Translate

Wednesday, November 8, 2023

Pelajar tahfiz lemas selepas berqasidah

KUALA TERENGGANU – Festival Warisan Air di Dataran Banggol Cempedak di sini kelmarin bertukar kecoh apabila seorang pelajar tahfiz lemas, manakala tiga yang lain kritikal ketika mandi di Sungai Terengganu. 

 Kejadian pada pukul 6.15 petang itu mengakibatkan Ahmad Mujahid Al-Faruqi Haimi, 15, maut.

 Rakannya, Mohd. Abdul Rahman Mohd Soud, 15, kritikal dan ditidurkan di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini. 

Dua lagi mangsa iaitu Engku Mohamed Fakhry Engku Mohamad Anuar, 16, dan Mohamad Wagiyuddin Rosdi, 14, pula semakin stabil.

 Seorang saksi, Muhammad Awang, 27, berkata, sebelum kejadian, empat mangsa bersama 12 pelajar lain dari sebuah pusat tahfiz di Bukit Payung, Marang telah mengadakan persembahan qasidah. 

 Imam Masjid Pengadang Baharu itu berkata, selepas persembahan, mangsa telah turun ke sungai itu.

 “Kami kurang perasan kerana tertumpu pada acara yang masih berlangsung di pentas utama sebelum terdengar jeritan meminta tolong. 

 “Saya dan seorang pengunjung lelaki lain segera terjun ke dalam sungai. Kami dapat selamatkan dua, manakala seorang lagi diselamatkan oleh pengunjung lain,” katanya. 

 Muhammad berkata, Ahmad Mujahid Al-Faruqi pula gagal diselamatkan kerana arus sungai terlalu deras. 

 Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar berkata, mayat remaja terbabit ditemukan pada pukul 9.10 malam kelmarin. 

 Beliau berkata, mayat Ahmad Mujahid Al-Faruqi ditemukan tersangkut pada pukat yang berada pada kedalaman lima meter di dasar sungai. 

 “Jarak mayat mangsa ditemui kira-kira 30 meter dari tebing Sungai Terengganu. 

 “Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Unit Forensik HSNZ untuk tindakan lanjut,” katanya.

No comments:

Post a Comment