Translate

Wednesday, May 29, 2013

Pelajar FMSP di UPSI anjur konsert


HIBURAN. Konsert Kemuncak Seni anjuran Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (FMSP), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) diadakan di Panggung Budaya, UPSI, Tanjung Malim, Perak baru-baru ini.
Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Zakaria Kasa berkata, persembahan tersebut dijayakan oleh 52 pelajar tahun akhir program Pendidikan Muzik.
Beliau berkata, antara lagu yang didendangkan pada konsert tersebut ialah Sesungguhnya, Rapuh, Satu Suara, Fields of Hope, Orinoco Flow, Res Flower Bloom All Over The Mountain, The Chinese dan Tari Tualang Tiga.
"Lebih istimewa, penonton Konsert Kemuncak Seni diperdengarkan buat pertama kali lagu nukilan Dekan FMSP, Prof. Madya Zaharul Lailiddin Saidon bertajuk Visi dan Misi," katanya.

Suspek rempuh khemah kenduri kahwin diburu

KAMPAR – Polis sedang memburu seorang penjenayah tegar yang dipercayai merempuh sebuah khemah kenduri perkahwinan sehingga menyebabkan seorang bayi berusia 18 bulan maut dan dua saudaranya cedera.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon berkata, individu tersebut dikenal pasti sebagai C.S. Senguttuwan, 28, yang mempunyai 13 rekod jenayah lampau dan dia dikehendaki polis bagi membantu siasatan kes tersebut.
“Antara kesalahan jenayah yang dilakukan suspek ialah cubaan membunuh, mencuri motosikal, memecah rumah dan khianat dengan api selain pernah dikenakan perintah sekatan di Kuala Terengganu, Terengganu pada 2011.
“Dia yang berasal dari Taman Gopeng, Gopeng dekat sini juga diburu polis di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu memiliki senjata maut dalam rusuhan yang dihadirinya pada 7 Mei lalu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar di sini semalam.
Kong Soon berkata, siasatan awal mendapati sewaktu kejadian Sengut- tuwan memandu kereta Proton Persona terbabit bersama seorang lagi suspek yang masih belum dikenal pasti identitinya.

Menurut beliau, gerakan memburu suspek telah diperhebat dan setakat ini kenderaan terlibat juga masih belum ditemui.

“Orang awam yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai Sengguttuwan diharap membantu pihak polis untuk menjejak suspek.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41 (1) (A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu melulu hingga menyebabkan kematian dan mungkin turut di siasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Kong Soon mengesahkan enam ahli keluarga mangsa telah ditahan kelmarin kerana bertindak nekad menyerang rumah dan merosakkan harta-benda milik keluarga suspek pada malam Ahad lalu.

Beliau memberitahu, enam lelaki berkenaan yang berusia dalam lingkungan 20-an dan 30-an itu ditahan reman sehingga lusa untuk membantu siasatan.

Kosmo! kelmarin melaporkan seorang bayi, T. Thamilarasan yang sedang dipangku oleh ibu saudaranya, S. Neela, 58, maut apabila khemah majlis perkahwinan tempat mangsa duduk dirempuh oleh sebuah kereta penjenayah yang sedang dikejar polis.


Tuesday, May 28, 2013

1,944 graduan UiTM Seri Iskandar terima diploma


TAHNIAH. Sebanyak 1,944 graduan menerima diploma masing-masing pada Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) ke-78 di UiTM Seri Iskandar, Perak baru-baru ini.
Rektor UiTM Perak, Prof. Dr. Zainab Mohamed berkata, graduan terlibat terdiri daripada pelajar Fakulti Perakaunan, Komputer dan Sains Komputer, Pengurusan Perniagaan, Seni Lukis dan Seni Reka serta Seni Bina, Perancangan dan Ukur.
Beliau berkata, istiadat konvokesyen tersebut disempurnakan oleh Pro Canselor UiTM, Tan Sri Sallehuddin Mohamed.
Graduan Diploma Pengurusan Hartanah, Siti Mardia Awang, 22 dan pelajar Diploma Seni Lukis dan Seni Bina, Muhammad Syafiq Ahmad Shakri, 21, dinobatkan sebagai penerima Anugerah Naib Canselor.

Dua maut kemalangan motosikal, kereta

IPOH - Dua lelaki termasuk seorang pengedar akhbar maut selepas terlibat dalam kemalangan melibatkan sebuah motosikal dan kereta Perodua Myvi di Jalan Lahat di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 3 pagi itu, A.S. Rajendran, 52, dan Foong Soon Hong, 34 mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, semasa kejadian, kereta Perodua Myvi yang dipandu Soon Hong tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas di laluan bertentangan sebelum merempuh motosikal ditunggangi Rajendran.

“Akibat rempuhan itu, Rajendran tercampak sejauh beberapa meter manakala kereta dipandu Soon Hong pula remuk teruk dan terbalik selepas melanggar sebatang pokok di bahu jalan,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Chang Keong berkata, sewaktu kejadian, Rajendran yang merupakan seorang pengedar akhbar dalam perjalanan untuk mengambil surat khabar dari beberapa pejabat penerbitan akhbar tempatan di sekitar bandar raya ini untuk edaran semalam.

Menurut beliau, manakala Soon Hong yang merupakan seorang ahli perniagaan pula dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Menglembu di sini.

Mayat kedua-dua mangsa telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini untuk dibedah siasat

Enam pemimpin pembangkang didakwa di mahkamah

SEREMBAN - Enam pemimpin pembangkang semalam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen negeri masing-masing atas dakwaan gagal memaklumkan kepada Ketua Polis Daerah dalam tempoh 10 hari lebih awal untuk menganjurkan perhimpunan bagi membantah keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) baru-baru ini.
Di Seremban, Negeri Sembilan, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Sembilan, Mohd. Nazree Mohd. Yunus, 29, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Datuk Jagjit Singh Bant Singh atas dakwaan itu ketika menganjurkan ceramah 17 Mei lepas.
Di Ipoh, Perak, Ahli Parlimen Ipoh Timur, Thomas Su Keong Siong daripada DAP dan Setiausaha Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak, Muhammad Anuar Zakaria juga mengaku tidak bersalah atas dakwaan menganjurkan perhimpunan haram.
Keong Siong yang juga Penolong Setiausaha DAP Kebangsaan dan Muhammad Anuar masing-masing didakwa menganjurkan perhimpunan itu di Wisma Chin Woo dan pejabat PKR negeri, Medan Istana pada pukul 7.30 malam 9 dan 12 Mei lalu.
Mereka mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Julie Leck Abdullah
Di Kuantan, Pahang, Setiausaha PKR Pahang, Kamarzaman Mohamed Yunus, 57, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Fathiyah Idris.
Dia didakwa menganjurkan satu perhimpunan di kawasan Pejabat Perhubungan Negeri PKR Pahang, Lot 1051, Kilometer 8, Jalan Beserah pada pukul 8.30 malam 14 Mei lalu.
Di Butterworth, Pulau Pinang, tiada pengakuan direkodkan daripada Setiausaha Eksekutif Pakatan Rakyat Pulau Pinang, Ong Eu Leong, 44, ketika dihadapkan di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.
Eu Leong daripada PKR didakwa melakukan kesalahan itu pada pukul 8.30 malam 11 Mei lalu di Stadium Negeri Batu Kawan.
Di Johor Bahru, Johor, Setiausaha Kerja PKR Johor, R. Yuneswaran, 27, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Muhammad Jamil Hussin atas dakwaan menganjurkan Himpunan Black 505 di Pejabat PKR di Jalan Beladau 19, Taman Puteri Wangsa, Ulu Tiram pada pukul 8.30 malam 15 Mei lalu.
Keenam-enam tertuduh didakwa mengikut Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 9(5) akta sama yang membawa hukuman denda RM10,000 jika sabit kesalahan.
Kesemua tertuduh yang diwakili peguam dibebaskan dengan jaminan antara RM3,000 hingga RM5,000.

Sambutan Hari Belia Negara peringkat Perak meriah


PEWARIS. Lebih 10,000 belia memeriahkan sambutan Hari Belia Negara peringkat Perak di Dataran Jabatan Kerja Raya (JKR), Sungai Siput, Perak baru-baru ini.
Program tersebut dirasmikan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abd. Kadir dan turut dihadiri Pengerusi Majlis Belia Negeri (MBN) Perak, Khairul Anwar El Syazalli Musa.
Pada sambutan tersebut, Kesatuan Pelajar-Pelajar Islam Perak menerima Anugerah Perdana Pertubuhan Belia Perak sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000, sijil penghargaan dan cenderahati.
Selain itu, MBN Perak turut melancarkan penjenamaan baharu iaitu Youth of Perak (YOP) yang bakal menjadi pengenalan jati diri generasi muda di negeri itu.

Monday, May 27, 2013

Bayi maut di rumah pengantin

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com

IPOH - Kegembiraan pasangan suami isteri meraikan perkahwinan seorang ahli keluarga mereka berakhir dengan kedukaan apabila bayi lelaki tunggal mereka maut selepas sebuah khemah dan meja di rumah keluarga pengantin itu dirempuh sebuah kereta penjenayah yang sedang melarikan diri daripada dikejar polis di Kampung Kopisan, Gopeng dekat sini malam kelmarin.

Bayi yang terbunuh dalam kejadian mengejut pada pukul 11 malam itu ialah T. Thamilarasan yang baru berusia 18 bulan.
Mangsa maut akibat mengalami kecederaan teruk di kepala. Ibu saudara bayi itu, S. Neela, 58, dan sepupunya, S. Tharminthiven, 2, pula masing-masing mengalami kecederaan di kaki dan tangan.
Semasa kejadian, terdapat kira-kira 10 orang ahli keluarga pasangan pengantin itu sedang berehat sambil berbual di bawah khemah yang menempatkan beberapa buah meja setelah penat melayan tetamu pada hari tersebut.
Mengimbas kejadian itu, bapa bayi malang itu, T. Thenarasu, 24, berkata, ketika itu dia dan isterinya, S. Salini, 18, sedang duduk bersama Neela yang memangku anaknya yang tidur manakala Tharminthiven bermain di sebuah meja paling hujung di dalam khemah yang dipasang di depan rumah saudaranya yang baru melangsungkan perkahwinan.
"Tiba-tiba sebuah kereta Proton Persona yang dipandu laju terbabas merempuh meja tempat kami duduk.
"Rempuhan itu menyebabkan kami semua tercampak termasuk Neela yang memangku anak saya dan Tharminthiven," ceritanya ketika ditemui Kosmo! di Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HPRB) di sini semalam.

Thenarasu bekerja sebagai pembantu pemandu lori dan dia tinggal di Kampung Kopisan tidak jauh dari rumah keluarga pasangan berkahwin itu.

Kata Thenarasu, kereta Proton Persona yang dipercayai dinaiki empat lelaki itu tidak berhenti, malah pemandunya bertindak mengundurkan kereta sebelum terus memecut meninggalkan tempat kejadian.

Bagaimanapun, sejurus kemudian muncul sebuah kereta peronda polis yang mengejar kereta Proton Persona itu yang dipercayai dinaiki penjenayah. Anggota polis membantu menghantar anak dan dua saudaranya yang cedera ke Hospital Kampar.

"Namun disebabkan kecederaan anak saya teruk, bayi saya dipindahkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun dekat sini.

"Pada pukul 6 pagi ini (semalam) ketika sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi hospital tersebut, anak saya meninggal dunia," katanya yang amat sedih kerana selepas berkahwin selama dua tahun baru dia mendapat cahayamata.

Neela yang patah kaki kiri dan Tharminthiven yang cedera tangan kanan masih dirawat di hospital sama.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon mengesahkan kenderaan yang merempuh ketiga-tiga mangsa sedang dikejar sebuah kereta peronda polis.

Sebelum itu, menurut beliau, kenderaan itu telah lolos daripada ditahan dalam satu sekatan jalan yang dilakukan secara bersepadu di Jalan Gopeng-Kuala Lumpur iaitu kira-kira lima kilometer dari lokasi kejadian.

Sehingga lewat petang, polis masih menjejak suspek yang terlibat dalam kejadian tersebut.


Ahli Parlimen Ipoh Timur dihadap ke mahkamah kerana menganjur perhimpunan haram

IPOH - Ahli Parlimen Ipoh Timur, Thomas Su Keong Siong dari DAP dihadap ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menganjurkan perhimpunan haram bagi membantah keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 baru-baru ini.
Keong Siong didakwa menganjurkan perhimpunan tersebut pada pukul 7.30 malam, 9 Mei lalu di Dewan Wisma Chin Woo di sini.
Turut didakwa sama ialah, Setiausaha Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak, Muhammad Anuar Zakaria.
Muhammad Anuar dituduh melakukan perkara sama pada 7.30 malam, 12 Mei lalu di perkarangan pejabat PKR Perak di sini.
Kedua-dua dituduh di bawah Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012.
Hakim Julie Leck Abdullah memerintahkan sebutan semula kes tersebut pada 19 Julai depan dan membenarkan kedua-dua tertuduh dibebaskan dengan wang jaminan RM4,000 dan seorang penjamin. - KOSMO!

Sunday, May 26, 2013

Anggota Rela parah dirempuh pelesit rempit

IPOH - Seorang anggota Pasukan Sukarelawan Malaysia (Rela) cedera parah akibat dirempuh motosikal seorang pelesit rempit sewaktu terlibat dalam operasi bersepadu penguatkuasaan jalan raya di Jalan Pasir Puteh berhampiran Balai Polis Pasir Puteh di sini semalam.

Kejadian pada pukul 3.45 pagi itu menyebabkan Teong Yoon Meng, 44, mengalami kecederaan parah di kepala dan kini dirawaat di Unit Rawatan Rapi, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HPPB) di sini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, mangsa yang berasal dari Menglembu di sini bersama 68 anggota terdiri daripada anggota polis, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Rela yang terlibat dalam operasi yang bermula pukul 11 malam kelmarin.

"Yong Meng dirempuh sewaktu bersama-sama beberapa anggota penguat kuasa lain hendak menahan motosikal yang ditunggangi suspek," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.


Friday, May 24, 2013

Geng Botak samun kedai serbaneka tumpas


IPOH - Empat penyamun yang diketuai lelaki berkepala botak dan dipercayai terlibat dalam kira-kira 20 kes samun kedai serbaneka di negeri ini, Selangor dan Kuala Lumpur tumpas ekoran penahanan anggota kumpulan tersebut di Plaza Tol Kuala Kangsar dekat sini kelmarin.

Empat penjenayah yang bernaung di bawah nama Geng Botak itu ditangkap ketika kereta Proton Wira warna kelabu yang mereka naiki ditahan dalam sekatan jalan pada pukul 2.30 pagi.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, sewaktu kereta itu ditahan, kumpulan yang dianggotai empat lelaki berusia 16 hingga 38 tahun dalam perjalanan untuk menyamun sebuah kedai serbaneka yang beroperasi 24 jam di Kuala Kangsar.

"Hasil pemeriksaan membawa kepada penemuan dua pucuk pistol tiruan berwarna hitam, dua walkie talkie, satu gari, sebuah komputer riba, 16 buah telefon bimbit dan satu topeng warna hitam," kata beliau pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Perak di sini semalam.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati kumpulan penjenayah yang aktif sejak setahun lalu itu dipercayai terlibat dalam sekurang-kurangnya 20 kes samun di kedai serbaneka, butik dan kedai runcit di sekitar bandar raya ini, Manjung, Perak Tengah, Kuala Lumpur dan Selangor.

"Geng Botak menyasar premis perniagaan yang beroperasi 24 jam dan biasanya melakukan kegiatan jenayah samun pada awal pagi.

"Selain menakut-nakutkan mangsa dengan pistol mainan, anggota kumpulan penjenayah itu juga berkomunikasi antara satu sama lain menggunakan walkie talkie," kata beliau.

Kata Shukri, bagi mengelakkan diri dikesan, kumpulan penjenayah itu melakukan perbuatan jenayah tersebut dengan menggunakan kereta sewa.

Suspek yang berusia 16 tahun merupakan remaja yang tidak bersekolah manakala tiga suspek lain mempunyai rekod jenayah berkaitan kes samun dan rogol. Ketua kumpulan tersebut yang popular dengan panggilan Botak berusia 38 tahun mempunyai lapan rekod jenayah.

Kesemua suspek direman selama empat hari sehingga 24 Mei ini.

Wednesday, May 22, 2013

Tujuh penyamun berbahaya diberkas


IPOH - Kegembraan sekumpulan tujuh penjenayah menyamun sebuah restoran makanan laut di Kampung Acheh, Sitiawan dekat sini tidak ke mana apabila kesemuanya diberkas tiga jam selepas melakukan jenayah itu Rabu lalu.

Sebelum diberkas, tiga anggota geng berkenaan telah menyamun pemilik dan pelanggan restoran makanan laut terbabit pada pukul 1.30 pagi.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, kesemua suspek berusia 21 hingga 38 tahun itu termasuk seorang wanita China ditahan di sebuah hotel di Pantai Remis dekat sini pada pukul 4.30 pagi.

Katanya, kumpulan itu sangat bahaya kerana terlibat dalam dua kes melepaskan tembakan hingga mencederakan tiga mangsa di Bagan Serai dan Parit Buntar 13 Mei lalu.

"Di restoran itu, suspek telah melarikan wang tunai RM24,400, sembilan buah telefon bimbit, tiga utas jam tangan, dua buah kamera digital, barangan kemas pelbagai jenis dan dokumen peribadi pemilik restoran dan enam pelanggan.

"Suspek turut melepaskan dua das tembakan ke arah dua buah televisyen litar tertutup sebelum mereka melarikan diri dengan sebuha kereka jenis Kia Sephia," katanya di sini semalam.

Tambahnya, polis yang menjalankan siasatan kemudian telah menyerbu sebuah hotel di Pantai Remis yang terletak kira-kira 20 kilometer dari restoran tersebut sbeelum menahan tujuh suspek.

Menurut Mohd. Shukri, polis menemui kesemua barangan yang disamun di restoran itu dan merampas dua pucuk pistl jenis Stayer dan Revolver .38 serta 144 butir peluru.

"Dalam kes di Bagan Serai, mereka telah merompak sekumpulan lelaki yang leka berjudi di sebuah rumah di Jalan Jeti pada pukul 4 pagi. Pada hari sama, suspek telah melepaskan tembakan hingga mengakibatkan seorang ahli perniagaan cedera di Parit Buntar," katanya.

Tuesday, May 21, 2013

61 belia sertai program perintis latihan kerja di Brazil


LATIHAN. Seramai 61 belia tempatan terpilih untuk menjalani program perintis latihan kerja di syarikat pengedaran bijih besi terbesar dunia, Vale S.A (Vale) di Vale, Brazil baru-baru ini.
Pengarah Vale Malaysia Minerals Sdn. Bhd, Marcelo Figueiredo berkata, semua perintis terbabit yang terdiri daripada 50 lelaki dan 11 perempuan itu bakal menerima latihan kerja di negara berkenaan selama empat bulan.
Beliau berkata, perintis yang menunjukkan prestasi baik akan diserap sebagai kakitangan tetap di pusat pengedaran bijih besi Vale di Teluk Rubiah, Lumut, Perak.

Bomoh tolak sial tumpas

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Kelicikan empat wanita China menipu rakyat negara ini dengan menyamar sebagai bomoh pembuang sial hingga melibatkan kerugian mencecah jutaan ringgit sejak tiga tahun lalu terbongkar apabila kesemuanya diberkas dalam satu operasi baru-baru ini.
Suspek berusia antara 45 hingga 51 tahun tersebut diberkas sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Perak di sebuah hotel di Kulim, Kedah pada pukul 3.30 pagi, 17 Mei lalu.
Modus operandi mereka ialah mengatakan mangsa yang telah ditilik nasibnya akan ditimpa nasib malang dalam tempoh terdekat selepas membuat tilikan berdasarkan raut wajah. Kebanyakan mangsa merupakan warga emas berketurunan Cina.
Apabila mangsa telah berjaya ditakutkan, sindiket akan menawarkan pula khidmat perubatan alternatif kononnya dapat membuang nasib sial tersebut.
Sebagai upah, sindiket akan meminta mangsa menyerahkan barang kemas dan wang.


Mangsa akan menyedari ditipu selepas diberitahu oleh ahli keluarga lain atau kenalan setelah mereka menceritakan mengenai kejadian itu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, siasatan awal mendapati, sindiket berkenaan terlibat dalam sekurang-kurangnya 23 kes penipuan membabitkan kerugian lebih RM1.18 juta sejak 2010 termasuk mangsa terbaharu, seorang warga emas di Langkap, Teluk Intan pada 23 April lalu.

"Semasa serbuan, polis berjaya menjumpai 41 barangan kemas pelbagai jenis seperti cincin, anting-anting, loket, rantai dan gelang dipercayai milik mangsa.

"Wang termasuk mata wang Yuan dan Dollar Singapura berjumlah RM9,462 turut dirampas," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Kesemua suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

Tuesday, May 14, 2013

Gerakan tidak akan ikut jejak MCA tolak jawatan


IPOH - Parti Gerakan tidak akan mengikut jejak MCA untuk menolak sebarang jawatan dalam kerajaan dan menutup pusat khidmat berikutan prestasi buruk pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).
Timbalan Presidennya, Datuk Chang Ko Youn (gambar) berkata, sebagai parti yang menerima polisi dan dasar Barisan Nasional (BN) pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, tiada keperluan untuk Gerakan berbuat demikian.
"Saya rasa ia tidak betul. Hanya kerana kalah teruk, tidak bermakna perlu menolak jawatan.
"Kamu boleh menolak jawatan jika kamu berbeza polisi atau tidak bersetuju dengan polisi kerajaan. Kalau menerima polisi kerajaan, saya tidak nampak sebarang sebab untuk menolak jawatan dan menutup pusat khidmat," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Ko Youn berkata, kredibiliti parti berkenaan akan dipandang rendah sekiranya Gerakan menutup pusat khidmatnya hanya semata-mata kerana gagal memenangi pilihan raya dan menjadi wakil rakyat.
"Gerakan tidak perlu tutup pusat khidmat hanya kerana tidak mendapat sokongan daripada majoriti kaum Cina kerana parti ini untuk semua kaum, bukan hanya untuk orang Cina seperti MCA," katanya.
Tegasnya, parti tersebut sentiasa menyokong dan berpegang teguh terhadap dasar yang dilaksanakan Najib dan polisi terbabit harus dipuji kerana telah berjaya memberikan dimensi baharu kepada negara ini.
Gerakan hanya memenangi satu daripada 11 kerusi Parlimen yang ditandingi dan tiga daripada 31 kerusi Dewan Undangan Negeri yang ditandingi pada PRU-13.

Thursday, May 9, 2013

Lelaki tuntut hutang parah ditetak pisau


IPOH - Hasrat seorang pemandu lori mengambil semula kereta Mercedes miliknya bukan sahaja tidak kesampaian malah dia cedera parah apabila dilibas oleh anak si penghutang tersebut di sebuah restoran di Taman Seri Pengkalan, Pusing, Batu Gajah kelmarin.

Kejadian pukul 10.30 pagi itu mengakibatkan lelaki berusia 46 tahun tersebut terpkasa menerima 25 jahitan di tapak tangan kanannya selepas dilibat dengan pisau oleh suspek berumur 21 tahun itu.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Shaharon Anuar Abdul Latif berkata, mangsa ingin mengambil semula keretanya itu selepas mendapati bapa suspek gagal melunaskan bayaran deposit sebanyak RM2,000 walaupun tempoh sebulan telah berakhir.

Katganya, mereka kemudian telah bertengkar selepas bapa suspek enggan menyerahkan kereta tersebut.

"Suspek yang berada berdekatan kemudian masuk campur dan menyerang mangsa dengan pisau.

"Mangsa yang cuba menepis cedera apabila tapak tangannya dilibas pisau," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Tambahnya, pergaduhan itu dapat dileraikan oleh beberapa pelanggan restoran sebelum mereka menghantar mangsa ke Hospital Batu Gajah untuk rawatan lanjut.

Menurut Shaharon Anuar, polis kemudian dapat memberkas suspek di rumahnyua di Bandar Baru Puspa, Pusing, Batu Gajah pada malam kelmarin.

Wednesday, May 8, 2013

Zambry angkat sumpah MB Perak penggal kedua


Oleh MOHD. AZLI ADLAN 
azli.adlan@kosmo.com.my


KUALA KANGSAR - Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar buat penggal kedua di Istana Iskandariah di sini semalam.
Istiadat penyampaian surat cara pelantikan dan upacara angkat sumpah itu berlangsung di hadapan Pemangku Raja Perak, Raja Nazrin Shah.
Zambry yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor kemudian menandatangani surat cara pelantikan berkenaan sambil disaksikan Hakim Utama Mahkamah Tinggi Ipoh, Datuk Zainal Adzam Abdul Ghani dan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Abdul Puhat Mat Nayan.
Turut mencemar duli hadir pada istiadat berkenaan ialah Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Dihilir Perak, Raja Jaafar Raja Musa dan Raja Puan Muda Perak, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah.
Turut hadir ialah kesemua 31 ADUN BN negeri yang memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) Ahad lalu.
Keputusan PRU-13 menyaksikan BN kekal menerima mandat memerintah kerajaan negeri Perak dengan majoriti mudah apabila menguasai 31 daripada 59 kerusi DUN.
Zambry ketika ditemui pemberita berkata, barisan Exco kerajaan negeri akan diumumkan selepas beliau mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan diperkenan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dalam tempoh terdekat.
Beliau juga membayangkan barisan Exco tersebut akan menampilkan gabungan muka lama dan baharu, selain pelantikan seorang Penasihat Menteri Besar Perak bagi kaum India.
"Bagi jawatan Penasihat Menteri Besar Perak bagi kaum Cina dan kouta Exco untuk komuniti itu pula, saya akan melakukan perbincangan semula dengan pucuk pimpinan BN.
"Kita ada seorang wakil rakyat daripada MCA iaitu Datuk Mah Hang Soon yang memenangi DUN Chenderiang. Saya memang berharap beliau dapat menyertainya kerana beliau antara Exco kerajaan negeri terbaik pada penggal lalu," katanya.
Kepimpinan MCA dan Gerakan sebelum ini enggan menerima sebarang jawatan di peringkat negeri dan Persekutuan berikutan kemerosotan prestasi dua parti mewakili kaum Cina itu pada PRU-13.

Tuesday, May 7, 2013

Mayat dalam lombong


MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my


BATU GAJAH – Tanda-tanya mengenai kehilangan seorang lelaki yang tidak pulang selepas keluar rumah sejak Rabu lalu terjawab apabila dia ditemui mati dibunuh sebelum mayatnya dibuang di dalam bekas lombong berhampiran Kawasan Industri Bemban di sini kelmarin.
Mayat K. Murugan, 37, ditemui terapung di dalam bekas lombong berkenaan pada pukul 5 petang oleh seorang penggembala lembu yang sedang menghalau ternakannya pulang ke kandang berhampiran.
Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Shaharon Anuar Abdul Latif berkata, lelaki itu pergi ke kawasan lombong tersebut selepas tercium bau busuk.
“Dia kemudian terkejut apabila menemui satu mayat dengan tangan dan kakinya diikat sebelum melaporkannya kepada polis.
“Siasatan mendapati mangsa dikenali sebagai K. Murugan, 37, yang dilaporkan hilang sejak keluar dari rumahnya di Bidor dekat sini pada pukul 11.30 malam Rabu lalu,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Tambahnya, identiti mangsa dicam oleh ahli keluarganya melalui satu ukiran tatu yang terdapat pada badannya.

Menurut Shaharon Anuar, pemeriksaan mendapati mangsa telah mati lebih dari lima hari lalu dan polis menemui beberapa gulungan dawai berukuran lebih kurang 50 meter dan cebisan pita pelekat berwarna hitam yang digunakan untuk mengikat Murugan.

"Kita percaya mangsa telah dibunuh berdasarkan penemuan kesan pukul di dahi dan belakang kepalanya. Ketika ditemui mayat itu hanya berseluar pendek," katanya.

Ujar Shaharon Anuar, mayat mangsa di bawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk bedah siasat dan kes itu di siasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Zambry angkat sumpah sebagai MB Perak


KUALA KANGSAR - Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar di hadapan Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah di Istana Iskandariah di sini pada pukul 10.40 pagi tadi.
Beliau yang menjadi Menteri Besar Perak buat penggal kedua sejak 2009 setelah mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pangkor pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).
BN mengekalkan mandat menerajui kerajaan negeri Perak dengan majoriti mudah selepas menguasai 31 kerusi daripada 59 kerusi DUN yang dipertandingkan. - KOSMO!

Bilik gerakan BN musnah terbakar


IPOH - Sebuah bilik gerakan Barisan Nasional (BN) musnah dalam kebakaran dipercayai akibat perbuatan khianat di Jalan Sekolah Shing Chong, Sungai Siput dekat sini semalam.
Kejadian pada pukul 4.30 pagi itu disedari oleh orang ramai yang ternampak api sedang marak di bilik gerakan BN Bahagian Sungai Siput tersebut.
Jurucakap Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak, Superintendan Maszely Minhad berkata, ketika kejadian, tiada sesiapa di dalam premis berkenaan.
"Kita menyiasat kes itu di bawah Seksyen 477 Kanun Keseksaan kerana khianat," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Dalam kes lain, Maszely memberitahu, dua petugas BN cedera ringan selepas mendakwa diserang kira-kira 150 individu tidak dikenali yang dipercayai penyokong pembangkang pada pukul 11 malam kelmarin.
Katanya, ketika kejadian, dua lelaki berusia 37 tahun dan 25 tahun itu berada di dalam sebuah bilik gerakan BN Changkat Jering, Taiping bersama empat petugas lain.
"Seramai 150 orang dipercayai penyokong pembangkang datang ke bilik gerakan tersebut dan mencetuskan provokasi sebelum menyerang mangsa," ujarnya.

BN Perak hargai keputusan rakyat

Oleh AHMAD SYAKIR SAZILI dan MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH – Barisan Nasional (BN) Perak menghargai keputusan rakyat negeri itu untuk sekali lagi memberi mandat untuk mentadbir negeri untuk tempoh lima tahun lagi.
Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengumumkan BN negeri menguasai 31 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 59 kerusi yang dipertandingkan.
“Walaupun menang dengan majoriti tipis, namun pencapaian itu adalah lebih baik berbanding pada pilihan raya umum tahun 2008. Pada ketika itu, BN Perak hanya mendapat 28 kerusi (DUN).
“Tiga kerusi DUN dapat ditambah. Di peringkat Parlimen pula BN mendapat 12 kerusi daripada 24 kerusi,” katanya selepas pengumuman keputusan PRU-13 di sini awal pagi semalam.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dan semua 31 calon BN Perak yang memenangi DUN negeri.

Monday, May 6, 2013

BN Perak mengadap Raja Dr. Nazrin Shah

IPOH - Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir menghadap Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah untuk mempersembahkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) peringkat negeri di Istana Kinta di sini hari ini.
Kenderaan yang membawa beliau memasuki perkarangan istana pada pukul 9.40 pagi dan dilihat meninggalkannya kira-kira sejam kemudian.
BN kembali menerima mandat menerajui kerajaan negeri Perak dengan majoriti mudah selepas menguasai 31 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU-13 dan majlis mengangkat sumpah Menteri Besar dijangka berlangsung di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar seawalnya esok. - KOSMO!

Saturday, May 4, 2013

Kekalkan kerajaan sedia ada

"PADA 5 Mei ini, insyaallah saya akan melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi buat kali keenam sejak pertama kali melakukannya pada Pilihan Raya Umum ke lapan (PRU-8).

Sebagai penduduk Kampung Sayung Tengah (Perak), saya tidak akan mempersia-siakan peluang keemasan memilih wakil rakyat untuk Parlimen Kuala Kangsar dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Chandan.

Biarpun tinggal di kampung, saya sedar kepentingan untuk menunaikan tanggungjawab bagi memilih wakil rakyat yang berwibawa dan amanah untuk membela nasib dan kebajikan kita.

Pengalaman pertama menjadi pemilih pada umur 24 tahun pada 1990 masih diingati kerana pada tahun tersebut jugalah saya mula menceburkan diri dalam perusahaan membuat labu sayung.

Bermula dari bawah, Perusahaan Win Kraf yang saya sekeluarga usahakan ini telah berkembang maju hasil sokongan kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN).

Kerajaan menerusi Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia telah banyak membantu memperkukuh promosi labu sayung yang merupakan seni halus penduduk Kampung Sayung sehingga terkenal di mata dunia.

Senario itu membuatkan semakin ramai generasi muda memilih untuk kekal di kampung halaman untuk meneruskan legasi membuat labu sayung yang diwarisi sejak ratusan tahun lalu.

Sehubungan itu, saya berharap kerajaan sedia ada dikekalkan untuk mengalas mandat di peringkat kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan.

RIDZUAN HAMLI
Pengusaha Labu Sayung di Perak

Kerajaan negeri tidak abai kawasan pembangkang

LUMUT - Sehari sebelum hari pembuangan undi untuk  Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), sudah nampak petanda  positif kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Panjang  bakal kembali ke pangkuan Barisan Nasional (BN).

Seorang penduduk, Rosly Mohamad, 45, berkata, pe ngalaman sepenggal bersama wakil rakyat pembangkang  telah memberi pengajaran berguna kepada pengundi ka wasan di bawah Parlimen Lumut itu.

“Setelah sekian lama diwakili Barisan Nasional (BN), kami  memilih wakil pembangkang yang terpengaruh dengan  janji-janjinya

“Namun rupa-rupanya ia cuma harapan palsu,” katanya di sini  semalam.

Beliau berkata, wakil rakyat pembangkang itu lebih gemar  berceramah politik daripada memberi khidmat.

Katanya, mujur BN Bahagian Lumut yang dipimpin  Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir komited menabur bakti di  Pasir Panjang.

“Akhirnya BN tempat kami mengadu masalah. Terima  kasih kerana terus menjaga kebajikan kami,” katanya.

Dalam tempoh empat tahun BN menerajui kerajaan negeri  Perak, antara peruntukan yang diterima DUN Pasir Panjang  ialah kerja-kerja menarik taraf masjid bernilai RM1.5 juta,  pembinaaan Dewan Serbaguna Sekolah Kebangsaan (SK)  Muhammad Saman (RM2 juta) dan projek menarik taraf  sekolah agama rakyat (RM300,000).

Seorang penduduk lain, Salbiah Mohamad Hamdan, 38,  pula memuji percaturan BN meletakkan Rashidi Ibrahim  sebagai calon di kerusi DUN berkenaan.

Menurut beliau, sebagai anak tempatan, bekas guru yang  lebih mesra dipanggil Cikgu Rashidi itu cukup dikenali di  kalangan penduduk kawasan tersebut.

“Malah khidmat bakti beliau terhadap masyarakat Pasir  Panjang semakin terserlah setelah diberi amanah menjadi  Setiausaha Sulit (Khas) Menteri Besar Perak sejak beberapa  tahun lalu,” katanya.

Beri mandat kepada BN untuk capai negara berpendapatan tinggi

IPOH - Rakyat perlu memberi mandat kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) ini untuk memastikan matlamat menjadi Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020 tercapai.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, tempoh 2013 hingga 2020 merupakan tujuh tahun yang amat genting bagi memastikan visi Wawasan 2020 itu tercapai.
Beliau berkata, negara sudah berada di landasan yang tepat untuk menjadi negara maju berdasarkan perkembangan positif program Transformasi Ekonomi yang di rangka BN.
“Semuanya sudah hampir sempurna untuk kita capai (Wawasan 2020) asalkan pertumbuhan ekonomi itu stabil dan berterusan.
“Kalau kita terlepas tujuh tahun keemasan ini, peluang untuk menjadi negara berpendapatan tinggi akan musnah,” katanya ketika merasmikan Perpustakaan Chemor di sini hari ini.
Turut hadir calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Manjoi, Mohamad Ziad Mohamed dan calon BN bagi DUN Hulu Kinta, Datuk Aminudddin Md. Hanafiah.
Sehubungan itu, Ahmad Husni yang juga calon BN bagi Parlimen Tambun berkata, rakyat perlu memberi pertimbangan sewajarnya terhadap kemampuan BN mengurus kewangan negara dengan cemerlang.
Menurut beliau, ia dibuktikan dengan kejayaan negara mencapai kadar keluaran dalam negara kasar (KDNK) 5.4 peratus pada tahun lalu mengatasi negara Amerika Syarikat, Singapura, Britain dan Kesatuan Eropah di kala iklim ekonomi global belum stabil.
“Apatah lagi pembangkang yang menguasai kerajaan negeri Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan sejak 2008 gagal menunjukkan kemampuan mereka.
“Ada ke idea untuk polisi ekonomi (ditonjolkan)? Mereka hanya ikut polisi lama yang telah dikemukakan BN dan bergantung kepada kerajaan persekutuan bagi mendapatkan bantuan kewangan dan pelaburan,” katanya. - KOSMO!

Pengangkutan awam Perak dipermodenkan


IPOH - Kesungguhan kerajaan negeri Perak diterajui Barisan Nasional (BN) diterajui Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir meningkatkan sistem pengangkutan awam untuk keselesaan rakyat mula menampakkan hasilnya.

Zambry berkata, transformasi pengangkutan awam negeri ini diperkasa dengan pembinaan terminal bas baharu di Bandar Meru Raya yang mula beroperasi akhir September tahun lalu.

“Terminal Amanjaya yang diuruskan The Combined Bus Services itu bercirikan moden dan seperti lapangan terbang kerana mempunyai balai pelepasan di aras satu manakala balai ketibaannya di aras dua.

“Ia juga dilengkapi pelbagai kemudahan seperti hotel bajet, 400 tempat letak kenderaan, kaunter e-Ticketing dan medan selera,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Beliau berkata, kesediaan semua 50 pengendali bas ekspres yang sebelum ini beroperasi di Terminal Medan Gopeng untuk berpindah di terminal bas baharu terbabit mulai 7 April lalu amat dihargai.

Pada perkembangan sama, beliau memberitahu perkhidmatan bas henti-henti di negeri tersebut yang sebelum ini sering menjadi rungutan rakyat juga telah dipertingkatkan.

Menurut beliau, pelan perkhidmatan pengangkutan awam yang lebih sistematik dan berkesan kepada rakyat, termasuk di luar bandar telah dimulakan secara berperingkat-peringkat mulai Jun 2011.

“Ia sebagai penyelesaian kepada rungutan terutama daripada penduduk luar bandar mengenai perkhidmatan bas henti-henti yang banyak diterima sebelum ini.

“Setakat ini tiga daerah telah mendapat manfaat iaitu Manjung, Larut, Matang dan Selama serta Kuala Kangsar dan akan diperluas ke daerah-daerah lain dalam masa terdekat,” katanya.

Air percuma bukti kecekapan kerajaan negeri Perak

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Tidak seperti kontroversi demi kontroversi di Selangor, program pemberian air percuma di Perak berjalan lancar berikutan kecekapan pentabdiran kerajaan negeri diterajui Barisan Nasional (BN).

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, pemberian 20 meter padu air menerusi Lembaga  Air Perak (LAP) itu  tidak dilakukan secara semberono semata-mata untuk memenangi sokongan rakyat.

Beliau berkata, sebagai kerajaan yang mendahulukan kesejahteraan rakyat, bantuan air percuma itu disasar kepada golongan memerlukan iaitu keluarga miskin dan ibu tunggal bagi menjamin keberkesanan dan mengelak ketirisan.

“Lebih 8,000 keluarga di negeri ini telah menerima manfaat program pemberian air percuma sebanyak 20 meter padu sebulan ini sejak ia dilancarkan lebih 4 tahun lalu.

“Selepas ini, kita akan perluaskan skim subsidi air ini kepada semua masjid, tokong, kuil dan rumah ibadat berdaftar di negeri ini seperti termaktub dalam Aku Janji BN Perak yang diumumkan baru-baru ini,” katanya di sini baru-baru ini.

Zambry berkata, biarpun skim subsidi air itu cuma bersamaan RM10 sebulan namun ia memberi nilai yang cukup besar kepada golongan kurang berkemampuan.

Ujarnya, pada awal program berkenaan dilaksanakan, LAP telah menyalurkan air percuma itu kepada 900 keluarga miskin yang menetap di Program Penempatan Masyarakat Setempat (PPMS) sebelum ia diperluas kepada golongan ibu tunggal kira-kira setahun kemudian.

Zambry menjelaskan selain penduduk PPMS yang secara automatik layak menerima subsidi air tersebut, permohonan untuk skim bantuan berkenaan boleh dilakukan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) dan Majlis Agama Islam Perak (MAIPk) yang diberi kuasa oleh kerajaan negeri.

Pembangunan pesat, rakyat Perak terbela


OIeh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Kesempatan memerintah kerajaan negeri sepanjang tempoh empat tahun digunakan sebaiknya oleh Barisan Nasional (BN) untuk meletakkan kembali Perak ke landasan yang tepat.

Di bawah kepimpinan Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir yang juga lulusan ekonomi, Perak bukan sahaja mencatat pembangunan mampan malah kebajikan rakyat kini lebih terbela.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar, Pembasmian Kemiskinan dan Peladangan negeri, Datuk Saarani Mohamad berkata, limpahan ekonomi boleh dirasai menerusi kemasukan beberapa pelaburan asing berimpak tinggi beberapa tahun kebelakangan ini.

“Antaranya pembukaan hab pengedaran produk bijih besi oleh firma Brazil, Vale yang bernilai RM8.5 bilion di Teluk Rubiah, Lumut,” katanya di sini semalam.

Saarani berkata, bandar-bandar utama seperti Ipoh, Manjung dan Taiping juga pesat membangun sejak BN mengambil alih kerajaan negeri pada 6 Mac 2009.

“Begitupun selaras dengan pegangan kami, 'Tiada Tertinggal, Tiada Terpinggir' kawasan luar bandar tidak pernah dibiarkan mundur.

“Sebanyak 14 pekan-pekan kecil di seluruh Perak seperti Tapah Road, Lawin, Manjoi, Trong dan Sauk telah dibangunkan semula sejak 2010 bagi memastikan agihan pembangunan yang seimbang dan serata,” katanya.

Bagi menunjukkan keseriusan kerajaan negeri memantapkan modal insan, Saarani menjelaskan sebanyak RM4.5 juta telah dibelanjakan untuk sektor tersebut menerusi Yayasan Perak.

Ujarnya, ia merangkumi pemberian biasiswa, dermasiswa, simpanan pendidikan dan program tuisyen percuma sejak 2009.

“Kita juga telah mengurniakan tanah seluas hampir 3,803 hektar tanah untuk dibangunkan sebagai ladang sawit kepada pengurusan sekolah persendirian Cina (Suwa), sekolah jenis kebangsaan Tamil, sekolah agama rakyat dan mubaligh.

“Hasilnya sebanyak RM2.2 juta telah berjaya dijana setiap tahun yang kemudiannya diagih-agihkan bagi mengisi dana pendidikan sekolah-sekolah berkenaan,” katanya.

Saarani berkata, sebagai strategi mengeluarkan segelintir rakyat negeri ini daripada kemiskinan tegar, pinjaman mikro kredit melalui Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR) telah diperkenalkan.

Beliau memberitahu, sebanyak RM10.3 juta pinjaman melibatkan 1,362 individu berkelayakan telah dikeluarkan bagi menggalakkan golongan tersebut menceburi perniagaan kecilan-kecilan.

Perak merupakan negeri kedua yang mempunyai populasi Orang Asli teramai. Sehubungan itu, komuniti itu tidak dipinggirkan dengan penyediaan perumahan, kemudahan asas, penyediaan bekalan air bersih, kesihatan dan pembangunan ekonomi melibatkan peruntukan RM200 juta.

Friday, May 3, 2013

Perak buka kaunter pusat kerjaya

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH – Kerajaan negeri Perak mengambil inisiatif membantu golongan pencari kerja dengan membuka kaunter Pusat Kerjaya Amanjaya (Peka) di Terminal Amanjaya di Bandar Meru Raya di sini yang beroperasi mulai semalam.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, pembukaan kaunter di terminal itu bertujuan mendekatkan lagi agensi pemadanan peluang pekerjaan peringkat negeri dengan golongan sasaran.
“Sebelum ini, lepasan universiti dan sekolah perlu ke pejabat Peka di pusat bandar raya untuk mendaftar dan bertanya peluang pekerjaan,” katanya selepas merasmikan Karnival Belia Perak Aman Jaya di Terminal Amanjaya semalam.
Zambry berkata, Terminal Amanjaya dipilih kerana kedudukannya yang strategik dan menjadi tumpuan terutamanya golongan muda.
Menurut beliau, kaunter itu membolehkan pencari kerja mendapat maklumat peluang pekerjaan yang bersesuaian dengan minat dan kelulusan masing-masing.
“Peka bukan sahaja berfungsi menyediakan peluang pekerjaan malah turut memberi latihan dan khidmat nasihat.
“Perancangan baik dan teliti kerajaan Barisan Nasional ini mula menunjukkan hasil apabila 55,000 peluang pekerjaan berjaya diwujudkan di Perak sejak 2010,” tambahnya.

Anwar cetek pengetahuan ekonomi


Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my
TAIPING - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menempelak ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sering mengkritik kerajaan diterajui Barisan Nasional (BN) kononnya tidak bijak ekonomi negara.
Beliau berkata, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu sepatutnya mencermin diri sendiri yang tidak berupaya mengendali krisis mata wang antarabangsa ketika menjadi Menteri Kewangan pada 1997.
"Sebagai Timbalan Perdana Menteri, saya beri kuasa kepada dia (Anwar) untuk urus masalah (krisis mata wang). Tapi apa dia buat? Dia ikut IMF (Tabung Kewangan Antarabangsa) dan Bank Dunia dengan naikkan kadar faedah, pendekkan tempoh pembayaran hutang dan potong bajet kerajaan sampai negara hampir muflis.
"Sebab itu saya tarik balik dan ambil semula pengurusan ekonomi negara," katanya pada program Wacana Bersama Negarawan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang dihadiri lebih 10,000 orang di Dataran Simpang di sini malam tadi.
Turut hadir calon BN bagi Parlimen Bukit Gantang, Datuk Ismail Saffian; calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Changkat Jering, Datuk Rosli Husin; calon BN DUN Trong, Dr. Zabry Abdul Wahid dan calon BN DUN Kuala Sepetang, Loh Swee Eng.
Dr. Mahathir berkata, pengenalan sistem kawalan mata wang bukan sahaja berjaya menyelesaikan krisis ekonomi negara malah menyelamatkan ramai peniaga daripada mufis.
"Peniaga terutama golongan Cina tentu masih ingat diselamatkan daripada ambang bankrap oleh dasar BN tersebut. Parti kongsi yang komited memakmurkan negara secara sama rata kepada semua kaum, Melayu, Cina dan India.
"Dakwaan DAP hanya Melayu mendapat nikmat daripada dasar BN adalah tidak tepat," katanya.

Wednesday, May 1, 2013

Janji pembangkang hapuskan tol tidak realistik


IPOH - Janji pembangkang untuk menghapuskan caj tol di semua lebuh raya di negara ini tidak logik kerana di luar kemampuan kewangan negara, ujar Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Beliau berkata, sekurang-kurangnya RM6 bilion setahun perlu dibayar sebagai pampasan kepada semua syarikat konsesi lebuh raya sekiranya mahu mengecualikan caj tol kepada pengguna.

"Kalau nak ambil alih pengurusan lebuh raya daripada syarikat konsesi, kerajaan perlu membayar lebih RM100 bilion. Realistik ke? (manifesto pembangkang)," katanya selepas melancarkan program Khidmat Kaunter Masyarakat di Kampung Tengku Hussein, Ipoh hari ini. - KOSMO!