Translate

Friday, November 17, 2023

Rider makanan hanya dapat RM20 sehari

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN dan MUHAMMAD AYMAN GHAFFA

ETALING JAYA – Ratusan penghantar makanan di Terengganu dan Kelantan terkesan ekoran kempen boikot yang dilancarkan terhadap beberapa restoran yang dikaitkan Israel sejak lebih dua minggu lalu. 

Mereka mengeluh akibat kehila­ngan pendapatan secara drastik ekoran penurunan tempahan menghantar makanan terutama pada waktu puncak sehingga lebih 50 pe­ratus sepanjang tempoh tersebut. 

Di Terengganu, seorang penghantar makanan, Raja Ghadaffi Raja Sulaiman, 40, mendakwa, pendapatannya terjejas teruk sehingga sekadar memperolehi upah menghantar makanan purata RM20 sehari sejak lebih dua minggu lalu. 

“Sebelum ini, saya boleh menerima tempahan menghantar makanan hampir setiap jam bekerja, malah bertalu-talu pada waktu puncak ketika kakitangan pejabat sedang berehat antara pukul 1 tengah hari hingga 2 petang. 

 “Sekarang ini, tiga jam menunggu pun belum tentu terima tempahan. Saya terpaksa berpindah-randah ke beberapa lokasi di bandar raya ini dengan harapan mendapat pelanggan,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini. 

 Raja Ghadaffi percaya penurunan itu disebabkan kebanyakan tempahan menghantar makanan sebelum ini diterima daripada restoran makanan segera yang kini diboikot berikutan serangan Israel terhadap Gaza, Palestin sejak 7 Oktober lalu. 

 Sejak serangan bertubi-tubi Israel ke Gaza itu, negara-negara Islam termasuk Malaysia telah membuat gerakan memboikot restoran dan produk yang mempunyai kaitan Yahudi. 

Kempen boikot itu dilakukan oleh selebriti dan pempengaruh terkenal. 

Seorang lagi penghantar makanan, Ismail Abd. Rahman, 32, pula mendakwa, restoran makanan segera bukan lagi lubuk rezeki buat golongan rider kini. 

 “Dahulu kami akan menunggu beramai-ramai di pekarangan restoran makanan segera terdekat tetapi sejak dua minggu lalu langsung tiada tempahan. 

Di Kota Bharu, Kelantan pula, Mohd. Saiful Ibrahim, 36, berkata, sebelum ini, dia memperoleh kira-kira 15 pelanggan sehari untuk selama enam jam bekerja. 

Menurutnya, bagaimanapun, dia hanya memperoleh kira-kira tiga hingga empat pelanggan apabila menjalankan perkhidmatan itu di sekitar daerah ini dalam tempoh yang sama sejak Sabtu lalu.

 “Sebelum ini, saya akan mendapat keuntungan bersih dengan membuat e-hailing sebanyak RM120 hingga RM150 sehari.  Kini, mahu dapat RM50 sehari pun susah kerana tiada pelanggan. 

“Pemandu e-hailing di Kota Bharu ketika ini tertumpu di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa untuk mencari pelanggan dalam kalangan pelancong. Jika hanya berada di pusat bandar, memang tiada langsung pelanggan,” katanya. 

Mohd. Saiful memberitahu, ini merupakan situasi yang paling memeritkan buatnya sejak mencari rezeki sebagai pemandu e-hailing kira-kira enam tahun lalu. 

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan punca pendapatannya yang bekerja sepenuh masa terjejas sekiranya kempen tersebut berterusan dalam tempoh masa yang lama.

No comments:

Post a Comment