Translate

Tuesday, November 28, 2017

Agrobank bermesra dengan penduduk Felda Kerteh

MESRA. Agrobank menganjurkan program Mesra bersama penduduk Felda Kerteh di Bandar Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu baru-baru ini.

Pengerusi Agrobank, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal berkata, program yang bertujuan untuk mendekati pelanggan institusi perbankan berkenaaan yang berada di luar bandar.

"Pelbagai aktiviti melibatkan segenap masyarakat diadakan seperti pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, penerangan produk kewangan, pelancaran mesin pengeluaran wang automatik dan bermesra dengan maskot Agrobank," katanya.

Hadir sama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Monday, November 27, 2017

Rahmad tolak tawaran kemudi TFC2

KUALA TERENGGANU - Ketua Jurulatih T-Team, Rahmad Darmawan meletakkan jawatan setelah pasukan berstatus kelab itu yang dijenamakan semula sebagai Terengganu Football Club 2 (TFC2) disahkan bakal bermain pada saingan Liga Premier pada musim depan.

Beliau yang juga jurulatih berpengalaman dari Indonesia berkata, keputusan untuk meninggalkan T-Team diambil selepas mengadakan pertemuan empat mata dengan Timbalan Presiden 1 Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Wan Nawawi Wan Ismail pada malam kelmarin.

"Pada pertemuan itu, PBSNT telah menawarkan saya kontrak untuk membimbing TFC2 tetapi saya dengan berat hati terpaksa menolaknya.

"Saya lebih gemar akan cabaran dan masih belum bersedia untuk melatih pasukan yang dijadikan feeder club (kelab pelapis)," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Kelmarin, PBSNT dalam kongres tahunannya telah meluluskan pelan penstrukturan semula semua pasukan bola sepak Terengganu dengan menggunapakai sistem feeder yang mengandungi lima pasukan.

Presiden PBSNT, Datuk Seri Abdul Razif Abd. Rahman berkata, TFC 1 akan menjadi pasukan utama yang akan beraksi pada saingan Liga Super manakala empat pasukan pelapis lain masing-masing akan bermain pada saingan liga bawahan. - K! ONLINE

Sunday, November 26, 2017

Ibu tunggal melarikan perabot rumah sewa dipenjara 10 bulan dan denda RM5,000

KUALA TERENGGANU - Gara-gara mencuri barangan dan perabot di sebuah rumah sewa pada dua bulan lalu, seorang ibu tunggal dijatuhi hukuman penjara 10 bulan serta denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Abdul Hayyi Salim memerintahkan demikian selepas Aizam Abd. Aziz, 44, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan.

Berdasarkan pertuduhan, Aizam didakwa menyalahguna harta milik Sharifah Salwa Syed Shafie, 43, secara curang di sebuah rumah sewa di Taman Semarak, Bukit Tunggal, Kuala Nerus pada pukul 11 pagi, 30 September lalu.

Tertuduh didakwa melarikan harta milik mangsa iaitu lima unit penyaman udara, dua katil dan tilam, seunit mesin basuh, seunit peti sejuk, satu set meja makan dan seunit kabinet televisyen.

Dia juga didakwa melarikan sebuah televisyen, sebuah sofa, dua set meja, sebuah seterika bersama papan penggosok, seunit tong gas, 13 unit bantal dan pelbagai peralatan dapur dari rumah yang disewanya.

Aizam didakwa mengikut Seskyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dari enam bulan hingga lima tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan. - K! ONLINE

Saturday, November 25, 2017

Wanita maut, suami dan dua anak cedera akibat kereta terbabas di LPT2

DUNGUN - Seorang ejen insurans wanita maut manakala suami dan dua anaknya cedera ringan selepas kereta Perodua Alza yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di Kilometer 343.8 Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) berhampiran Paka dekat sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 10.05 pagi itu, Noorhafizah Omar, 31, yang tercampak keluar dari kereta Perodua Alza yang dipandunya telah meninggal dunia sewaktu dalam perjalanan untuk menerima rawatan di Hospital Dungun di sini.

Suaminya, Mohd. Azlan Ismail, 31, yang merupakan seorang juruukur dan dua anak mereka, Mohd. Adam Haikal, 5, dan Nor Alisya Sufas, 3, terselamat dan hanya mengalami kecederaan ringan.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaakob berkata, sewaktu kejadian, mereka sekeluarga dalam perjalanan pulang ke kampung Mohd. Azlan di Kampung Teras Mentuan, Kota Bharu, Kelantan dari Kapar, Selangor.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta Perodua Alza yang dipandu mangsa tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas ke tepi jalan. Impak daripada kemalangan itu, mangsa telah tercampak keluar dari kereta menerusi cermin hadapan kereta terbabit," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini. - K! ONLINE

Friday, November 24, 2017

Dua nelayan bebas selepas 7 bulan ditahan pihak berkuasa Indonesia

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS - Dua nelayan lega dibebaskan pihak berkuasa Indonesia hari ini selepas ditahan selama lebih tujuh bulan kerana disyaki menceroboh perairan negara itu pada awal April lalu.

Kepulangan Mohd. Firdaus Mohamad, 27, dan Mohd. Zaidi Mohamad, 24, merupakan hasil inisiatif kerajaan negeri Terengganu itu disambut penuh emosi oleh ahli keluarga masing-masing.

Sebelum ini, dua lagi rakan mereka iaitu Mohd. Fadli Jaafar, 40, dan rakannya, Abdul Halim Nik, 43, telah berjaya dibebaskan dan kembali ke pangkuan keluarga masing-masing pada awal Ramadan lalu.

Tekong bot nelayan C2 berkenaan, Abdul Rashid Nik, 52, masih ditahan di dalam lokap di Pulau Terepat, Kepulauan Anambas, Indonesia dan masih dalam proses pembicaraan di mahkamah negara jiran tersebut.

Mohd. Firdaus berkata, dia dan Mohd. Zaidi dibebaskan pihak berkuasa Indonesia selepas mereka selesai memberi keterangan sebagai saksi kepada Abdul Rashid yang menghadapi pertuduhan menceroboh perairan negara itu di mahkamah pada 12 November lalu.

"Pengalaman lebih tujuh bulan di tahan di dalam lokap di Pulau Terepat telah memberi keinsafan kepada saya dan Mohd. Zaidi.

"Sepanjang berada di dalam lokap, saya sering terkenang isteri, Nur Rosmaniza Erna Abd. Rashir, 21, yang difahamkan terpaksa bekerja sebagai pembantu kedai makan untuk menyara hidup sepanjang ketiadaan saya," katanya ketika ditemui pemberita di Dataran Permata, Seberang Takir di sini hari ini.


Kosmo! 29 Mei lalu melaporkan bot nelayan yang dinaiki lima nelayan termasuk Mohd. Zaidi dan Mohd. Fauzi ditahan kapal Tentera Laut Indonesia kerana disyaki melepasi lima batu nautika perairan negara jiran itu berhampiran Pulau Natuna pada pukul 11.30 pagi, 8 April lalu. - K! ONLINE 

Thursday, November 23, 2017

Rahmad tolak tawaran kemudi pasukan TFC2

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KETUA jurulatih T-Team, Rahmad Darmawan mengotakan janjinya untuk meletakkan jawatan setelah pasukan berstatus kelab itu yang dijenamakan se­mula sebagai Terengganu Football Club 2 (TFC2) disahkan bakal bermain pada saingan Liga Premier pada musim depan.

Beliau yang juga jurulatih berpengalaman dari Indonesia berkata, keputusan untuk me­ninggalkan T-Team diambil selepas mengadakan pertemuan empat mata dengan Timbalan Presiden 1 Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Wan Nawawi Wan Ismail malam kelmarin.

“Pada pertemuan itu, PBSNT menawarkan saya kontrak untuk membimbing TFC2 tetapi saya dengan berat hati terpaksa menolaknya.

“Saya lebih gemar akan cabaran dan masih belum bersedia untuk melatih pasukan yang dijadikan feeder club (kelab pelapis),” kata­nya kepada Kosmo! semalam.

Rahmad, 50, memberitahu, tiga barisan kejurulatihan T-Team yang juga rakan sene­garanya iaitu penolong ketua jurulatih, Satia Bagdja Ijatna; jurulatih kecergasan, Rasiman dan jurulatih penjaga gol, Kurnia Sandy turut mengikut jejak langkah meninggalkan kelab.

Bekas ketua jurulatih skuad bawah 23 tahun Indonesia yang meraih pingat perak pada Sukan SEA ke-26 pada 2011 itu berkata, keputusan untuk mengundurkan diri sebagai pengendali T-Team dibuat setelah beliau berfikir panjang.

“Secara jujur, saya sedih untuk meninggalkan pasukan ini, negeri ini dan penyokong tetapi ini adalah keputusan profesional yang perlu saya buat.

“Saya juga berterima kasih kepada PBSNT kerana masih memberi kepercayaan kepada saya dengan menawarkan kontrak untuk membimbing TFC2,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengesahkan telah menerima tawaran sebagai ketua jurulatih daripada tiga kelab yang kini beraksi dalam Liga 1 Indonesia.

“Saya akan melakukan perbincangan lanjut dengan kesemua pasukan tersebut bagi menentukan hala tuju musim depan pada masa terdekat sebelum berangkat ke tanah suci untuk menunaikan umrah,” katanya.

Sepanjang dua musim bersama T-Team, Rahmad berjaya mengekalkan status pasukan berstatus kelab dalam saingan Liga Super selain mara ke pe­ringkat separuh akhir Piala Malaysia musim lalu.

Perkeso Terengganu serah bantuan kepada waris mangsa kemalangan

BANTUAN. Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menyampaikan faedah pengurusan mayat kepada waris kemalangan maut yang melibatkan empat beranak di Wisma Perkeso Terengganu, Kuala Terengganu, Terengganu baru-baru ini.

Timbalan Pengarah Perkeso Terengganu, Norihan Ibrahim berkata, cek faedah sebanyak RM2,000 itu telah disampaikan kepada waris Mohd. Sari Muda iaitu Nurulhuda, 28, dan Muhammad Khairul Ridzuan, 25.

“Skuad prihatin kita  telah berjaya menjejak waris Mohd. Sari sebaik mendapat maklumat kes kemalangan yang turut mengorbankan isteri, anak perempuan dan anak saudaranya di Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, Marang pada 4 November lalu," katanya.

Wednesday, November 22, 2017

Tiga jam cari mayat

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU – Sepasukan anggota Bomba dan Penyelamat Kuala Berang di sini mengambil masa selama tiga jam 20 minit untuk mengeluarkan mayat seorang pemandu treler yang tertimbus di bawah timbunan bijih besi kelmarin.

Mayat B. Jeganathan, 38, ditemui tertimbus selepas treler membawa muatan batu amang (bijih besi) yang dipandunya terbabas lalu terjunam ke dalam gaung di Kilometer 83 Jalan Aring-Sungai Gawi berhampiran Pusat Konservasi Gajah Kenyir dekat sini.

Kejadian pada pukul 3 petang itu hanya disedari sejam 16 minit kemudian oleh orang ramai sebelum menghubungi pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superinten­dan Mohd. Adli Mat Daud berkata, mangsa mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada kepala dan badan.

“Siasatan awal mendapati sebaik hendak melalui selekoh tajam di situ, treler dipandu mangsa te­lah hilang kawalan sebelum terbabas lalu terhumban ke gaung sedalam 9.14 meter.

“Ketika ditemui, mayat mangsa telah tersepit di tempat duduk pemandu dan tertimbus di bawah timbunan batu amang (bijih besi),” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Tambahnya, mangsa yang berasal dari Shah Alam, Selangor itu dalam perjalanan dari Gua Musang, Kelantan ke sini.

Menurut Mohd. Adli, bomba yang tiba pada pukul 7.31 malam mengambil masa kira-kira tiga jam 20 minit untuk mencari dan mengeluarkan mayat mangsa yang tertimbus itu.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu di sini untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada ahli keluarga.

SPRM Terengganu ada 11,000 anggota Gerah

KUALA NERUS – Terengganu memiliki paling ramai ahli Sahabat Gerakan Revolusi Antirasuah (Gerah) di bawah kelolaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan keanggotaannya kini mencecah hampir 11,000 orang.

Pengarah SPRM Terengganu, Mohd. Zaki Hassan berkata, sambutan memberangsangkan penduduk negeri ini terhadap Gerah membolehkan ia melepasi sasaran awal iaitu 10,000 anggota sewaktu pelancarannya pada Ogos lalu.

Beliau berkata, Gerah merupakan medium kepada masyarakat untuk me­nyalurkan maklumat, tenaga dan buah fikiran kepada SPRM bagi menjayakan usaha-usaha pencegahan rasuah.

“Program Ikrar Bebas Rasuah (IBR) juga mendapat sambutan menggalakkan dengan 46 jabatan dan agensi kerajaan negeri telah berbuat demikian­ sejak bulan Februari lalu.

“Saya difahamkan ada 59 agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan di negeri ini sedang menunggu giliran untuk melaksanakan program IBR. Kami bercadang untuk menyelesaikannya menjelang akhir tahun ini,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Terdahulu beliau selepas menyaksikan majlis lafaz dan menandatangani IBR oleh 1,100 kakitangan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang diketuai Naib Canselor UniSZA, Prof. Ahmad Zubaidi A. Latif.

Tuesday, November 21, 2017

Kerajaan negeri Terengganu lancar TGTP bantu siswazah menganggur


Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS - Kerajaan negeri Terengganu melancarkan program Transformasi Siswazah Terengganu (TGTP) yang bertujuan membantu dan memberi latihan kemahiran tambahan kepada graduan menganggur kelahiran negeri tersebut.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, seramai 275 pelatih telah terpilih untuk menyertai projek perintis TGTP yang bakal bermula pada bulan depan.

Beliau berkata, pelatih terbabit akan menjalani latihan bagi meningkatkan kebolehpasaran mereka di agensi dan syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) selama enam bulan sehingga Mei tahun depan.

"Kesemua pelatih itu akan menerima elaun bulanan sebanyak RM1,000. Sekiranya mempamerkan prestasi cemerlang, tempoh latihan mereka di bawah TGTP akan dilanjutkan selama enam bulan lagi seterusnya berpeluang diserapkan sebagai kakitangan tetap di agensi dan GLC negeri tersebut.

"Antara agensi dan GLC negeri yang mengambil bahagian ialah Terengganu Incorporated, Jabatan Pelancongan negeri, Jabatan Pertanian, Jabatan Perikanan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Yayasan Pembangunan Pembangunan Usahawan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau ditemui selepas merasmikan program TGTP yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan negeri, A. Latiff Awang. - K Online!


Rahmad ancam letak jawatan

PENGENDALI T-Team, Rahmad Darmawan mengancam untuk meletakkan jawatan sekiranya pasukan berstatus kelab itu terpaksa ‘turun pangkat’ beraksi dalam saingan Liga Premier musim depan.

Jurulatih berpe­ngalaman dari Indonesia itu berkata, cadangan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) tersebut amat mengejutkan dan mengecewakannya.

“Setakat ini, saya dimaklumkan pengurusan T-Team masih belum menerima ‘hitam putih’ tentang kemungkinan pasukan perlu beraksi pada Liga Premier musim depan walaupun ia sudah heboh diperkatakan sejak akhir-akhir ini.

“Ia sesuatu yang sangat mengejutkan kerana saya sudah merangka perancangan terbaik untuk membentuk pasukan yang lebih mantap bagi saingan Liga Super musim depan,” katanya kepada Kosmo! di Kuala Terengganu semalam.

Rahmad berkata, selaku ketua jurulatih, beliau mempertahankan prestasi T-Team dan telah melakukan yang terbaik pada musim lalu bagi memastikan pasukan berstatus kelab tersebut kekal beraksi dalam saingan Liga Super.

Bekas pengendali pasukan bawah-23 tahun Indonesia itu berkata, beliau amat menyayangi­ T-Team sehingga telah menolak tawaran lumayan beberapa pa­sukan daripada Liga 1 Indonesia pada musim depan.

“Saya menolak tawaran-tawaran itu dengan harapan dapat menyelesaikan tugasan bersama T-Team dan kontrak saya masih ada sehingga berakhir musim depan (2018).

“Berdasarkan situasi semasa, saya hanya akan fikir kekal de­ngan T-Team jika kelab ini ber­aksi pada Liga Super. Jika bermain pada Liga Premier pula, keputusan saya mungkin sebaliknya,” katanya.

The Titans rayu cadangan beraksi 
di liga kedua dibatal

SPEKULASI hanya satu pasukan bola sepak Terengganu beraksi untuk saingan Liga Super pada musim depan amat mengejutkan Persatuan Bola Sepak Daerah Kuala Terengganu (PBDKT) yang menaungi kelab T-Team.

Peranca­ngan itu sekiranya menjadi realiti akan menyebabkan The Titans yang menduduki tempat kelapan dalam Liga Super musim ini terpaksa beraksi dalam sai­ngan Liga Premier tahun depan.

Cabaran untuk menghadapi persaingan se­ngit dalam Liga Super mu­­sim depan dikatakan akan hanya digalas oleh Terengganu FA yang muncul naib juara Liga Premier baru-baru ini.
Presiden PBDKT, Mohamad Sekanther Abdul Hamid berkata, desas-desus itu mengejutkan, apatah lagi setakat ini pihaknya masih belum menerima ‘hitam putih’ berhubung keputusan tersebut daripada Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT).

“Jika benar, saya mohon PBSNT mengkaji semula keputusan itu kerana ia tidak adil buat T-Team yang telah bertungkus lumus mengekalkan ke­dudukan dalam Liga Super pada musim ini.

“Perancangan hanya meletakkan satu pasukan dalam Liga Super musim depan juga bakal memberi kesan negatif kepada T-Team dan pemba­ngunan sukan bola sepak di Terengganu,” katanya.

Mohamad Sekanther berkata, berdasarkan desas-desus yang tersebar di media sosial sejak kelmarin, pasukan Piala Presiden T-Team juga terpaksa dibubarkan ke­rana PBSNT turut mahu satu pasukan mewakili Terengganu pada saingan peringkat pembangunan sukan bola sepak tersebut.

Menurut beliau, ia pasti memberi kesan kepada pemain-pemain skuad Piala Presiden T-Team yang bukan sahaja berbakat tinggi, malah masih mempunyai kontrak dengan pasukan sehingga tahun 2019.

“Kita perlu fikir masak-masak hala tuju bola negeri. Apa pun, saya masih belum dimaklumkan oleh PBSNT dan percaya ia masih dalam peringkat perbincangan,” katanya.

Revolusi bola sepak Terengganu

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

PERSATUAN Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) mengesahkan pihaknya bercadang untuk menghantar satu pasukan bagi beraksi dalam sai­ngan Liga Super musim depan.
Timbalan Presiden 1 PBSNT, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail (gambar) berkata, cadangan yang belum dimuktamadkan itu merupakan sebahagian daripada agenda penjenamaan semula bagi meningkatkan mutu bola sepak pasukan Terengganu.

“Berdasarkan perbincangan antara PBSNT dan kerajaan negeri sebelum ini, satu pasukan sahaja akan dihantar untuk saingan Piala Presiden dan Piala Belia mulai musim depan.

“Ia bukan sahaja bertujuan mengurangkan bajet besar yang telah dibelanjakan sebelum ini, malah bagi meningkatkan mutu pasukan negeri ke arah yang lebih hebat dan berkualiti,” katanya kepada Kosmo! di Kuala Terengganu semalam.

Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu itu berkata, usaha terhadap penjenamaan semula pasukan bola sepak Terengganu itu tidak seharusnya dicurigakan dan perlu dilihat sebagai sesuatu yang positif.

Justeru, beliau berharap semua pihak termasuk ahli gabungan PBSNT dan penyokong tegar bola sepak negeri dapat memahami dan memberi kerjasama penuh terhadap penjenamaan semula itu.

“PBSNT mahu melaksanakan perubahan ini dengan harapan ia dapat memberi impak positif kepada pasukan dalam misi untuk menjulang trofi dalam Liga Malaysia.

“Walaupun satu pasukan akan beraksi dalam saingan Liga Premier, ia tidak bermakna pasukan itu tidak mampu untuk meraih kejayaan,” katanya.

Monday, November 20, 2017

SPRM Terengganu ada 11,000 anggota Gerah

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS - Terengganu mempunyai keahlian paling tertinggi dalam program Sahabat Gerakan Revolusi Anti Rasuah (Gerah) kelolaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di seluruh negara dengan keanggotaan kini berjumlah hampir 11,000 orang.

Pengarah SPRM Terengganu, Mohd. Zaki Hassan berkata, sambutan memberangsangkan penduduk negeri ini terhadap Gerah telah melepasi sasaran awal 10,000 anggota sewaktu pelancarannya di peringkat negeri pada bulan Ogos lalu.

Beliau berkata, Gerah merupakan medium kepada masyarakat untuk menyalurkan maklumat, tenaga dan buah fikiran kepada SPRM bagi menjayakan usaha-usaha pencegahan rasuah.

"Program Ikrar Bebas Rasuah (IBR) juga mendapat sambutan menggalakkan dengan 46 jabatan dan agensi kerajaan negeri telah berbuat demikian sejak bulan Februari lalu.

"Saya difahamkan ada 59 agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan di negeri ini sedang menunggu giliran untuk melaksanakan program IBR. Kami bercadang untuk menyelesaikannya menjelang akhir tahun ini," katanya kepada pemberita di  sini hari ini.

Terdahulu, beliau menyaksikan majlis lafaz dan menandatangani IBR oleh 1,100 kakitangan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang diketuai diketuai Naib Canselor UniSZA, Prof. Dr. Ahmad Zubaidi A. Latif. - K! ONLINE

Banteras pencerobohan haram nelayan Vietnam

PENCEROBOHAN nelayan asing terutamanya Vietnam terhadap perairan negara termasuk wilayah Pantai Timur untuk menangkap ikan secara haram bukanlah isu yang baharu.

Ia semakin membarah sejak akhir-akhir ini dan terus menjadi kebimbangan dalam kalangan nelayan laut tempatan sehingga mendapat perhatian khusus Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini.

Semasa merasmikan program Gelombang Nelayan Nasional anjuran Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di Pantai Kuala Kerteh, Kemaman, Terengganu pada bulan lalu, Ahmad Zahid telah me­ngarahkan pasukan keselamatan negara merangkumi Maritim Malaysia (APMM), Pasukan Gerakan Marin dan Tentera Laut Diraja Malaysia memperkasa penguatkuasaan di perairan negara.

Menurutnya, pencerobohan nelayan asing itu telah menyebabkan negara kehilangan antara RM3 bilion hingga RM6 bilion hasil ikan setiap tahun.

Pengarah Maritim Daerah Terengganu, Kepten Maritim Rahim Ramli berkata, APMM dengan kerjasama Jabatan Perikanan komited dalam usaha membanteras pencerobohan nelayan asing di perairan Terengganu.

Beliau berkata, pihaknya berusaha menangani pencerobohan nelayan asing terutama di lokasi-lokasi panas iaitu Kuala Terengganu, Dungun dan Kemaman.

Katanya, biarpun berhadapan dengan keupayaan aset yang terhad, APMM Terengganu telah berjaya mematahkan lebih 20 aktiviti pencerobohan nelayan Vietnam.

Katanya, nilai rampasan meliputi bot nelayan Vietnam dan hasil tangkapan ikan adalah melebihi RM60 juta sejak awal tahun ini.

“Pada kebiasaannya, nelayan tersebut menceroboh Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) milik negara kita. Mereka menggunakan modus operandi mengecat bot masing-masing seperti milik nelayan tempatan selain mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Terengganu.

“Saya percaya lambakan nelayan Vietnam ini disebabkan kekurangan sumber di perairan negara mereka selain peranan petualang disyaki terdiri daripada rakyat tempatan,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Komen Rahim itu berkait dengan kes penahanan 22 individu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki terlibat dalam sindiket pencerobohan nelayan asing ke perairan negara pada minggu lalu.

Operasi besar-besaran yang diadakan di empat negeri iaitu Terengganu, Pahang, Sabah dan Sarawak tersebut turut melibatkan pegawai APMM serta jurubahasa sambilan bagi membantu agensi pe­nguatkuasaan maritim berkomunikasi dengan nelayan Vietnam setiap kali tangkapan dilakukan.

Setakat ini, empat individu terlibat telah dihadapkan ke mahkamah di Kuala Terengganu dan Kuantan, Pahang atas pertuduhan memberi suapan kepada pegawai APMM.

Salah seorang daripada tertuduh tersebut ialah seorang tauke ikan Vietnam berusia 48 tahun. Dia telah membuat pengakuan bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu pada Khamis lalu kerana memberikan RM100,000 kepada Pengarah Pangkalan APMM Kemaman sebagai dorongan untuk melepaskan dua bot nelayan yang telah disita.

Pengerusi Persatuan Nelayan Terengganu (Penentu), Mat Yassim Mohamed berkata, pembongkaran sindiket itu oleh SPRM sebagai tepat pada masanya dan merupakan permulaan baik dalam usaha membanteras masalah yang membelenggu nelayan laut dalam tempatan sejak sekian lama.

“Secara peribadi, saya kecewa jika siasatan mendapati terdapat segelintir pegawai penguat kuasa ma­ritim yang terpedaya dengan tawaran rasuah daripada sindiket pencerobohan nelayan asing terbukti benar.

“Nelayan-nelayan yang bernaung di bawah Penentu sering menyalurkan maklumat tentang sebarang pencerobohan nelayan Vietnam kepada agensi penguatkuasaan termasuk APMM demi mendapat pembelaan tetapi malangnya kepercayaan itu seolah-olah diragut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Mat Yassim berkata, pencerobohan itu telah memberi kesan besar terhadap periuk nasi nelayan tempatan terutama yang memegang lesen C2 iaitu nelayan laut dalam.

Katanya, nelayan asing itu juga menggunakan pukat ganding yang diharamkan di negara ini hingga memusnahkan kawasan terumbu karang dan tukun tiruan.

“Tidak ramai nelayan laut dalam tempatan berani menangkap ikan di kawasan melebihi 100 batu nautika dalam perairan negara sedangkan zon tersebut mempunyai ikan dalam jumlah yang banyak. Ini adalah ke­rana ancaman keselamatan daripada nelayan Vietnam yang segelintirnya memiliki senjata api,” katanya.

Sehubungan itu, Mat Yassim berharap operasi dilakukan SPRM itu tidak dilakukan secara bermusim sahaja dan perlu mempunyai kesinambungan bagi memastikan gejala sogokan itu dapat dibanteras sepenuhnya.

“Saya percaya ramai lagi tonto (orang tengah) yang masih terlepas dan mereka tidak pernah akan putus asa untuk menawarkan sogokan terhadap pegawai penguat kuasa. Ketatkan juga pemberian lesen C2 kepada tauke ikan Vietnam terutama di Pahang dan jangan teragak-agak untuk membatalkan lesen mereka jika penyalahgunaan dikesan,” katanya.

Tuesday, November 14, 2017

SMK Paka johan pertandingan Petronas All About Youth

BIJAK. Sebanyak 10 pasukan sekolah menengah menyertai pertandingan Petronas All About Youth peringkat negeri Terengganu anjuran Petronas di Dungun, Terengganu baru-baru ini.

Pengurus Besar Petronas Wilayah Timur, Wan Mohd. Hasnan Abdullah berkata, pertandingan tersebut bertujuan untuk mengasah bakat dan kreativiti pelajar sekolah menengah untuk menghasilkan aplikasi telefon pintar yang memberi manfaat kepada komuniti setempat.

“Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paka dipilih sebagai johan pertandingan tersebut.

“Pasukan sekolah itu berjaya mencipta aplikasi Android Acu Paka yang menyediakan hab pencarian dan perkongsian maklumat bagi memudahkan urusan harian masyarakat di kawasan Paka,” katanya.

Monday, November 13, 2017

Agrobank beri manfaat kepada 36,000 penduduk Felda

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

DUNGUN –  Agrobank terus meluaskan perkhidmatannya dengan menyediakan sebuah mesin juruwang automatik (ATM) yang ke-351 di Malaysia di Terminal Bas Bandar Ketengah Jaya, Felda Kerteh dekat sini.

Pengerusinya, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal berkata, mesin itu ia bakal memberi manfaat kepada 38,000 penduduk yang menghuni di enam gugusan Felda Kerteh.

“Sebelum ini saya difahamkan Felda Kerteh termasuk pusat bandarnya, Bandar Ketengah Jaya dekat sini sudah 10 tahun tidak mempunyai perkhidmatan perbankan terma­suk mesin ATM.

“Penduduknya terpaksa ke pekan terdekat iaitu Paka yang terletak kira-kira 18 kilometer dari sini untuk urusan perbankan termasuk mengeluarkan wang ekoran ketiadaan mesin ATM di kawasan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas selepas mengha­diri majlis Mesra Agrobank bersama penduduk Felda Kerteh di Bandar Ketengah Jaya yang dirasmikan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dekat sini semalam.

Mohamad Zabidi berkata, selain itu, Koperasi Peneroka Felda Kerteh Jaya dan Koperasi Felda Kerteh 6 juga dilantik sebagai ejen Agrobank bagi memudahkan penduduk menjalani transaksi perbankan, membayar bil utiliti dan memohon pembiayaan mikro dengan bank berkenaan.

“Ia adalah langkah untuk memperkasakan komuniti pertanian sekali gus meningkatkan akses kewangan kepada penduduk luar bandar,” katanya.

Repsol bina bilik penjagaan diri talasemia di Hospital Hulu Terengganu

PRIHATIN. Syarikat minyak dan gas antarabangsa, Repsol Oil & Gas Malaysia Limited (Repsol) menyumbang RM50,000 bagi pembinaan sebuah bilik penjagaan harian bagi pesakit talasemia di Hospital Hulu Terengganu, Terengganu baru-baru ini.

Penasihat Kanan Jabatan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar Repsol, Ruzzle Abd. Ghani berkata, pembinaan bilik itu bertujuan memberi keselesaan dan kemudahan kepada pesakit talasemia dan ahli keluarga mereka terutama dari daerah Hulu Terengganu.

Sunday, November 12, 2017

90 pengasuh kanak-kanak sertai kursus pendidikan awal

LATIHAN. Seramai 90 pengasuh kanak-kanak yang menyertai program Latihan Kemahiran Golongan B40 iaitu golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah menerima sijil tamat kursus masing-masing di Quinara Al-Safir Resort, Kuala Nerus, Terengganu baru-baru ini.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Muttalib berkata, kesemua peserta terbabit berjaya menamatkan Kursus Asuhan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan Usahawan Asuhan Permata di Rumah yang dibiayai Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran.

“Kursus yang dilaksanakan secara percuma ini bertujuan untuk memberi pendedahan terhadap pengasuhan dan pendidikan awal kanak-kanak yang berkualiti terhadap golongan sasaran terutamanya pengasuh taska dan di rumah,” katanya.

Saturday, November 11, 2017

Tauke bot nelayan mengaku salah

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang tauke nelayan warga Vietnam mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan memberi suapan sebanyak RM100,000 kepada Pengarah Pengkalan Maritim Malaysia (APMM) Kemaman pada Ahad lalu.

Tran Van Seng, 48, membuat pengakuan itu di  hadapan Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz.

Mengikut pertuduhan, Van Seng bersama pasangan suami isteri, Abd. Rauf Mohamed, 36 dan Sa Ly Hah, 29, didakwa memberi suapan RM100,000 kepada Pegarah Pengkalan Maritim Kemaman, Leftenan Komander Maritim Muhammad Rezal Kamal Bashah di Restoran Kampung Meraga Beris, Resort World Kijal, Kemaman pada pukul 12.50 tengah hari, 5 November lalu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan sebagai dorongan untuk melepaskan dua bot nelayan Vietnam yang dirampas kerana menceroboh perairan negara untuk menangkap ikan secara haram.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, Abd. Rauf dan Ly Hah membuat pengakuan tidak bersalah atas pertuduhan sama dan minta dibicarakan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Yasmin Salleh manakala tertuduh diwakili peguam bela, Rozilawati Mat Hassan.

Mohamad Haldar kemudian membenarkan Abd. Rauf dibebaskan dengan wang jaminan RM40,000 selain pasport antarabangsanya perlu diserahkan kepada mahkamah.

Ly Hah dan Van Seng pula tidak dibenarkan untuk diikat jamin kerana merupakan warga asing.

Mahkamah menetapkan 28 November ini untuk sebutan semula kes.

Kosmo! 7 November lalu melaporkan seramai 22 individu termasuk penjawat awam dan warga Vietnam ditahan dalam Ops Armada berhubung sindiket pencerobohan nelayan Vietnam melibatkan rampasan RM1.9 juta.

Friday, November 10, 2017

25 orang pengamal media Terengganu bersantai di Tasik Kenyir

MESRA. Seramai 25 pengamal media Terengganu menyertai program Menjinak Kelah anjuran Jabatan Penerangan negeri di Santuari Kelah, Tasik Kenyir, Hulu Terengganu baru-baru ini.

Penolong Pengarah Jabatan Penerangan Terengganu, Azmee Mohd. Noor berkata, program bertujuan bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan antara pengamal media di negeri ini.

"Program mesra ini diadakan secara santai dengan pengamal media Terengganu dibawa meredakan tekanan kerja setelah bekerja keras sepanjang tahun di Santuari Kelah yang merupakan salah satu tarikan pelancongan di Tasik Kenyir," katanya.

Thursday, November 9, 2017

Suami isteri dan tauke bot nelayan Vietnam didakwa rasuah APMM

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Pasangan suami isteri dan seorang tauke bot nelayan warga Vietnam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merasuah Pengarah Pengkalan Maritim Kemaman sebanyak RM100,000 pada Ahad lalu.
Tran Van Seng, 48, yang merupakan tauke bot nelayan Vietnam membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz.
Jurubahasa sambilan, Sa Ly Hah, 29, yang merupakan warganegara Vietnam dan suaminya, Abd. Rauf Mohamad, 36, pula membuat pengakuan tidak bersalah atas pertuduhan sama.
Berdasarkan pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh didakwa memberi suapan RM100,000 kepada Pegarah Pengkalan Maritim Kemaman, Leftenan Komander Maritim Muhammad Rezal Kamal Bashah sebagai dorongan untuk melepaskan dua bot nelayan Vietnam yang dirampas Maritim Malaysia (APMM).
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Restoran Kampung Meraga Beris, Resort World Kijal, Kemaman pada pukul 12.50 tengah hari, 5 November lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan. - K! ONLINE

Terengganu impi kejuaraan Liga Premier

SKUAD Terengganu yang sudah layak ke saingan Liga Super musim depan berhasrat untuk menghadiahkan kejuaraan Liga Premier kepada penyokong tegar mereka, lapor MOHD. AZLI ADLAN.

Bagi merealisasikan impian itu, skuad Penyu berazam memberi persembahan terbaik menjinakkan PKNP FC pada aksi terakhir Liga Premier tersebut di Stadium Perak, Ipoh malam ini.

Jurulatih Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim berkata,  beliau mengakui kemenangan terhadap anak buah Abu Bakar Fadzim masih belum mencukupi kerana mereka juga perlu mengharapkan pendahulu, Kuala Lumpur tumbang sewaktu melayan Johor Darul Ta'zim II (JDTII) di Pasir Gudang.

"Kami tidak mahu mensia-siakan sisa-sia peluang yang tinggal untuk menjulang trofi kejuaraan Liga Premier sebagai hadiah kepada peminat yang tidak henti-henti memberi sokongan kepada Terengganu sejak awal musim.

"Para pemain menjanjikan aksi terbaik untuk menumpaskan PKNP FC sambil kita juga perlu mengharapkan tuah agar Kuala Lumpur keciciran mata dalam aksi terakhir mereka," katanya kepada Kosmo! di Kuala Terengganu semalam.

Irfan berkata, beliau dijangka menurunkan kesebelasan utama kecuali pertahanan kiri, Adib Aizuddin Ab. Latif untuk menghadapi skuad kendalian Abu Bakar Fadzim tersebut.

Bekas pengendali Felda United tersebut berkata, kehadiran Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu yang dijadual menonton aksi terakhir di Stadium Perak itu pasti akan menyuntik motivasi para pemain.

Sebelum ini, Terengganu dan pendahulu Kuala Lumpur yang sudah mengesahkan slot ke Liga Super musim depan masing-masing berkongsi 47 mata tetapi di pisahkan dengan perbezaan gol.

Wednesday, November 8, 2017

100 pelajar Sesma jayakan program sukarelawan di HSNZ

MURNI. Seramai 100 pelajar Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (Sesma), Kuala Nerus menyertai program Kesedaran Sukarelawan Sekolah Malaysia di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu, Terengganu baru-baru ini.

Pengetua Sesma, Noor Aza Abd. Aziz berkata, program yang mendapat kerjasama Pertubuhan Sukarelawan Sebaran Budi itu bertujuan untuk memupuk budaya melakukan kerja-kerja sukarelawan dalam kalangan generasi muda.

"Ia memberi peluang pelajar sekolah terbabit mempelajari selok-belok untuk melaksanakan projek kesukarelawan dan sosial komuniti di kawasan kejiranan masing-masing," katanya.

Tuesday, November 7, 2017

Nelayan asing ceroboh perairan kaut sumber ikan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Hasil kajian Institut Sumber Marin Asia Terenggara (ISMAT) mendapati populasi sumber ikan plagik seperti bawal, tamban, tuna, selar dan kembung semakin banyak di perairan wilayah Pantai Timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Munir Mohd. Nawi berkata, kebanyakan ikan plagik terbabit yang hidup secara berkumpulan pada kedalaman hingga 200 meter dari permukaan laut berada pada kira-kira 100 hingga 200 nautika dari perairan negara.

Bagaimanapun, beliau berkata, malangnya sumber ikan plagik yang banyak ini tidak diteroka dengan sebaiknya oleh nelayan laut dalam tempatan (C2) kerana kebanyakan mereka hanya menjalankan aktiviti penangkapan ikan pada sekitar 30 batu hingga 100 batu nautika dari perairan negara.

“Ia antara punca yang memudahkan nelayan-nelayan asing mengambil kesempatan menceroboh perairan negara untuk mengaut sumber ikan plagik terbabit.

“Oleh itu, kita beri galakan supaya lebih ramai lagi nelayan laut dalam tempatan agar memberanikan diri menangkap ikan di kawasan yang kaya dengan sumber ikan plagik itu,” katanya selepas melancarkan nama baharu Jabatan Pengurusan dan Pembangunan Sumber Ikan Marin kepada ISMAT di Pusat Pembangunan Perikanan Asia Terengganu, Chendering di sini semalam.

Munir berkata, pihaknya menganggarkan tidak lebih 10 peratus daripada 1,190 bot nelayan C2 berdaftar di seluruh negara termasuk Pantai Timur yang menjalankan aktiviti penangkapan ikan di kawasan melebihi 100 batu nautika.

Menurutnya, sekiranya kekayaan sumber ikan plagik yang terdapat di perairan laut dalam itu dieksploitasi oleh nelayan laut dalam tempatan, beliau percaya nilai pendaratan ikan yang kini berjumlah RM36 bilion setahun mampu dipertingkatkan.

“Ia sekali gus mengurangkan kehilangan sumber marin yang ditangkap secara haram oleh nelayan asing yang dianggarkan kira-kira RM2 bilion setahun,” katanya.

Monday, November 6, 2017

SPRM tahan suami isteri dan tauke bot cuba rasuah APMM RM100,000

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KEMAMAN - Tiga individu termasuk sepasang suami isteri dan seorang tauke bot nelayan warga Vietnam ditahan reman selama tujuh hari sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan cubaan merasuah pegawai Maritim Malaysia (APMM) untuk melepaskan bot nelayan negara itu yang telah disita agensi penguat kuasa itu baru-baru ini.
Perintah reman itu dibenarkan Hakim Badrul Munir Abdul Hamdi di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, ketiga-tiga suspek yang berusia dalam lingkungan 29 hingga 48 tahun ditahan sewaktu tengah berurusan di sebuah restoran di sini pada pukul 1.30 petang kelmarin.
"Mereka termasuk lelaki warga Vietnam terbabit ditahan ketika sedang menyerahkan wang tunai RM100,000 kepada pegawai APMM terbabit.
"Transaksi itu dipercayai untuk melepaskan bot nelayan Vietnam dianggarkan bernilai jutaan ringgit yang dalam proses pelupusan selepas disita APMM kerana mencerobohi perairan negara baru-baru ini," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini. - K! ONLINE

Empat bersaudara maut, kereta Proton Saga rempuh bas



Oleh MOHD. AZLI ADLAN
MARANG - Empat bersaudara yang dalam perjalanan pulang daripada menghadiri kenduri perkahwinan maut selepas kereta Proton Saga Aeroback yang dinaiki merempuh sebuah bas persiaran di Jalan Kuala Terengganu - Kuantan berhadapan Penjara Marang di sini petang tadi.
Dalam kejadian pada pukul 6.40 petang itu, Mohd. Sari Muda, 52, isteri, Mizah Mamat, 52, dan anak perempuannya, Saerah Saari, 18, serta anak saudara mereka, Nur Adibah Ramli, 19, meninggal dunia di lokasi kejadian.
Pemandu bas persiaran, Abdul Jalil Awang, 56, dan 30 penumpang yang merupakan murid dan guru pengiring Sekolah Rendah Kebangsaan Sungai Baging, Cherating, Kuantan, Pahang terselamat tanpa mengalami sebarang kecederaan.
Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd. Suhaimi Ali berkata, sewaktu kejadian, kereta dinaiki Mohd. Sari dan tiga ahli keluarganya dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Jerung Surau di sini daripada menghadiri kenduri perkahwinan di Kerteh, Kemaman.
Beliau berkata, bas persiaran yang membawa rombongan murid sekolah rendah terbabit pula dalam perjalanan pulang ke Cherating, Kuantan dari Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu, Chendering, Kuala Terengganu.
Sementara itu, Abdul Jalil mendakwa kereta yang dinaiki keempat-empat mangsa dilihat meluncur laju sebelum terbabas ke laluan bertentangan pada jarak kira-kira 500 meter dari kenderaannya.
"Dua buah kereta di hadapan berjaya mengelak kereta Proton Saga tersebut. Saya juga cuba mengelak dengan memasuki laluan bersebelahan.
"Begitu pun kereta itu tiba-tiba memasuki laluan asalnya dan merempuh hadapan bas yang saya pandu," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini. - K! ONLINE

Sunday, November 5, 2017

Hanya 10 peratus nelayan tempatan teroka sumber ikan pada kedudukan lebih 100 batu nautika

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Hasil kajian Institut Sumber Marin Asia Terenggara (ISMAT) mendapati populasi sumber ikan plagik seperti bawal, tamban, tuna, selar dan kembung semakin banyak di perairan wilayah Pantai Timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang.
Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Munir Mohd. Nawi berkata, kebanyakan ikan plagik terbabit yang hidup secara berkumpulan pada kedalaman sehingga 200 meter dari permukaan laut berada pada kira-kira 100 hingga 200 nautika dari perairan negara.
Beliau berkata, malangnya sumber ikan plagik yang banyak ini tidak diteroka dengan sebaiknya oleh nelayan laut dalam tempatan (C2) kerana kebanyakan mereka hanya menjalankan aktiviti penangkapan ikan pada sekitar 30 batu hingga 100 batu nautika dari perairan negara.
"Ia antara punca yang memudahkan nelayan-nelayan asing mengambil kesempatan menceroboh perairan negara untuk mengaut sumber ikan plagik terbabit. Oleh itu, kita beri galakan supaya lebih ramai lagi nelayan laut dalam tempatan agar memberanikan diri menangkap ikan di kawasan yang kaya dengan sumber ikan plagik itu," katanya kepada pemberita.
Munir berkata, pihaknya menganggarkan tidak lebih 10 peratus daripada 1,190 bot nelayan C2 berdaftar di seluruh negara termasuk Pantai Timur yang menjalankan aktiviti penangkapan ikan di kawasan melebihi 100 batu nautika. - K! ONLINE

4 sekeluarga maut rempuh bas rombongan

MARANG – Empat bersaudara yang dalam perjalanan pulang daripada menghadiri kenduri perkahwinan maut selepas kereta Proton Saga Aeroback yang dinaiki merempuh sebuah bas persiaran di Kilometer 33, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhadapan Penjara Marang di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 6.40 petang itu, Mohd. Sari Muda, 52, isteri, Mizah Mamat, 52, dan anak perempuannya, Saerah Mohd. Sari, 18, serta anak saudara mereka, Nur Adibah Ramli, 19, meninggal dunia di lokasi kejadian.
Pemandu bas persiaran, Abdul Jalil Awang, 56, dan 30 penumpang yang merupakan murid dan guru pengiring Sekolah Rendah Kebangsaan Sungai Baging, Cherating, Kuantan, Pahang terselamat.
Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd. Suhaimi Ali berkata, sewaktu kejadian, kereta dinaiki Mohd. Sari dan tiga ahli keluarganya dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Jerung Surau di sini selepas menghadiri kenduri perkahwinan di Kerteh, Kemaman.
Beliau berkata, bas persiaran yang membawa rombongan murid sekolah rendah terbabit pula dalam perjalanan pulang ke Cherating, Kuantan dari Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu, Chendering, Kuala Terengganu.

Kapal kargo Indonesia karam di perairan Terengganu

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Sebuah kapal kargo dari Indonesia yang membawa muatan kelapa tua sebanyak 180 tan dianggarkan bernilai RM28,000 karam akibat dipukul ombak kuat di perairan Kuala Terengganu berhampiran Pantai Tok Jembal, Kuala Nerus hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 3 pagi itu, tujuh anak kapal kapal kargo terbabit yang berusia dalam lingkungan 20 hingga 43 tahun sempat menaiki bot kecil untuk menyelamatkan diri dalam keadaan laut bergelora dan hujan lebat.
Pengarah Maritim Terengganu, Rahim Ramli berkata, sewaktu kejadian, kapal kargo terbabit dalam perjalanan untuk membawa bekalan kelapa tua itu ke Narathiwat, Thailand dari Pelabuhan Tembilahan, Sumatera, Indonesia.
"Berdasarkan maklumat, kapal kargo membawa muatan kelapa tua terbabit pada mulanya telah mengalami masalah mekanikal pada bahagian bawah kapal itu sewaktu berada di lokasi kejadian.
"Sebaik menyedari kerosakan tersebut, kapten kapal berkenaan yang dikenali sebagai Rudi Hartono, 37, dan enam anak kapalnya telah segera menaiki bot kecil bagi menyelamatkan diri dan mendarat ke Pantai Tok Jembal, Kuala Nerus pada pukul 8 pagi," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Ramli berkata, sewaktu kesemua anak kapal terbabit dalam perjalanan untuk mendarat di Pantai Tok Jembal dengan menaiki bot kecil tersebut, kapal kargo itu kemudiannya telah terlanggar batu lalu karam. - K! ONLINE

Saturday, November 4, 2017

Kerajaan akan umum mekanisme pengambilan pembantu rumah asing secara terus

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS - Kerajaan akan mengumumkan mekanisme pengambilan pembantu rumah asing secara langsung dari sembilan negara sumber tanpa melalui ejen pada masa terdekat.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib berkata, garis panduan itu sedang dibincangkan oleh Jawatankuasa Tertinggi Pengambilan Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
"Kerajaan telah bersetuju pada pembentangan Bajet 2018 baru-baru ini agar majikan boleh mengambil secara terus pembantu rumah dari sembilan negara sumber tetapi ia (prosedur pengambilan) tidak begitu mudah.
"Sebab itu, kita sedang berbincang mekanisme terbaik bagi memudahkan proses pengambilan pembantu rumah asing secara terus ini selain memastikan kosnya tidak mahal dan mengelakkan sebarang unsur penipuan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu beliau menyampaikan sijil kepada 90 peserta Kursus Asuhan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak serta Usahawan Asuhan Pertama di Rumah kelolaan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran. - K! ONLINE

Friday, November 3, 2017

Tukang kebun maut dirempuh van terbabas

KEMAMAN - Seorang tukang kebun maut selepas dirempuh secara tidak sengaja oleh sebuah van jenis Nissan Venette di kawasan meletak kenderaan Kelab Golf Rantau Petronas (KGRP), Kerteh dekat sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 10 pagi itu, Hashim Awang, 58, yang sedang melakukan kerja-kerja am maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian dalaman badannya.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd. Said Ibrahim berkata, kejadian berlaku selepas seorang lelaki berusia 20 tahun dikatakan mahu mengalihkan van jenis Nissan Venette terbabit dari perkarangan lobi KGRP ke tempat letak kereta berkenaan.

"Van itu tiba-tiba hilang kawalan selepas pemandu kenderaan itu dikatakan terlepas klac sebelum merempuh penghalang jalan di sebelah kanannya.

"Rempuhan itu menyebabkan van tersebut kemudiannya melanggar mangsa yang sedang melakukan kerja-kerja am di kawasan meletak kenderaan tersebut," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Thursday, November 2, 2017

Hampir 20 jam hujan tanpa henti

Oleh AZLI ADLAN dan KAMARIAH KHALIDI

KUALA NERUS – Musim tengkujuh mula melanda negeri ini selepas dua kawasan di sini mula dinaiki air apabila hujan berterusan selama hampir 20 jam sejak pukul 10 pagi semalam.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Terengganu, Che Adam A. Rahman berkata, antara kawasan kampung terjejas ialah Kampung Alor Damak dan Mengabang Telung di sini.

Susulan itu, dua pusat pemindahan telah dibuka di Balai Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Alor Da­mak dan Dewan Serbaguna Mengabang Telung di sini bermula pukul 1.21 pagi.

“Pada mulanya, seramai 62 penduduk iaitu 49 orang dari Kampung Alor Damak dan 13 orang dari Kampung Mengabang Telung telah berpindah masuk kedua-dua pusat pemindahan berkenaan. Begitupun, hujan yang berhenti pada pukul 9 pagi tadi (semalam) telah menyebabkan banjir semakin surut dan kebanyakan penduduk telah kembali di rumah masing-masing,” katanya semalam.

Che Adam berkata, setakat ini, hanya tujuh mang­sa masih menghuni pusat pemindahan di Dewan Serbaguna Menga­bang Telung.

“Setakat ini, bacaan paras air sungai di seluruh Terengganu berada di bawah paras berjaga-jaga. Cuaca juga diramal berterusan hujan di beberapa kawasan ne­geri ini selama beberapa hari,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Ke­tua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Amer Yusof berkata, cuti seramai 12,649 pegawai dan anggota bomba di seluruh negara dibekukan.

“Selain membekukan cuti, kita akan membuka bilik gerakan di setiap negeri,” katanya ketika ditemui selepas menye­rahkan kunci projek pembinaan semula sebuah rumah terbakar di Jalan Sekolah Kebangsaan Cendering di sini semalam.

Amer menambah, sebanyak 479 buah bot aluminium, enam buah bot fiber, 71 buah jet ski, 15 buah bot Kevlar dan empat buah bot penyelamat termasuk tujuh buah helikopter bomba diletakkan dalam mod bersiap sedia untuk melakukan pemantauan.

Sindiket pelacuran bergerak tumpas

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Cubaan satu sindiket pelacuran secara bergerak untuk bertapak di negeri ini gagal apabila empat suspek termasuk tiga lelaki dipercayai ‘bapa ayam’ diberkas berhampiran sebuah hotel di bandar raya ini pada minggu lalu.

Seorang remaja perempuan warga Vietnam berusia 18 tahun yang mendakwa diperdagangkan untuk menjadi pelacur oleh sindiket itu turut ditahan dalam serbuan pada pukul 12.30 tengah malam, 20 Oktober lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Asisten Komisioner Fazlisyam Abdul Majid berkata, sebelum serbuan dijalankan, pihaknya telah menerima maklumat kegiatan satu sindiket pelacuran yang beroperasi secara mobil dan menggunakan aplikasi WeChat untuk mencari pelanggan.

“Serbuan berjaya menahan tiga lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 19 hingga 38 tahun yang dipercayai terlibat dalam kegiatan pelacuran tersebut selain seorang remaja perempuan Vietnam yang didakwa menjadi mangsa pemerdagangan manusia tersebut.

“Sejumlah kondom, wang tunai berjumlah RM380 dan sebuah van yang dipercayai digunakan untuk melakukan kegiatan itu turut dirampas dalam serbuan berkenaan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di sini semalam.

Fazlisyam berkata, sindiket itu bergerak menggunakan sebuah van dan berkomunikasi dengan pelanggan menerusi enam kod bar pengenalan WeChat.

“Sebaik menerima tempahan, anggota sindiket itu akan menghantar remaja perempuan Vietnam yang merupakan satu-satunya pelacur yang dipercayai berkhidmat dengan mereka ke kawasan yang dikehendaki pelanggan.

“Bayaran antara RM160 hingga RM200 dikenakan bagi setiap perkhidmatan dan mereka difahamkan berada di setiap negeri sasaran dalam tempoh maksimum dua minggu,” katanya.
Fazlisyam berkata, kesemua suspek telah ditahan reman selama enam hari sehingga Ahad ini untuk membantu siasatan mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007.

Wednesday, November 1, 2017

Lepas kutip hutang, penjual kain Pakistan cabul suri rumah

KUALA TERENGGANU – Seorang penjual kain warga Pakistan ditahan polis semalam kerana disyaki mencabul seorang suri rumah di Kampung Tok Has, Besut pada Isnin lalu.

Lelaki berusia 35 tahun itu ditahan selepas seorang suri rumah berusia 29 tahun mengadu dipeluk manakala punggungnya pula diraba di rumah wanita itu pada pukul 11 pagi, 23 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata, ketika kejadian, suspek telah berkunjung ke rumah mangsa untuk mengutip hutang kain.

“Sebaik mangsa menghulurkan wang tunai RM20 sebagai bayar hutang bulanan membeli kain tersebut di ruang tamu rumahnya, lelaki warga Pakistan itu tiba-tiba memeluknya.

“Suspek juga sempat meraba punggung mangsa sebelum wanita tersebut yang ketakutan telah bertindak melepaskan pelukan dan melarikan diri dari rumahnya,” katanya semalam.

Mohd. Zamri berkata, suspek yang menyedari perbuatannya tidak menerima respons baik telah bertindak keluar dari rumah tersebut selepas itu.

Menurut beliau, mangsa yang ketakutan terus membuat laporan di Balai Polis Jerteh, Besut kira-kira empat jam kemudian.

“Suspek ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda atau sebatan jika sabit kesalahan,” katanya.