Translate

Friday, January 31, 2025

Jangan salah boikot, peniaga pukul OKU bukan usahawan FAMA

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) merayu orang ramai agar tidak memboikot Pasar Tani Chukai yang kebetulan terletak berhampiran lokasi lelaki orang kelainan upaya (OKU) mental dipukul pada minggu lalu.

Pengarah FAMA Terengganu, Muhammad Fadlee Hassan berkata, insiden sebenarnya berlaku di pasar pagi yang turut terletak di Padang Astaka, Chukai, Kemaman dengan waktu operasi sama iaitu 7 pagi hingga 12 tengah hari setiap Jumaat.

“Walaupun pasar pagi itu turut dipanggil pasar tani, tetapi ia dikendalikan persatuan penjaja setempat manakala Pasar Tani Chukai pula kelolaan FAMA.

“Saya juga ingin mengesahkan peniaga terlibat juga bukan usahawan FAMA dan tidak terlibat dalam mana-mana pasar tani kelolaan agensi kami,” katanya ketika memantau Pasar Tani Hiliran di sini hari ini.

Terdahulu segelintir pihak mengajak orang ramai memboikot perniagaan Pasar Tani Padang Astaka, Chukai ekoran insiden seorang lelaki OKU mental dipukul kerana melanggar sebuah gerai makanan panas pada 17 Januari lalu.

Muhammad Fadlee risau salah faham tersebut boleh menjejaskan perniagaan lebih 55 usahawan FAMA yang mencari rezeki di Pasar Tani Chukai.

Beliau berkata, usahawan FAMA yang berniaga di pasar-pasar tani tertakluk kepada peratutan ketat yang amat menjaga kepentingan dan keselamatan pelanggan.

“Setiap pasar tani FAMA mempunyai ahli jawatankuasa yang dibantu penyelia terdiri pegawai agensi kami sendiri.

“Sekiranya perkara sama (membelasah OKU) berlaku di pasar tani FAMA, tindakan buang akan terus diambil (terhadap peniaga terlibat),” katanya. – KOSMO! ONLINE

Lelaki curi telefon bimbit juruwang OKU diberkas

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

MARANG – Seorang lelaki ditahan bagi membantu siasatan mencuri telefon bimbit milik seorang juruwang dalam kalangan orang kurang upaya (OKU) tempang di Rhu Rendang di sini pada Selasa lalu.

Suspek berusia 29 tahun berjaya ditahan di Taman Batin Perdana, Kuala Neruspada pada keesokan harinya.

Ketua Polis Daerah Marang, Superintendan Mohd. Sofian Redzuan berkata, siasata awal mendapati suspek disyaki mencuri telefon bimbit jenis Samsung Galaxy milik juruwang OKU kategori fizikal terbabit yang diletakkan di kaunter pembayaran sebuah kedai runcit.

“Sebelum itu, suspek telah membeli rokok di premis perniagaan itu sebelum datang semula pada kira-kira 15 minit kemudian.

“Dia berpura-pura kononnya mahu membeli kad tambah nilai prabayar namun sejurus mangsa memberitahu tidak menjualnya, suspek tiba-tiba terus mengambil telefon bimbit terbabit,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Terdahulu tular klip video berdurasi 27 saat memaparkan suspek melarikan telefon bimbit OKU berkenaan di media sosial.

Mohd. Sofian berkata, suspek yang mempunyai rekod jenayah berkaitan mencuri berkenaan dipercayai telah melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal.

Beliau berkata, semakan juga mendapati lelaki itu pernah terlibat dalam kes penyalahgunaan dadah sejak tahun 2017. – KOSMO! ONLINE

Piala ACC: TFC hidupkan peluang ke separuh akhir

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Terengganu FC (TFC) menghidupkan peluang mara ke separuh akhir Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) selepas menang tipis terhadap PSM Makassar FC 1-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di sini malam tadi.

Kapten skuad Sang Penyu muncul wira apabila tenang menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-64.

Tuan rumah memperoleh penalti setelah percubaan Nurillo Tukhtasinov terkena tangan pemain gantian pelawat, Ananda Raehan Alief di dalam kotak penalti.

Terdahulu TFC bermula garang menggempur gawang PSM Makassar namun beberapa percubaan daripada Ismaheel Akinade, Safawi Rasid dan Tukhtasinov gagal menemui sasaran.

Keghairahan tuan rumah memburu kelebihan awal itu sedikit tersentak apabila pemain pertahanan, Shahrul Nizam Ros Hasni hampir bertampan masuk hantaran silang pemain pertahanan import lawan, Victor Luiz Filho pada minit ke-22.

PSM Makassar yang mula mendapat keyakinan mula menguji kubu skuad Sang Penyu dengan melakukan dua percubaan berbahaya menerusi Ricky Pramata dan Daisuke Sakai pada minit ke-31 dan 34.

TFC memperolehi peluang terbaik untuk mendahului namun dipersiakan Ismaheel pada minit ke-42 walaupun berhadapan situasi satu lawan satu dengan penjaga gol lawan, Reza Arya Pratama.

Skuad lawan dari Indonesia itu cuba mendapatkan gol penyamaan namun percubaan lencong Victor Luiz Filho berjaya ditepis penjaga gol TFC, Rahadiazli Rahalim pada minit ke-73.

Keputusan tersebut meletakkan skuad Sang Penyu naik ke tangga kedua Kumpulan A walaupun berkongsi tujuh mata dengan PSM Makassar, berbaki satu perlawanan dengan pendahulu, BG Pathum United dari Thailand. – KOSMO! ONLINE

Pesara rugi RM155,804, scammer suruh letak kad debit celah pokok

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang pesara kerajaan kerugian RM155,804 setelah diperdaya sindiket penipuan yang menyamar kononnya pegawai kanan Polis Diraja Malaysia.

Wanita berusia 68 tahun yang menyedari wang pencennya yang disimpan di akaun bank dan Tabung Hajinya lesap membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu pada pukul 3.35 petang semalam.

-Advertisement-

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya, wanita warga emas itu dihubungi suspek mendakwa kononnya pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang pada pukul 9 pagi, 16 Januari lalu.

“Suspek mendakwa mangsa memiliki waran tangkap bagi siasatan kesalahan pengubahan wang haram dan penyalahgunaan meter air yang dalam pemerhatian Bukit Aman.

“Mangsa kemudiannya diarahkan menyerahkan semua maklumat perbankan termasuk tiga kad debit miliknya kononnya untuk siasatan kewangan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini, hari ini.

Azli berkata, pesara wanita berkenaan juga akur dengan arahan suspek agar memasukkan semua kad debit miliknya ke dalam beg plastik.

Beliau berkata, beg plastik mengandungi kad debit itu kemudiannya diletakkan di celah sebatang pokok di hadapan rumah wanita tersebut.

“Mangsa terkejut telah menerima notifikasi pengeluaran wang simpanan di dalam tiga akaun banknya dan Tabung Haji daripada pihak bank,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Insiden pukul OKU tidak boleh berulang lagi – Anwar

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap insiden lelaki orang kelainan upaya (OKU) mental dipukul di Pasar Tani Padang Astaka, Kemaman pada Jumaat lalu tidak berulang lagi dan menjadi pengajaran buat semua.

Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin berkata, sikap segelintir individu yang tergamak memukul OKU di khalayak ramai sementara yang lain pula hanya melihatnya amat merisaukan Anwar.

-Advertisement-

“Yang Amat Berhormat Perdana Menteri (Anwar) tak nak (insiden) itu mencerminkan masyarakat kita.

“Kiranya kerana setitik nila, rosak susu sebelanga. Itu tidak menggambarkan masyarakat Terengganu, hanya segelintir yang tidak mempunyai kesabaran,” katanya selepas menziarahi mangsa, Ahmad Nor Faizan Jusoh, 47, di Wad Psikiatri Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini hari ini.

Beliau turut menyantuni isteri mangsa, Faridah Abdul Karim, 44, dan anak-anaknya.

Azman berkata, Pejabat Perdana Menteri menyerahkan kepercayaan penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk melengkapkan siasatan kes tersebut.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, Ahmad Nor Faizan atau Paijang dilihat sudah semakin pulih dan dijangka dibenarkan keluar wad dalam tempoh terdekat.

“Isterinya (Faridah) nampak gembira dapat bertemu suaminya dan mereka berborak bersama-sama,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

TFC dilanda masalah kecergasan

Oleh MOHD AZLI ADLAN

PENGENDALI Terengganu FC (TFC), Badrul Afzan Razali meluahkan kebimbangan tentang kecergasan anak-anak buahnya menjelang aksi Liga Super menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin malam ini.

Beliau berkata, sebahagian besar pemain-pemainnya dalam keadaan keletihan setelah melalui dua aksi berintensiti tinggi dalam tempoh seminggu ini.

“Kami menghadapi JDT di separuh akhir pertama Piala Malaysia pada Jumaat minggu lalu sebelum menentang PMS Makassar dalam saingan Piala Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) kelmarin (pada Rabu lalu).

“Rehat cuma 72 jam untuk membuat persiapan sebelum bertemu semula JDT dalam aksi Liga Super malam esok (malam ini),” katanya semalam.

Begitupun, Badrul Afzan merasakan kekangan itu tidak akan dijadikan alasan buat skuad Sang Penyu untuk ‘membuang’ aksi tersebut dengan bermain sambil lewa.

Bekas pemain tengah Terengganu itu berkata, perlawanan berkenaan penting bagi TFC kekal di kedudukan empat teratas Liga Super.

“Saya akan melakukan sedikit rombakan bagi memberi ‘kesegaran’ kepada pasukan.

“Ia turut mengambil kira dua lagi aksi penting iaitu separuh akhir kedua Piala Malaysia dan perlawanan terakhir Kumpulan A Piala ACC berlangsung minggu depan yang tidak kurang pentingnya,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, jaminan TFC tidak akan memberi laluan mudah buat JDT membawa pulang tiga mata biarpun tewas 0-4 dengan lawan sama dalam aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia minggu lalu.

“Kedua-duanya (Piala Malaysia dan Liga Super) adalah saingan yang berbeza. Lagipun kami telah mendapat ‘tonik’ setelah menewaskan PSM Makassar pada aksi Piala ACC,” katanya.

Paijang mengadu kesan lebam kena pukul kepada rakan sekolah

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Lelaki orang kelainan upaya (OKU) mental yang cedera dipukul di Pasar Tani Padang Astaka, Kemaman ceria diziarahi rakan-rakan sekolah di Wad Psikiatri Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini hari ini.

Ahmad Nor Al Faizan Jusoh, 47, yang merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Abdul Malek kelihatan terharu dan mengalirkan air mata sebak sambil memeluk seorang demi seorang rakan sekolahnya yang sebahagiannya sudah lama tidak bertemu.

Rakan-rakan lelaki itu termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir. Saiful Azmi Suhaili menemani Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim menziarah mangsa.

Maliaman berkata, Ahmad Nor Al Faizan atau lebih mesra dipanggil Paijang dengan sayu menunjukkan kesan kecederaan dialaminya akibat insidennya pada Jumaat lalu.

“Dia (Paijang) tunjuk luka-luka, lebam pada mata dan tangan serta kesan-kesan kena sepak dan pukul kepada saya dan rakan-rakan sekolahnya.

“Dia bersemangat mahu bercerita mengimbas semula insiden berlaku, tetapi saya potong, alih cerita lain. Takut dia makin tertekan apabila terkenang peristiwa itu,” katanya ketika ditemui di HSNZ di sini hari ini.

Maliaman berkata, berdasarkan cerita rakan sekolahnya, Paijang merupakan pelajar yang memperolehi keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Dia berkata, nasib mangsa tidak baik apabila menghadapi tekanan berat sehingga disahkan menghidap bipolar sewaktu melanjutkan pelajaran di sebuah universiti awam di Lembah Klang pada 1999.

“Walaupun Paijang nampak gembira jumpa rakan-rakan sekolahnya, saya pasti dia trauma. Begitu juga isteri dan anak-anaknya.

“Saya mohon jangan provokasi lagi mereka. Anak isteri dia juga ada maruah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Duit gadaian barang kemas RM214,700 lebur ditipu scammer

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang peniaga sayur yang sanggup menggadaikan barangan kemasnya demi meraih keuntungan pelaburan kononnya berkali ganda berputih mata kerugian RM214,700 apabila dia terperdaya dengan skim pelaburan tidak wujud.

Wanita berusia 54 tahun yang berniaga di sebuah pasar basah di Kuala Nerus tersebut membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu pada pukul 7.24 malam semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya, peniaga wanita itu tertarik dengan skim pelaburan tersebut yang diiklan di laman Facebook.

“Mangsa kemudiannya menekan pautan diberikan sebelum diminta menghubungi seorang wanita yang mengaku kononnya ketua pelaburan skim berkenaan.

“Dia diyakinkan kononnya skim pelaburan tersebut mampu menawarkan keuntungan RM30,000 dalam tempoh sesingkat tiga jam dengan bermodalkan cuma RM500,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Azli berkata, wanita itu terpengaruh dengan tawaran keuntungan sehingga 6,000 peratus itu mula membuat pelaburan awal RM500.

Beliau berkata, mangsa semakin gelap mata apabila dimaklumkan sudah mendapat keuntungan selang beberapa jam mengeluarkan modal awal pelaburan berkenaa dengan syarat membuat pembayaran lagi.

“Mangsa menuruti arahan suspek menerusi 42 transaksi ke 16 akaun bank berasingan antara Disember tahun lalu hingga 21 Januari lalu,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Peluang makin cerah ke separuh akhir

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

TERENGGANU FC (TFC) menghela nafas lega apabila berjaya mencapai misi menewaskan pendahulu Kumpulan A, PSM Makassar FC 1-0 pada aksi keempat Piala Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC).

Kemenangan berharga itu melonjakkan skuad Sang Penyu ke tangga kedua kumpulan sekali gus menghidupkan semula harapan untuk melangkah ke separuh akhir.

Ketua Jurulatih TFC, Badrul Afzan Razali berkata, penalti yang disempurnakan kapten pasukan, Safawi Rasid pada minit ke-62 memberi kelegaan besar buat skuad kendaliannya.

“Saya akui tempo permainan pemain-pemain agak perlahan pada malam ini (kelmarin) terutama pada separuh masa pertama.

“Kita juga menunjukkan kelemahan ketara dalam penyudahan apabila lapan percubaan ke pintu gol lawan gagal disempurnakan,” katanya selepas perlawanan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus kelmarin.

Begitupun, Badrul Afzan tidak menyalahkan sepenuhnya kepada anak-anak buahnya yang jelas agak keletihan berikutan jadual padat sejak akhir-akhir ini.

Beliau berkata, mereka baru lima hari berhempas pulas menentang juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia pada Jumaat minggu lalu.

“Apapun saya percaya pemain-pemain telah memberi segalanya dan kita perlu memandang ke hadapan bagi aksi seterusnya.

“Mereka telah menunjukkan semangat juang tinggi apabila berjaya memberikan tekanan terhadap PSM Makassar pada separuh masa kedua,” katanya.

Badrul Afzan berkata, anak buahnya juga berjaya mengekang pemain-pemain kelab Indonesia terbabit yang gemar bermain dalam tempo permainan laju.

Beliau berkata, skuad kendaliannya bijak mematikan setiap serangan balas barisan serangan PSM Makassar.

TFC dan PSM Makassar kini berkongsi tujuh mata, namun skuad Sang Penyu memiliki kelebihan perbezaan gol dengan pendahulu Kumpulan A kini diambil alih BG Pathum United dari Thailand.

Bukan tulang manusia, mungkin kuda

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Pemeriksaan forensik terhadap 34 serpihan tulang yang dijumpai di Pantai Batu Burok 2 di sini sebentar tadi mengesahkan ia bukan rangka manusia.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, kesimpulan itu dibuat selepas pemeriksaan dilakukan Pakar Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Dr. Siti Wira Md. Yaro.

“Pakar forensik HSNZ tersebut selesai melakukan bedah siasat terhadap tulang-tulang tersebut pada pukul 11 pagi tadi.

“Ia disahkan bukan tulang manusia berdasarkan bentuk, ketebalan dan panjangnya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Azli berkata, setakat ini, tulang-tulang tersebut dipercayai milik haiwan yang agak mirip dengan kuda.

Beliau berkata, sampel tulang tersebut akan dihantar ke Jabatan Kimia bagi tindakan selanjutnya.

Terdahulu pengunjung Pantai Batu Burok 2 di sini gempar dengan penemuan serpihan tulang yag pada mulanya disangka rangka manusia.

Penemuan serpihan tulang terbabit di dalam kawasan semak berhampiran longkang di belakang sebuah kuarters agensi kerajaan yang tidak berpenghuni dimaklumkan kepada pihak berkuasa pada pukul 10.10 malam. – KOSMO! ONLINE

Thursday, January 23, 2025

Insiden OKU dipukul, KPM perkasa pendidikan kanak-kanak keperluan khas

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Insiden lelaki orang kelainan upaya (OKU) mental dipukul di Pasar Tani Padang Astaka, Kemaman minggu lalu meningkatkan iltizam Kementeri Pendidikan Malaysia (KPM) untuk terus memperkasa pendidikan buat kanak-kanak keperluan khas.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, penyediaan pendidikan inklusif kepada semua termasuk kanak-kanak keperluan khas menjadi komitmen besar KPM bagi memastikan golongan itu tidak terpinggir dalam masyarakat.

-Advertisement-

“Aspek pendidikan sangat diambil berat dengan infrastruktur di sekolah-sekolah keperluan khas menjadi keutamaan.

“Komitmen besar kita agar anak-anak (keperluan khas) ini tidak terpinggir,” katanya ketika ditemui pada majlis Ramah Mesra bersama Warga Institut Pendidikan Guru Dato’ Razali Ismail di sini hari ini.

Fadhlina berkata, salah sebuah pusat Permata baharu yang khusus untuk anak-anak autistik juga akan dibina di Terengganu.

Beliau berkata, KPM juga akan terus menanam sahsiah berempati dan mengambil berat terhadap OKU dalam kalangan murid dan pelajar agar dapat mewujudkan generasi masa depan yang lebih cakna dengan golongan kurang bernasib baik terbabit.

Dalam perkembangan sama, Fadhlina berkata, KPM mengambil perhatian serius kepada dua anak mangsa masih bersekolah yang sudah pasti terkesan teruk dengan insiden menimpa bapa mereka.

“Saya sudah minta Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah menziarah dan memberi kaunseling kepada anak-anak ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Wednesday, January 22, 2025

Terengganu FC galas misi hidup mati

Oleh MOHD AZLI ADLAN

TERENGGANU FC (TFC) tiada pilihan selain menyempurnakan misi wajib menang terhadap PSM Makassar FC pada aksi keempat Kejohanan Kelab ASEAN (ACC) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus malam ini.

Pengendali TFC, Badrul Afzan Razali berkata, skuad kendaliannya perlu mengutip tiga mata bagi menghidupkan semula harapan mara ke separuh akhir.

“Wajib menang kalau tidak, sudah boleh lupakan impian melangkah ke peringkat separuh akhir kejohanan ini.

“Penting untuk menjaringkan gol awal bagi membunuh rentak permainan pasukan lawan sekali gus memenangi perlawanan,” katanya pada sidang akhbar semalam.

Badrul Afzan berkata, skuad Sang Penyu akan kembali diperkuatkan dengan kapten, Safawi Rasid dan pemain pertahanan Harimau Malaya, Azam Azmi Murad.

Beliau berkata, mereka juga harus melupakan kekecewaan kekalahan 0-4 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) pada separuh akhir pertama Piala Malaysia pada Sabtu lalu untuk bangkit dalam aksi malam ini.

“Kami telah berlatih untuk membaiki kesilapan dilakukan pada separuh akhir Piala Malaysia terutama melibatkan situasi bola mati.

“Kelemahan tersebut perlu diatasi dan tidak diulangi dalam aksi malam esok kerana PSM Makassar juga memiliki kelebihan sama dalam situasi bola mati,” katanya.

Bintang import TFC, Manuel Ott berkata, dia dan rakan sepasukan mahu melupakan kekalahan dengan JDT pada separuh akhir pertama Piala Malaysia.

Pemain tengah Filipina itu mahu membuka ‘buku baharu’ dan menembus kehampaan dengan menewaskan PSM Makassar bagi menceriakan semula peminat tegar TFC.

Skuad Sang Penyu kini berada di tangga keempat kumpulan A dengan empat mata sementara PSM Makassar dari Indonesia gah menerajui carta menerusi tujuh mata.


PSM Makassar tidak pandang rendah

Oleh MOHD AZLI ADLAN

BIARPUN medahului kumpulan A Kejohanan Kelab ASEAN (ACC), PSM Makassar FC tidak memandang mudah pertemuan dengan Terengganu FC (TFC) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin malam ini.

Pengendali PSM Makassar, Bernardo Tavares berkata, anak buahnya perlu bekerja keras untuk mencuri tiga mata di gelanggang keramat skuad Sang Penyu tersebut.

-Advertisement-

“TFC merupakan skuad berkualiti yang mempunyai pemain-pemain kebangsaan bukan sahaja Malaysia, malah Filipina dan Uzbekistan.

“Mereka cuma tidak bernasib dalam dua perlawanan awal kumpulan sehingga keciciran mata walaupun bermain baik,” katanya pada sidang akhbar pra perlawanan di Kuala Nerus semalam.

Tavares berkata, skuad kendaliannya yang berada di tangga kelima Liga 1 Indonesia berkunjung ke Terengganu tanpa beberapa pemain utama yang cedera selain kurang rehat ekoran jadual perlawanan agak padat.

Begitupun, beliau menegaskan ia bukan isu besar kerana PSM Makassar memiliki skuad besar dengan ramai pilihan pemain.

“Sudah pasti kami berkunjung ke Terengganu bukan untuk seri tetapi cuba untuk menang.

“Begitupun, saya sedar ia bukan mudah dengan beberapa pemain lawan seperti Safawi Rasid, Akhyar Rasid dan Azam Azmi Murad perlu diberi perhatian,” katanya.

Penyerang PSM Makassar, Nermin Haljeta pula berkata, dia dan rakan sepasukannya sudah mengkaji corak permainan TFC.

Dia yang sudah menjaringkan dua gol dalam kejohanan itu berjanji akan mencuba sehabis baik untuk merobek gawang skuad Sang Penyu pada malam ini.

Permohonan pertukaran guru duka lara dibuka sepanjang tahun

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terus komited mengatasi isu guru duka lara dengan membuka permohonan pertukaran guru sepanjang tahun.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, ia menunjukkan kesungguhan dan keprihatinan KPM bagi menangani isu tersebut.

-Advertisement-

“Permohonan (penukaran guru) kita buka sepanjang tahun tetapi penukaran itu mesti berlaku sewaktu cuti sekolah.

“Tertinggi kita tangani (penukaran guru) ialah pasangan jarak jauh. Kita juga beri keutamaan terhadap alasan keselamatan dan kesihatan,” katanya di Institut Pendidikan Guru (IPG) Dato’ Razali Ismail di sini hari ini.

Terdahulu beliau ditemui pada majlis Ramah Mesra bersama Pelajar IPG Dato’, Razali Ismail berkenaan.

Fadhlina berkata, penukaran guru hanya boleh berlaku pada musim cuti persekolahan bagi tidak mengganggu pembelajaran dan pengajaran murid serta pelajar sekolah terlibat.

Beliau berkata, kelulusan penukaran guru tersebut turut mengambil kira keperluan serta kesan terhadap profesionalisme perguruan dan sistem pendidikan negara.

“Tidak benar (KPM lambat menangani permohonan guru duka lara), semua permohonan perlu mengikut proses ditetapkan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Pengurusan masjid siap sedia jadi ‘tuan rumah’

KUALA TERENGGANU – Masjid Al Muktafi Billah Shah yang terletak di Ladang di sini telah bersedia untuk menjadi lokasi hukuman sebatan kepada pesalah khalwat berulang yang akan dilaksanakan hari ini.

 Pelaksanaan sebatan sebanyak enam kali terhadap duda anak lima, Mohd. Affendi Awang, 42, akan dilakukan di dalam Dewan ‘Aasim masjid itu. 

Tinjauan Kosmo! mendapati persiapan rapi sedang giat diadakan oleh kira-kira 20 kakitangan Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu. 

Mereka yang dibantu beberapa pegawai Masjid Al Muktafi Billah Shah dilihat menyediakan kaunter pendaftaran dan memasang tali penghadang di luar dewan. 

 Notis larangan merakam gambar dan video sepanjang pelaksanaan hukuman juga ditampal di sekeliling pekarangan dewan tersebut. 

 Pengurus Eksekutif Pengurusan Masjid Al Muktafi Billah Shah, Amir Sabri Abd. Ghani berkata, perjalanan pelaksanaan hukuman sebat khalwat berulang akan diuruskan sepenuhnya oleh Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu dan Jabatan Penjara. 

 “Pengurusan masjid cuma menyediakan tempat (pelaksanaan hukuman sebat syariah). Perjalanan hukuman tersebut dan kawalan keselamatan diserahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa berkaitan,” katanya. 

 Amir Sabri berkata, kebiasaannya seramai 1,800 jemaah akan menunaikan solat Jumaat di masjid tersebut. 

 Mohd. Affendi dijatuhi hukuman enam sebatan itu selepas mengaku bersalah atas kesalahan berkhalwat buat kali ketiga di Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu pada 20 November lalu.

Tuesday, January 21, 2025

Duda khalwat disebat hari ini

KUALA TERENGGANU – Seorang duda anak lima yang menjadi pesalah khalwat berulang akan menjalani hukuman sebat di khalayak ramai sebaik sahaja solat Jumaat selesai di Masjid Al Muktafi Billah Shah di sini hari ini. 

 Mohd. Affendi Awang, 42, menjadi pesalah pertama menjalani hukuman seumpama itu sejak penguatkuasaan Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022 dikuatkuasakan awal tahun ini. 

Pindaan seksyen tersebut membenarkan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu menjatuhkan hukuman maksimum enam sebatan, denda RM5,000 atau penjara tiga tahun kepada pesalah kes khalwat buat kali kedua dan seterusnya. 

 Hukuman sebat itu hanya akan disaksikan 70 individu termasuk sebahagiannya merupakan pengamal media yang telah diberikan pas khas selain telah mendaftar pengesahan kehadiran kepada Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu pada Selasa lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri Terengganu, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, hukuman sebatan terhadap pesalah takzir dilakukan sebagai pengajaran agar orang lain tidak mengulanginya. 

Katanya, ia juga untuk memberi pendedahan kepada masyarakat perbezaan antara sebatan sivil dan syariah. 

“Sebatan syariah tidak bertujuan menghukum sebaliknya memberi keinsafan dan pengajaran kepada pesalah serta masyarakat. 

“Rotan yang digunakan cuma setebal 1.25 sentimeter dan sepanjang maksimum 1.22 meter mengikut Seksyen 125, Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2001,” katanya. 

Menurut Muhammad Khalil, tukang sebat merupakan pegawai penjara yang diwajibkan merotan pada kekuatan sederhana tanpa boleh mengangkat tangan melebihi kepalanya bagi mengelakkan kulit pesalah terluka. 

Hukuman sebat terbabit sepatutnya dilaksanakan pada 6 Disember lalu namun terpaksa ditunda selama tiga minggu ekoran semakan keputusan hukuman tersebut yang difailkan dalam tempoh kira-kira 48 jam sebelum pelaksanaannya. 

“Hukuman itu kekal dilakukan di masjid berkenaan ekoran keputusan Mahkamah rayuan Syariah Terengganu yang bersetuju keputusan menjatuhkan hukuman menetapi Seksyen 18 Enakmen Mahkamah Syariah (Terengganu) 2001 pada 11 Disember lalu,” katanya. 

Terdahulu Mohd. Affendi dijatuhi hukuman enam sebatan itu selepas mengaku bersalah atas kesalahan berkhalwat buat kali ketiga di Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu pada 20 November lalu. 

 Sebelum ini, tukang rumah tersebut juga pesalah pertama yang dijatuhkan hukuman sebat akibat kesalahan berkhalwat buat kali kedua pada 20 Februari lalu. 

 Hukuman empat sebatan tersebut telah selesai dilaksanakan di dalam Penjara Marang sebelum Mohd. Affendi ditangkap sekali lagi dengan wanita lain di sebuah rumah di Kemaman pada pukul 1.40 pagi, 16 Jun lalu. 

 Penasihat Persatuan Peguam Syarie Terengganu, Fazrul Anuar Yusof pula menjelaskan, hukuman sebatan syariah jauh berbeza daripada sivil daripada segi pelaksanaan dan matlamatnya. 

 Dalam pada itu, Ketua Polis Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, kesemua 70 individu itu tidak boleh membawa sebarang gajet. 

 Beliau berkata, rakaman video mahupun gambar tidak dibenarkan.

 “Pemeriksaan ketat akan dikenakan. Seramai 40 pegawai dan anggota polis juga akan ditempatkan berkawal di pekarangan masjid. 

 “Jemaah boleh segera beredar selepas solat Jumaat,” katanya

Monday, January 20, 2025

Selesai enam sebatan dalam 2 minit

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

KUALA TERENGGANU – Selepas lebih sebulan menunggu akhirnya duda anak lima menjalani hukuman sebat depan khalayak ramai di dalam masjid atas kesalahan khalwat berulang di Dewan ‘Aazim Masjid Al Muktafi Billah Shah di sini semalam. 

Mohd. Affendi Awang, 42, menjalani hukuman sebat sebanyak enam kali di hadapan Timbalan Pengarah Penjara Marang, Mohd. Irwan Awang. 

Tukang rumah yang memakai pakaian lokap berwarna merah dan memakai pelitup muka itu kelihatan tenang dan reda sewaktu menerima hukuman itu yang mengambil masa kira-kira dua minit bermula pukul 2.50 petang. 

Dia menjalani hukuman itu dalam keadaan berdiri membelakangi sebuah meja mengikut Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022. 

Bahagian belakang Mohd. Affendi dirotan oleh seorang tukang sebat lelaki dari Jabatan Penjara Marang. 

 Terdahulu, Mohd. Affendi dibawa pekarangan masjid dengan menaiki van sebelum menjalani pemeriksaan kesihatan oleh pakar perubatan pada pukul 2.30 petang. 

Dia yang kini menjalani hukuman penjara enam bulan dibawa keluar setelah selesai menunaikan solat Jumaat di Penjara Marang pada pukul 1.45 petang. 

Seramai 90 individu termasuk pengamal media dibenar memasuki dewan masjid untuk menyaksikan pelaksanaan hukuman tersebut. 

Kesemua mereka turut melalui prosedur ketat termasuk perlu menyerahkan telefon bimbit masing-masing kepada pegawai Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu. 

Terdahulu, Mohd. Affendi dijatuhi hukuman enam sebatan dan denda RM4,000 atau penjara enam bulan jika gagal membayarnya oleh Hakim Kanan Syarie, Kamalruazmi Ismail atas kesalahan berkhalwat buat kali ketiga di Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, 20 November lalu. 

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa berkhatwat dengan seorang wanita berusia 52 tahun yang bukan isteri dan mahramnya sekali gus menimbulkan syak perbuatan tidak bermoral di sebuah rumah di Pengkalan Ranggon, Kemaman pukul 1.40 pagi pada 16 Jun lalu. 

Mengikut fakta, serbuan dilakukan pasukan penguat kuasa Jabatan Hal Agama Islam Terengganu mendapati Mohd. Affendi berdua-duaan bersama wanita terbabit di ruang tamu rumah berkenaan. 

Dia didakwa mengikut Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022 yang memperuntukkan hukuman sebatan sehingga enam kali, denda maksimum RM5,000 atau tiga tahun penjara boleh dikenakan bagi kesalahan khalwat bagi kali kedua dan seterusnya berkuat kuasa 1 Januari lalu. 

Sebelum itu, Mohd. Affendi menjadi pesalah pertama dikenakan hukuman sebatan atas kesalahan melakukan kesalahan khalwat berulang oleh Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, 19 Februari lalu.

 Dia dijatuhi hukuman empat sebatan dan denda RM3,000 ke atas tertuduh oleh Hakim Syarie Hamidi Shafie setelah mengaku bersalah berkhalwat dengan seorang wanita berusia lingkungan 30-an antara pukul 1.10 pagi hingga 2.15 pagi, 25 Januari lalu.

 Mohd. Affendi yang mempunyai lima anak berusia 16 tahun hingga 21 tahun juga pernah didenda RM2,700 juga atas kesalahan berkhalwat oleh Mahkamah Rendah Syariah Kemaman pada 11 Julai 2023. 

Hukuman sebat di khalayak ramai itu sepatutnya dilaksanakan pada 6 Disember lalu, namun terpaksa ditangguhkan ekoran permohonan semakan. 

 Panel hakim Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu yang bersidang pada 11 Disember lalu kemudiannya sebulat suara bersetuju keputusan menjatuhkan hukuman itu menetapi Seksyen 18 Enakmen Mahkamah Syariah (Terengganu) 2001 pada 11 Disember lalu.

Sunday, January 19, 2025

Sebat takzir pesalah khalwat jadi panduan syariah

KUALA TERENGGANU – Hukuman sebat takzir di khalayak ramai terhadap pesalah khalwat berulang di Masjid Al Muktafi Billah Shah, di sini kelmarin, diharap dapat menjadi panduan pelaksanaan undang-undang syariah pada masa hadapan. 

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, hukuman enam sebatan terhadap duda anak lima itu bukan semata-mata menghukum sebaliknya sebagai pendidikan dan pencegahan kepada masyarakat agar lebih mendekati nilai-nilai Islam. 

“(Kerajaan Negeri) Terengganu kekal komited menjunjung amanah ini dengan memastikan segala dilakukan selaras dengan syariat Allah dan undang-undang negara. 

“Semoga usaha ini menjadi contoh pelaksanaan syariah yang membawa rahmat kepada seluruh rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebook kelmarin. 

 Beliau juga berpuas hati dengan pelaksanaan hukuman sebat terhadap Mohd. Affendi Awang, 42, yang berjalan lancar dengan penuh tertib dan mematuhi prinsip keadilan Islam.

 “Kelancaran tersebut disebabkan kecekapan agensi terlibat yang bersungguh-sungguh memastikan pelaksanaan hukuman itu berjalan secara telus, adil dan penuh hikmah.

 “Saya ucap penghargaan kepada semua pihak terlibat termasuk Mahkamah Syariah (Terengganu), Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, Ja batan Penjara, Polis Diraja Malaysia, pengurusan masjid dan Jabatan Kesihatan negeri,” katanya. 

Kosmo! semalam melaporkan Mohd. Affendi selesai menerima hukuman enam sebatan dalam tempoh dua minit di Masjid Muktafi Billah Shah, Kuala Terengganu.

Warga emas didakwa perkosa gadis 19 tahun

KUALA TERENGGANU – Seorang lelaki warga emas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas pertuduhan memperkosa seorang wanita berusia 19 tahun di Ajil, Hulu Terengganu pada dua bulan lalu. 

Tertuduh, Razali Mamat, 69, membuat pengakuan tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Zul Zakiqudin Zulkifli. 

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa memperkosa mangsa di sebuah rumah di sebuah kampung di Ajil, Hulu Terengganu pada pukul 9.30 pagi, 28 Oktober lalu. 

Dia didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan. 

Mahkamah membenarkan Razali dibebaskan dengan wang jaminan RM12,000 dan seorang penjamin.

 Tertuduh juga dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan sehingga prosiding kes selesai.

Mahkamah juga mengarahkan Razali melapor diri di balai polis berhampiran pada setiap bulan dan menetapkan sebutan semula kes pada 23 Januari depan. 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noradila Ab. Latif, manakala tertuduh pula diwakili peguam, Mohd. Shahir Mat Jusoh.

Saturday, January 18, 2025

Sebat di khalayak, beri keinsafan, mengajar

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

JABATAN Kehakiman Syariah Terengganu telah melaksanakan hukuman sebat terhadap tukang rumah bagi kesalahan khalwat berulang yang buat pertama kalinya dilakukan secara terbuka di Dewan ‘Aazim, Masjid Al Muktafi Billah Shah, Kuala Terengganu pada Jumaat lalu. 

Pelaksanaan hukuman tersebut sebagai memenuhi perintah Hakim Syarie Kanan, Kamalruazmi Ismail setelah pesalah tersebut, Mohd. Affendi Awang, 42, mengaku bersalah berkhalwat buat kali ketiga di Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu pada 20 November lalu. 

Biarpun ia pertama kali diadakan secara terbuka, pelaksanaan hukuman sebat takzir ini i bukanlah perkara baharu dengan pertama kali dijatuhkan terhadap seorang pesalah lelaki di Mahkamah Tinggi Syariah, Tawau, Sabah pada September 2014. 

Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu juga sudah empat kali memutuskan hukuman tersebut sejak 2018. Bezanya semua hukuman sebat sebelum ini dilaksanakan di dalam kamar mahkamah atau penjara. 

Sebat terhadap pesalah syariah itu merupakan hukuman takzir yang merupakan salah satu cabang perundangan Islam membolehkan pemerintah berijtihad menggubal undang-undang demi kemaslahatan masyarakat. 

Sehubungan itu, polemik kewajaran pesalah khalwat dihukum sebat di khalayak ramai wajar diraikan dalam perbincangan ilmiah bagi memberi lebih kefahaman kepada masyarakat berbilang kaum di negara ini.

 Mengulas perkara tersebut, Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang mengakui banyak perkara perlu diteliti sebelum pelaksanaan hukuman sebat takzir benar-benar boleh dilakukan di tempat terbuka dan disaksikan orang awam seperti di beberapa negara luar.

Beliau berkata, persepsi awam perlu diperbetulkan terlebih dahulu bagi memahami hukuman tersebut tidak bermatlamat mengaibkan mahupun menyeksa sebaliknya memberi keinsafan dan pengajaran kepada pesalah serta masyarakat. 

“Saya sendiri yang terpilih untuk menyaksikan hukuman sebat (terhadap Mohd. Affendi) itu mendapati ia ringan dan tidak menyakitkan.

 “Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu juga mengambil pendekatan berhikmah melaksanakan hukuman sebat ini di dalam dewan masjid dengan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan walaupun Tatacara Jenayah Syariah Terengganu membenarkan ia dilaksanakan di mana-mana sahaja,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini. 

Dalam perkembangan sama, Musa berkata, berdasarkan pemerhatiannya, rata-rata pihak yang kurang bersetuju dengan pelaksanaan hukuman sebat takzir di khalayak ramai berpegang pada hujah menjaga hak asasi pesalah. 

Ujar beliau, hujah hak asasi perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas kerana dalam perundangan walaupun sivil sekalipun, kepentingan awam lebih diutamakan. 

“Dalam kes ini, pesalah sendiri sudah membuat pengakuan bersalah dan memaklumi hukuman yang bakal diterimanya.

 “Dia juga telah diberi hak untuk melakukan rayuan (terhadap hukuman sebat khalayak ramai) dalam tempoh 14 hari,” katanya

Friday, January 17, 2025

‘Terima kasih KPM, dapat kami buat persiapan awal’

Oleh NOOR HASLIZA NUSI, MOHD. AZLI ADLAN, ABDUL RAZAK IDRIS dan AIMUNI TUAN LAH 

GEORGE TOWN – Rata-rata ibu bapa melahirkan rasa lega dan bersyukur dengan pengumuman Kementerian Pendidikan (KPM) mengenai agihan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM150 yang diberikan secara berperingkat bermula minggu depan. 

Menurut mereka, bantuan tersebut walaupun dianggap kecil bagi sesetengah orang, namun tetap memberi manfaat kepada ramai keluarga B40 terutama yang mempunyai anak ramai. 

Seorang kakitangan swasta, Khairul Amsyar Nordin, 41, berkata, bantuan tersebut akan digunakan sebaiknya untuk keperluan persekolahan tiga anaknya yang berusia 16, 12 dan lapan tahun. 

 Katanya, dia dan isteri tidak perlu menunggu gaji hujung bulan untuk membeli barangan persekolahan, sebaliknya akan menggunakan wang BAP untuk membeli kelengkapan termasuk pakaian sekolah baharu pada minggu depan. 

“Lega dan tidak perlu lagi pening kepala memikirkan kos yang bakal ditanggung kerana kami boleh membuat persiapan sekolah anak-anak lebih awal. 

“Kami tidak perlu lagi menunggu saat akhir untuk membuat persiapan sekolah anak-anak. Tambahan pula, kita juga akan berpuasa tidak lama lagi dan selepas itu akan menyambut Aidilfitri,” katanya. 

Di Kuala Terengganu, Terengganu, seorang ibu, Siti Jamilah Hanim Jamil, 42, berkata, inisiatif kerajaan memberi BAP awal sebelum cuti persekolahan amat membantu dalam persediaan kelengkapan sekolah tiga anaknya. 

“Saya akan dapat keseluruhan RM450 dan duit ini akan kami gunakan sebaiknya untuk membeli barang keperluan persekolahan anak-anak. 

“Bagaimanapun, saya dan suami perlu merancang perbelanjaan keluarga sebaiknya agar persiapan persekolahan anak-anak dan Hari Raya Aidilfitri dapat disempurnakan sebaiknya,” katanya. 

Selain itu, Siti Jamilah Hanim juga memuji pendekatan baharu KPM yang turut mengurangkan birokrasi dengan menyalurkan terus BAP ke akaun bank anak-anak atau ibu bapa. 

Bagi Ainul Mardhiah Mohd. Azam, 19, pula, dia berterima kasih kerana pemberian BAP ini diperluaskan kepada pelajar Tingkatan 6 sepertinya. 

“Sekurang-kurangnya dapat saya gunakan bantuan itu untuk membeli buku-buku kan,” katanya. 

Di Shah Alam, Selangor, seorang peniaga, Nawawi Zain, 55, berkata, pemberian BAP itu sekurang-kurangnya dapat menjimatkan perbelanjaan keseluruhan bagi dua anaknya yang masih bersekolah.

 “Syukur sebab sedikit sebanyak dapat ringankan beban. Boleh kita buat persediaan awal dan masa untuk cari barangan keperluan sekolah yang bagus dan murah. 

 “Harga barang sekarang banyak yang naik jadi saya akan gunakan sebaik mungkin bantuan diterima,” katanya. 

 Di Gua Musang, Kelantan, ibu bapa murid Orang Asli suku kaum Temiar di Pos Brooke di sini, turut melahirkan rasa syukur dengan pemberian BAP lebih awal bermula minggu depan. 

Seorang ibu, Zaiton Anjang, 38, berkata, bantuan tunai RM150 itu cukup besar bagi masyarakat Orang Asli sepertinya yang tidak mempunyai pendapatan tetap setiap bulan. 

“Terima kasih kepada pihak kerajaan. Duit itu dapat kami beli keperluan anak-anak seperti baju, kasut dan beg sekolah,” katanya.