Translate

Wednesday, November 15, 2023

Gunung Chemerong, Berembun dan Langsir dibuka semula tahun depan

DUNGUN – Selepas dua tahun ditutup, Taman Eko-Rimba Chemerong, Hulu Dungun di sini kini bersedia untuk menerima semula pengunjung menjelang awal tahun hadapan.

 Pengarah Perhutanan Negeri Terengganu, Roslan Rani berkata, projek menaik taraf denai pendakian dan infrastruktur di taman ekorimba itu telah siap sepenuhnya pada bulan lalu. 

 Menurut beliau, ia bagi membolehkan Gunung Chemerong, Berembun dan Langsir (CBL) yang terdapat di dalam taman ekorimba itu kembali didaki. 

 “Walau bagaimanapun, aktiviti pendakian hanya dibenarkan mulai pada April 2024 ekoran monsun Timur Laut semakin hampir. 

 “Sepanjang musim tengkujuh, semua hutan simpan dan taman ekorimba seluruh seluruh negara termasuk Taman Eko-Rimba Chemerong akan ditutup demi keselamatan orang ramai,” katanya ketika ditemui di Taman Eko-Rimba Chemerong, Hulu Dungun semalam. 

 Terdahulu, beliau mengetuai delegasi Jabatan Perhutanan Terengganu memeriksa denai pendakian hingga ke kaki Air Terjun Chemerong. 

Roslan memberitahu, sebelum ini, Taman Eko-Rimba Chemerong ditutup untuk kunjungan awam sejak 2021 atas faktor keselamatan dan kerja-kerja membaik pulih denai pendakian serta infrastruktur. 

 Jelas beliau, projek menaik taraf itu melibatkan peruntukan sebanyak RM2 juta daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya. 

 “Gunung CBL setinggi 1,108 meter dari aras laut merupakan antara lokasi pendakian popular di negeri Terengganu.

 “Air Terjun Chemerong juga antara tertinggi di Asia Tenggara. Pendakian biasanya mengambil masa tiga hari dua malam,” kata beliau. 

 Roslan berharap kumpulan yang berminat untuk mendaki Gunung CBL mematuhi peraturan yang ditetapkan termasuk mendaftar dengan Renjer Jabatan Perhutanan dan menggunakan perkhidmatan malim gunung perhutanan. 

 Terengganu mempunyai seramai 141 malim gunung perhutanan yang berdaftar.

No comments:

Post a Comment