosikal jenis Yamaha FZ 150 yang ditunggangnya terbabas lalu merempuh pembahagi jalan di Kilometer 297.8, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran Kijal di sini kelmarin.
Dalam kejadian pukul 7.10 petang itu, Syahiram Hanis Mohamad (gambar), 22, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah pada kepala dan dada.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd. Said Ibrahim berkata, sewaktu kejadian, Syahiram Hanis yang sedang menjalani latihan industri dalam perjalanan pulang ke rumah keluarganya di Felda Seberang Tayor di sini dari sebuah syarikat penapisan minyak di Paka, Dungun.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal Yamaha FZ 150 yang ditunggang mangsa tiba-tiba hilang kawalan sehingga merempuh pembahagi jalan di tengah lebuh raya tersebut.

“Rempuhan kuat itu menyebabkan mangsa tercampak sejauh beberapa meter dan mengalami kecederaan parah yang menyebabkan kematiannya,” kata beliau kepada Kosmo! di sini semalam.

Mohd. Said membe­ritahu, difahamkan Syahiram Hanis baru menjalani latihan industri di sebuah syarikat sejak kira-kira dua minggu lalu dan berulang-alik dari rumahnya di Felda Seberang Tayor dengan menunggang motosikal itu.

Katanya, mayat pelajar UTHM itu kemudiannya dihantar ke Unit Forensik, Hospital Kemaman di sini untuk dibedah siasat.

Wednesday, August 16, 2017

Maut tunggang ‘super bike’ rakan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang peniaga maut selepas motosikal ‘super bike’ jenis BMW HP4 yang ditungganginya terbabas lalu merempuh pembahagi jalan di Jalan Bukit Jong-Paloh berhampiran Kampung Banggol Donas, Manir dekat sini kelmarin.

Dalam kejadian pada pukul 6.30 petang itu, Putera Edy Nurazeraf Abd. Aziz (gambar kecil), 33, yang berasal dari Kampung Losong Haji Mohd. meninggal dunia di tempat kejadian dalam keadaan mengerikan dengan kepala dan tangannya terputus.

Difahamkan, motosikal yang berharga kira-kira RM140,000 itu baru dibeli rakan mangsa sebelum Aidilfitri lalu.

Kelajuan maksimum motosikal ini ialah 300 kilometer sejam.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd. Rafar berkata, sewaktu kejadian, Putera Edy Nurazeraf difahamkan sedang menguji motosikal milik rakannya itu.
“Mangsa difahamkan menunggang motosikal berkuasa tinggi jenis BMW HP4 tersebut dari Kampung Kubang Jela hingga ke Kampung Jeram, Manir sejauh kira-kira empat kilometer.

“Sewaktu tiba di lokasi kejadian yang terletak berhadapan Kompleks Usahawan Terengganu, motosikal tersebut tiba-tiba hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh besi pembahagi jalan,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Menurut Idris, rempuhan kuat menyebabkan Putera Edy Nurazeraf mengalami kece­deraan parah termasuk kepala dan tangannya terputus dipercayai akibat terkena besi pembahagi jalan berkenaan.

Katanya, mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini untuk bedah siasat.

Tuesday, August 15, 2017

Dua kapal kargo Vietnam tangkap ikan secara haram ditahan APMM

Oleh MOHD. AZLI ADLAN


KUALA TERENGGANU - Maritim Malaysia (APMM) berjaya menahan dua kapal kargo Vietnam yang disyaki melakukan aktiviti penangkapan ikan secara haram di perairan negara baru-baru ini.
Sebuah kapal maritim APMM yang sedang melakukan rondaan telah terserempak dengan kedua-dua kapal kargo tersebut dalam keadaan mencurigakan pada kedudukan kira-kira 25 batu nautika dari perairan Kuala Terengganu pada pukul 1.50 petang, Jumaat lalu.
Pengarah Maritim Terengganu, Zainolabidin Jusoh berkata, sewaktu didekati kapal maritim APMM, kedua-dua kapal kargo terbabit didapati dalam keadaan merapat bagi melakukan aktiviti penangkapan ikan secara patrol yang telah diharamkan mengikut undang-undang negara ini.
"Salah sebuah kapal kargo terbabit melepaskan pukat sebelum memecut laju untuk melepaskan diri daripada ditahan pasukan penguat kuasa APMM tetapi berjaya dipintas pada kedudukan 37 batu nautika dari perairan Kuala Terengganu kira-kira sejam kemudian.
"Pemeriksaan mendapati kedua-dua kapal kargo Vietnam tersebut tidak mempunyai permit sah dan lesen perkapalan dalam negeri untuk berada di perairan negara," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Maritim Terengganu di sini hari ini. - K! ONLINE

Monday, August 14, 2017

Pengutip barang terpakai maut dipanah petir di kawasan pembuangan sampah

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU - Seorang pengutip barangan terpakai ditemui mati akibat di panah petir di sebuah kawasan pembuangan sampah di Batu 22, Jalan Kuala Berang-Ajil dekat sini semalam.
Mayat Sabri Mat Junoh, 51, dari Kampung Merbau Pulas, Ajil dekat sini ditemui di kawasan pembuangan sampah itu pada pukul 7.25 petang.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, mayat Sabri dijumpai dalam keadaan terlentang berhampiran sebuah pondok di kawasan pembuangan sampah tersebut oleh ahli keluarganya.
"Ahli keluarganya mencari mangsa selepas hujan lebat yang melanda daerah ini reda petang semalam (kelmarin) kerana terlalu risaukan dia yang tidak pulang ke rumah seperti biasa pada pukul 5 petang.
"Pemeriksaan pada mayat Sabri menjumpai kesan melecur seperti terbakar pada leher, tangan dan perutnya," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini. - K! ONLINE

Sistem transaksi tol elektronik sepenuhnya di LPT2

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) yang dikendalikan syarikat konsesi, PLUS Expressways Berhad menerusi anak syarikatnya LPT2 Sdn. Bhd. bakal melaksanakan sistem transaksi pembayaran tol secara elektronik sepenuhnya mulai 14 Ogos depan.

Pengurus Besar LPT2 Sdn. Bhd., Husni Md. Yusuf berkata, pelaksanaan itu menjadikan LPT2 sebagai lebuh raya ke-31 dan terakhir yang menggunakan sistem pembayaran tol tanpa tunai tersebut di negara ini.

Beliau berkata, sistem transaksi secara elektronik menggunakan kad Plusmiles, Touch n Go atau SmartTag berkenaan bakal melibatkan 10 plaza tol yang terdapat di LPT2 iaitu Cheneh, Chukai, Kijal, Kerteh, Paka, Dungun, Bukit Besi, Ajil, Telemung dan Kuala Terengganu.

“Buat masa ini, LPT2 dilalui oleh 14,000 pengguna yang majoritinya terdiri daripada Kelas Satu (kenderaan persendirian) setiap hari dan seramai 63.8 peratus pengguna lebuh raya ini sudah membayar tol dengan menggunakan sistem transaksi elektronik.

“Sehubungan itu, kita menjangkakan kebanyakan pengguna sudah bersedia dan pelaksanaan sistem transaksi tol secara elektronik sepenuhnya pada pertengahan bulan depan akan berjalan dengan lancar,” katanya pada taklimat media berhubung pelaksanaan sistem transaksi elektronik tersebut di sini semalam.

Husni berkata, sistem transaksi tol secara elektronik sepenuhnya itu disasar dapat mengurangkan sekurang-kurangnya 90 peratus ke­sesakan di LPT2 yang biasanya berlaku pada musim perayaan dan cuti persekolahan.

Sunday, August 13, 2017

Reka bentuk bangunan pejabat masa depan perlu lebih mesra penyusuan bayi

Oleh MOHD. AZLI ADLAN


KUALA TERENGGANU - Reka bentuk bangunan pejabat kerajaan pada masa depan dicadang agar lebih mesra penyusuan bayi bagi menggalakkan lagi pemberian susu ibu secara eksklusif sekurang-kurangnya sehingga usia enam bulan bayi dalam kalangan ibu bekerja.
Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr. Mohammad Omar berkata, biarpun kesedaran tentang kepentingan penyusuan secara sepenuhnya susu ibu telah meningkat kepada 47.1 peratus berbanding 14.5 peratus dalam tempoh 10 tahun namun masih terdapat kekangan besar terutama dalam kalangan ibu bekerja.
Beliau berkata, sebelum ini, kerajaan pernah menggalakkan majikan terutama pejabat kerajaan agar menyediakan pusat jagaan bayi yang membolehkan ibu bekerja menyusukan bayi mereka seketika pada waktu bekerja namun kurang berjaya kerana kekangan ruang.
"Walaupun inisiatif itu diberi insentif oleh kerajaan namun tidak banyak pejabat kerajaan dapat menyediakannya kerana reka bentuk bangunan tidak mengizinkannya.
"Oleh itu, saya mencadangkan reka bentuk bangunan pejabat kerajaan masa depan digalakkan lebih mesra bayi. Ia sama seperti mesra golongan OKU (orang kelainan upaya) yang menjadi dasar pembinaan bangunan kerajaan pada masa ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu beliau menghadiri majlis sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia peringkat negeri yang dirasmikan isteri Menteri Besar Terengganu, To' Puan Seri Halina Zakaria. - K! ONLINE