Translate

Thursday, February 20, 2020

Bakat Terpendam Bekas Menteri Dapat Pengiktirafan Dunia

DALAM diam bekas Menteri Sumber Manusia, Tan Sri Dr. Fong Chan Onn, 76, mempunyai bakat terpendam dalam bidang fotografi.

Bekas Naib Presiden MCA tersebut dinobatkan Anugerah Jurugambar Terbaik Tahunan buat dua tahun berturut-turut dalam pertandingan 'The Societies of Photographers' di London, Britain baru-baru ini menerusi sekeping gambar unik bidikannya sewaktu mengembara ke Yuangyang, China.

Foto tersebut memaparkan aktiviti sebuah keluarga menjerang air menggunakan dapur kayu berjaya menarik perhatian juri.

Menurut Digital Camera World, gambar tersebut berjaya mengatasi 11,320 penyertaan lain dihantar oleh jurugambar-jurugambar lain di seluruh dunia bagi pertandingan berkenaan pada tahun lalu.
Barisan juri memuji kegigihan Chann Onn menghasilkan foto kembara unik tersebut dengan penuh kesabaran dan walaupun perlu menghidu bau asap dari dapur kayu ketika mahu merakamkannya.

Chan Onn yang bersara daripada politik pada tahun 2008 telah diwakili anak saudaranya, Wayne Leow untuk menerima anugerah tersebut pada satu majlis di London baru-baru ini.

Menurut beliau, gambar tersebut merupakan antara momen yang sempat dirakam lensa kameranya sewaktu melancong di Yuanyang yang terletak di sempadan
Vietnam pada tahun lalu.

"Anugerah ini menyuntik lagi motivasi saya untuk lebih gigih lagi berkarya pada masa depan. Banyak yang telah belajar tentang penghasilan gambar bermutu setelah mendengar maklumbalas penjurian," katanya kepada Digital Camera World baru-baru ini.
Pada tahun lalu, Chann Onn turut memenangi anugerah sama menerusi satu lagi gambar kembara hasil bidikan lensa kameranya sewaktu melawat Habsyah (Ethiopia).

Sementara itu, sewaktu diwawancara akhbar The Star pada tahun 2016, beliau memberitahu baru berjinak-jinak dalam bidang fotografi selepas bersara daripada arena politik.

Katanya, beliau mengambil inisiatif mempelajari sendiri teknik penghasilan foto menerusi pembacaan dan latihan amali yang tanpa jemu selepas membeli peralatan fotografi.

Pada tahun 2016, beliau telah menghasilkan buku fotografi pertamanya, 'The Malaysian Chinese Primary School – A Century Of Toil And Dedication' setelah menjelajah 1,300 sekolah jenis kebangsaan Cina di seluruh negara. - CARI

Wednesday, February 19, 2020

Kejuaraan Legend Cars Malaysia kembali bermula Mac depan

SATU-SATUNYA perlumbaan litar oval di negara ini bakal kembali berlangsung sebanyak enam pusingan sepanjang tahun ini bermula pada Mac depan.

Kejohanan Kejuaraan Legend Cars Malaysia yang bakal berlangsung di litar oval pertama negara di T-City Gopeng Motor Speedway Perak tersebut menawarkan kategori Kelas Legenda Arrive and Drive untuk pemandu amatur dan profesional manakala Kelas Bandolero pula bagi pelumba cilik berusia dalam lingkungan 8 hingga 15 tahun.

Ketua AS Legend Cars Malaysia Ben Tan berkata, ini kali pertama pelumba yang bakal bersaing pada kategori Kelas Lagenda dan Bandolero bakal beraksi dalam kejohanan penuh sejak perlumbaan litar oval mulq diperkenal di negara ini pada tahun 2018.

Beliau berkata, pusingan pertama Kejuaraan Legend Cars Malaysia bakal berlangsung pada 13 Mac depan diikuti pusingan kedua (16-18 April), pusingan ketiga (19-20 Jun), pusingan keempat (17-18 Julai), pusingan kelima (21 – 22 Ogos) dan pusingan terakhir selama dua hari bermula 25 September depan.
“Minat terhadap perlumbaan litar oval semakin bercambah sejak ia mula diperkenalkan pada dua tahun lalu iaitu 2018.

“Ia kian popular dalam kalangan pelumba tempatan yang semakin mengenali dan serasi dengan litar oval walaupun ia masih baru bagi rantau Asia,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Tan berkata, kelas Kereta Lagenda dan Bandolero merupakan landasan terbaik bagi individu yang baru berjinak-jinak mengasah bakat dalam sukan perlumbaan kereta lumba.

Ujar beliau, kedua-dua kelas perlumbaan terbabit sangat kompetitif buat pelumba baru selain kos penyertaannya juga amat berpatutan.

“Yuran penyertaan untuk kelas Kereta Legend adalah RM3,000 setiap pusingan dan ia merangkumi penyediaan dan penyewaan kereta, bahan bakar, tayar, pad brek serta penggunaan yang lain, sokongan teknikal dan akses ke hotel penginapan.
“Yuran kemasukan untuk kelas Kereta Bandolero pula adalah RM2,000 setiap pusingan,” ujarnya.

Tan berkata, kejuaraan Legend Cars Malaysia seperti siri perlumbaan litar oval lain merupakan batu loncatan untuk menjadi pelumba profesional bagi National Association for Stock Car Auto Racing (NASCAR) seperti Dale Earnhardt Jr. dan Kyle Busch.

Beliau berkata, sebanyak 30 negara telah menganjurkan perlumbaan litar oval di benua Eropah, Asia selain Amerika Syarikat dan Australia sejak ia diperkenalkan pada 1992.
Sebarang maklumat lanjut berhubung penyertaan dalam perlumbaan berkenaan, sila hubungi Pengarah Syarikat Motorsports Legend Amerika Syarikat, Stephen C.H. Loh di talian 019-3586868 atau e-mel ke mmsc.malaysia@yahoo.com.

Maklumat juga boleh didapati dengan menghubungi Pejabat Ketua US Legend Cars Malaysia di talian 05-2413560 atau e-mel ke uslcmy@gmail.com. – AD01