Translate

Wednesday, February 28, 2018

TDM bakal labur RM38 juta teroka projek biogas

KUALA NERUS – Kumpulan TDM Bhd. (Kumpulan TDM) akan melaksanakan projek penghasilan tenaga biogas daripada sisa bua­ngan kelapa sawit untuk penjanaan tenaga elektrik pada tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TDM, Datuk Mohamad Muda berkata, projek teknologi hijau dengan kerjasama syarikat pengilangan dan pengeksportan minyak dan gas, Concord Alliance Sdn. Bhd. (Concord Alliance) itu bakal menelan belanja RM38 juta.

“Projek pembangunan loji tenaga boleh diperbaharui, Biogas ini akan menukar 390,000 metrik tan sisa buangan dua kilang kelapa sawit Kumpulan TDM di Kemaman dan Sungai Tong yang mengandu­ngi gas metana kepada tenaga elek­trik.

“Tenaga elektrik berkenaan di sasar untuk dijual ke Tenaga Nasional Bhd. di bawah mekanisme kouta Tarif Galakan yang akan dipohon daripada Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menandatangani perjanjian antara TDM dengan Concord Alliance di sini semalam.

Turut hadir Menteri Besar Terengganu,  Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman dan Ketua Pegawai Eksektif Concord Alliance, Datuk Khairuddin Mohd Hussin.

Mohamad berkata, sisa buangan kelapa sawit di dua kilang milik Kumpulan TDM di Kemaman dan Sungai Tong disasar mampu menjana tenaga elektrik sebanyak lebih empat megawatt sejam.

PLUS sumbang bantuan persekolahan kepada 1,000 pelajar Kuala Nerus

PRIHATIN. Seramai 1,000 pelajar daripada keluarga berpendapatan kecil sekitar daerah Kuala Nerus menerima bantuan persekolahan sumbangan pengendali lebuh raya, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Nerus, Terengganu baru-baru ini.

Ketua Pegawai Operasi PLUS, Zakaria Ahmad Zabidi berkata, sumbangan itu disampaikan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman.

“Sumbangan ini merupakan inisiatif di bawah tanggungjawab sosial korporat PLUS bagi membantu golongan kurang berkemampuan,” katanya.

SPRM sebar mesej antirasuah kepada pemandu teksi

KEMPEN. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempromosikan program Gerakan Revolusi Antirasuah (Gerah) di terminal bas dan hentian teksi sekitar bandar-bandar utama di Terengganu baru-baru ini.

Pengarah SPRM Terengganu, Mohd. Zaki Hassan berkata, program tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran awam untuk membenci gejala rasuah dan salah guna kuasa dalam kalangan masyarakat termasuk pemandu teksi dan kereta sewa.

“Kami menjelajah ke terminal bas dan hentian teksi yang terdapat di Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Marang, Kuala Berang dan Kemaman bagi menjayakan program tersebut,” katanya.

Tuesday, February 27, 2018

TDM laksana projek biogas daripada sisa buangan kelapa sawit

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS - Syarikat berkaitan kerajaan negeri Terengganu, Kumpulan TDM Berhad (Kumpulan TDM) akan melaksanakan projek penghasilan tenaga biogas daripada sisa buangan kelapa sawit untuk penjanaan tenaga elektrik pada tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TDM, Datuk Mohamad Muda berkata, projek teknologi hijau dengan kerjasama syarikat pengilangan dan pengeksportan minyak dan gas, Concord Alliance Sdn. Bhd. (Concord Alliance) itu menelan belanja RM38 juta.

"Projek pembangunan loji tenaga boleh diperbaharui, Biogas ini akan menukar 390,000 metrik tan sisa buangan dua kilang kelapa sawit Kumpulan TDM di Kemaman dan Sungai Tong yang mengandungi gas metana kepada tenaga elektrik.

"Tenaga elektrik berkenaan disasar untuk dijual ke Tenaga Nasional Berhad di bawah mekanisme kouta Tarif Galakan yang akan dipohon daripada
Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari kelak," katanya selepas menandatangani perjanjian penerimaan tawaran projek berkenaan pada Ekspo Terengganu di sini hari inim


Perjanjian tersebut turut ditandatangani Pengarah Eksekutif Concord Alliance, Datuk Khairuddin Mohd. Hussin pada majlis yang disaksikan Menteri Besar Terengganu,  Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman dan Pengerusi Kumpulan TDM, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail. - K! ONLINE

Mat Dan kini berstatus Penduduk Tetap

KUALA NERUS – Pengacara ranca­ngan Travelog di Astro, Kareef Daniel Abdullah, 29, atau lebih dikenali sebagai Mat Dan yang fasih berbahasa Melayu dialek Terengganu kini berstatus Penduduk Tetap (MyPR).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi me­ngumumkan kelulusan permohonan tersebut sewaktu merasmikan Ekspo Terengganu di hadapan lebih 40,000 hadirin semalam.

“Saya diberitahu kita ada seorang ikon yang telah di ‘Terengganukan’ (iaitu)­ Mat Dan. Saya ingin umumkan permohonannya untuk menjadi penduduk Tetap telah diluluskan,” katanya pada majlis perasmian Ekspo Terengganu yang diadakan di pekarangan Kompleks Sukan Terengganu di sini semalam.

Hadir sama, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman.

Ahmad Zahid berkata, kelulusan MyPR diberikan kepada Mat Dan selepas pemeriksaan Kementerian Dalam Negeri mendapati lelaki Inggeris yang berasal dari Bristol, Britain itu telah memenuhi kesemua kriteria ditetapkan.

Menurut beliau, kerajaan turut mengambil kira sumbangan dan komitmen tidak berbelah bahagi yang telah diberikan Mat Dan dalam mempromosikan Terengganu dan Malaysia terutama dalam sektor pelancongan selama ini.

Sementara itu, Mat Dan yang juga Duta Ekspo Terengganu berkata, beliau gembira dan bersyukur diterima sebagai Penduduk Tetap setelah hampir sembilan tahun bermastautin di negara ini.

Menurutnya, permohonan status MyPR dibuat selepas beliau melangsungkan perkahwinan dengan Nadifa Adnan yang berasal dari Chendering, Kuala Terengganu pada 12 Mac tahun lalu.

“Saya terkejut kelulusan permohonan MyPR saya diumumkan sendiri oleh Timbalan Perdana Menteri (Ahmad Zahid),” katanya.

Labur RM8 juta untuk Setiu Wetlands

SETIU – Petronas melabur sehingga RM8 juta untuk membangunkan Tanah Bencah Setia atau lebih dikenali sebagai Setiu Wetlands di sini.

Pengurus Besar Petronas Wilayah Timur, Wan Mohd. Hasnan Abdullah berkata, peruntukan tersebut merupakan pelaburan sosial korporat (CSI) terhadap Setiu Wetlands yang diwartakan sebagai taman negeri Terengganu baru-baru ini.

“Daripada jumlah tersebut, RM6 juta digunakan untuk pembinaan infrastuktur di taman negeri itu sementara selebihnya untuk perbelanjaan program pembangunan komuniti setempat.

“Program CSI di Setiu Wetlands lengkap dengan tiga fokus utama Petronas iaitu pemuliharaan alam sekitar, pembangunan komuniti dan pendidikan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program lawatan media ke Setiu Wetlands di sini baru-baru ini.

Turut hadir Ketua Stesen Penyelidikan Setiu Wetlands, Dr. Jarina Mohd. Jani.

Wan Mohd. Hasnan menjelaskan, peruntukan insfrastruktur di Setiu Wetlands melibatkan pembinaan pusat penerangan pelancongan, pembinaan empat jeti terapung pelancongan dan nelayan dan membaik pulih laluan penjalan kaki.

Monday, February 26, 2018

Mat Dan kini berstatus Penduduk Tetap

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS - Pengacara rancangan travelog, Kareef Daniel Abdullah, 29, atau lebih dikenali sebagai Mat Dan yang fasih berbahasa Melayu dialek Terengganu kini berstatus Penduduk Tetap (MyPR).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan kelulusan permohonan tersebut sewaktu merasmikan Ekspo Terengganu di hadapan lebih 40,000 hadirin hari ini.

Beliau berkata, kelulusan MyPR diberikan kepada Mat Dan selepas pemeriksaan Kementerian Dalam Negeri mendapati lelaki Inggeris yang berasal dari Bristol, Britain itu telah memenuhi kesemua kriteria ditetapkan termasuk sumbangan diberikan dalam mempromosikan Terengganu dan Malaysia terutama dalam sektor pelancongan.

"Saya diberitahu kita ada seorang ikon yang telah di 'Terengganukan' (iaitu) Mat Dan. Saya ingin umumkan beliau telah diluluskan untuk menjadi Penduduk Tetap Malaysia," katanya pada majlis perasmian Ekspo Terengganu yang diadakan di perkarangan Kompleks Sukan Terengganu di sini hari ini.


Turut hadir Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman. - K! ONLINE

Jurukimpal melecur tong dram meletup

DUNGUN – Seorang jurukimpal cedera parah selepas tong dram yang dipotongnya tiba-tiba meletup di sebuah bengkel membuat perabot di Kampung Baru Tebing Tembah, Paka dekat sini semalam.

Dalam kejadian pukul 11.40 pagi itu, Muhammad Salehuddin Mohd. Noor, 25, melecur kira-kira 50 peratus pada anggota badannya akibat terkena letupan tersebut.

Ketua Zon Dua Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Azmi Ab. Rahim berkata, kejadian berlaku ketika mangsa sedang melakukan kerja-kerja kimpalan ke atas tong dram terbabit sebelum ia tiba-tiba meletup sewaktu dipotong.

Jelasnya, impak letupan itu menyebabkan mangsa terpelanting dan hampir keseluruhan pakaiannya terbakar.

“Siasatan awal mendapati tong dram terbabit berkemungkinan masih mengandungi bahan mudah terbakar dipercayai alkohol.

“Kami percaya letupan itu berpunca daripada percikan api yang mengenai bahan mudah terbakar di dalam tong dram berkenaan sewaktu kerja-kerja kimpalan dilakukan,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Menurut Azmi, Muhammad Salehuddin dikejarkan ke Hospital Dungun di sini untuk menerima rawatan sebelum dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu bagi rawatan lanjut.

Sunday, February 25, 2018

Sasar hasil 4,800 tan udang putih

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

SETIU – Syarikat subsidiari Khazanah Nasional Bhd., Blue Archipelago Bhd. (Blue Archipelago)  me­nyasar untuk meningkatkan pengeluaran udang putih di Ladang Akuakultur Udang Bersepadu (iSharp) Kampung Nyatuh dekat sini kepada 4,800 tan pada tahun ini.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Blue Archipelago, Wan Nadhri Wan Fauzi berkata, ang­ka itu merupakan peningkatan kira-kira 24 peratus berbanding 3,900 tan tahun lalu.

“Blue Archipelago yang turut mempunyai sebuah lagi ladang udang di Kerpan, Ayer Hitam, Kedah, telah menjana pendapatan keseluruhan sebanyak RM72 juta pada tahun 2017.

“Sebanyak 90 peratus udang putih keluaran kami dijual untuk pasaran tempatan dan kami menyasar untuk muncul sebagai peneraju pasaran domestik bagi udang putih dalam beberapa tahun akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri upacara pelepasan 400,000 benih udang putih yang disempurnakan oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman di i-Sharp Kampung Nya­tuh dekat sini semalam.

Wan Nadhri menjelaskan, harga udang putih yang kekal tinggi sejak tahun lalu menyebabkan Blue Archipelago memberi tumpuan kepada pasaran tempatan.

Ujarnya, mengikut gred udang berkenaan, harga di pasaran boleh berada di antara RM22 sehingga RM45 sekilogram.

Menurut beliau, kebanyakan pelanggan udang putih i-Sharp Kampung Nyatuh merupakan pengusaha restoran dan gerai udang celup tepung, terutama­nya di Pantai Rhu Sepuluh di sini.

“Selain itu, udang putih keluaran Blue Archipelago turut dieksport ke China, Jepun, New Zealand, Singapura dan Perancis,” katanya.

Blue Archipelago diwujudkan pada 7 Jun 2004 dan berperanan untuk menghasilkan udang-udang berkualiti tinggi yang 100 peratus selamat dan memenuhi standard eksport antarabangsa yang ketat, sekali gus membolehkan ia bersaing dengan pengeluar utama lain di dunia.

Antara pensijilan yang dite­rima syarikat itu adalah halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Amalan Akuakultur Terbaik dan Amanah Global daripada Perikatan Akuakultur Global dan Jabatan Perikanan Malaysia.

SPRM Terengganu jelajah restoran

TURUN PADANG. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu menganjurkan program Jalan-Jalan Tolak Rasuah (JJTR) di Restoran Kawan Kafe, Kuala Terengganu baru-baru ini.

Pengarah SPRM Terengganu, Mohd. Zaki Hassan berkata, program Jalan-Jalan Tolak Rasuah yang menyasarkan restoran dan kedai makan terkenal di negeri ini merupakan pendekatan baharu pihaknya dalam menyampaikan mesej anti rasuah kepada masyarakat.

Beliau berkata, setiap restoran yang dilawati akan menerima bingkai JJTR selain pemilik dan pekerjanya akan dipakaikan butang Sahabat Gerakan Revolusi Anti Rasuah sebagai tanda sokongan.

Saturday, February 24, 2018

Bas dua alam bakal dipamer pada Ekspo Terengganu

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

SETIU – Bas Amphicoach atau dua alam milik Kerajaan Negeri Terengganu yang boleh beroperasi di darat dan air bakal dipamerkan buat julung-julung kalinya pada Ekspo Terengganu pada 25 Februari hingga 3 Mac depan.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman (gambar kecil) berkata, pengunjung terutama rakyat negeri ini boleh menyaksikan sendiri bas Amphicoach pertama di negara ini pada ekspo yang bakal diadakan di pekarangan Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Nerus.

“Bas Amphicoach ini sudah sampai di Terengganu pagi tadi (semalam) dan akan menjalani pemeriksaan Jabatan Pengangkutan Jalan dan Jabatan Laut untuk kelulusan beroperasi pada masa terdekat.

“Kerajaan negeri akan memohon permit sementara untuk dipamerkan pada Ekspo Terengganu,” katanya selepas melepaskan benih udang di Ladang Akuakultur Udang Bersepadu di Kampung Nyatuh di sini semalam.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Pihak Berkuasa Tempatan dan Kesejahteraan Bandar Terengganu, Datuk Mohd. Jidin Shafie dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Blue Archipelago, Wan Nadhri Wan Fauzi.
Menurut Ahmad Razif, bas dua alam itu kini ditempatkan di Depoh Jabatan Kerja Raya, Kuala Terengganu sehingga lesen operasi diperoleh.

Bas Amphicoach buatan Malta berharga kira-kira RM3 juta tersebut merupakan ke-13 yang beroperasi di seluruh dunia.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri Terengganu membeli bas terbabit untuk kegunaan banjir dan pelancongan pada tahun 2014.

Friday, February 23, 2018

Liputan jalur lebar negara lebih meluas dan menyeluruh

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menegaskan perkhidmatan jalur lebar di negara ini merupakan antara terbaik di rantau ini.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Jailani Johari berkata, kerajaan menerusi SKMM mengamalkan dasar penyediaan perkhidmatan jalur lebar termasuk rangkaian 4G yang lebih meluas dan menyeluruh sehingga ke kawasan pendalaman berbanding negara-negara jiran.

Beliau berkata, kerja-kerja menaiktaraf perkhidmatan rangkaian 3G ke 4G sedang berjalan rancak di seluruh negara.

"Kita menyasar 95 peratus kawasan di seluruh negara bakal dilengkapi dengan perkhidmatan jalur lebar menjelang tahun 2025 berbanding 84.5 peratus pada masa ini.

"Kita tidak boleh bandingkan dengan Singapura kerana Malaysia jauh lebih besar dari segi saiz dan kepadatan penduduk. Vietnam pula lebih menumpukan kawasan bandar raya untuk rangkaian 4G berbanding kita yang lebih menyeluruh hingga ke luar bandar," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kajian Open Signal berpengkalan di Britain yang mendapati rangkaian 4G Malaysia jauh lebih lambat berbanding Singapura (44.32 Mbps) Vietnam (21.49 Mbps), Brunei (17.48 Mbps) dan Myanmar (15.56 Mbps).


Begitupun laporan sama menunjukkan kelajuan 4G di negara ini pada tahun lalu telah meningkat kepada 14.83 Mbps berbanding 14.35 Mbps pada tahun 2016. - K! ONLINE

Batalion ke-18 RAMD kini Batalion Infantri Para

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS - Batalion ke-18 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) yang ditempatkan di Kem Sri Pantai, Seberang Takir di sini secara rasmi beroperasi sebagai salah sebuah Batalion Infantri Pasukan Aturgerak Cepat (Para) mulai hari ini.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zulkiple Kassim berkata, penstrukturan semula batalion terbabit yang sebelum ini merupakan batalion infantri standard bertujuan untuk meningkatkan lagi fungsi dan kesiapsiagaan 10 Briged Para.

"Langkah menstruktur semula Batalion ke-18 RAMD sebagai Batalion Infranstri Para juga bertujuan membolehkan Tentera Darat melaksanakan operasi antara dua wilayah iaitu Semenanjung dan Sabah serta Sarawak secara serentak pada masa depan.

"Penstrukturan semula ini didorong oleh perkembangan geostrategik negara dan rantau ini yang telah melalui perubahan secara berterusan. Komitmen 10 Briged Para sekarang ini amat tinggi, bukan sahaja operasi dalam negara tetapi turut terlibat misi-misi (ketenteraan) di luar negara," katanya di Lapangan Terbang Sultan Mahmud di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan penyerahan bendera 18 RAMD (Para) oleh Panglima 8 Briged,  Brigadier Jeneral Datruk Nazari Abd. Hadi kepada Panglima 10 Briged (Para), Brigadier Jeneral Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim.

Turut hadir Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman. - K! ONLINE 

Kreatifmarket.my bantu pasarkan karya seni fotografi tempatan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU – MyNIC yang merupakan agensi penyediaan domain laman web nasional telah membangunkan platform pengkomersialan karya seni fotografi tempatan pertama di negara ini, krea­tifmarket.my.

Ketua Pegawai Eksekutif MyNIC, Datuk Hasnul Fadhly Hasan berkata, laman web itu bertujuan memperbanyakkan lagi kandungan genre fotografi stok bercirikan tempatan.

“Berdasarkan kajian MyNIC yang juga agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia, kebanyakan fotografi stok yang menjadi gambar hiasan untuk akhbar, majalah dan laman web tempatan berasal dari luar negara disebabkan kurangnya penawaran.

“Kita harap kreatifmarket.my akan setan­ding laman web berkaitan fotografi antarabangsa seperti Shutterstock, Getty Images dan 123rf,” katanya selepas merasmikan Bengkel Seminar Fotografi peringkat Hulu Terengganu di Kuala Berang di sini kelmarin.

Seramai 150 belia tempatan dari sekitar daerah ini menyertai bengkel tersebut.

Hasnul Fadhly berkata, setakat ini, platform krea­tifmarket.my sudah mempunyai simpanan kira-kira 3,000 keping gambar genre stok fotografi.

Menurut beliau, setiap sekeping gambar yang terpilih untuk dalam data penyimpanan platform terbabit akan menerima bayaran daripada MyNIC pada amaun tertentu selain layak menerima royalti sekiranya foto terbabit digunakan agensi tertentu untuk tujuan komersial.

“Setakat ini kita masih dalam proses pengumpulan gambar genre stok fotografi sebelum menyasar untuk membuka platform itu bagi tujuan komersial pada pertengahan tahun ini.

“Kita juga menyasarkan untuk memperoleh lebih 10,000 keping gambar genre stok fotografi dalam data penyimpanan kreatifmarket.my menjelang akhir tahun ini,” katanya.

Thursday, February 22, 2018

Gempar siling kelas SK Jerangau runtuh

DUNGUN – Warga Sekolah Kebangsaan (SK) Jerangau dekat sini gempar apabila si­ling sebuah kelas yang terletak di bangunan tambahan runtuh secara tiba-tiba kelmarin.

Kejadian yang disedari berlaku pada pukul 5 petang itu menyebabkan struktur binaan dan bumbung kelas yang terletak di tingkat tiga tersebut rosak. Bangunan itu dibina kira-kira 10 tahun lalu.

Pengarah Pendidikan Te­reng­ganu, Shafruddin Ali Hussin berkata, pihaknya terus mengeluarkan arahan agar tingkat atas bangunan itu dikosongkan dan dijadikan kawasan larangan sebaik dimaklumkan mengenai kejadian tersebut.
“Kejadian itu bagaimanapun tidak menjejaskan sesi persekolahan SK Jerangau pagi ini (semalam). Murid kelas yang terjejas ditempatkan di premis lain buat sementara waktu,” katanya kepada Kos­mo! di sini semalam.

Shafruddin berkata, peni­laian kos kerosakan dan tahap keselamatan keseluruhan ba­ngunan tambahan SK Jera­ngau itu akan dilakukan pa­sukan teknikal Kementerian Pendidikan dan Jabatan Kerja Raya pada masa terdekat.

Dalam perkembangan sa­ma, beliau memberitahu, Jabatan Pendidikan negeri turut mengarahkan semua sekolah yang dibina menerusi model yang sama seperti ba­ngunan tambahan SK Jera­ngau terbabit diperiksa semula untuk mengelakkan kejadian sama berulang.

Siling SK Jerangau runtuh

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

DUNGUN - Siling sebuah kelas yang terletak di bangunan tambahan Sekolah Kebangsaan Jerangau dekat sini runtuh secara tiba-tiba pada semalam.

Kejadian melibatkan siling bangunan tambahan setinggi tiga tingkat yang dibina pada kira-kira 10 tahun lalu itu disedari berlaku pada pukul 5 petang.

Pengarah Pendidikan Terengganu, Shafruddin Ali Hussin berkata, pemeriksaan awal mendapati keruntuhan siling tersebut turut menyebabkan kerosakan pada struktur binaan dan bumbung bangunan berkenaan.

"Sebaik menerima makluman berhubung kejadian siling runtuh tersebut, Jabatan Pendidikan negeri segera mengeluarkan arahan agar tingkat atas bangunan terbabit dikosongkan dan dijadikan kawasan larangan.


"Begitupun, sesi persekolahan SK Jerangau pagi ini (semalam) tidak terganggu dan berjalan seperti biasa. Murid kelas yang terjejas ditempatkan di premis lain di sekolah itu buat sementara," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Tube Terengganu catat jualan RM5.3 juta

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

DUNGUN – Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (Tube) kendalian SME Corp. telah berjaya melahirkan seramai 284 usahawan baharu dari seluruh Terengganu sejak ia dilancarkan pada tahun 2014.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, menerusi program tersebut, usahawan belia terlibat mencatat nilai jualan terkumpul sebanyak  RM5.3 juta dari tahun 2014 hingga 2017.

“Semua usahawan tersebut menyertai program Tube dalam tiga fasa iaitu 114 peserta pada fasa pertama, 50 peserta (fasa kedua) dan 120 peserta (fasa ketiga).

“Bagi tahun 2018 pula, seramai 140 usahawan belia negeri bakal terlibat dalam program ini dengan peruntukan sebanyak RM2.1 juta dalam bentuk geran perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke kilang memproses kuih sejuk beku, Maz Frozen Food di Inkubator Industri Desa Pulau Serai di sini semalam.

Maz Frozen Food yang diusahakan oleh Saiful Nizam Marzuki, 28, yang juga salah seorang peserta program Tube.

Syarikatnya memasarkan produk sejuk beku berupa karipap dan ropa.
Ahmad Maslan menjelaskan, Saiful Nizam yang menceburi bidang perniagaan tersebut sejak tiga tahun lalu menerima bantuan peralatan bernilai RM190,000 daripada SME Corp.

Menurut beliau, berdasarkan maklum balas pelanggan, pengeluaran produk keluarannya telah  meningkat berkali ganda sejak menggunakan mesin prosesan kuih dan juga kemudahan bilik sejuk beku.

“Perniagaan ini berpotensi dan ia telah berkembang maju malah Saiful Nizam bercadang untuk memasarkan produk kuihnya ke pasar raya besar di seluruh negara,” jelasnya.

Wednesday, February 21, 2018

Bas Amphicoach mula dipandu uji di Sungai Terengganu

KUALA TERENGGANU - Bas Amphicoach atau dua alam yang baru diterima kerajaan negeri Terengganu empat hari lalu menarik perhatian ramai apabila ia menjalani sesi pandu uji di sini hari ini.

Kenderaan yang boleh beroperasi di darat dan air itu dilihat menyelusuri Sungai Terengganu dari Kampung Losong Feri hingga Taman Taman Islam di sini selama kira-kira 45 minit.

Pengurus Besar Ultimate Technology Ltd, Stephen Morrison Smith berkata, sesi pandu uji yang dilakukan pertama kali dilakukan sejak kenderaan itu tiba di bandar raya ini pada Ahad lalu bertujuan untuk mendapatkan lesen operasi daripada pihak berkuasa.

"Sesi pandu uji di darat dan air bas Amphicoach pada hari ini (semalam) berjalan lancar dan ia dipandu pada kelajuan sehingga enam knot sejam menyelusuri Sungai Terengganu.

"Ultimate Technology merupakan syarikat yang bertanggungjawab dalam pembinaan dan pengilangan bas Amphicoach termasuk yang dibeli kerajaan negeri Terengganu ini sejak tahun 2010," katanya kepada pemberita di sini hari ini. - K! ONLINE

Kerjasama Bank Islam, PBSNT

KUALA TERENGGANU – Bank Islam Malaysia Bhd. (Bank Islam) bekerjasama dengan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) untuk memperkenalkan Kad Debit-i Visa Terengganu FC (TFC).

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Khairul Kamarudin berkata, pihaknya mengunjurkan untuk mengeluarkan sebanyak 50,000 kad debit kepada pelanggan khususnya dalam kalangan ahli pasukan bola sepak di Pantai Timur sepanjang tahun ini.

Menurutnya, setiap kad debit yang dikeluarkan dan diperbaharui, sumbangan RM2 akan disalurkan Bank Islam kepada PBSNT sebagai inisiatif untuk meningkatkan lagi mutu bola sepak Terengganu.

“Kerjasama Bank Islam dengan PBSNT meru­pakan jalinan ketujuh  kami dengan Visa bersama persatuan-persatuan bola sepak di seluruh negara.

“Ia bermula dengan Persatuan Bolasepak Malaysia dan enam persatuan bola sepak negeri lain iaitu Kelantan, Pahang, Kedah, Selangor dan Melaka.

“Sebanyak 700,000 kad debit melibatkan penjenamaan bersama ini telah dikeluarkan sejak tahun 2016 dan melibatkan peng­agihan insentif lebih RM9 juta kepada persatuan bola sepak terlibat sehingga tahun lalu.” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Kad Debit-i Bank Islam Visa Terengganu FC ‘Peteh Terengganu Peteh’ di sini semalam.

Turut hadir Timbalan Presiden PBSNT, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail dan Ketua Jurulatih TFC, Irfan Bakti Abu Salim.
Khairul menjelaskan, Kad Debit-i Visa TFC boleh didapati di semua enam cawangan Bank Islam di Terengganu dan beberapa cawangan terpilih di Lembah Klang.

Menurut beliau, pemegang kad debit-i Bank Islam yang berminat untuk memiliki kad debit-i TFC boleh mendaftarkannya sebagai kad kedua dan seterusnya bagi akaun bank sama tanpa tidak perlu membatalkan kad sedia ada.

“Pemegang kad debit ini berpeluang untuk memenangi pelbagai hadiah termasuk ganjaran wang tunai RM2,000 dan barangan bola sepak bernilai RM500 jika melakukan transaksi per­belanjaan runcit minimum RM50 sehingga 14 Jun depan.

Tuesday, February 20, 2018

Kuih Bulan Yaya akan dijual di pasar raya China

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KEMAMAN – Pengeluar kuih bulan bumiputera, Sedeh Sokmo MMDT Sdn. Bhd. (Sedeh Sokmo) meletakkan sasaran untuk mema­suki rangkaian pasar raya di China pada pertengahan tahun ini.

Pengusahanya, Haziqah Nurul Huda Harun berkata, penempatan produk kuih bulan berjenama Victory Yaya atau lebih dikenali ramai sebagai Kuih Bulan Yaya keluaran syarikat itu di negara berkenaan adalah bagi memenuhi permintaan tinggi penggemar kuih tradisional tersebut.

“Kita menyasarkan 30,000 biji Kuih Bulan Yaya akan memasuki rangkaian pasar raya di China selepas proses dokumentasi selesai pada pertengahan tahun ini.

“Kuih Bulan Yaya yang diperbuat daripada sumber halal dan tidak mengandungi bahan pengawet mendapat sambutan menggalakkan terutama dalam kalangan golongan vegetarian,” katanya ketika ditemui di kilangnya di Teluk Kalong dekat sini baru-baru ini.

Haziqah Nurul Huda yang turut dikenali sebagai Yaya berkata, sebelum ini, pelanggannya di China membeli kuih bulan keluaran syarikatnya menerusi dua stokis warga negara itu yang dilantik.

Dalam perkembangan sama, beliau yang juga golongan berkelainan upaya memberitahu, permintaan domestik terhadap kuih bulan kelua­rannya turut meningkat mendadak sejak pembukaan kilang Sedeh Sokmo pada Oktober tahun lalu.

Menurutnya, pengeluaran yang mencecah 40,000 biji setiap bulan dan kuih bulan di kilang terbabit dipasarkan oleh 50 ejen Sedeh Sokmo di seluruh negara.

Yaya, yang lumpuh selepas mengalami demam panas enam tahun lalu, mempelajari kaedah pembuatan  kuih bulan daripada seorang rakan Facebook yang juga seorang cef dari China.

Dia kemudiannya memulakan perniagaan membuat kuih itu secara kecil-kecilan di rumahnya sejak tahun 2014 sebelum berkembang dengan pembukaan kilang di sini.

Koperal minta rasuah daripada penunggang motosikal didakwa

KUALA TERENGGANU – Seorang anggota polis berpangkat koperal dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas pertuduhan me­minta rasuah seba­nyak RM500 daripada seorang penunggang motosikal di Wakaf Tapai, Marang tahun lalu.

Tertuduh, Ruslan Deraman, 56, yang bertugas di Bahagian Tugas-Tugas Am dan Ronda Cegah Jenayah Balai Polis Wakaf Tapai mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azman Mustapha.

Berdasarkan pertuduhan, Ruslan didakwa meminta suapan berjumlah RM500 daripada seorang penunggang motosikal jenis SYM sebagai dorongan untuk melepaskan pengadu tersebut daripada tindakan undang-­undang di Balai Polis Wakaf Tapai, Marang pada 13 Februari 2107.

Dia didakwa melakukan ke­salahan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sekurang-kurangnya lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ameer Abu Bakar Abdullah manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Mahkamah menetapkan jaminan RM5,000 dan 19 Mac bagi sebutan kes.

Tertuduh membayar jaminan tersebut.

Rakyat Terengganu puas hati prestasi kerajaan

KUALA NERUS - Majoriti rakyat negeri Terengganu berpuas hati dengan prestasi kerajaan negeri yang diterajui Barisan Nasional (BN) dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini dan keyakinan itu  meningkat dari setahun ke setahun.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Razif berkata, hasil kaji selidik dilakukan beberapa ahli akademik yang dikeluarkan pada November tahun lalu mendapati 61 peratus rakyat negeri itu telah memberi pandangan positif kepada kerajaan.

Beliau berkata, kira-kira 63 peratus pula turut percaya hala tuju kerajaan negeri diterajui BN berada pada landasan yang betul.

"Alhamdullah, angka-angka ini memberi gambaran positif rakyat terhadap kerajaan.

"Sokongan mereka terhadap UMNO dan BN ini memberi keyakinan untuk kita menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14," katanya selepas menyempurnakan majlis pecah tanah bangunan UMNO Kuala Nerus di Gong Badak di sini semalam.

Pada majlis sama, beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus turut melancarkan program Gerak Tempur Tawan Parlimen Kuala Nerus dan jentera pilihan raya parlimen tersebut.

Ahmad Razif berkata, kerajaan negeri juga telah mendapat pendekatan untuk memfokuskan tiga isu utama yang menjadi kebimbangan rakyat Terengganu iaitu peningkatan kos sara hidup, pekerjaan dan perumahan.

Sehubungan itu, katanya, beliau yakin rakyat Terengganu akan memberi mandat keapda BN untuk terus menerajui negeri itu sekali gus memperjuangkan isu-isu yang menjadi keutamaan rakyat.

Monday, February 19, 2018

Koperal polis didakwa minta rasuah daripada penunggang motosikal

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Seorang anggota polis berpangkat koperal dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan meminta rasuah sebanyak RM500 daripada seorang penunggang motosikal di Wakaf Tapai, Marang pada tahun lalu.

Tertuduh, Ruslan Deraman, 56, yang bertugas di Bahagian Tugas-Tugas Am dan Ronda Cegah Jenayah Balai Polis Wakaf Tapai membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azman Mustapha.

Berdasarkan pertuduhan, Ruslan didakwa meminta suapan berjumlah RM500 daripada seorang penunggang motosikal jenis SYM sebagai dorongan untuk melepaskan pengadu tersebut daripada tindakan undang-undang di Balai Polis Wakaf Tapai, Marang pada 13 Februari 2107.


Ruslan didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sekurang-kurangnya lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan. - K! ONLINE

Pelajar lemas ditarik arus ke tengah laut

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KEMAMAN – Keseronokan tiga sahabat mandi-manda ber­akhir dengan tragedi apabila salah seorang daripada mereka maut akibat lemas di Pantai Penunjuk, Kijal dekat sini kelmarin.

Dalam kejadian pada pukul 6.30 petang tersebut, Amirul Alif Najmi Amran (gambar kecil), 16, dikatakan ditarik secara tiba-tiba ke tengah laut oleh arus deras ketika leka mandi di pantai itu bersama dua rakannya.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kijal, Mat Daling Mat Dahan berkata, sebaik menyedari keadaan tersebut, salah seorang rakannya yang dikenali sebagai Adib segera berenang ke tengah laut untuk menyelamatkan Amirul Alif Najmi.

Beliau berkata, pada masa sama, seorang lagi rakan Amirul Alif Najmi yang terlebih dulu berjaya menyelamatkan diri dengan naik ke atas batu di pantai berkenaan telah melemparkan se­utas tali untuk menyelamatkan mangsa.
“Adib yang berjaya memaut badan Ami­rul Alif Najmi kemudian menyambut tali berkenaan sebelum menarik mangsa ke atas batu menggunakan tali tersebut.

“Begitupun, mangsa yang merupakan pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Kijal dekat sini sudah tidak sedarkan diri,” katanya kepada Kosmo! Ahad di sini semalam.

Mat Daling berkata, pemeriksaan sepasukan anggota bomba dari BBP Kijal di sini dan pegawai perubatan yang bergegas di lokasi kejadian mendapati Amirul Alif Najmi telah meninggal dunia.

Harapan dan cabaran Taman Negeri Setiu Wetlands

PERASMIAN laluan santai, Boardwalk Setiu yang disempurnakan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin Isnin lalu memberi signifikan besar kepada Tanah Bencah Setiu atau lebih dikenali sebagai Setiu Wetlands.

Upacara bersejarah itu bukan hanya untuk meraikan Hari Tanah Bencah yang disambut pada setiap 2 Februari tetapi merupakan batu asas bagi meletakkan Setiu Wetlands yang kaya dengan kepelbagaian biodiversiti sebagai destinasi eko-pelancongan terunggul rantau ini.

Sebelum ini, seba­nyak 432 hektar dari 300,000 hektar keluasan tanah bencah itu telah diwartakan sebagai fasa pertama taman negeri Terengganu pada penghujung tahun lalu.

Sultan Mizan sewaktu bertitah merasmikan Boardwalk Setiu sepanjang 550 meter telah menggariskan secara jelas hala tuju  Setiu Wetlands sebagai taman negeri.

Baginda bertitah, ekosistem di Setiu Wetlands yang menjadi habitat pelbagai spesies flora dan fauna tidak boleh diganggu gugat di sebalik kerja-kerja pembangunan bagi menjadikan lokasi yang meliputi satu pertiga daerah Setiu sebagai destinasi eko-pelancongan.

Pada masa sama, Sultan Mizan juga mahu penglibatan komuniti setempat yang telah menghuni kawasan sekitar tanah bencah berkenaan sejak sekian lama tidak dinafi dan dipinggirkan.

Baginda turut mencadangkan agar aktiviti eko-pelancongan se­perti menyelusuri sungai, lawatan ke sangkar ikan, melihat habitat tuntung dan penyu, pemerhatian burung, flora serta fauna melibatkan penduduk setempat sebagai pemandu pelancong dilaksanakan di Setiu Wetlands.

Sultan Mizan juga mahu pewartaan Setiu Wetlands dapat memberi tambah nilai terhadap perusahaan sedia ada seperti penternakan lebah madu, pembuatan tikar kercut dan makanan, pe­ngutipan tiram, kerang serta pembenihan akuakultur.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Marin dan Sekitaran Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Jarina Mohd. Jani berkata, pe­wartaan fasa pertama sebahagian Setiu Wetlands sebagai taman ne­geri itu merupakan ‘kemenangan’ besar kepada pengkaji dan pencinta alam sekitar.

Beliau berkata, pewartaan tersebut telah diperjuangkan sekian lama dan hasil penyelidikan UMT selama lebih 20 tahun mendapati tanah bencah terbabit memiliki 29 spesies haiwan mamalia, 161 burung, 36 reptilia dan 37 ikan.

“Sepanjang kajian tersebut, kami menjum­pai pelbagai spesies flora dan fauna yang jarang ditemui dan hampir pupus.

“Antaranya pokok berus mata buaya, orkid liar, kepala monyet serta haiwan tuntung su­ngai, penyu hijau dan rama-rama,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Jarina yang juga Ketua Stesen Penyelidikan Setiu Wetlands berkata, dua spesies buaya iaitu tembaga dan jejulong juga telah ditemui di kawasan tanah bencah terbabit.

Menurut beliau, taman negeri itu juga kaya dengan pelbagai spesies kerangan seperti lokan, kerang bulu dan tiram selain udang serta ketam nipah.

“Setiu Wetlands yang merupakan tanah lembap berpantai terbesar dan paling utuh di Pantai Timur Semenanjung Malaysia unik kerana mempunyai sembilan ekosistem yang jarang dapat ditemui di lokasi lain.

“Ekosistem berkenaan ialah laut, pantai selut, lagun, muara, su­ngai, pulau, pantai, tasik dan hutan bakau,” ujarnya.

Sementara itu, Penolong Pegawai Daerah Setiu, Che Ku Mohd. Izzudin Che Ku Mahmood mengakui, pengurusan dan pengawasan 432 hektar Setiu Wetlands yang digazetkan sebagai fasa pertama taman negeri agak mencabar.

Beliau berkata, cabaran terbesar ialah memastikan ekosistem Setiu Wetlands sebagai kawasan tanah air tawar yang penting dan kritikal terus dipulihara dan pada masa sama, kepentingan 61,700 penduduk yang menghuni di kawasan itu tidak diketepikan.

“Sebahagian daripada Setiu Wetlands sudah dibangunkan dan mempunyai aktiviti manusia.

“Oleh sebab itu, sebarang perancangan di kawasan bencah ini perlu dilakukan dengan berhati-hati dan secara berperingkat,” katanya.

Sunday, February 18, 2018

Keunikan budaya Cina Peranakan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri Terengganu akan memohon pengiktirafan keunikan warisan dan kebudayaan masyarakat Cina Peranakan negeri itu daripada Pertubuhan Pelajaran, Sains, dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, negeri tersebut mempunyai 28,300 masyarakat Cina Peranakan yang kebanyakan menetap di bandar raya ini terutama Kampung Cina di sini.

"Komuniti Cina negeri ini mempunyai keunikan tersendiri dengan kebanyakannya bertutur dalam loghat Melayu Terengganu, selesa memakai baju kebaya selain mampu membaca tulisan Jawi serta memasak masakan Melayu.

"Kita akan cuba memastikan kebudayaan dan warisan tersebut kekal lestari dan mendapat pengiktirafan UNESCO," katanya selepas menghadiri majlis sambutan Tahun Baru Cina Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar di Kampung Cina di sini semalam.

Turut hadir Pengerusi MCA Terengganu, Datuk Toh Chin Yaw dan Pegawai Penyelaras DUN Bandar, Toh Seng Cheng.

Ahmad Razif memberitahu, UNESCO pernah menolak permohonan kerajaan negeri Terengganu sebelum ini untuk menggazetkan Kampung Cina di sini sebagai tapak warisan dunia kerana kebanyakan bangunan yang terdapat di perkampungan Cina Peranakan terbabit telah diubah suai sehingga kehilangan keasliannya.

Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan negeri Terengganu akan cuba memohon sekali lagi untuk mendapatkan pengiktirafan UNESCO bagi kategori warisan kebudayaan pula.

Ahmad Razif berkata, setakat ini, khazanah dan warisan Terengganu yang mendapat pengiktirafan UNESCO hanyalah Batu Bersurat Terengganu yang dianggap barangan purba bernilai tinggi.

Penemuan batu bersurat bertulisan jawi di Kampung Buluh, Kuala Berang, Hulu Terangganu pada tahun 1887 mencatatkan kedatangan Islam di Terangganu sebelum abad ke-14 lagi.

habis

Saturday, February 17, 2018

BN Terengganu yakin ada peluang rampas DUN Bandar

KUALA TERENGGANU – Barisan Nasional (BN) yakin berpeluang untuk merampas semula kerusi Dewan Undangan Ne­geri (DUN) Bandar yang kini dikuasai pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) nanti.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman (gambar) berkata, BN telah mengambil pendekatan mengumumkan calon DUN Bandar iaitu Toh Seng Cheng yang juga Setiausaha MCA Bahagian Kuala Terengganu sejak setahun lalu.

Beliau berkata, Seng Cheng yang lebih mesra dipanggil Ah Cheng oleh masyarakat tempatan merupakan calon baharu yang dikete­ngahkan BN untuk DUN Bandar pada PRU-14.

“Beliau yang dilantik sebagai Pegawai Penyelaras DUN Bandar telah bekerja keras untuk berkhidmat kepada penduduk di dalam DUN tersebut.

“Rakyat kini boleh menilai perkhidmatan yang disumbang Ah Cheng berbanding wakil rakyat sedia ada pada masa ini,” katanya selepas menghadiri majlis sambutan Tahun Baru Cina DUN Bandar di Kampung Cina di sini semalam.

Turut hadir Pengerusi MCA Terengganu, Datuk Toh Chin Yaw dan Seng Cheng.

Ahmad Razif berkata, beliau juga mendapati terdapat perubahan dalam kalangan pengundi DUN Bandar yang memungkinkan berlakunya peralihan sokongan kepada calon BN pada pilihan raya umum kali ini.

Wakil rakyat DUN Bandar ketika ini ialah Azan Ismail daripada Parti Keadilan Rakyat yang menewaskan penyandang, Datuk Toh Chin Yaw (BN) dengan majoriti 2,159 undi pada PRU-13.

DUN terbabit yang berada di dalam kawasan Parlimen Kuala Terengganu berkemungkinan besar bakal menyaksikan pertembu­ngan tiga penjuru membabitkan BN, PKR dan Pas pada PRU-14 kelak.

Selangor janji kebangkitan semula – Maniam

PENGENDALI Selangor, P. Maniam akur kerapuhan barisan pertahanan menjadi punca skuad kendaliannya tersungkur 1-4 kepada Terengganu FC I (TFC 1) dalam aksi ketiga Liga Super di Sta­dium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu kelmarin, lapor MOHD. AZLI ADLAN.

Beliau berkata, anak-anak buahnya bagaikan kehilangan momentum sehingga dibolosi empat gol pada perlawanan itu tersebut meskipun mengemudi takhta liga sebelum ini menerusi dua kemenangan awal.

“Saya akui kita bermain kurang baik malam ini (kelmarin) dan melakukan banyak kesilapan individu sehingga dihukum pasukan lawan. TFC I adalah skuad yang baik dan memang layak untuk memenangi pertembungan pada malam ini (kelmarin),” katanya ketika ditemui selepas perlawanan kelmarin.

Maniam berkata,  keupayaan TFC I menguasai bahagian tengah dan melancarkan beberapa serangan berbahaya berjaya melumpuhkan tempo permainan yang cuba diterapkan kepada anak-anak buahnya.

Beliau yang merupakan bekas penyerang Selangor era 90-an tidak tenggelam punca dan percaya anak-anak buahnya akan bangkit semula ke­rana perjalanan liga masih panjang.

“Asas pasukan ini amat baik dan saya juga memiliki pemain-pemain bagus. Kami ada masa dua minggu lagi sebelum aksi seterusnya untuk memperbaiki kelemahan yang telah dikenal pasti,” ujar beliau.

Friday, February 16, 2018

Keunikan kebudayaan dan warisan Cina Peranakan Terengganu disasar terima pengiktirafan UNESCO

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri Terengganu akan memohon pengiktirafan keunikan warisan dan kebudayaan masyarakat Cina Peranakan negeri itu daripada Pertubuhan Pelajaran, Sains, dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, negeri tersebut mempunyai 28,300 masyarakat Cina Peranakan yang kebanyakan menetap di bandar raya ini terutama Kampung Cina di sini.

"Komuniti Cina negeri ini mempunyai keunikan tersendiri dengan kebanyakannya bertutur dalam loghat Melayu Terengganu, selesa memakai baju kebaya dan kurung, mampu membaca tulisan Jawi dan memasak masakan Melayu.


"Kita akan cuba memastikan kebudayaan dan warisan tersebut kekal lestari dan mendapat pengiktirafan UNESCO," katanya selepas menghadiri majlis sambutan Tahun Baru Cina DUN Bandar di Kampung Cina di sini hari ini. - K! ONLINE

Malam gala hargai sumbangan guru, pelajar sekolah

IKTIRAF. Jabatan Pendidikan Terengganu menganjurkan Malam Gala Terengganu Baharu (TTB) Kemenjadian Murid bagi menghargai kecemerlangan guru dan pelajar di negeri itu di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu baru-baru ini.

Pengarah Pendidikan negeri, Shafruddin Ali Hussin berkata, lima anugerah dipertandingkan iaitu kategori sekolah, guru, pelajar sekolah menengah, murid sekolah rendah dan murid keperluan khas yang disampaikan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman.

“Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Nenas dan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Lerek yang kedua-duanya terletak di Setiu dinobatkan bagi kategori sekolah.

“Bagi kategori guru pula, anugerah milik Suhaimi Mat Hassan yang merupakan guru SK Kampung Baharu Kuala Abang, Dungun dan Saripah Embong (Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu),” katanya.

Thursday, February 15, 2018

Jurukimpal melecur teruk terkena letupan tong dram

DUNGUN - Seorang jurukimpal cedera parah selepas tong dram yang sedang dipotongnya tiba-tiba meletup di sebuah bengkel membuat perabot di Kampung Baru Tebing Tembah, Paka dekat sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 11.40 pagi itu, Muhammad Salehuddin Mohd. Noor, 25, melecur kira-kira 50 peratus daripada anggota badannya akibat letupan terbabit.

Ketua Zon Dua Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Azmi Ab. Rahim berkata, sewaktu kejadian, Muhammad Salehuddin sedang melakukan kerja-kerja kimpalan terhadap tong dram terbabit sebelum tong dram terbabit tiba-tiba meletup sewaktu sedang dipotong menyebabkan mangsa terpelanting dan terbakar hampir keseluruhan pakaiannya.

Beliau berkata,siasatan awal mendapati tong dram terbabit berkemungkinan masih mengandungi bahan mudah terbakar dipercayai alkohol sewaktu kerja-kerja pengimpalan sedang dilakukan.

"Kami percaya letupan itu berpunca daripada percikan api yang mengenai bahan mudah terbakar di dalam tong dram berkenaan sewaktu kerja-kerja kimpalan dilakukan,"katanya kepada Kosmo! di sini hari ini. - K! ONLINE

Penghuni kediaman berstrata disaran tubuh pasukan bomba sukarela

MOHD. AZLI ADLAN

MARANG - Penghuni kediaman berstrata seperti pangsapuri dan kondominium terutama di bandar-bandar besar di seluruh negara disarankan untuk menubuhkan pasukan bomba sukarela masing-masing.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar berkata, penubuhan pasukan bomba sukarela tersebut boleh memainkan peranan penting dalam pencegahan dan tindakan awal sekiranya berlaku kecemasan termasuk kebakaran di kawasan kediaman masing-masing.

"Berdasarkan pemantauan saya di beberapa kediaman berstrata mendapati kebanyakan peralatan kebakaran disediakan seperti alat pemadam api dan hos bomba sudah rosak dan tamat tarikh luput.

"Kementerian bersedia untuk membaik pulih dan memperbaiki peralatan kebakaran itu sebagai galakan komuniti kediaman terbabit menubuhkan pasukan bomba sukarela," katanya selepas merasmikan majlis tamat latihan Kursus Sijil Sains Kebombaan di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia, Wakaf Tapai di sini hari ini.


Seramai 174 pelatih menerima pentauliahan sijil berkenaan selepas melepasi 14 modul ilmu kebombaan sepanjang kursus selama empat bulan setengah. Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Datuk Seri Wan Mohd. Nor Ibrahim. - K! ONLINE

‘Anak jalanan’ ada perakuan JKM boleh bersekolah

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU – Kementerian Pendidikan kini membenarkan kanak-kanak yang tidak diketahui asal usul atau dikenali sebagai ‘anak jalanan’ memasuki sekolah biarpun tidak memiliki dokumen kelahiran lengkap.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kanak-kanak itu dibenarkan bersekolah di mana-mana sekolah bantuan kerajaan dengan syarat mendapat perakuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau mahkamah berhubung statusnya.

“Sebelum ini, kementerian telah melonggarkan syarat dengan salah seorang daripada ibu bapa kanak-kanak yang mahu memasuki sekolah itu mesti warganegara (Malaysia).

“Begitupun, timbul pula isu berkaitan ‘anak jalanan’ yang tidak diketahui asal usul dan me­netap di rumah kebajikan kelolaan JKM. Kita telah buat keputusan mereka boleh bersekolah asalkan mempunyai perakuan status daripada agensi itu,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Kolej Tingkatan Enam Hulu Terengganu, Kuala Berang di sini semalam.

Turut hadir Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Seri Jailani Johari dan Pengarah Pendidikan negeri, Shafruddin Ali Hussain.
Mengulas lanjut, Mahdzir memberitahu, perakuan JKM itu perlulah mengandungi maklumat kanak-kanak itu dijumpai, rumah kebajikan yang dihuni dan tempoh masa dia dipelihara oleh agensi tersebut.

Tambahnya, bagi kanak-kanak yang dipelihara keluarga angkat pula, surat perakuan atau akuan bersumpah tentang kebenaran penjagaan sama ada daripada JKM atau mahkamah diperlukan bagi tujuan sama.

Wednesday, February 14, 2018

Bank Islam lancar Kad Debit-i Terengganu FC

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) dengan kerjasama Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) melancarkan Kad Debit-i Visa Terengganu FC (TFC) hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Khairul Kamarudin berkata, sebanyak 50,000 kad debit tersebut disasarkan bakal dikeluarkan untuk pelanggan bank berkenaan terutama dalam kalangan pasukan bola sepak Pantai Timur terbabit sepanjang tahun ini.

Beliau berkata, setiap kad debit terbabit yang dikeluarkan dan diperbaharui, sumbangan RM2 akan disalurkan Bank Islam kepada PBSNT sebagai inisiatif untuk meningkatkan lagi mutu bola sepak Terengganu.

"Kerjasama dengan PBSNT ini merupakan ketujuh antara Bank Islam dan Visa dengan persatuan-persatuan bola sepak seluruh negara bermula dengan Persatuan Bolasepak Malaysia dan enam persatuan bola sepak negeri iaitu Kelantan, Pahang, Kedah, Selangor dan Melaka.

"Sebanyak 700,000 kad debit melibatkan penjenamaan bersama ini telah dikeluarkan sejak tahun 2016 dan melibatkan pengagihan insentif lebih RM9 juta kepada persatuan-persatuan bola sepak terlibat sehingga tahun lalu," katanya selepas melancarkan Kad Debit-i Bank Islam Visa Terengganu FC 'Peteh Terengganu Peteh' di sini hari ini.


Turut hadir Timbalan Presiden PBSNT, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail dan Ketua Jurulatih TFC, Irfan Bakti Abu Salim. - K! ONLINE 

UMT lancar buku memaparkan hasil mural dan arca pelajar

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS - Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melancarkan buku Momentum yang memaparkan grafik hasil seni mural, sulaman dan arca pelajar universiti itu.

Naib Canselor UMT, Prof. Datuk Dr. Nor Aieni Mokhtar berkata, mural, sulaman dan arca itu telah menghiasi kolej kediaman siswa universiti tersebut menerusi program Jom Deko sebelum ini.

"Idea penghasilan buku Momentum bermula daripada program Jom Deko yang bertujuan untuk menghias dan menceriakan kolej kediaman UMT yang dihuni kira-kira 4,000 pelajar pada tahun 2015.

"Seramai 500 pelajar tempatan dan antarabangsa terlibat dalam penghasilan mural, sulaman dan arca tersebut yang siap sepenuhnya pada tahun lalu," katanya.


Beliau ditemui selepas menyaksikan majlis pelancaran buku Momentum yang disempurnakan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Datuk Mohd. Zubir Embong di UMT di sini hari ini. - K! ONLINE

Tuesday, February 13, 2018

Program TUBE jana RM5.3 juta di Terengganu

MOHD. AZLI ADLAN

DUNGUN - Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) kelolaan SME Corp. telah melahirkan 284 usahawan baharu dari seluruh Terengganu sejak ia dilancarkan pada tahun 2014.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, usahawan belia Terengganu yang dilahirkan menerusi program TUBE tersebut telah menunjukkan perkembangan positif dengan menjana nilai jualan tahunan mencecah RM5.3 juta setahun.

"Kesemua usahawan belia itu menyertai program TUBE dalam tiga fasa iaitu 114 peserta pada fasa pertama, 50 peserta (fasa kedua) dan 120 peserta (fasa ketiga).

"Bagi tahun 2018 pula, seramai 140 usahawan belia Bumiputera negeri tersebut bakal terlibat dengan peruntukan RM2.1 juta berupa geran perniagaan," katanya selepas mengadakan lawatan ke kilang memproses kuih sejuk beku, Maz Frozen Food di Inkubator Industri Desa Pulau Serai di sini hari ini.


Maz Frozen Food dengan produk utamanya, karipap dan ropa sejuk beku diusahakan usahawan muda, Saiful Nizam Marzuki, 28, yang merupakan salah seorang peserta program TUBE. - K! ONLINE

Staf UniSZA sertai senamrobik

SIHAT. Seramai 1,000 kakitangan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menyertai aktiviti senam robik beramai-ramai sempena perhimpunan bulanan universiti itu di Dewan Gemilang, UniSZA, Kuala Nerus, Terengganu baru-baru ini.

Naib Canselor UniSZA, Prof. Datuk Dr. Ahmad Zubaidi Abdul Latif berkata, aktiviti itu diadakan bertujuan untuk memupuk amalan bersenam dalam kalangan kakitangan universiti tersebut.

“Senamrobik bukan sahaja aktiviti yang menyihatkan malah mampu memupuk persefahaman, perpaduan dan saling menghormati antara satu sama lain. UniSZA bercadang untuk menjadikan ia sebagai aktiviti bulanan antara kakitangan sepanjang tahun 2018 ini,” katanya.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti UniSZA, Prof. Datuk Kamarudin Hussin.

Monday, February 12, 2018

Pelajar UMT ikuti program 2U2i dirai pada majlis penghargaan

TERBAIK. Seramai 48 pelajar Sarjana Muda Perakaunan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang berjaya menamatkan program Dua Universiti + Dua Industri (2u2i) diraikan pada majlis penghargaan di UMT, Kuala Nerus, Terengganu baru-baru ini.

Naib Canselor UMT, Prof. Dr. Nor Aieni Mokhtar berkata, kesemua pelajar tersebut telah menjalani program 2U2i di Firma Pengajaran Perakaunan hasil kerjasama UMT dan sebuah firma pengauditan, Salihin Chartered Accountant (SAC).

“Pada program itu, lima pelajar telah dinobatkan sebagai pelajar terbaik. Mereka terdiri daripada Muhammad Hakim Amir Hamzah, Siti Nur Sabreena  Supardi, Lim Pik Yee, Tengku Farah Hanim Tengku Mat dan Shafiq Hazizi Shaipul Bahari.

“Selain sijil penghargaan, mereka turut menerima ganjaran wang tunai sebanyak RM500 sumbangan SAC,” katanya.

Sunday, February 11, 2018

Selangor tersungkur diaibkan TFC 1-4

MOHD. AZLI ADLAN dan KAMARIAH KHALIDI

KUALA TERENGGANU - Selangor terpaksa menerima hakikat kehilangan takhta Liga Super selepas diaibkan oleh Terengganu Football Club 1 (TFC1) 1-4 pada aksi ketiga di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini sebentar tadi.

Kemenangan sulung TFC1 tersebut juga sekali gus melonjakkan pendatang baharu Liga Super itu di tangga keempat dengan kutipan lima mata.

Selangor pula terpaksa turun ke tempat ketiga liga sementara status pendahulu dirampas pasukan 'adik', PKNS FC.

TFC1 mendahului menerusi rembangan kencang pemain import, Lee Andrew Tuck dari luar kotak penalti pada minit ke-32.

Pemain sayap, Mohd. Shahrul Aizad Zukufli menambah gol kedua tuan rumah selepas sepakan leretnya menewaskan penjaga gol Selangor, Norazlan Razali pada minit ke-59.

Kapten TFC1, Tchetche Kipre menambah luka Red Giants selepas menjaringkan gol ketiga hasil hantaran Andrew Tuck pada minit ke-65.

Andrew Tuck yang juga bekas pemain Negeri Sembilan sekali lagi muncul wira apabila berjaya membocorkan gawang Selangor buat kedua bagi menjadikan kedudukan 4-0 buat tuan rumah pada minit ke-68.


Red Giants memperolehi gol saguhati menerusi rembatan lencong 'kuda tua', Mohd. Amri Yahya yang juga pemain gantian pada minit ke-88. - K! ONLINE