Translate

Saturday, October 3, 2026

Lambakan duku, FAMA Terengganu bantu pasar 300 tan metrik

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Terengganu mengambil inisiatif membeli 300 tan metrik duku bagi membantu petani mengatasi lambakan buah tempatan itu.

Pengarah FAMA negeri, Muhamad Fadlee Hassan berkata, pembelian buah duku terbabit melibatkan peruntukan kira-kira RM440,000.

“Pengeluaran duku di Terengganu pada musim kali ini meningkat sehingga 80 peratus berbanding kira-kira 19,000 metrik tan pada tahun lalu.

“Selain itu, pengguna juga mempunyai lebih pilihan ekoran pengeluaran duku dan dokong dari Johor dan Kelantan yang hampir serentak,” katanya di Kampung Kubang Bujuk, Serada di sini hari ini.

Terdahulu beliau memantau proses pengumpulan bekalan duku dari petani sekitar Serada.

Muhamad Fadlee berkata, lambakan duku tersebut menyebabkan harga di peringkat ladang jatuh dari RM2 sekilogram pada awal pertengahan bulan September lalu kepada RM1.50 bagi kuantiti sama pada masa ini.

Beliau berkata, bagi mengelakkan harga terus jatuh akibat lambakan berkenaan, FAMA Terengganu membantu membeli bekalan duku tersebut untuk dipasarkan ke luar negeri ini.

“Setiap hari kita memasarkan bekalan duku berkenaan untuk pasaran Lembah Klang, Johor dan utara tanah air selain karnival-karnival anjuran agensi kerajaan di seluruh negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Terpaksa berhentikan anak di tadika kerana sukar dikawal

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

BESUT – Seorang ibu cekal menjaga enam anaknya termasuk seorang yang menghidap masalah gangguan hiperaktif dan kurang tumpuan (ADHD) biarpun dia sendiri uzur menghidap pelbagai penyakit kronik.

Normahera Kholid, 39, berkata, dia terpaksa menjalani dialisis tiga kali seminggu berikutan kegagalan buah pinggang sejak bulan lalu.

“Keadaan ini impak daripada penyakit tiga serangkai iaitu diabetes, tekanan darah tinggi dan jantung yang saya deritai sejak hampir 10 tahun lalu.

“Selain itu, penyakit sama turut menyebabkan tahap penglihatan saya kian kabur,” katanya ketika ditemui rumahnya di Kampung Renek, di sini semalam.

Katanya, biarpun kudratnya semakin lemah terutama selepas menjalani rawatan dialisis berkala, namun dia tetap mengga­gahkan diri untuk menguruskan anak-anak terutama Muhammad Iffat

Anaqi, 6, yang baru disahkan orang kurang upaya (OKU) pada bulan Mac lalu.

Katanya, kebanyakan masa, dia terpaksa menguruskan rumah tangga dan anak-anak bersendirian memandangkan suaminya, Mohd. Nazri Mohd. Zarawi, 38, terpaksa bekerja di Jeli, Kelantan untuk mencari rezeki.

“Mujur ahli keluarga yang tinggal berdekatan banyak membantu terutama menjaga Iffat Anaqi yang merupakan anak kelima terutama sewaktu saya perlu menjalani rawatan dialisis di Hospital Besut.

“Anak saya (Iffat Anaqi) yang menghidap ADHD memerlukan tumpuan khas kerana baru belajar bercakap dan kebanyakan masa dia seakan berada dalam dunianya sendiri,” katanya.

Normahera berkata, sebelum ini dia terpaksa memberhentikan Iffat Anaqi di tadika ekoran agak lasak dan sukar dikawal.

Katanya, anak kelimanya itu berkemungkinan akan dihantar ke sekolah yang mempunyai Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) pada tahun hadapan.

Dalam pada itu, Normahera memberitahu, dia juga terpaksa berbelanja kira-kira RM200 se­minggu termasuk membayar upah individu menghantarnya ke hospital bagi menjalani rawatan dialisis.

Orang ramai yang bersimpati boleh menghulurkan sumbangan menerusi akaun bank bernombor 0301841000037310 (Bank Simpanan Nasional) atau hubungi Normahera di talian 019-903 7951.

Murid patah kaki dihempas guru dapat ganti rugi RM47,000

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang remaja lelaki yang patah kaki kanan selepas dikasari guru kelas al-Quran dan fardu ain (KAFA) empat tahun lalu akhirnya mendapat pembelaan apabila Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan ganti rugi berjumlah RM47,000.

Hakim Yusrin Faidz Yusoff memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan Muhammad Izz Anaqi Mohd. Izwan yang kini berusia 13 tahun selaku plaintif.

Beliau mengarahkan dua defendan iaitu guru KAFA, Ahmad Mursyidin Abdullah, 41, dan majikannya, Yayasan Islam Terengganu (YIT) membayar ganti rugi am kecederaan RM30,000 berserta kos RM17,000 dan faedah terhadap remaja tersebut.

Beliau mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen di sini yang sebelum ini menolak tuntutan Muhammad Izz Anaqi pada 16 Februari lalu.

Berdasarkan pernyataan tuntutan yang dikemukakan ibu plaintif, Nor Azlina Mohamad Yasin, 41, defendan pertama, Ahmad Mursyidin didakwa menghempas mangsa ke atas kerusi pada pukul 3.30 petang, 6 Julai 2022.

Muhammad Izz Anaqi yang kini menyambung pelajaran di sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) tidak dapat berjalan pulang ke rumah selepas kelas tersebut sebelum dirujuk ke sebuah klinik swasta.

Pihak klinik mengesahkan kaki kanan plaintif patah berdasarkan imbasan x-Ray.

Sementara itu, bapa Muhammad Izz Anaqi, Mohd  Izwan Ahmad Saidi, 40, berkata, insiden yang berlaku empat tahun lalu itu bukan sahaja menyebabkan kaki anaknya patah, malah mendatangkan trauma berpanjangan terhadap remaja tersebut.

“Dia (Muhammad Izz Anaqi) terpaksa memendam rasa dipandang serong sepanjang berada di sekolah rendah kerana mengambil tindakan perundangan terhadap gurunya,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Friday, October 2, 2026

Bayar RM15,000 tapi tak dapat pergi umrah

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Sebuah syarikat pelancongan di Besut sedang disiasat berhubung dakwaan melakukan penipuan berkaitan pakej mengerjakan umrah.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairuddin berkata, setakat ini, pihak polis telah menerima aduan daripada enam individu yang sepatutnya mengikuti pakej umrah berkenaan.

“Ia termasuk seorang wanita berusia 63 tahun yang mendakwa telah membuat pembayaran RM15,000 kepada syarikat pelancongan terbabit. Bayaran buat tiga peserta pakej umah itu didakwa dibuat menerusi tiga transaksi ke dalam akaun bank diberikan,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Khairi berkata, wanita warga emas tersebut mendakwa sebelum ini perjalanan umrahnya telah ditangguhkan sebanyak dua kali atas alasan kononnya masalah visa.

Beliau berkata, mangsa juga mendakwa pernah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang dan dimaklumkan kononnya visanya tidak diluluskan.

“Lima individu lain turut membuat aduan berhubung pakej umrah sama. Rakaman percakapan pengadu dan saksi sedang dijalankan.

“Begitu juga wakil syarikat pelancongan dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (Motac),” katanya. – KOSMO! ONLINE

Musim tengkujuh: Barang keperluan di pulau, pedalaman Terengganu dijamin cukup

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah membuat persiapan awal memastikan barangan keperluan bagi penduduk rangkaian pulau dan pedalaman di Terengganu sentiasa mencukupi sepanjang tempoh musim tengkujuh nanti.

Pengarah KPDN Terengganu, Mohd. Mufsi Lat berkata, perancangan penghantaran ke kawasan pulau dan pedalamam itu telah mula dilakukan pada masa ini menerusi program Pengedaran Barang Perlu.

“Tiga kawasan terlibat di negeri ini iaitu Pulau Redang, di sini; Pulau Perhentian, Besut; dan Pasir Raja, Hulu Dungun.

“Ia melibatkan tujuh barangan iaitu beras putih, gula putih bertapis kasar, tepung gandum, minyak masak, tong gas memasak, petrol RON95 dan diesel,” katanya di Kampung Baharu Pulau Redang, dekat sini, hari ini.

Terdahulu beliau meninjau penyediaan kemudahan baharu, pam minyak petrol RON95 dan diesel untuk kegunaan 2,400 penduduk pulau peranginan tersebut.

Mohd. Mufsi berkata, syarikat pemborong dan peruncit dilantik telah dibenarkan mengambil bekalan tambahan bagi menjamin barangan keperluan untuk penduduk kawasan pulau dan pedalaman tersebut mencukupi sepanjang musim tengkujuh.

Beliau berkata, program Pengedaran Barang Perlu juga menjamin penduduk kawasan pulau dan pedalaman negeri ini menikmati barangan keperluan pada harga sama mengikut kadar semasa di peringkat nasional.

“Kerajaan memberi subsidi bagi membiayai kos pengangkutan barangan keperluan ke kawasan pulau dan pedalaman,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Nenek terjerat taktik ‘tarik’ duit, mahu wang segera langsai hutang, sedekah

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Gara-gara terlalu percaya dengan seorang lelaki yang mengaku mampu ‘menarik’ duit, seorang suri rumah terputih mata apabila wang simpanannya berjumlah RM80,000 lesap akibat ditipu.

Perkara itu terbongkar selepas mangsa yang berusia 73 tahun membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu, di sini pada pukul 4.17 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, siasatan mendapati wanita itu melihat satu hantaran berhubung aktiviti ‘menarik’ duit di Facebook tahun lalu.

“Mangsa tertarik apabila suspek mendakwa boleh mendapatkan bantuan wang ghaib secara dalam talian.

“Warga emas itu teringin mendapatkan wang segera untuk membaiki rumah, melangsaikan hutang dan menyumbang kepada anak yatim kemudiannya menghubungi suspek,” katanya di sini, hari ini.

Azli berkata, mangsa tidak memperoleh habuan walaupun sudah mengikuti syarat yang ditetapkan dengan membuat pembayaran sebanyak RM30,000 kepada suspek.

Suri rumah itu masih bersangka baik walaupun tidak menerima wang sebelum dihubungi individu tidak dikenali yang mendakwa wang ghaib tersebut berada dalam tangannya.

“Mangsa diarahkan membayar sebanyak RM50,000 kononnya sebagai denda kerana lewat mengambil wang tersebut,” katanya.

Tambahnya, mangsa sekali lagi diperdaya apabila mengikuti arahan itu selepas diyakinkan oleh lelaki yang ‘menarik’ wang ghaib tersebut. – KOSMO! ONLINE

Premis ‘sarang burung’ jadi asrama pelajar, pekerja asing diserbu bomba

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Empat premis pejabat yang diubah suai tanpa kebenaran menjadi asrama termasuk salah satunya untuk pelajar sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di bandar raya ini diserbu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Operasi bersepadu yang turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) itu mendapati kesemua premis tersebut tidak selamat sekiranya berlaku kecemasan termasuk kebakaran.

Pengarah JBPM Terengganu, Nor Mahathir Muhammad berkata, pemeriksaan mendapati kesemua premis terbabit termasuk asrama pelajar perempuan terbabit bukan sahaja sempit dan tidak selesa, malah binaannya tidak mengikut spesifikasi ditetapkan dan hanya mempunyai satu laluan keluar.

“Kesemua lokasi (yang diserbu) bermasalah kerana menukar kegunaan daripada kelulusan asal diberi pihak berkuasa tempatan (PBT) dan ulasan JBPM.

“Kegunaan awal (premis) untuk pejabat, namun telah dijadikan asrama pekerja dan pelajar,” katanya selepas mengetuai pemeriksaan Operasi Sarang Burung di sebuah asrama pelajar IPT di Jalan Engku Sar, di sini, hari ini.

Serbuan turut dilakukan di tiga premis yang dijadikan asrama pekerja asing di Jalan Masjid Abidin; Jalan Engku Pengiran Anom 2; dan Jalan Sultan Zainal Abidin, di sini.

Nor Mahathir berkata, keempat-empat pemilik premis asrama terbabit diberi notis amaran mengikut Akta Perkhidmatan Bomba 1988.

Beliau berkata, mereka diarahkan membuat permohonan menukar status kegunaan premis dengan MBKT dalam tempoh seminggu sebelum pengubahsuaian lain dilakukan kemudian dalam jangka masa bersesuaian. – KOSMO! ONLINE

Monsun Timur Laut diramal ‘hentam’ Malaysia 2 minggu lagi

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Monsun Timur Laut (MTL) yang kebiasaannya bermula akhir Oktober hingga awal November depan berkemungkinan boleh berlaku awal sedikit tahun ini berikutan fenomena Super El Nino.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains dan Sekitaran Marin, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Chung Jing Xiang berkata, fenomena iklim ekstrem itu juga boleh menyebabkan musim tengkujuh kali ini berakhir lebih lewat berbanding lazimnya pada Mac.

“Kalau ikut kajian lepas, MTL biasanya akan tiba lebih awal dan berakhir lebih lambat pada tahun terjadinya El Nino.

“Dijangkakan perkara sama juga terjadi (tahun ini). Kejadian Super El Nino memang akan mempengaruhi MTL,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Fenomena Super El Nino yang dijangka berlaku pada November dan Disember depan dan boleh berlarutan sehingga tahun hadapan dijangka mengubah corak cuaca global ekoran pemanasan suhu permukaan laut di tengah dan timur Lautan Pasifik.

Ujar beliau, begitupun risiko berlaku banjir besar pada musim tengkujuh kali ini lebih rendah ekoran taburan hujan diramal akan berkurangan disebabkan fenomena Super El Nino.

Namun, jelas beliau, faktor banjir musim tengkujuh bukanlah bergantung kepada Ayunan Selatan El Nino semata-mata tetapi turut dipengaruhi luruan monsun, lekukan Borneo dan Ayunan Madden-Julian.

“Situasi sepanjang tempoh MTL nanti akan ditentukan keada­an semasa yang bakal berlaku pada waktu itu yang sukar diramal tepat ketika ini,” katanya.

Katanya, ketibaan MTL boleh dilihat menerusi beberapa indikator seperti perubahan arah ­angin yang bertiup secara berte­rusan dari arah timur laut dengan kelajuan kencang.

“Sepanjang tempoh MTL luruan udara sejuk dari pedalaman Siberia, Rusia juga akan mema­suki perairan Laut China Selatan.

“Ia membawa beberapa episod hujan lebat berterusan terutama di Pantai Timur, Johor Timur, Sabah dan Sarawak. Selain itu, perairan Laut China Selatan akan bergelora dan kemunculan ombak besar dengan lebih kerap serta kenaikan paras laut berikutan tiupan angin kencang,” katanya.

Ujarnya, walaupun risiko banjir besar rendah ekoran taburan hujan rendah semasa fasa MTL di­sebabkan Super El Nino, ia bukanlah berita yang terlalu baik malah sebenarnya perlu dirisaukan.

“Kekurangan taburan hujan itu dibimbangi menjejaskan takungan air di empangan-empangan utama di seluruh negara.

“Hujan berlebihan yang bia­sanya dibawa pada tengkujuh walaupun amat memudaratkan tetapi ia tetap merupakan sumber air penting dalam pengisian empangan kita. Malaysia pernah menghadapi fenomena El Nino yang sangat kuat pada 1983, 1997 dan 2015,” tambahnya.

Murid tahun dua dalam perjalanan ke sekolah maut kemalangan

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

SETIU – Perjalanan seorang murid tahun dua ke sekolah berakhir tragedi apabila kanak-kanak perempuan tersebut maut dalam kemalangan di Kilometer 50, Jalan Kuala Terengganu – Kota Bharu, berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Batu 29, di sini, hari ini.

Dalam kemalangan pada pukul 6.50 pagi itu mangsa, Putri Jannatul Arisha Abdullah, 8, meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Setiu, Superintendan Zahril Asri Mohd. Zain berkata, sewaktu kejadian, mangsa sedang membonceng motosikal jenis Yamaha LC yang ditunggang neneknya.

“Mereka dalam perjalanan untuk menghantar mangsa (Putri Jannatul Arisha) ke SK Batu 29 dari Kampung Langkap, di sini.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal jenis Yamaha LC yang dinaiki mereka dikatakan rempuh sebuah kereta Proton Waja sebaik membelok untuk keluar simpang, ” katanya di sini hari ini.

Zahril Asri berkata, kereta Proton Waja yang dipandu seorang lelaki yang dalam perjalanan ke Kota Bharu, Kelantan itu dikatakan gagal mengelak motosikal dinaiki mangsa dan neneknya.

Beliau berkata, mayat Putri Jannatul Arisha telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Setiu, di sini, untuk tindakan lanjut.

“Nenek mangsa yang cedera parah pula dikejarkan ke unit kecemasan hospital sama untuk menerima rawatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Burung dilindungi bernilai RM709,950 dirampas

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Gara-gara membela unggas diiilindungi tanpa lesen sah, tiga individu termasuk dua wanita diberkas dalam operasi dilaksanakan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga di Kampung Binjai Manis, Manir, di sini, kelmarin.

Operasi selama sejam 20 minit berakhir pukul 5.30 petang itu berjaya merampas lebih 49 ekor burung dilindungi pelbagai jenis dianggarkan bernilai keseluruhan RM709,950.

Beliau berkata, operasi yang dijalankan bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) itu bertujuan membanteras aktiviti menyimpan hidupan liar dilindungi tanpa lesen.

Komander PPM Wilayah Tiga, Asisten Komisioner Mohd. Khairuddin Jamal berkata, kesemua burung tersebut ditemukan dalam serbuan di dalam enam rumah di perkampungan terbabit.

“Antara hidupan liar yang dirampas ialah 38 ekor burung luris leher, ruak-ruak (sembilan) dan murai batu (dua).

“Selain itu, pelbagai spesies burung dilindungi lain seperti daun besar, punai tanah, kelicap kunyit, merbau kapur, bayan serindit, merbah jambul, bayan puling dan daun sayap biru turut disita,” katanya di sini, hari ini.

Mohd. Khairuddin berkata, serbuan turut berjaya merampas 60 unit sangkar burung.

Beliau berkata, tiga individu berusia 23 hingga 46 tahun yang ditahan telah dibawa ke Balai Polis Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE