Translate

Tuesday, November 21, 2023

Raja Mohamed Affandi mahu langsai urusan tertunggak bela veteran tentera

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KEMAMAN – Calon Barisan Nasional (BN), Jeneral (B) Tan Sri Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor berazam menjadikan agenda membela golongan veteran tentera sebagai salah satu perjuangannya sekiranya terpilih sebagai Ahli Parlimen Kemaman pada 2 Disember ini.

Bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengakui terkilan sebahagian inisiatif membela nasib veteran tentera yang pernah dipeloporinya tidak diteruskan selepas beliau bersara pada tahun 2016.

“Banyak program-program yang saya buat dahulu berhenti. Bagi saya, ia unfinished business (urusan yang tidak selesai) yang perlu saya selesaikan.

“Jadi Tuhan jentik hati saya (untuk terima jadi calon BN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman) untuk teruskan apa yang saya tinggalkan dahulu,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan dengan veteran ATM di Kerteh di sini hari inim

Raja Mohamed Affandi berkata, antara program-program kebajikan yang terhenti itu ialah Bantuan Bakti Negara yang menawarkan bantuan kewangan kepada veteran tentera tidak berpencen sebanyak RM200 sebulan.

Ujarnya, beliau juga memperkenalkan program Satu Anggota Satu Rumah, bagi membantu anggota dan veteran ATM memiliki rumah.

“Waktu saya dalam perkhidmatan saya telah berjaya menaikkan pencen hilang upaya daripada RM65 sebulan kepada RM500.

“Saya juga telah mengemukakan formula kenaikan pencen veteran yang munasabah dilaksanakan tetapi tidak sempat dilaksanakan kerana pertukaran kerajaan (Persekutuan),” katanya.

Sehubungan itu, Raja Mohamed Affandi memohon diberi peluang untuk menjadi Ahli Parlimen Kemaman bagi menyuarakan nasib veteran tentera di Dewan Rakyat.

“Beri saya peluang menjadi ‘soldier stateman’ (negarawan askar) untuk bersuara (memperjuangkan nasib veteran tentera),” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment