Translate

Sunday, January 22, 2023

Petugas media Terengganu terima sijil penghargaan PDRM


 PETUGAS media Terengganu bergambar selepas menerima sijil penghargaan pada Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di Kuala Terengganu baru-baru ini.

Saturday, January 21, 2023

Program Kesukarelawan SDAR di Port Dickson


PELAJAR tingkatan Satu Sekolah Dato’ Abdul Razak (SDAR) bergambar selepas menyertai program kesukarelawan membersihkan Pantai Bagan Pinang di Port Dickson, Negeri Sembilan baru-baru ini

Friday, January 20, 2023

3,000 serbu Pasar Percuma dalam sejam

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

KUALA TERENGGANU – Program Pasar Percuma Terengganu Kita kali ke-25 mendapat sambutan hangat kira-kira 3,000 pengunjung yang diadakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Banggol Peradong, Manir di sini semalam. 

Pengasasnya, Dr. Muhammad Salehuddin Sulaiman berkata, kebanyakan barangan keperluan dan terpakai disediakan secara percuma bernilai keseluruhan hampir RM25,000 habis diambil pengunjung dalam tempoh kira-kira sejam.

 “Penganjuran Pasar Percuma Terengganu Kita kali ini memberi fokus kepada mangsa banjir terutama dalam kalangan golongan kurang berkemampuan. 

“SK Banggol Peradong dipilih sebagai lokasi penganjuran kali ini kerana ia merupakan antara pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Terengganu sewaktu bencana banjir bulan lalu,” katanya di sini kelmarin. 

Program pasar percuma telah dilaksanakan sejak tahun 2015 itu berkonsepkan menghimpun sumbangan barangan terpakai seperti pakaian, kasut, mainan kanak-kanak, perabot, pinggan mangkuk, alat tulis dan buku. 

Pengunjung dalam kalangan golongan kurang berkemampuan boleh mengambil barangan tersebut secara percuma mengikut keperluan masing-masing. 

Sementara itu, salah seorang pengunjung, Wan Rosmaliza Wan Mohd. Noor, 46, berkata, penganjuran Pasar Percuma Terengganu Kita memberi banyak manfaat kepada golongan asnaf sepertinya. 

“Saya mempunyai lapan anak dan memang ada kekangan kewangan untuk memenuhi keperluan mereka terutama pakaian seragam sekolah. 

“Selain pakaian untuk anak-anak, saya perlu selimut, mainan dan buku terpakai,” katanya. 

Nur Aishah Zakaria, 24, yang merupakan pelajar universiti pula turut mengambil pakaian untuk keperluan adik-beradik dan saudara-mara yang terjejas. 

“Pakaian di sini masih elok dan cantik-cantik, kebetulan saya akan praktikal perlu banyak pakaian untuk bekerja nanti," katanya.

Cubaan bot nelayan Vietnam lari daripada APMM gagal

KUALA TERENGGANU – Cubaan sebuah bot nelayan Vietnam melarikan diri daripada pasukan Maritim Malaysia (APMM) selepas menceroboh perairan negara untuk mencuri hasil laut gagal apabila bot itu berjaya ditahan baru-baru ini. 

Dalam kejadian pada pukul 9 pagi, Sabtu lalu, seramai tujuh nelayan asing yang menaiki bot terbabit ditangkap di kedudukan 135 batu nautika dari timur laut perairan Kuala Terengganu. 

Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Mohd. Khairulanuar Abd. Majid berkata, sebelum tangkapan, kesemua nelayan terbabit sedang leka menangkap ikan pada musim tengkujuh di perairan Kuala Terengganu. 

Menurutnya, bot nelayan Viet nam itu kemudian memecut laju untuk melarikan diri sebaik menyedari kehadiran bot APMM. 

“Bot itu akhirnya berjaya dipintas tidak lama kemudian. Pemeriksaan mendapati ia tidak memiliki permit Jabatan Perikanan untuk menangkap ikan di negara ini,” katanya semalam. 

Kata beliau, kesemua nelayan berusia 21 hingga 54 tahun juga gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dan permit kerja yang sah. 

Ujarnya, APMM telah merampas 150 kilogram ikan pelbagai jenis, peralatan menangkap ikan, 100 liter diesel dan bot yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM1 juta. 

“Kesemua barang rampasan bersama tujuh suspek dibawa ke Jeti Maritim Kuala Terengganu. Ia adalah tangkapan pertama bot nelayan Vietnam mencerobohi perairan negeri ini tahun ini.

 “Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1963,” katanya.

Thursday, January 19, 2023

Tauke keropok mengaku sabung ayam

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

KUALA TERENGGANU – Gara-gara menyabung ayam ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dua tahun lalu, seorang pengusaha keropok lekor terkenal dan rakannya didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam. 

Hakim Nazliza Mohd. Nazri memerintahkan demikian selepas kedua-dua tertuduh, Mohd. Nazir Mohd. Dagang, 47, dan Mohd. Raimi Manaf, 33, yang merupakan seorang juruteknik membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan. 

Beliau memerintahkan Mohd. Nazir dan Mohd. Raimi dijatuhi hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar denda. 

Tertuduh pertama yang diwakili peguam, Puteri Hikmatul Raudah Dzulaika Mohamad dan tertuduh kedua pula yang diwakili peguam, Najmi Adila Mohd. Nasir membayar denda tersebut.

Berdasarkan pertuduhan, mereka didakwa menyabung ayam di dalam sebuah bangsal terletak di belakang sebuah rumah di Kampung Tok Beng, Kuala Nerus pada pukul 4.15 pagi, 3 September 2020.

 Mengikut fakta kes, lokasi Mohd. Nazir dan Mohd. Raimi yang sedang melaga ayam telah diserbu anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Polis Daerah Kuala Terengganu. 

Hasil pemantauan selama 10 minit sebelum itu mendapati, mereka menyabung dua ekor ekor ayam laga di gelanggang berkenaan. 

Serbuan itu telah menahan kedua-dua tertuduh selain menyita dua ayam laga berkenaan. 

 Mereka didakwa mengikut Seksyen 32(1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang memperuntukan hukuman denda antara RM20,000 dan RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Wednesday, January 18, 2023

Bot nelayan Vietnam ditahan APMM di perairan Terengganu

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Percubaan sebuah bot nelayan Vietnam untuk menceroboh perairan negara bagi mencuri hasil laut pada musim tengkujuh ini berjaya dipatahkan Maritim Malaysia (APMM) pada kelmarin.

Bot yang mempunyai tujuh nelayan warga negara jiran itu ditahan bot penguat kuasa APMM pada pukul 9 pagi.

Ia merupakan tangkapan pertama bot nelayan Vietnam mencerobohi perairan Terengganu pada tahun ini.

Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Mohd. Khairulanuar Abd. Majid berkata, pada waktu tersebut, kesemua nelayan terbabit sedang leka menangkap ikan pada kedudukan 135 batu nautika dari timur laut perairan Kuala Terengganu.

Beliau berkata, bot nelayan Vietnam tersebut pada mulanya memecut laju untuk melarikan diri sebaik menyedari kehadiran bot maritim APMM.

“Begitupun, bot itu berjaya dipintas tidak lama kemudian. Pemeriksaan mendapati ia tiada memiliki permit Jabatan Perikanan untuk menangkap ikan di perairan negara.

“Semua nelayan berusia 21 hingga 54 tahun juga gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dan permit kerja yang sah,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Khairulanuar berkata, APMM telah merampas 150 kilogram ikan pelbagai jenis, peralatan menangkap ikan, 100 liter minyak diesel dan bot yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM1 juta. – KOSMO! ONLINE

Mahkamah: Tauke keropok lekor, juruteknik sabung ayam didenda RM20,000

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Gara-gara menyabung ayam sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada dua tahun lalu, seorang pengusaha keropok lekor dan rakannya didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Hakim Nazliza Mohd. Nazri memerintahkan demikian selepas kedua-dua tertuduh, Mohd. Nazir Mohd. Dagang, 47, dan Mohd. Raimi Manaf, 33, yang merupakan seorang juruteknik membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan.

Berdasarkan pertuduhan, mereka didakwa menyabung ayam di dalam sebuah bangsal pada pukul 4.15 pagi, 3 September 2020.

Gelanggang sabung ayam itu terletak di belakang sebuah rumah di Kampung Tok Beng, Kuala Nerus.

Mohd. Nazir dan Mohd. Raimi didakwa mengikut Seksyen 32(1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015.

Jika sabit kesalahan, hukuman denda antara RM20,000 dan RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya boleh dikenakan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Terengganu, Mohd. Shahihan Mohd. Tahar dan Fazlizan Ishak Khan. – KOSMO! ONLINE

Tuesday, January 17, 2023

Minetech bina loji kuasa hidro mini di Sungai Pelagat, Besut

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Minetech Resources Berhad (Minetech) bakal membangunkan loji kuasa hidro mini yang bernilai RM36.71 juta di Sungai Pelagat, Besut.

Pengerusi Eksekutif Minetech, Datuk Dr. Awang Daud Awang Putera berkata, anak syarikatnya, Techmile Resources Sdn. Bhd. (Techmile) akan terlibat dalam projek pembinaan dan kejurute­raan loji kuasa mini itu yang akan membekalkan tenaga elektrik diperbaharui kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Kerja-kerja pembinaan projek loji kuasa hidro mini itu akan bermula pada 2025 dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh dua tahun. Tenaga diperbaharui itu akan dijual kepada TNB dalam tempoh 21 tahun,” katanya.


Tesdec Hydropower, anak syarikat Kerajaan Negeri Terengganu adalah syarikat konsesi loji kuasa mini hidro terbabit.

Techmile diwakili Pengarah Eksekutif Operasi dan Pembangunan Perniagaan Minetech, Azlan Shah Zainal Arif, manakala Tesdec Hydropower pula diwakili Pengarah Eksekutifnya, Rosdan Ismail.

Melalui perjanjian tersebut, Techmile juga akan menguruskan perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih loji kuasa mini tersebut

Sementara itu. Rosdan berkata, loji seluas 0.81 hektar berke­naan akan dikuasakan dengan tenaga ali­ran deras dari Sungai Pelagat tanpa kewujudan kawasan takungan air. -KOSMO! ONLINE

Monday, January 16, 2023

Banjir: Kerugian RM38.2 juta di Terengganu

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Banjir besar yang melanda Terengganu pada pertengahan bulan lalu merekodkan anggaran kerugian melebihi RM38.2 juta.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md. Isa berkata, nilai kerugian itu berdasarkan laporan kerosakan harta benda yang dilaporkan mangsa banjir di seluruh negeri berkenaan.

“Anggaran kerugian tertinggi dilaporkan di Besut iaitu lebih RM13.62 juta melibatkan 2,471 pengadu diikuti Hulu Terengganu (RM12.01 juta) dan Kemaman (RM4.07 juta).

“Sebanyak 498 aduan diterima di Dungun dengan kerugian RM3.2 juta, Kuala Terengganu (RM2.73 juta), Setiu (RM2 juta) dan Marang (RM562,600),” katanya di sini hari ini.

Begitupun, Rohaimi berkata, jumlah kerugian akibat banjir itu berkemungkinan lebih besar lagi.

Jelas beliau, ia memandangkan sebahagian laporan diterima daripada mangsa banjir berkenaan tidak menyatakan kerugian dialami.

Kesemua lapan daerah di Terengganu dilanda banjir besar antara 17 Disember hingga 31 Disember lalu yag telah menjejaskan lebih 41,000 mangsa. – KOSMO! ONLINE

EPIC unjur perolehan RM379.1 juta tahun ini

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Eas­tern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC), penyedia perkhidmatan sokongan kepada industri minyak, gas dan pelaburan, menyasarkan perolehan pada tahun ini bertambah kepada RM379.1 juta dengan pertumbuhan melonjak sebanyak 12 peratus.

Tahun lalu, perolehan yang dicatat oleh anak syarikat Kerajaan Negeri Terengganu itu adalah sebanyak RM339.6 juta yang mana 70 peratus daripadanya disumbangkan oleh segmen pelabuhan, 27 peratus daripada per­khidmatan kejuruteraan dan baki tiga peratus daripada tenaga boleh diperbaharui.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Ridzuan Ali berkata, pe­ningkatan pada tahun ini bakal disumbangkan oleh anak syarikat Kumpulan iaitu Pangkalan Bekalan Kemaman Sdn. Bhd. (PBK) yang merupakan segmen perniagaan paling berdaya saing.

PBK terdiri daripada tiga dermaga Pelabuhan Terengganu dan ia adalah pelabuhan paling dalam di negara ini selepas Pelabuhan Labuan yang berkemampuan menerima kapal 150,000 tan berat muatan.

“Kerja-kerja penggerudian pelantar minyak di perairan Terengganu dijangka melibatkan purata sehingga lapan kali sebulan sepanjang tahun ini dan peningkatan kadar sewaan fasiliti hartanah pada tahun ini akan menjadi antara faktor ­penyumbang kepada pertumbuhan perolehan tersebut,” kata­nya semasa berucap pada majlis Mesra bersama Media di sini semalam.

Ridzuan berkata, penambahan aktiviti penggerudian tersebut bakal mendorong lebih ba­nyak kemasukan kapal, sekali gus merancakkan lagi aktiviti pengkalan PBK yang terletak di Kemaman.

“Pengendalian kargo bagi operasi pelabuhan juga diunjur bertumbuh pada kadar 31 peratus berikutan pemasangan dua kren gantri di Dermaga Timur pada penggal kedua tahun ini.

“Sehubungan itu, kami optimis untuk menjana keuntungan bersih selepas cukai pada tahun kewangan 2023 sebanyak RM8.7 juta berbanding RM6.1 juta pada tahun lalu,” ujarnya. -KOSMO!ONLINE

Murid tahun 3 saman guru KAFA RM410,000



Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang murid tahun tiga yang patah kaki kanan pada enam bulan lalu memfailkan saman sivil terhadap guru kelas al-Quran dan fardu ain (KAFA) dia yang menyebabkan kecederaan tersebut.

Mangsa, Muhammad Izz Anaqi Mohd. Izwan, 10, ibunya, Nor Azlina Mohamad Yasin, 37, menuntut ganti rugi sebanyak RM410,000 terhadap guru KAFA tersebut, Ahmad Mursyidin Abdullah, 38, dan Yayasan Islam Terengganu sebagai majikan defendan pertama.

Writ saman sivil berkenaan difailkan menerusi peguam, Mohd. Hazwan Hamidun dari Tetuan Rafaei & Co Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Berdasarkan penyataan tuntutan, defendan pertama didakwa telah menghempas mangsa ke atas kerusi pada pukul 3.30 petang, 6 Julai 2022.

Perbuatan tersebut dipercayai berpunca selepas Ahmad Mursyidi tidak berpuas hati melihat kanak-kanak lelaki berkenaan bermain dengan rakan-rakan lain di belakang bilik darjah.

Muhammad Izz Anaqi tidak dapat berjalan pulang ke rumah selepas kelas telah dirujuk sebuah klinik swasta yang mengesahkan kaki kanannya patah berdasarkan imbasan x-Ray.

Kosmo! 14 Julai lalu melaporkan seorang ibu mahu pembelaan terhadap anak lelakinya berusia sembilan tahun yang didakwa dicederakan defendan pertama hingga patah kaki sebelum membuat laporan polis pada 8 Julai tahun lalu.

Ahmad Mursyidin kemudiannya dihadapkan ke Mahkamah Majistret Marang pada 12 Oktober lalu atas pertuduhan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE

Sunday, January 15, 2023

RMK-12 tidak beri fokus berlebihan untuk projek mega

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) yang kini memasuki separuh penggal pelaksanaan akan memberi tumpuan kepada projek pendidikan, kesihatan dan kepentingan rakyat termasuk tebatan banjir.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, tumpuan RMK-12 dan seterusnya tidak akan memberi fokus berlebihan terhadap projek-projek mega.

“Keperluan dalam RMK seterusnya tumpuan kita beralih daripada projek-projek besar kepada projek yang membantu golongan peringkat bawahan (B40),” katanya selepas mengadakan perjumpaan dengan ketua-ketua jabatan dan pegawai agensi kerajaan Persekutuan Terengganu di sini hari ini.

Terdahulu beliau memulakan lawatan rasmi pertamanya di Terengganu dengan menghadap Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Syarqiyyah, Kuala Terengganu.

Anwar berkata, Kerajaan Perpaduan diterajuinya akan memberi keutamaan dalam membantu rakyat dalam program-program Rahmah.

Sehubungan itu, beliau mengambil sikap terbuka untuk bekerjasama dengan semua kerajaan-kerajaan negeri termasuk yang diterajui pembangkang demi kelancaran projek berkepentingan rakyat.

“Saya minta semua ketua agensi-agensi kerajaan persekutuan (di negeri-negeri) meneruskan kerja mereka dan mengetahui keutamaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

SKMM arah padam video bilik persalinan butik pakaian terkemuka

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) telah mengarahkan semua pengendali platform media sosial agar menyah keluar kandungan berkaitan rakaman video di dalam bilik persalinan sebuah butik pakaian terkemuka yang tersebar luas sejak Selasa lalu.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching berkata, pengendali platform media sosial terbabit juga telah diminta agar menutup serta-merta akaun pengguna yang didapati memuat naik video tersebut.

“SKMM (telah) minta penyelia platform media sosial seperti Facebook, Tiktok dan Twitter untuk menurunkan dan menyah keluarkan video-video tersebut.


“Baru semalam, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadil mengadakan mesyuarat dengan Meta (pemilik platform Facebook) dan TikTok (ByteDance) bagi meningkatkan lagi perlindungan kepada semua pengguna,” katanya ketika ditemui selepas mengedar tanglung kepada masyarakat Tionghoa sempena sambutan Tahun Baharu Cina di Kampung Cina di sini hari ini.

Kosmo! 11 Januari lalu melaporkan media sosial kecoh dengan penyebaran beberapa tangkap layar rakaman video di dalam bilik persalinan di sebuah butik pakaian terkemuka di Kuala Lumpur.

Lebih teruk lagi, video-video rakaman tersebut difahamkan dijual kepada orang awam di sebuah aplikasi dan turut dipromosi secara meluas di akaun media sosial dikenali @Hiddencamxx. – KOSMO! ONLINE


Pasar Percuma Terengganu Kita bantu mangsa banjir

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Program Pasar Percuma Terengganu Kita kali ke-25 yang diadakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Banggol Peradong, Manir di sini hari ini mendapat sambutan hangat dengan kehadiran lebih 3,000 orang.

Pengasasnya, Dr. Muhammad Salehuddin Sulaiman berkata, kebanyakan barangan keperluan dan terpakai disediakan secara percuma bernilai keseluruhan hampir RM25,000 habis diambil pengunjung dalam tempoh kira-kira sejam.

“Penganjuran Pasar Percuma Terengganu Kita kali ini memberi fokus kepada mangsa banjir terutama dalam kalangan golongan kurang berkemampuan.

“SK Banggol Peradong dipilih sebagai lokasi penganjuran kali ini kerana ia merupakan antara pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Terengganu sewaktu bencana banjir bulan lalu,” katanya di sini hari ini.

Program pasar percuma telah dilaksanakan sejak tahun 2015 itu berkonsepkan menghimpun sumbangan barangan terpakai seperti pakaian, kasut, mainan kanak-kanak, perabot, pinggan mangkuk, alat tulis dan buku.

Pengunjung dalam kalangan golongan kurang berkemampuan boleh mengambil barangan tersebut secara percuma mengikut keperluan masing-masing.

Sementara itu, salah seorang pengunjung, Wan Rosmaliza Wan Mohd. Noor, 46, berkata, penganjuran Pasar Percuma Terengganu Kita memberi banyak manfaat kepada golongan asnaf sepertinya.

“Saya mempunyai lapan anak dan memang ada kekangan kewangan untuk memenuhi keperluan mereka terutama pakaian seragam sekolah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Friday, January 13, 2023

Banjir Terengganu, Kelantan hampir pulih

 

Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF 

KUALA TERENGGANU – Cuaca baik sepanjang hari semalam membolehkan situasi banjir semakin pulih dengan hanya 191 mangsa masih berada di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh Terengganu. 

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, setakat pukul 3 petang semalam Kuala Nerus menjadi daerah terbaru yang pulih sepenuhnya daripada banjir.

 Beliau berkata, semua 1,090 mangsa daripada 312 keluarga yang sebelum ini berada di empat PPS di daerah berkenaan telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing mulai pukul 12 tengah hari. 

 “PPS Sekolah Kebangsaan Pengkalan Berangan di Marang yang sebelum ini dihuni 76 mangsa banjir juga telah menutup operasi pada pukul 10 pagi tadi (semalam). 

“Hanya dua daerah masih terjejas iaitu Besut dan Kuala Terengganu,” katanya di sini semalam.

 Jurucakap Sekretariat JPBN Terengganu berkata, seramai 138 mangsa daripada 41 keluarga masih ditempatkan di dua PPS di Besut.

 Banjir luar jangka yang melanda Terengganu bermula 18 Disember lalu menyaksikan lebih 40,000 mangsa terjejas. 

Sementara itu, menurut Info Bencana JKM, setakat pukul 4 petang semalam, di Kelantan, seramai 1,346 mangsa daripada 463 keluarga masih berada di lima PPS di seluruh negeri. 

Semua mangsa tersebut berada di empat PPS di Pasir Mas, manakala selebihnya berada di sebuah PPS di Tumpat. 

Jumlah mangsa banjir di Perak pula merekodkan seramai 62 mangsa daripada 14 keluarga dan ditempatkan di satu-satunya PPS iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Rahman Talib (Smart) di Hilir Perak. 

Seramai 139 mangsa masih dicatatkan di Sabah dan ditempatkan di PPS Dewan Sekolah Chung Hwa, Kota Belud dan PPS Dewan Sekolah Kebangsaan Pekan Kota Belud. 

Di Sarawak pula mencatatkan seramai 84 mangsa yang kesemuanya mendiami PPS Dewan Baru Kampung Rimba Padi di Serian.

Mangsa di Kelantan, Terengganu berkurang

 

KOTA BHARU – Mangsa banjir di Kelantan tinggal 209 orang daripada 68 buah keluarga yang masih ditempatkan di pusat sementara (PPS) setakat pukul 4 petang tadi. 

 Pegawai Pengurusan Bencana dan Operasi, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan, Kapten Mohd. Hanif Omar berkata, jumlah itu menunjukkan penurunan berbanding 509 mangsa daripada 246 keluarga pada sebelah pagi. 

Menurutnya, semua mangsa yang masih terjejas itu merupakan penduduk di Pasir Mas. 

“Mereka berlindung di tiga PPS iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Kedai Tanjong dengan seramai 178 mangsa, Pusat Tarbiah Nasrulllah Pohon Buluh (17 mangsa) SK Banggol Chicha (14),” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam. 

Di Kuala Terengganu, situasi banjir di Terengganu semakin pulih dengan hanya 138 mangsa daripada 41 keluarga masih berada di dua PPS di Besut.

 Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, Besut merupakan satu-satunya daerah yang masih terjejas dengan banjir di negeri ini. 

“Seramai 126 mangsa daripada 38 keluarga masih ditempatkan di Masjid Kampung La, Besut. 

“Satu lagi PPS di Besut iaitu Balai Raya Kampung Pantai pula masih mempunyai 12 mangsa daripada tiga keluarga,” katanya. 

Jurucakap Sekretariat JPBN Terengganu berkata, banjir di negeri ini diharapkan terus pulih memandangkan cuaca cerah semalam.

Thursday, January 12, 2023

Penduduk Kampung La hilang rumah akibat bah dibantu

BESUT Penduduk Kampung La, Hulu Besut, di sini yang terjejas teruk dengan banjir besarminggu lalu mendapat perhatian Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Beliau berjanji akan mencari mekanisme terbaik bagi membantu penduduk terlibat membina semula rumah mereka.

“Kementerian Kewangan mempunyai agensi seperti Syarikat Perumahan Nasional Berhad
(SPNB) yang menawarkan rumah mesra rakyat mampu milik.

“Saya akan semak dengan SPNB berhubung bantuan memudahkan pembinaan semula rumah (penduduk terlibat),” katanya ketika menyantuni mangsa banjir di Kampung La semalam.

Selain menyampaikan sumbangan, Ahmad juga membantu membersihkan fasiliti awam dan rumah penduduk yang terjejas dengan banjir besar pada 18 Disember lalu.

Ahmad berkata, rumah mesra rakyat ditawarkan SPNB dianggarkan bernilai kira-kira RM70,000 bukan sahaja selesa, malah kos pembinaan menerima banyak subsidi daripada kerajaan.

Jelas beliau, walaupun tidak percuma, kadar pembiayaan rumah dibina SPNB amat mudah
dan tidak membebankan pembeli.

Dalam pada itu, Ahmad memberitahu, kerajaan Persekutuan akan turut mencari mekanisme
lain yang lebih berkesan untuk membantu 1,000 penduduk Kampung La berkenaan.

Dalam kejadian pada 18 Disember lalu, sekurang-kurangnya sembilan rumah di perkampungan itu musnah dengan sebahagiannya dihanyutkan arus deras banjir.

Wednesday, January 11, 2023

Tiga pengasuh taska ditahan disyaki dera bayi empat bulan

Oleh MOHD AZLI ADLAN dan TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF

KUALA TERENGGANU – Seorang bayi berusia empat bulan koma disyaki akibat kecuaian pengasuh di sebuah taska di sini pada minggu lalu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md. Isa berkata, kejadian itu berlaku pada hari ketiga bayi lelaki tersebut baru dihantar untuk diasuh ke taska berkenaan.

“Bapa mangsa yang merupakan seorang doktor mengesyaki sesuatu tidak kena apabila bayinya berada dalam keadaan lemah sewaktu mengambilnya pulang dari taska berkenaan pada 4 Januari lalu.

“Sebaik dirujuk ke hospital, bayi tersebut didapati mengalami pendarahan dalam kepala. Dia kemudiannya tidak sedarkan diri sebelum koma selepas itu,” katanya di sini hari ini.

Rohaimi memberitahu, bapa mangsa kemudiannya membuat laporan polis yang membawa kepada penahanan tiga wanita yang merupakan pengasuh taksa berkenaan.

Jelas beliau, pada mulanya, kesemua suspek berusia dalam lingkungan 20-an hingga 30-an tidak mengaku berlakunya kecuaian yang mengakibatkan kecederaan mangsa.

“Begitupun, semakan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di dalam taska menunjukkan sebaliknya,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Pengendali kantin sekolah perlu akur garis panduan

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Pengendali kantin sekolah yang menaikkan harga makanan diingatkan kembali patuh kepada garis panduan kontrak yang telah ditandatangani sebelum ini.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, garis panduan itu telah menetapkan jenis, kandungan nutrisi dan penetapan harga menu yang boleh dijual di kantin sekolah seluruh negara.

“Kontraktor kantin tertakluk dengan garis panduan tersebut. Apa-apa isu harus kembali kepada kontrak.

“Kita sedang mengumpul aduan bagi siasatan (berhubung kenaikan harga makanan kantin sekolah) yang dikatakan menganggu kontraktor kantin dan kanak-kanak (murid dan pelajar),” katanya ketika ditemui Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Rusa di sini hari ini.

Fadhlina berkata, Kementerian Pendidikan sebenarnya telah mengambil inisiatif meringankan beban pengendali kantin sekolah terbabit dengan menawarkan rebat pengecualian sewa premis sejak beberapa tahun lalu.

Kosmo! 5 Januari lalu melaporkan kebanyakan harga makanan di kantin sekolah naik antara 20 sen hingga RM1 apabila bermulanya sesi persekolahan baharu pada 3 Januari lalu.

Kenaikan harga itu telah meresahkan kebanyakan ibu bapa kerana perlu menambah wang saku anak masing-masing. – KOSMO! ONLINE

Peniaga ugut anggota polis kena reman empat hari

DUNGUN – Seorang peniaga yang diburu sejak enam minggu lalu kerana melakukan ugutan terhadap anggota polis berjaya ditahan semalam.

 Lelaki berusia 53 tahun yang berasal dari bandar ini diberkas di Bangi, Selangor pada pukul 12 tengah hari. 

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, suspek dikatakan melakukan ugutan tersebut hampir dua bulan lalu.

 “Usaha untuk mengesan lelaki yang berasal dari daerah ini sudah dilakukan sejak sebulan lalu.

“Suspek ditahan reman selama empat hari sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi di sini semalam. 

Baharudin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Perintah reman itu dibenarkan Majistret Noradila Ab. Latif di Mahkamah Majistret di sini semalam

Ayandanda Zul disiasat empat dakwaan ugut pegawai polis

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Empat kertas siasatan telah dibuka berhubung dakwaan seorang peniaga dikenali Ayahanda Zul mengugut anggota dan pegawai polis Kontijen Terengganu pada dua bulan lalu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md. Isa berkata, lelaki berusia 53 tahun itu masih ditahan reman bagi membantu siasatan kes tersebut sehingga lusa.

“Setakat ini, dia disyaki mengugut empat anggota dan pegawai polis di Dungun dan Kuala Terengganu termasuk Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Suffian Sulaiman.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1963,” katanya di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Terengganu di sini hari ini.

Kosmo! 3 Januari lalu melaporkan peniaga terbabit berjaya diberkas di Bangi, Selangor pada pukul 12 tengah malam, 2 Januari lalu.

Siasatan awal mendapati lelaki itu disyaki menggunakan pertubuhan haram diketuainya untuk melindungi kegiatan pengedaran dadah di sekitar daerah Dungun.

Dia kemudiannya tidak berpuas hati dengan ketegasan PDRM membanteras aktiviti pengedaran dadah di daerah itu. – KOSMO! ONLINE

Tuesday, January 10, 2023

79 pegawai polis Terengganu dikenakan tindakan

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seramai 79 pegawai Polis Kontijen Terengganu dikenakan tindakan salah laku dan disiplin sepanjang tahun lalu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md. Isa berkata, ia melibatkan 10 pegawai kanan, 67 pegawai rendah dan dua pegawai awam.

Beliau berkata, kesalahan disiplin tersebut meliputi 16 kes jenayah, narkotik (lima), tidak hadir tugas (lapan), salah laku (47), syariah (dua) dan rasuah (satu).

“Paling serius ialah melakukan ugutan jenayah kepada orang awam. Ia amat dikesalkan kerana tidak sepatutnya pegawai polis melindung bukannya mengancam masyarakat.

“Dua lagi pegawai terlibat dalam kes syariah kerana berkahwin tanpa kebenaran,” katanya pada Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Terengganu.

Rohaimi berkata, beliau tidak akan berkompromi dan memandang secara serius salah laku dalam kalangan pegawai polis Kontinjen Terengganu.

Jelas beliau, langkah untuk meningkatkan lagi disiplin dalam kalangan warga Kontijen Terengganu akan diambil pada tahun ini. – KOSMO! ONLINE

Tinjauan Udara banjir JBPM Terengganu


 Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Terengganu bersama pengamal media selepas mengadakan pemantauan udara situasi banjir di Wakaf Tapai, Marang, Terengganu baru-baru ini.

Monday, January 9, 2023

25,000 pelajar miskin Terengganu terima bantuan makanan Maidam

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) memperuntukkan RM1 juta untuk program makanan tambahan kepada pelajar sekolah menengah miskin di seluruh negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Prof. Madya Dr. Ahmad Azrin Adnan berkata, program ‘Dapo Maidam @ School’ itu bakal memberi manfaat kepada 25,000 pelajar sekolah menengah di seluruh Terengganu.

“Berbanding murid sekolah rendah yang menerima bantuan Rancangan Makanan Tambahan (RMT), ramai pelajar sekolah menengah miskin terpaksa berlapar sewaktu berada di sekolah.

“Mereka tidak bersarapan atau berpeluang menikmati makan tengah hari lantaran kemiskinan keluarga,” katanya selepas menyampaikan replika cek bantuan berkenaan kepada Pengarah Pendidikan Terengganu, Abdul Muie Ngah di sini hari ini.

Sehubungan itu, Ahmad Azrin berkata, Maidam mengambil inisiatif membantu pelajar terbabit bagi menerima nutrisi berkhasiat di sekolah.

Beliau berkata, peruntukan RM1 juta daripada sumber am Maidam tersebut merangkumi lapan kali hidangan kepada setiap 25,000 pelajar berkelayakan.

“Setiap hidangan bernilai RM5. Terpulang kepada pengurusan sekolah untuk menentukan kaedah agihan makanan tambahan tersebut sama ada secara harian, mingguan atau bulanan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Thursday, January 5, 2023

Pengajaran banjir luar biasa Terengganu

BANJIR luar musim yang melumpuhkan Hulu Terengganu pada Februari 2022 mendorong kerajaan negeri membuat persiapan rapi bagi menghadapi musim tengkujuh lalu.

Mesyuarat dan simulasi diadakan berbulan-bulan sehingga munculnya gelombang pertama Monsun Timur Laut pada 9 Disem­ber lalu. Pada awalnya seperti mengikut perancangan, namun takdir Allah mengatasi segalanya. Hujan lebat tanpa henti selama empat hari menenggelamkan semua lapan daerah di Terengganu.

Lebih 41,000 penduduk terjejas dengan setakat semalam, 53 mangsa masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS) di Hulu Besut. Kemusnahan harta dianggarkan mencecah ratusan juta ringgit.

Koordinasi operasi ­Sekretariat Pengurusan Bencana ne­geri menjadi semakin mencabar apabila banyak lokasi selamat sebelum ini turut ditenggelami air.

Oleh itu, jumlah mangsa yang berpindah ke PPS meningkat sekali gus menyebabkan simpanan makanan dan barang ke­perluan tidak mencukupi.

Penghantaran tambahan bekalan pula terganggu kerana kekurangan pengangkutan kerana jalan ditenggelami air. Bertambah kalut, sekurang-kurangnya 15 PPS yang diwartakan terpaksa ditutup dan dipindahkan ke premis lain ekoran dilanda bah.

Senario bencana buruk tidak diduga sehingga Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Samsuri tersalah kiraan bercuti ke luar negara sewaktu tempoh kritikal itu.

Penyelidik Meteorologi Fakulti Sains dan Sekitaran Sains, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Chung Jing Xiang berkata, impak gelombang pertama banjir kali ini agak luar biasa melibatkan ke­semua daerah di Terengganu.

“Banyak tempat yang sudah lama tidak dilanda bah turut terjejas. Misalnya kampus UMT kembali ditenggelami bah setelah kali terakhir pada enam tahun lalu.

“Sememangnya dalam tempoh itu berlaku luruhan sejuk yang lebih kuat membawa lebih banyak kelembapan menyebabkan hujan lebat berpanjangan di Pantai Timur,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Begitupun, Pengarah Institut Penyelidikan Alam Sekitar Pantai Timur (Eseri) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof. Dr. Hafizan Juahir pula menjelaskan, taburan hujan di seluruh negeri Terengganu sepanjang bulan lalu bukanlah yang tertinggi dalam sejarah.

Sebaliknya, taburan hujan dalam tempoh tersebut merupakan kedua rendah dalam tempoh 12 tahun.

“Berdasarkan analisis laman web World Weather Online, ste­sen cerapan Kuala Besut cuma menerima taburan hujan sebanyak 334 milimeter (mm), Kemaman (206 mm), Kuala Terengganu 380 mm dan Kuala Berang (359 mm).

“Cerapan yang dicatat di keempat-empat stesen tersebut merupakan kedua terendah sejak tahun 2000,” katanya.

Hafizan memberitahu, sebenarnya trend taburan hujan di Terengganu dilihat telah menurun secara signifikan dalam tempoh dua dekad.

Tambah beliau, walaupun cerapan taburan hujan pada 11 tahun sebelumnya jauh lebih tinggi, tetapi tidak pula berlaku banjir yang teruk kecuali pada tahun 2014.

“Sehubungan itu, bukan hujan lebat tidak dijangka menjadi faktor utama berlakunya banjir besar yang melanda Terengganu pada waktu ini. Sistem perparitan dan pembangunan tidak teran­cang turut menjadi faktor penyumbang,” kata beliau. -KOSMO! ONLINE

Wednesday, January 4, 2023

Suspek kes ugut polis disyaki lindungi sindiket dadah

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Peniaga yang diberkas polis bagi membantu siasatan kes ugutan terhadap polis Isnin lalu dipercayai terlibat dalam aktiviti melindungi sindiket pengedaran dadah di Dungun.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md. Isa berkata, siasatan awal juga mendapati suspek yang dikenali sebagai Ayahanda Zul disyaki menggaji dan melindungi pekerja asing tanpa permit sah.

“Dia yang tidak berpuas hati dengan kekerapan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membanteras kegiatan pengedaran dadah di daerah Dungun telah membuat ugutan mahu menembak mati pegawai dan anggota polis terlibat pada 24 November lalu.

“Polis berjaya menangkapnya di sebuah rumah di Bangi, Selangor pada 2 Januari lalu setelah melarikan diri ke beberapa negeri ,” katanya di sini hari ini.

Rohaimi berkata, sepanjang tempoh bersembunyi, suspek tetap melakukan ugutan dan mencabar polis segera menangkapnya menerusi aplikasi WhatsApp.

Beliau berkata, lelaki berusia 53 tahun itu kini ditahan reman sejak kelmarin bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan.

“Dia juga disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1963. PDRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menggunakan pertubuhan haram untuk melindungi aktiviti jenayah,” katanya.

Kosmo! semalam melaporkan seorang peniaga ditahan reman selama empat hari kerana melakukan ugutan jenayah terhadap pegawai dan anggota polis. – KOSMO! ONLINE