Translate

Wednesday, November 15, 2023

Usahawan tudung dituduh bunuh rakan kongsi

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

MARANG – Seorang usahawan tudung dan pakaian dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh rakan kongsinya pada dua minggu lalu.

Tiada pengakuan direkodkan dan tertuduh, Nooraini Remali, 35, yang kelihatan sugul sekadar mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Zur Azureen Zainalkefli.

Berdasarkan pertuduhan, Nooraini didakwa membunuh Norjihan S.A. Karim, 65.

Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di Batu 23, Jalan Kuala Berang, Hulu Terengganu pada pukul 3 pagi, 1 November lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Kosmo! 2 November lalu melaporkan mayat Norjihan yang merupakan bekas pesara kerajaan ditemui dalam keadaan tertiarap di dalam longkang
berhampiran Pejabat Kesihatan Hulu Terengganu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, siasatan awal percaya wanita warga emas terbabit dilanggar tertuduh dengan menggunakan kereta Honda Jazz sehingga tercampak ke dalam longkang berkenaan.

Beliau menambah, Nooraini kemudiannya dipercayai menikam badan rakan kongsinya sebanyak 15 kali dengan menggunakan senjata tajam sebelum meninggalkan lokasi kejadian dengan menumpang sebuah van yang kebetulan melalui lokasi kejadian. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment