Translate

Saturday, August 31, 2019

Anggota Rela cedera diragut ketika bertugas

KEMAMAN – Seorang anggota wanita Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang sedang berkawal di hadapan pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) ca­wa­ngan Kerteh dekat sini  cedera selepas diragut dua lelaki bermotosikal kelmarin.

Dalam kejadian pukul 9.30 pagi itu, mangsa, Kamariah Maarif, 40, yang baru dua minggu me­langsungkan perkahwinan bukan sahaja kerugian wang tunai RM200 malah cedera pada bahu akibat dipukul dengan sebatang kayu oleh salah seorang penjenayah terbabit.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramli berkata, sewaktu kejadian, Kamariah yang berpakaian seragam Rela sedang bertugas bersendirian mengawal pintu masuk JPN Kerteh.

“Dua lelaki tidak dikenali yang menunggang motosikal jenis Yahama Sport secara tiba-tiba menghampiri mangsa sebelum seorang daripada mereka memukulnya dengan kayu.

“Mangsa rebah sebelum penjenayah terbabit meragut beg duitnya dan me­larikan diri,” katanya kepada Kosmo! Ahad di sini semalam.

Hanyan memberitahu, Kamariah yang pengsan akibat terkena pukulan terbabit dikejarkan ke Hospital Kemaman di sini dan menerima rawatan sebagai pesakit luar.

“Identiti dua penjenayah yang meragut mangsa sedang dikenal pasti dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” jelasnya.

Pelajar maut Perodua Myvi rempuh rumah kedai

SETIU –  Seorang pelajar Politeknik Kota Bharu, Kelantan maut manakala empat rakannya cedera selepas kereta Pe­rodua Myvi yang dinaiki mereka terbabas lalu me­rempuh sebuah rumah kedai di Kilometer 57, Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu berhampiran Chalok Kedai dekat sini kelmarin.

Dalam kejadian pukul 10.40 malam itu, Muhammad Ameerul Hadeem Muhammad Ameen, 20, yang berasal dari Kampung Ba­yam, Kota Bharu mening­gal dunia di lokasi kejadian akibat kece­deraan parah pada kepala dan beberapa anggota badan.
Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Zulkifli Mat Deris berkata, seorang penumpang kereta terbabit, Alif Zikri Mohd. Nizam, 20, dari Taman Puchong Utama, Selangor juga cedera parah manakala tiga lagi cedera ringan.

“Sewaktu kejadian, kereta Perodua Myvi yang dipandu Muhammad Ameerul dikatakan dalam perjalanan ke Kota Bharu dari arah Kuala Terengganu.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta yang dinaiki mereka dikatakan hilang kawalan lalu terbabas sebelum merempuh sebuah rumah kedai kosong di tepi jalan,” katanya kepada Kosmo! Ahad di sini semalam.

Zulkifli memberitahu, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Setiu mengambil masa kira-kira setengah jam untuk mengeluarkan semua mangsa yang tersepit di dalam kereta berkenaan.

Menurutnya, Muhammad Ameerul dan mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Setiu untuk tindakan lanjut.

Friday, August 30, 2019

Serang KPD hingga putus jari

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang bekas pengarah syarikat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas pertuduhan me­netak ibu jari Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Zamri Mohd. Rowi (gambar kecil) dengan parang panjang.

Tertuduh, Mohd. Nasli Mohd. Nasir, 33, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut yang dibacakan di hadapan Hakim Azman Mustapha.

Mohd. Nasli didakwa mence­derakan ibu jari kanan Mohd. Zamri sehingga putus dengan menggunakan sebilah parang panjang.
Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di hadapan sebuah rumah di Taman Cordova Residence, Padang Luas, Besut pada pukul 12.30 tengah hari, 15 Ogos lalu.

Sabit kesalahan, lelaki itu boleh dikenakan  hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Mohd. Izzat Wan Abdullah dan tertuduh diwakili peguam, Mohd. Kamaruzaman A. Wahab.

Terdahulu, Mohd. Kamaruzaman memohon anak guam­nya dihantar untuk menjalani pemeriksaan mental kerana Mohd. Nasli mempunyai rekod menghidap penyakit itu sebelum ini.

Beliau berkata, Mohd. Nasli pernah menerima rawatan psikiatri di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bahru pada tahun 2012 tetapi tidak pernah membuat rawatan susulan selepas itu.

Wan Mohd. Izzat bagaimanapun memberitahu, pihaknya tidak mencadangkan jaminan ke atas tertuduh atas faktor ke­selamatan mangsa dan keluar­ganya yang tinggal berjiran selain kes itu mendapat perhatian ramai.

Mahkamah menolak permohonan Mohd. Kamaruzaman berhubung pemeriksaan mental kerana kes itu akan dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Besut yang akan dibuka pada minggu hadapan.

Azman menetapkan sebutan semula kes pada 11 September depan.
Kosmo! 16 Ogos lalu melaporkan Mohd. Zamri cedera parah selepas diserang jirannya de­ngan sebilah parang di hadapan rumahnya di Taman Cordova Residence, Padang Luas, Besut.

Kejadian pada pukul 12.50 te­ngah hari itu dpercayai berpunca kerana tertuduh berang selepas aduannya berkaitan sebatang pokok kelapa masuk ke dalam kawasan tanahnya tidak dilayan Mohd. Zamri.

Wujud komplot bida projek

KUALA TERENGGANU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan telah menerima laporan berhubung dakwaan kewujudan komplot dalam bidaan projek kerajaan.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya berkata, maklumat berhubung dakwaan tersebut begitupun tidak boleh didedahkan buat masa ini kerana dibimbangi boleh mengganggu proses siasatan.

“Mesti ada laporan banyak kes berbentuk perolehan dan sebagainya tetapi kami (SPRM) tidak boleh be­ritahu sehingga kita dapat lakukan tindakan.

“Kalau beritahu, orang yang kita sasar pun lari,” katanya selepas menyertai program Gohek dan Khabak (Kayuh dan Daki) Merdeka 2019 anjuran SPRM Terengganu di Bukit Besar di sini semalam.

Beliau mengulas laporan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) yang mendedahkan sekurang-kurangnya 10 projek kerajaan bernilai jutaan ringgit sedang disiasat kerana kontraktor yang memenangi tender tersebut disyaki berkomplot dalam proses bidaan.

Kontraktor dan pembekal terlibat didakwa telah melakukan pakatan komplot agar nilai sesuatu kontrak yang dibida berkenaan menjadi tinggi.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng kemudian meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan komplot dalam bidaan projek kerajaan agar turut melaporkannya kepada SPRM selain MyCC.

Thursday, August 29, 2019

Penternak kambing disyaki mengedar dadah diberkas

MOHD. AZLI ADLAN

MARANG - Perbuatan tamak seorang penternak kambing mencari pendapatan lebih dengan mengedar dadah membawa padah apabila dia diberkas polis di Kampung Mak Kemas, Bukit Payung di sini pada Rabu lalu.

Lelaki berusia 40 tahun itu ditahan dalam serbuan di sebuah kawasan kandang ternakan kambing miliknya pada pukul 9.30 malam.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd. Suhaimi Ali berkata,  serbuan dilakukan selepas mendapat maklumat kandang kambing tersebut telah menjadi lokasi penyimpanan dadah yang diedar suspek untuk pasaran daerah ini dan sekitar.

"Serbuan tersebut berjaya merampas 34 paket mengandungi 1,100 biji pil dipercayai dadah jenis pil yaba, 23 paket ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu dan dua paket mengandungi 14 biji pil dipercayai Eramin 5.

"Nilai keseluruhan rampasan terbabit dianggarkan RM60,250 iaitu antara terbesar melibatkan kes dadah di daerah ini, "katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Marang di sini hari ini.


Mohd. Suhaimi berkata, serbuan tersebut turut berjaya merampas alat penimbang digital disyaki digunakan untuk menimbang dadah, sebuah telefon bimbit, wang tunai RM1,300 dan resit bayaran pembelian atas nama suspek. - K! ONLINE

Wednesday, August 28, 2019

Pelajar IPTA rugi RM31,500 diperdaya ‘James’

KUALA TERENGGANU – Seorang penuntut sebuah institusi pengajian tinggi tempatan di sini kerugian RM31,500 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan Macau Scam baru-baru ini.

Mangsa perempuan itu dikatakan telah menyerahkan wang tunai RM1,000 miliknya selain menggadai barangan kemas bernilai keseluruhan RM30,500 hanya kerana terpengaruh dengan suspek dikenali sebagai ‘James’.

Sumber berkata, mangsa sebelum itu telah menerima mesej daripada ‘James’ menerusi aplikasi Instagram pada pukul 6.45 petang, 23 Jun lalu.

“Suspek mendakwa terdapat bungkusan yang sepatutnya dikirim ke­pada mangsa da­ri luar negara, namun telah dise­kat Jabatan Kastam Diraja Malaysia.
“Dia meminta mangsa membayar ‘cukai kastam’ sebanyak RM3,500 untuk melepaskan barangan tersebut. Pelajar perempuan itu yang panik telah memasukkan wang tunai RM1,000 ke dalam akaun bank diberikan suspek,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Sumber membe­ri­­­tahu, mangsa yang takut akan di­ta­han pi­hak berkuasa kemudian­nya ber­tindak menggadai sebahagian barang kemasnya sebelum menyerahkan kepada suspek menerusi empat transaksi.

Beliau berkata, pelajar pe­rempuan terbabit hanya menyedari dia tertipu selepas kerugian RM31,500 sebelum membuat laporan di sebuah balai polis di bandar raya ini pada 14 Ogos lalu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu, Deputi Superintendan Hamdan Zali mengesahkan kes tersebut yang sedang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Tuesday, August 27, 2019

Pegawai SPRM dalam pejabat MB

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri disaran memberi ruang kepada penempatan pegawai integriti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di pejabat Menteri Besar (MB) dan Ke­tua Menteri masing-masing.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berkata, pe­nempatan pegawai itu bertujuan membantu kerajaan negeri meningkatkan lagi ketelusan dalam pentadbiran sekali gus mengelakkan sebarang tohmahan terhadap isu penyalahgunaan kuasa dan rasuah.

“Setakat ini, hanya kerajaan negeri Sarawak menempatkan pegawai integriti di pejabat Ketua Menteri dan kita harap negeri-negeri lain menjadikannya contoh.

“Sebenarnya dibandingkan dengan kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri lebih berpotensi untuk terdedah kepada unsur rasuah kerana mempunyai lebih sumber sama ada pembalakan, ta­nah dan sebagainya,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Terdahulu, beliau menghadiri sesi dialog bersama pemain industri perhotelan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) anjuran Hotel Primula yang turut disertai Pengurus Besarnya, Suaibah Harun.

Sebelum ini, SPRM telah menempatkan pegawai-pegawai kanannya di unit integriti yang diwujudkan di kementerian, agensi kerajaan dan GLC di peringkat persekutuan.

Latheefa berkata, SPRM juga menggesa kerajaan negeri mengambil serius cadangan agar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengisytiharkan harta sebagai langkah meningkatkan integriti.

Menurut beliau, setakat ini, komitmen pengisytiharan harta dalam kalangan ADUN itu hanya diberikan oleh kerajaan negeri Perak.

“Semalam (kelmarin), saya berpeluang berjumpa dengan Menteri Besar Terengganu (Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar).

“Pihak kerajaan negeri (Terengganu) terbuka de­ngan tindakan ke arah inte­griti dan ketelusan berkenaan dan akan membentangkan perkara ini (pengisytiharan harta ADUN) pada (sidang) Dewan Undangan Negeri,” katanya.

SPRM sedia buat siasatan salah laku, rasuah

KUALA TERENGGANU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedia menyiasat kemungkinan kewujudan salah laku dan ra­suah di sebalik gangguan Sistem Pengurusan Keseluruhan Lapangan Terbang (TAMS) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada minggu lalu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berkata, pihaknya akan me­lakukan siasatan sekiranya menerima sebarang aduan berhubung perkara tersebut.

“Jika ada aduan, kita siasat. Kita (SPRM) tunggu kalau ada apa-apa aduan.

“Setakat ini, kita belum dapat apa-apa aduan tentang salah laku dan rasuah berhubung isu gangguan sistem rangkaian (di KLIA) itu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sesi Dialog bersama Pemain Industri Perhotelan dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri Terengganu di Hotel Primula sini semalam.

Akhbar sebelum ini melaporkan gangguan rangkaian TAMS telah menjejaskan sistem maklumat pe­nerbangan (FIDS), sistem pengendalian bagasi, kaunter daftar masuk dan sambungan Wi-Fi di KLIA dan KLIA 2 di Sepang selama empat hari sejak Rabu lalu.

Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dalam kenyataannya berkata, dapatan awal Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) menunjukkan gangguan tersebut adalah di­sebabkan kegagalan kelengkapan rangkaian bukannya disebabkan serangan penggodam komputer.

Piala Malaysia: Negeri Sembilan masih belum putus asa

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Walaupun tumpas dalam ketiga-tiga aksi pusingan pertama Kumpulan A, Negeri Sembila masih berkeyakinan mampu meloloskan diri ke peringkat suku akhir Piala Malaysia.

Pengendali sementara Negeri Sembilan, Mohd. Zaki Shaikh Ahmad berkata, biarpun ia kelihatan seperti misi mustahil, keputusan seri dalam pertembungan dua pasukan lain dalam Kumpulan A iaitu Kedah dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor FC (PKNS) seakan memberi kembali sinar harapan kepada skuad kendaliannya.

"Saya percaya kita masih berpeluang (melangkah ke suku akhir) sekiranya memenangi ketiga-tiga baki perlawanan pada pusingan kedua Kumpulan A kelak.

"Sebenarnya saya berpuas hati dengan kesungguhan pemain-pemain saya yang telah mempamerkan persembahan terbaik dalam ketiga-tiga aksi termasuk dengan Terengganu Football Club I (TFC I) malam ini (tadi) namun malangnya kami tewas," katanya ketika ditemui selepas perlawanan malam tadi.

Mohd. Zaki yang menggantikan Mat Zan Mat Aris mengemudi skuad Rusa lapan hari sebelum kempen Piala Malaysia bermula berkata, kegagalan barisan serangan menterjemah peluang diperolehi bagi menghasilkan gol menjadi duri dalam daging di sebalik ketiga-tiga kekalahan terhadap skuad Kedah, PKNS FC dan TFC I sepanjang kempen piala berprestij tersebut setakat ini.


Sehubungan itu, jurulatih berpengalaman yang pernah membantu Negeri Sembilan muncul naib juara Piala Malaysia pada edisi 2000 berkata, beliau akan memberi tumpulan serius untuk mempertajamkan serangan pasukan menjelang pusingan kedua Kumpulan A, Piala Malaysia. - K! ONLINE

Monday, August 26, 2019

Piala Malaysia: TFC I dedikasi kemenangan untuk Allahyarham Mohd. Suffian

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Skuad Terengganu Football Club I (TFC I) mendedikasikan kemenangan 3-1 ke atas Negeri Sembilan pada aksi ketiga kumpula A Piala Malaysia malam tadi kepada Allahyarham Mohd. Suffian Abd. Rahman yang meninggal dunia beberapa jam sebelum sepak mula pertemuan terbabit.

Pengendali sementara TFC I, Mohd. Nafuzi Zain berkata, pemergian mengejut penjaga gol utama skuad Penyu tersebut akibat serangan jantung pada pukul 1.15 petang semalam amat menyentap emosi anak-anak buahnya.

"Kami sangat terkejut dan bersedih dengan kehilangan Mohd. Suffian. Sebelum aksi bermula, saya katakan kepada pemain-pemain agar terus tabah menghadapi ujian ini.

"Mereka diminta untuk beraksi dengan bersunguh-sungguh demi menghadiahkan kemenangan malam ini (tadi) bagi mengenang jasa Allahyarham (Mohd. Suffian) kepada kelab," katanya ketika ditemui selepas perlawanan malam tadi.

Pada aksi berkenaan, ayam tambahan TFC I, Tchetche Kipre muncul wira apabila meledak hatrik pada minit ke-42, 56 dan 86 manakala Negeri Sembilan sekadar memperolehi gol saguhati menerusi penyerang import, Igor Luiz pada minit ke-66.


Terdahulu pemain kedua-dua pasukan dan 7,750 penyokong yang hadir di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu bertakafur selama seminit bagai memperingati pemergian Mohd. Suffian. - K! ONLINE

Sunday, August 25, 2019

Bekas pengarah syarikat didakwa mencederakan Ketua Polis Daerah Besut

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Seorang bekas pengarah sebuah syarikat yang menetak Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Zamri Mohd. Rowi sehingga putus ibu jari pada minggu lalu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Tertuduh, Mohd. Nasli Mohd. Nasir, 33, membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azman Mustapha.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa mencederakan ibu jari kanan Mohd. Zamri sehingga kudung dengan menggunakan sebilah parang panjang.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di hadapan sebuah rumah di Taman Cordova Residence, Padang Luas, Besut pada pukul 12.30 tengah hari, 15 Ogos lalu.

Mohd. Nasli dituduh mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat jika sabit kesalahan.

Kosmo! 16 Ogos lalu melaporkan Mohd. Zamri cedera parah apabila diserang jirannya dengan sebilah parang di hadapan rumah di Taman Cordova Residence, Padang Luas, Besut. - K! ONLINE


Saturday, August 24, 2019

Pembedahan sambung ibu jari OCPD Besut gagal

KEMAMAN - Pembedahan menyambung ibu jari tangan kanan Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Zamri Mohd. Rowi yang putus akibat ditetak lelaki kurang siuman pada Khamis lalu menemui kegagalan.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail berkata, ibu jari terbabit yang disambung pada pembedahan dilakukan pakar perubatan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kelantan pada kelmarin tidak memberi respons diharapkan.

"Penyambungan ibu jari tangan kanan itu juga dikesan telah menyebabkan risiko komplikasi kepada otak Ketua Polis Daerah Besut (Mohd. Zamri).

"Sehubungan itu, demi menyelamatkan nyawa beliau, pakar perubatan HUKM telah membuat keputusan untuk melakukan pembedahan semula menanggalkan ibu jari itu demi pada hari sama (kelmarin)" katanya selepas menyaksikan majlis serah tugas Ketua Polis Daerah Kemaman di Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman di sini hari ini.

Aidi berkata, keadaan Mohd. Zamri kini dilaporkan stabil tetapi masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi HUKM untuk rawatan lanjut.

Kosmo! Online Jumaat lalu melaporkan Mohd. Zamri cedera parah ditetak dengan sebilah parang oleh jirannya yang dipercayai menghidap penyakit mental di hadapan rumahnya di Taman Cordova Residence, Padang Luas, Jerteh, Besut. - K! ONLINE

Friday, August 23, 2019

TFC I enggan dibuai mimpi indah

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

PENGENDALI Terengganu Football Club I (TFC I), Mohd. Nafuzi Zain mengingatkan anak-anak buahnya agar kekal fokus pada pertemuan dengan Negeri Sembilan dalam aksi Kumpulan A Piala Malaysia di Stadium Paroi, Seremban malam esok.

Nafuzi berkata, pemain-pemain skuad Penyu tidak seharusnya leka dibuai dengan tiga kemenangan berturut-turut pada pusingan pertama peringkat kumpulan sebelum ini.

“Walaupun berjaya menewaskan Negeri Sembilan 3-1 di gelanggang sendiri pada Sabtu lalu, ia tidak bermakna kami bakal mendapat laluan mudah pada pertemuan kedua dengan mereka pada lusa (esok).

“Mereka sudah pastinya akan bermain bermati-matian untuk mencapai kemenangan sulung bagi menghidupkan semula peluang mereka dalam kempen Piala Malaysia musim ini setelah tewas pada ketiga-tiga aksi awal,” katanya kepada Kosmo! di Kuala Terengganu semalam.

Nafuzi turut memberitahu, berdasarkan pertemuan pada Sabtu lalu, Negeri Sembilan yang dibarisi pemain-pemain berbakat telah memberi tentangan hebat kepada skuad kendaliannya sebelum kecundang 1-3.

Sehubungan itu, bekas pemain Terengganu era 2000-an itu percaya faktor beraksi di gelanggang sendiri turut dijangka mampu menyemarakkan lagi semangat skuad Rusa tersebut, sekali gus memberi kesukaran kepada anak-anak buahnya untuk melakar kemenangan.

“Begitupun, saya yakin pemain-pemain saya mampu menyerap tekanan tersebut seperti yang telah ditunjukkan sepanjang pusingan pertama kempen Piala Malaysia ini.

“Lagi pun kami sudah ‘sebelah kaki’ layak secara automatk ke pusingan suku akhir Piala Malaysia. Oleh itu, kemenangan sudah tentu amat berharga untuk menjamin kemaraan kami, sekali gus menyuntik lagi semangat dan moral para pemain,” katanya.

Polis larang Zakir Naik berceramah di Terengganu

MOHD. AZLI ADLAN

MARANG - Polis Terengganu menasihatkan kerajaan negeri Terengganu dan mana-mana penganjur agar menangguhkan sementara program ceramah melibatkan pendakwah antarabangsa, Dr. Zakir Naik di negeri ini buat sementara waktu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail berkata, larangan permit ceramah terhadap Zakir yang kini terpalit dengan kontroversi tersebut bertujuan untuk menjamin ketenteraman awam di negeri ini.

"Bukan sahaja berceramah, sebagai jemputan (menghadiri program di Terengganu) pun (Zakir)  tidak berapa sesuai buat masa ini berdasarkan isu-isu yang timbul sekarang.

"Saya akan nasihatkan kerajaan negeri (Terengganu) atau penganjur agar membatalkan program ceramah Dr. Zakir Naik buat sementara waktu ini," katanya ketika ditemui selepas menyaksikan majlis serah tugas Ketua Polis Daerah Marang di Ibu Pejabat Marang di sini hari ini.

Pegawai Turus Ibu Pejabat Polis Kontijen Terengganu, Deputi Superintendan Amran @ Mohd. Zaki Omar akan memangku jawatan Ketua Polis Daerah Marang menggantikan Superintendan Mohd. Suhaimi Ali yang dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Ketua Polis Kota Bahru, Kelantan.


Sebelum ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed dilaporkan berkata, pendakwah Islam antarabangsa terkenal itu sedang disiasat berhubung aduan membabitkan kenyataannya bahawa penganut Hindu tidak menyokong Perdana Menteri Malaysia sebaliknya menyokong Perdana Menteri India serta meminta kaum Cina untuk keluar dari Malaysia. - K! ONLINE

Thursday, August 22, 2019

Dipenjara 9 tahun gara-gara rompak RM250

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Perbuatan seorang lelaki yang merompak wang tunai RM250 milik seorang peniaga dengan bersenjatakan sebilah pisau dua tahun lalu akhirnya berbalas apabila dia dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun oleh Mahkamah Majistret di sini semalam.

Hakim Wan Azimah Yaacob menjatuhkan hukuman tersebut ke atas tertuduh, Zamri Awang, 37, bermula dari tarikh tangkap pada 9 April 2018.

Berdasarkan pertuduhan, Zamri bersama dua lagi yang masih bebas didakwa melakukan rompakan berkumpulan dengan bersenjatakan pisau terhadap seorang lelaki berusia 33 tahun melibatkan kerugian RM250.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di hadapan sebuah stesen minyak di Padang Midin di sini pada pukul 3.30 pagi, 13 Julai 2017.

Mengikut fakta kes, Zamri dan dua lagi suspek telah menahan sebuah van dipandu mangsa yang baru pulang daripada berniaga.

Sebaik mangsa memberhentikan vannya, tertuduh telah me­ngu­gut lelaki itu dengan meletakkan sebilah pisau pada leher sebelum meminta wang tunai RM300.

Mangsa yang menyerahkan wang tunai RM250 kemudian diugut akan dicari oleh suspek sekiranya kejadian rompakan itu dilaporkan kepada polis.

Zamri didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Mohd. Izzat Wan Abdullah, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Peniaga rugi lebih RM1.2 juta, lima premis perniagaan terbakar

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Lima lot premis perniagaan di Jalan Sultan Mohamad berhampiran Gong Kapas di sini musnah dalam kebakaran yang melibatkan kerugian lebih RM1.2 juta malam tadi.

Dalam kejadian pada pukul 10.30 malam itu, premis perniagaan yang terlibat dalam kebakaran berkenaan ialah tiga lot kedai menjual lampu hiasan dan barang elektrik, sebuah kedai menjual aksesori dan alat ganti kenderaan serta sebuah bengkel membaiki motosikal.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Mohamad Shoki Hamzah berkata, pihaknya dengan kekuatan empat jentera bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima laporan berhubung kebakaran tersebut pada pukul 10.37 malam.

"Sewaktu jentera bomba tiba, premis terbabit telah kira-kira 70 peratus terbakar selain berlaku letupan kecil dipercayai berpunca daripada bahan mudah terbakar seperti tin penyembur cat.

"Kebakaran dapat dikawal pada setengah jam kemudian sebelum dipadam sepenuhnya pada pukul 1.30 pagi (semalam)," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian di sini hari ini.


Mohamad Shoki berkata, siasatan awal mendapati kebakaran itu berkemungkinan bermula dari bahagian belakang salah sebuah kedai menjual lampu hiasan dan barangan elektrik. - K! ONLINE

Wednesday, August 21, 2019

Dijel 10 bulan balasan curi kuali tembaga

KUALA TERENGGANU – Gara-gara menjual tiga kuali tembaga yang dicuri daripada jiran, seorang lelaki dipenjara 10 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini semalam.

Majistret Abdul Hayyi Salim menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Zainal Ramli, 36, me­ngaku bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa.

Mengikut pertuduhan, Zainal didakwa menjual tiga kuali milik jirannya di hadapan sebuah rumah di Kampung Seberang Tuan Chik Haji, Kuala Nerus pada pukul 5 petang, 14 Ogos lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Mohd. Ridhuan Mohina Din, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes, jiran tertuduh menyedari tiga kuali tembaga miliknya yang diletakkan di dapur rumah telah hilang.

Mangsa mengesyaki kuali tembaga tersebut dicuri kemudian membuat laporan polis.

Hasil siasatan berjaya menjumpai semula kuali itu di sebuah rumah di Kampung Seberang Tuan Chik Haji pada pukul 10.30 malam, Jumaat lalu setelah tertuduh mengaku menjualnya dengan pada harga RM200.

Bayi melecur tertumpah air panas

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang bayi perempuan berusia 13 bulan cedera akibat terkena air panas sewaktu berada di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di sini pada Ahad lalu.

Dalam kejadian pada pukul 9.30 pagi itu, mangsa,­ Nur Syafiqa Wardani Rosli yang melecur pada leher dan dada telah dikejarkan ke klinik berhampiran oleh ibunya dan pihak pengurusan pusat jagaan terbabit untuk mendapatkan rawatan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Razmi­ Mohd. Gunnos berkata, bayi perempuan itu didakwa pergi ke dapur pusat jagaan kanak-kanak itu tanpa di­sedari pengasuhnya.

“Mangsa dikatakan telah menarik alas sebuah meja di dapur itu sebelum bekas berisi air panas jatuh dan terkena badan bayi pe­rempuan terbabit.

“Kejadian tersebut kemudian dimaklumkan kepada ibu mangsa dan dikejarkan ke klinik berhampiran,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Razmi berkata, keadaan Nur Syafiqa Wardani masih tidak stabil selepas dirawat di klinik sebelum ibu bapanya mengambil keputusan untuk merujuk anak mereka ke Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini bagi rawatan lanjut.

Jelasnya, bayi berkenaan yang merupakan anak bongsu daripada tiga beradik dilaporkan stabil namun masih dalam pemantauan pakar perubatan hospital.

“Bapa mangsa berusia 33 tahun telah membuat laporan di Balai Polis Chendering di sini pada pukul 11.29 malam, Ahad lalu untuk siasatan lanjut kerana percaya kejadian berlaku akibat kecuaian pengasuh.

“Siasatan lanjut sedang dilakukan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001,” jelasnya.

Polemik trend berjaja di simpang lampu isyarat

TREND berjaja di persimpangan lampu isyarat yang sebelum ini popular di negara-negara jiran seperti Indonesia dan Vietnam telah menjadi ikutan di Terengganu bermula pada awal tahun lalu.

Kelibat penjaja menjinjit barangan jualan seperti jeruk mempelam, bebola daging dan pisang keju dari satu kereta ke satu kereta yang sedang berhenti di persimpangan lampu isyarat merah di beberapa lokasi strategik di Kuala Terengganu segera menambat sam­butan pengguna tempatan.

Tambah menggamit perhatian, mereka yang kebanyakan terdiri daripada golongan muda mengambil pendekatan kreatif tampil berjaja dengan berpakaian tradisional iaitu berseluar batik, baju pagoda putih dan topi terendak sebagai gimik pemasaran.

Walaupun terdapat sedikit rungutan tentang isu kesela­matan daripada segelintir pengguna jalan raya, konsep berjaja di persimpangan lampu ini mendapat sambutan memberangsangkan sehingga konsep sama me­rebak dengan cepat ke seluruh daerah di Terengganu kecuali Setiu.

Dianggarkan ratusan individu mencari rezeki sebagai penjaja dengan konsep perniagaan berkenaan di seluruh negeri ini. Malah, ada pengedar yang mengakui mampu menjual sehingga setan jeruk mempelam setiap hari.

Begitupun, keghairahan mereka te­rencat apabila kerajaan negeri Terengganu mengambil keputusan untuk mengharamkan aktiviti menjaja di persimpangan lampu isyarat terbabit berkuat kuasa serta-merta mulai 8 Ogos lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd. Nurkhuzaini Ab. Rahman berkata,  ketetapan itu dibuat setelah menerima pandangan daripada pelbagai pihak seperti Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan, pihak berkuasa tempatan dan Penasihat Undang-Undang kerajaan negeri Terengganu.

“Keputusan pengharaman akti­viti menjaja di persimpangan lampu isyarat ini dilakukan dengan berat hati namun ia tidak boleh dibenarkan ke­rana bertentangan dengan Peraturan Lalu Lintas 1959 dan Akta Kerajaan Tempatan 1976.

“Kedua-dua peruntukan undang-undang terbabit melarang sebarang aktiviti jual beli di kawasan jalan raya termasuk persimpangan lampu isyarat,” katanya pada sidang akhbar di Kuala Terengganu baru-baru ini.

Mohd. Nurkhuzaini yang mempertahankan pengharaman tersebut menegaskan langkah itu perlu diambil sebelum perkara tidak diingini seperti kemalangan jalan raya berlaku akibat aktiviti menjaja di persimpangan lampu isyarat berkenaan.

Beliau memberi amaran peraturan baharu itu perlu dipatuhi dan operasi bersepadu melibatkan semua agensi terlibat bagi menangani penjaja yang masih berdegil akan diambil pada masa terdekat.

“Selain tindakan kompaun, barangan jualan mereka juga boleh disita oleh anggota penguat kuasa,” katanya.

Sementara itu, seorang pengusaha jeruk mempelam, Helmi Haffizuddin Suhaimi, 29, berkata, larangan kerajaan negeri Terengganu amat mengejutkan dan merupakan tamparan kepadanya sebagai usahawan.

Menurutnya, berikutan peraturan baharu berkenaan, dia terpaksa memberhentikan 65 pekerjanya yang kebanyakannya mereka terdiri daripada golongan muda yang baru menamatkan pelajaran dan ibu tunggal.

“Keputusan ini amat berat tetapi terpaksa dibuat berikutan kehendak kerajaan negeri. Saya sendiri perlu mengeluarkan modal baharu untuk menjalankan model perniagaan lain,” katanya.

Helmi Haffizuddin menganggap keputusan drastik pengharaman aktiviti menjaja di persimpangan lampu isyarat itu bagaikan hukuman berat kepada mereka yang selama ini bersusah payah demi mencari rezeki halal.

Ujarnya, biarpun keputusan itu dikatakan dibuat berlandaskan undang-undang, kerajaan negeri Terengganu sepatutnya menawarkan jalan penyelesaian kepada pihak terjejas terlebih dulu sebelum menguatkuasakannya.

Pengerusi Parti Keadilan Rakyat Terengganu, Azan Ismail pula menyifatkan langkah kerajaan negeri mela­rang aktiviti penjajaan di persimpa­ngan lampu isyarat agak terburu-buru memandangkan keusahawanan merupakan sumber utama kebanyakan rakyat negeri di Pantai Timur berkenaan mencari rezeki sejak sekian lama.

Beliau berkata, bagi mengelakkan implikasi perundangan dan risiko tidak diingini, penjajaan di persimpa­ngan lampu isyarat boleh dikawal selia dengan menetapkan peraturan tanpa perlu mengharamkannya terus.

“Penjajaan di persimpangan lampu isyarat ini bukan baharu malah telah popular lama di Eropah dan negara-negara jiran seperti Indonesia.

“Kerajaan negeri Terengganu boleh mengikut langkah-langkah yang telah diambil di negara-negara itu melatih penjaja terbabit dengan menetapkan peraturan pemakaian jaket ke­selamatan serta had masa dan waktu perniagaan serta tatacara memegang produk,” katanya.

Negeri Sembilan belum kibar bendera putih

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

WALAUPUN tumpas dalam ketiga-tiga aksi pusingan pertama Kumpulan A, Negeri Sembilan masih berkeyakinan mampu meloloskan diri ke peringkat suku akhir Piala Malaysia.
Pengendali sementara Negeri Sembilan, Mohd. Zaki Sheikh Ahmad (gambar) berkata, biarpun ia kelihatan seperti misi mustahil, keputusan seri pada pertembungan dua pasukan lain dalam Kumpulan A iaitu Kedah dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor FC (PKNS) memberi kembali sinar harapan kepada skuad kendaliannya.

“Saya percaya kita masih berpeluang (melangkah ke suku akhir) sekiranya memenangi ketiga-tiga baki perlawanan pada pusingan kedua Kumpulan A kelak.

“Sebenarnya saya berpuas hati dengan kesungguhan pemain-pemain yang mempamerkan persembahan terbaik dalam ketiga-tiga aksi termasuk menentang Terengganu FC I (TFC I), namun malangnya kami tewas,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan kelmarin.

Pada aksi tersebut, Negeri Sembilan kecundang 1-3 kepada tuan rumah, TFC I di depan 7,750 penyokong di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Mohd. Zaki yang menggantikan Mat Zan Mat Aris mengemudi skuad Rusa lapan hari sebelum kempen Piala Malaysia bermula berkata, ketumpulan barisan serangan menjadi duri dalam daging di sebalik ketiga-tiga kekalahan terhadap pasukan Kedah, PKNS FC dan TFC I sepanjang kempen piala berprestij tersebut setakat ini.

Tuesday, August 20, 2019

Kemenangan dedikasi buat Allahyarham Mohd. Suffian

SKUAD Terengganu FC I (TFC I) mendedikasikan kemenangan 3-1 ke atas Negeri Sembilan pada aksi ketiga kumpulan A Piala Malaysia kelmarin kepada Allahyarham Mohd. Suffian Abd. Rahman yang meninggal dunia beberapa jam sebelum sepak mula pertemuan terbabit.

Pengendali sementara TFC I, Mohd. Nafuzi Zain berkata, pemergian mengejut penjaga gol utama skuad Penyu tersebut akibat serangan jantung pada pukul 1.15 petang kelmarin amat menyentap emosi anak-anak buahnya.

“Kami sangat terkejut dan bersedih dengan kehilangan Mohd. Suffian. Sebelum aksi bermula, saya katakan kepada pemain-pemain agar terus tabah menghadapi ujian ini.

“Mereka diminta untuk beraksi dengan bersungguh-sungguh demi menghadiahkan kemenangan malam ini (kelmarin) bagi mengenang jasa Allahyarham (Mohd. Suffian) kepada kelab,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan kelmarin.

Pada aksi itu, ayam tambahan TFC I, Tchetche Kipre muncul wira apabila meledak hatrik pada minit (m) ke-42, m-56 dan m-86 manakala Negeri Sembilan sekadar memperoleh gol sagu hati menerusi penyerang import, Igor Luiz pada minit ke-66.

Terdahulu, pemain kedua-dua pasukan dan 7,750 penyokong yang hadir di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu bertakafur selama seminit bagai memperingati pemergian Mohd. Suffian.

Mohd. Nafuzi berkata, beliau juga menyeru anak buahnya agar menyerap semangat Mohd. Suffian, 41, yang sentiasa mempamerkan aksi cemerlang dan konsisten menjaga gawang setiap kali diberi tanggungjawab beraksi bersama skuad Penyu.

Tangguh ceramah Zakir Naik

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

MARANG – Polis Terengganu menasihatkan kerajaan ne­geri dan mana-mana penganjur agar menangguhkan program ceramah melibatkan pendakwah antarabangsa, Dr. Zakir Naik di ne­geri ini buat sementara waktu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail berkata, larangan permit ceramah terhadap Zakir yang kini terpalit dengan kontroversi tersebut bertujuan untuk menjamin ketente­raman awam di negeri ini.

“Bukan sahaja berce­ramah, sebagai jemputan (menghadiri program di Terengganu) pun (Zakir) tidak berapa sesuai buat masa ini berdasarkan isu-isu yang timbul sekarang.

“Saya akan nasihatkan kerajaan negeri (Terengganu) atau penganjur agar membatalkan program ce­ramah Zakir buat sementara waktu ini,” katanya ketika ditemui selepas menyaksikan majlis serah tugas Ketua Polis Daerah Marang di Ibu Pejabat Marang di sini semalam.

Pegawai Turus Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, Deputi Superintendan Amran @ Mohd. Zaki Omar akan memangku jawatan Ke­tua Polis Daerah Marang menggantikan Superinten­dan Mohd. Suhaimi Ali yang dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Ketua Polis Kota Baharu, Kelantan.

 Aidi berkata, larangan tersebut bertujuan untuk mengelakkan sebarang perkara tidak diingini berlaku di Terengganu.

Begitupun, beliau memberitahu, setakat ini, pihaknya tidak menerima sebarang permohonan melibatkan Zakir di negeri tersebut.

Pada masa sama, kerajaan ne­geri Melaka turut memutuskan untuk tidak membenarkan Zakir menyampaikan ceramahnya dalam apa-apa program, sebaliknya me­ngalu-alukan kedatangannya untuk melancong ke Melaka.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, ini adalah bagi memastikan perpaduan dan keharmonian kaum di negeri ini terus dipelihara dan Zakir menurutnya perlu le­bih memberi fokus kepada aktiviti berdakwah dan tidak menyentuh politik perkauman.

Kosmo! semalam melaporkan kerajaan negeri Perak dan Kedah tidak mempunyai halangan untuk membenarkan Zakir yang mempunyai status penduduk tetap (PR) menyampaikan ceramah di negeri masing-masing.

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed dilaporkan berkata, pendakwah Islam antarabangsa terkenal itu sedang disiasat berhubung aduan membabitkan kenyataannya yang didakwa mencetuskan kontroversi.

Ibu jari kanan KPD Besut dibuang

Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN – Ibu jari tangan kanan Ketua Polis Daerah (KPD) Besut, Superintendan Mohd. Zamri Mohd. Rowi yang disambung semula selepas putus akibat ditetak lelaki kurang siuman pada Khamis lalu lalu terpaksa dibuang kerana jangkitan kuman.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail berkata, ibu jari itu tidak memberi respons seperti diharapkan selepas pembedahan dilakukan pa­sukan perubatan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kelantan pada Jumaat lalu.

“(Pembedahan) menyam­bung semula ibu jari ta­ngan kanan itu dikesan menyebabkan risiko kom­plikasi pada otak Mohd. Zamri.

“Untuk menyelamatkan nyawa beliau (Mohd. Zamri), pakar perubatan HUSM membuat keputusan untuk melakukan pembedahan sekali lagi bagi menanggalkan ibu jari itu yang dilakukan pada hari sama,” katanya selepas menyaksikan Majlis Serah Tugas Ke­tua Polis Daerah Kemaman di Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman di sini semalam.
Aidi memberitahu, setakat ini, Mohd. Zamri dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi, HUSM untuk ra­watan lanjut.

Menurut beliau, KPD Besut itu yang turut me­ngalami kecederaan pada bahagian belakang kepalanya akibat tetakan dijangka  mengambil masa tiga bulan untuk betul-betul pulih sebelum dapat kembali bertugas.

 Kosmo! Jumaat lalu me­laporkan Mohd. Zamri ce­dera parah akibat ditetak dengan sebilah parang oleh jirannya di hadapan rumahnya di Jerteh, Besut pada pukul 1 petang.
Kejadian dipercayai berpunca daripada aduan lelaki berusia 33 tahun itu berhubung sebatang pokok kelapa masuk ke kawasan tanahnya yang tidak dilayan Mohd.  Zamri.

Suspek yang juga bekas seorang pengarah sebuah syarikat kemudian ditahan dan direman bagi membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Penjaga gol utama TFC I meninggal dunia

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS - TERENGGANU Football Club I (TFC I) kehilangan penjaga gol utama, Mohd. Suffian Abd. Rahman akibat serangan jantung di Kampung Bukit Tunggal, Kuala Nerus, Terengganu hari ini.

Mohd. Suffian, 41, terkena serangan jantung sewaktu menunggu hidangan makan tengah hari di rumahnya  pada pukul 1.15 petang.

Sebelum ini, penjaga gol berpengalaman yang menyertai TFC I sejak musim 2017 itu pernah dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu akibat serangan jantung pada 31 Julai lalu.

Pemain yang berasal dari Kampung Lubuk China, Rembau, Negeri Sembilan itu bagaimanapun dibenarkan keluar hospital pada 11 Ogos lalu selepas keadaannya dilaporkan stabil.

Jenazah Allahyarham Mohd. Suffian selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Banggol Pauh, Kuala Nerus, Terengganu selepas solat Asar sebentar tadi.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu, Hishamudin Abdul Karim berkata, kehilangan Mohd. Suffian kira-kira lapan jam sebelum sepak mula aksi ketiga Kumpulan A, Piala Malaysia melibatkan TFC I dan Negeri Sembilan di laman sendiri, Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Negeri amat mengejutkan.

"Saya mohon peminat tegar TFC I khususnya dan bola sepak tempatan amnya mendoakan kesejahteraan Allahyarham Mohd. Suffian agar ditempatkan bersama orang-orang yang beriman," katanya kepada Kosmo! Online di sini hari ini. - K! ONLINE

Monday, August 19, 2019

Penunggang motosikal maut rempuh lori treler

MOHD. AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU - Seorang pemuda maut selepas motosikal Honda RS150 ditungganginya merempuh belakang sebuah lori treler di persimpangan lampu isyarat Ajil Jaya, Ajil di sini malam tadi.

Dalam kejadian pada pukul 9.40 malam itu, Muhammad Rashidi Mat Rashid, 23, yang bekerja sendiri meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, sewaktu kejadian, Muhammad Rashidi dikatakan dalam perjalanan ke pekan Ajil dari rumahnya di Kampung Merbau Pulas, Ajil di sini.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal Honda RS150 yang ditunggang mangsa gagal mengelak lalu merempuh belakang sebuah lori treler di persimpangan lampu isyarat Ajil Jaya.

"Lori treler tersebut ketika itu sedang bergerak perlahan kerana lampu isyarat baru bertukar kepada hijau," katanya kepada Kosmo! Online di sini hari ini.

Mohd. Adli berkata, mayat Muhammad Rashidi telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu di sini untuk dibedah siasat. - K! ONLINE

Sunday, August 18, 2019

Padam kebakaran di Indonesia

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersedia membantu pihak berkuasa Indonesia untuk memadamkan kebakaran di Kalimantan dan Sumatera yang menjadi punca jerebu melanda sebahagian kawasan di negara ini dan Singapura pada masa ini.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, JBPM mempunyai kepakaran dan jentera yang mampu mempercepatkan proses pemadaman kebakaran sekali gus pendekatan terbaik memulihkan kembali kualiti udara di negara-negara yang terjejas akibat jerebu tersebut.

“Begitu pun setakat ini, saya difahamkan, JBPM dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) masih belum menerima sebarang permintaan berhubung perkara tersebut daripada pihak berkuasa Indonesia,” katanya ketika ditemui selepas mengagihkan daging korban kepada anggota bomba di Pejabat Bomba dan Penyelamat Terengganu di sini semalam.
Raja Kamarul Bahrin memberitahu, kerjasama rentas sempadan antara negara-negara Asia Tenggara berhubung isu jerebu sepatutnya dilakukan lebih awal sebaik titik panas pertama dikesan tanpa perlu me­nunggu kebakaran terbabit me­rebak terlalu luas hingga tidak terkawal.

Ujar beliau, penyelesaian jangka panjang bagi mengatasi masalah jerebu seharusnya diambil segera kerana feno­mena yang telah meningkatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) negara-negara Asia Tenggara termasuk negara ini kerap berlaku saban tahun.

“Kita kerap dengar berkali-kali ASEAN (Pertubuhan Negara-Negara Asia Tenggara) mengadakan perbincangan, mesyuarat dan pelbagai ketetapan telah dibuat tetapi perkara sama (jerebu) masih berlaku.

“Kebakaran hutan juga berlaku di negara-negara Barat tetapi mereka mempunyai pendekatan menjangka keburukan sebelum ia menjadi buruk. Kalau sudah terlambat baru hendak panggil (bantuan), memang susah untuk mengatasinya,” ujarnya.

Kosmo! semalam melaporkan Pusat Meteorologi Khas ASEAN yang berpuasat di Singapura melaporkan, imej satelit Pentadbiran Kebangsaan Lautan dan Atmosfera mengesan 56 dan dua titik panas masing-masing di Kalimantan dan Sumatera selain empat di Sarawak.

Ia telah menyebabkan bacaan IPU di Sekolah Kebangsaan Kuala Maram 2, Miri, Sarawak merekod kualiti udara berbahaya, Institut Latihan Perindustrian Miri (sangat tidak sihat), manakala Sibu dan Sri Aman pula tidak sihat.

Piala Malaysia: TFC I bergaya tumpaskan Negeri Sembilan 3-1

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Biarpun dirundung kesedihan kehilangan penjaga gol utama, Mohd. Suffian Abd. Rahman yang meninggal dunia, Terengganu Football Club I (TFC I) terus cemerlang menewaskan Negeri Sembilan 3-1 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini sebentar tadi.

Kemenangan ketiga berturut-turut tersebut membolehkan skuad Penyu mengungguli Kumpulan A dengan sembilan mata penuh sekali gus semakin menghampiri peringkat suku akhir Piala Malaysia.

Ayam tambatan TFC I, Tchetche Kipre muncul wira dengan meledak hatrik sekali gus membenam cabaran skuad Rusa.

Gol pertama terhasil selepas Kipre bijak memanfaatkan hantaran pemain tengah import, Sanjar Shaakhmedov lalu memperdaya penjaga gol Negeri Sembilan, Mohamad Fadzley Abdul Rahim pada minit ke-42.

Penyerang kelahiran Ivory Coast itu sekali lagi menewaskan Mohamad Fadzley buat kali kedua selepas menanduk sepakan sudut ketua pasukan, Lee Andrew Tuck yang terus menerjah gawang lawan pada minit ke-56.

Dia terus mengganas meledak hatrik yang juga gol ketiga TFC I  hasil sepakan percuma Lee Tuck  sewaktu aksi berbaki empat minit.

Skuad Rusa pula memperolehi gol saguhati menerusi tandukan penyerang import, Igor Luiz pada minit ke-66.

Terdahulu, pemain kedua-dua pasukan dan seramai 7,750 penyokong yang hadir di stadium bertakafur selama seminit sebagai memperingati pemergian penjaga gol utama TFC I, Mohd. Suffian yang meninggal dunia akibat serangan jantung hari ini.

Penjaga gol berpengalaman itu menghembuskan nafas terakhir di rumahnya di Kampung Bukit Tunggal, Kuala Nerus pada pukul 1.15 petang kira-kira lapan jam sebelum sepak mula pertemuan TFC I dan Negeri  Sembilan berkenaan. - K! ONLINE

TFC I mahu buru kemenangan ketiga – Nafuzi

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

SEMANGAT Terengganu FC I (TFC I) semakin membara untuk memburu kemenangan ketiga berturut-turut dalam Kumpulan A Piala Malaysia menjelang aksi menentang Negeri Sembilan di Stadium Sultan Ismail Nasirudin Shah, Kuala Terengganu malam esok.

Pengendali sementara TFC I, Mohd. Nafuzi Zain berkata, kejayaan memperoleh enam mata dengan menumbangkan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor FC (PKNS FC) dan Kedah sebelum ini telah menambah keyakinan anak-anak buahnya.

“Kami memburu tiga mata apabila bertemu Negeri Sembilan di laman sendiri malam lusa (esok) bagi mencerahkan lagi harapan melangkah ke peringkat suku akhir secepat mungkin.

“Namun, saya mengingatkan anak-anak buah saya agar kekal fokus dan tidak memandang mudah pertemuan dengan Negeri Sembilan nanti,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Kuala Terengganu semalam.

Mohd. Nafuzi berkata, pasukan lawan sudah pastinya akan bermain bermati-matian kerana terdesak untuk mencapai kemenangan sulung selepas tewas berturut-turut kepada Kedah dan PKNS FC sebelum ini.

Bekas pemain Terengganu era 2000-an tersebut berkata, berdasarkan pemerhatiannya, skuad Rusa kendalian jurulatih berpengalaman, Mohamad Zaki Sheikh Ahmad telah mempamerkan persembahan bertenaga walau tewas dalam dua aksi awal kumpulan A.

“Kita harus berwaspada kerana Negeri Sembilan dibarisi pemain-pemain muda yang bermain dalam tempo pantas dan bertenaga.

“Penyerang lawan, Muhammad Ferris Danial Mat Nasir juga harus diberi perhatian kerana saya melihat prestasinya banyak meningkat berbanding bersama Terengganu sebelum ini,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd. Nafuzi menaruh kepercayaan penuh terhadap penjaga gol, Wan Muhammad Azraie Wan Teh untuk menggalas tanggungjawab mengawal benteng terakhir TFC I pada aksi menentang Negeri Sembilan kelak.

Sebelum ini, TFC I kehilangan dua tonggak penjaga gawang selepas Muhammad Ilham Amirullah Razali digantung perlawanan akibat kad merah pada aksi menentang Kedah manakala Mohd. Suffian Abd. Rahman pula mengalami masalah kesihatan akibat serangan jantung baru-baru ini.

TFC I kehilangan Mohd. Suffian

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

TERENGGANU FC I (TFC I) kehilangan penjaga gol utama, Mohd. Suffian Abd. Rahman yang me-ninggal dunia akibat serangan jantung di Kampung Bukit Tunggal, Kuala Nerus, Terengganu semalam.

Mohd. Suffian, 41, terkena serangan jantung sewaktu menunggu hidangan makan tengah hari di rumahnya pada pukul 1.15 petang.

Sebelum ini, penjaga gol berpengalaman yang menyertai TFC I sejak musim 2017 itu pernah dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu akibat serangan jantung pada 31 Julai lalu.

Pemain yang berasal dari Kampung Lubuk China, Rembau, Negeri Sembilan itu bagaimanapun dibenarkan keluar hospital pada 11 Ogos lalu selepas keadaannya dilaporkan stabil.

Jenazah Allahyarham Mohd. Suffian selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Banggol Pauh, Kuala Nerus, Terengganu selepas solat Asar semalam.
Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu, Hishamudin Abdul Karim berkata, kehilangan Mohd. Suffian kira-kira lapan jam sebelum sepak mula aksi ketiga Kumpulan A, Piala Malaysia melibatkan TFC I dan Negeri Sembilan di laman sendiri, Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Negeri amat mengejutkan.

“Beliau merupakan antara tonggak yang membawa TFC I sehingga muncul naib juara Liga Premier pada musim 2017 dan naib juara Piala Malaysia pada musim lalu.

“Saya mohon peminat tegar TFC I khususnya dan bola sepak tempatan amnya mendoakan kesejahteraan Allahyarham Mohd. Suffian agar ditempatkan bersama orang-orang yang beriman,” katanya kepada Kosmo! Ahad di Kuala Terengganu semalam.

Mohd. Suffian yang meninggalkan enam anak menjadi pilihan utama Irfan Bakti Abu Salim untuk mengemudi gawang skuad Penyu sehingga bekas ketua jurulatih TFC I itu meletak jawatan pada pertengahan April lalu.

Nelayan hilang terjatuh di perairan Kuala Terengganu

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Seorang nelayan dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari bot dinaiki sewaktu sedang menangkap ikan di perairan Kuala Terengganu berhampiran Pelantar Minyak Dulang dekat sini kelmarin.
Mangsa, Makthar Ibrahim, 56, terjatuh sewaktu sedang melakukan kerja-kerja penangkapan ikan pada kedudukan kira-kira 67.7 batu nautika dari muara Sungai Kuala Terengganu pada pukul 5.30 petang. 

Pengarah Maritim Terengganu, Muhammad Suffi Mohd. Ramli berkata, Maritim Malaysia (APMM) telah menerima maklumat berhubung insiden itu daripada tekong bot nelayan berkenaan pada pukul 11.25 pagi semalam.

"Sehubungan itu, operasi mencari dan menyelamat Makthar yang berasal dari Kampung Gong Jin, Mengabang Telipot, Kuala Nerus telah digerakkan meliputi kawasan pencarian seluas 386.5 batu nautika dari lokasi kejadian.

"Operasi tersebut melibatkan aset udara jenis Bambardier dan dua kapal iaitu Kapal Maritim (KM) Pekan serta KM Gemia," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.


Muhammad Suffi berkata, operasi mencari dan menyelamat itu turut disertai Tentera Laut Diraja Malaysia dengan menggunakan Kapal Diraja (KD) Pahang. - K! ONLINE

Saturday, August 17, 2019

Bar Pulau Perhentian beroperasi tanpa permit diserbu polis

MOHD. AZLI ADLAN

BESUT - Sebuah bar di Pasir Panjang, Pulau Perhentian yang penuh dengan pengunjung kebanyakannya terdiri daripada pelancong asing di serbu polis tengah malam tadi kerana disyaki beroperasi tanpa lesen.

Sewaktu diserbu pada pukul 12.30 tengah malam itu, kebanyakan pengunjung tersebut sedang leka berhibur dan menonton pertunjukan bunga api.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata, pemeriksaan mendapati pengusaha bar terbabit gagal mengemukakan permit sah untuk beroperasi sebagai pusat hiburan.

"Serbuan dilakukan selepas menerima maklumat awam berhubung bar tersebut disyaki beroperasi secara haram tanpa lesen sah.

"Lima unit pembesar suara, mikrofon, komputer riba, wayar dan pelbagai peralatan hiburan lain yang terdapat di dalam bar berkenaan turut dirampas dalam serbuan berkenaan,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.


Mohd. Zamri berkata, kedua-dua lelaki berkenaan berusia 22 dan 37 tahun yang masing-masing berasal dari Pulau Langkawi, Kedah dan Kampung Beris Nail, Kuala Besut di sini telah ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 3 Enakmen Hiburan Terbuka 1997. - K! ONLINE

Friday, August 16, 2019

Tiga beradik diabai ibu bakal dipelihara nenek

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Kehidupan tiga beradik yang diabaikan ibu mereka setelah ditinggalkan bersendirian di sebuah rumah teres di Kuala Berang, Hulu Terengganu awal bulan ini akan lebih terurus apabila bakal dipelihara nenek mereka.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, Mahkamah Majistret Kuala Berang hari ini memerintahkan hak penjagaan ketiga-tiga kanak-kanak berusia enam, lapan dan 12, tahun itu diserahkan kepada nenek mereka yang menetap di Kuala Krai, Kelantan.

"Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda hari ini memutuskan mereka yang sebelum ini ditempatkan sementara di Rumah Sinar Harapan Kuala Terengganu dipelihara nenek mereka iaitu ibu tertuduh (Siti Minah Muhammad, 32,).

"Penyerahan ketiga-tiga kanak-kanak tersebut daripada wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat kepada penjaga perlu dilakukan dalam tempoh 24 jam," katanya kepada Kosmo! Online di sini hari ini.

Kosmo! 12 Julai lalu melaporkan Siti Minah yang juga ibu tunggal mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan membiarkan tiga anaknya tanpa mengadakan persediaan bagi pengawasan dan pemeliharaan mengikut Seksyen 33 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.


Dia didakwa meninggalkan anak-anaknya di sebuah rumah di Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Padang Setengge, Kuala Berang, Hulu Terengganu selama tiga hari sehingga 3 Julai lalu semata-mata mengikut teman lelaki ke Kuala Lumpur. - K! ONLINE

Thursday, August 15, 2019

Nelayan tikam bekas isteri dipenjara tiga tahun

BESUT - Tindakan seorang nelayan bagaikan 'gila talak' menikam bekas isterinya dengan pemutar skru kerana enggan rujuk kembali dengannya semalam berbalas apabila dia dihukum penjara tiga tahun oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Norshuzianna Shakilq Raja Mamat menjatuhkan hukuman demikian selepas tertuduh,  Che Mohd. Azlan Muda, 31, yang berasal dari Kuala Besut dekat sini membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan.

Berdasarkan pertuduhan, Che Mohd. Azlan didakwa mencederakan Hidayah Ismail, 28, di sebuah kedai makan di Pantai Air Tawar dekat sini pada pukul 4 petang, 24 Julai lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun, denda, sebatan atau mana-mana dua daripadanya jika sabit kesalahan.

Kosmo! Online semalam melaporkan Che Azlan yang melarikan diri selepas menyerang bekas isterinya berjaya ditangkap polis di Jalan Cawat, Kuala Besut dekat sini pada pukul 6.30 petang semalam.

Difahamkan tertuduh dan bekas isterinya yang mempunyai seorang anak perempuan berusia empat tahun telah bercerai di Mahkamah Syariah Besut di sini dua tahun lalu selepas lima tahun mendirikan rumah tangga. - K! ONLINE

Wednesday, August 14, 2019

Suri rumah maut elak kerbau

MOHD. AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU - Hasrat seorang suri rumah untuk menziarah ibunya tidak kesampaian apabila dia maut selepas motosikal Demak Evo Zr ditunggangnya terbabas ketika cuba mengelak seekor kerbau tiba-tiba melintas jalan di Kilometer 7 Jalan Kuala Ping - Teris berhampiran Kampung Paya Pak Akob dekat sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 1.20 pagi itu, Rofaidah Muda, 52, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, sewaktu kejadian, Rofaidah dikatakan dalam perjalanan untuk menziarahi ibunya di Kampung Nibung, Kuala Berang dekat sini dari rumahnya di Perumahan Awam Kos Rendah Bukit Perah, Ajil di sini.

"Sewaktu tiba di lokasi kejadian, mangsa yang terkejut dengan kehadiran seekor kerbau yang  tiba-tiba melintas jalan telah menekan brek secara mengejut.

"Ia menyebabkan motosikal Demak Evo Zr ditunggangi hilang kawalan lalu terbabas sebelum mangsa tercampak ke jalan raya," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.


Mohd. Adli berkata, mayat Rofaidah telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu di sini untuk dibedah siasat. - K! ONLINE

Tuesday, August 13, 2019

Malaysia sedia bantu Indonesia padam kebakaran titik panas

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersedia membantu pihak berkuasa Indonesia untuk memadamkan kebakaran di Kalimantan dan Sumatera yang menjadi punca jerebu yang sedang melanda sebahagian kawasan di negara ini dan Singapura pada masa ini.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Raja Ahmad Shah berkata, JBPM mempunyai kepakaran dan jentera yang mampu mempercepatkan proses pemadaman kebakaran terbabit sekali gus pendekatan terbaik memulihkan kembali kualiti udara di negara-negara Asia Tenggara yang dijejas akibat jerebu tersebut.

"Begitu pun setakat ini, saya difahamkan, JBPM dan Jabatan Alam Sekitar masih belum menerima sebarang permintaan berhubung perkara tersebut daripada pihak berkuasa Indonesia," katanya ketika ditemui selepas mengagihkan daging korban kepada anggota bomba di Pejabat Bomba dan Penyelamat Terengganu di sini hari ini.

Raja Kamarul Bahrin berkata, kerjasama rentas sempadan antara negara-negara Asia Terengggara berhubung isu jerebu sepatutnya dilakukan secara lebih awal sebaik titik panas pertama dikesan tanpa perlu menunggu kebakaran terbabit telah merebak terlalu luas hingga tidak terkawal.

Ujar beliau, penyelesaian jangka panjang bagi mengatasi masalah jerebu seharusnya diambil segera kerana fenomena yang telah meningkatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) negara-negara Asia Tenggara termasuk negara ini kerap berlaku saban tahun.


"Kebakaran hutan juga berlaku di negara-negara Barat tetapi mereka mempunyai pendekatan menjangka keburukan sebelum ia menjadi buruk. Kalau sudah terlambat baru hendak panggil (bantuan), memang susah untuk mengatasinya," katanya. - K! ONLINE