Translate

Saturday, August 28, 2010

Pemandu mati, sembilan cedera bas rempuh lori

Oleh MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

KAMPAR - Seorang pemandu bas ekspres maut manakala sembilan penumpang cedera termasuk tiga parah apabila bas dinaiki mereka merempuh belakang sebuah lori membawa muatan tayar terbuang di Kilometer 306.5 Lebuh Raya Utara-Selatan dekat sini kelmarin.

Dalam kejadian pada pukul 7.50 malam itu, Adnan Abu Hasan, 54, dari Pangsapuri Sri Kepayang, Jalan Ghazali Jawi, Ipoh maut di tempat kejadian akibat kecederaan teruk di kepala dan badan selepas bas yang dipandunya merempuh belakang lori tersebut.

Bas tersebut ketika kemalangan membawa 43 penumpang yang diambil di Terminal Bas Medan Gopeng, Ipoh. Semasa kejadian bas itu dalam perjalanan menuju ke Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Kampar, Supritendan Abdul Aziz Salleh berkata, tiga penumpang yang cedera parah ialah Nor Ahmad Abdul Rahman, 30-an dari Selayang, Selangor, Norshaidah Musa, 24, dan Nurul Afzah Sallehuddin, 23, dari Kuala Lumpur.

"Nor Ahmad yang patah kaki kiri dihantar ke Hospital Tapah. Nurshaidah dan Nurul Afzah yang masing-masing patah hidung telah dibenarkan keluar dari hospital malam tadi," kata beliau.

Enam penumpang lain yang cedera ringan hanya dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Tapah.

Abdul Aziz memberitahu, kemalangan itu menyebabkan bahagian hadapan bas ekspres tersebut remuk teruk.

"Bas terbabit dipercayai gagal dikawal kerana dipandu laju semasa menuruni kawasan berbukit dan ditambah pula keadaan jalan licin ekoran hujan lebat ketika kemalangan," kata beliau.

Pemandu lori yang dilanggar bas itu tidak cedera.

Mayat pemandu bas itu tersepit dan hanya berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba dan penyelamat kira-kira sejam selepas kemalangan.

Kebanyakan penumpang yang tidak cedera dibawa keluar melalui pintu kecemasan.

Jenazah Adnan telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Gurap, Jalan Kuala Kangsar, Ipoh seleps solat Zuhur semalam.

Wednesday, August 25, 2010

Disuntik cecair misteri


Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Seorang pelajar tingkatan lima sekolah persendirian Cina di sini bimbang dijangkiti penyakit berbahaya selepas mendakwa telah disuntik dengan cecair misteri oleh seorang penjenayah yang meragutnya dalam kejadian di sebuah jejantas di sini 16 Ogos lalu.

Chea Kiat Heong, 17, mendakwa terkena suntikan tersebut ketika sedang menuruni jejantas tersebut selepas membeli kamus di sebuah pusat beli-belah yang terletak berhadapan sekolahnya pukul 9 malam.

Dia yang masih trauma ketika ditemui di Wad 5A, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini bagaimanapun enggan ditemu bual.

Bapanya, Chea Tsu Tong, 56, mendakwa selepas meragut dompet anaknya, suspek yang dipercayai penagih dadah itu telah menolak anaknya dari belakang sebelum menyuntik lengan kirinya.

"Dia yang panik telah menghubungi saya untuk dibawa ke hospital. Walaupun doktor masih belum mengenal pasti kandungan sebenar cecair tersebut tetapi kami amat bimbang kerana mungkin alat suntikan yang digunakan telah tercemar," katanya kepada pemberita.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan dan Hal Ehwal Bukan Islam Perak, Datuk Dr. Mah Hang Soon berkata, laporan awal mendapati mangsa tidak dijangkiti virus berbahaya seperti hepatitis dan HIV.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan ujian darah terhadap mangsa perlu dilakukan semula tiga bulan lagi untuk memastikan mangsa benar-benar bebas daripada sebarang penyakit berbahaya.

Friday, August 20, 2010

Cipta kemalangan larikan kereta


Oleh MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

BATU GAJAH - Taktik seorang lelaki yang mencipta kemalangan untuk melarikan kenderaan yang dinaiki mangsanya dapat memperdaya dua wanita dalam kejadian di dua lokasi dalam tempoh enam jam di Ipoh dan Batu Gajah kelmarin.

Kejadian pertama berlaku pukul 4 petang apabila kereta jenis Proton Saga BLM milik seorang juruteknik wanita berusia 51 tahun dilarikan suspek yang menaiki sebuah motosikal yang dicuri di Tapah sehari sebelum itu.

Dalam kejadian itu, suspek berusia lingkungan 30-an tersebut bertindak melanggar belakang kereta mangsa ketika wanita itu berhenti di lampu isyarat berhampiran Balai Bomba dan Penyelamat Lahad, Ipoh.

Pemangku Ketua Polis Daerah Ipoh, Supritendan Ibrahim Abu Bakar berkata, wanita tersebut yang tidak mengesyaki apa-apa kemudian keluar untuk melihat kesan kerosakan.

"Suspek terus meluru masuk ke dalam kereta mangsa lalu memecut menyebabkan mangsa yang memandu bersendirian itu terpinga-pinga. Suspek meninggalkan motosikal curi itu di situ.

"Enam jam selepas itu, dengan menggunakan kereta mangsa pertama dan modus operandi yang sama, suspek telah melarikan sebuah kenderaan pelbagai guna jenis Naza Citra milik seorang wanita berusia 35 tahun di Taman Batu Gajah Perdana di sini," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh semalam.

brahim berkata, kejadian kedua tersebut berlaku selepas mangsa mengeluarkan wang di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sebuah stesen minyak di situ.

Menurut Ibrahim, mangsa mengatakan suspek terus meluru masuk ke dalam kereta sebaik dia turun untuk melihat kesan kemalangan yang dicipta lelaki tersebut.

"Kereta Proton Saga BLM yang ditinggalkan telah dibawa ke IPD Batu Gajah untuk polis menjalankan siasatan dan mencari bukti-bukti," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Gajah , Asisten Komisioner Najib Mohamad berkata, berdasarkan modus operandi, pihaknya percaya suspek merupakan orang yang bertanggungjawab melarikan seorang budak berusia tiga tahun ketika dia mencuri sebuah kereta Perodua MyVi milik ibu mangsa di Taman Sepakat, Menglembu dekat sini pada 4 Ogos lalu.

Kosmo! pada 6 Ogos lalu melaporkan kereta milik Wong Soon Loy, 32, dilarikan penjenayah ketika dia turun untuk membuka pintu pagar rumahnya tanpa mematikan enjin dengan anaknya, Yim Mun Chun, 3, sedang tidur di tempat duduk belakang.

Mun Chun kemudian ditinggalkan di Kampung Muhibbah Ara Payung di sini kira-kira 10 kilometer dari tempat kejadian.

Friday, August 13, 2010

Suspek kes culik direman

IPOH - Seorang lelaki berusia 32 tahun direman di Mahkamah Majistret di sini semalam kerana disyaki terlibat dalam kes penculikan seorang kanak-kanak perempuan di Taman Meru 3C di sini pada 4 Ogos lalu.

Majistret Mohamed Nasrudin Mohamed membenarkan lelaki itu direman selama tujuh hari bermula semalam mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Ko misioner Azisman Alias berkata, suspek ditahan di ru mahnya di Taman Soon Choon di sini pada kira-kira 9 malam kelmarin.

Beliau berkata, sebelum itu, polis mendapat maklumat daripada orang awam mengenai kelibat lelaki itu ekoran pengedaran fotofit suspek kes berkenaan oleh Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah pada Selasa lalu.

“Suspek kini disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Ke seksaan dan Akta Penculikan 1961,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Difahamkan suspek baru enam bulan dibebaskan daripada hukuman penjara 10 tahun setelah didapati bersalah dalam dakwaan menyebabkan kematian sebelum ini.

Kosmo! kelmarin melaporkan polis mengedarkan fotofit seorang lelaki dipercayai berketurunan India, berusia 30-an, berkepala botak dan berbadan gempal bagu membantu pihaknya menjalankan siasatan mengenai kes penculikan terbabit.

Sebelum ini Kosmo! melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun dilarikan seorang lelaki yang memandu kereta Perodua Myvi hijau sewaktu berjalan pulang ke rumah dari kelas mengaji al-Quran.

Semasa kejadian pada pukul 8.30 malam itu, mangsa yang termakan pujuk suspek yang berpura-pura meminta per tolongan menunjukkan sebuah kedai runcit yang menjual kad tambah nilai prabayar telefon bimbit.

Selepas dua jam dibawa menaiki kereta, kanak-kanak perempuan tersebut ditinggalkan di sebuah padang di Taman Kinta, Gopeng pukul 10.45 malam iaitu kira-kira 45 kilometer (km) dari tempat kejadian.

Guna alkohol dalam sajian

Oleh NUR AISHAH AMIN dan MOHD. AZLI ADLAN
berita@kosmo.com.my

PUTRAJAYA – Sebuah hotel bertaraf lima bintang di sini yang dipercayai menggunakan bahan memasak mengandungi alkohol telah dinasihatkan supaya menghentikan penggunaan bahan itu oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) semalam.

Bagaimanapun, menurut Penolong Pengarah Cawangan Pemantauan dan Penguatkuasaan Jakim, Mohd. Amri Abdullah, hotel itu tidak pernah memohon sijil halal daripada Jakim sebelum ini.

“Mereka memang tidak pernah mohon sijil halal dengan Jakim, tetapi mereka ada sediakan bufet Ramadan. Jadi, kami bimbang jika bahan memasak mengandungi alkohol itu digunakan untuk menyediakan bufet tersebut,” katanya.

Semalam, hasil pemeriksaan Jakim menemui satu botol sos dan kicap yang tertulis mengandungi alkohol dalam peti sebuah dapur hotel berkenaan.

Pemeriksaan itu dilakukan oleh Jakim di hotel-hotel yang menyediakan hidangan bufet sempena Ramadan untuk meninjau sama ada hotel-hotel itu mematuhi garis panduan halal yang ditetapkan Jakim.

Difahamkan, hotel berkenaan turut menyediakan makanan barat dan Cina untuk tetamu dan pelanggan.

“Kami memohon kerjasama daripada pihak hotel supaya memberi komitmen untuk kami memberi tunjuk ajar mengenai hidangan halal untuk orang Muslim,” katanya.

Sementara itu di Ipoh, sebuah restoran stim bot terkenal di bandar raya itu diserbu penguat kuasa kerana disyaki menganjurkan bufet Ramadan tanpa sijil pengesahan halal sah.
Operasi bersepadu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Perak, Jabatan Agama Islam Perak, Jabatan Kesihatan Negeri Perak dan Majlis Bandaraya Ipoh mendapati premis makanan tersebut sememangnya tidak mempunyai sijil perakuan halal.

Penolong Pengarah Pejabat KPDNKK Perak, Amer Mansor berkata, dalam serbuan kira-kira 2.30 petang semalam itu turut menjumpai beberapa bahan perasa seperti cuka wine merah, kicap cair, sos ikan yang mengandungi alkohol di dalam dapur restoran terbabit.

Wednesday, August 11, 2010

Fotofit suspek culik diedar


IPOH - Polis mengedarkan fotofit seorang lelaki (gambar) yang dapat membantu pihaknya menjalankan siasatan mengenai kes penculikan seorang kanak-kanak perempuan di Taman Meru 3C di sini pada Rabu lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah berkata, berdasarkan siasatan, pihaknya percaya lelaki itu berketurunan India, berusia 30-an, berkepala botak dan berbadan gempal.

“Suspek yang mempunyai ketinggian lebih kurang 1.7 meter masih bersembunyi di dalam Perak.

“Suspek juga melarikan diri bersama sebuah kereta Perodua Myvi berwarna hijau," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Perak di sini semalam.

Sebelum ini Kosmo! melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun dilarikan seorang lelaki yang memandu kereta tersebut sewaktu berjalan pulang ke rumah dari kelas mengaji al-Quran.

Semasa kejadian pada pukul 8.30 malam itu, mangsa yang termakan pujuk suspek yang berpura-pura meminta per tolongan menunjukkan sebuah kedai runcit yang menjual kad tambah nilai prabayar telefon bimbit.

Selepas dua jam dibawa menaiki kereta, kanak-kanak perempuan tersebut ditinggalkan di sebuah padang di Taman Kinta, Gopeng pukul 10.45 malam iaitu kira-kira 45 kilometer (km) dari tempat kejadian.

Sehubungan itu, Zulkifli meminta orang yang mempunyai maklumat supaya melayai laman web polisperak@rmp.gov.my, menghantar SMS ke 32128 atau hubungi balai polis terdekat.

Dalam perkembangan sama, Zulkifli memberitahu tiga lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes melarikan dua beradik perempuan d dalam kereta Honda Accord milik bapa mangsa di Kuala Kangsar pada 26 Julai lalu telah didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Kangsar semalam.

Beliau berkata, tiga tertuduh yang berusia 22 dan 26 tahun ditahan di Rantau Panjang, Kelantan pada 29 Julai lalu.

Salah seorang suspek mempunyai rekod jenayah samun di Sungai Senam, Ipoh.

Budak diculik depan rumah


Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

BATU GAJAH - Seorang wanita menghadapi saat cemas apabila anak lelakinya berusia tiga tahun dilarikan seorang penjenayah selepas merampas kereta jenis Perodua MyVi miliknya di Taman Sepakat, Menglembu dekat sini kelmarin.

Kejadian pukul 9.45 malam itu berlaku apabila Wong Soon Loy, 32, turun seketika untuk membuka pintu pagar rumahnya dengan tidak menutup pintu dan mematikan enjin kereta. Ketika itu, anaknya, Yim Mun Chun tidur di tempat duduk belakang.

Penjenayah bertopi keledar itu kemudian terus meluru masuk ke dalam kereta sebelum mengunci pintu dan memecut.

Bagaimanapun, Soon Loy bernasib baik apabila anaknya itu ditinggalkan penjenayah terbabit kepada seorang warga emas di Kampung Muhibbah Ara Payung berhampiran landasan kereta api di sini kira-kira 10 kilometer dari tempat kejadian selepas dilarikan selama 45 minit.

Soon Loy ketika menceritakan semula kejadian itu memberitahu, sebelum kejadian dia dan anaknya baru pulang dari rumah saudaranya di taman perumahan berdekatan.

Katanya, sebaik sampai, dia kemudian keluar dari kereta untuk membuka pagar rumah tanpa mematikan enjin kereta dan menutup pintu pemandu.

"Seorang lelaki dalam lingkungan 20-an hingga 30-an meluru masuk ke dalam kereta dan terus menguncinya.

"Saya merayu supaya dia melepaskan anak saya yang sedang tidur di tempat duduk belakang tetapi dia enggan sebelum dia mengundurkan kereta dan memecut," ceritanya ketika ditemui di sini semalam.

Tambahnya, dia kemudian bergegas membuat laporan di Balai Polis Menglembu di sini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Najib Mohamad berkata, Mun Chun telah diserahkan oleh penjenayah tersebut kepada seorang warga emas selepas 45 minit dia dilarikan.

Katanya, warga emas itu kemudian membawa kanak-kanak itu ke Balai Polis Batu Gajah di sini sebelum dipertemukan semula dengan ibunya pukul 12 tengah malam semalam.

"Mun Chun ditinggalkan kepada warga emas berkenaan yang kebetulan berada di lokasi kanak-kanak itu diturunkan. Suspek kemudian melarikan diri bersama kenderaan terbabit.

"Polis masih memburu suspek dan mencari Perodua MyVi hijau yang dilarikan. Orang awam yang mempunyai maklumat diminta tampil di balai polis terdekat untuk membantu siasatan," katanya.

Kes Mun Chun merupakan kali ketiga melibatkan kanak-kanak dilarikan di dalam kereta di Perak dalam tempoh dua minggu.

Sebelum ini, dua beradik perempuan Nurul Fatin Farhana Dzulkafli, 16, dan Siti Haidar, 6, dilarikan bersama kereta Honda Accord milik bapa mereka di Jalan Sagor, Kuala Kangsar pada 26 Julai lalu.

Seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun pula dilarikan seorang lelaki yang memandu kereta Perodua MyVi hijau sewaktu berjalan pulang ke rumahnya dari kelas mengaji al-Quran di Taman Meru 3C di sini pada Khamis lalu.

Friday, August 6, 2010

Budak diculik ketika balik mengaji


oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Seorang budak perempuan berusia 11 tahun menghadapi saat cemas selama dua jam ketika dilarikan seorang lelaki yang memandu kereta Perodua Myvi sewaktu berjalan pulang ke rumahnya dari kelas mengaji al-Quran di Taman Meru 3C di sini malam kelmarin.

Semasa kejadian pada pukul 8.30 malam itu, mangsa yang juga murid Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Jati termakan pujuk suspek yang berpura-pura meminta pertolongan menunjukkan sebuah kedai runcit yang menjual kad tambah nilai prabayar telefon bimbit.

Mangsa yang akur kepada permintaan lelaki itu terus menaiki kereta suspek sambil disaksikan oleh lima rakannya termasuk adik lelaki mangsa yang berusia sembilan tahun.

Selepas dua jam dibawa menaiki kereta, mangsa ditinggalkan di sebuah padang di Taman Kinta, Gopeng pukul 10.45 malam kelmarin iaitu kira-kira 45 kilometer (km) dari tempat kejadian.

Adik mangsa menceritakan, sebelum kejadian mereka sedang berjalan ke rumah yang hanya terletak 50 meter dari situ."Kami semua nampak ada kereta Myvi warna hijau berhenti dan ada seorang lelaki di dalam.

"Kakak kemudian masuk kereta itu selepas orang yang memandunya meminta ditunjukkan kedai tersebut," cerita kanak-kanak itu.

Bimbang dengan apa yang berlaku, dia bersama rakan-rakannya mengadu kepada guru kelas mengaji, Rapinah Yusoff, 59.

Menurut Rapinah, dia terus meminta adik mangsa segera memaklumkan kehilangan kakaknya kepada keluarga.

"Masa itu memang kelam-kabut sampai ibu bapa kanak-kanak itu tidak tentu arah mencari anak mereka di beberapa buah rumah kedai berdekatan,'' katanya ketika ditemui di sini semalam.

Ibu bapa mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Jelapang. Rapinah memberitahu, selepas cemas selama dua jam, mereka lega bila mendapat tahu mangsa ditemui semula dalam keadaan menangis dan ketakutan di Gopeng kira-kira pukul 10.45 malam.

Dia kemudian dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini semalam untuk pemeriksaan perubatan.

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Zakaria Yusof ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut sambil berkata, usaha mengesan suspek masih dilakukan.

Menurut beliau, polis sedang menunggu laporan perubatan HRPB dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan dan Akta Penculikan 1961.

Polis bagaimanapun menolak kaitan kes itu dengan satu lagi kes culik terhadap dua beradik perempuan berusia enam dan 16 tahun yang dilarikan bersama kereta Honda Accord milik bapa mereka di Jalan Sagor, Kuala Kangsar pada 26 Julai lalu.

Kosmo! 28 Julai lalu melaporkan, Nurul Fatin Farhana Dzulkafli, 16, dan Siti Haidar, 6, dilarikan oleh tiga lelaki ketika ibu bapa mereka leka memilih gambar di sebuah kedai foto di Kuala Kangsar.

Mereka kemudian ditinggalkan di Liman Kati, Kuala Kangsar kira-kira 30km dari tempat kejadian bersama kereta tersebut.

Menara jam merdeka masih gah

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Salah satu keistimewaan yang ada di negeri Perak ialah tujuh daripada 10 daerah di negeri tersebut mempunyai menara jam .

Lebih menarik, kesemua menara jam yang berusia lebih 50 tahun itu dibina khas oleh penduduk setempat sempena memperingati tarikh kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957.

Presiden Persatuan Warisan Perak, Mohd. Taib Mohamed berkata, antara lokasi menara jam tersebut ialah Parit Buntar, Parit, Sungai Siput, Ipoh, Kuala Kangsar serta Kampar.

Kesemua menara jam itu dibina pada tahun 1957.

"Semua menara jam terbabit dibina hasil wang derma sumbangan penduduk tempatan sendiri. "Ia kini menjadi lambang kebanggaan rakyat Perak bagi merayakan hari kebebasan negara daripada penjajahan asing," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Beliau berkata, biarpun pembinaan menara jam tersebut menelan kos yang agak besar, dengan semangat merdeka yang berkobar-kobar ia berjaya disiapkan.

Sebagai contoh, katanya,menara jam besar di Sungai Siput dekat sini yang terletak di hadapan Mahkamah Majistret dibina dengan kos RM3,000 (nilai wang pada masa itu).

Katanya, ia hasil derma ikhlas penduduk pekan terbabit tanpa mengira perbezaan kaum dan agama.

Menara jam yang dirasmikan Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra pada 20 Januari 1960 itu menunjukkan kebangkitan perpaduan masyarakat setempat yang berbilang kaum.

"Biarpun sudah berusia lebih 50 tahun, semua menara jam tersebut adalah monumen bersejarah yang masih berada dalam keadaan baik dan dijaga rapi," katanya.

Bajet tambahan RM80 juta

IPOH - Persidangan pertama Penggal Ketiga sidang Dewan Undangan Negeri ( DUN ) Perak di sini semalam meluluskan Bajet Tambahan 2010 berjumlah RM80 juta.

Menteri Besar, Datuk Dr. Zambry Abd. Kadir (BN- Pangkor) memberitahu, peruntukan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2010 itu diambil daripada pertambahan hasil negeri yang diperoleh sehingga Julai lalu.

"RM80 juta itu merupakan sebahagian daripada pertambahan luar jangka hasil negeri berjumlah RM117.26 juta yang diperolehi setakat Julai lalu.

" Bajet tambahan ini juga tidak menggunakan atau menyentuh sedikit pun rizab simpanan kerajaan negeri yang kini berjumlah RM847.5 juta," katanya ketika membentangkan usul tersebut.

Zambry berkata, RM30 juta daripada bajet tambahan itu bakal digunakan untuk program kesejahteraan rakyat seperti pembasmian kemiskinan, pembangunan infrastruktur dan peningkatan sosio ekonomi rakyat.

"Baki RM50 juta pula dicadang digunakan untuk aktiviti pelaburan yang berupaya memberi pulangan signifikan kepada negeri.

"Wang tersebut akan dilaburkan secara berhemah dalam pelaburan terpilih yang diluluskan Jawatankuasa Pelaburan Negeri dan dijangka akan menghasilkan pulangan lebih tinggi berbanding pendapatan simpanan tetap," katanya.

Nizar sekali kali buat kecoh

Oleh AHMAD SYAKIR SAZILI dan MOHD. AZLI ADLAN
berita@kosmo.com.my

IPOH - Sidang Dewan Undangan Negeri ( DUN ) Perak kecoh lagi semalam.

Ia bermula selepas Speaker, Datuk R. Ganesan mengarahkan Bentara DUN supaya merampas kamera kompak milik Nga Kor Ming (DAP-Pantai Remis).

Dia didapati merakam gambar video Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir (BN-Pangkor) dari tempat duduknya semasa Menteri Besar itu sedang menjawab soalan lisan yang dikemukakan Tan Sri Mohamad Tajol Rosli Ghazali (BN-Pengkalan Hulu).

Arahan itu mencetuskan ketegangan di kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang dan ada di kalangan mereka menjerit mempertikaikan kedudukan Ganesan selaku Speaker DUN Perak yang sah.

Bagaimanapun, Ganesan yang dilihat cuba berlembut dengan tindak-tanduk ADUN pembangkang sepanjang menjalankan tugasnya semalam tidak dapat mengelak daripada mengenakan tindakan tegas terhadap Mohammad Nizar Jamaluddin (Pas-Pasir Panjang) pada insiden selepas itu.

Biarpun diberi peluang lebih 25 minit membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2010 yang dibentangkan Zambry, bekas Menteri Besar itu terus berdiri meskipun tempoh masa ditetapkan kepadanya telah tamat.

Mohammad Nizar yang masih enggan duduk walaupun diberi amaran beberapa kali oleh Ganesan turut mengganggu perbahasan Datuk Ahmad Khusairi Abu Talib (BN-Slim).

Dia kemudian digantung daripada terus menghadiri persidangan tersebut semalam.

Kekecohan mula berlaku selepas usul supaya Mohammad Nizar digantung dipersetujui kesemua ADUN BN dan Bebas menyebabkan wakil rakyat pembangkang membantah.

Mohammad Nizar kemudian meninggalkan persidangan kira-kira pukul 1.20 petang dengan diikuti 25 wakil rakyat pembangkang lain.

Pada persidangan kali ini, BN menampilkan 28 wakil rakyat dan empat Bebas termasuk ADUN Malim Nawar, Kashwinder Singh yang mengumumkan keluar daripada DAP dua bulan lalu.

Semasa Penggal Pertama Sidang DUN Perak ke-12 pada 7 Mei 2008, V. Sivakumar (DAP-Tronoh) dilucutkan daripada jawatan Speaker DUN Perak dan digantikan dengan Ganesan.

Persidangan DUN Perak akan disambung semula pada Oktober depan bagi pembentangan Bajet 2011.

Kereta mendiang Teng Peng ditemui di hutan paya

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.my

IPOH - Kenderaan pacuan empat roda Nissan Frontier berwarna kelabu milik ahli Majlis Perbandaran Manjung (MPM), mendiang Lim Ting Peng (gambar), 49, yang dipercayai mati dibunuh pekerjanya dijumpai polis semalam.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohd. Jamil Osman berkata, kereta mangsa ditemui di kawasan hutan paya bakau di Sungai Bata, Pantai Remis kira-kira 25 kilometer dari tempat kejadian pada pukul 10.30 pagi.

"Kereta Nissan Frontier milik mangsa dijumpai ditinggalkan di kawasan hutan paya bakau itu dalam keadaan elok dan kenderaan itu telah ditunda ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung," kata beliau di sini semalam.

Menurut beliau, polis kini mengesan dua pekerja warga Myanmar yang bekerja dengan mangsa bagi membantu siasatan.

"Keputusan bedah siasat oleh Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini mengesahkan Ting Peng mati akibat tetakan senjata tajam dipercayai parang di bahagian belakang kepalanya," kata beliau.

Sementara itu, suasana pilu menyelubungi Rumah Mayat HRPB setelah ahli keluarga mangsa gagal mengawal emosi sewaktu mayat mangsa dibawa keluar selepas bedah siasat.

Anak bongsu Ting Peng, Tommy Lim, 18, berkata, mayat bapanya akan dibawa pulang ke rumah sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Kristian Changkat Kruing , Beruas beberapa hari lagi.

Kosmo! semalam melaporkan Ting Peng yang juga Ketua MCA cawangan Changkat Kruing ditemui mati selepas lima hari dilantik sebagai ahli MPM.

Mangsa yang merupakan bapa kepada tiga orang anak lelaki berusia 18 hingga 22 tahun itu dihumban ke dalam sebuah perigi di ladang ayam dan itik milik mendiang selepas dia dibunuh.

Sunday, August 1, 2010

Dihumban ke dalam perigi selepas dibunuh


Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

BERUAS - Kecelakaan menimpa Lim Ting Peng, 49, yang ditemui mati selepas lima hari dilantik sebagai ahli Majlis Perbandaran Manjung (MPM).

Dia dipercayai dibunuh oleh pekerja warga asing yang digajinya di sebuah ladang ternakan ayam dan itik miliknya di Changkat Kruing dekat sini semalam.

Mangsa yang didapati hilang oleh keluarga sejak lewat petang kelmarin ditemui terapung di dalam sebuah perigi di ladang ternakan itu oleh pasukan pencari terdiri daripada polis dan Ikatan Relawan Rakyat (Rela) kira-kira pukul 8 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohd. Jamil Osman berkata, kejadian itu disyaki bermotifkan pembunuhan kerana dua pekerja warga negara Myanmar yang baru bekerja di ladang itu sejak setengah bulan lalu menghilangkan diri.

Katanya, polis juga mengesan beberapa tompok darah dipercayai milik Ting Peng di sekitar kawasan pondok di ladang ternakan terbabit.

Beliau berkata, mangsa dipercayai ditetak menggunakan senjata tajam di kepala sebelum dihumbankan ke dalam perigi.

"Sebuah kereta Nissan Fontier milik mangsa turut hilang dipercayai dilarikan oleh dua pekerja ladang ternakan itu.

"Bagaimanapun setakat ini motif kejadian sedang disiasat dan gerakan mencari warga asing terbabit sedang dijalankan," katanya.

Mayat Ting Peng kemudiannya dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh dekat sini untuk dibedah siasat.

Isteri mangsa, Ling Mooi Kooi, 47, berkata, suaminya yang juga seorang Ketua MCA cawangan Changkat Kruing didapati tidak pulang ke rumah sejak petang kelmarin.

“Panggilan telefon juga tidak diangkat. Saya yang risau telah membuat laporan polis mengenai kehilangan suami," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Dia mendakwa, dua pekerja warga Myanmar yang digaji sejak 15 hari lalu pernah meminta untuk meminjam wang RM1,000 dengan suaminya baru-baru ini.

"Setelah perbincangan dibuat, suami saya hanya bersetuju untuk memberi RM500 sahaja tapi tak pasti sama ada duit itu sudah diserahkan atau tidak,” katanya.