Translate

Sunday, July 20, 2025

PM bertemu Ahli Parlimen BN jelas, bincang isu badan kehakiman, RON95

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan pertemuan dengan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) malam tadi bertujuan membincangkan isu semasa dan menjelaskan dasar-dasar kerajaan.

Beliau berkata, pertemuan tersebut atas permintaan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Timbalan Perdana Menteri.

“Hari Isnin saya putuskan hendak jumpa PH, itu biasa. Datuk Seri Ahmad Zahid (Hamidi) katanya sepatutnya jumpa juga BN.

“Saya pun kata baik, jumpa semalam. BN faham, beri kerjasama penuh,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan dengan Majlis Pimpinan Keadilan Terengganu, Kelantan dan Pahang di sini hari ini.

Anwar berkata, antara isu yang dijelaskan dan dibincangkan dalam pertemuan tersebut ialah cadangan cukai dan badan kehakiman.

Beliau menjelaskan khabar-khabar angin tentang rasionaliasi petrol RON95 yang berdasarkan cadangan awal tidak persetujui jemaah Menteri.

“Biar kita selesaikan perkara itu,” katanya.

Terdahulu, Anwar mengadakan pertemuan dengan Ahli Parlimen BN selama sejam setengah di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya malam tadi. – KOSMO! ONLINE

Laluan pesisir Pantai Batu Rakit siap dibaiki Oktober depan

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Jalan Mengabang Telipot – Batu Rakit berhampiran Kampung Tanjung di sini yang terputus akibat hakisan teruk pada Monsun Timur Laut (MTL) awal tahun ini dijangka dapat dilalui semula pada awal bulan Oktober depan.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kerja-kerja baik pulih laluan sepanjang 280 meter berkenaan berjalan lancar dengan kemajuan fizikalnya lebih awal daripada jadual asal.

“Projek membaiki runtuhan jalan dan tebing jalan ini turut melibatkan pemasangan sistem geotekstil, penstabilan struktur tanah dan kerja-kerja tambakan pasir.

“Ia mengguna pakai teknologi kejuruteraan terkini yang diyakini mampu menyerap tekanan ombak besar pada musim tengkujuh akan datang,” katanya selepas meninjau perkembangan projek tersebut di Kampung Tanjung, Batu Rakit di sini hari ini.

Kerosakan laluan tersebut sejak lebih setengah tahun lalu menjejaskan ribuan penduduk yang menetap di pesisir Pantai Batu Rakit dan Pantai Mengabang Telipot di sini.

Alexander berkata, setakat ini, projek membaiki Jalan Mengabang Telipot – Batu Rakit tersebut telah mencapai kemajuan fizikal sebanyak 45.37 peratus.

Beliau berkata, projek tersebut menelan belanja keseluruhan RM4.95 juta menggunakan peruntukan Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (Marris).

Dalam pada itu, Alexander berkata,peruntukan tambahan sebanyak RM36 juta membaiki Jalan Aring 8-Kenyir-Kuala Jeneris, Hulu Terengganu yang turut mengalami kerosakan teruk akibat musim tengkujuh lalu telah diluluskan baru-baru ini.

“Kerja-kerja pembaikan laluan tersebut dijangka bermula pada bulan November depan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

2,476 wanita jadi mangsa keganasan rumah tangga

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Kes keganasan rumah tangga dalam masyarakat masih membimbangkan dengan 2,467 kes telah direkodkan di seluruh negara dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, ia termasuk 104 kes yang dilaporkan di Terengganu.

“Walaupun menurun berbanding 130 kes yang dilaporkan dalam tempoh sama pada tahun lalu ia tetap perlu diberi perhatian berdasarkan nisbah populasi penduduk di negeri ini.

“Bagi tahun lalu pula, 379 kes keganasan rumah tangga dilaporkan di Terengganu manakala 7,116 kes pula di seluruh negara,” katanya di Kuala Ibai di sini hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan program Advokasi Kesejahteraan Rumah Tangga untuk Wanita @ Keganasan Rumah Tangga.

Noraini berkata, banyak lagi kes keganasan rumah tangga dipercayai tidak dilaporkan kerana wanita yang menjadi mangsa tidak berani tampil disebabkan perasaan takut dan malu serta tidak tahu cara mendapatkan pertolongan.

Beliau berkata, sesetengah wanita telah dimanipulasi pemikiran mereka oleh pelaku sehingga mereka sendiri tidak sedar telah menjadi mangsa keganasan rumah tangga.

“Penderaan dan keganasan dalam rumah tangga bukan sahaja secara fizikal tetapi juga emosi, seksual, ekonomi dan psikologi.

“Kebanyakannya dilakukan oleh orang dikenali seperti suami, bekas suami atau teman lelaki yang memberi kesan trauma berpanjangan kepada mental dan emosi kepada wanita terbabit,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Saturday, July 19, 2025

Dapat lesen melalui bantuan, jangan sesuka hati jadi ‘pelesit rempit’

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Seramai hampir 150,000 penerima lesen motosikal percuma menerusi program MyLesen B2 diperkenalkan kerajaan sejak tahun 2022 boleh berdepan tindakan pembatalan lesen sekiranya melanggar peraturan jalan raya termasuk menjadi ‘pelesit rempit’.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramly berkata, agensi sedang mengkaji mekanisme undang-undang termasuk menarik balik lesen diberikan sekiranya kemudahan itu disalahguna.

“Kita sedang memperincikan kaedah-kaedah bersesuaian untuk menarik semula lesen P (percubaan) atau B2 sekiranya ia datang daripada program MyLesen B2.

“Ia program yang ditanggung kerajaan. Kita tidak mahu sesuka hati mendapatkan lesen melalui bantuan tetapi tidak memandu dengan baik dengan melakukan kesalahan jalan raya,” katanya di Gong Badak di sini hari ini.

Terdahulu beliau menyerahkan lesen kepada 998 peserta program MyLesen B2 terdiri daripada pelajar sekolah, pelajar institusi pengajian tinggi dan pusat kemahiran serta beliau seluruh Terengganu.

Aedy Fadly berkata, begitupun. setakat ini, pemantauan JPJ mendapati rata-rata belia yang memililki lesen B2 sah daripada program terbabit berdisiplin mematuhi undang-undang jalan raya.

Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu kuota tambahan 10,000 bagi program MyLesen B2 yang diumumkan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke pada minggu lalu akan memberi tumpuan kepada pelajar sekolah seluruh negara.

“Keutamaan diberi kepada pelajar-pelajar sekolah menengah berusia 16 tahun ke atas bagi memastikan mereka pergi (bermotosikal) ke sekolah dengan mempunyai lesen,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Nahas UPSI: Syarikat bas berdepan tindakan tambahan JPJ

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang memperincikan tindakan penguatkuasaan tambahan bakal diambil terhadap syarikat pengendali bas persiaran terlibat dalam insiden mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berikutan laporan awal insiden terbabit yang dikeluarkan semalam.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramly berkata, sebelum ini, syarikat pengangkutan sama telah menghadapi tindakan pembatalan permit untuk beroperasi.

“Semalam sudah lihat laporan awal dikeluarkan Kementerian Pengangkutan. Ada beberapa tindakan sedang kita ambil terutama berkaitan pengendali syarikat.

“Bagi pemandu (bas) pula, kita biarkan proses di mahkamah berjalan,” katanya selepas merasmikan program MyLesen B2 peringkat Terengganu di sini hari ini.

Kosmo! hari ini melaporkan laporan awal Pasukan Petugas Khas Kementerian Pengangkutan mendapati bas persiaran yang membawa 42 pelajar UPSI dipandu pada kelajuan 117.6 kilometer sejam (km/j) iaitu melebihi dua kali ganda had ditetapkan sewaktu kejadian.

Dalam perkembangan sama, Aedy Fadly berkata, JPJ bersedia bergantung bahu dengan agensi-agensi kerajaan berkaitan bagi menambah baik ekosistem keselamatan jalan raya berdasarkan syor diberikan pasukan petugas khas berkenaan.

Beliau berkata, laporan awal itu telah membangkitkan banyak isu yang perlu diberi perhatian bagi memantapkan lagi
sistem keselamatan jalan raya kebangsaan.

“Perubahan yang menyeluruh perlu dibuat melibatkan keseluruhan agensi bukan sahaja JPJ dan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya. – KOSMO! ONLINE

Friday, July 11, 2025

Nahas UiTM Dungun: Pemandu Honda CR-V dibenar jamin RM40,000

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan pemandu wanita yang didakwa atas pertuduhan membunuh tiga pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun dalam kemalangan pada 9 Oktober tahun lalu dibebaskan dengan wang jaminan.

Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani memerintahkan tertuduh, Norizan Ismail, 50, yang ditahan sejak hari kejadian dibebaskan dengan wang jaminan RM40,000 dan dua penjamin.

Beliau juga mengarahkan tertuduh agar melapor diri di Balai Polis Dungun setiap dua bulan, dilarang memandu kenderaan sama ada kereta, motosikal dan basikal serta ahli keluarganya perlu memastikan sebarang kunci kenderaan tidak boleh diakses suri rumah tersebut.

“Tertuduh juga tidak dibenarkan keluar rumah tanpa kehadiran suaminya dan tidak boleh mengganggu saksi-saksi kes ini sehingga prosiding kes selesai.

“Dia (Norizan) juga hendaklah mendapatkan rawatan (psikiatri) di hospital berkaitan,” katanya di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Hassan berkata, jaminan automatik terbatal sekiranya Norizan melanggar mana-mana syarat ditetapkan berkenaan.

Terdahulu beliau menerima hujahan pihak pembelaan yang mengatakan pelanggaran yang mengorbankan tiga pelajar UiTM dan mencederakan seorang lagi tidak disengajakan, malah kenderaan tertuduh turut terbabas ke dalam longkang.

Berdasarkan tiga pertuduhan, Norizan didakwa menyebabkan kematian Muhammad Akmal Md. Tukirin, 25; Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20; dan Khairil Anwar Jamaludin, 20.

Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh yang ketika itu memandu kenderaan utiliti sukan (SUK) Honda CR-V di Jalan Pantai berhampiran Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun di sini pada pukul 7.30 malam, 9 Oktober lalu.

Norizan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman hukuman mati atau penjara antara 30 tahun dan 40 tahun serta hukuman minimum 12 sebatan sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE

Nahas UPSI: Tiga lukisan peninggalan Mustaqim seolah gambaran tragedi

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

BESUT – Tiga lukisan tentang bas, jalan raya dan tulisan kreatif berkaitan kematian peninggalan Muhammad Mustaqim Rosde, 21, seolah-olah gambaran nahas yang mengorbankan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu dan 14 rakan sekampus lain di Gerik, Perak pada minggu lalu.

Ibu Muhammad Mustaqim, Juariah Abdul Rahman, 48, berkata, dia dan suaminya, Rosde Yaakub, 58, terkejut menemukan tiga lukisan terbabit di dalam bilik tidur arwah anaknya beberapa hari lalu.

“Tiga lukisan itu merupakan sebahagian daripada lebih 100 koleksi arwah yang tersimpan rapi dalam fail di bilik tidurnya.

“Di belek betul-betul, lukisan sebuah bas dan pemandangan jalan raya berlatar belakang hutan dan besi penghadang jalan itu seakan-akan gambaran kemalangan yang meragut nyawa dia dan rakan-rakannya pada 9 Jun lalu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Teluk Nibung, Hulu Besut di sini hari ini.

Terdahulu dia dan suami disantuni Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

Juariah berkata, satu lagi lukisan tulisan kreatif berkaitan mati yang ditinggal arwah Muhammad Mustaqim membuatnya benar-benar sebak.

Katanya, walaupun kaitan lukisan tersebut dan tragedi berlaku hanyalah kebetulan, ia khazanah berharga peninggalan arwah anaknya yang perlu dijaga rapi sebagai kenangan berharga.

“Kami memang tahu arwah (Muhammad Mustaqim) gemar melukis tetapi tidak sangka pula dia simpan koleksi lebih 100 lukisan di dalam bilik tidurnya.

“Semuanya diketahui apabila saya dan suami mengemas bilik tidurnya beberapa hari selepas jenazah anak kami itu selamat dikebumikan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Thursday, July 10, 2025

Letak jawatan YDP, Ahmad Samsuri mahu fokus strategi PRU-16

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

BESUT – Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menjelaskan beliau meletakkan jawatan sebagai Yang diPertua Pas Marang dalam pemilihan parti pada Sabtu lalu bagi memberi tumpuan terhadap tugasnya sebagai Naib Presiden parti itu.

Ahli Parlimen Kemaman itu juga mahu memberi fokus dalam kerja-kerja mengatur strategi parti dan Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) kelak.

“Sampai masa kita perlu gilap pemimpin lain untuk meneruskan di pelbagai peringkat supaya ada pembahagian gerak kerja.

“Saya boleh fokus kepada tugas (sebagai) naib presiden (Pas) dan melihat strategi keseluruhan dalam PRU-16,” katanya ketika ditemui di rumah Muhammad Mustaqim Rosde di Kampung Telaga Nibung, Hulu Besut di sini hari ini.

Beliau juga meluangkan masa menyantuni 15 keluarga pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terkorban dalam nahas di Gerik pada minggu lalu.

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri berkata, biarpun sedang diuji masalah kesihatan, kepimpinan Tan Sri Abdul Hadi Awang masih diperlukan sebagai Presiden Pas.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang tersebut berkata, kepimpinan dan buah fikiran Abdul Hadi sangat penting bagi membolehkan Pas mengekalkan prestasi cemerlang dicapai pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lalu.

“Prestasi terbaik Pas sebagai parti terbesar negara dengan hampir 200 wakil rakyat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada zaman Tuan Guru (Abdul Hadi).

“Harap momentum dapat diteruskan. Kita berdoa Tuan Guru (Abdul Hadi) selamat menjalani prosedurnya dan dapat kembali bertugas seperti biasa,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Nahas UPSI: Mangsa, waris masih trauma

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

BESUT – Sebahagian besar mangsa dan keluarga pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sama ada terkorban dan terselamat dalam nahas di Gerik, Perak pada 9 Jun lalu didapati masih dalam keadaan trauma.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, kesan trauma tersebut menyebabkan segelintir mereka takut untuk menaiki kenderaan terutama bas.

“Bukan sahaja mangsa (terselamat) sendiri, saya tengok keluarga pun sesetengahnya trauma terutama apabila hendak menaiki kenderaan.

“Kita turun padang untuk berjumpa dan bertanya sendiri (mangsa dan ahli keluarga terlibat) agar JKM boleh memainkan peranan,” katanya ditemui di Kampung Gong Kemuntong. Jerteh di sini hari ini.

Beliau menyantuni Nur Ain Najwa Mohd. Ilias, 23, merupakan salah seorang pelajar UPSI yang cedera dalam nahas di Gerik, Perak pada minggu lalu.

Noraini berkata, JKM akan memberi fokus untuk menceriakan semula mangsa dan ahli keluarga pelajar UPSI terjejas agar mereka dapat pulih menjalani kehidupan seharian seperti biasa.

Beliau berkata, seramai 20 kaunselor JKM telah bersiap sedia membantu untuk melegakan perasaan trauma tersebut.

“Ia tidak termasuk kaunselor dari institusi pengajian tinggi (IPT) dan hospital terdekat serta pusat sokongan sosial setempat (PSS) yang turut bersedia mendengar luahan mereka,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Noraini berkata, JKM juga sedang mengenalpasti sebahagian mangsa cedera yang berkemungkinan mengalami kecacatan kekal berikutan nahas terbabit bagi penyaluran bantuan sewajarnya. – KOSMO! ONLINE

Nahas UPSI: Bunyi enjin bas buat saya sesak dada – Ain Najwa

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

BESUT – Biarpun sudah 10 hari berlalu, Nur Ain Najwa Mohd. Ilias, 23, yang terselamat dalam nahas bas meragut nyawa 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik, Perak masih dihantui insiden tersebut.

Gadis itu yang mengalami kecederaan patah bahu kiri kerap sebak apabila mengenangkan nasib 15 rakan sekampusnya yang terkorban dalam kejadian tersebut.

“Saya masih trauma dan rasa sesak dada setiap kali mendengar bunyi enjin bas bergerak terutama dari arah jalan yang terletak 100 meter dari rumah.

“Melihat gambar dan video bas dalam telefon bimbit membuatkan saya tidak keruan dan menangis secara tiba-tiba,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gong Kemuntong, Jerteh di sini hari ini.

Terdahulu, Nur Ain Najwa menerima kunjungan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Noraini Ahmad.

Nur Ain Najwa berkata, setiap kali rasa trauma itu timbul, dia akan beristighfar dan selawat bagi meredakan emosinya.

Pelajar tahun dua Sarjana Muda Bahasa Arab dan Pendidikan itu turut mengikut saranan kaunselor Jabatan Kebajikan Masyarakat supaya melakukan aktiviti kegemaran bagi mengelakkan trauma berpanjangan. – KOSMO! ONLINE

14 nelayan Vietnam tamak ditahan

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seramai 14 nelayan Vietnam yang leka menangkap ikan secara haram ditahan pasukan Maritim Malaysia (APMM) di perairan Kuala Terengganu dekat sini semalam.

Kesemua warga asing berusia 13 hingga 50 tahun itu ditahan pada kedudukan 261.13 kilometer dari muara Kuala Terengganu pada pukul 8 pagi.

Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Hamiludin Che Awang berkata, pada mulanya, bot nelayan asing itu memecut laju untuk meloloskan diri sebaik menyedari kehadiran kapal penguat kuasa APMM.

“Bagaimanapun bot itu berjaya dipintas setelah dikejar selama hampir dua jam. Pemeriksaan mendapati nelayan-nelayan itu gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dan perjalanan yang sah,” katanya kepada Kosmo! hari ini.

Hamiludin berkata, bot nelayan Vietnam itu juga tidak memiliki permit yang sah untuk menangkap ikan di perairan negara daripada Jabatan Perikanan.

Tambahnya, hasil laut, bot, peralatan menangkap ikan dan diesel bernilai RM1.5 juta dirampas. Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1963. – KOSMO! ONLINE

‘Dari subuh orang datang lihat al-Quran tulisan tangan Nurly’

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

BESUT – Bapa kepada Nurly Shahirah Azman, 23, yang merupakan salah seorang pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terkorban dalam nahas di Gerik, Perak baru-baru ini berkata, rumahnya dikunjungi oleh 1,000 pengunjung sehari dengan kebanyakannya mahu melihat sendiri naskhah al-Quran tulisan tangan arwah anaknya.

 Azman Mohamad, 63, berkata, tetamu hadir bermula selepas subuh hingga hampir maghrib tanpa putus setiap hari. 

“Alhamdulillah, bagi saya mereka dari seluruh negara yang didorong Allah untuk menziarahi ini memulihkan semangat dan membawa rezeki kepada…

Banyak penyu mati akibat kecuaian nelayan, pemain industri pelancongan

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

DUNGUN – Jabatan Perikanan mengingatkan pemain industri pelancongan dan nelayan agar berhati-hati dan tidak melakukan aktiviti yang boleh mengancam nyawa penyu di perairan negara.

Ketua Pengarah Jabatan Perikanan, Datuk Adnan Hussain berkata, di perairan Terengganu sahaja, sebanyak 94 ekor bangkai penyu telah ditemui mati sejak Januari tahun lalu.

“Saya seru komuniti nelayan dan mereka yang terlibat dalam bidang pelancongan agar berhati-hati agar tidak menyebabkan kematian dan kecederaan penyu.

“Kita sebenarnya tidak menggalakkan aktiviti penangkapan ikan di zon-zon pendaratan penyu seperti Rantau Abang di sini; Ma’ Daerah, Kemaman dan Cherating, Pahang,” katanya selepas melancarkan laman web taman laut negara, www.marineparksofmalaysia.com di sini hari ini.

Laman web inisiatif Yayasan Sime Darby dan badan bukan kerajaan alam sekitar , Fuze Ecoteer itu bukan sahaja mengandungi maklumat 52 taman laut seluruh negara malah menjadi medium orang ramai melaporkan sebarang aktiviti penganiayaan hidupan marin termasuk penyu.

Adnan berkata, kebanyakan bangkai penyu ditemui dipercayai mati akibat tersangkut pada pukat atau terkena kipas bot.

Sehubungan itu, beliau berkata, Jabatan Perikanan sentiasa menjalankan aktiviti penguatkuasaan larangan penggunaan pukat pari dan hanyut yang mampu memerangkap penyu.

“Kita juga mewajibkan pemasangan peranti penyisih penyu (TED) pada bot nelayan pukat tunda musim tengkujuh.

“Penguatkuasaan larangan menangkap ikan di kawasan larangan khususnya taman laut juga telah dipertingkatkan bagi mengurangkan risiko kecederaan dan kematian penyu,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Wednesday, July 9, 2025

PHB tawar 300 juta unit AHB baharu

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) mengumumkan pembukaan 300 juta unit Amanah Hartanah Berhad (AHB) berharga tetap RM1 seunit kepada pelanggan Bumiputera untuk dilanggan mulai hari ini.

Pengerusi PHB, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda berkata, pembukaan unit tambahan AHB tersebut merupakan inisiatif memperluaskan peluang pemilikan Bumiputera dalam sektor hartanah komersial yang bernilai tinggi.

Beliau berkata, walaupun unit tambahan AHB terbabit disasar kepada warga Pantai Timur, ia boleh dibeli individu Bumiputera di seluruh negara.

“Sebanyak 300 juta unit AHB ini adalah peluang terbaik bagi Bumiputera untuk menjadikan AHB sebagai instrumen utama pelaburan dan simpanan mereka dengan risiko rendah serta disokong oleh aset hartanah sebenar.

“Kami berharap agar masyarakat Terengganu dan Pantai Timur dapat merebut peluang ini untuk melabur di dalam dana AHB,” katanya selepas menghadiri majlis perasmian pusat membeli-belah Mayang Mall di sini hari ini.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan merasmikan Mayang Mall yang merupakan aset hartanah komersial PHB pertama di Pantai Timur.

Raja Arshad berkata, AHB merupakan dana pelaburan yang patuh syariah dan menawarkan pendapatan yang stabil serta konsisten.

Dalam pada itu, beliau berkata, pembukaan Mayang Mall sejak Disember tahun lalu disasar dapat menjadi katalis memperluas potensi pertumbuhan dan pembangunan ekonomi Terengganu dan Pantai Timur.

“Kuala Terengganu dipilih sebagai destinasi pertama pelaburan hartanah PHB di Pantai Timur kerana potensi pertumbuhan ekonomi yang sangat besar di daerah ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Program Jualan Rahmah Madani diperluas ke UiTM Dungun

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

DUNGUN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperluaskan Program Jualan Rahmah Madani ke kampus universiti bagi membantu pelajar institut pengajian tinggi (IPT) menangani kos sara hidup.

Pengarah KPDN Terengganu, Mohd. Mufsi Lat berkata, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun menjadi lokasi pertama PJRM@Kampus tersebut di negeri ini.

“PJRM@Kampus ini memberi fokus terhadap barangan keperluan harian yang sering digunakan pelajar IPT seperti alat tulis, makanan kering, barangan penjagaan diri, ubat-ubatan dan buku teks.

“Kesemua barangan tersebut ditawarkan pada harga antara 10 hingga 30 peratus lebih murah daripada pasaran,” katanya ketika merasmikan PJRM@Kampus di UiTM Dungun di sini hari ini.

Mohd. Mufsi berkata, penganjuran julung kali PJRM@Kampus itu memberi manfaat kepada hampir 6,000 pelajar UiTM Dungun.

Beliau berkata, penganjutan PJRM terbabit bakal diperluaskan ke kampus-kampus IPT lain di seluruh Terengganu seperti Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) pada masa terdekat.

“Kita menyasarkan untuk menganjurkan lagi PJRM@Kampus pada sesi semester baharu pada bulan September depan,” katanya.

Sementara itu, seorang pelajar, Muhammad Azmirul Razzy Azizi, 20, berkata, penganjuran PJRM@Kampus bagaikan rahmat kepada pelajar universitinya.

Pelajar tahun dua Diploma Pengurusan Perniagaan itu berkata, sebelum ini dia terpaksa berjimat cermat dan kadang-kadang mengikat perut memandangkan hanya bergantung kepada wang saku diberi ayahnya yang bekerja sebagai kerani. – KOSMO! ONLINE

Terengganu sasar jadi hab serantau inovasi tenaga hijau

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri Terengganu berhasrat menjadikan negeri Pantai Timur tersebut sebagai hab serantau bagi inovasi tenaga hijau.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, negeri berkenaan memiliki kelebihan lokasi strategik, integrasi logistik menerusi Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), tanah luas berkos rendah, kekayaan sumber dan tadbir urus kukuh untuk menerajui Pantai Timur sebagai hab tenaga hijau serantau.

Beliau berkata, Pelan Induk Teknologi Hijau Terengganu 2030 (Pitih 2030) telah dirangka bagi merealisasikan misi berkenaan.

“Antara sektor utama yang akan diberi tumpuan ialah penghasilan hidrogen hijau, pengkomersialan tenaga boleh diperbaharui, taman industri hijau dan pengurusan sisa lestari.

“Sumber tenaga boleh diperbaharui seperti solar, hidrogen, biogas, biojisim, hidro dan angin pula diberi keutamaan untuk dibangunkan secara mampan,” katanya di sini hari ini.

Beliau menghadiri perasmian Persidangan Tenaga Pantai Timur yang disempurnakan Yang diPertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan.

Ahmad Samsuri berkata, setakat ini, projek ladang solar terapung berkapasiti 2 gigawatt (GW) sedang dibangunkan di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu bersama rakan strategik, Petronas dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta firma Arab Saudi, ACWA Power.

Beliau berkata, kerajaan negeri Terengganu juga sedang meneroka peluang dalam industri pengeluaran hidrogen hijau yang mempunyai permintaan tinggi di pasaran global.

“Semua inisiatif tersebut diharap dapat memperluaskan sumber pendapatan kerajaan negeri melalui royalti hijau, pembaharuan regulasi guna tanah dan mekanisme ekonomi karbon. – KOSMO! ONLINE

Abdul Hadi semakin pulih

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU –Tahap kesihatan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang
semakin memberangsangkan setelah menjalani prosedur rawatan di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur pada minggu lalu.

Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, fasa pemulihan Abdul Hadi berjalan lancar sewaktu diziarahi beliau baru-baru ini.

“Saya amat teruja sebenarnya melihat prosedur dijalani Tan Sri (Abdul Hadi) berjalan dengan baik dan proses pemulihannya juga sangat cepat.

“Insya-Allah, beliau kembali melaksanakan tugas tidak lama lagi,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu beliau ditemui selepas menghadiri perasmian Persidangan Tenaga Pantai Timur yang disempurnakan Yang diPertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan.

Ahmad Samsuri berkata, Abdul Hadi sedang mengikuti pelan pemulihan ditetapkan pakar perubatan IJN.

Beliau berharap Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang diberi ruang secukupnya untuk berehat sehingga benar-benar pulih sepenuhnya.

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri menjelaskan tindakan tidak dimaklumkan secara terbuka prosedur rawatan tersebut demi menghormati privasi keluarga Abdul Hadi.

Beliau berkata, ia juga bagi memastikan proses rawatan terhadap bekas Menteri Besar Terengganu berusia 77 tahun tersebut tidak terganggu. – KOSMO! ONLINE

Pengusaha bot penjamin nyawa penumpang

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

HUJUNG bulan lalu berlaku tragedi bot terbalik yang mengorbankan tiga pelancong, manakala seorang lagi kritikal di Pulau Perhentian, Besut. 

Siapa sangka keseronokan bercuti beramai-ramai di pulau peranginan terkenal Terengganu tersebut berakhir duka apabila bot dinaiki 15 penumpang tersebut tiba-tiba dilanda badai ribut yang melanda perairan Pulau Perhentian Besar. 

Insiden melibatkan pelancong dari Butterworth, Pulau Pinang dan Sungai Petani, Kedah berkenaan bukan lah satu-satunya kemalangan air yang berlaku di perairan Terengganu sepanjang bulan lalu. 

Selain itu, dua nelayan hilang masing-masing di…

Pengusaha benarkan pelancong kendali bot berdepan tindakan APMM

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Maritim Malaysia (APMM) memandang serius tindakan seorang pengusaha membenarkan penumpangnya yang tidak memiliki lesen sah mengendalikan bot pelancong baru-baru ini.

Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Hamiludin Che Awang berkata, siasatan awal percaya perbuatan tersebut berlaku di sekitar perairan Pulau Redang, Kuala Nerus dan Pulau Perhentian, Besut.

“Siasatan awal mendapati wujud unsur kecuaian apabila pemandu bot tersebut membenarkan penumpang mengendalikan bot tanpa sebarang kelayakan.

“Selain itu, beberapa penumpang juga dibiarkan tidak memakai jaket keselamatan,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu tular video di media sosial memaparkan seorang penumpang wanita dibenarkan untuk mengendalikan bot di perairan Terengganu.

Hamiludin berkata, perbuatan tidak bertanggungjawab pengendali bot tersebut bukan sahaja melanggar undang-undang, malah mendedahkan penumpang kepada risiko kemalangan.

Beliau bertegas bot penumpang seharusnya dikendalikan oleh individu berlesen dan terlatih.

“Pengusaha bot berkenaan akan dipanggil bagi membantu siasatan. APMM tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tuesday, July 8, 2025

STPM: Terengganu kekal terbaik kebangsaan enam tahun berturut-turut

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Terengganu mengekalkan pencapaian keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) terbaik kebangsaan untuk tempoh enam tahun berturut-turut apabila memperolehi Min Purata Nilai Gred Kumulatif 3.12 bagi peperiksaan 2024 yang diumum, hari ini.

Timbalan Pengarah Pendidikan Terengganu, Che Wan Zuraidi Che Wan Zaid berkata, Min PNGK 3.12 tersebut mengatasi peringkat kebangsaan iaitu 2.85.

“Seramai 110 calon memperolehi semua A Penuh dengan PNGK 4.0, manakala 162 calon pula mendapat semua A iaitu kombinasi A dan A-.

“Sebanyak 89.31 peratus atau 1,938 calon memperolehi Prinsipal dalam semua mata pelajaran diambil,” katanya ketika mengumumkan keputusan STPM peringkat Terengganu di Pejabat Pendidikan Negeri Terengganu di sini hari ini.

Che Wan Zuraidi berkata, 34 daripada 46 sekolah yang mempunyai calon STPM di seluruh Terengganu berjaya mencapai Min PNGK 3.0 ke atas.

Jelas beliau, antara sekolah tersebut ialah Sekolah Menengah Agama Maarif, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Sawa, SMK Paka dan SMK Imtiaz Kemaman.

“Calon SMK Sultan Ahmad, Siti Asihah Othman muncul pelajar terbaik STPM 2024 peringkat kebangsaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Guru tadika gadai barang kemas ditipu scammer

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang guru tadika kerugian RM108,703 yang sebahagiannya hasil gadaian barangan kemasnya dan pinjaman daripada kawan-kawan akibat diperdaya tawaran kerja dalam talian yang tidak wujud.

Wanita berusia 32 tahun tersebut yang menyedari telah tertipu membuat laporan berhubung kes berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di sini pada pukul 2 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya, guru tadika terbabit telah dihubungi suspek mendakwa wanita tersebut merupakan pelanggan bertuah dan layak memenangi hadiah pada 20 Jun lalu.

“Hadiah berupa barangan dapur terbabit telah dihantar secara pos ke rumah wanita tersebut pada 28 Jun lalu sebelum diminta memberi maklum balas.

“Suspek turut meminta nombor akaun e-dompet mangsa untuk memberi kredit percuma RM8 sebelum memberikan tugasan seperti menekan pautan tertentu yang kononnya menawarkan pelbagai lain,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Azli berkata, sepanjang tempoh antara 1 hingga 3 Julai lalu, guru tadika terbabit melakukan beberapa pindahan wang kepada suspek kononnya atas dasar tugasan dan denda lewat menyelesaikannya.

Beliau berkata, wanita itu kemudiannya diarahkan membuat pindahan tambahan RM75,000 pada Jumaat lalu.

“Mangsa kemudiannya memohon pinjaman segera daripada dua ejen yang memberikan pautan dan membayar deposit ke dalam lima akaun bank berbeza namun wang pinjaman tersebut tidak pernah diterima,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Potensi pembangunan teknologi Pantai Timur perlu ramai bakat muda

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Pantai Timur termasuk Terengganu memerlukan ramai bakat muda bagi mengisi kekosongan tenaga kerja projek pembangunan teknologi yang kini sedang rancak dicadang di wilayah terbabit.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Chang Lih Kang berkata, wilayah Pantai Timur mempunyai potensi besar untuk terlibat dalam projek pembangunan teknologi masa hadapan seperti sektor Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS).

Beliau berkata, projek pembangunan teknologi strategik tersebut yang membuka ruang ekonomi baharu memerlukan kemahiran khusus daripada tenaga tempatan.

“MOSTI sentiasa komited memperkasakan bakat dalam kalangan anak muda untuk menjadi sebahagian daripada rantaian nilai industri teknologi tinggi negara.

“Ia selaras penegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu menjadikan pembangunan bakat dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) antara teras utama dalam agenda Kerajaan Madani,” katanya di Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu di sini hari ini.

Beliau menghadiri Karnival Minggu Sains Negara Zon Timur yang dirasmikan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar. – KOSMO! ONLINE

Program Inspirasi Pelajar Inovasi Muzium diperluas

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Skop program Inspirasi Pelajar Inovasi Muzium (IPIM) akan diperluas bukan sahaja memberi pengalaman interatif kepada murid dan pelajar sekolah untuk memahami sejarah malah kebudayaan nasional menjelang tahun 2027.

Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Senator Saraswathy Kandasami berkata, buat masa ini, program anjuran Jabatan Muzium dengan kerjasama Kementerian Pelajaran tersebut hanya memberi tumpuan untuk memperkukuh pemahaman sejarah terhadap golongan muda terbabit.

“Kita akan memperluaskan lagi tidak hanya terhadap kepada sejarah (negara) semata-mata malah identiti kebudayaan nasional seperti makanan, pakaian dan muzik.

“Ia bertujuan agar generasi muda kita lebih memahami budaya merentasi kaum (di negara ini),” katanya selepas merasmikan IPIM di Muzium Negeri Terengganu di sini semalam.

Program yang dijalankan secara serentak di 41 muzium itu melibatkan penyertaan 1,680 murid dan pelajar sekolah di seluruh negara.

Saraswathy berkata, IPIM merupakan salah satu sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) sejarah secara lebih interaktif menggunakan koleksi dan artifak muzium.

Beliau berkata, program IPIM membolehkan murid dan pelajar sekolah terlibat menjalani sesi PdP dalam tempoh dua hingga empat jam di dalam muzium dipilih.

“Program luar bilik darjah ini memberi kesedaran kepada murid dan pelajar sekolah tentang kepentingan mempelajari sejarah sebagai satu mata pelajaran penting dalam pendidikan.

“Kementerian Perpaduan Negara juga berharap ia dapat memupuk semangat kenegaraan, jati diri dan patriotik dalam kalangan generasi muda,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Kami terima dengan tangan terbuka siapa yang mahu datang – Ibu Nurly

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

BESUT – Keluarga pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terkorban, Allahyarham Nurly Sahirah Azman tetap menerima dengan tangan terbuka sesiapa yang mahu menziarahi kubur anak bongsunya di Kampung Gong Pasir, di sini bermula hari ini. 

Ibu Nurly, Kamariah Abdul Latif, 60, berkata, dia dan suami, Azman Mohamed, 63, tetap mene­rima dengan tangan terbuka sekiranya ada yang mahu menyantuni mereka dan menziarahi kubur Nurly.

 “Kita meraikan semua tetamu kerana menganggap mereka dijemput oleh Allah cuma harap tidak berlaku lagi perbuatan khurafat.…

Pesara pensyarah rugi RM90,541 terperdaya skim pelaburan palsu

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Hasrat seorang pesara untuk meraih keuntungan berganda tidak kesampaian malah kerugian RM90,541 apabila diperdaya skim pelaburan tidak wujud.

Bekas pensyarah sebuah universiti awam di Kuala Nerus itu yang menyedari tertipu telah membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu di sini pada pukul 2.24 petang, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya, lelaki berusia 59 tahun tersebut menerima mesej daripada salah seorang kenalan Facebooknya yang menawarkan skim pelaburan berkenaan.

“Mangsa yang berminat telah menyertai pelaburan itu. Dia semakin seronok apabila menerima pulangan RM 2,767 menerusi tiga kali transaksi awal dilakukan.

“Pesara tersebut kemudiannya menambah lagi pelaburan sehingga RM90,541,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Azli berkata, lelaki itu mula curiga apabila menerima mesej pelik daripada individu tidak dikenali kononnya wakil syarikat pengawasan siber pada Rabu lalu mendakwa berlaku ralat pada transaksi terakhir pelaburan dilakukan mangsa kerana tidak memasukkan nombor rujukan.

Beliau berkata, mangsa kemudiannya diarahkan untuk membayar denda RM31,400 berikutan kesalahan tersebut,” katanya.

Azli berkata, lelaki itu tambah curiga apabila suspek mendakwa akan memulangkan wang pelaburan RM 433,000 sekiranya melunaskan denda terbabit. – KOSMO! ONLINE

Monday, July 7, 2025

Nyaris disaman, rupanya tali pinggang keledar rosak

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Sebuah syarikat pengendali bas ekspres diberi amaran ekoran gagal memastikan tali pinggang keledar penumpang berada dalam keadaan baik.

Dalam operasi penguatkuasaan malam tadi, dua penumpang wanita panik apabila nyaris disaman anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kerana tidak memakai tali pinggang keledar kerana alat itu tidak berfungsi.

Pengarah JPJ Terengganu, Mohd. Zamri Samion berkata, dua gadis berusia dalam lingkungan 20-an itu dilepaskan apabila pemeriksaan mendapati aksesori tersebut mengalami kerosakan.

Sebaliknya pemandu bas terbabit diberi amaran kerana tidak memeriksa tali pinggang keledar sebelum bergerak dari terminal bas.

“Ini tidak sepatutnya berlaku kerana bas ekspres tersebut masih baru keluaran tahun 2024,” katanya yang mengetuai operasi khas itu di Chendering di sini malam tadi.

Mohd. Zamri berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan pengendali bas ekspres di Terengganu berhubung penguatkuasaan pemakaian tali pinggang keledar oleh pemandu dan penumpang minggu depan.

Sebanyak empat saman dikeluarkan di negeri ini dalam tempoh tiga hari sejak hari pertama penguatkuasaannya pada Selasa lalu. – KOSMO! ONLINE