Translate

Friday, October 29, 2021

Adtec perkenal program Kimpalan Dalam Air

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KEMAMAN – Pusat Latihan Teknologi Tinggi (Adtec) memperkenalkan program perintis Kimpalan Dalam Air bagi melahirkan lebih ramai juru kimpal bawah air dalam kalangan warga tempatan.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim berkata, program dengan kerjasama rakan strategik, Hamdan Abdullah Sdn. Bhd. itu bertujuan untuk mengatasi kekurangan tenaga mahir tempatan dalam industri minyak gas.

“Kerjaya (jurukimpal bawah air) ini mendapat permintaan tinggi daripada industri (sehingga) kekosongan terpaksa diisi oleh tenaga mahir warga asing.

“Program latihan kimpalan bawah air ini mampu melahirkan pekerja mahir berpendapatan tinggi sehingga enam angka (ratusan ribu ringgit) setahun,” katanya di Adtec Kemaman di sini hari ini.

Awang berkata, 10 peserta terbabit merupakan lulusan Teknologi Kimpalan Institut Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM) yang telah melepasi kriteria ketat ditetapkan daripada 160 permohonan diterima sebelum ini.

Tambah beliau, kesemua peserta program akan menjalani latihan selama 10 bulan dengan empat modul iaitu Selaman Air Terbuka, Selaman Komersial, Kimpalan Basah dan Persiapan Industri.

“Kos pengajian sebanyak RM46,000 bagi setiap peserta dibiayai sepenuhnya oleh Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK),” katanya. -K! ONLINE

Dua kampung di Setiu diisytihar Kampung Pelancongan Terengganu

Oleh MOHD AZLI ADLAN

SETIU – Dua perkampungan di daerah ini iaitu Kampung Mangkuk dan Kampung Baru Penarik diisytiharkan sebagai Kampung Pelancongan Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Terengganu, Ariffin Deraman berkata, pemilihan kedua-dua perkampungan tersebut bukan sahaja kerana keindahan pantainya tetapi kepelbagaian budaya, kesenian dan warisan yang dimiliki.

“Kampung Mangkuk dan Kampung Baru Penarik terletak berhampiran Setiu Wetland (Taman Bencah Setiu) yang unik kerana kepelbagaian ekosistemnya.

“Kedua-dua kampung yang sering menjadi lokasi penggambaran filem dan drama ini juga telah disenarai pendek sebagai empat calon kategori Kampung Pelancongan Terbaik di negara ini oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC),” katanya selepas merasmikan pengisytiharan itu di Desa Pancaran Delima di sini hari ini.

Dua perkampungan lain yang tercalon bagi kategori sama ialah Miso Walai, Sabah dan Kampung Bario, Sarawak.

Ariffin berkata, model Kampung Pelancongan Terengganu yang ingin ditonjol pada Kampung Mangkuk dan Kampung Baru Penarik ialah berasaskan perkampungan nelayan.

Tambah beliau, antara tarikan ke kedua-dua perkampungan itu ialah Rumah Botol, Rumah Tok, pakej menyelusuri sungai dan mengutip kerangan, kraftangan berasaskan mengkuang dan konservasi penyu dan tuntung.

“Kita juga telah menyediakan lokasi khas untuk pengunjung mandi manda di pantai yang dipantau oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM). – K!.ONLINE

Kisah hantu tumpang kereta di Bukit Bauk

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

SEBAGAI seorang pemandu kereta sewa, Ishak Harun, 65, berpengalaman luas dengan selok-belok jalan terutama di Terengganu.

Lelaki yang menetap di bandar Paka, Dungun itu berpengalaman menghantar ramai pelanggan sehingga ke daerah Besut dengan kereta sewanya sebelum memperlahankan kerjayanya beberapa tahun lalu atas faktor usia dan kesihatan.

Bercerita tentang pengalamannya, peristiwa seram dialami sewaktu menumpangkan seorang wanita di Bukit Bauk, Dungun pada tahun 1990-an masih belum dapat dilupakan.

“Menyebut tentang Bukit Bauk, masyarakat setempat sering melabelkannya sebagai lokasi menyeramkan dan misteri serta kononnya mempunyai penempatan bunian.
“Kebetulan sebelum dinaik taraf pada tahun 2014, jalan yang menjadi antara laluan utama ke Pantai Timur sebelum kewujudan Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT 2) itu agak sempit, berselekoh tajam dan gelap sehingga sering mencetuskan kemalangan maut,” katanya kepada Panorama baru-baru ini.

Ishak mengakui pada mulanya kurang percaya dengan dakwaan-dakwaan tersebut sehinggalah persepsinya berubah setelah mengalaminya sendiri pada tahun 1990-an.

“Waktu itu saya dalam perjalanan pulang ke rumah di Paka selepas menghantar penumpang ke Kampung Kuala Abang, Dungun. Sebaik melintasi laluan di Bukit Bauk, seorang wanita muda berambut panjang mengurai berbaju kurung melambaikan tangan menahan kereta sewa saya,” ceritanya.

Ishak berkata, pada mulanya dia tidak mahu melayan memandangkan pada ketika itu jam sudah menunjukkan pukul 1 pagi, namun tetap memberhentikan kenderaan.

Wanita yang berusia dalam lingkungan 20-an itu merayu ihsan saya untuk membantu membawanya pulang ke rumah orang tuanya yang terletak di sebuah perkampungan tidak jauh dari kawasan itu.

“Dia dengan sebak mendakwa mengalami kesulitan sehingga kehilangan barangan peribadi termasuk beg duit. Saya yang tidak sampai hati telah mempelawanya masuk ke dalam kereta sewa dan berjanji akan menghantarnya pulang tanpa mengenakan sebarang bayaran,” katanya.

Tambah Ishak, walaupun hatinya meronta untuk mengetahui lebih lanjut, wanita itu hanya memberitahu nama dirinya sebelum mendiamkan diri di tempat duduk penumpang belakang di sepanjang perjalanan. Walaupun baju kurung wanita itu agak berkedut dan berkeromot, bau badannya wangi membuatkan rasa was-wasnya tentang kemungkinan wanita itu sebenarnya hantu hilang serta-merta.

“Tidak lama kemudian, kereta sewa yang saya pandu tiba ke destinasi dan dia sempat menunjukkan rumah orang tuanya yang terletak di tepi jalan sebelum mengucapkan terima kasih dan beredar pergi,” ujarnya.
Hari terus berlalu, rezeki Ishak mencurah-curah selepas itu dengan menerima ramai penumpang terutama bagi perjalanan jarak jauh.

Begitupun dia tetap tidak sedap hati dan nekad mengunjungi rumah yang ditunjukkan wanita pada malam itu bagi mengetahui cerita sebenar beberapa minggu selepas itu.

“Kedatangan saya disambut pasangan suami isteri yang mengakui ibu bapa wanita itu. Terkejut kedua-dua mereka, malah wanita warga emas itu menangis teresak-esak apabila mendengar cerita saya. Dalam keadaan serba salah, suami isteri itu memberitahu wanita yang menaiki kereta sewa saya itu sebenarnya sudah meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya di Bukit Bauk kira-kira sebulan sebelum saya menemui ‘kelibatnya’,” katanya.

Mendengar penjelasan itu, giliran Ishak pula terkejut dan bertanya berkali-kali bagi mendapatkan kepastian sebelum ditunjukkan pusara wanita itu yang dikebumikan di tanah perkuburan Islam tidak jauh dari rumahnya.

“Saya demam beberapa hari selepas itu. Walaupun tak pasti hikmah di sebalik kejadian, sejak hari itu, saya lebih kerap memasang bacaan al-Quran terutama apabila memandu kereta sewa pada waktu malam berbanding memutarkan radio untuk dengar lagu kesukaan,” ujarnya.

Peluang lihat konservasi tuntung laut di Kampung Mangkuk



Oleh MOHD AZLI ADLAN

SETIU – Program konservasi tuntung laut merupakan antara produk pelancongan komuniti menarik yang ditawarkan di Kampung Mangkuk dan Kampung Baru Penarik di sini.

Pegawai Biologi, Projek Setiu Wetlands, Program Air Tawar, Tabung Alam Sedunia
(WWF)-Malaysia, Muhammad Zaid Nasir berkata, pengisytiharan kedua kampung itu sebagai Kampung Pelancongan Terengganu bakal menjadi tarikan kepada Taman Bencah Setiu yang kaya dengan kepelbagaian ekosistem.

“WWF-Malaysia bertanggungjawab terhadap pogram konservasi tuntung laut dari pengumpulan telur hingga pelepasan anak.

“Sebanyak 74 ekor anak tuntung laut berusia antara dua hingga tiga hari dilepaskan di Sungai Mangkuk berhampiran Kampung Baru Penarik di sini hari ini ,”
katanya selepas menyaksikan pelepasan anak tuntung laut berkenaan di Sungai Mangkuk di sini hari ini.

Anak-anak tuntung laut tersebut dilepaskan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Terengganu, Ariffin Deraman.

Muhammad Zaid berkata, tuntung laut biasanya akan mendarat di Pantai Kuala Baru di sini pada bulan Jun hingga Ogos setiap tahun sebelum telurnya menetas selepas dieram selama 90 hari.

Tambah beliau, tuntung laut merupakan spesies terancam seperti harimau belang yang perlu dipelihara agar tidak mengalami kepupusan,” – K! ONLINE

Thursday, October 28, 2021

Cadang wajib ujian saringan ke pulau peranginan Terengganu

Oleh MOHD AZLI ADLAN

SETIU – Ujian saringan Covid-19 bakal menjadi prasyarat kepada pelancong yang ingin mengunjungi rangkaian pulau peranginan di Terengganu dan Tasik Kenyir, Hulu Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Terengganu, Ariffin Deraman berkata, cadangan pelaksanaan ujian saringan tersebut bertujuan terus mengawal penularan Covid-19 tersebut walaupun negeri tersebut bakal beralih ke fasa empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada esok.

“Kita telah mengesyorkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) agar prosedur operasi standard (SOP) ke pusat pelancongan utama terutama pulau (peranginan) dan Tasik Kenyir tetap diperketat.

“Ia termasuk ujian saringan Covid-19 di jeti (sebelum menaiki bot ke pulau dan Tasik Kenyir),” katanya ketika ditemui pada majlis pengisytiharan Kampung Pelancongan Terengganu di Kampung Mangkuk di sini hari ini.

Sebelum ini sebahagian pengusaha resort mengambil inisiatif sendiri mewajibkan pengunjung menjalani ujian saringan menerusi kit ujian pantas Antigen Covid-19 sejak pembukaan sektor pelancongan domestik pada 17 September lalu.

Ariffin memberitahu, cadangan mewajibkan ujian saringan Covid-19 tersebut akan dibincangkan dan dimuktamadkan pada mesyuarat MKN negeri pada hari ini.

Dalam pada itu, beliau berharap semua pihak berkepentingan termasuk pemain industri pelancongan dan pengunjung tetap mematuhi SOP norma baharu. – K! ONLINE

Terengganu tidak mohon gelembung pelancongan antarabangsa

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri Terengganu tidak berhasrat untuk memohon gelembung pelancongan antarabangsa pada masa terdekat.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, walaupun Terengganu beralih ke fasa empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) mulai hari ini namun ia dijangkakan tidak akan memberi kesan signifikan terhadap kedatangan pelancong asing.

“Kita terima hakikat sebahagian besar pelancong asing (yang berkunjung ke Terengganu) mahu ke pulau (peranginan) namun ia tidak sesuai buat masa ini kerana musim tengkujuh (hampir tiba).

“Oleh itu kita tidak minta (gelembung pelancongan antabangsa) kepada kerajaan Pusat, lagi pun kita yakin apabila pulau (peranginan) dibuka semula pada bulan Februari (tahun depan) nanti, pelancong asing sudah dibenarkan,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu beliau ditemui selepas merasmikan Festival Kebudayaan Terengganu melibatkan lima destinasi pelancongan di negeri ini.

Ariffin berkata, sepanjang musim tengkujuh ini, tumpuan promosi diberikan kepada produk pelancongan yang terdapat di daratan seperti Tasik Kenyir, Muzium Terengganu, Kampung Budaya Terengganu dan Taman Tamadun Islam.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, Jabatan Pelancongan Terengganu dengan kerjasama pemain industri telah memperkenal 20 pakej pelancongan meliputi destinasi-destinasi menarik di seluruh negeri tersebut.

Beliau berkata, pakej tiga hari dua malam tersebut merupakan cadangan kepada pelancong untuk menerokai keindahan di negeri ini dan ia ditawarkan pada kadar antara RM355 hingga RM829. – K! ONLINE

Had aktiviti ekonomi di Sungai Terengganu

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Sebarang aktiviti ekonomi di sepanjang Sungai Terengganu termasuk pengorekan pasir dicadang agar dihadkan pada masa hadapan berikutan kejadian paip air pecah di dasar sungai tersebut pada bulan Ogos lalu.

Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Terengganu, Tun Abdul Faizal Tun Abdul Razak berkata, ia merupakan antara cadangan jawatankuasa khas yang telah ditubuhkan berikutan insiden paip pecah menimbulkan krisis air terburuk Terengganu pada dua bulan lalu.

“Siasatan mendapati wujud kawah besar di dasar Sungai Terengganu berkenaan sehingga dipercayai menjadi punca kepada kerosakan paip air berkenaan.

“Sukar untuk mengesahkan aktiviti pengorekan pasir merupakan satu-satunya puncanya kerana aliran sungai bersifat dinamik selain kedalaman kawah itu agak besar yang memerlukan masa lama untuk terbentuk, ” katanya di sini hari ini.

Tun Ahmad Faizal memberitahu cadangan itu bertujuan bagi memelihara bukan sahaja jajaran paip di dasar sungai malah instrastruktur lain seperti jambatan dan jeti yang terdapat di sepanjang sungai tersebut.

“Hasil kajian jawatankuasa khas itu telah dikemukakan kepada Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu baru-baru ini.

Kosmo! 14 September lalu melaporkan Mamad mengesahkan berlaku hakisan 80 meter pada kawasan paip utama yang pecah di Sungai Terengganu pada awal Ogos lalu dipercayai disebabkan aktiviti pengorekan pasir.

Insiden itu telah menjejaskan lebih 150,000 penduduk daerah ini dan Kuala Nerus dengan masalah gangguan air selama lebih sebulan sebelum selesai sepenuhnya 10 September lalu. – K! ONLINE

TDM bayar perkongsian keuntungan RM1.87 juta kepada LTAWNT

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Kumpulan TDM Berhad yang merupakan anak syarikat kerajaan negeri Terengganu melunaskan pembayaran perkongsian keuntungan usaha sama berjumlah RM1.87 juta kepada Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT).

Pengarah Eksekutif TDM, Najman Kamaruddin, berkata, pembayaran tersebut merupakan keuntungan usaha sama terhadap ladang kelapa sawit seluas 1,336 hektar di Air Putih, Kemaman bagi tahun kewangan 2020.

“TDM menguruskan ladang kelapa sawit milik LTAWNT sejak tahun 1996. Walaupun berhadapan dengan cabaran pandemik Covid-19, kita telah menunjukkan ketahanan dengan menampilkan prestasi cemerlang dalam segmen perladangan.

“Hasilnya TDM dapat menjana perkongsian keuntungan lebih besar untuk dibayar kepada LTAWNT iaitu RM1.87 juta berbanding RM1.05 juta pada tahun sebelumnya,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu beliau ditemui selepas menyerahkan cek pembayaran perkongsian keuntungan usaha sama tersebut kepada Setiausaha LTAWNT, Nor Azam A. Rahman @ Yusof pada majlis yang disaksikan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar.

Najman berkata, secara keseluruhannya, segmen perladangan TDM mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM24.8 juta pada tahun kewangan 2020.

Jelas beliau, ia merupakan pemulihan luar biasa berbanding kerugian sebelum cukai sebanyak RM24.5 juta yang dicatatkan pada tahun kewangan 2019.

“Selain didorong oleh kenaikan harga purata minyak sawit mentah (CPO) dan isirong sawit (CPO), prestasi cemerlang itu jug disumbang oleh pelan perniagaan strategik dan amalan pengurusan risiko berhemah diamalkan TDM sepanjang penularan Covid-19,” katanya. – K! ONLINE

Pengusaha Taman Eko tidak sabar raikan pengunjung

 

BESUT - Kebenaran rentas negeri yang diumumkan kera jaan baru-baru ini tidak hanya disambut baik oleh seluruh rakyat, malah turut memberi tempias kepada pemain indus tri pelancongan yang sebelum ini terjejas teruk ekoran pandemik Covid-19.

Salah satu pusat pelancongan terkenal di Terengganu, Taman Eko Lata Kolam Air Deru yang terletak di Jerteh, antara yang menerima 'durian runtuh' apabila mereka tidak putus- putus menerima tempahan daripada pelanggan.

Pengurus Operasinya, Ah- mad Syahrin Kaswadi berkata, setakat ini, tempahan yang di- terima sudah penuh sehingga hujung bulan depan.

"Berpusu-pusu tempahan untuk memasuki Taman Eko Lata Kolam Air Deru diterima sejak pengumuman kebenaran semula rentas negeri oleh Per- dana Menteri pada Ahad lalu.

"Pelanggan yang membuat tempahan bukan sahaja dari Pantai Timur, malah seluruh Semenanjung seperti Pulau Pinang dan Johor yang kebanyakan bakal tiba mulai hujung minggu ini," katanya ketika dite mui Kosmo! di sini semalam.

Ahmad Syahrin berkata, pengurusan taman eko itu bagaimanapun terpaksa menolak banyak tempahan bagi mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan teru tama menjaga penjarakan fizikal.

Jelas beliau, Taman Eko Lata Kolam Air Deru kini hanya dibuka untuk pengunjung yang bermalam dengan menginap di 11 bilik disediakan atau memi lih perkhemahan.

"Kami hanya dapat membenarkan 250 pengunjung pada satu-satu masa berbanding ka pasiti penuh lebih 1,000.

"Setiap tapak perkelahan sungai dan air terjun juga di hadkan untuk 10 pengunjung bagi satu-satu masa," katanya.

Ahmad Syahrin berkata, selain SOP norma baharu ketat bagi mengurangkan risiko penularan Covid-19, pengurusan taman eko itu juga mempunyai sistem amaran kepala air bagi keselamatan di air.

Wednesday, October 27, 2021

Pekerja hotel gembira dapat bekerja semula

PETALING JAYA – Golongan pekerja dalam sektor perhotel­an di seluruh negara kini mampu menarik nafas lega apabila dipanggil semula bekerja oleh majikan mereka apabila industri pelancongan kembali rancak susulan kebenaran rentas negeri bermula 11 Oktober lalu. 

Tinjauan Kosmo! mendapati, rata-rata pekerja hotel menyambut berita tersebut dengan penuh kesyukuran. 

Namun, atas beberapa faktor antaranya komitmen bulanan yang tinggi terdapat segelintir pekerja perhotelan terpaksa menolak tawaran bekerja kembali. 

Di Langkawi, seorang pekerja hotel lima bintang, Wilfred Stephen Charles, 25, berasal dari Pulau…

Tuesday, October 26, 2021

‘Sibuk bercuti, tak ingat balik kampung’


PETALING JAYA – Di sebalik perasaan teruja dan kegembiraan orang ramai untuk pulang ke kampung susulan kebenaran rentas negeri yang diberikan kerajaan, masih ada segelintir ibu bapa yang terpaksa memendam rindu apabila anak-anak mereka tidak pulang ke kampung. 

Lebih menyedihkan apabila ada dalam kalangan anak-anak yang kebanyakan menetap di Lembah Klang memilih untuk meng­utamakan percutian ke­luarga masing-masing berban­ding untuk menjenguk orang tua di kampung. 

Selain itu, ada juga yang memberi alasan kesempitan hidup akibat ketiadaan wang selain terlalu sibuk bekerja sebagai punca mereka masih tidak bekelapangan untuk bertemu ibu dan bapa.

Di Tapah, Perak, kerinduan seorang warga emas berusia 67 tahun dikenali sebagai Aminah (bukan nama sebenar) untuk bertemu lima anaknya selepas mereka terpisah sejak tahun lalu terpaksa dilupakan seketika.

Berkongsi kisah sedih itu, Aminah mengakui, anak-anaknya belum berkesempatan untuk pulang ke kampung kerana mahu bercuti bersama keluarga masing-masing.

"Saya ingatkan anak-anak akan pulang ke kampung, rupa nya mereka lebih memilih untuk bercuti, katanya kepada Kosmo!. Wanita itu yang kini tinggal bersendirian berkata, dia amat merindui anak-anak dan cucu-cucunya kerana sudah hampir dua tahun tidak berjumpa.

"Kelmarin, salah seorang anak saya yang tinggal di Kuala Lumpur ada pergi ke Cameron Highlands untuk bercuti tetapi tak pula singgah ke kampung.

"Saya tunggu juga, mungkin mereka nak singgah ketika dalam perjalanan pulang, tetapi mereka terus pulang ke Kuala Lumpur. Malah, menghubungi saya pun tidak ada," katanya dalam nada kecewa.

 Bagaimanapun, menurut Aminah, dia tetap berprasangka baik dan menganggap anak-anaknya tidak pulang ke kampung kerana takut membawa bersama virus Covid-19.

Di Kuala Terengganu, Terengganu, seorang wanita warga emas yang mahu dikenali sebagai Mak Wan, 70, mengakui berkecil hati apabila masih belum dikunjungi anaknya walaupun sudah sepuluh hari kebenaran rentas negeri diumumkan kerajaan.

Ibu tunggal itu memberitahu, anak lelaki tunggalnya berusia 45 tahun yang menetap di Selangor itu pernah memintanya bersabar dan memberitahu hanya bercadang pulang menjenguknya di kampung pada bulan depan.

"Sejujurnya, saya sangat berkecil hati, lebih-lebih lagi selepas mengetahui dia baru sahaja membawa isteri dan dua anak nya bercuti ke Pulau Langkawi.

"Saya jadi pelik kerana dia boleh ambil cuti untuk ke Langkawi, tetapi tidak boleh ziarah ibu sendiri di kampung," katanya

Mak Wan berkata, dia sebenarnya tidak memarahi anak dan menantunya, tetapi hanya ingin meluahkan rasa rindu terutama kepada cucu-cucu yang sudah lama tidak bertemu.

"Saya mampunyai anak lain yang tinggi di sini dan mereka kerap menjenguk saya tetapi sebagai seorang ibu, naluri untuk melihat kesemua anak-anak berkumpul memang sangat-sangat dinantikan selagi hayat masih ada," tambahnya.

Di Shah Alam, Selangor, seorang wanita warga emas dikenali sebagai Siah, 52, berkata, kali terakhir dia bertemu anaknya yang berusia 30 tahun dan bekerja di Pulau Pinang adalah pada tahun 2018 iaitu sebelum adanya Covid-19.

"Sejak itu, kami hanya berko munikasi menerusi telefon bimbit dan dia sentiasa berjanji mahu pulang ke Shah Alam sekiranya berkelapangan.

"Bagaimanapun, ia sekadar janji kosong kerana walaupun kebenaran rentas negeri telah di beri, dia masih belum balik berjumpa saya," katanya.

Menurut Siah, dia kini terpaksa tinggal bersendirian dan menghabiskan usia senjanya selepas kematian suami akibat masalah buah pinggang 11 tahun lalu

"Apabila dihubungi, dia memberitahu terlalu sibuk bekerja dan tiada cuti untuk pulang ke kampung.

"Selain itu, dia memberi alasan bimbang dengan keadaan Covid-19 biarpun saya telah luahkan perasaan rindu sebagai seorang ibu," ujarnya.

Monday, October 25, 2021

Antivaksin mula ‘panas punggung’

PETALING JAYA – Golongan antivaksin kini mula ‘panas punggung’ selepas rata-rata majikan mula mengambil tindakan tegas terhadap mereka sehingga boleh diberhentikan kerja sekiranya tidak melengkapkan pengambilan pelalian Covid-19 itu. 

Rata-rata majikan memberikan ‘amaran’ atau ‘kata dua’ iaitu sama ada masih mahu meneruskan niat mereka itu dan berhenti secara sukarela atau sebaliknya.

 Di Seberang Perai, pemilik agensi pelancongan Ikhlas Kasih Travel & Tours Sdn. Bhd., Ahmad Ruslan Abd. Latiff berkata, dalam hal ini, hanya pendekatan sebegitu yang sesuai diguna pakai untuk…

 

Sunday, October 24, 2021

Adtec perkenal program Kimpalan Dalam Air

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KEMAMAN – Pusat Latihan Teknologi Tinggi (Adtec) memperkenalkan program perintis Kimpalan Dalam Air bagi melahirkan lebih ramai juru kimpal bawah air dalam kalangan warga tempatan.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim berkata, program dengan kerjasama rakan strategik, Hamdan Abdullah Sdn. Bhd. itu bertujuan untuk mengatasi kekurangan tenaga mahir tempatan dalam industri minyak gas.

“Kerjaya (jurukimpal bawah air) ini mendapat permintaan tinggi daripada industri (sehingga) kekosongan terpaksa diisi oleh tenaga mahir warga asing.

“Program latihan kimpalan bawah air ini mampu melahirkan pekerja mahir berpendapatan tinggi sehingga enam angka (ratusan ribu ringgit) setahun,” katanya di Adtec Kemaman di sini hari ini.

Awang berkata, 10 peserta terbabit merupakan lulusan Teknologi Kimpalan Institut Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM) yang telah melepasi kriteria ketat ditetapkan daripada 160 permohonan diterima sebelum ini.

Tambah beliau, kesemua peserta program akan menjalani latihan selama 10 bulan dengan empat modul iaitu Selaman Air Terbuka, Selaman Komersial, Kimpalan Basah dan Persiapan Industri.

“Kos pengajian sebanyak RM46,000 bagi setiap peserta dibiayai sepenuhnya oleh Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK),” katanya. -K! ONLINE

Persiapan hadapi musim tengkujuh berjalan lancar

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU – Sebanyak 111 pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh daerah ini sudah bersedia untuk menampung mangsa banjir pada musim tengkujuh yang dijangka melanda pada pertengahan bulan November nanti.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, penempatan mangsa banjir terbabit akan dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) norma baharu bagi mengurangkan risiko penularan Covid-19.

“Kita sudah mempunyai pengalaman melaksanakan operasi banjir dalam suasana Covid-19 pada tahun lalu dan Alhamdulillah tiada kes penularan berlaku di PPS pada waktu itu.

“SOP sama akan digunakan dengan sedikit penambahanbaikan bagi melicinkan lagi pengurusan bencana banjir di daerah ini pada tahun ini,” katanya ketika ditemui di Dataran Kampung Sungai Dusun di sini hari ini.

Terdahulu beliau ditemui selepas menyempurnakan penutup program Latih Amal Operasi Pengurusan Bencana Banjir peringkat Daerah Hulu Terengganu yang melibatkan 30 anggota pelbagai agensi.

Mohd. Adli berkata, buat masa ini, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedang menghantar bekalan makanan kering dan peralatan untuk kegunaan bakal mangsa banjir di 50 pangkalan hadapan di seluruh daerah ini yang dijangka selesai sepenuhnya pada hujung bulan ini.

“Kita akan memberi tumpuan kepada tiga lokasi berisiko di Kuala Telemong, Ajil dan Kuala Berang yang sering dilanda banjir hampir setiap tahun.

Mohd. Adli berkata, kesemua penduduk di lokasi berisiko berkenaan akan dipindahkan lebih awal ke PPS sebaik bacaan air sungai berhampiran menghampiri paras bahaya. – K! ONLINE

Tiga kanak-kanak dikhuatiri lemas di muara Sungai Mangkuk

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

SETIU – Tiga kanak-kanak termasuk dua beradik dikhuatiri lemas di muara Sungai Mangkuk berhampiran Kampung Mangkuk di sini hari ini.

Insiden menimpa ketiga-tiga mangsa yang terdiri daripada dua perempuan dan seorang lelaki berlaku pada kira-kira pukul 5.30 petang.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu berkata, identiti mangsa dikenalpasti sebagai Nur Amni Insyirah Saiful Tarmizi, 9, dan adik lelakinya, Muhammad Aryan Faheem, 7.

“Seorang lagi mangsa dikenali sebagai Nurul Hasha Humaira Che Mohd. Humaizi, 11, yang dipercayai rakan dua beradik terbabit.

“Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Setiu di sini telah bergegas di lokasi kejadian selepas menerima maklumat pada pukul 5.41 petang,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap bomba berkata, operasi mencari dan menyelamat telah digerakkan dengan bantuan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Jerteh, Besut dan Kuala Terengganu.

atanya, setakat ini, pencarian sedang dijalankan di sekitar muara sungai berkenaan dengan menggunakan bot. – K! ONLINE

Perlu ada ilmu untuk kurangkan risiko lemas

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

SEPANJANG minggu ini, dua kes lemas ketika beria­dah di pantai dilaporkan berlaku di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Tambah menyedihkan apabila salah seorang mangsa merupakan ka­nak-kanak lelaki berusia enam tahun yang ditarik ombak kuat sewaktu mengekori bapa­nya cuba menyelamatkan dua bera­dik lain yang hampir lemas di Pantai Seaview, Tanjung Gemok, Port Dickson.

Begitupun, itu tidak bermakna pantai Port Dickson tidak selamat, malah merupakan antara lokasi pelancongan utama di Negeri Sembilan yang telah menerima kehadiran puluhan ribu pengunjung sejak dibuka semula pada hujung bulan Ogos lalu.

Pantai Port Dickson juga antara tiga lokasi pelancongan domestik paling ingin dikunjungi berdasarkan carian perjalanan platform perkongsian dan sewaan penginapan, Airbnb.

Banyak faktor yang dikaitkan dengan kejadian lemas, terma­suklah fenomena air pasang besar yang sedang melanda pantai peranginan itu ketika ini.

Penyelidik Fakulti Pengajian Kontemporari Islam Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof. Madya Dr. Roslan Umar berkata, fenomena air pasang besar telah meningkatkan paras air laut dan ombak di kawasan pantai.

“Ia merupakan fenomena normal apabila posisi bumi selari dengan matahari dan bulan ketika pertukaran bulan baharu dan mengikut takwim hijrah atau kalendar Islam.

“Sebagai rekod, dua kes lemas yang dilaporkan di Port Dickson itu berlaku pada 27 dan 29 Safar dan ketika itu memang berlaku fenomena air pasang besar,” katanya kepada Kosmo!.

Roslan berkata, orang ramai kurang digalakkan untuk me­lakukan aktiviti pantai sewaktu fenomena air pasang besar ke­rana sedikit kealpaan boleh menyebabkan tragedi.

Felo Institut Penyelidikan Alam Sekitar Pantai Timur UniSZA itu juga memberitahu, cara paling mudah untuk men­getahui pergerakan air laut berhubung fenomena air pasang besar ialah menyemak takwim hijrah yang dihisab berdasarkan pergerakan bulan.

“Sebagai contoh, fenomena air pasang pada waktu ini diramal akan berlarutan sehingga 10 Oktober ini (esok) sebelum berlaku lagi dari 19 Oktober hingga 25 Oktober ini.

“Pengetahuan berhubung pergerakan air laut ini adalah panduan berguna untuk kita memilih tarikh sesuai melakukan aktiviti pantai bagi mengurang risiko yang dikhuatiri menyebabkan sebarang insiden buruk,” katanya.

Roslan menjelaskan, fenomena air pasang besar bukan sahaja berlaku di Port Dickson, malah di pantai-pantai peranginan lain.

Sementara itu, pensyarah Pusat Pengajian Sains Marin dan Sekitaran Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Effi Helmy Ariffin berkata, fenomena air pasang besar turut membawa risiko kejadian arus karau yang turut memberi risiko kes lemas di pantai.

Ujar beliau, arus karau atau dalam bahasa Inggeris disebut rip current merupakan arus laut yang melalui saluran sempit di pesisir pantai sebelum bergerak semula menuju ke arah laut.

“Arus karau terbentuk apabila ombak bergerak pada sudut tegak ke arah pantai dan biasa­nya akan menarik mangsa ke te­ngah laut.

“Mangsa biasanya panik sehingga menyebabkan mereka kehilangan tenaga sebelum lemas,” katanya.

Pensyarah Kanan Fakulti Pe­ngajian Maritim UMT, Rudiah Md. Hanafiah pula menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada kerana kejadian lemas di pantai merupakan kes kedua tertinggi dilaporkan di negara ini dengan 50 peratus mangsa adalah berusia bawah 24 tahun.

Bekalan kit ujian kendiri untuk rentas negeri mencukupi

Oleh MOHD AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi jaminan bekalan kit ujian pantas (Antigen) Covid-19 mencukupi menjelang pembukaan semula rentas negeri tidak lama lagi.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, pemantauan pihaknya mendapati kira-kira 6 juta kit ujian pantas itu kini di pasaran negara ini untuk jualan.

“Kita menjangkakan permintaan terhadap kit ujian pantas Antigen Covid-19 akan meningkat mendadak berikutan ia menjadi keperluan sebelum merentas negeri yang akan diumumkan tidak lama lagi.

“Tidak perlu risau kerana bekalannya dijamin mencukupi untuk dibeli pengguna,” katanya ketika ditemui selepas melepaskan acara Kayuhan Santai sempena sambutan Hari Sukan Negara peringkat Hulu Terengganu di sini hari ini.

Kosmo! Rabu lalu melaporkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyarankan individu yang berada di kawasan berisiko tinggi terdedah jangkitan Covid-19 dinasihati menjalani ujian kendiri secara berkala sebelum bersedia balik kampung.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pergerakan rentas negeri akan dibenarkan sebaik kadar vaksinasi dewasa mencapai 90 peratus dan setakat semalam, ia sudah mencapai 89.4 peratus.

Rosol berkata, KPDNHEP juga dalam peringkat terakhir bagi memperluaskan lagi akses jualan kit ujian pantas Antigen Covid-19 di sebanyak mungkin pasar raya besar dan kedai serbaneka di seluruh negara pada masa terdekat.

Jelas beliau, ia bagi memudahkan pengguna membeli kit ujian pantas tersebut yang kini hanya boleh didapati di farmasi dan klinik. – K! ONLINE

Saturday, October 23, 2021

Jenazah tiga mangsa lemas selamat dikebumikan

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Jenazah tiga sepupu yang maut akibat lemas di muara Sungai Mangkuk, Setiu semalam selamat dikebumikan sebentar tadi.

Upacara pengebumian Allahyarham Nur Amni Insyirah Saiful Tarmizi, 9, dan adik lelakinya, Muhammad Aryan Faheem, 7, serta sepupu mereka, Nurul Hasha Humaira Che Mohd. Humaizi, 11, selesai pada pukul 6.45 petang.

Mereka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Losong Panglima Perang di sini.

Terdahulu kenderaan yang membawa ketiga-tiga jenazah tiba di rumah datuk mereka di Losong Panglima Perang pada pukul 5.30 petang.

Ahli keluarga melaksanakan solat jenazah sebelum keranda ketiga-tiga mangsa diangkat ke tanah perkuburan yang terletak kira-kira 100 meter dari rumah mereka.

Suasana pilu menyelubungi dengan Nur Azifah Abdul Rahman, 41, yang merupakan ibu kepada Nur Amni Insyirah dan Muhammad Aryan Faheem dilihat hiba dan kerap mengalirkan air mata.


Kosmo! semalam melaporkan tiga kanak-kanak termasuk dua beradik dibawa arus berikutan fenomena air pasang ketika sedang mencari kepah di kawasan beting pasir di muara Sungai Mangkuk.

Sebelum kejadian, mereka mengikut ahli keluarga masing-masing yang berasal dari Losong Panglima Perang dan Atas Tol, Kuala Terengganu untuk berkelah di kawasan berkenaan.

Mayat ketiga-tiga mangsa masing-masing ditemui pasukan mencari dan menyelamat pada kedudukan 800 meter hingga 1.5 kilometer dari lokasi kejadian antara pukul 12.58 tengah malam hingga 8.40 pagi tadi. – K! ONLINE

45,000 kenderaan dijangka guna LPT2 untuk rentas negeri

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT 2) dijangka bakal menerima peningkatan trafik sehingga 45,000 kenderaan sehari sejurus kebenaran rentas negeri yang akan diumumkan kerajaan tidak lama lagi.

Pengurus Perniagaan Wilayah LPT2, Suhaimi Samat berkata, unjuran itu berdasarkan peluang yang dijangka diambil orang ramai sama ada untuk menziarahi keluarga atau melancong destinasi menarik di Pantai Timur.

“LPT 2 sepanjang 184 kilometer yang menghubungkan Jabor, Kemaman hingga Gemuroh, Kuala Nerus dijangka menerima sekurang-kurangnya 38,000 kenderaan sehari selepas rentas negeri dibenarkan.

“Ia boleh meningkat sehingga 45,000 kenderaan sehari pada hujung minggu dan cuti umum,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Suhaimi berkata, pengurusan LPT 2 telah membuat persiapan menerima kenaikan trafik itu bagi memastikan tidak kesesakan teruk di 10 plaza tol di sepanjang lebuh raya terbabit.

Tambah beliau, semua kemudahan terutama surau dan tandas di lima kawasan rehat dan rawat (R&R) dan empat hentian sebelah di sepanjang LPT2 juga akan dibuka 24 jam.

“Kebersihan di R&R dan hentian sebelah akan dijaga rapi selain kerap disanitasi,” katanya. – K! ONLINE

Polis serbu mesyuarat pertubuhan tidak berdaftar, 52 ditahan

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seramai 52 orang termasuk enam wanita dipercayai anggota sebuah pertubuhan haram ditahan dalam serbuan polis di sebuah hotel di bandar raya ini pada kelmarin.

Dalam serbuan pada pukul 9 malam itu, kesemua suspek yang berusia 16 dan 52 tahun termasuk tiga ketua pertubuhan yang didakwa bergelar Ayahanda dipercayai sedang melakukan mesyuarat tergempar.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Mohd. Marzukhi Mohd.Mokhtar berkata, pemeriksaan mendapati mereka menganggotai sebuah pertubuhan yang dipercayai tidak berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia.

“Siasatan awal mendapati kebanyakan anggota pertubuhan itu terdiri daripada golongan penarik kenderaan.

“Pertubuhan tersebut diketuai tiga lelaki berusia 30 hingga 35 tahun yang mempunyai rekod jenayah lampau kekerasan dan narkotik,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Marzukhi berkata, serbuan sama turut merampas beberapa barangan disyaki milik pertubuhan tidak berdaftar berkenaan.

Tambah beliau, ujian urin juga mendapati enam daripada kesemua suspek juga positif dadah jenis methamphetamine.

“Seramai 36 orang daripada keseluruhan tangkapan telah ditahan reman selama empat hari sehingga Selasa ini.

“Mereka disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. – K! ONLINE

1.5 juta dijangka melancong Terengganu

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Pembukaan semula sempadan negeri bermula semalam dijangka meningkatkan sektor pelancongan Terengganu sekurang-kurangnya 30 peratus.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Terengganu, Ariffin Deraman berkata, berdasarkan maklum balas pengusaha hotel dan resort tempahan, tempahan bilik penginapan yang diterima mereka telah mulai meningkat.

“Kita menjangkakan sebahagian besar tempahan bilik penginapan itu akan penuh pada masa terdekat ekoran kebenaran rentas negeri bermula hari ini.

“Berdasarkan indikator berkenaan, kita sasar bakal menerima sehingga 1.5 juta pelancong dengan sebahagian besarnya memasuki negeri ini sebelum bermulanya musim tengkujuh pada pertengahan bulan depan,” katanya selepas menghadiri program pengindahan produk pelancongan berasaskan komuniti di Kalang Warisan di sini.

Ariffin berkata, beliau menjangkakan sebahagian daripada pengunjung yang akan membanjiri Terengganu tersebut terdiri daripada pelancong asing terutama bagi segmen pulau peranginan.

Ujarnya, walaupun terdapat cadangan daripada Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu agar kemasukan pelancong asing ditangguhkan buat pada masa ini tetapi kerajaan negeri berpandangan sebaliknya.

“Mereka (pelancong asing) tidak wajar dihalang memasuki negeri ini asalkan mematuhi prosedur operasi standard (SOP),” katanya. – K! ONLINE

Terengganu diramal mula dilanda banjir hujung bulan ini

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN



KUALA TERENGGANU – Terengganu dijangka akan dilanda banjir besar pada tahun ini yang diramal bermula pada akhir bulan ini berikutan perubahan monsun Timur Laut atau musim tengkujuh.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga serta Perpaduan Nasional Terengganu, Hanafiah Mat berkata, berdasarkan data Jabatan Pengairan dan Saliran, negeri ini diunjur bakal menerima taburan hujan sehingga 3,500 milimeter (mm) bagi sepanjang tahun 2021.

“Ia (taburan hujan tahunan) itu lebih tinggi berbanding pada tahun lalu iaitu hanya 3,000 mm. Setakat ini, saya dimaklumkan kita baru menerima hampir 2,000 mm (hujan).

“Jika hujan turun sekurang-kurangnya 300 mm sehari (pada musim tengkujuh) di satu-satu tempat, impak banjir yang akan diterima menyamai pada yang berlaku di Gunung Jerai (Kedah) baru-baru ini,” katanya selepas memantau persiapan banjir di Jeti Lembaga Kemajuan Perikanan Malaysia (LKIM) di sini hari ini.

Sebanyak empat tan bekalan makanan dan barangan keperluan dihantar oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Terengganu (JKM) sebagai persiapan banjir ke Pulau Redang, Kuala Nerus.

Hanafiah berkata, kejadian banjir lumpur tersebut pernah berlaku di Air Putih, Kemaman pada bulan Disember tahun lalu.

Sehubungan itu, beliau berkata, selain berdoa memohon agar dihindarkan daripada bencana banjir besar, kerajaan negeri Terengganu telah melakukan persiapan rapi bagi menghadapi kemungkinan tersebut.

“Semua agensi terlibat termasuk JKM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat telah bersiap siaga,” katanya. – K! ONLINE


Pemilik syarikat disiasat kes tuntutan palsu Penjana Kerjaya

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang pemilik syarikat ditahan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan dakwaan mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM308,000 pada Disember tahun lalu.

Wanita berusia 36 tahun itu ditahan reman selama enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes yang berkaitan dengan program Penjana Kerjaya 1.0.

Perintah reman terhadap wanita berusia 36 tahun tersebut dibenarkan Majistret Noor Mazrinie Mahmood di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Sumber memberitahu, suspek disyaki mengemukakan tuntutan palsu bagi permohonan bantuan insentif program Penjana Kerjaya 1.0 pada bulan Disember tahun lalu.

“Wanita itu ditahan di rumahnya pada pukul 12.45 tengah hari semalam sebelum dibawa ke Pejabat SPRM Terengganu di sini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009,” katanya.

Program Penjana Kerjaya merupakan inisiatif kerajaan untuk merangsang permintaan pekerjaan untuk majikan selain meningkatkan peluang pekerjaan bagi pencari kerja tempatan. – K! ONLINE

Friday, October 22, 2021

Peniaga online disyaki dalang sindiket pengedaran dadah diberkas

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Satu sindiket pengedaran dadah yang dipercayai didalangi seorang peniaga online berjaya ditumpaskan dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Paya Gucil, Bukit Tok Beng, Kuala Nerus malam tadi.

Dalam serbuan pada pukul 8.30 malam itu, polis berjaya merampas dadah jenis heroin dan aset yang disyaki dimiliki dengan menggunakan hasil dadah bernilai keseluruhan RM 381,900.00.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md. Isa berkata, siasatan awal mendapati sindiket berkenaan aktif mengedarkan dadah untuk pasaran bandar raya ini dan Kuala Nerus.

“Pemeriksaan menemui dadah jenis heroin seberat 28 gram. Polis turut merampas dua buah kenderaan dan empat motosikal.

“Serbuan sama juga berjaya menyita barangan kemas dan wang tunai berjumlah RM27,400 mengikut Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakkan Harta) 1988,” katanya di sini hari ini.


Rohaimi berkata, polis percaya kesemua aset itu diperolehi daripada kegiatan pengedaran dadah.


Tambah beliau, ujian urin suspek berusia 43 tahun itu pula didapati negatif dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – K! ONLINE

Kru produksi filem maut, tiga cedera parah

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

SETIU – Seorang kru produksi filem maut manakala tiga rakan sekerjanya cedera parah setelah kenderaan jenis Perodua Alza dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di Kilometer 71, Jalan Kota Bahru – Kuala Terengganu berhampiran Kampung Saujana di sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 1.15 tengah hari itu, Muhammad Nurshamril Abdul Malek, 27, yang memandu kenderaan pelbagai guna itu meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, dia lagi mangsa iaitu Kamarul Anuar Mohamad Nasir, 39, dan Amir Sabil Suhaimi, 23, yang masing-masing berada di tempat duduk penumpang hadapan dan belakang mengalami kecederaan pada bahagian leher.

Beliau berkata, seorang lagi mangsa iaitu Nur Azizi Nazril Abd. Aziz, 26, pula putus tangan kiri.

“Kesemua mangsa yang menaiki kenderaan Perodua Alza dikatakan dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dari Kota Bahru, Kelantan.

“Sewaktu tiba di lokasi kejadian, kenderaan dinaiki mereka dikatakan hilang kawalan lalu terbabas sebelum melanggar tunggul kayu di tepi jalan berhampiran simpang tiga Kampung Saujana,” katanya di sini hari ini.

Afandi berkata, kesemua mangsa yang tersepit di dalam kenderaan itu terpaksa dikeluarkan dengan bantuan sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Setiu.

Beliau berkata, mayat Muhammad Nurshamril telah dihantar ke Unit Rawatan Rapi Hospital Setiu di sini untuk dibedah siasat. – K! ONLINE.