Translate

Wednesday, January 31, 2018

TLHT, PKS Uniten seri 2-2

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Pasukan Hoki Wanita Terengganu (TLHT) terpaksa berhempas pulas sebelum mencatat keputusan seri 2-2 dengan pencabar utama, Pusat Kecemerlangan Sukan Universiti Tenaga Nasional (PKS Uniten) di Stadium Hoki Batu Burok, Kuala Terengganu sebentar tadi.

Biarpun masih mendahului carta Liga Hoki Malaysia (Wanita) dengan kutipan 14 mata dari enam perlawanan, THT diekori rapat PKS Uniten yang kekurangan dua aksi dengan 10 mata.

TLHT bermula garang apabila mendahului seawal minit pertama menerusi gol padang Nur Syuhada Suhaimi.

Begitu pun,  kelebihan gol awal itu sekadar bertahan dua minit apabila PKS Uniten berjaya menyamakan kedudukan.

Jaringan penyamaan pasukan pelawat itu dihasilkan pemain wanita kebangsaan, Nurul Nabihah Mansor yang bijak menyempurnakan pukulan sudut penalti menewaskan penjaga gol TLHT, Mas Huzaimah Md. Aziz.

Penyerang remaja perempuan kebangsaan, Nur Zafirah Aziz kemudiannya meletakkan PKS Uniten pula dihadapan menerusi gol padang pada minit ke-34.


TLHT yang juga juara bertahan pantas menyamakan kedudukan juga menerusi gol padang oleh Norfatin Nabila Mohamad selang seminit kemudian. - K! ONLINE

Bekas penagih dadah baru sebulan keluar penjara diberkas polis lagi

DUNGUN - Seorang bekas banduan Orang Kelainan Upaya (OKU) yang baru dibebaskan dari penjara bagaikan tidak pernah serik apabila dia sekali lagi ditahan polis kerana disyaki terlibat dalam gejala penagihan dadah dalam serbuan di Tanah Perkuburan Islam Santong, Paka dekat sini semalam.

Suspek yang tempang kedua-dua belah kaki akibat terlibat dalam kemalangan kira-kira tiga tahun lalu sebelum ini mempunyai 17 rekod lampau dalam penyalahgunaan dadah sejak tahun 2009.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superitendan Baharudin Abdullah berkata, lelaki OKU itu ditahan dalam Operasi Tapis oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun.

"Sewaktu ditahan dia dalam keadaan khayal dipercayai selepas mengambil dadah di salah sebuah wakaf yang terdapat di kawasan tanah perkuburan tersebut.

"Dia yang berusia 48 tahun cuba melarikan diri dalam keadaan terhincut-hincut dengan memakai tongkat tetapi gagal," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini. - K! ONLINE

UniSZA kampus tanpa tunai pertama di Pantai Timur

KUALA TERENGGANU – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) muncul kampus tanpa tunai pertama di wilayah Pantai Timur merangkumi Kelantan, Terengganu dan Pahang menerusi pelancaran aplikasi dompet elektronik (e-dompet), Boost, semalam.

Pengerusi Lembaga Pengarah UniSZA, Prof. Emeritus Datuk Dr. Kamarudin Hussin berkata, aplikasi dibangunkan Axiata Digital eCode Sdn. Bhd. itu membolehkan pelajar universiti tersebut menggunakan e-dompet sebagai kaedah pembayaran tunggal bagi semua urus niaga di dalam kampus.

“Ia melibatkan lebih 12,000 pelajar, tenaga pengajar dan kakitangan sokongan UniSZA di tiga buah kampus iaitu Gong Badak, Tembila (Besut) dan Perubatan (Kuala Terengganu).

“Pembayaran tanpa penggunaan wang tunai, kad debit mahupun kad kredit menerusi Boost boleh dilakukan di mana-mana kedai yang mempunyai kod QR,” katanya selepas melancarkan program UniSZA tanpa tunai di sini semalam.

Turut hadir Naib Canselor UniSZA, Prof. Datuk Dr. Ahmad Zubaidi Abdul Latif dan Ketua Tanggungjawab Korporat dan Perhubungan Kerajaan Celcom Axiata Berhad, Saiful Bahrin Abdul Ghaffar.

Kamarudin berkata, pelancaran Boost bertujuan untuk mentransformasikan semua perkhidmatan di dalam semua kampus UniSZA agar lebih mudah diakses secara digital.

Tuesday, January 30, 2018

Transformasi TFC sebagai kelab profesional

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

TERENGGANU Football Club (TFC) yang dinaungi Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) menyasar untuk menjadi kelab bola sepak profesional sepenuhnya dalam tempoh beberapa tahun lagi.

Presiden PBSNT, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, syarikat TFC Sdn. Bhd. telah ditubuhkan untuk menguruskan sepenuhnya TFC yang mengan­dungi lima kelab termasuk TFC1 dan TFC2 yang dahulunya masing-masing dikenali Terengganu FA dan T-Team.

“TFC Sdn. Bhd. bertanggungjawab menguruskan lima pasukan TFC tersebut dari segi pembentukan pasukan, pengurusan stadium dan penajaan tanpa pergantungan kewangan sepenuhnya daripada kerajaan negeri (Terengganu) mulai musim ini.

“Ia merupakan permulaan daripada usaha kita untuk menjadikan TFC sebagai kelab bola sepak profesional sepenuhnya yang berdikari seperti di Eropah suatu hari nanti,” katanya ketika merasmikan majlis perkenalan pemain kelima-lima pasukan dan pelancaran jersi baharu TFC di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Nerus, Terengganu kelmarin.

Pada majlis sama, PBSNT turut memperkenalkan logo baharu TFC seiring dengan revolusi bola sepak negeri yang telah diper­kenalkan pada musim ini.

Ahmad Razif berkata, TFC mengamalkan sistem pasukan pelapis (feeder club) terdiri daripada lima kelab iaitu TFC1 yang merupakan pasukan induk dan empat pasukan pelapis iaitu TFC2 ber­aksi di Liga Premier, TFC3 (Pia­la Presiden), TFC4 (Piala Tunku Ismail) dan TFC5 (Piala Kementerian Pendidikan).

Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu menjelaskan sistem pasukan pelapis yang mula dilaksanakan PBNST ini merupakan pendekatan serampang dua mata bagi mengembalikan kegemilangan bola sepak negeri di samping melahirkan bakat-bakat baharu secara berterusan.

“Kita mengharapkan TFC1 dan TFC2 yang masing-masing beraksi di Liga Super dan Liga Premier menyumbang piala pada setiap musim. Pada masa sama, pemba­ngunan bakat baharu dalam kalangan anak tempatan diteruskan sebagai persediaan untuk diserapkan ke peringkat lebih tinggi demi kelangsungan pasukan induk.

“Sistem pasukan pelapis juga membolehkan sembilan pemain import kita bertukar-tukar kelab antara TFC1 dan TFC2 mengikut taktikal permainan dan prestasi semasa sepanjang musim ini tanpa menunggu tempoh jendela perpindahan pemain,” katanya.

THT fokus misi rampas kejuaraan MHL 2018

Hoki Terengganu (THT) semakin ghairah memburu misi untuk merampas kembali kejuaraan liga selepas menewaskan Maybank pada aksi kelapan Liga Hoki Malaysia (MHL) di Stadium Hoki Batu Burok, Kuala Terengganu kelmarin, lapor MOHD. AZLI ADLAN.

Kemenangan tipis terhadap pasukan tercorot liga itu bukan sahaja mengekalkan rekod tanpa kalah, malah THT mendahului carta liga dengan kutipan 18 mata hasil lima kemenangan dan tiga seri.

Pengendali THT, Sarjit Singh­ berkata, persaingan dalam MHL yang tinggal dua aksi terakhir amat sengit de­ngan juara bertahan iaitu Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengekori rapat de­ngan perbezaan atara satu dan dua mata sahaja.

“Kita tiada pilihan selain memperoleh tiga mata (menang) apabila menentang TNB Thunderbolts dan KLHC pada lusa (esok) dan Jumaat ini. Walaupun kedua-dua aksi itu berlangsung di Kuala Lumpur, ia bukan isu besar kerana kita te­lah membuktikan sebelum ini mampu menang asalkan kekal fokus,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan kelmarin.

Mengulas aksi dengan Maybank kelmarin, Sarjit berkata, beliau tetap lega kerana sasaran untuk mengutip tiga mata pada perlawanan terbabit tercapai.

Katanya, Maybank telah memberi kesukaran kepada anak-anak buahnya dengan menerapkan taktik bertahan sepanjang 60 minit aksi berlangsung.

“Pemain Maybank berkubu di kawasan sendiri kebanyakan masa dan hanya menunggu kami melakukan kesilapan hingga mampu menghasilkan gol tunggal mereka pada minit ke-15.

“Kami pula gagal memanfaatkan enam pukulan sudut penalti pada separuh masa pertama tetapi (Ganzalo) Peillat berjaya menebus dengan menjaringkan dua gol penting selepas itu,” katanya.

Kemenangan berharga itu membolehkan THT yang merupakan naib juara musim lalu muncul satu-satu pasukan yang berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah setakat ini.

Kapal tangki MT Aliya Sari ditahan APMM lagi

KUALA TERENGGANU – Sebuah kapal tangki yang sarat dengan muatan 240,000 liter diesel bernilai RM500,000 ditahan Ma­ritim Malaysia (APMM) kerana disyaki terlibat dalam aktiviti urus niaga minyak tanpa permit di perairan Kuala Terengganu di sini kelmarin.

Sewaktu ditahan pada pukul 9.30 pagi, kapal tangki mendaftar di Pelabuhan Klang, Selangor de­ngan nama MT Aliya Sari terbabit sedang bersauh di hadapan Jeti Marina Pulau Duyong di sini.

Timbalan Pengarah Operasi Wilayah Maritim Timur, Kapten Maritim V. Pannir berkata, semasa pemeriksaan dilakukan, lima kru warga Bangladesh berusia 30 hingga 50 tahun bertugas di atas kapal tangki itu.

“Mengikut dokumen diserahkan kru, kapal tangki tersebut dalam perjalanan menghantar diesel berkualiti premium  ke Pulau Redang dari Pelabuhan Kuantan, Pahang.

“Bagaimanapun, urus niaga itu mencetuskan keraguan apabila mereka gagal mengemukakan dokumen asal pengesahan daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK),” kata beliau kepada pemberita di sini semalam.

Pannir berkata, empat daripada lima kru lelaki warga Bangladesh tersebut juga gagal menunjukkan dokumen perjalanan asal mereka kecuali salinan pasport masing-masing.

Menurut beliau, pemilik asal kapal tangki MT Aliya Sari telah diarahkan untuk mengemukakan kesemua dokumen asal dikehendaki kepada APMM pada masa terdekat bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan.

Katanya, pada tahun 2016, kapal tangki sama pernah ditahan dan pemiliknya telah didenda RM12,000 selepas membuat pe­ngakuan bersalah atas pertuduhan melabuhkan kapal di lokasi tidak sah dan tidak melaporkan ketibaan pelepasan kepada JKDM.

Monday, January 29, 2018

Pengurus besar hotel didakwa buat tuntutan palsu

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU –  Seorang pengurus besar sebuah hotel terkenal di bandar raya ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM750 empat tahun lalu.

Tertuduh, Mazuki Hussin, 55, membuat pengakuan tidak bersalah apabila pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz.

Berdasarkan pertuduhan, Mazuki didakwa mengemukakan dokumen yang mengandungi butiran palsu berhubung tuntutan perkhidmatan sewaan bas kepada pengurus jualan hotel itu pada 28 September 2014.

Tertuduh didakwa menuntut RM1,400 sedangkan caj sebenar yang dikenakan untuk perkhidmatan tersebut hanya RM650.

Perbuatan mengemukakan resit palsu bertarikh 27 September 2014 bagi niat untuk memperdaya pengurus akaun hotel terbabit berkenaan didakwa dilakukan  Mazuki di pejabatnya.

Dia didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda maksimum lima kali nilai tuntutan palsu atau RM10,000 jika sabit kesalahan.

Mohamad Haldar membenarkan Mazuki dibebaskan dengan wang jaminan RM7,000 dan seorang penjamin serta pasport antarabangsanya diserahkan kepada mahkamah.

Tertuduh membayar wang jaminan tersebut. Mohamad Haldar turut menetapkan sebutan semula kes pada 21 Februari depan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Yasmin Salleh, manakala Mazuki diwakili peguam bela, Zul Basysyar.

THT tewaskan Maybank 2-1

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - PASUKAN Hoki Terengganu (THT) terus mengukuhkan kedudukan di tangga teratas liga selepas menang tipis 2-1 terhadap Maybank pada aksi kelapan Liga Hoki Malaysia di Stadium Hoki Batu Burok di sini sebentar tadi.

Begitupun, naib juara liga musim lalu itu hampir dicemaskan Maybank yang merupakan pasukan tercorot apabila ketinggalan 0-1 pada separuh masa pertama.

Sepanjang tempoh 30 minit aksi itu, THT yang dibimbing jurulatih berpengalaman, Sarjit Singh mensia-siakan enam pukul sudut penalti yang gagal disempurnakan Ganzalo Peillat dan Faizal Saari.

Terdahulu, Maybank mencipta kejutan apabila mendahului tuan rumah menerusi Mohd. Faid Farhard Mohamad Shah pada minit ke-15.

Begitupun, Peillat membuktikan dia masih antara pakar flick terbaik dunia apabila berjaya meledak dua gol penting menerusi pukulan sudut penalti pada suku ketiga perlawanan.

Pemain Argentina itu menyamakan kedudukan kepada 1-1 pada minit ke-35 sebelum menjaringkan gol kemenangan pada tiga minit kemudian.


Kemenangan berharga itu membolehkan THT yang masih mengekalkan rekod tanpa kalah terus berada di persada liga dengan 18 mata diikuti Kelab Hoki Kuala Lumpur dan Tenaga Nasional Berhad masing-masing dengan 17 dan 16 mata. - K! ONLINE

Nelayan ditemui mati terduduk di dalam bot

DUNGUN - Seorang nelayan ditemui mati dalam keadaan terduduk dipercayai akibat serangan jantung di dalam bot gentian kacanya dipercayai akibat serangan jantung  di Sungai Dungun berhampiran Kampung Tebing Kilau di sini semalam.

Sebelum kejadian  Deris Said, 55, sedang menahan taut untuk menangkap ikan di sungai berkenaan sebelum mayat lelaki itu ditemui anak saudaranya, Mohd. Rozaimi Mohd Rosli, 23, pada pukul 10.30 malam.

Mohd. Rozaimi berkata, sewaktu kejadian, dia turut menahan taut tidak berapa jauh dari lokasi kejadian.

"Sewaktu saya meyuluh untuk menahan taut bagi menangkap ikan di Sungai Dungun, saya ternampak bot kaca gentian milik  bapa saudara.

"Saya mendekati bot itu dan terperanjat melihat bapa saudara saya itu terkulai dalam keadaan terduduk dengan kepalanya tersembam ke dalam permukaan sungai," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini. - K! ONLINE

THT benam cabaran TNB untuk rampas takhta

PASUKAN Hoki Terengganu (THT) kembali merampas takhta liga selepas menewaskan pendahulu, Tenaga Nasional Berhad (TNB) 2-0 pada aksi ketujuh Liga Hoki Malaysia (MHL) di Stadium Hoki Batu Burok, Kuala Terengganu semalam, lapor MOHD. AZLI ADLAN.

Kemenangan bergaya itu membolehkan juara bertahan keseluruhan itu muncul satu-satunya pasukan yang me­ngekalkan rekod tanpa kalah da­lam liga setelah mengutip 15 mata hasil empat kemenangan dan tiga seri.

TNB yang meraih 13 mata pula ter­paksa menerima hakikat perlu melepaskan kedudukan teratas liga berikutan kekalahan kedua pasukan itu pada aksi semalam.

Pakar flick dunia dari Argentina, Gonzalo Peillat membuktikan kepakarannya dalam menyempurnakan pukulan sudut penalti apabila muncul wira dengan meledak dua gol pada minit ke-11 dan 26.

Terdahulu, TNB memperoleh peluang untuk memecah kebuntuan, namun percubaan kencang pemain kebangsaan, Firhan Ashaari berjaya ditepis penjaga gol THT, Muhammad Hafizuddin Othman pada minit keempat.

Pasukan pelawat yang dibarisi sepenuhnya oleh pemain tempatan turut mensia-siakan empat pukulan sudut penalti diperoleh pada minit ke-29, 35, 42 dan 47.

Sementara itu, ketua jurulatih THT, Sarjit Singh berkata, keputusan perlawanan ditentukan oleh kemampuan anak-anak buahnya memanfaatkan dua pu­kulan sudut penalti yang diperoleh pada aksi tersebut.

“Kedua-dua pukulan sudut pe­nalti itu menghasilkan gol dan ia memang pe­ranan yang digalas Peillat dalam THT.

“Walaupun kembali merampas takh­ta liga, bagi saya ia masih belum selamat. Kita perlu menyelesaikan dengan baik kesemua baki tiga perlawanan yang masih ada,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan semalam.

Sunday, January 28, 2018

Pensyarah UIAM meninggal dunia ketika berwuduk

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Hajat seorang pensyarah Kulliyah Pendidikan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) untuk menziarah jenazah ibu saudaranya tidak kesampaian apabila ditemui meninggal dunia di dalam bilik air di Kampung Bukit Losong di sini kelmarin.

Prof. Madya Che Noraini Hashim, 57, berada di bilik air bagi mengambil wuduk sebagai persiapan untuk menunaikan solat jenazah ibu saudaranya.

Dia yang merupakan isteri kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Burok, Dr. Syed Azman Syed Ahmad Nawawi bagaimanapun ditemui meninggal dunia dalam kea­daan jatuh terduduk pada pukul 3.45 petang iaitu kira-kira 15 minit selepas menerima panggilan berita kematian ibu saudara­nya, Rokiah Abdullah, 70.

Syed Azman ketika ditemui ber­kata, isterinya sering dijemput sebagai mo­derator dan penceramah dalam beberapa program keagamaan di stesen televisyen tempatan termasuk rancangan Tanyalah Ustazah di TV9.
Katanya, wanita itu baru tiba dari Kuala Lumpur dengan menaiki kapal terbang dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz, Subang pada pukul 9 pagi.

“Isteri mahu menziarah ibu saudaranya yang tenat akibat penyakit diabetes di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini semalam (kelmarin) sebelum disahkan meninggal dunia pada pukul 3.30 petang.

“Sebaik mendapat tahu berita kematian tersebut, isteri saya telah ke bilik air untuk memperbaharui wuduk sebelum dia pula ditemui meninggal dunia dalam keadaan terduduk tidak lama kemudian,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Losong Panglima Perang di sini semalam.

Pasangan suami isteri itu mempunyai lima orang anak dengan dua daripada mereka kini sedang melanjutkan pengajian di Madinah dan Mesir.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Losong Pang­lima Perang di sini pada pukul 10.15 pagi semalam iaitu tidak jauh dari kubur ibu saudaranya yang dikebumikan selepas solat asar kelmarin.

Jangan mudah dedah gaya hidup, butir peribadi di laman sosial

MOHD. AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menasihatkan orang ramai agar tidak terlalu mendedahkan kehidupan dan butir peribadi mereka di media sosial.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Jailani Johari berkata, pendedahan gaya hidup dan kekayaan secara keterlaluan di laman sosial seperti Facebook, Instagram dan Twitter boleh mengundang risiko menjadi mangsa jenayah kekerasan dan siber serta penyalahgunaan data peribadi.

"Kita mungkin berniat mahu mempromosi perniagaan atau berkongsi aktiviti seharian tetapi secara tidak langsung telah mendedahkan maklumat peribadi penting yang dikhuatiri menarik minat penjenayah.

"Kes terbaharu, nyawa hampir hilang kerana selalu tayang (buat live) di Facebook," katanya selepas merasmikan Mini Karnival Usahawan Desa Pusat Internet 1Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas insiden seorang peniaga dalam talian yang cedera parah selepas ditembak dan dikunci sekumpulan perompak di pejabatnya di Banggol Kulim, Rantau Panjang, Kelantan semalam.

Mangsa, Mohd. Irfan Abdullah, 26, dikatakan aktif membuat 'live' di laman sosial, Facebook untuk mempromosi perniagaannya menjual kosmestik, barangan kemas dan pakaian. - K! ONLINE 

  

Pengurus besar hotel didakwa buat tuntutan palsu

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU -  Seorang pengurus besar sebuah hotel terkenal di bandar raya ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membuat tuntutan palsu berjumlah RM750 pada empat tahun lalu.

Tertuduh, Mazuki Hussin, 55, membuat membuat pengakuan tidak bersalah apabila pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz.

Berdasarkan pertuduhan, Mazuki didakwa memberi dokumen yang mengandungi butiran palsu berhubung tuntutan perkhidmatan sewaan bas kepada pengurus jualan hotel itu bagi tujuan memperdaya pengurus akaun hotel terbabit pada 28 September 2014.

Tertuduh didakwa menuntut RM1,400 sedangkan caj sebenar yang dikenakan untuk perkhidmatan tersebut hanya RM650.


Dia didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda maksimum lima kali nilai tuntutan palsu atau RM10,000 jika sabit kesalahan. - K! ONLINE

SPR beri taklimat PRU-14 kepada media Terengganu

KUALA TERENGGANU – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mula menjelajah seluruh negara bagi memberi sesi taklimat Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) kepada pengamal media bermula dengan Terengganu semalam.

Sesi taklimat yang disampaikan Pendaftar Akademi Pilihan Raya SPR, Nik Aminudin Nik Shahar Shah dengan kerjasama Jabatan Penerangan negeri itu melibatkan lebih 70 pengamal media pelbagai agensi di Terengganu.

Pengamal media diberi penerangan berhubung perjalanan sistem pilihan raya di negara ini dan prosedur permohonan pas media dan tatacara membuat liputan sepanjang PRU-14.

Akademi Pilihan Raya SPR juga mengadakan simulasi senario proses pengundian dan pengiraan undi.

Sesi taklimat berkenaan juga memberi penjelasan isu-isu yang biasa berbangkit setiap kali setiap pilihan raya bagi memperbetulkan persepsi negatif umum terhadap ketelusan SPR seperti dakwaan pengundi hantu, manipulasi daftar pemilih, peti undi dan dakwat pilihan raya serta kebocoran maklumat calon dipilih pengundi pada kertas undi.

Hadir sama Pengarah SPR Terengganu, Nik Andy Suwardy Amry.

Pensyarah muzik meninggal dunia sejurus bayar tol

DUNGUN - Seorang pensyarah muzik meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung sejurus membayar tol di Plaza Tol Bukit Besi, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) dekat sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 9.50 malam itu, Che Ku Mohd. Rafi Che Ku Li, 47, menghembuskan nafas terakhir sewaktu menerima rawatan awal di Klinik Kesihatan Bukit Besi dekat sini kira-kira sejam kemudian.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, sewaktu kejadian, Che Ku Mohd. Rafi yang mengajar di Institut Perguruan Kampus Dato Razali Ismail, Kuala Nerus dikatakan dalam perjalanan untuk menemui rakannya di bandar Dungun di sini dari rumahnya di Batu Rakit, Kuala Nerus.

"Sejurus membayar tol di Plaza Tol Bukit Besi dekat sini, mangsa telah memberhentikan kereta yang dipandunya sendirian secara mengejut setelah dipercayai tiba-tiba mengalami sesak nafas.

"Petugas peronda LPT2 yang menyedari kejadian itu telah menghantar mangsa ke Klinik Kesihatan Bukit Besi dekat sini untuk mendapatkan rawatan,"katanya kepada Kosmo! hari ini.

Baharudin berkata, Che Ku Mohd. Rafi disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan klinik kesihatan itu sewaktu sedang mendapatkan rawatan pada pukul 10.50 malam. - K! ONLINE

Saturday, January 27, 2018

TLHT belasah Penang Juniors 8-0

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Pasukan Hoki Wanita Terengganu (TLHT) mengukuhkan cengkaman di persada liga selepas membelasah Penang Juniors 8-0 pada aksi keempat Liga Hoki Malaysia (Wanita) di Stadium Hoki Batu Burok di sini sebentar tadi.

Tuan rumah membuka jaringan menerusi Nurfatin Nabila Mohamad yang menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit kelapan.

Tuan Nur Hidayah Tuan Ismail meledak dua gol menerusi jaringan padang dalam tempoh tiga minit pada m-10 dan dan 13 yang meletakkan TLHT selesa mendahului 3-0 pada suku pertama perlawanan.

Penjaga gol Penang Juniors, Siti Nur Aisyah Hamidi terus tewas buat kali keempat apabila gagal menahan pukulan kencang penyerang tuan rumah, Nur Aisyah Hashim yang menghasilkan jaringan padang pada m-30.

Pesta gol TLHT berterusan apabila pasukan itu melebarkan kedudukan kepada 5-0 menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan Zahratul Farnana Sofea Md. Roslan pada m-35.

Nurul Najah Farhani Abd. Rashid meledak gol keenam tuan rumah pada m-54 manakala Norazlin Sumantri menyumbang dua gol bagi menjadikan kedudukan 8-0 pada m-55 dan m-57. - K! ONLINE

Gigit tangan koperal, empat wanita ditahan

BESUT –  Polis menahan empat beranak kerana bertindak ganas dengan menghalang tugas polis yang cuba menahan seorang ahli keluarga mereka di stesen minyak Kampung Raja di sini kelmarin.

Kesemua suspek wanita itu ditahan kira-kira pukul 5 petang termasuk seorang berusia 22 tahun yang bertindak menggigit tangan seorang anggota polis berpangkat koperal sehingga cedera.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata, perbuatan ganas empat wanita berusia dalam lingkungan 20 hingga 53 tahun itu bagaimanapun dapat dikawal sebelum mereka ditahan bersama seorang suspek lelaki.

“Sepasukan polis menyerbu stesen minyak tersebut untuk menahan lelaki berkenaan yang disyaki pengedar dadah selepas mendapat maklumat daripada salah seorang rakannya yang turut ditahan beberapa jam sebelum ini.

“Ibu dan tiga saudara perempuannya yang turut berada di lokasi kejadian bagaimanapun cuba menghalang tugas polis sehingga berlaku sedikit kekecohan,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Mohd. Zamri berkata, sebelum itu, polis telah menahan seorang lelaki berusia 24 tahun dipercayai pengedar dadah selepas menyerbu sebuah rumah di Felda Selasih di sini pada pukul 1 tengah hari kelmarin.

Menurut beliau, pemeriksaan menemui 270 pil dipercayai pil kuda, tujuh botol mengandungi serbuk dipercayai dadah jenis heroin dan 50 mililiter cecair yang dijuga syaki dadah selain sebuah beg mengandungi kad pengenalan dan lesen memandu milik suspek.

Friday, January 26, 2018

THT menewaskan TNB 2-0

KUALA TERENGGANU - Pasukan Hoki Terengganu (THT) kembali merampas takhta liga selepas menewaskan pendahulu, Tenaga Nasional Berhad (TNB) 2-0 pada aksi ketujuh Liga Hoki Malaysia di Stadium Hoki Batu Burok di sini sebentar tadi.

Kemenangan bergaya itu membolehkan juara keseluruhan bertahan itu muncul sebagai satu-satunya pasukan yang mengekalkan rekod tanpa kalah dalam liga setelah mengutip 15 mata hasil empat kemenangan dan tiga seri.

Pakar flick dunia dari Argentina, Gonzalo Peillat membuktikan kepakarannya dalam menyempurnakan pukulan sudut penalti apabila muncul wira meledak dua gol pada minit ke-11 dan 26.

Terdahulu, TNB memperolehi peluang untuk memecah kebuntuan namun percubaan kencang pemain kebangsaan, Firhan Ashaari berjaya di tepis penjaga gol THT, Muhammad Hafizuddin Othman pada minit keempat.

Pasukan pelawat yang dibarisi sepenuhnya oleh pemain tempatan turut mensia-siakan empat pukulan sudut penalti diperolehi pada minit ke-29, 35, 42 dan 47. - K! ONLINE

 

Penang Juniors jadi ‘lauk’ TLHT

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

PASUKAN Hoki Wanita Terengganu (TLHT) me­ngukuhkan cengkaman di persada liga selepas membelasah Penang Juniors 8-0 pada aksi keempat Liga Hoki Malaysia (Wanita) di Stadium Hoki Batu Burok, Kuala Terengganu semalam.

Kemenangan bergaya tersebut membolehkan juara bertahan itu mengekalkan rekod tanpa kalah selepas mengharungi empat perlawanan dengan mengumpul 10 mata hasil tiga kemenangan dan satu seri.

Tuan rumah membuka jari­ngan menerusi Nurfatin Nabila Mohamad yang menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit kelapan sebelum Tuan Nur Hidayah Tuan Ismail meledak dua gol menerusi ja­ringan padang dalam tempoh tiga minit iaitu minit ke-10 dan ke-13 sekali gus meletakkan TLHT selesa mendahului 3-0 pada suku pertama perlawanan.

Penjaga gol Penang Juniors, Siti Nur Aisyah Hamidi tewas kali keempat apabila gagal menahan pukulan kencang penyerang tuan rumah, Nur Aisyah Hashim yang menyumbat gol padang pada minit ke-30.

Pesta gol TLHT berterusan apabila empat gol lagi dijaringkan pada separuh masa kedua perlawanan masing-masing menerusi pukulan sudut pe­nalti yang disempurnakan Zahratul Farnana Sofea Md. Roslan pada (m-35), Nurul Najah Farhani Abd. Rashid (m-54) dan Norazlin Sumantri yang menyumbang dua gol pada minit ke-55 dan ke-57.

Pengendali TLHT, Muhammad Harun Al-Rashid Samri berkata, beliau gembira me­nyaksikan lapan gol terhasil pada aksi semalam yang disumbangkan oleh enam pemain berbeza.

“Kita mempunyai ramai pemain yang mampu menjaringkan gol untuk pasukan dan tidak bergantung harap pada seorang bintang semata-mata. Kita juga berjaya mengelak daripada dibolosi dalam tiga perlawanan berturut-turut termasuk aksi hari ini (semalam).

“Ia merupakan perkemba­ngan yang amat positif dalam usaha kita untuk mempertahankan kejuaraan,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

UniKL ikat THT di Kuala Terengganu dalam saingan MHL

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

PASUKAN Hoki Terengganu (THT) terpaksa berpuas hati meraih satu mata apabila sekadar mencatat keputusan seri 1-1 dengan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) pada aksi keenam Liga Hoki Malaysia (MHL) di Stadium Hoki Batu Burok, Kuala Terengganu semalam.

Keputusan tersebut menyebabkan kedudukan juara bertahan keseluruhan itu yang setakat ini memperoleh 12 mata menerusi tiga kemenangan dan tiga seri, sedikit goyang di persada liga.

Pada aksi kelima sebelum ini, kedua-dua pasukan turut berkongsi satu mata selepas mencatat keputusan seri 2-2.

Penyerang sensasi kebangsaan, Faizal Saari meledak gol awal buat THT menerusi jari­ngan padang pada minit ke-34.

UniKL yang tidak puas asa akhirnya memperoleh gol penya­maan menerusi jaringan padang Izwan Firdaus Ahmaf Tajuddin pada minit ke-51.

Terdahulu, tuan rumah yang melancarkan serangan bertali arus sejak suku pertama lagi buntu untuk menembusi pintu gol UniKL yang dikawal ketat penjaga gol lawan, David John Harte.

Dua pukulan sudut penalti padu yang diambil pakar flick Argentina, Gonzalo Peillat pada minit ke-29 dan ke-33 berjaya ditepis keluar Harte yang juga penjaga gol terbaik dunia.

Sementara itu, ketua jurulatih THT, Sarjit Singh berkata, pa­sukannya bernasib baik mencatat keputusan seri biarpun anak-anak buahnya didapati bermain di bawah prestasi sebenar pada aksi tersebut.

“UniKL sememangnya pasukan yang perlu diberi perhatian. Bagi saya, kedua-dua penjaga gol kita (Muhammad Hafizuddin Othman) dan lawan (Harte) telah beraksi cemerlang.

“Kita tidak boleh keciciran mata lagi dalam baki empat perlawanan selepas ini untuk mencerahkan peluang kembali merampas kejuaraan liga pada musim ini,” katanya.

TLHT belasah MSN Kedah 4-0



PASUKAN Hoki Wanita Terengganu (TLHT) mengukuhkan kedudukan dalam liga selepas membelasah Majlis Sukan Negeri (MSN) Kedah 4-0 pada aksi di Stadium Batu Burok, Kuala Terengganu semalam, lapor MOHD. AZLI ADLAN.

Ia merupakan kemenangan ke­dua berturut-turut juara bertahan tersebut selepas menewaskan Kuala Lumpur Wipers 4-0 dan hanya mencatat keputusan seri 1-1 dengan musuh ketat, Blue Warriors pada aksi sulung.

Pemain kebangsaan, Siti Rahmah Othman menjaringkan gol pertama buat TLHT menerusi pukulan sudut penalti pada minit ketujuh.

Jaringan tersebut berpunca daripada pukulan sudut penalti yang diambil Juliani Muhammad Din, namun cuba ditahan penjaga gol MSN Kedah, Nur Zurailia Izzati Roshlan sebelum terkena kayu hoki Siti Rahmah.

Tuan rumah menambah gol kedua menerusi pemain remaja, Nurul Najah Farhani Abd. Rashid melalui ja­ringan padang pada minit ke-47.
Juliani yang bermain di posisi pertahanan terus menambah luka MSN Kedah apabila meledak dua gol untuk TLHT menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-52 dan ke-55.

Pengendali tuan rumah, Muhammad Harun Al-Rashid Samri berkata, dia berpuas hati anak-anak buahnya terus mencatat kemena­ngan walaupun 80 peratus pemain yang diturunkan pada aksi tersebut merupakan skuad Sukan Malaysia (Sukma).

“Saya menurunkan ramai pemain Sukma pada aksi ini agar setara dengan pasukan lawan (MSN Kedah) yang turut diperkuat oleh pemain muda.

“Ternyata anak-anak buah saya dapat beraksi dengan baik dan ini bagus untuk pembangunan hoki negeri. Begitupun, sasaran kita mempertahankan kejuaraan liga tidak dipandang mudah,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Thursday, January 25, 2018

Perkeso terima 680 pemohonan SIP daripada pencarum kehilangan pekerjaan

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Seramai 680 pencarum yang terdiri daripada individu kehilangan pekerjaan mereka telah memohon Skim Insurans Pekerjaan (SIP) yang baru dilaksanakan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) pada awal tahun ini.

Pengerusi Perkeso, Tan Sri Dr. Aseh Che Mat berkata, sebanyak 110 daripada 680 pemohon tersebut sudah mula menerima manfaat SIP setelah permohonan mereka diluluskan.

"Setakat ini, Perkeso telah menerima 680 permohonan untuk mendapat manfaat SIP dari seluruh negara sehingga semalam. Seramai 110 pencarum telah disahkan layak untuk menerima manfaat SIP.

"Mereka layak menerima bantuan kewangan segera sehingga enam bulan, latihan meningkatkan kebolehpasaran dan bantuan untuk mendapatkan pekerjaan baharu," katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Perkeso di Wisma Perkeso Terengganu di sini hari ini.


Aseh berkata, kerajaan telah memperuntukkan RM120 juta kepada Perkeso menerusi Bajet 2018 pada tahun ini untuk melaksanakan SIP yang merupakan faedah jaringan keselamatan sosial bagi membantu pencarum kehilangan pekerjaan mendapatkan bantuan kewangan dan mencari kerjaya baharu. - K! ONLINE

TLHT belasah MSN Kedah 4-0

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Pasukan Hoki Wanita Terengganu (TLHT) mengukuhkan kedudukan dalam liga selepas membelasah Majlis Sukan Negeri (MSN) Kedah 4-0 pada aksi di Stadium Batu Burok, Kuala Terengganu hari ini.

Ia merupakan kemenangan kedua berturut-turut juara bertahan tersebut selepas menewaskan Kuala Lumpur Wipers 4-0 selepas hanya mencatat keputusan seri 1-1 dengan musuh ketat, Blue Warriors pada aksi sulung.

Pemain kebangsaan, Siti Rahmah Othman menjaringkan gol pertama buat TLHT  menerusi pukulan sudut penalti pada minit ketujuh.

Tuan rumah menambah gol kedua menerusi pemain remaja, Nurul Najah Farhani Abd. Rashid melalui jaringan padang pada m-47.


Juliani yang bermain di posisi pertahanan kemudiannya terus menambah luka MSN Kedah dengan meledak dua gol untuk TLHT menerusi pukulan sudut penalti pada m-52 dan m-55. - K! ONLINE

THT, UniKL seri 1-1

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Pasukan Hoki Terengganu (THT) terpaksa berpuas hati meraih satu mata apabila sekadar mencatat keputusan seri 1-1 dengan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) pada aksi keenam Liga Hoki Malaysia di Stadium Hoki Batu Burok, Kuala Terengganu sebentar tadi.

Penyerang sensasi kebangsaan, Faizal Saari meledak gol awal buat THT menerusi jaringan padang pada minit ke-34.

UniKL yang tidak puas asa akhirnya memperolehi gol penyamaan menerusi jaringan padang Izwan Firdaus Ahmaf Tajuddin pada minit ke-51.

Keputusan itu menyebabkan kedudukan THT yang juga juara bertahan keseluruhan itu sedikit goyang di persada liga setelah memperolehi 12 mata menerusi tiga kemenangan dan tiga seri. 


Pada aksi kelima sebelum ini, kedua-dua pasukan turut berkongsi satu mata selepas mencatat keputusan seri 2-2. - K! ONLINE

Tersadai di laut bergelora 3 jam

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Tiga nelayan menghadapi saat cemas apabila bot fiber yang mereka dinaiki untuk menangkap ikan mengalami kerosakan enjin dalam keadaan laut bergelora kelmarin.

Kesemua mangsa yang berusia dalam lingkungan 25 hingga 40 tahun yang tersadai kira-kira tiga jam di tengah laut terselamat apabila menerima bantuan daripada sepasukan anggota Maritim Malaysia (APMM) pada pukul 9 malam.

Pengarah Maritim Daerah Terengganu, Kepten Maritim Rahim Ramli (gambar kecil) berkata, keadaan laut bergelora menyebabkan bot APMM berjaya menunda bot fiber dinaiki mangsa ke Jeti Pejabat Maritim Terengganu di sini pada pukul 4 pagi semalam.

“Sebelum itu, kami mendapat maklumat bot yang dinaiki tiga mangsa terbabit mengalami kerosakan enjin pada kedudukan kira-kira 14 batu nautika dari muara Sungai Terengganu di sini pada pukul 6.28 petang semalam (kelmarin).

“Sewaktu kejadian, keadaan laut amat bergelora dengan ketinggian ombak mencecah sehingga lima meter menyebabkan kesemua mangsa yang mempunyai pengalaman turun ke laut bertahun-tahun tidak dapat menahan muntah sementara menunggu bantuan tiba,”  katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Rahim berkata, berdasarkan keterangan mangsa, mereka ke laut untuk menangkap ikan pada pukul 6.30 pagi kelmarin sebelum enjin bot yang mereka naiki mengalami kerosakan di tengah laut pada pukul 6.28 petang.

Menurut beliau, mangsa bernasib baik kerana telefon bimbit salah seorang daripada mereka masih berfungsi bagi membolehkan ahli keluarga dihubungi bagi mendapatkan bantuan.

“APMM pada mulanya menghadapi kesukaran untuk melakukan misi menyelamat disebabkan keadaan laut bergelora akibat fenomena air pasang dan keadaan cuaca yang sangat gelap.

“Ketiga-tiga nelayan terbabit berada dalam keadaan sihat. APMM menasihat orang ramai termasuk nelayan tradisional menangguhkan dulu aktiviti untuk menangkap ikan atau memancing pada musim tengkujuh ini,” katanya.

Wednesday, January 24, 2018

Guru besar didakwa seleweng wang zakat RM5,000

KUALA TERENGGANU – Seorang guru besar sebuah sekolah rendah di Kemaman mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menyalahgunakan wang zakat berjumlah RM5,000 dua tahun lalu.

Zabidah Sulaiman, 57, yang kini merupakan Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Gajah, Kemaman membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mohammad Haldar Abdul Aziz.

Zabidah dituduh mengemukakan borang akuan terima palsu berhubung pe­nerimaan agihan wang zakat RM5,000 sumbangan Ladang Rakyat Terengganu Sdn. Bhd. ketika menjadi Guru Besar SK Cheneh Baru 2, Kemaman.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di bilik mesyuarat Ladang Rakyat Terengganu, Kemaman pada 13 Julai 2015.

Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Wang zakat itu sepatutnya disalurkan kepada 100 murid miskin sekolah itu tetapi didakwa tidak diserahkan.

Hakim Mohammad Haldar membenarkan tertuduh dibebaskan dengan wang jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan kes pada 11 Februari depan. Zabidah membayar wang jaminan tersebut.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Fadhly Mohd. Zamry manakala tertuduh diwakili peguam bela Che Amir Che Musa.

Tuesday, January 23, 2018

Unit Berkuda, ATV PTCM 
pantau Pantai Batu Burok

KUALA TERENGGANU – Pertubuhan sukarelawan, Pasukan Tindakan Cemas Malaysia (PTCM) Terengganu meneruskan komitmen untuk memantau keselamatan pelancong yang beriadah di Pantai Batu Burok di sini.

Timbalan Ketua Turus Pasukan Tindakan Cemas Malaysia (PTCM), Dr. Abd. Nasir Mohd. Noor berkata, empat ekor kuda dan 16 kenderaan pelbagai guna jenis ATV akan digunakan untuk kerja-kerja pemantauan dan penyelamat tersebut pada setiap Sabtu sepanjang tahun ini.

Beliau berkata, seramai 20 anggota PTCM akan bertugas dengan menunggang kuda dan menaiki ATV dari pukul 10 pagi hingga 6 petang setiap Sabtu.

“Pemilihan untuk bertugas pada hari Sabtu kerana berdasarkan pemerhatian Pantai Batu Burok merupakan antara destinasi pe­lancongan terkenal di bandar raya padat dengan pengunjung pada hari tersebut yang merupakan hujung minggu.

“Skop tugas kami ialah memastikan ke­selamatan dan keselesaan pelancong yang beriadah di kawasan pantai yang sepanjang kira-kira 18 kilometer ini. Kami juga bersiap sedia untuk melakukan tugas-tugas menyelamat sekiranya berlakunya sebarang insiden kecemasan,” katanya selepas melancarkan Unit Berkuda dan ATV PTCM di Pantai Batu Burok di sini semalam.

Monday, January 22, 2018

Bot kargo Indonesia bawa muatan kelapa karam

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

DUNGUN – Lapan anak kapal warga Indonesia tersadai di Pulau Tenggol dekat sini selepas bot kargo membawa muatan kelapa yang dinaiki mereka hampir karam kelmarin.

Dalam kejadian pukul 2 pagi itu, kesemua mang­sa yang berumur dalam lingkungan 20 hingga 56 tahun itu bernasib baik kerana sempat keluar dari bot kargo mereka dan berenang ke Pulau Tenggol dekat sini untuk menyelamatkan diri.

Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Rahim Ramli berkata, sewaktu kejadian, bot kargo, Rezeki Mulia 1 yang sarat dengan muatan kelapa itu dalam perjalanan ke Narathiwat, Thailand dari Tambilahan, Riau, Indonesia.

“Mereka berlepas dari pelabuhan Riau pada 30 Disember lalu dan sepatutnya dijadualkan tiba di Narathiwat semalam (kelmarin).

“Begitupun, sistem pam air kapal kargo itu mengalami kerosakan yang menyebabkannya hampir karam sewaktu berada pada kedudukan kira-kira 13 batu nautika dari Pulau Tenggol dekat sini,” katanya kepada Kos­mo! semalam.
Rahim berkata, ke­semua mangsa warga Indonesia itu telah diberi perlindungan sementara oleh salah seorang pengusaha resort di pulau peranginan terbabit.

Menurut beliau, sepa­sukan anggota Maritim Malaysia (APMM) bergegas ke pulau tersebut sebaik dimaklumkan berhubung kejadian itu.

“Bot APMM telah membawa kesemua mangsa terbabit ke daratan sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen negeri untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sunday, January 21, 2018

TFC1 johan Piala MB Terengganu

MOHD. AZLI ADLAN dan KAMARIAH KHALIDI

KUALA TERENGGANU - Terengganu FC 1 (TFC1) muncul juara edisi sulung Piala Menteri Besar (MB) Terengganu selepas menewaskan pasukan 'adik', Terengganu FC II (TFCII) 4-2 pada aksi final di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini sebentar tadi.

Kejohanan yang merupakan sebahagian daripada persiapan pramusim bagi menghadapi saingan Liga Malaysia anjuran Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) itu turut disertai Pahang dan Melaka.

TFC1 membuka jaringan menerusi pemain sayap kanan, Abdul Malik Mat Ariff yang bijak memanfaatkan hantaran lintang kapten pasukan, Tchetche Kipre pada minit ke-16.

Kipre kemudian menjadikan kedudukan 2-0 selepas mudah menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-35.

Penjaga gol TFCII, Mohd. Shamirza Yusoff tewas buat kali ketiga selepas gagal menyelamatkan tendangan padu pemain tengah lawan, Mohd. Faiz Mohd. Nasir pada minit ke-64.

Kipre yang berasal dari Ivory Coast meledak gol kedua peribadi sekali gus meletakkan TFC1 selesa dengan kedudukan 4-0 pada minit ke-67.

TFCII memperolehi gol saguhati menerusi dua penyerang import, Bruno Suzuki dan Akanni Sunday pada minit ke-72 dan 88.

Piala dan ganjaran wang tunai, RM50,000 disampaikan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman yang juga Presiden PBSNT kepada TFC1.


Sebelum ini, Pahang dan Melaka tersingkir awal selepas masing-masing hanya mencatat satu kemenangan dan dua kekalahan pada pusingan awal. - K! ONLINE 

Dua pengedar diberkas bersama pil kuda

BESUT – Dua lelaki disyaki pengedar dadah berjaya diberkas polis dalam dua serbuan masing-masing di Kampung Raja dan Jabi dekat sini pada dua hari berturut-turut bermula kelmarin.

Kedua-dua suspek yang berusia 40 dan 19 tahun ditahan bersama sejumlah besar pil berwarna merah dan hijau dipercayai pil kuda sewaktu pemeriksaan dilakukan anggota polis terlibat.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata, dalam serbuan pertama, seorang lelaki berusia 40 tahun ditahan sewaktu berada dalam keadaan mencurigakan di dalam sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Pengkalan Kubur Tembila, Kampung Raja dekat sini pada pukul 5.20 petang kelmarin.

“Suspek pada mulanya melawan hingga berlaku pergelutan antara dia dan anggota polis bertugas namun berjaya ditumpaskan tidak lama kemudian.

“Pemeriksaan pada beg silang berwarna hitam milik suspek kemudiannya menjumpai 170 biji pil berwarna merah dipercayai dadah jenis pil kuda dan tiga botol mengandungi serbuk putih disyaki dadah jenis heroin,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Mohd. Zamri berkata, pemeriksaan sampel air kencing pada suspek yang berasal dari Kampung Baharu dekat sini juga mendapati dia positif dadah jenis morfin.

Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu, tangkapan kedua melibatkan seorang remaja lelaki berusia 19 tahun di Kampung Kuala Kubang, Jabi dekat sini pada pukul 2 pagi semalam.

“Suspek yang sedang menunggang motosikal Honda EX5 menggigil ketakutan sewaktu ditahan sepasukan anggota polis yang sedang melakukan rondaan.

“Pemeriksaan pada salah satu poket seluar trek remaja itu kemudiannya menjumpai 200 pil berwarna merah dan hijau dipercayai pil kuda namun pemeriksaan sampel air kencing dia didapati negatif,” ujarnya.

Saturday, January 20, 2018

Revolusi bola sepak Terengganu bermula

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
Foto : Azlan Bahrum

TERENGGANU yang dijenamakan semula sebagai Terengganu FC (TFC) I bakal kembali ke saingan Liga Super musim ini dengan satu semangat baharu.

Revolusi yang dilakukan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) sebaik saingan Liga Malaysia (Liga M) melabuhkan tirai musim lalu menjadikan TFCI satu-satunya sandaran bagi negeri Pantai Timur itu pada saingan Liga Super kali ini.

Penstrukturan semula bola sepak Terengganu itu turut menyaksikan empat pasukan diserap sebagai skuad pelapis (feeder club) termasuk T-Team yang kini dikenali sebagai TFC II dan bakal beraksi pada saingan Liga Premier.

Presiden PBSNT, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, penstrukturan semula berkenaan dilaksanakan bagi mengembalikan semula kegemilangan bola sepak Terengganu yang pernah menjadi antara pasukan digeruni tanah air suatu ketika dahulu.

“Perjalanan bola sepak Terengganu yang diwakili Terengganu FA dan T-Team sebelum ini tidak berapa lancar dengan tidak mampu menjulang sebarang piala sejak beberapa musim lalu biarpun menerima bantuan kewangan kukuh daripada kerajaan negeri.

“Sehubungan itu, perubahan ini adalah sebahagian langkah transformasi bagi memastikan PBSNT kembali fokus untuk memburu kejuaraan dalam saingan Liga Malaysia,” ujar beliau yang juga Menteri Besar Terengganu.

Ahmad Razif berkata, pengendali berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim terus diberi kepercayaan untuk mengemudi skuad TFC I setelah berjaya mencapai penunjuk prestasi utama musim lalu.
Menurutnya, Ifran Bakti cemerlang mencapai sasaran yang ditetapkan PBSNT iaitu kembali ke saingan Liga Super dengan membantu Terengganu (kini ?TFC I) muncul naib juara Liga Premier 2017.

“Walaupun boleh dikatakan pendatang baharu Liga Super musim ini, kami berkeyakinan tinggi untuk meletakkan sasaran agar TFC 1 berada dalam kelompok ketiga terbaik liga selain menjulang sekurang-kurangnya satu piala musim ini,” katanya.

Dalam pada itu, Irfan Bakti yang pernah menjulang skuad Penyu muncul juara Piala FA dan naib juara Piala Malaysia serta liga pada 2011 tidak menunggu lama untuk memperkukuhkan lagi skuad TFC I.

Muka baharu

Beliau segera menyambar tiga tonggak T-Team iaitu Mohamad Kamal Azizi Mohd. Zambri dan Wan Ahmad Amirzafran Wan Nadris yang bermain di posisi pertahanan serta Mohd. Fauzi Abdul Kadar (penyerang).

Bekas pengendali Felda United itu juga membawa pulang bekas pemain Pahang, Mohd. Ashari Samsudin dan Wan Mohd. Azraei Wan Teh kembali ke pangkuan skuad Penyu.

Pada masa sama, Irfan Bakti membawa masuk dua bekas pemain Kuantan FA iaitu pemain tengah, Shahrul Aizad Zulkifli dan penjaring terbanyak Liga Premier (kategori pemain tempatan) musim lalu, Abdul Malik Mat Ariff.

Benteng skuad TFC I musim ini juga diperkuatkan oleh bekas pemain Kedah, Mohd. Fitri Omar yang bermain di posisi pertahanan kiri.

Keseriusan TFC 1 untuk menjadi pasukan pencabar utama Liga Super musim ini terbukti apabila menandatangani lima pemain import baharu yang rata-ratanya mempunyai reputasi hebat bersama kelab lama masing-masing.

Terdahulu, Irfan Bakti mengambil tindakan drastik menggugurkan semua pemain import musim lalu kecuali ayam tambatan mereka, Tchetche Kipre yang prolifik mengemudi jentera serangan skuad Penyu.
Sebagai pengganti, dua penyerang import, Kim Hyeon Woo dari Korea Selatan dan Lee Andrew Tuck (Britain) yang masing-masing menyerlah sewaktu mewakili PKNP FC dan Negeri Sembilan musim lalu dibawa masuk bagi memberi lebih variasi untuk menggempur benteng lawan.

Barisan pertahanan TFC1 pula diperkuat oleh pemain berasal dari Montenegro, Igor Zonjic manakala kuota import Asia dan Asia Terenggara pula diisi pemain tengah kelahiran Kemboja, Thierry Chantha Bin.

Irfan Bakti memberitahu, beliau bersedia menyahut cabaran PBSNT yang menyasarkan kedudukan ketiga terbaik liga dan membawa pulang sekurang-kurangnya satu piala pada saingan musim ini.

“Oleh kerana kita berjaya melangkah ke separuh akhir Piala FA musim lalu, piala itu menjadi sasaran utama TFC 1 untuk dijulang musim ini.

“Berdasarkan beberapa siri perlawanan persahabatan di Kemboja dan Kejohanan Piala Menteri Besar Terengganu yang turut melibatkan TFC II, Pahang dan Melaka, saya sudah mendapat bayangan kebelasan utama musim ini,” katanya yang turut membayangkan lilitan kapten TFC I bakal diserahkan kepada Kipre yang disifatkannya mempunyai ciri-ciri kepimpinan di tengah padang.

Khidmat buang tatu percuma

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS  – Pusat Kecantikan dan Spa, Estetika Medispa dengan kerjasama Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) menawarkan perkhidmatan membuang tatu secara percuma kepada individu mualaf sebagai salah satu program tanggungjawab sosial korporat.
Ketua Pegawai Eksekutif Estetika Medispa, Dr. Abdul Haq Ab. Wasa berkata, Perkim memberitahu ramai dalam kalangan mualaf yang mempunyai kesedaran untuk membuang tatu pada mereka sebelum memeluk Islam menghadapi keka­ngan kerana kosnya yang agak mahal.

Beliau berkata, berdasarkan harga pasaran, caj yang dikenakan sehingga RM1,000 bagi setiap sesi serta proses pembuangan tatu memerlukan banyak sesi mengikut saiz dan warnanya.

Abdul Haq berkata, rawatan menggunakan pancaran laser bagi memecahkan pigmen warna sekali gus memudarkan tatu berkenaan memakan masa antara 15 minit hingga 45 minit bagi setiap sesi.

“Perkhidmatan membuang tatu secara percuma ini boleh didapati di lapan cawangan kami antaranya di Kuala Nerus, Kemaman, Shah Alam, Bangi, Klang, Pulau Pinang, Kuantan dan Kota Bahru.

“Setakat ini, empat mualaf lelaki telah tampil untuk menjalani rawatan membuang tatu tersebut sejak ia dilancarkan bulan lalu,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Bagi mualaf yang berminat, boleh menghubungi talian 017-934 8974.

Mangsa skim pelaburan hartanah dipercayai didalangi bekas pegawai polis diminta bantu siasatan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KEMAMAN - Mangsa Skim Pelaburan Permodalan Hartanah yang didakwa didalangi seorang bekas pegawai polis diminta tampil untuk membantu siasatan kes penipuan dipercayai dilakukan pada dua tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd. Said Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati ia melibatkan hampir 200 mangsa skim pelaburan palsu dengan jumlah kerugian dianggarkan lebih RM1 juta.

Beliau berkata, mangsa skim pelaburan tertuduh yang pernah bertugas sebagai pegawai siasatan berpangkat Inspektor di Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman tersebut dipercayai dari seluruh negara termasuk dalam kalangan anggota polis.

"Modul operandi yang dipercayai digunakan tertuduh ialah menawarkan pelaburan melibatkan transaksi pembelian rumah terpakai di sekitar Pantai Timur dengan minimum satu lot bernilai RM2,000.

"Mangsa skim pelaburan yang dijalankan sepanjang tahun 2016 itu telah dijanjikan keuntungan tiga kali ganda dalam tempoh secepat seminggu," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman di sini hari ini.

Tertuduh, Mohd. Salam Zainal Abidin, 31, telah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas pendakwaan menipu peniaga tersebut.

Isterinya, Nurul Shahila Saayan, 28, turut didakwa bersubahat dalam kes sama mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. - K! ONLINE 

Friday, January 19, 2018

MyBas Kuala Terengganu beroperasi April depan, tambang serendah 90 sen

KUALA TERENGGANU – Per­khidmatan Bas Awam Sepadu Malaysia (MyBas) yang sebelum ini terdapat di Arau, Seremban dan Ipoh akan memulakan operasi di bandar raya ini bermula April depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, MyBas Kuala Terengganu merupakan bandar pertama di Pantai Timur yang menikmati per­khidmatan bas henti-henti kendalian Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat itu.

Beliau berkata, lapan daripada 30 bas yang akan digunakan terdiri daripada bas elektrik yang pertama di Malaysia.

“Fasa pertama perkhidmatan MyBas Kuala Terengganu dijangka bermula dalam tempoh tiga bulan dari sekarang melibatkan laluan pusat bandar, Hospital Sultanah Nur Zahirah, Jeti Merang, Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Marang, Universiti Teknologi Mara Cende­ring dan Bukit Payung,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandata­ngani kontrak pengendali perkhidmatan MyBas Kuala Terengganu di sini semalam.

Hadir sama Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman.

Nancy berkata, kekerapan bas itu adalah selama 60 minit pada waktu puncak dan 90 minit pada waktu biasa manakala kadar caj pula antara 90 sen hingga RM2.50.

Buruh sorok 1,000 pil kuda dalam bakul

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

MARANG – Seorang buruh disyaki pengedar dadah jenis pil kuda ditahan dalam serbuan di rumahnya di Kampung Jambu Bongkok di sini Ahad lalu.

Dalam serbuan pukul 2 petang itu, suspek yang berusia 27 tahun ditahan bersama 1,000 biji pil berwarna merah dan hijau dipercayai pil kuda yang dianggarkan bernilai RM10,000.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd. Suhaimi Ali berkata, serbuan dilakukan hasil hasil risikan selama beberapa bulan setelah mengesyaki lelaki tersebut terlibat aktif dalam aktiviti pengedaran dadah di sekitar daerah ini.

“Sewaktu serbuan dilakukan, suspek tinggal bersendirian di dalam rumah itu manakala isterinya telah keluar bekerja dan dua anaknya berada di sekolah.

“Pemeriksaan di bahagian dapur rumah itu telah menemui sebotol plastik di dalam sebuah raga yang mengandungi pil disyaki pil kuda,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Marang di sini semalam.

Mohd. Suhaimi berkata, siasatan awal mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan kes penyalahgunaan dadah.

Menurut beliau, lelaki itu ditahan reman selama tujuh hari sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan mengikut Seskyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Nelayan ditemui mati terduduk di dalam bot di Sungai Dungun

DUNGUN – Seorang nelayan ditemui mati dalam keadaan terduduk dipercayai akibat serangan jantung di dalam bot gentian kacanya dipercayai akibat serangan jantung  di Sungai Dungun berhampiran Kampung Tebing Kilau di sini kelmarin.

Sebelum kejadian  Deris Said (gambar kecil), 55, sedang menahan taut untuk menangkap ikan di sungai berkenaan sebelum mayat lelaki itu ditemui anak saudaranya, Mohd. Rozaimi Mohd Rosli, 23, pada pukul 10.30 malam.

Mohd. Rozaimi berkata, sewaktu kejadian, dia turut menahan taut tidak berapa jauh dari lokasi kejadian.

“Sewaktu saya menyuluh untuk menahan taut bagi menangkap ikan di Sungai Dungun, saya ternampak bot kaca gentian milik  bapa saudara.
“Saya mendekati bot itu dan terperanjat melihat bapa saudara saya itu terkulai dalam keadaan terduduk tetapi kepalanya tersembam ke dalam permukaan su­ngai,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Mohd. Rozaimi berkata, dia kemudiannya mendapati Deris sudah tidak bernyawa sebelum menarik bot gentian kaca bapa saudaranya ke tebing sungai.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Supritendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memberitahu setakat ini ia diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.