Translate

Wednesday, October 31, 2018

Pekerja restoran makanan segera laku pengguguran haram angkara putus tunang

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Gara-gara kecewa putus tunang, seorang pekerja sebuah restoran makanan segera di Kuala Nerus nekad melakukan pengguguran haram pada Jumaat lalu.

Gadis berusia 22 tahun berasal dari Kota Belud, Sabah itu melakukan pengguguran haram kandungan berusia lima bulan yang didakwa hasil hubungan terlarang dengan bekas tunangnya berkenaan dengan mengambil pil dibeli secara dalam talian.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman berkata, suspek yang disoal siasat mengaku membeli 10 biji pil gugur kandungan terbabit dengan harga RM600 setelah memperoleh maklumat daripada laman Facebook baru-baru ini.

"Berdasarkan keterangan awal, suspek mengaku telah menelan dua biji pil terbabit manakala lapan biji selebihnya dimasukkan ke dalam rahim menerusi alat sulitnya pada kira-kira pukul 11 malam, 19 Oktober lalu.


"Sejam kemudian dia telah melahirkan janin berusia 20 minggu yang telah cukup sifat secara bersendirian di rumah sewanya di Dataran Tembusu, Kuala Nerus," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di sini hari ini. - K! ONLINE

Polis serbu rumah pelacuran di Kuala Terengganu

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Kegiatan sebuah sindiket pelacuran yang berselindung di sebalik perniagaan kafe dan pusat urut terbongkar apabila premis itu diserbu polis di Cherung Lanjut di sini malam tadi.

Dalam serbuan di sebuah rumah teres dua tingkat yang telah diubah suai tersebut pada pukul 10.40 malam itu, sepasang suami isteri yang dipercayai dalang sindiket pelacuran berkenaan berjaya ditahan bersama dua wanita warga Thailand disyaki pekerja seks.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman berkata, serbuan itu turut berjaya merampas barangan bukti seperti kondom, telefon pintar, wang tunai kira-kira RM3,000, minyak urut dan pelincir serta buku log.

"Siasatan awal mendapati kegiatan pelacuran tersebut telah dipromosi suspek lelaki berusia 44 tahun yang bekerja sebagai peniaga alat ganti kenderaan dalam media sosial menerusi aplikasi WeChat sambil dibantu isterinya berumur 48 tahun yang juga pesara guru.


"Kedua-dua wanita disyaki pekerja seks terbabit mengaku memberi perkhidmatan kepada sekitar 10 hingga 12 pelanggan dari pelbagai latar belakang sehari sejak kira-kira dua minggu lalu," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di sini hari ini. - K! ONLINE

MBKT naib juara pertandingan ping pong libatkan 16 pasukan

BERSUKAN. Pasukan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) muncul naib juara pada Kejohanan Ping Pong Sukan Kerajaan Tempatan SeMalaysia yang diadakan di Pusat Transformasi Bandar Pasir Gudang, Johor baru-baru ini.

Setiausaha MBKT, Wan Mohd. Zaki Wan Abdullah berkata, skuad MBKT tewas kepada Majlis Perbandaran Selayang yang muncul juara pada perlawanan akhir yang berlangsung sengit.

Tuesday, October 30, 2018

Suffian mahu balas kepercayaan jurulatih beri peluang beraksi

PENJAGA gol berpengalaman Terengganu Football Club I (TFC I), Mohd. Suffian Rahman berjanji akan meneruskan persembahan mantap pa­­da aksi final Piala Malaysia menentang Perak malam ini bagi membalas kepercayaan pengen­dali, Irfan Bakti Abu Salim.

Pemain berusia 40 tahun itu berkata, dia secara peribadi terhutang budi kepada Irfan yang masih memberi keyakinan kepadanya untuk menjadi penjaga gawang utama skuad Penyu biarpun sudah di penghujung karier.

“Aksi dengan Perak di Shah Alam esok (malam ini) merupakan pentas final Piala Malaysia ketiga saya selepas mewakili Negeri Sembilan dan Se­langor sebelum ini.

“Insya-Allah saya akan menggunakan pengalaman ter­­sebut untuk memastikan gawang TFC I terus kebal daripada di­bolosi rangkaian sera­ngan Pe­rak pada final nanti,” katanya kepada Kosmo! di Kuala Terengganu semalam.

Mengulas rahsia kecergasan untuk beraksi 90 minit dalam perlawanan kompetitif walaupun berusia 40 tahun, Suffian menjelaskan, dia sangat berdi­siplin mengikut pelan latihan disediakan jurulatih selain men­­jaga kualiti tidur.

“Saya masih belum berniat untuk menggantung but (bersa­ra) dan mahu terus ber­aksi musim depan jika diberi pe­luang.

“Apa pun saya berharap dapat menjulang Piala Malaysia esok (malam ini) bersama TFC I untuk dijadikan kenangan terindah dalam karier,” ujarnya.

Suffian yang berasal dari Me­laka berkata, tiga pemain import Perak iaitu Gilmar Da Silva, Leondro Dos Santos dan Wander Luiz perlu dikawal ke­tat kerana dijangka menja­di sandaran skuad The Bos Gaurus untuk merobek gawang TFC I.

Pemain yang mempunyai ke­­tinggian 1.76 meter itu juga menjangkakan aksi final tersebut akan berlangsung sengit berdasarkan rekod pertemuan kedua-dua pasukan sebelum ini.

“Siapa yang lebih fokus dan dapat menjaringkan gol awal, pasukan itu berpeluang menjuarai Piala Malaysia,” kata­­nya.

Lautan hitam putih banjiri Stadium Shah Alam esok

PENYOKONG Terengganu Football Club I (TFC I) yang akan membanjiri Stadium Shah Alam, Se­langor untuk menyaksikan aksi final Piala Malaysia dengan Perak esok disaran  berpakaian hitam putih ­sebagai tanda ke­satuan hati.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Hishamuddin Abdul Karim berkata, warna hitam putih amat sinonim dan menjadi identiti Terengganu serta skuad Penyu sejak sekian lama.

“Solidariti rakyat Terengganu ini saya pasti akan membangkit lagi sema­ngat pemain-pemain TFC I untuk bermain bermati-matian pada aksi final Piala Malaysia tersebut.

“Bergayalah dan eks­presi sokongan padu kita terhadap TFC I menerusi fesyen, kain pemidang dan rambut dengan bebas serta mengikut selera masing-masing selagi tidak melampaui batas agama dan adat ketimuran,” katanya kepada Kos­mo! di Kuala Terengganu semalam.

Hishamuddin berkata, penyokong TFC I yang akan melakukan perjalanan jarak jauh lebih 400 kilometer ke Shah Alam dari Terengganu sama ada dengan bas mahupun kereta juga dinasihatkan agar berhati-hati di jalan raya dan mementingkan keselamatan diri.

Menurut beliau, di sebalik keghairahan aksi final tersebut, PBSNT juga menuntut penyokong tegar skuad Penyu agar terus berdisiplin dan menjaga akhlak biarpun kemungkinan berhadapan dengan provokasi daripada pelbagai pihak.

“Menang atau kalah adat permainan. Tunjukkan contoh terbaik seperti memastikan kebersihan stadium dengan mengutip sampah di tempat duduk masing-masing sejurus tamat perlawanan.

“Insya-Allah doa rakyat Terengganu untuk menjulang Piala Malaysia buat kali kedua moga-moga dimakbulkan,” katanya.

Ashari mahu tebus kecewa 2011

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

AKSI final Piala Malaysia 2018 di Shah Alam esok merupakan pe­luang terbaik buat penye­rang Terengganu Football Club I (TFC I), Mohd. Ashari Samsudin untuk menebus kehampaan tujuh tahun lalu.

Masih segar di ingatan pemain berusia 33 tahun itu, impian rakyat Terengganu untuk menyambut kepula­ngan Piala Malaysia buat kali kedua musnah selepas tewas 1-2 kepada Negeri Sembilan pada aksi final edisi 2011.

Ashari berkata, tambah perit, detik kemenangan itu terlalu hampir selepas dia meledak gol pendahuluan buat Terengganu pada minit ke-59 sebelum terpaksa menanggung kecewa akibat kebangkitan skuad Hobin Jang Hobin dalam tempoh 10 minit terakhir perlawanan.

“Jaringan pemain Negeri Sembilan iaitu S. Kunalan dan Hairuddin Omar pada minit ke-81 dan k-86 mera­napkan harapan kami untuk merangkul trofi Piala Malaysia pada tahun 2011.

“Sekiranya saya diberi kepercayaan oleh ketua jurulatih (Irfan Bakti Abu Salim) untuk beraksi pada final Sabtu ini (esok), sudah pasti saya secara peribadi akan bermati-matian untuk memenuhi hasrat tertangguh selama ini iaitu menjulang Piala Malaysia,” katanya kepada Kosmo! di Kuala Nerus semalam.

Ashari berkata, sebagai satu-satu pemain dalam skuad Terengganu tahun 2011 yang masih tinggal, dia akan berkongsi pengalamannya dengan generasi muda TFC I.

Menurut pemain kelahiran Marang itu, walaupun situasi sudah berbeza, namun dia berharap mereka sepasukan tidak akan mengulangi kesilapan yang dilakukan pada tujuh tahun lalu, sekali gus bakal menyebabkan TFC I terus kempunan menggigit jari lagi.

Selain muncul naib juara Piala Malaysia, Terengganu yang turut dibimbing Irfan pada masa itu turut menjua­rai Piala FA dan naib juara Liga Super pada musim 2011.

Monday, October 29, 2018

Partiban buang sentimen kenegerian

PEMAIN sayap Terengganu Football Club I (TFC I), J. Partiban menganggap pertembu­ngan final Piala Malaysia di Shah Alam, Sabtu ini sangat bererti buatnya kerana bakal menentang skuad negeri kelahirannya, Perak.

Bekas pemain Perak dan Sarawak itu tambah teruja kali pertama melangkah ke pentas final Piala Malaysia sepanjang karier bola sepak profesionalnya.

“Ini merupakan momen final paling indah bagi saya kerana bakal berdepan negeri kelahiran dan juga bekas pasukan. Begitupun sebagai pemain profesional, semangat kenegerian diketepikan.

“Saya mengimpikan kejua­raan bersama skuad yang sedang saya wakili iaitu TFC I,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Kuala Nerus, Terengganu semalam.

Partiban yang berusia 26 tahun berkata, mara ke final Piala Malaysia merupakan kemuncak kepada hasil daripada kerja keras pemain dan pengurusan TFC I sejak awal musim.

Pemain yang berasal dari Tambun, Ipoh itu memberitahu, mereka sudah pastinya mahu menoktahkan perjuangan musim ini dengan menjulang Piala Malaysia yang berprestij.

“Kami sepasukan dalam motivasi tertinggi dan sedang bekerja keras menghadapi pertembu­ngan yang saya anggap sebagai epik,” katanya.

TFC I yang dahulunya dikenali sebagai Terengganu pernah dua kali bertembung dengan Perak di pentas final Piala Malaysia iaitu pada tahun 1998 dan 2001.

Aksi final 1998 dimenangi Pe­rak sebelum giliran TFC I pula berjaya menjulang Piala Malaysia buat kali pertama tiga tahun kemudian.

Terengganu umum cuti peristiwa hujung minggu ini

KERAJAAN negeri Terengganu meng­umumkan cuti peris­tiwa pada Ahad ini sempena kejayaan Terengganu Football Club I (TFC I) mara ke final Piala Malaysia 2018.

Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, cuti peristiwa tersebut bertujuan memudahkan urusan perjalanan pergi dan pulang lebih 30,000 penyokong tegar TFC I ke Stadium Shah Alam, Sela­ngor bagi menyaksikan aksi final menentang Perak, Sabtu ini.

“Menang atau kalah TFC I pada aksi final tersebut, cuti peristiwa diisytihar untuk seluruh Terengganu, Ahad ini.

“Saya harap ia bukan sahaja memudahkan urusan penyokong, malah diharap mampu menaikkan semangat pemain TFC I beraksi cemerlang, sekali gus membawa pulang Piala Malaysia ke bumi Terengganu,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Kuala Terengganu semalam.
Ahmad Samsuri yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) berharap agensi kerajaan dan syarikat swasta, institusi pengajian tinggi serta Jabatan Pelajaran negeri dapat membuat perubahan jadual sekiranya memerlukan berikutan pengumuman awal cuti peristiwa terbabit.

Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu, insentif kepada pemain dan pengurusan TFC I pula akan diumumkan selepas aksi final Piala Malaysia berkenaan.

“Insya-Allah pasti ada (imbuhan). Doakan moga-moga TFC I berjaya merangkul Piala Malaysia,” katanya.

Sementara itu, wakil syarikat GLE Centre Sdn. Bhd. (GLE Centre) yang mengeluarkan kopi jenama Super Jantan selaku penaja mengambil inisiatif menemui pemain-pemain TFC I di padang latihan Kompleks Gong Badak, Kuala Nerus semalam.

Pengarah Urusan GLE Centre, Mohd. Zulkifli Harun berkata, pertemuan itu bagi memberi motivasi kepada pemain-pemain skuad Penyu yang akan membawa harapan 1.25 juta rakyat Terengganu pada aksi final berkenaan.

Irfan kekal bimbing TFC I

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

SKUAD Terengganu Football Club I (TFC I) mendapat tonik tambahan menjelang aksi final Piala Malaysia selepas Irfan Bakti Abu Salim sah kekal mengendali pasukan itu pada musim depan.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Ne­geri Terengganu (PBSNT), Hishamuddin Abdul Karim berkata, badan bola sepak negeri dan Irfan telah mementerai persetujuan untuk membentuk skuad TFC I yang lebih mantap pada musim 2019.

“PBSNT berpuas hati dengan prestasi memberangsangkan TFC I musim ini yang mara ke final Piala Malaysia pada Sabtu ini selain suku akhir Pia­la FA dan tempat kelima Liga Super.

“Magis Irfan te­rus ditagih untuk melakar kecemerlangan yang lebih besar buat TFC I pada musim depan,” katanya pada sidang akhbar di pejabat PBSNT, Kuala Terengganu semalam.
Hishamuddin berkata, PBSNT turut mengekalkan Badrul Hafzan Razali dan Subri Sulong sebagai ke­tua jurulatih TFC III dan TFC IV. Tengku Hazman Raja Hassan pula dinaikkan pangkat sebagai pengendali TFC II.

Menurut beliau, pengekalan ke­semua pengendali skuad pelapis TFC itu berikutan prestasi cemerlang masing-masing iaitu TFC II dan TFC III masing-masing muncul juara Piala Cabaran dan Pia­la Presiden selain TFC IV merupakan naib juara Piala Belia.

Sementara itu, Irfan yang ditemui di Padang Latihan TFC di Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Nerus, Terengganu mahu menjadikan aksi final menentang Perak tersebut sebagai me­dan terbaik buatnya untuk merangkul Piala Malaysia buat kali pertama dalam karier kejurulatihan.

Pengendali berpengalaman berusia 67 tahun itu memberitahu, beliau pernah berpeluang untuk menjuarai piala berprestij tersebut sewaktu membimbing Terengganu buat kali pertama pada tahun 2011, namun ia tidak kesampaian selepas tumpas 1-2 kepada Negeri Sembilan pada aksi final.

“Pemain-pemain saya berada dalam motivasi terbaik untuk beraksi pada pentas final menentang Perak, Sabtu ini. Saya anggap ia sebagai final ketiga selepas kita berjaya melepasi final pertama dan kedua sewaktu menumbangkan JDT (Johor Darul Ta'zim) pada peringkat separuh akhir.

“Bagi saya, peluang 50-50 kerana berdasarkan rekod pertemuan pada saingan Liga Super dan Kumpulan A Piala Malaysia sebelum ini, setiap pasukan agak seimbang de­ngan masing-masing memenangi dua aksi,” katanya.

Had umur kahwin minimum 18 tahun

JOHOR BAHRU – Had umur perkahwinan di Johor ditetapkan minimum 18 tahun bagi lelaki dan perempuan beragama Islam dan bukan Islam seperti di­selaraskan peringkat Pusat.

Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian berkata, sebelum ini usia perkahwinan di negeri ini dibenarkan minimum 18 tahun untuk lelaki manakala 16 tahun untuk perempuan.

Menurutnya, bagaimanapun, perkahwinan di bawah 18 tahun masih boleh diberi kelonggaran untuk dilakukan dengan mengikut alasan munasabah selain perlu mendapat kelulusan menteri besar.

“Had umur minimum 18 tahun tersebut juga sudah dibincangkan dengan Peguam Negara,” katanya kepada pemberita selepas majlis Anugerah Perdana Belia Negara 2018 peringkat Johor di sini semalam.

Di Kuala Terengganu, had umur perkahwinan bagi pasangan Islam di Terengganu kekal pada usia 18 tahun bagi lelaki dan 16 tahun bagi perempuan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Terengganu, Mohd. Nor Hamzah berkata, setakat ini tiada keperluan untuk menye­mak semula peraturan itu.

“Mana-mana orang Islam baik lelaki dan perempuan yang hendak melangsungkan perkahwinan di bawah umur perlu mendapat kebenaran bertulis daripada hakim mahkamah syariah.

“Peraturan had umur perkahwinan sedia ada di Terengganu dilihat sudah ideal dengan memberi sedikit kelonggaran kepada individu bawah umur jika mempunyai alasan kukuh dan dibenarkan syarak,” katanya.

Mohd. Nor percaya hakim syariah terlibat sudah pasti melakukan penilaian seba­iknya sebelum memberi kebenaran bertulis berhubung sebarang pernikahan bawah umur.

“Bagi beberapa kes, perkahwinan bawah umur perlu dipermudahkan bagi mengelakkan penzinaan dan seks bebas yang memberi impak negatif lebih buruk,” ujarnya.

Setakat ini, Selangor telah menaikkan had umur minimum untuk wanita Islam dan pasangannya bernikah pada usia 18 tahun dan Pulau Pinang juga dijangka mengikutinya dalam masa terdekat.

Budak lelaki mati lemas di Sungai Pulau Wan Man

KUALA TERENGGANU – Seorang murid prasekolah ditemui mati lemas di Sungai Pulau Wan Man berhampiran Taman Tamadun Islam di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 3 petang tersebut, mayat Muhammad Rayyan Adam Mohd. Rosnan, 6, dijumpai oleh pasukan mencari dan menyelamat tidak jauh dari lokasi kejadian kira-kira 15 minit kemudian.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman berkata, sewaktu kejadian mangsa yang merupakan anak sulung daripada dua beradik sedang bermain di sungai berkenaan bersama rakan-rakannya.

“Sewaktu sedang leka mandi di sungai tersebut, kaki mang­sa yang tinggal di Kampung Losong Pasir di sini dipercayai terlekat dalam tanah berlumpur di dasar sungai ber­kenaan sebelum dia tiba-tiba tenggelam,” katanya kepada Kosmo! Ahad di sini semalam.

Suffian berkata, pegawai perubatan yang memberi bantuan pernafasan kepada Muhammad Rayyan Adam kemudian mengesahkan kanak-kanak itu telah meninggal dunia.

“Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini untuk dibedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut,” katanya.

Mangsa yang sebelum ini menetap di Taman Fikri 2, Kemaman baru berpindah bersama ibu dan adik pe­rempuan berusia dua tahun di rumah datuknya di Kampung Losong Pasir setelah kematian bapa­nya akibat pe­nyakit paru-paru berair pada bulan April lalu.

Sunday, October 28, 2018

Taman Dipterokarpa inisiatif FRIM pulih tanah persisir berpasir Terengganu

MOHD. AZLI ADLAN

SETIU - Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) mengambil inisiatif mewujudkan Taman Dipterokarpa dengan penanaman sebanyak 330 anak pokok terdiri daripada 33 spesies pokok balak komersial berkualiti tinggi di Stesen Penyelidikan FRIM Setiu, Bari Besar dekat sini.

Ketua Pengarah FRIM, Datuk Dr. Abd. Latif Mohmod berkata, objektif pembukaan Taman Dipterokarpa di tanah seluas 0.405 hektar terbabit merupakan pendekatan serampang dua mata untuk memastikan kelestarian spesies pokok balak berasal hutan hujan tropika terbabit dan menyuburkan semula tanah berpasir yang terdapat di kawasan tersebut.

Beliau berkata, kawasan tersebut merupakan sebahagian dari 65,000 hektar tanah persisiran berpasir dikategorikan sebagai tidak subur dan kurang sesuai untuk tanaman yang terdapat di Terengganu.

"Tanah berpasir jenis Beach Ridges Interspersed with Swales (BRIS) ini dianggar tidak subur kerana mempunyai 90 peratus komponen pasir yang kurang berupaya memegang akar tumbuhan, air, nutrien dan organik.

"Begitupun, penyelidikan FRIM mendapati penanaman beberapa pokok-pokok hutan bernilai komersial mampu 'memulihkan' tanah jenis BRIS terbabit menerusi pembekalan nutrien secara berterusan seterus menjadikannya subur semula dalam tempoh kira-kira 30 tahun," katanya selepas merasmikan Taman Dipterokarpa di Stesen Penyelidikan FRIM Setiu, Bari Besar hari ini. 


Abd. Latif berkata, antara spesies anak pokok yang ditanam di Taman Dipterokarpa berkenaan ialah keruing neram, chengal, keladan, meranti batu dan meranti rambai daun. - K! ONLINE

Suspek kes cubaan samun diburu polis

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Malang buat seorang penjenayah bukan gagal menyamun malah kini diburu polis selepas meninggalkan barangan peribadi di lokasi kejadian di pekarangan sebuah klinik swasta di Jalan Masjid Abidin di sini baru-baru ini.

Dalam kejadian pada pukul 7.10 pagi, 6 Oktober lalu, niat jahat suspek berusia 38 tahun tersebut untuk menyamun seorang guru wanita tidak kesampaian apabila jeritan mangsa meminta pertolongan telah didengari seorang pengawal keselamatan sebuah premis berdekatan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman berkata, sewaktu kejadian, wanita berusia 50 tahun yang mahu melakukan pemeriksaan kesihatan sedang menunggu klinik swasta tersebut beroperasi.

"Sewaktu mangsa sedang menunggu di pekarangan klinik swasta terbabit tiba-tiba dia didatangi suspek yang memakai jaket gelap dan bertopi keledar serta bersenjatakan pisau.


"Seorang pengawal keselamatan premis berhampiran yang mendengar jeritan mangsa telah memberi bantuan menyebabkan suspek bertindak melarikan diri dengan meninggalkan motosikal, jaket dan lesen memandu di lokasi kejadian,"  katanya di sini hari ini. - K! ONLINE

MSN Kelantan mahu belajar memajukan sukan daripada Terengganu

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS - Kerajaan negeri Kelantan mahu mengikut jejak langkah Terengganu yang baru muncul juara keseluruhan Sukan Malaysia (Sukma) Perak baru-baru ini bagi memperkasa pengurusan sukan negeri tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat berkata, pihaknya bercadang menjadikan model pengurusan Majlis Sukan Negeri (MSN) Terengganu sebagai rujukan bagi membangunkan sukan negeri berkenaan.

"Sebelum ini MSN Kelantan berbeza sedikit daripada negeri-negeri lain kerana pengurusannya ditadbir kerajaan pusat namun ia akan diserahkan kepada kerajaan negeri mulai awal Januari tahun depan berikutan perubahan polisi Kementerian Belia dan Sukan.

"Sehubungan itu, kami mahu mempelajari model pengurusan dan pentadbiran sukan daripada jiran kami, Terengganu yang cemerlang dalam bidang sukan sehingga peringkat antarabangsa," katanya selepas mengadakan lawatan muhibah di MSN Terengganu di Gong Badak di sini hari ini.


Kehadiran rombongan diketuai Wan Roslan disambut Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah dan timbalannnya, Hishamuddin Abdul Karim dan Pengarah MSN negeri, Ibni Amin Busu. - K! ONLINE

Saturday, October 27, 2018

Had umur perkahwinan pasangan Islam Terengganu kekal

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Had umur perkahwinan bagi pasangan Islam di Terengganu kekal pada usia 18 tahun bagi lelaki dan 16 tahun bagi perempuan dan setakat ini tiada keperluan untuk menyemak semula peraturan tersebut pada masa terdekat walaupun beberapa negeri telah menaikkannya.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Terengganu, Mohd. Nor Hamzah berkata, had umur perkahwinan tersebut telah termaktub pada Seksyen 8, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Terengganu 2017.

"Mana-mana orang Islam baik lelaki dan perempuan yang hendak melangsungkan perkahwinan di bawah umur perlu mendapat kebenaran secara bertulis daripada hakim mahkamah syariah.


"Peraturan had umur perkahwinan sedia ada di Terengganu dilihat sudah ideal dengan memberi sedikit kelonggaran kepada individu bawah umur sekiranya mempunyai alasan kukuh dan dibenarkan syarak," katanya pada sidang akhbar di Wisma Darul Iman di sini hari ini. - K! ONLINE

FRIM hasil produk antigout daripada pati daun cucur atap

MOHD. AZLI ADLAN

SETIU - Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) berjaya menghasilkan produk antigout daripada pati daun pokok cucur atap yang banyak terdapat di persisir pantai Pantai Timur terutama di daerah ini.

Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Datuk Dr. Abd. Latif Mohmod berkata, produk Goutree dalam bentuk kapsul dan cecair penyembur terbabit merupakan hasil penyelidikan pihaknya sejak lapan tahun lalu.

Beliau berkata, minyak daripada pati daun pokok cucur atap telah digunakan secara tradisional oleh masyarakat Melayu bagi meredakan senggugut, kembung perut, sembelit, sakit belakang dan mengurangkan kadar gula dalam darah.

"Kajian saintifik yang dilakukan FRIM mendapati pati daun pokok berkenaan mengandungi enzim yang mampu menghalang pengumpulan asid urik pada sendi tulang yang menjadi punca kepada penyakit gout.

"Pengkomersialan produk Goutree berasaskan pati daun cucur atap ini meliputi kapsul untuk makanan tambahan dan cecair penyembur sebagai agen meredakan kesakitan radang sendi akibat gout," katanya pada pra-pelancaran produk Goutree di Stesen Penyelidikan FRIM Setiu, Bari Besar dekat sini hari ini.


Turut hadir Pengarah Bahagian Bioteknologi Perhutanan FRIM, Datuk Dr. Marzalina Mansor dan Ketua Program Sumber Biologi FRIM, Dr. Fadzureena Jamaludin.  - K! ONLINE

Atlet Sukma Terengganu, Nur Aisyah terima insentif RM21,000

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS - Atlet berbasikal, Nur Aisyah Mohamad Zubir menerima insentif ganjaran kemenangan Kontijen Terengganu Sukma Perak 2018 terbesar apabila meraih ganjaran wang tunai RM21,000 daripada kerajaan negeri.

Tambah manis, ratu acara berbasikal lebuh raya Terengganu dari Kemaman itu turut dihadiahkan pakej mengerjakan ibadah umrah di tanah suci Mekah atas kecemerlangannya memenangi tujuh pingat emas pada kejohanan dwi-tahunan tersebut baru-baru ini.

Nur Aisyah, 21, merangkul pingat emas dalam acara ujian masa individu wanita 30 kilometer (km), lumba lebuh raya individu wanita 80 km, kriterium wanita 50 km,  scratch wanita 10 km, kejar-mengejar individu wanita 3 km, keirin wanita dan kejar-mengejar berpasukan wanita 4 km.

Beliau yang juga atlet pelapis berbasikal kebangsaan berkata, insentif terbabit menjadi perangsang buatnya untuk terus bekerja keras bagi meletakkan diri sebagai pelumba berbasikal bertaraf dunia suatu hari nanti.

"Saya juga terharu menerima ganjaran pakej mengerjakan ibadah umrah yang sebelum ini dijanjikan kepada atlet Terengganu yang menjadi Olahragawan dan Olahragawati terbaik Sukma Perak 2018 sahaja.

"Ia sekali gus merealisasikan impian saya selama ini untuk membawa ibu bapa ke tanah suci. Terima kasih kepada kerajaan negeri, jurulatih, pengurusan Persatuan Lumba Basikal Terengganu dan rakan sepelatih yang telah banyak membantu," katanya selepas menerima ganjaran itu di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Nerus, Terengganu malam tadi.


Insentif terbabit disampaikan Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar. - K! ONLINE

Friday, October 26, 2018

Daun cucur atap ramuan antigout


Oleh MOHD. AZLI ADLAN

SETIU – Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) berjaya menghasilkan produk anti­gout daripada pati daun pokok cucur atap yang banyak terdapat di pesisir pantai di Pantai Timur.

 Ketua Pengarah FRIM, Datuk Dr. Abd. Latif Mohmod berkata, produk Goutree dalam bentuk kapsul dan cecair penyembur itu merupakan hasil penyelidikan pihaknya sejak lapan tahun lalu.


Beliau berkata, minyak daripada pati daun pokok cucur atap telah digunakan secara tradisional oleh masyarakat Melayu bagi meredakan senggugut, ke­mbung perut, sembelit, sakit belakang dan didakwa mengurangkan kadar gula dalam darah.

“Kajian saintifik yang dilakukan FRIM mendapati pati daun pokok ber­kenaan mengandu­ngi enzim yang mampu menghalang pengumpulan asid urik pada sendi tulang yang menjadi punca kepada penyakit gout.

“Pengkomersialan pro­duk Goutree berasaskan pati daun cucur atap ini meliputi kapsul untuk makanan tambahan dan cecair penyembur sebagai agen meredakan kesa­kitan radang sendi akibat gout,” katanya pada majlis prapelancaran produk Goutree di Stesen Penyelidikan FRIM Setiu, Bari Besar dekat sini semalam.
Turut hadir Pengarah Bahagian Bioteknologi Perhutanan FRIM, Datuk Dr. Marzalina Mansor.

Abd. Latiff  berkata, pokok cucur atap yang merupakan spesies herba biasa ditemui di kawasan berpasir di pesisiran pantai di Pantai Timur dan pesisiran pantai berpasir Terengganu yang seluas 65,000 hektar.

Menurut beliau, FRIM sedia bekerjasama dengan kerajaan negeri Terengganu untuk mengkomersialkan produk Goutree berasaskan pati daun cucur atap itu sebagai sumber pendapatan baharu menjana ekonomi.
“Perusahaan berskala besar dijangka turut memberi manfaat besar kepada penduduk setempat ke­rana buat masa ini sekilogram ekstrak daun cucur atap dianggarkan berharga RM600,” katanya.

Gugur bayi angkara putus tunang

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Gara-gara kecewa putus tunang, seorang remaja yang juga pekerja sebuah restoran makanan segera di Kuala Nerus tergamak menggugurkan bayi yang dikandung­nya, Jumaat lalu.

Gadis berusia 22 tahun berasal dari Kota Belud, Sabah itu melakukan perbuatan tidak berperikemanusiaan itu ketika usia kandungannya mencecah lima bulan didakwa hasil hubungan terlarang de­ngan bekas tunangnya.

Untuk melakukan pengguguran itu, gadis itu dipercayai telah membeli pil secara online.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman berkata, suspek yang disoal siasat mengaku membeli 10 biji pil gugur kandungan dengan harga RM600 setelah memperoleh maklumat daripada laman Facebook baru-baru ini.

“Berdasarkan keterangan awal, suspek mengaku telah menelan dua biji pil terbabit manakala lapan biji lagi dimasukkan ke dalam rahim menerusi alat sulitnya pada kira-kira pukul 11 malam, 19 Oktober lalu.

“Sejam kemudian, dia telah melahirkan janin berusia 20 minggu yang telah cukup sifat secara bersendirian di rumah sewanya di Dataran Tembusu, Kuala Nerus,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di sini semalam.

Suffian berkata, suspek kemudiannya telah ‘menggagahkan’ diri membawa janin dipercayai jantina lelaki seberat 300 gram terbabit untuk menemui seorang penduduk di kampung berhampiran bagi meminta bantuan agar dikebumikan.

Bagaimanapun, penduduk kampung enggan berbuat demikian kerana takut menyalahi undang-undang dan telah meminta suspek agar memaklumkannya kepada pihak berkuasa terlebih dahulu.

“Wanita terbabit kemudiannya telah membawa janinnya dan menyerah diri ke Balai Polis Gong Badak, Kuala Nerus pada pukul 7 pagi, 20 Oktober dengan menunggang motosikal jenis skuter.
“Dia dibawa untuk me­nerima rawatan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini setelah keterangan selesai diambil dan keadaan­nya masih lemah pada masa ini,” katanya.

Suffian berkata, suspek mendakwa dia terdesak untuk menggugurkan kandungannya selepas di­tinggalkan bekas tunang­nya yang juga berasal dari Sabah baru-baru ini.

Optimis kemarau trofi berakhir

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

RAKYAT Terengganu menaruh keyakinan tinggi kepada pasukan Terengganu Football Club I (TFC I) untuk menamatkan kemarau 17 tahun menjulang Piala Malaysia pada aksi final di Shah Alam, Sabtu ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan  negeri Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, kejayaan skuad Penyu mara ke final Piala Malaysia dalam tempoh tujuh tahun telah membangkitkan keghairahan lebih 1.25 juta rakyat negeri tersebut.

“Kali terakhir Terengganu men­dakap Piala Malaysia pada tahun 2001. Kebetulan pada waktu itu kita berjaya menewaskan Perak 2-1 pada aksi final.

“Saya berkeyakinan tinggi TFC I mampu merealisasikan impian rakyat Terengganu untuk membawa pulang Piala Malaysia ke negeri ini,” katanya kepada Kosmo! di Kuala Terengganu semalam.
Wan Sukairi berkata, berdasarkan pe­merhatiannya, semua pemain-pemain TFC I kini berada dalam motivasi tertinggi untuk menumbangkan Perak pada aksi final yang berlangsung Stadium Shah Alam, ­Selangor.

Beliau berharap anak-anak buah Irfan Bakti Abu Salim dapat mengekalkan persembahan memberangsangkan yang telah dipamerkan sejak pada peringkat kumpulan Piala Malaysia lagi.

“Keupayaan menyingkirkan jua­ra Liga Premier, Felda Uni­ted dan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) pada suku akhir dan separuh akhir juga diharap menjadi ‘batu loncatan’ untuk TFC I ‘memuncak’ pada final nanti,” katanya.

Skuad Penyu mara ke pentas final Piala Malaysia selepas menyingkirkan juara bertahan, JDT dengan agregat 3-2 pada pe­ringkat separuh akhir.

Kali terakhir TFC I mara ke final Piala Malaysia adalah pada 2011, namun dikecewakan Negeri Sembilan.

Thursday, October 25, 2018

Irfan Bakti terus bimbing TFC I musim 2019

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Skuad Terengganu Football Club I (TFC I) mendapat tonik tambahan menjelang aksi final  Piala Malaysia lusa selepas Irfan Bakti Abu Salim sah kekal mengendali pasukan itu pada musim depan.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Hishamuddin Abdul Karim berkata, badan bola sepak negeri tersebut dan Irfan Bakti telah mementerai persetujuan untuk membentuk skuad TFC I yang lebih mantap pada musim 2019.

"PBSNT berpuas hati dengan prestasi memberangsangkan TFC I musim ini yang mara ke final Piala Malaysia pada Sabtu ini selain suku akhir Piala FA dan tempat kelima Liga Super.


"Magis Irfan Bakti terus ditagih untuk melakar kecemerlangan yang lebih besar buat TFC I pada musim depan," katanya pada sidang akhbar di Pejabat PBSNT di sini hari ini. - K! ONLINE

PBSNT agih tiket final 
ke daerah-daerah

SEBAHAGIAN penyokong Te­rengganu Football Club I (TFC I) tidak perlu ke Kuala Terengganu untuk merebut tiket final Piala Malaysia apabila Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) bersetuju untuk mengagih­kan sebahagian penjualannya pada peringkat daerah esok.

Timbalan Presiden PBSNT, Hishamuddin Abdul Karim berkata, pengagihan penjualan tiket final Piala Malaysia melibatkan TFC I dan Perak di tujuh daerah di negeri tersebut selain Kuala Terengganu melibatkan sebahagian daripada 30,000 tiket yang diperuntukkan untuk skuad Penyu.

“Keputusan ini dibuat selepas PBSNT mengambil cakna permintaan penyokong-penyokong TFC I yang menetap di luar Kuala Terengganu seperti Kemaman dan Besut bagi memudahkan proses pembelian tiket final Piala Malaysia.

“Tiket-tiket final berharga RM50 bagi dewasa dan RM10 untuk kanak-kanak akan dijual menerusi persatuan bola sepak daerah (PBSD) masing-masing. Kita menyerahkan kepada PBSD terbabit tentang cara dan lokasi penjualannya,” katanya.

Beliau ditemui selepas mempengerusi mesyuarat PBSNT di Wisma Amar, Kuala Terengganu semalam.
Hishamuddin berkata, PBSNT juga bersetuju untuk mengagih­kan kira-kira 10,000 tiket final Piala Malaysia membabitkan TFC I dan Perak itu kepada semua kelab-kelab penyokong TFC I.

Tambahnya, ia bertujuan sebagai menghargai sokongan padu yang te­lah diberikan ahli kelab-kelab penyokong terbabit sejak awal musim Liga Malaysia ini.

“Baki tiket final boleh didapati di kaunter C, Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu dari pukul 10 pagi hingga 2 petang, Khamis ini (esok).
“Jika masih berbaki, kaunter tiket stadium berkenaan akan dibuka semula pada keesokannya. Begitupun, saya yakin ia (tiket final) akan habis dijual sepenuhnya pada hari Khamis,” katanya.

Kejayaan TFC I yang dibimbing ketua jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim mara ke final Piala Malaysia dalam tempoh tujuh tahun telah mencipta keghairahan lebih sejuta rakyat Terengganu.

Skuad Penyu mara ke pentas final Piala Malaysia selepas me­nyingkirkan juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) dengan agregat 3-2 pada peringkat separuh akhir.

PBSNT jual tiket final mulai pukul 10 pagi

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

PERSATUAN Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) mengumumkan penyokong tegar Terengganu FC I (TFC I) boleh membeli tiket perlawanan tersebut mulai Khamis ini.

Timbalan Presiden PBSNT, Hishamuddin Abdul Karim berkata, sejumlah 30,000 tiket diperuntukkan kepada penyokong skuad Penyu untuk menyaksikan aksi final di Stadium Shah Alam, Selangor pada Sabtu ini.

Beliau berkata, tiket perlawanan akhir Piala Malaysia membabitkan aksi TFC menentang Perak dijual pada harga RM50 untuk dewasa, manakala RM5 bagi kanak-kanak.

“Kesemua tiket untuk penyokong TFC I dijual selama dua hari iaitu pada Khamis dan Jumaat ini. Kaunter tiket di pekarangan Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu akan dibuka pada pukul 10 pagi hingga 2 petang.

“Kaunter tiket itu akan te­rus dibuka mulai pukul 9 pagi keesokannya sekiranya tiket final itu masih berbaki,” katanya ketika ditemui selepas menyambut lawatan rombongan kerajaan negeri Kelantan ke Majlis Sukan Negeri Terengganu di Gong Badak, Kuala Nerus semalam.
Hishamuddin yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Terengganu berkata, kejayaan TFC I mara ke final Piala Malaysia buat pertama kali dalam tempoh tujuh tahun telah membangkitkan keghairahan rakyat negeri tersebut terhadap bola sepak.

Beliau berharap, sokongan padu 30,000 penyokong tegar TFC I pada aksi final nanti diharap dapat menyemarakkan lagi motivasi pemain skuad Penyu untuk merampas semula piala berprestij tersebut yang kali terakhir dimenangi pada tahun 2001.

TFC I yang dibimbing pengendali berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim mara ke final Piala Malaysia selepas mengejutkan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan agregat 3-2 pada peringkat separuh akhir.

Wednesday, October 24, 2018

PBSNT setuju agih tiket final Piala Malaysia ke daerah-daerah

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) bersetuju untuk mengagihkan sebahagian penjualan tiket perlawanan akhir Piala Malaysia di semua daerah di negeri tersebut mulai Khamis ini.

Timbalan Presiden PBSNT, Hishamuddin Abdul Karim berkata, pengagihan sebahagian 30,000 tiket yang diperuntukkan untuk skuad Penyu melibatkan tujuh daerah di negeri berkenaan selain Kuala Terengganu.

"Keputusan ini dibuat selepas PBSNT mengambil cakna permintaan penyokong-penyokong TFC I yang menetap di luar Kuala Terengganu seperti Kemaman dan Besut bagi memudahkan proses pembelian tiket perlawanan akhir Piala Malaysia.

"Tiket-tiket berharga RM50 bagi penonton dewasa dan RM10 untuk kanak-kanak akan dijual menerusi persatuan bola sepak daerah (PBSD) masing-masing. Kita menyerahkan kepada PBSD terbabit tentang cara dan lokasi penjualannya," katanya selepas mempengerusi mesyuarat PBSNT di  Wisma Amar di sini hari ini.

Hishamuddin berkata, PBSNT juga bersetuju untuk mengagihkan kira-kira 10,000 tiket perlawanan akhir Piala Malaysia membabitkan TFC I dan Perak itu kepada semua kelab-kelab penyokong TFC I.


Tambah beliau, baki tiket yang tinggal pula boleh didapati di kaunter C, Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Lumpur dari pukul 10 pagi hingga 2 petang, lusa. - K! ONLINE

Final Piala Malaysia: Terengganu umum cuti peristiwa Ahad ini

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri Terengganu mengumumkan cuti peristiwa pada Ahad ini sempena kejayaan Terengganu Football Club I (TFC I) mara ke final Piala Malaysia.

Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata,  cuti peristiwa terbabit bagi memudahkan urusan perjalanan pergi dan pulang   hampir 30,000 penyokong tegar TFC I ke Stadium Shah Alam, Selangor untuk menyaksikan aksi final menentang Perak tersebut pada Sabtu ini.

"Menang atau kalah TFC I pada aksi final tersebut, cuti peristiwa diisytihar untuk seluruh Terengganu pada Ahad ini.

"Saya harap ia bukan sahaja memudahkan urusan penyokong malah diharap mampu menaikkan semangat pemain TFC I beraksi cemerlang sekali gus membawa pulang Piala Malaysia ke bumi Terengganu," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Mingguan di Wisma Darul Iman di Kuala Terengganu hari ini.


TFC I mara ke final buat kali pertama dalam tempoh tujuh tahun selepas menumbangkan juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) dengan agregat 3-2 pada peringkat separuh akhir. - K! ONLINE

Kakitangan Perhutanan Terengganu didakwa

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Seorang kakitangan Jabatan Perhutanan Terengganu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima rasuah berupa wang tunai RM500 pada lima tahun lalu.

Suhaimee Wan Mohamad, 35, yang kini berkhidmat sebagai Pembantu Awam Pejabat Hutan Daerah Terengganu Utara, Batu 6, Kuala Nerus membuat pengakuan tidak bersalah tersebut selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Rofiah Mohamad.

Berdasarkan pertuduhan, Suhaimee didakwa meminta dan menerima rasuah berjumlah RM500 daripada sebuah syarikat kontraktor pembalakan yang dimasukkan ke dalam akaun bank milik tertuduh pada 23 Mei 2013.

Ia didakwa sebagai dorongan agar penguat kuasa pejabat renjer hutan berkenaan tidak mengganggu kerja-kerja pembalakan yang dilakukan syarikat itu di kawasan Hutan Simpan Hulu Terengganu.


Suhaimee didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. - K! ONLINE

Tuesday, October 23, 2018

Pesara guru tauke pusat pelacuran

KUALA TERENGGANU – Kegiatan sebuah sindiket pelacuran yang berselin­dung di sebalik perniagaan kafe dan pusat urut terbongkar apabila premis itu diserbu polis di Cherung Lanjut di sini kelmarin.

Dalam serbuan di sebuah rumah teres dua tingkat yang te­lah diubah suai pada pukul 10.40 malam itu, sepasang suami isteri yang dipercayai dalang sindiket pelacuran berkenaan berjaya ditahan bersama dua wanita warga Thailand disyaki pekerja seks.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman berkata, serbuan itu turut berjaya merampas barangan bukti seperti kondom, telefon pintar, wang tunai kira-kira RM3,000, minyak urut dan pelincir serta buku log.

“Siasatan awal mendapati ke­giatan pelacuran tersebut te­lah dipromosi suspek lelaki berusia 44 tahun yang bekerja sebagai peniaga alat ganti kenderaan menerusi aplikasi WeChat sambil dibantu isterinya berumur 48 tahun yang juga pesara guru.

“Kedua-dua wanita disyaki pekerja seks terbabit mengaku memberi perkhidmatan kepada sekitar 10 hingga 12 pelanggan daripada pelbagai latar belakang setiap sehari sejak kira-kira dua minggu lalu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di sini semalam.
Suffian berkata, siasatan menerusi risikan yang dilakukan menerusi promosi perkhidmatan seks yang dilakukan suspek lelaki melalui aplikasi WeChat juga mengesyaki beberapa pelacur tempatan turut memberi perkhidmatan secara sambilan di premis terbabit tetapi kelibat mereka tiada sewaktu serbuan diadakan.

Menurut beliau, siasatan awal juga mempercayai caj RM250 sejam dikenakan kepada setiap pelanggan yang mendapatkan perkhidmatan pelacur ber­kenaan manakala pemeriksaan juga mendapati kedua-dua wanita warga Thailand berusia 21 dan 32 tahun yang ditahan terbabit telah memasuki negara ini dengan menggunakan pas lawatan sosial.

“Kedua-dua suspek warga tempatan yang dipercayai penjaga dan pelindung kepada ke­dua-dua pekerja seks tersebut disiasat mengikut Seksyen 372 Kanun Keseksaan manakala dua suspek warga asing pula disiasat mengikut Seksyen 372 (b) akta sama,” katanya.
Kesemua suspek direman selama tujuh hari sehingga Sabtu ini.

Dalam pada itu, siasatan wartawan Kosmo! di Cherung Lanjut mendapati pusat maksiat itu beroperasi di kawasan perumahan yang terdiri daripada rumah teres dua tingkat serta pangsapuri.

Monday, October 22, 2018

Tiket final Piala Malaysia mula dijual Khamis ini

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) mengumumkan 30,000 tiket perlawanan akhir Piala Malaysia antara Terengganu Football Club I (TFC I) dan Perak akan dijual mulai Khamis ini.

Timbalan Presiden PBSNT, Hishamuddin Abdul Karim berkata, tiket perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, Selangor pada Sabtu ini dijual pada harga RM50 untuk dewasa manakala bagi penonton kanak-kanak pula berharga RM10.

"Kesemua tiket untuk penyokong TFC I itu dijual selama dua hari iaitu pada Khamis dan Jumaat ini. Kaunter tiket di pekarangan Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini akan dibuka pada pukul 10 pagi hingga 2 petang, 25 Oktober ini.

"Kaunter tiket tersebut akan terus dibuka mulai pukul 9 pagi keesokannya sekiranya tiket final itu masih berbaki," katanya di sini hari ini.

TFC I yang dibimbing pengendali berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia selepas mengejutkan juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) dengan agregat 3-2 pada peringkat separuh akhir.


Kali terakhir TFC I yang dahulunya dikenali sebagai Terengganu menjulang Piala Malaysia pada tahun 2001 apabila menewaskan Perak 2-1 pada aksi final di Stadium Bukit Jalil. - K! ONLINE

Murid prasekolah mati lemas di Sungai Pulau Wan Man

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Seorang murid prasekolah maut selepas lemas di Sungai Pulau Wan Man berhampiran Taman Tamadun Islam di sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 3.01 petang tersebut, mayat Muhammad Rayyan Adam Mohd. Rosnan, 6, dijumpai oleh pasukan mencari dan menyelamat tidak jauh dari lokasi kejadian kira-kira 15 minit kemudian.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman berkata, sewaktu kejadian mangsa yang merupakan anak sulung dari dua beradik sedang bermain di sungai berkenaan bersama rakan-rakannya.

"Sewaktu sedang leka mandi di dalam sungai tersebut, kanak-kanak itu yang menetap di Kampung Losong Pasir berhampiran tiba-tiba tenggelam.


"Rakan-rakannya yang panik telah naik ke daratan untuk meminta pertolongan kepada penduduk kampung sebelum kejadian itu dimaklumkan kepada pihak berkuasa," katanya kepada Kosmo! Online di sini hari ini. - K! ONLINE

Sunday, October 21, 2018

Mesej bas dan tiket percuma perlawanan akhir Piala Malaysia palsu

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Pengarah Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (IMITS), Kamaruzaman Abdullah terkejut menerima panggilan telefon dan mesej menerusi aplikasi Whatsapp yang bertalu-talu daripada penyokong Terengganu Football Club I (TFC I) hari ini gara-gara penyebaran tular palsu.

Beliau berkata, berita tersebut mendakwa beliau telah menghebahkan kononnya kerajaan negeri Terengganu telah bersetuju untuk menaja sebuah bas dan tiket kepada setiap kampung di negeri ini untuk menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia membabitkan Terengganu Football Club I (TFC I) di Stadium Shah Alam, Selangor pada Sabtu ini.

"Mesej berantai yang ditularkan menerusi aplikasi Whatsapp tersebut mendakwa penyelarasan pengagihan tiket dan sewaan bas itu akan diuruskan IMITS diketuai saya dengan kerjasama Dewan Pemuda Pas dan Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri Terengganu.

"Bukan saya sahaja malah difahamkan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah turut menerima panggilan dan mesej Whatsapp secara bertalu-talu daripada penyokong-penyokong TFC I sejak pukul 8 pagi tadi," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.


TFC I layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia buat pertama kali dalam tempoh tujuh tahun setelah menewaskan juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) menerusi agregat 3-2 pada aksi kedua separuh akhir di Larkin, Johor Bahru pada malam tadi. - K! ONLINE

Kebangkitan membanggakan TFC II

KEJAYAAN merangkul Piala Cabaran pada edisi sulung penganjurannya menjadi penawar terbaik ke­pada Terengganu Football Club II (TFC II) yang sebelum ini ber­duka akibat terperosok ke sai­ngan Piala FAM musim depan.

Pengendali TFC II, Tengku Hazman Raja Hassan berkata, ke­upayaan anak-anak buahnya bangkit daripada skuad yang berada di tangga tercorot Liga Premier musim ini sehingga­ muncul juara Piala Cabaran merupakan pencapaian membanggakan.

Bagi bekas pemain tengah kebangsaan kelahiran Kelantan itu, Piala Cabaran mempunyai prestijnya tersendiri walaupun tidak boleh dibandingkan de­ngan kemasyuran Piala Malaysia.

“Sewaktu mengambil alih (ketua jurulatih) TFC II (daripada Mustaffa Kamal Abd. Wahab), kesemua pemain berada dalam moral yang sangat rendah akibat tersingkir ke Piala FAM sedangkan saya cuma ada empat hari untuk menyiapkan pasukan ke saingan Piala Cabaran.

“Pendekatan terawal saya ialah membangkitkan semula motivasi mereka dan memberi peluang kepada semua pemain untuk me­rebut semula kesebelasan utama. Alhamdulillah pe­luang kedua itu dimanfaatkan dengan menewaskan satu demi satu pasukan lawan sehingga muncul johan sulung Piala Cabaran,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan kelmarin.

Pada aksi final kedua di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu itu, TFC II menang bergaya 2-0, sekali gus mengatasi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM FC) dengan agregat 4-2.
Kejayaan menjulang Piala Cabaran membolehkan TFC II meraih ganjaran wang tunai RM250,000, manakala UKM FC sebagai naib juara pula mene­rima RM75,000.

Penyerang import sensasi TFC II, Akanni Sunday Wasiu muncul wira apabila meledak kedua-dua gol pasukan dari Pantai Timur itu pada minit ke-22 dan ke-53.

Tengku Hazman berkata, ­Andrew Anderson Jean-Baptiste juga layak diberi pujian kerana memainkan peranan penting pada aksi tersebut ke­rana kedua-dua jaringan disumbang Sunday Wasiu merupakan hantaran pemain tengah import warga Haiti itu.

Piala Cabaran diperkenalkan buat julung kali oleh Malaysia Football League (MFL) bertujuan memastikan pasukan-pasukan yang gagal layak ke saingan Piala Malaysia dapat mengharungi perlawanan kompetitif sehingga penghujung musim ini.

Saturday, October 20, 2018

Kecemerlangan skuad pelapis inspirasi TFC I

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KEJAYAAN skuad pelapis, Terengganu Football Club II (TFC II) merangkul Piala Cabaran kelmarin diharap menjadi inspirasi kepada ‘pasukan abang’, TFC I untuk menyingkirkan Johor Darul Ta'zim (JDT) pada saingan separuh akhir kedua Piala Malaysia di laman lawan Sabtu ini.

Presiden Kelab Penyokong Bola Sepak Terengganu (Peteh), Datuk Dr. Najmil Faiz Mohamed Aris (gambar) berkata, pihaknya optimis skuad Penyu mampu mara ke final, sekali gus merangkul Piala Malaysia buat kali kedua.

“Kesemua skuad pelapis iaitu TFC II, TFC III dan TFC IV mara ke final kejohanan masing-masing musim ini dengan TFC II dan TFC III muncul juara Piala Cabaran serta Piala Presiden. Terengganu City FC pula juara Piala FAM, manakala skuad negeri mara ke aksi final Piala Emas Raja-Raja pada 21 Oktober ini.

“Kini tiba, masanya TFC I sebagai ‘pasukan abang’ untuk meneruskan kejayaan yang telah dirintis ‘skuad adik’ bagi merealisasikan musim gemilang bagi bola sepak Terengganu tahun ini,” katanya kepada Kosmo! di Kuala Terengganu semalam.
Najmil Faiz berkata, Peteh optimis ke­lebihan satu gol yang diperoleh sewaktu aksi separuh akhir pertama di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu pada 6 Oktober lalu dapat dipertahankan TFC I.

Beliau berkata, walaupun bakal menghadapi sorakan puluhan ribu penyokong lawan, tiada apa yang mustahil kerana Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos, Larkin terbukti sebelum ini bukanlah terlalu kebal buat JDT yang juga juara bertahan Piala Malaysia.

“JDT diakui pasukan gergasi dalam Liga Malaysia tetapi skuad Harimau Selatan itu terbukti pernah tewas kepada Pahang dan MISC-MIFA di Larkin pada musim ini.

“Ketua Jurulatih TFC I (Irfan Bakti Abu Salim) juga mempunyai rekod pernah dua kali berjaya menumbangkan JDT di gelanggang keramat JDT itu sewaktu beliau mengemudi Felda United beberapa musim lalu,” katanya.

Sehubungan itu, Najmil Fazi yakin Irfan mempunyai ramuan mujarab bagi menyekat JDT, sekali gus membolehkan TFC I mara ke final Piala Malaysia buat kali pertama dalam tempoh tujuh tahun.

Pada aksi separuh akhir pertama di Kuala Terengganu awal bulan ini, TFC I memperoleh kelebihan tipis apabila menewaskan JDT 1-0.