Translate

Thursday, March 24, 2022

1,290 pasangan Islam Terengganu bercerai tahun lalu

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Sebanyak 1,290 kes penceraian dalam kalangan Islam direkodkan di Terengganu pada tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Terengganu, Mohd. Nor Hamzah berkata, lebih 53 peratus daripada kes penceraian berkenaan berpunca daripada lemah didikan agama dan sikap tidak bertanggungjawab.

“Berdasarkan rekod Bahagian Undang-Undang Keluarga, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), ia merupakan punca penceraian sebanyak 685 daripada 1,290 kes penceraian direkodkan di negeri ini pada tahun lalu.

“Punca penceraian lain ialah masalah komunikasi (187 kes), campur tangan pihak ketiga (174 kes) dan akhlak (115 kes),” katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sewaktu menjawab soalan lisan Maliaman Kassim (Pas-Ajil).

Mohd. Nor (Pas – Bukit Payong) menambah, faktor penceraian pasangan Islam di Terengganu sepanjang tahun 2021 ialah ekonomi (83 kes), kesihatan (24 kes), seksual (14 kes) dan budaya dan kerjaya masing-masing empat kes.

Beliau berkata, perkembangan itu amat membimbangkan dan kerajaan negeri Terengganu telah melaksanakan beberapa program bagi mengawalnya.

“Selain kursus pra perkahwinan, kita juga menganjurkan kursus pasca perkahwinan kepada pasangan sasaran.

“Tiga fasa kursus pasca perkahwinan yang dianjurkan iaitu Sehati Sejiwa untuk pasangan yang sudah berkahwin enam hingga 10 tahun, Semarak Kasih (11 hingga 20 tahun) dan Syurga Cinta (21 tahun ke atas),” katanya. – KOSMO! ONLINE

Monday, March 21, 2022

Nenek tabah jaga cucu cerebral palsy

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang wanita warga emas terpaksa berkorban menjaga cucu lelaki yang menderita penyakit cerebral palsy, spina bifina dan hydrochephalus sejak lahir.

Saripah Arabiah Che Embong, 61, berkata, di menjaga cucu lelakinya, Ahmad Benyamin Abdullah, 9, yang merupakan golo­ngan orang kelainan upaya (OKU) seorang diri.

Katanya, ibu kandung Ahmad Benyamin, Khairulnisa Mohd. Yusoff, 31, iaitu anak perempuannya juga OKU kategori lembam dan dia tidak mampu untuk menjaga anak sendiri.

“Penyakit yang dihadapi ­Ben­yamin menyebabkan cucu saya terlantar dan perlu dibantu menguruskan diri termasuk makan, mandi serta membuang air kecil dan besar,” katanya ketika ditemui di Kampung Jeram, Manir di sini baru-baru ini.

Saripah Arabiah berkata, dia secara sukarela mengambil tanggungjawab menjaga Ahmad ­Benyamin kerana sayang terhadapnya.

Menurutnya, dia perlu memasang tiub pada saluran kencing cucu lelakinya bagi memudahkan kanak-kanak itu membuang air kecil setiap hari.

“Dia juga perlu memakai lampin pakai buang dan hanya boleh minum susu khas. Oleh ke­rana tiada kerusi roda, saya perlu mengangkat cucu saya setiap kali hendak memandikannya.

“Fizikal yang semakin membesar membuatkan saya kadangkala terpaksa memerah kudrat tua untuk mengangkatnya ke bilik air,” katanya.

Saripah Arabiah berkata, penjagaan Ahmad Benyamin mungkin lebih ringan sekiranya mereka mempunyai kerusi roda khas untuk pergerakan cucunya.

Ujarnya, dia menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan, selain susu khas yang disumbang Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).

“Saya sering berdoa agar terus diberi kesihatan oleh Allah untuk menjaga cucu lelaki istimewa sini hingga ke akhir hayat,” katanya.

Orang ramai yang ingin menyum­bang boleh berbuat demikian menerusi akaun Bank Simpanan Nasional milik Saripah Arabiah bernombor 11002-41-00010637-8 atau menghubu­nginya di talian 013-534 7669. -KOSMO! ONLINE

Sunday, March 20, 2022

10 premis makanan kotor diarah tutup

 Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) telah mengarahkan 10 premis makanan di daerah ini dan Kuala Nerus di sini ditutup serta-merta dalam operasi bersepadu premis makanan bersih.

Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam), Dr. Mohd. Anuar Abd. Rahman berkata, kesemua premis terbabit diarah tutup selama 14 hari mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983.

“Antara kesalahan ditemui ialah kehadiran tikus, peti sejuk penyimpanan bahan mentah tidak berfungsi dan premis kotor serta tidak terurus.

“Pemeriksaan 70 anggota JKNT juga mendapati sebahagian pengendali tidak melakukan suntikan anti-tifoid malah kakitangan warga asing tidak diketahui status kesihatan dan tidak menitik berat kebersihan,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Anuar berkata, JKNT juga mengeluarkan sebanyak 66 notis kompaun bernilai keseluruhan RM31,450 atas pelbagai kesalahan turut dikeluarkan dalam operasi sama.

Tambah beliau, notis terbabit dikeluarkan mengikut Peraturan-Peraturan Makanan 2009.

“Sikap segelintir pengusaha premis makanan terbabit yang mengambil ringan keselamatan dan kebersihan amat mengecewakan.

“Mereka rata-ratanya telah terlatih dan menjalani kursus kendalian JKNT dan agensi kerajaan lain,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Kerajaan kembali seragam harga barang keperluan Pulau Redang

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengembalikan semula program penyeragaman harga bagi menyelesaikan masalah kenaikan kos sara diri dihadapi lebih 2,000 penduduk Pulau Redang di sini sejak dua tahun lalu.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, sebelum ini, penduduk pulau itu perlu membayar bayar keperluan dengan harga lebih tinggi berikutan kos pengangkutan.

“Kita mendengar keluhan dan rungutan penduduk setempat setelah program penyeragaman harga yang telah ditangguhkan pada tahun 2019.

“Program penyeragaman harga ini melibatkan harga barang kawalan seperti petrol RON95, diesel, gas petroleum cecair (LPG), tepung gandum, gula, beras, gula dan minyak masak,” katanya memantau pelaksanaan program Penyeragaman Harga di Pulau Redang di sini hari ini.

Kosmo! 23 September 2021 melaporkan penduduk Pulau Redang yang ratanya merupakan golongan nelayan tertekan kerana perlu mendapatkan barang keperluan dengan harga melambung tinggi berbanding tanah besar.

Mereka perlu membayar RM45 untuk membeli satu tong LPG seberat 14 kilogram (kg), gula (RM3.50), minyak masak (RM3.30), petrol RON95 (RM3.10) dan beras 10 kg (RM33).

Rosol berkata, program penyeragaman harga terhadap barangan kawalan itu turut melibatkan penduduk di Pulau Perhentian, Besut.

Tambah beliau, program ini membolehkan kesemua barangan kawalan terbabit dijual harga subsidi ditetapkan dan setara dengan kawasan lain di seluruh negara. – KOSMO! ONLINE

KPDNHEP pantau harga makanan sepanjang Ramadan

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan memantau harga makanan terutama berasaskan ayam dan telur ayam sepanjang bulan Ramadan tidak lama lagi.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, pemantauan akan dilakukan di semua premis perniagaan termasuk bazar Ramadan di seluruh negara sepanjang bulan tersebut.

Beliau berkata, ia bertujuan memastikan harga barangan terutama berasaskan ayam dan telur ayam tidak akan melambung tinggi.

“Ramai meramalkan harga makanan berasaskan ayam akan naik pada bulan Ramadan ini atas faktor kos bahan mentah, logistik dan tukaran wang asing.

“Apa pun saya mengingatkan golongan peniaga agar tidak terlibat dalam sebarang aktiviti pencatutan,” katanya di Pulau Redang di sini hari ini.

Rosol berkata, tindakan tegas akan diambil sekiranya sebarang aktiviti pencatutan dikesan.

“Saya juga menasihatkan pengguna agar segera melaporkan sebarang kenaikan harga tidak munasabah termasuk di bazar Ramadan bagi membolehkan KPDNHEP dapat cepat mengambil tindakan penguatkuasaan,” katanya.

Dalam pada itu, Rosol memberitahu, pasukan penguatkuasaan KPDNHEP juga akan memastikan keberadaan bekalan barangan keperluan sepanjang kedua-dua bulan berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Sakit jantung dipercayai punca pelatih ILP meninggal dunia

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Seorang pelatih hanya sempat seminggu menyambung pengajian selepas ditemui meninggal dunia dipercayai akibat penyakit jantung di asrama Institut Latihan Perindustrian (ILP) Gong Badak, di sini hari ini.

Muhammad Faiz Hakimi Che Mansor, 18, dipercayai rebah di dalam bilik air asrama lelaki institut latihan berkenaan kira-kira pukul 1 tengah hari.

Abang mangsa, Mohd. Fadli, 32, berkata, Muhammad Faiz Hakimi yang merupakan anak bongsu daripada lima beradik mempunyai sejarah penyakit jantung sejak kecil.

“Walaupun keadaan kesihatannya tidak memuaskan, adik begitu berminat untuk melanjutkan pelajaran ke ILP.

“Pada mulanya dia ditawarkan ke kursus sijil perkayuan sebelum ditukarkan kepada kursus sijil komputer kerana keadaan kesihatan dan minatnya,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.

Ujar Mohd. Fadli, Muhammad Faiz Hakimi baru mendaftar di ILP Gong Badak pada minggu lalu.

Katanya, dia dan ahli keluarga yang menetap di Kampung Paya, Teluk Ketapang di sini bergegas ke ILP Gong Badak sebaik dimaklumkan kejadian menimpa adik lelaki pada pukul 1.30 tengah hari.

Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk dibedah siasat. – KOSMO! ONLINE

Dua pemancing tersadai akibat bot karam diselamatkan APMM

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Dua orang pemancing berdepan detik cemas selepas bot dinaiki mereka karam di perairan Pulau Redang di sini semalam.

Mangsa, Nik Nurudin Nik Wahid, 29, dan Syairazi Mohd., 31, terpaksa berlindung di salah sebuah pulau tidak berpenghuni di perairan Pulau Redang sebelum diselamatkan pasukan Maritim Malaysia (APMM) pada pukul 12 tengah hari tadi.

Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd. Ramli berkata, APMM menerima maklumat berhubung kehilangan kedua-dua lelaki itu pada pukul 9 pagi tadi.

“Salah seorang ibu mangsa memaklumkan kedua-dua lelaki berkenaan tidak pulang ke rumah masing-masing di Merang, Setiu selama lebih 24 jam.

“Mereka dikatakan keluar memancing di perairan terbabit sebelum bot dinaiki mengalami kebocoran,” katanya di sini hari ini.

Muhammad Suffi berkata, APMM telah melancarkan operasi mencari dan menyelamat dengan menggunakan aset bot Perkasa 1234.

Tambah beliau, kedua-dua mangsa dilaporkan selamat selepas berlindung di salah sebuah pulau di perairan Pulau Redang.

“Mereka kemudian dibawa ke Jeti Merang, Setiu untuk bertemu ahli keluarga,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tuesday, March 15, 2022

Pesakit Covid-19 disyaki lari kuarantin maut kemalangan

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU – Seorang lelaki warga emas yang positif Covid-19 dipercayai melarikan diri dari pusat kuarantin maut dalam kemalangan di KM 28, Jalan Kuala Terengganu – Kuala Berang berhampiran sebuah kilang di sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 8 pagi itu, lelaki berusia 66 tahun itu meninggal dunia akibat kecederaan parah di beberapa anggota badan.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang positif Covid-19 sedang menjalani kuarantin di Hospital Hulu Terengganu di sini sejak Khamis minggu lalu.

“Dia dikatakan bertindak nekad melarikan diri dari wad kuarantin hospital itu dengan menaiki motosikal jenis Honda C10O pada pukul 6.30 pagi.

“Motosikal itu milik salah seorang kakitangan Hospital Hulu Terengganu yang diletakkan di kawasan surau hospital berkenaan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Mohd. Adli berkata, pesakit Covid-19 tersebut dikatakan memecut motosikal berkenaan menghala ke arah Wakaf Tapai, Marang.

Tambah beliau, lelaki itu tiba-tiba membuat pusing U melawan arus sebaik tiba di persimpangan Bukit Perpat sebelum dikatakan hilang kawalan lalu terbabas sebaik tiba di hadapan sebuah kilang.

“Motosikal ditunggangi mangsa dikatakan telah merempuh pembahagi jalan berhampiran kilang terbabit sebelum tercampak ke kawasan berumput di tepi jalan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Polis buka kertas siasatan kes kucing mati diracun

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

BESUT – Siasatan awal mendapati majoriti daripada 20 ekor kucing yang mati disyaki diracun di Pantai Kuang di sini semalam mempunyai kesan lebam pada perut masing-masing.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Mohammad berkata, pemeriksaan juga mendapati mulut dan hidung kucing terbabit berdarah selain sebahagian terburai perutnya.

“Seorang lelaki yang juga saksi memberitahu menjumpai dua ekor kucing terbabit telah mati di pesisir pantai manakala 13 ekor lagi bergelimpangan di kawasan pokok (di Pantai Keluang).

“Beberapa ekor kucing pula pada masa itu masih hidup tetapi dalam keadaan kesakitan,” katanya di sini hari ini.

Abdul Rozak berkata, lelaki telah menanam 20 ekor bangkai kucing terbabit di lokasi kejadian tetapi pasukan Penguatkuasaan dan Teknikal Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Besut dan Kuala Terengganu telah mengorek semula untuk siasatan lanjut semalam.

Tambah beliau, polis membuka siasatan mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan (khianat ke atas binatang) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Kosmo! hari ini melaporkan seorang kakitangan penapisan air terkejut bercampur marah apabila mendapati 20 ekor kucing terbabit mati bergelimpangan di pesisir Pantai Keluang.- KOSMO! ONLINE

Penganggur miliki dadah dipenjara 12 tahun, 13 sebatan

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Padah memiliki dadah jenis methamphetamine dan heroin pada tahun lalu, seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara 12 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani juga memerintahkan tertuduh, Mohamad Adam A. Rahaman dikenakan 13 sebatan atas kesalahan dua pertuduhan memiliki dadah terbabit.

Beliau memutuskan demikian selepas tertuduh membuat pengakuan bersalah atas dua pertuduhan termasuk salah satunya pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 berkenaan.

Sebelum ini, Mohamad Adam yang diwakili peguam, Mohd. Kamaruzaman A. Wahab menghadapi pertuduhan mengedar dadah jenis heroin mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memiliki dadah jenis heroin seberat 18.86 gram di sebuah rumah di Kampung Pengkalan Arang, Kuala Terengganu pada 25 Februari 2021.

Bagi pertuduhan kedua pula, Mohamad Adam didakwa memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 25.20 gram di lokasi, tarikh dan masa sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amer Abu Bakar Abdullah. – KOSMO! ONLINE

Kes pembunuhan Siti Nur Surya ke Mahkamah Tinggi

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Bekas pelajar tingkatan enam dihadapkan ke Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas pertuduhan membunuh rakan baiknya pada dua tahun lalu.

Tertuduh, Siti Nur Athirah Azmi, 21, yang bertudung hitam dan memakai baju kurung membuat pengakuan tidak bersalah sebaik kertas pertuduhan selesai dibacakan di hadapan Hakim Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani.

Berdasarkan pertuduhan, Siti Nur Athirah didakwa membunuh Siti Nur Surya, 19, di sebuah rumah di Kampung Lubuk Batu, Telemong, Hulu Terengganu antara pukul dan pukul 9.30 pagi , 1 November 2020.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Kosmo! 17 November 2020 melaporkan tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Majistret Marang atas pertuduhan membunuh Siti Nur Surya.

Sebelum itu, mayat Siti Nur Surya ditemui mati berlumuran darah oleh adik bongsunya, Norliyana Shuhada, 15, di ruang tamu sewaktu pulang dari sekolah.

Mangsa dijumpai dalam keadaan ngeri dengan kesan tetakan di bahagian muka, leher dan dada selain pergelangan tangan kirinya putus.

Tambah menyedihkan perbuatan kejam itu disaksikan ibu Siti Nur Surya yang terlantar sakit akibat kanser otak di katil berhampiran. – KOSMO! ONLINE

Remaja didakwa bunuh bayi jalani pemeriksaan psikiatri

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan remaja perempuan berusia 15 tahun yang didakwa membunuh bayinya pada 8 Februari lalu agar menjalani pemeriksaan psikiatri di hospital pada kadar segera.

Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani memutuskan demikian selepas mendengar permohonan peguam tertuduh, Ramkarpal Singh.

Beliau begitupun menolak permohonan barisan peguam remaja perempuan itu agar
mengetepikan keputusan Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman yang menolak tertuduh diikat jamin di Mahkamah Majistret Kemaman pada 15 Februari lalu .

“Mahkamah mendapati tiada kecatatan dilakukan di peringkat mahkamah majistret.

“Tiada bidang kuasa (mahkamah majistret) untuk menawarkan jaminan bagi pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (membunuh),” katanya ketika membacakan penghakimannya di sini hari ini.

Begitupun, Hassan mengakui keperluan penilaian psikiatri dilakukan secepat mungkin terhadap tertuduh mengikut Seksyen 342 Kanun Tatatacara Jenayah.

Terdahulu Ramkarpal memberitahu mahkamah majistret tidak membuat sebarang keputusan terhadap permohonan pemeriksaan psikiatri itu pada sebutan pertama kes terbabit.

Pihak pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Fadli Mahmud pula mencadangkan agar permohonan tersebut dikemukakan peguam bela tertuduh pada sebutan semula kes di Mahkamah Majistret Kemaman pada 16 Mac ini.- KOSMO! ONLINE

APMM buat pelayaran ihsan hantar bayi sakit

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Maritim Malaysia (APMM) melakukan perkhidmatan ihsan menghantar seorang bayi lelaki untuk mendapatkan rawatan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini malam tadi.

Bayi berusia 11 bulan itu dibawa dengan menaiki Kapal Maritim (KM) Nusa dari Pulau Redang, Kuala Nerus dekat sini pada pukul 7 malam.

Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd. Ramli berkata, bayi terbabit mengalami simptom najis berdarah yang memerlukan pemeriksaan lanjut bagi rawatan segera di HSNZ.

“Perkhidmatan pelayaran ihsan daripada APMM telah dipohon kerana pergerakan menggunakan jalan laut terutama pada waktu malam masih berbahaya ekoran ombak tinggi pada masa ini.

“Pesakit (bayi lelaki) berkenaan telah dibawa menaiki KM Nusa dengan ditemani ahli keluarganya,” katanya di sini hari ini.

Muhammad Suffi berkata, KM Nusa yang membawa bayi berusia 11 bulan itu selamat tiba ke Jeti Maritim Terengganu seterusnya dikejarkan ke HNSZ dengan ambulans.

Tambah beliau, operasi perkhidmatan pelayaran ihsan itu selesai sepenuhnya pada pukul 3 pagi tadi. – KOSMO! ONLINE

Monday, March 14, 2022

Lima termasuk pesakit Covid-19 cedera, kemalangan libat dua ambulans

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

SETIU – Lima cedera termasuk seorang parah dalam kemalangan melibatkan lima kenderaan termasuk dua ambulans di Jalan Kota Bahru – Kuala Terengganu berhampiran Kampung Chalok Kedai di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 6.55 petang itu, seorang lelaki berusia 40 tahun yang memandu kenderaan pelbagai guna, Perodua Aruz patah kaki kanan.

Kemalangan yang berlaku di hadapan sebuah stesen minyak itu turut menyebabkan isteri mangsa dan seorang pesakit Covid-19 yang menaiki salah sebuah ambulans cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussain berkata, pemandu ambulans dan seorang jururawat yang berada di dalam ambulans itu turut cedera ringan.

Beliau berkata, kemalangan bermula apabila sebuah ambulans yang membawa pesakit Covid-19 itu cuba memotong lori dihadapannya di lokasi kejadian.

“Sewaktu sedang memotong, ambulans yang sedang dalam perjalanan ke Hospital Setiu dari Hospital Kemaman tidak perasan kehadiran dua kenderaan yang berhenti di garis putus-putus di tengah jalan lalu merempuhnya.

“Difahamkan kereta Perodua Axia dan Perodua Aruz itu berhenti di lokasi kejadian kerana hendak memasuki sebuah stesen minyak yang terletak di laluan bertentangan,” katanya di sini hari ini.

Afandi berkata, Perodua Axia yang dirempuh ambulans itu berpusing lalu melanggar kenderaan Perodua Aruz dihadapannya.

Tambah beliau, pada masa sama, sebuah ambulans lain yang dalam perjalanan ke Hospital Besut dari Hospital Hulu Terengganu pula gagal mengelak lalu melanggar belakang ambulans pertama.

“Impak rempuhan menyebabkan ia hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan sebelum merempuh sebuah lori dipandu lelaki berusia 61 tahun,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Pesakit Covid-19 masih perlu berpuasa di bulan Ramadan

 Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Pesakit Covid-19 terutama yang bergejala ringan masih diwajibkan melaksanakan ibadah puasa pada bulan Ramadan tidak lama lagi.

Mufti Terengganu, Prof. Madya Dr. Mohamad Sabri Haron berkata, golongan tersebut diingatkan agar tidak mengambil mudah tentang kewajiban berpuasa di bulan Ramadan.

Beliau berkata, pengecualian boleh diberikan atas saranan doktor kepada pesakit Covid-19 kronik yang boleh membahayakan kesihatan sekiranya terus berpuasa.

“Jangan ambil mudah dan menganggap keuzuran Covid-19 itu sebagai alasan untuk sengaja berbuka.

“Istilah tahap keuzuran itu kita kena tengok macam mana keadaannya,” katanya ketika ditemui ketika menghadiri majlis Nadwah Ilmuan Muslim di sini hari ini.

Mohamad Sabri berkata, perbuatan membatalkan puasa di bulan Ramadan dan menggantinya pada hari lain amat merugikan.

Jelas beliau, ia disebabkan ganjaran yang bakal diterima tidak sama seperti berpuasa pada bulan Ramadan.

“Bulan Ramadan cukup istimewa dan mempunyai kelebihan tersendiri sekali gus menuntut iltizam umat Islam untuk beribadah kepada Allah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

TDM pasang jambatan di kawasan terjejas banjir

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU – Masalah jambatan yang menghubungkan Stesen Janakuasa Sultan Mahmud (SJSM) dengan Kampung Jenagor yang runtuh akibat banjir besar pada penghujung bulan Februari lalu mendapat perhatian Tentera Darat Malaysia (TDM).

Panglima 2 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Muhammad Huzaimi Sabri berkata, TDM yang prihatin telah melaksanakan program Jiwa Murni memasang jambatan compact bailey 200 (CD200) menghubungkan kawasan yang terjejas terbabit.

“Jambatan sedia ada telah runtuh akibat hujan berterusan selama seminggu pada 27 Februari lalu. Ia menyebabkan pekerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang bertugas di SJSM telah terputus hubungan.

“Saya difahamkan mereka terpaksa menggunakan bot sebagai alternatif untuk menyeberang (ke Kampung Jenagor),” katanya di sini hari ini.

Muhammad Huzaimi berkata, pemasangan jambatan terbabit dilaksanakan lima pegawai dan 64 anggota dari Markas Rejimen Askar Jurutera Diraja (MK RAJD) dan Kem Desa Pahlawan, Kota Bahru, Kelantan.

Tambah beliau, kerja-kerja pemasangan jambatan sepanjang 30 meter di Empangan Kenyir yang bermula sejak kelmarin tersebut telah siap sepenuhnya dan sudah boleh dilalui mulai hari ini.

“TDM sentiasa komited dalam menghulurkan bantuan kepada rakyat dengan memberi fokus membantu membantu pemulihan instalasi penting negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Thursday, March 10, 2022

Banjir : Lapan PPS dibuka di Terengganu

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Gelombang banjir kelima kembali melanda Terengganu hari ini berikutan hujan lebat berterusan sejak Rabu lalu.

Setakat ini, dua daerah iaitu Kemaman dan Setiu telah terjejas manakala dua lagi daerah iaitu Besut dan Dungun berisiko sekiranya hujan lebat yang melanda negeri itu berterusan beberapa hari lagi.

Jurucakap Sekretariat Pengurusan Bencana Terengganu berkata, setakat ini, lapan pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka di seluruh negeri ini.

“PPS yang mula diaktifkan pada hari ini ialah tujuh di Kemaman manakala satu di Setiu.

“Setakat ini, seramai 383 mangsa daripada 114 keluarga dari kedua-dua daerah telah berpindah ke PPS berkenaan,” katanya di sini hari ini.

Sebelum ini, Terengganu telah mengalami empat gelombang banjir sepanjang musim tengkujuh bermula bulan November lalu hingga awal bulan lalu.

Dianggarkan lebih 400 mangsa dari daerah Kemaman, Dungun, Setiu, Kuala Nerus dan Besut terlibat dalam setiap gelombang itu. – KOSMO! ONLINE

Mangsa banjir Terengganu meningkat 1,237 orang

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Banjir gelombang kelima yang melanda Terengganu hari ini semakin merebak melibatkan empat daerah iaitu Kemaman, Setiu, Hulu Terengganu dan Besut.

Jurucakap Sekretariat Pengurusan Bencana Terengganu berkata, mangsa banjir di keempat-empat daerah ini juga melonjak kepada 1,237 orang daripada 339 keluarga.

“Pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka juga semakin bertambah kepada 22 buah.

“Ia merangkumi 12 buah di Kemaman, Setiu (empat) dan masing-masing tiga di Hulu Terengganu dan Besut,” katanya di sini semalam.

Jurucakap Sekretariat Pengurusan Bencana Terengganu berkata, Kemaman kekal daerah paling teruk terjejas dengan 581 penduduk daripada 162 keluarga telah ditempatkan di 12 PPS.

Tambah beliau, Hulu Terengganu pula melibatkan 413 mangsa daripada 103 keluarga yang ditempatkam di tiga PPS.

“Seramai 154 mangsa daripada 54 keluarga terjejas di Setiu manakala tiga PPS di Besut pula kini dihuni 89 mangsa daripada 20 mangsa.

“Hujan lebat masih turun di kebanyakan tempat di Terengganu dan ia dijangka berlarutan sehingga esok,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Semua lapan daerah Terengganu terjejas banjir

 Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Situasi banjiri di Terengganu semakin memburuk dengan kesemua lapan daerah di negeri ini sudah terjejas dengan banjir.

Marang, Kuala Terengganu dan Kuala Nerus mula dilanda banjir malam tadi yang menyebabkan beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) mula dibuka di setiap daerah tersebut.

Jurucakap Sekretariat Pengurusan Bencana Terengganu berkata, setakat ini, seramai 4,419 mangsa daripada 1,304 keluarga telah di ditempatkan di 90 PPS di seluruh negeri tersebut.

“Kemaman kekal paling terjejas dengan 2,158 mangsa daripada 579 keluarga ditempatkan di 21 PPS.

“Seramai 802 mangsa daripada 246 keluarga pula berada di 22 PPS di Setiu,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap Sekretariat Pengurusan Bencana Terengganu berkata, sebanyak 14 PPS yang menempatkan 689 mangsa daripada 274 keluarga dibuka di Hulu Terengganu.

Tambah beliau, Besut pula mempunyai 396 mangsa daripada 100 keluarga yang ditempatkan di 20 PPS.

“Seramai 173 mangsa daripada 54 keluarga pula berada di lima PPS di Kuala Nerus manakala sebanyak lima PPS dibuka di Dungun dengan 138 mangsa daripada 37 keluarga pula berada di lima PPS di Dungun.

” Kuala Terengganu pula mempunyai 58 mangsa daripada 13 keluarga yang ditempatkan di dua PPS manakala seramai lima sekeluarga pula berada di satu PPS di Marang,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Empangan Kenyir bukan punca banjir besar Hulu Terengganu

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan banjir besar yang melanda daerah ini  bukan disebabkan pelepasan air dari Stesen Kuasa Sultan Mahmud atau dikenali sebagai Empangan Kenyir di sini.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md. Isa berkata, desas-desus yang tular di media sosial kononnya paras air di empangan itu sudah melimpah keluar adalah palsu.

“Tidak benar dakwaan bahawa Empangan Kenyir melepaskan air hingga menyebabkan banjir di daerah Hulu Terengganu.

“Paras air di empangan itu kini cuma 1.41 meter, dibawah paras melimpah,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Hulu Terengganu di sini hari ini.

Jelasnya, perbuatan menyebar berita palsu mengaitkan Empangan Kenyir sebagai punca banjir berlaku setiap tahun amat dikesali kerana menimbulkan kegusaran kepada masyarakat.

Sebaliknya, beliau memberitahu, banjir besar yang melanda daerah ini sejak Jumaat lalu disebabkan hujan lebat yang berterusan.

“Taburan hujan terlalu banyak telah menyebabkan paras Sungai Terengganu dan anak-anak sungainya seperti Sungai Tersat, Sungai Peneh dan Sungai Telemong meningkat mendadak lalu melimpah ke perkampungan terdekat.

“Setakat ini, 25 buah kampung di daerah ini telah terjejas dengan 1,432 mangsa dipindahkan ke 21 pusat pemindahan sementara (PPS),” katanya. – KOSMO! ONLINE

Wednesday, March 9, 2022

Jambatan kayu Pulau Sekati musnah dibawa arus Sungai Terengganu

 Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Jambatan kayu Pulau Sekati di sini yang menjadi sering menjadi tumpuan ramai mengabadikan gambar musnah dibawa arus deras Sungai Terengganu hari ini.

Sebahagian struktur jambatan terbabit yang menghubungkan Pulau Sekati dengan Kampung Paloh di sini tersebut telah runtuh kira-kira pukul 6 petang.

Seorang penduduk, Fawwaz Salehuddin, 25, berkata, dia mengesyaki sesuatu tidak kena apabila ternampak banyak sisa kayu di Sungai Terengganu dari tebing sungai sewaktu berada di Losong Feri di sini.

“Sisa kayu itu memanjang merentangi sungai dan saya terus teringat dengan jambatan kayu Pulau Sekati yang terletak berhampiran.

“Bagi mendapatkan kepastian, saya telah ke Pulau Sekati dan terbukti hampir 50 peratus struktur jambatan itu telah musnah dihanyutkan arus deras sungai,” katanya di sini hari ini.

Jelas Fawwaz, hujan lebat dan limpahan dari bahagian hulu yang kini sedang dilanda banjir besar telah meningkatkan paras air Sungai Terengganu.

Dia berkata, sebelum pembukaan laluan baharu pada tahun 2017, jambatan kayu itu merupakan akses utama keluar masuk 40 keluarga yang menghuni Pulau Sekati.

“Ia kemudiannya menjadi lokasi kegemaran ramai merakam gambar kerana berlatar belakangkan panorama indah Sungai Terengganu, deretan pokok kelapa dan Muzium Negeri Terengganu,” katanya.

Sementara itu, sebahagian besar daripada belasan kampung yang terdapat di gugusan Losong di sini turut dinaiki air kira-kira 0.2 meter ekoran limpahan Sungai Terengganu.

Sebagai rekod, banjir yang menjejaskan ribuan penduduk itu pertama kali melanda Losong dalam tempoh lapan tahun. – KOSMO! ONLINE

Banjir: Mangsa banjir Terengganu meningkat 11,137 orang

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Mangsa banjir Terengganu terus meningkat kepada 11,137 orang daripada 3,177 keluarga.

Jurucakap Sekretariat Pengurusan Bencana Terengganu berkata, setakat ini, sebanyak 157 pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka di semua lapan daerah di negeri ini.

“Kemaman kekal paling terjejas dengan 3,026 mangsa daripada 827 keluarga berada di 22 PPS.

“Situasi banjir di Hulu Terengganu juga agak serius dengan 2,946 mangsa daripada 950 keluarga telah ditempatkan di 27 PPS,” katanya di sini semalam.

Jurucakap Sekretariat Pengurusan Bencana Terengganu berkata, seramai 2,187 mangsa daripada 516 keluarga berada di 44 PPS di Besut.

Tambah beliau, sebanyak 1,277 mangsa daripada 391 keluarga pula ditempatkan di 30 PPS di Setiu.

“Dungun pula mempunyai 1,236 mangsa daripada 362 keluarga yang berada di 23 PPPS.

“Sebanyak lapan PPS dibuka di Kuala Nerus dengan 407 mangsa daripada 116 keluarga ditempatkan.

“Seramai 53 mangsa daripada 14 keluarga berada di dua PPS di Kuala Terengganu manakala cuma satu PPS yang dihuni lima sekeluarga masih beroperasi di Marang,” katanya.

Jurucakap Sekretariat Pengurusan Bencana Terengganu berkata, hujan dilaporkan masih turun di Hulu Terengganu, Setiu, Marang dan Besut. – KOSMO! ONLINE

Banjir: Mangsa di Terengganu meningkat 17,742 orang

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Mangsa banjir di Terengganu hari ini terus meningkat kepada 17, 742 orang daripada 4,557 keluarga.

Jurucakap Sekretariat Pengurusan Bencana Terengganu berkata, kesemua mangsa banjir itu berada di 141 pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negeri ini.

“Kemaman kekal paling terjejas dengan 8,027 mangsa daripada 2,055 keluarga yang masih ditempatkan di 27 PPS.

“Seramai 3,700 mangsa daripada 801 keluarga pula berada di 21 PPS di Hulu Terengganu,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap Sekretariat Pengurusan Bencana Terengganu berkata, sebanyak 29 PPS masih beroperasi di Dungun melibatkan 2,988 mamgsa daripada 873 keluarga.

Tambah beliau, Besut mempunyai 908 mangsa daripada 242 keluarga yang berada di 26 PPS.

“Seramai 848 daripada 252 keluarga masih berada 21 PPS di Setiu manakala sebanyak sembilan PPS masih beroperasi di Kuala Terengganu melibatkan 728 mangsa daripada 188 keluarga.

“Kuala Nerus mempunyai 538 mangsa daripada 145 keluarga yang berada di tujuh PPS manakala lima sekeluarga masih berada di sebuah PPS di Marang,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Banjir: Mangsa di Terengganu menurun 16,070 orang

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Cuaca baik hari ini membolehkan mangsa banjir di Terengganu menurun sedikit kepada 16,070 orang daripada 4,196 keluarga.

Jurucakap Sekretariat Pengurusan Bencana Terengganu berkata, kesemua mangsa banjir itu berada di 111 pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negeri ini.

“Kemaman kekal paling terjejas dengan 8,535 mangsa daripada 2,165 keluarga yang masih ditempatkan di 29 PPS.

“Sebanyak 29 PPS masih beroperasi di Dungun melibatkan 3,106 mamgsa daripada 897 keluarga,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap Sekretariat Pengurusan Bencana Terengganu berkata, seramai 2,156 mangsa daripada 511 keluarga pula berada di 16 PPS di Hulu Terengganu

Tambah beliau, Besut mempunyai 522 mangsa daripada 139 keluarga yang berada di sembilan PPS.

“Seramai 494 daripada 149 keluarga masih berada 12 PPS di Setiu manakala sebanyak sembilan PPS masih beroperasi di Kuala Terengganu melibatkan 709 mangsa daripada 184 keluarga.

“Kuala Nerus mempunyai 543 mangsa daripada 150 keluarga yang berada di enam PPS manakala lima sekeluarga masih berada di sebuah PPS di Marang,” katanya. – KOSMO! ONLINE