Translate

Wednesday, November 22, 2023

Pembinaan Galeri Arkeologi Maritim bermula, simpan khazanah bernilai

KUALA NERUS – Kerajaan negeri Terengganu akan memulakan kerja-kerja awal bagi pembinaan sebuah Galeri Arkeologi Maritim pada tahun hadapan. 

 Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, galeri tersebut bakal mempamerkan khazanah berharga pada kapal karam yang terdapat di dasar laut perairan negeri ini termasuk Pulau Bidong di sini. 

 “Dasar laut perairan Terengganu memiliki banyak khazanah berharga daripada kapal dagang yang telah karam pada zaman dahulu. 

 “Penyelidikan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) misalnya telah menjumpai sebuah kapal dagang yang dipercayai telah karam di perairan Pulau Bidong kira-kira 500 tahun dahulu,” katanya selepas melakukan selaman skuba bagi menyaksikan sendiri kawasan kapal karam terbabit di perairan Pulau Bidong di sini semalam. 

 Terdahulu, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin sewaktu merasmikan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu pada awal bulan ini telah menitahkan agar Galeri Arkeologi Maritim Terengganu diwujudkan. 

 Razali berkata, selain perairan Pulau Bidong, banyak serpihan kapal dagangan karam lain pernah dijumpai di perairan Terengganu seperti sekitar Pulau Kapas, Marang dan Pulau Tenggol, Dungun.

No comments:

Post a Comment