Translate

Monday, April 30, 2018

PKR tempang tanpa Pas di Terengganu

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

SERAMAI 140 calon daripada tiga parti politik disahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam layak bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Terengganu.

Barisan Nasional (BN), Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) masing-masing menampilkan 40 calon bagi merebut lapan kerusi Parlimen dan 32 kerusi DUN di negeri Pantai Timur terbabit.

Tiada seorang pun calon bebas yang menawarkan diri untuk bertanding di mana-mana kerusi Parlimen dan DUN Terengganu kelmarin.

Antara yang menarik perhatian pada hari penamaan calon di Terengganu kelmarin ialah kesemua 40 calon PKR ha­dir ke lapan pusat penamaan calon dari Besut hingga Kemaman dengan diiringi penyokong yang terlalu sedikit.

Misalnya, calon PKR bagi Parlimen Marang dan empat DUN iaitu Rhu Rendang, Pengkalan Berangan, Bukit Payong dan Alor Limbat hanya di­iringi kira-kira 30 penyokong sewaktu memasuki Pejabat Pejabat Tanah dan Daerah Marang yang merupakan pusat penamaan calon parlimen berkenaan bagi menghantar borang pencalonan.

Senario itu mengundang senyuman sinis ahli Pas termasuk Presidennya, Datuk Abdul Hadi Awang yang bertanding di Parlimen Marang dan Pengarah Pilihan Raya Pas, Prof. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

Mana tidaknya, ia kontra dengan kehadiran ribuan penyokong BN dan Pas di situ bagi memberi sokongan padu kepada calon parti masing-masing.

Kehambaran kehadiran penyokong pembangkang itu tidak jauh berbeza di tujuh pusat penamaan calon lain di seluruh Terengganu termasuk di lokasi Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Razali Idris yang merupakan calon PKR bagi Parlimen Hulu Terengganu.

Paling ramai pun, kira-kira 100 penyokong mengiringi calon-calon PKR Parlimen dan DUN Kuala Terengganu termasuk Datuk Raja Bahrin Shah Raja Ahmad dan Azan Ismail yang merupakan Pengerusi dan Timbalan Pengerusi gabu­ngan pembangkang itu di peringkat negeri.

Ia seakan-akan mengesahkan dakwaan Pas sebelum ini yang mengatakan kekuatan jentera parti pembangkang lain tidaklah sehebat mana sehinggakan terpaksa ditampung oleh jentera pilihan raya Pas bagi memastikan kemenangan mereka pada PRU-13.

Kekurangan bendera PKR di seluruh Terengganu sejak Parlimen dibubarkan pada awal bulan ini juga bagaikan me­nyerlahkan kekerdilan jentera parti PKR, PPBM dan Amanah di negeri ini.

Mengulas isu tersebut, Azan mengakui jentera PKR negeri tidaklah sehebat BN mahupun Pas tetapi dakwanya, ia bukan indikator parti pembangkang tersebut akan ‘bungkus awal’ di Terengganu pada PRU-14.

“Senario PRU-14 tidak sama dengan PRU-12 mahupun PRU-13. Saya percaya mood pengundi berbeza dan berharap mereka dapat memberikan undi protes buat kami bagi membentuk kerajaan,” kata calon PKR bagi DUN Bandar tersebut kepada Kosmo! baru-baru ini.

Buruh mati lemas

HULU TERENGGANU - Keriangan sekumpulan penduduk kampung mandi-manda berakhir dengan tragedi apabila salah seorang daripada mereka mati lemas akibat dihanyutkan arus deras Sungai Kejir, Kuala Berang di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 4.05 petang itu,, Latif Yahya, 48, sedang mendukung anak saudara lelakinya yang berumur lima tahun menyeberang untuk ke tebing selepas mandi-manda di sebuah dataran pasir yang terletak di tengah-tengah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, sebelum kejadian, mangsa yang berasal dari Kampung Kuala Kejir, Kuala Berang di sini  membawa anak saudaranya, Mohd. Iman Sukri mandi di dataran pasir terbabit bersama beberapa rakan sekampungnya pada pukul 3.30 petang.

"Selepas puas mandi kira-kira setengah jam kemudian, mangsa yang merupakan seorang buruh telah kembali menyeberang sungai untuk kembali ke tebing sambil mendukung anak saudara lelakinya terbabit.

"Sewaktu sedang menyeberang, dia tiba-tiba dihanyutkan arus deras sebelum kelibatnya tenggelam ke dalam sungai itu. Begitupun, anak saudaranya telah berjaya diselamatkan rakan-rakannya yang menyaksikan kejadian itu," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Mohd. Adli berkata, mayat mangsa kemudiannya ditemui oleh penduduk kampung yang melakukan operasi mencari dan menyelamat pada pukul 4.30 petang.

Menurut beliau, mayat Latif ditemui timbul pada kedudukan kira-kira 20 meter dari lokasi dia dilaporkan hilang.

"Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu di sini untuk dibedah siasat," katanya.

Pantai Kuala Kerteh tapak kekal karnival usahawan wanita

KEMAMAN - Pantai Kuala Kerteh dekat sini yang menjadi lokasi penganjuran Karnival Usahawanita  selama tiga hari sehingga semalam  akan dijadikan tapak kekal karnival untuk peniaga wanita.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, langkah tersebut bertujuan membuka lebih ruang kepada  usahawan wanita untuk menjual dan mempromosi produk dan perkhidmatan masing-masing.

Beliau berkata, pembukaan tapak karnival kekal khas untuk usahawan wanita berkenaan juga selaras dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengisytiharkan tahun ini sebagai Tahun Memperkasa Wanita pada pembentangan Bajet 2018 lalu.

"Pantai Kuala Kerteh yang sepi sebelum ini sudah makin terkenal apabila ia terbukti apabila berkemampuan menjadi lokasi penganjuran karnival berskala besar seperti Karnival Usahawanita dan Gelombang Nelayan Nasional.

"Kita akan menjadikan kawasan ini sebagai tapak kekal karnival khas untuk usahawan wanita dan ia merupakan sebahagian manifesto tambahan Barisan Nasional Bahagian Kemaman pada Pilihan Raya Umum ke-14," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis perasmian Road To MAHA 2018 Zon Timur yang disempurnakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim di Pantai Kuala Kerteh dekat sini semalam.

Ahmad Shabery yang juga penyandang Ahli Parlimen Kemaman berkata,  karnival melibatkan usahawan wanita tersebut dicadangkan di adakan di Pantai Kuala Kerteh berkenaan sekurang-kurangnya sebulan sekali.

Sehubungan itu, menurut beliau, Pantai Kuala Kerteh akan dijenamakan semula dan fasiliti juga dinaik taraf sesuai dengan kedudukannya kelak sebagai tapak kekal karnival berkenaan selepas PRU-14.

Sunday, April 29, 2018

Remaja OKU masalah pembelajaran mati lemas terjatuh parit


DUNGUN -  Seorang remaja lelaki yang merupakan golongan kelainan upaya (OKU) mati lemas selepas terjatuh ke dalam parit berhampiran Kampung Alor Mak Bah di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 5.20 petang itu, Mohamad Luqman Aziz, 17, yang merupakan OKU masalah pembelajaran ditemui tersangkut di dalam sebuah pembetung berkedalaman kira-kira tiga meter.

Pegawai Kanan Bomba II, Balai Bomba dan Penyelamat Dungun, Mohd. Zaiharis Sandar berkata, sewaktu kejadian, Mohamad Luqman yang menetap di Kampung Teluk Lipat di sini sedang berjalan-jalan berhampiran parit terbabit.

"Mangsa dikatakan telah tergelincir lalu memasuki parit tersebut sebelum dihanyutkan arus deras.

"Mayat remaja lelaki itu kemudiannya ditemui penduduk kampung tersangkut di dalam sebuah pembetung tidak jauh dari lokasinya terjatuh," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Mohd. Zaiharis berkata, mayat Mohamad Luqman yang merupakan remaja keciciran persekolahan itu kemudiannya di hantar ke Unit Forensik Hospital Dungun di sini untuk dibedah siasat. - K! ONLINEdi dalam sebuah pembetung tidak jauh dari lokasinya terjatuh," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Mohd. Zaiharis berkata, mayat Mohamad Luqman yang merupakan remaja keciciran persekolahan itu kemudiannya di hantar ke Unit Forensik Hospital Dungun di sini untuk dibedah siasat. - K! ONLINE

BN Terengganu cadang perkenal konsep perniagaan mobil guna trak

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS - Barisan Nasional (BN) Terengganu bercadang untuk memperkenalkan konsep perniagaan menggunakan trak bagi nilai tambah membantu usahawan muda tempatan sekiranya terus diberi mandat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, menerusi konsep perniagaan menggunakan trak terbabit, usahawan muda terlibat boleh menjalankan bisnes masing-masing secara mobil tanpa memerlukan premis tetap.

Beliau yang juga Pengerusi BN Terengganu berkata, usahawan muda seperti pengusaha butik dan salon boleh berniaga menggunakan trak berkenaan secara bergerak terutama di program-program anjuran kerajaan mahu pun swasta di sekitar negeri ini.

"Saya percaya ia lebih menjimatkan kerana tanpa perlu menyewa premis selain memudahkan usahawan muda terbabit menemui pelanggan sasaran masing-masing di lokasi-lokasi strategik.

"Saya akan minta YPUT (Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu) untuk membuat kajian mendalam dan sekiranya idea ini relevan dan signifikan, kita akan mengeluarkan bajet sekiranya BN terus diberi mandat," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis penyerahan Mobileprenueur@KKLW yang turut dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (Dasar), Norison Ramli di Dataran Permata, Seberang Takir di sini hari ini.


Dalam majlis itu, seramai 43 usahawan muda menerima bantuan motosikal berserta kotak peralatan yang setiap satu bernilai kira-kira RM10,000 untuk menjalankan perniagaan masing-masing secara mobil. - K! ONLINE 

Calon-calon BN, Pas dan gabungan pembangkang termasuk Abdul Hadi tiba di pusat penamaan calon Marang

MOHD. AZLI ADLAN dan KAMARIAH KHALIDI

MARANG - Presidan Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tiba di pusat penamaan calon di Pejabat Tanah dan Daerah Marang di sini pada pukul 9.05 pagi tadi.

Beliau yang juga penyandang kerusi Parlimen Marang bersama empat calon Pas lain iaitu Ariffin Deraman bagi kerusi DUN Alor Limbat, Mohd. Nor Hamzah (Bukit Payong), Prof. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar (Rhu Rendang) dan Sulaiman Sulong (Pengkalan Berangan).

Terdahulu, calon-calon BN iaitu Mohamad Nor Endot (Parlimen Marang), Datuk Saiful Bahri Baharuddin (Alor Limbat), Toh Puan Zaitun Mat Amin (Bukit Payung), Datuk Nik Dir Nik Wan Ku (Rhu Redang) dan A. Latiff Awang (Pengkalan Berangan) tiba di pusat penamaan calon berkenaan pada pukul 8.55 pagi.

Mereka kelihatan bersemangat menerima sorakan sokongan daripada lebih 10,000 penyokong tegar BN di daerah berkenaan.

Sorakan mereka kemudiannya disambut oleh kira-kira 10,000 penyokong Pas yang dipisahkan kira-kira 500 meter antara satu sama lain di perkarangan Pejabat Tanah dan Daerah Marang di sini.

Sementara itu calon-calon gabungan pembangkang yang menggunakan logo Parti Keadilan Rakyat pula tiba lebih awal pada pukul 8.30 pagi.


Dr. Zarawi Sulong yang bertanding di Parlimen Marang dan DUN Rhu Rendang, Sabri Ali @ Mamat (Alor Limbat), Mohd. Dalizan Abd. Aziz (Bukit Payung) dan Aidi Ahmad (Pengkalan Berangan) diiringi kira-kira 28 orang penyokong. - K! ONLINE

Saturday, April 28, 2018

Liga Super: TFC1, Kedah sama handal

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Terengganu Football Club 1 (TFC1) terpaksa berpuas hati diikat Kedah 1-1 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini sebentar tadi.

Biarpun sekadar mengutip satu mata, ia sudah mencukupi buat skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim untuk melonjak ke tangga kedua liga buat seketika setelah mengutip 12 mata dari tujuh aksi liga.

Tuan rumah membuka jaringan menerusi pemain sayap,  J. Partiban menerusi rembatan dari luar kotak penalti yang menewaskan penjaga gawang Kedah, Mohd. Ifwat Akmal Chek Kassim pada minit ke-43.

Kedah pula berjaya menyamakan kedudukan hasil tolakan pemain tengah berpengalaman, Baddrol Bakhtiar pada minit ke-63.

Pemenang anugerah Pemain Paling Bernilai Liga Malaysia musim lalu itu  bijak menyambut hantaran pemain import, Sandro Da Silva Mendonca sebelum menewaskan penjaga gol TFC1, Mohd. Suffian Rahman.

Sebelum itu, skuad Lang Merah berpeluang untuk menyamakan kedudukan sebaik separuh masa kedua bermula namun percubaan pemain import, Sandro Da Silva berjaya Mohd. Suffian Rahman.


Penyerang gantian TFC1, Mohamad Ashari Samsudin pula terlepas peluang untuk meledak gol kemenangan tuan rumah apabila rembatanya pada masa kecederaan berjaya didakap kemas Mohd. Ifwat Akmal. - K! ONLINE

Abdul Hadi hadapi pertembungan tiga penjuru di Parlimen Marang

MOHD. AZLI ADLAN dan KAMARIAH KHALIDI

MARANG - Presidan Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sah bakal menghadapi pertembungan tiga penjuru bagi Parlimen Marang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Beliau yang merupakan penyandang kerusi Parlimen tersebut akan menghadapi calon Barisan Nasional (BN) dan gabungan pembangkang yang akan menggunakan logo Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamad Nor Endot dan Dr. Zarawi Sulong.

Empat Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berada di dalam Parlimen Marang juga menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara BN, Pas dan PKR.

Zarawi turut bertanding di DUN Rhu Rendang dan akan menentang calon BN, Datuk Nik Dir Nik Wan Ku dan Prof. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar (Pas).

Bagi DUN Pengkalan Berangan, penyandang, A. Latiff Awang dari BN bakal dicabar Sulaiman Sulong (Pas) dan Aidi Ahmad (PKR).

Penyandang DUN Bukit Payong,  Mohd. Nor Hamzah dari Pas pula bakal dicabar Toh Puan Zaitun Mat Amin (BN) dan Mohd. Dalizan Abd. Aziz (PKR).

Ariffin Deraman dari Pas akan ditentang Datuk Saiful Bahri Baharuddin (BN) dan Sabri Ali @ Mamat di DUN Alor Limbat.


Pengumuman tersebut dibuat oleh Pengawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Marang, Mat Azmi Arshad. - K! ONLINE 

BN Terengganu kemuka calon mesra rakyat

DEMAM Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) memasuki fasa baharu. Hari penamaan calon diadakan esok. Hari pe­ngundian berlangsung 9 Mei depan setelah 11 hari tempoh berkempen.

Di Terengganu, buat pertama kalinya, kesemua lapan kerusi Parlimen dan 32 kerusi Dewan Unda­ngan Negeri (DUN) di negeri tersebut bakal ditandingi sekurang-kurangnya secara tiga penjuru an­tara Barisan Nasional (BN), Pas dan gabungan parti pembangkang.

Gabungan parti pembangkang dianggotai Parti Kea­dilan Rakyat (PKR), DAP, Parti Amanah Nasional (Amanah) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Sebelum DUN Terengganu dibubarkan atas perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin pada 9 April lalu, BN menjadi parti­ memerintah de­ngan 17 kerusi DUN manakala Pas yang menjadi pembangkang mempunyai 15 kerusi.

 Di Parlimen pula, BN menguasai empat kerusi iaitu Besut, Setiu, Hulu Terengganu dan Kemaman. Pas pula tiga kerusi iaitu Kuala Terengganu, Marang dan Dungun. Amanah mempunyai satu kerusi di Kuala Terengganu setelah pe­nyandangnya Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad melompat parti daripada Pas.

Mandat tipis tersebut dan faktor kewujudan dua parti baharu iaitu Amanah dan PPBM yang masing-masing merupakan serpihan UMNO dan Pas menjadikan kehangatan PRU-14 di Terengganu agak luar biasa.

Sepanjang minggu ini, BN, Pas dan gabungan parti pembangkang telah mengumumkan calon masing-masing di negeri ini yang keseluruhannya berjumlah 120 orang iaitu 40 calon bagi setiap parti.

BN Terengganu mengambil pendekatan hampir sama seperti Pas negeri apabila mengekalkan hampir kesemua penyandang kerusi DUN dan Parlimen yang dimenangi pada PRU-13.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Jailani Johari digugurkan daripada bertanding di Parlimen Hulu Terengganu bersama Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (Parlimen Setiu).

Seramai 13 muka baharu ditampilkan termasuk pakar motivasi,  Tengku Asmadi Tengku Mohamad di Parlimen Kuala Nerus dan bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail di Parlimen Kuala Terengganu.

Kedua-dua tokoh terbabit bukanlah calon payung terjun kerana Tengku Asmadi merupakan anak jati Seberang Takir, Kuala Nerus manakala Wan Nawawi pula sudah lama terlibat dalam pelbagai aktiviti UMNO Bahagian Kuala Terengganu sejak dari zaman Pergerakan Pe­muda lagi.

Baki 11 muka baharu lain pula merupakan Penyelaras DUN di kawasan masing-­masing dan mereka tidak perlu diper­kenalkan lagi kepada rakyat kerana telah berkhidmat selama hampir empat tahun.

Empat bekas wakil rakyat yang digugurkan pada PRU-13 iaitu Datuk Rosol Wahid, Datuk Din Adam, Datuk Halim Jusoh dan Datuk Mohamed Awang Tera pula kembali diberi kepercayaan untuk dicalonkan masing-masing di Parlimen Hulu Terengganu, Parlimen Dungun, DUN Permaisuri dan DUN Chukai.

Dua bekas Menteri Besar Terengganu iaitu Datuk Seri Idris Jusoh dan Datuk Seri Ahmad Said yang diakui masih mempunyai pe­ngaruh di peringkat akar umbi turut dikekalkan di kerusi masing-masing iaitu Parlimen Besut dan DUN Kijal.

Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, kesemua calon BN yang ditampilkan berkenaan telah melepasi pelbagai saringan dan di­yakini paling diterima pada peringkat akar umbi kawasan masing-masing.

“Keputusan adalah muktamad dan kita tidak akan melayan sebarang protes dan rayuan. BN negeri juga telah mengambil iktibar daripada pengalaman lepas dan telah bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan perbuatan cah keting (sabotaj) dengan penubuhan skuad penyelesaian krisis,” katanya ke­pada Kosmo! baru-baru ini.

Ketua Kluster Governans Perundangan dan Pengurusan Awam Majlis Profesor Negara, Prof. Dr. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod, BN sudah pasti mempu­nyai strategi tertentu dalam meletakkan calon di setiap kerusi Parlimen dan DUN di Terengganu.

“Faktor pencalonan semula calon yang pernah digugurkan dan kalah pada PRU sebelum ini sangat subjektif tetapi mesti ada rasional ter­tentu berhubung keputusan itu.

“Tidak semestinya calon yang pernah kalah tidak berpeluang untuk menang. Ini adalah kerana kalah atau menang dalam setiap PRU bergantung kepada faktor-faktor lain juga,” ujarnya.

Sementara itu, Idris yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO ber­kata, sebagai bekas Menteri Besar Terengganu, beliau berpendapat calon BN yang diumumkan merupakan yang terbaik untuk dipilih oleh rakyat Terengganu.

“Perasaan tidak puas hati dalam kalangan segelintir penyokong BN negeri selepas nama pemimpin kegemaran mereka tidak tercalon merupakan situasi biasa dan bukan berlaku di Terengganu sahaja.

“Begitupun saya percaya ia hanya timbul pada peringkat permulaan dan akan kembali tenang tidak lama lagi,” katanya.

USM lancar projek Transformasi Penternakan Lebah Kelulut untuk penduduk Besut

MOHD. AZLI ADLAN

BESUT - Universiti Sains Malaysia (USM) memperluaskan projek Transformasi Penternakan Lebah Kelulut yang sebelum ini dijalankan di Kedah dan Perak ke daerah ini.

Naib Canselor USM, Prof. Datuk Dr. Asma Ismail berkata, projek penyelidikan strategik  itu memberi manfaat penduduk kampung daripada kategori berpendapatan isi rumah bawah 40 peratus (B40) menerusi pembinaan ladang berkelompok madu kelulut.

Beliau berkata, pengurusan ladang madu kelulut itu berasaskan inovasi Mustafa-Hive dan Sistem Hilda kelolaan penyelidik USM, Dr. Mohd. Zulkifli Mustafa.

"Mustafa-Hive merupakan sistem perumah kelulut yang tidak menggunakan tunggul kayu seperti kelaziman manakala sistem Hilda pula ialah teknik penuaian madu yang menyahkan sebahaguan besar kandungan air didalamnya bagi menghilangkan buih dan mengurangkan rasa masam.

"Madu kelulut yang dihasilkan berkualiti premium untuk pasaran antarabangsa dan nilai jualannya meningkat dari RM150 sekilogram (kg) kepada RM700kg," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis perasmian projek Transformasi Penternakan Lebah Kelulut yang disempurnakan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh di Ladang Kampung Pulau Berangan, Jertih di sini hari ini.


Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Perusahaan Perladangan dan Komoditi Terengganu, Datuk Muhammad Pehimi dan Mohd. Zulkifli. - K! ONLINE 

Friday, April 27, 2018

Pakatan pembangkang tampil tiga bekas pemimpin UMNO, Raja Bahrin bertanding Parlimen dan DUN

MOHD. AZLI ADLAN dan KAMARIAH KHALIDI

KUALA TERENGGANU - Pakatan pembangkang Terengganu mengumumkan 32 calon di Dewan Undangan Negeri (DUN) dan lapan Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Parti Amanah Nasional (PAN) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) masing-masing menampilkan 11 calon manakala Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pula 10 calon di DUN Terengganu.

Tiga calon masing-masing daripada PPBM dan dua lagi calon dari PKR pula bertanding di Parlimen.

Pengerusi pakatan pembangkang Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad bakal bertanding dua kerusi iaitu Parlimen Kuala Terengganu dan DUN Batu Burok.

Dalam perkembangan sama, pakatan pembangkang turut mencalonkan tiga bekas pemimpin UMNO iaitu bekas Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Mohd. Nor Othman di DUN Kuala Berang, bekas calon BN di DUN Rhu Rendang pada PRU-12, Datuk Razali Idris di Parlimen Hulu Terengganu dan Dr. Zarawi Sulong yang merupakan bekas Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO Bahagian Marang di Parlimen Marang dan DUN Rhu Rendang.

Mohd. Nor kini mewakili PKR, Razali (PPBM) dan Zarawi (PAN).


Pakatan pembangkang turut menampilkan dua wanita dari PKR iaitu Fatimah Lailati Omar di DUN Bukit Tunggal dan Syarifah Norhayati Syed Omar di DUN Telemong. - K! ONLIN

Tekong bot nelayan Vietnam cuba rasuah Pengarah Pangkalan Maritim Kemaman dipenjara empat bulan

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Seorang tekong bot nelayan warga Vietnam dijatuhi hukuman penjara empat bulan dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas kesalahan merasuah Pengarah Pangkalan Maritim Kemaman sebanyak RM1,000 pada Khamis lalu.

Tertuduh, Nguyen Van Ut, 50, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Vietnam oleh jurubahasa di hadapan Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz.

Berdasarkan pertuduhan, Van Ut didakwa memberi wang suapan berjumlah RM1,000 kepada Pengarah Pangkalan Maritim Kemaman, Muhmad Rezal Kamal Bashah di atas sebuah bot nelayan Vietnam pada pukul 2 pagi, 12 April lalu.

Perbuatan yang dilakukan pada kedudukan 43.3 batu nautika dari Tanjung Mat Amin, Kemaman tersebut bertujuan sebagai dorongan untuk melepaskan bot nelayan yang ditahan Maritim Malaysia (APMM) terbabit daripada tindakan undang-undang mengikut Akta Perikanan 1985 kerana mencerobohi perairan negara.


Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sekurang-kurangnya lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan. - K! ONLINE

Thursday, April 26, 2018

BN cadang bina sekolah sukan

BESUT – Sebuah sekolah sukan peringkat sekolah rendah yang pertama di Malaysia akan dicadang­kan untuk dibina di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi jika Barisan Nasional (BN) Terengganu memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, cadangan yang akan dikemukakan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) itu adalah untuk memaksimumkan kegunaan Kompleks Sukan Mini Jabi yang bakal memulakan pembinaannya bulan depan.

Menurutnya, kompleks sukan bernilai kira-kira RM9 juta itu akan mempunyai pelbagai kemudahan termasuk padang bola dan balapan bertaraf antarabangsa.

“Kita akan mencadangkan Sekolah Kebangsaan Jabi dekat sini yang terletak berhampiran tapak kompleks sukan mini ber­kenaan sebagai pe­rintis kepada projek itu.

“Jika BN terus diberi mandat sebagai kerajaan negeri, kami juga bersedia untuk membina bangunan asrama bagi tujuan sekolah sukan tersebut,” kata­nya selepas menghadiri program pemimpin bersama rakyat pe­ringkat DUN Jabi dekat sini semalam.

Hadir sama penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri Jabi, Mohd. Iskandar Jaafar dan Ke­tua UMNO Bahagian Setiu, Datuk Mohd. Jidin Shafie.

Pada majlis sama, Ahmad Razif turut mengadakan majlis pecah tanah kompleks sukan mini ber­kenaan di kawasan seluas kira-kira 2.025 hektar.

Beliau berkata, penubuhan sekolah sukan tersebut diyakini mampu memperkasa lagi usaha untuk mengesan lebih ramai bakat baharu dalam bidang sukan terutama melibatkan acara balapan dari peringkat awal lagi.

Wednesday, April 25, 2018

Pusat Alumni UMT diperkasa

PENGLIBATAN aktif bekas pelajar atau alumni merupakan antara elemen penting membantu pembangunan dan perkembangan sesebuah universiti seperti dibuktikan institusi pengajian tinggi berprestij dunia seperti Universiti Oxford dan Universiti Cambridge.

Menyedari kepentingan untuk menyemarakkan lagi semangat sayangkan alma mater (pusat pengajian) secara berterusan dalam kalangan bekas pelajarnya, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menerusi Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) telah menaik taraf Unit Alumni baru-baru ini.

Timbalan Naib Canselor (HEPA) UMT, Prof. Madya Dr. Che Ruzaidi Ghazali berkata, unit tersebut kini dikenali sebagai Pusat Alumni mulai 1 Januari lalu.

"Prof. Madya Dr. Mohamad Rosni Othman diberi tanggungjawab untuk menerajui Pusat Alumni UMT berkenaan. Pada peringkat awal, dua keutamaan ditetapkan iaitu memantapkan pengkalan data alumni dan mengukuhkan jalinan kerjasama dengan pihak industri terutama yang mempunyai tenaga kerja keluaran UMT,"  katanya pada temu bual khas di Pejabat HEPA, UMT, Kuala Nerus, Terengganu baru-baru ini.
Che Ruzaidi berkata, setakat ini, UMT mempunyai 26,570 orang alumni merangkumi graduan keluaran UMT dan Kolej Universiti Sains dan Teknologi (Kustem) sejak tahun 2003.

Menurut beliau, selain itu, siswazah yang pernah pernah belajar di kampus UMT di Kuala Nerus, Terengganu sewaktu ia di bawah pengurusan Universiti Putra Malaysia (sebelum ini dikenali sebagai Universiti Pertanian Malaysia) dari tahun 1983 hingga 2002 juga boleh menjadi ahli alumni bersekutu.

"Besar harapan kami agar seramai mungkin alumni dapat kembali menyumbang secara aktif sama ada dari segi kemahiran, jaringan industi mahu pun material demi perkembangan UMT.

"Antara yang dilakukan oleh alumni ialah menjadi mentor kepada pelajar, melibatkan diri dalam aktiviti anjuran universiti ataupun menyumbang kepada tabung zakat, wakaf dan tabung endowmen UMT," ujar beliau.

Sementara itu, Rosni berkata, bagi menanamkan semangat kecintaan kepada alma mater tersebut, pihaknya telah menerapkan slogan 'Kami Cakna, Kami Sayang UMT'.

Beliau berkata, pihaknya juga telah mengambil pendekatan untuk mendekati seramai mungkin bekas pelajar terutama yang berada di luar Terengganu mengikut zon pemastautin masing-masing seperti Utara, Lembah Klang, Selatan dan Malaysia Timur.

"Pengelasan zon-zon tersebut membolehkan alumni yang kini menetap di kawasan masing-masing berkumpul dan merancang sebarang aktiviti bersama-sama pengurusan universiti.

"Selain itu, kita juga mewujudkan Anjung Alumni di Bangunan HEPA UMT, kampus Kuala Nerus, Terengganu yang merupakan lokasi selesa bagi menggalakkan pertemuan antara kami dengan alumni, pihak industri untuk mengadakan perbincangan dan menganjurkan apa sahaja aktiviti bersama," katanya.

Rosni berkata, pihaknya juga telah menaik taraf portal Alumni UMT selain menyediakan platform e-alumni bagi membolehkan setiap aktiviti dan data melibatkan bekas pelajar universiti itu dapat dikemaskini dengan segera.

Ujar beliau, alumni UMT juga boleh melayari laman Facebook, Pusat Alumni UMT dan instagram, alumniumt_official bagi mendapatkan maklumat lanjut program-program anjuran pusat kelolaannya tersebut.

Dalam perkembangan sama, Che Ruzaidi berkata, penyertaan lebih ramai alumni diperlukan bagi memperkasakan lagi program kebajikan dan penyerlahan bakat pelajar anjuran HEPA UMT selama ini sebahagian besarnya dijana oleh yuran Tabung Amanah Kebajikan dan Aktiviti Pelajar.

Beliau berkata, HEPA UMT yang diterajuinya sentiasa mencari pendekatan terbaik memastikan kebajikan lebih 9,000 pelajar institusi pengajian tinggi itu telah terjaga bagi tidak mengganggu fokus mereka terhadap akademik dan pembangunan sahsiah serta bakat.

"HEPA UMT bekerjasama dengan Pusat Islam Sultam Mahmud untuk memberi bantuan sama ada secara one off (sekali bayaran) atau bulanan kepada pelajar Islam yang mengalami kesulitan kewangan menerusi tabung zakat dan wakaf.

"Bagi pelajar bukan Islam pula, bantuan diberikan menerusi dana Endowmen yang diwujudkan Pejabat Bendahari UMT," ujar beliau.

Che Ruzaidi berkata, pihaknya juga mengambil inisiatif mewujudkan laman Gerobok Rezeki yang menempatkan makanan sarapan dan tengah hari pada setiap hari untuk keperluan pelajar universiti tersebut yang kurang berkemampuan.
Menurut beliau, Gerobok Rezeki itu hasil sumbangan penderma dalam kalangan kakitangan UMT, pengusaha kafe dan individu persendirian ditempatkan di beberapa lokasi strategik seperti bangunan HEPA, Pusat Islam Sultan Mahmud dan Kelab Mutiara UMT.

"Kita juga menyediakan rak yang mengandungi barangan kering seperti beras, tepung gandum, bihun, gula dan susu yang disasarkan untuk pelajar UMT yang menetap di luar kampus.

Dalam pada itu, Che Ruzaidi memberitahu, HEPA UMT juga menyokong dasar Kementerian Pendidikan Tinggi untuk meningkatkan kebolehpasaran pelajar bagi menghadapi Revolusi Perindustrian 4.0 dengan membangunkan sistem e-resume dan e-profil.

Beliau berkata, menerusi sistem tersebut, setiap kegiatan kokurikulum pelajar akan dikemaskini secara terus selain membolehkan mereka memuat naik video bagi mempromosi kebolehan dan kemahiran masing-masing.
"Sistem ini bukan sahaja memberi nilai tambah kepada pelajar UMT malah memudahkan pihak industri untuk mengenalpasti potensi pencari kerja dalam kalangan produk UMT.

"Alumni juga boleh berperanan sebagai pemudah cara untuk menyarankan lepasan UMT yang baru menamatkan pengajian tersebut kepada majikan masing-masing berdasarkan sistem e-resume berkenaan," katanya.

13 muka baharu galas misi BN

KUALA TERENGGANU – Barisan Nasional (BN) Terengganu menampilkan 13 calon muka baharu bagi menggalas misi mengekalkan kemenangan parti pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, antara calon baharu tersebut ialah pakar motivasi ter­kenal, Dr. Tengku Asmadi Tengku Mohamad yang bakal bertanding di kerusi Parlimen Kuala Nerus dan bekas Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Terengganu, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail di Parlimen Kuala Terengganu.

Beliau yang merupakan Menteri Besar berkata, tiga bekas wakil rakyat yang digugurkan pada PRU-13 iaitu Datuk Rosol Wahid, Datuk Halim Jusoh dan Datuk Mohamad Awang Tera masing-ma­sing diberi kepercayaan bertanding semula di kerusi Parlimen Hulu Terengganu, Dewan Undangan Negeri (DUN) Permaisuri dan DUN Chukai.

“BN negeri juga meletakkan dua calon wanita iaitu Exco Pergerakan Wanita UMNO, Toh Puan Zaitun Mat Amin di kerusi DUN Bukit Payung dan Bendahari Pergerakan Wanita UMNO negeri, Datuk Zainun Abu Bakar di DUN Sura.

“Dua bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh dan Datuk Seri Ahmad Said mempertahankan kerusi ma­sing-masing iaitu Parlimen Besut dan DUN Kijal,” katanya kepada pemberita selepas mengumumkan calon BN Terengganu bagi PRU-14 di kediaman rasmi Menteri Besar, Seri Iman di sini semalam.

Ahmad Razif berkata, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Pihak Berkuasa Tempatan dan Kesejahte­raan Bandar negeri, Datuk Mohamad Jidin Shafie yang merupakan penyandang DUN Permaisuri pula kembali bertanding di Parlimen Setiu.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Jailani Johari yang sebelum ini merupakan Ahli Parlimen Hulu Terengganu dan Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (Parlimen Setiu) telah digugurkan daripada bertanding.

BN Terengganu sangkal dakwaan ramai rakyat negeri miskin

KUALA NERUS – Barisan Nasional (BN) Terengganu menempelak dakwaan Pas kononnya 19 peratus daripada rakyat negeri ini berada di bawah paras kemiskinan.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, dakwaan tersebut terlalu dangkal kerana hanya berasaskan penerima bantuan dana raya diberikan kerajaan negeri Terengganu diterajui BN pada setiap sambutan Hari Raya Aidilfitri.

“Penerima dana raya ini bukan semuanya miskin, kita juga telah menaikkan had kelayakan daripada gaji bulanan RM2,500 kepada RM3,000.

“Dana raya ini juga diberikan kepada anggota pasukan keselamatan tanpa mengira pangkat bagi menghargai jasa mereka,” katanya ketika ditemui ketika menghadiri program Jualan Sentuhan Rakyat di sini semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan Ketua Penerangan Pas Terengganu, Mohd. Nor Hamzah kononnya 19 daripada 100 rakyat ne­geri itu berada pada paras kemiskinan berdasarkan 239,323 penerima Dana Raya tahunan.

Ahmad Razif berkata, pemberian dana raya sebanyak RM400 bagi setiap isi keluarga berkelayakan itu sebenarnya bukan sahaja bertujuan untuk meringankan beban untuk menyambut perayaan malah untuk merancakkan ekonomi setempat.

Menurut beliau, ia ke­rana majoriti penerima dana raya tersebut mem­belanjakan wang pemberian terbabit untuk memberi kelengkapan raya di kawasan masing-masing.

“Ramai juga penerima dana tersebut terutama yang menetap di Besut dan Kemaman berbelanja di Kelantan dan Kuantan (Pahang) sekaligus membantu ekonomi dua negeri Pantai Timur itu juga.

“Terengganu sebenar­nya diiktiraf antara ne­geri terbaik dalam pembasmian kemiskinan dan kemiskinan tegar kita adalah sifar.

“Saya harap rakyat ne­geri ini tidak terpengaruh dengan dakwaan mengarut seperti ini,” katanya.

Tuesday, April 24, 2018

SUK Terengganu bersara awal untuk jadi calon BN

KUALA TERENGGANU – Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Terengganu, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail, 61, mengumumkan persaraan awal selepas beliau disebut-sebut bakal menjadi calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Beliau menamatkan per­khidmatannya sebagai penjawat awam empat bulan lebih awal daripada tarikh asal iaitu Ogos depan.
“Sedih hendak mening­galkan perkhidmatan awam, pastinya tempoh 37 tahun sebagai kakitangan kerajaan memberi pengalaman amat berharga kepada saya,” katanya kepada pemberita selepas  mengimbas cap ibu jari pada mesin pe­rakam waktu terakhir di Wisma Darul Iman di sini semalam.

Wan Nawawi berkata, beliau ditawarkan untuk menjadi calon BN sejak enam bulan lalu tetapi waktu itu pihaknya belum bersedia.
“Sebenarnya saya sudah lama terlibat dalam parti melalui Pergerakan Pemuda dan UMNO Bahagian,” katanya.

Wan Nawawi berkelulusan Sarjana Muda Sains Sosial Universiti Kebangsaan Malaysia dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan Universiti Oklahoma City, Amerika Syarikat. Beliau pernah menjadi Pegawai Kewangan Terengganu, Pegawai Daerah Kuala Terengganu dan Setiu.

Monday, April 23, 2018

Abdul Hadi lepas DUN Rhu Rendang, tumpu tadbir parti

MARANG – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberitahu, beliau melepaskan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang yang disandangnya selama 36 tahun pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) untuk memberi lebih tumpuan terhadap parti di peringkat nasional.
Pas mempertaruhkan Setiausaha Politik Abdul Hadi, Prof. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar untuk mempertahankan kerusi DUN berkenaan yang dikuasai parti itu sejak tahun 1982.

Bagaimanapun Abdul Hadi  akan bertanding di Parlimen Marang.

Menurut Abdul Hadi, walaupun tidak lagi bertanding di DUN Rhu Rendang, beliau mahu rakyat Terengganu menzahirkan pilihan yang bijak pada PRU-14.

“Saya sudah menjadi wakil rakyat sejak tahun 1982 dan sekarang hendak tumpu kepada pentadbiran di peringkat pusat selain terlibat dengan badan-badan bukan kerajaan di peringkat antarabangsa.
“Jadi saya menyeru supaya rakyat memilih calon dengan melihat kepada parti, dasar serta konsep dan bukan individu semata-mata,” katanya kepada pembe­rita selepas majlis pengumuman calon Pas Terengganu PRU-14 di Dewan Tok Guru, Rusila di sini kelmarin.

Pada majlis itu, Pas Terengganu mengumumkan 19 calon muka baharu yang akan bertanding di 32 kerusi DUN dan lapan Parlimen Terengganu pada PRU-14.

Kira-kira 60 peratus daripada keseluruhan 40 calon di negeri ini memiliki latar belakang pengajian Islam, 22 peratus daripada bidang profesional manakala selebihnya merupakan usahawan berjaya.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, walaupun Ahmad Samsuri berasal dari Besut, beliau tetap yakin dengan tahap sokongan pengundi.

Sunday, April 22, 2018

BN Terengganu umum 32 calon DUN, lapan Parlimen

MOHD. AZLI ADLAN dan KAMARIAH KHALIDI

KUALA TERENGGANU  - Pakar motivasi terkenal, Tengku Asmadi Tengku Mohamad sah dicalonkan Barisan Nasional (BN) untuk bertanding di Parlimen Kuala Nerus pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail yang baru bersara berkuat kuasa hari ini pula dipertaruhkan BN untuk merebut kembali kerusi Parlimen Kuala Terengganu.

BN Terengganu turut mempertaruhkan dua calon wanita iaitu Exco Pergerakan Wanita, Toh Puan Zaitun Mat Amin di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payung dan Bendahari Pergerakan Wanita negeri, Datuk Zainun Abu Bakar di DUN Sura.

Dua penyandang pula digugurkan iaitu Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Jailani Johari dan Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh yang masing-masing merupakan penyandang Parlimen Hulu Terengganu dan Setiu.

BN negeri juga kembali memberi kepercayaan kepada dua wakil rakyat yang digugurkan pada PRU-13 dengan mencalonkan semula Datuk Rosol Wahid dan Datuk Mohamad Awang Tera masing-masing di Parlimen Hulu Terengganu dan DUN Chukai.

Pengerusi Jawankuasa Perumahan, Pihak Berkuasa Tempatan dan Kesejahteraan Bandar Terengganu, Datuk Mohamad Jidin Shafie yang merupakan penyandang DUN Permaisuri pula kembali bertanding di Parlimen Setiu.

Dua bekas Menteri Besar Terengganu iaitu Datuk Seri Idris Jusoh dan Datuk Seri Ahmad Said juga kekal bakal mempertahankan kerusi masing-masing iaitu Parlimen Besut dan DUN Kijal.


Pengumuman calon BN Terengganu itu dilakukan Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman yang turut akan mempertahankan DUN Seberang Takir di Kediaman Rasmi Seri Iman di sini sebentar tadi.

Tampil 19 calon wakil rakyat baharu

KUALA NERUS - Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman mula mendedahkan sebahagian calon yang bakal ditampilkan Barisan Nasional (BN) negeri untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Beliau yang juga  Pengerusi BN negeri berkata, pakar motivasi terkenal, Dr. Tengku Asmadi Tengku Mohamad turut bertanding pada PRU-14 kali ini.

Katanya, Pegawai Pembangunan Kuala Nerus, Datuk Mohd. Basir Ismail; Penyelas Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tunggal, Tuan Arif Sahibu Fadillah Tuan Ahmad dan Penyelaras DUN Teluk Pasu, Che Mansor Salleh juga merupakan calon baharu PRU-14.

Tambahnya, Ketua Wanita UMNO Bahagian Marang turut disenaraikan sebagai calon wanita BN pada PRU-14.

"Sebagai Ketua Bahagian Kuala Nerus dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, saya umumkan kelima-lima calon ini sudah sah akan bertanding bagi DUN dan Parlimen Kuala Nerus.

"Namun, tempat mereka akan bertanding saya tidak mahu beritahu. Kita tunggu pengumuman rasmi sama ada pada hari Ahad (esok) atau Isnin (lusa), katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu merasmikan program Jelajah Cakna Ibu Tunggal bersama Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Terengganu (Serikandi) Terengganu di Stadium Tertutup Gong Badak di sini semalam.

Ahmad Razif yang juga penyandang Ahli Dewan Udangan Negeri Seberang Takir dalam Parlimen Kuala Nerus memberitahu BN Terengganu bakal menampilkan sekurang-kurangnya 19 muka baharu daripada 40 calon yang bertanding pada pilihan raya kali ini.

"Ada di antara penyandang kerusi pada PRU lalu bakal digugurkan, InsyaAllah sehari dua lagi saya akan buat pengumuman penuh. Saya mengaku sebahagian daripada mereka (calon BN) sudah mengetahuinya," katanya.

Saturday, April 21, 2018

Idris dan Muhammad Pehimi membayangkan kekal pertahan kerusi Parlimen Besut dan DUN Jertih

BESUT - Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Perusahaan Perladangan dan Komoditi Terengganu, Datuk Muhammad Pehimi Yusof membayangkan mereka akan mempertahankan kerusi masing-masing pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Idris merupakan penyandang kerusi Parlimen Besut manakala Muhammad Pehimi pula penyandang DUN Jertih.

Muhammad Pehimi yang juga Setiausaha UMNO Terengganu berkata, Idris kekal bertanding untuk mempertahankan kerusi Parlimen Besut yang dimenanginya pada PRU-13 lalu.

"Saya ada berita gembira, Tok Yeh (Idris) akan bertanding lagi di Parlimen (Besut). Dua tiga hari lepas saya dapat berita, beliau pergi ke Kuala Lumpur untuk mengambil gambar sebagai calon (PRU-14).

"Besut telah mendapat banyak manfaat daripada kerja keras Tok Yeh (sebagai Ahli Parlimen) apatah lagi kedudukan beliau sebagai Menteri Pengajian Tinggi," kataya ketika berucap pada majlis perasmian projek Transformasi Lebah Kelulut anjuran Universiti Sains Malaysia (USM) di Kampung Pulau Berangan, Jertih di sini hari ini.

Sementara itu, Idris sewaktu ucapan perasmiannya selepas itu pula membayangkan Muhammad Pehimi kekal mempertahankan DUN Jertih. - K! ONLINE

BN Terengganu sangkal dakwaan Pas kononnya ramai rakyat negeri ini miskin

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS - Barisan Nasional (BN) Terengganu menempelak dakwaan Pas kononnya 19 peratus daripada rakyat negeri ini berada di bawah paras kemiskinan.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, dakwaan tersebut terlalu dangkal kerana hanya berasaskan penerima bantuan dana raya diberikan Kerajaan negeri Terengganu diterajui BN pada setiap sambutan Hari Raya Aidilfitri.

"Penerima dana raya ini bukan semuanya miskin, kita juga telah menaikkan had kelayakan daripada gaji bulanan RM2,500 kepada RM3,000. 

"Dana raya ini juga diberikan kepada anggota pasukan keselamatan tanpa mengira pangkat bagi menghargai jasa mereka. Takkan Ketua Polis Negeri taraf (tergolong) miskin," katanya ketika ditemui ketika menghadiri program Jualan Sentuhan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan Ketua Penerangan Pas Terengganu, Mohd. Nor Hamzah kononnya 19 daripada 100 rakyat negeri itu berada pada paras kemiskinan berdasarkan 239,323 penerima dana raya tahunan.


Ahmad Razif berkata, pemberian dana raya sebanyak RM400 bagi setiap isi keluarga berkelayakan itu sebenarnya bukan sahaja bertujuan untuk meringankan beban untuk menyambut perayaan malah untuk merancakkan ekonomi setempat. - K! ONLINE 

Friday, April 20, 2018

Pas Terengganu umum 32 calon DUN, lapan Parlimen

MOHD. AZLI ADLAN dan KAMARIAH KHALIDI

MARANG - Ketua Dewan Pemuda Pas, Muhammad Khalil Abdul Hadi diletakkan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Burok pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
Anak Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tersebut menggantikan penyandang DUN berkenaan, Dr. Syed Azman Syed Ahmad Nawawi yang digugurkan.
Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Prof. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar pula dicalonkan untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Abdul Hadi di DUN Rhu Rendang.
Abdul Hadi dan Ahli Majlis Syura Ulamak Pas, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali pula masing-masing mempertahankan Parlimen Marang dan Kuala Nerus.
Pas Terengganu juga mengekalkan hampir keseluruhan 15 penyandang DUN dan empat Parlimen kecuali Syed Azman dan bekas Pesuruhjaya Pas negeri, Abdul Wahid Endut (Wakaf Mempelam).
Penyandang Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad pula meninggalkan Pas untuk menyertai Parti Amanah Nasional dan mencalonkan Pengarah Jabatan Penerangan Pas Pusat, Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim untuk kerusi tersebut pada PRU-14.
Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Husein Awang yang tidak bertanding mengumumkan calon-calon tersebut di Dewan Tok Guru, Rusila, Marang sebentar tadi. - K! ONLINE


150 pelajar UMT jadi sukarelawan program KPT4U

BESUT - Seramai 150 pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) terlibat program jelajah, KPT4U anjuran Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) di tiga sekolah di daerah ini hari ini.

Naib Canselor UMT, Prof. Dato' Dr. Nor Aieni Hj. Mokhtar berkata, pameran jelajah terbabit yang disertai warga UMT terbabit memberi manfaat kepada 1,200 murid tiga sekolah rendah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tembila, SK Tok Raja dan SK Keruak dekat sini.

"Pelbagai aktiviti pemindahan ilmu seperti pameran pelbagai spesimen haiwan terancam dan pendedahan kepada ilmu STEM (sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik).

"Selain itu, murid-murid terbabit juga berpeluang menjalani pemeriksaan kesihatan dan gigi secara percuma sepanjang penganjuran pameran jelajah tersebut," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Program yang turut dihadiri Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT, Prof. Madya Dr. Che Ruzaidi Ghazali itu dirasmikan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh.

Sementara itu, Idris memuji semangat kesukarelawan yang ditonjolkan pelajar UMT yang menyertai program KPT4U bertemakan Ceria ke Sekolah berkenaan.

Beliau berkata, program KPT4U merupakan medium terbaik untuk memperkasakan lagi semangat kesukarelawanan dalam kalangan pelajar.

"Pelajar UMT terlibat bukan sahaja boleh mendekati komuniti dengan lebih dekat malah menjiwai kehidupan dan permasalahan dalam masyarakat setempat.

"Ia selaras dengan inisiatif Gap Year yang diperkenalkan KPT bagi membolehkan pelajar universiti tempatan bercuti belajar sehingga setahun untuk terlibat aktiviti kesukarelawan," katanya. - K! ONLINE

Pengurus restoran sebar gambar lucah bekas teman wanita dijel

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang pengurus restoran dijatuhi hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam selepas dia menukar pe­ngakuan bersalah bagi tiga pertuduhan menyebarkan gambar lucah bekas teman wanita­nya yang kini merupakan seorang doktor di dalam laman blog, tiga tahun lalu.

Hakim Azman Mustapha me­ngarahkan tertuduh, Mohammad Khairul Abidin Abdul Rahim, 34, menjalani hukuman penjara setahun bagi setiap pertuduhan secara berasingan.

Ketika dituduh pada 28 Mac lalu, bapa kepada seorang anak berusia dua tahun itu mengaku tidak bersalah apabila pertuduhan terhadapnya dibacakan dan dia ditahan di Penjara Marang apabila gagal membayar wang jaminan yang ditetapkan seba­nyak RM30,000.

Dalam penghakimannya, Azman berkata, beliau bersetuju dengan hujahan pihak pendakwaan bahawa perbuatan tertuduh menyebarkan gambar mengaibkan mangsa adalah keji dan bertujuan untuk menghancurkan masa depan wanita itu.

“Tertuduh dalam rayuannya juga tidak menunjukkan sebarang kekesalan mahu pun memohon maaf kepada mangsa atas perbuatannya itu,” katanya.

Berdasarkan ketiga-tiga pertuduhan, Mohammad Khairul didakwa telah memulakan penghantaran komunikasi bersifat lucah dengan niat untuk menganiaya pengadu.

Tertuduh yang berasal dari Kampung Atas Tol, di sini didakwa memuat naik kandungan lucah itu di dalam laman blog menerusi apli­kasi blogspot dan wordpress dari 4 Julai hingga 16 Jun 2015.

Pengadu terbaca kandungan itu di sebuah rumah di Chendering, Kuala Terengganu pada pukul 3 petang, 3 Ogos 2015 sebelum membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara sehingga setahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

500 peniaga wanita terlibat Karnival Usahawanita

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KEMAMAN - Seramai 500 peniaga terdiri daripada kaum wanita terlibat dalam Karnival Usahawanitaanjuran Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di Pantai Kuala Kerteh di sini semalam.

Karnival dengan tema Segalanya Wanita itu akan berlangsung selama tiga hari.

Timbalan Kedua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd. Sallehuddin Hassan berkata,  Karnival Usahawanita merupakan previu bagi himpunan usahawan wanita terbesar negara yang bakal diadakan pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA 2018) November depan.

"Karnival kini menjelajah ke zon Timur di Pantai Kuala Kerteh di sini selepas mendapat sambutan menggalakkan pada dua edisi sebelumnya iaitu di Lundu, Sarawak dan Teluk Intan, Perak.

"Sambutan yang di terima pada hari pertama Karnival Usahawanita Zon Timur ini amat menggalakkan dan kita menjangkakan kehadiran pengunjung akan meningkat kepada 30,000 orang selepas perasmiannya esok (hari ini)," katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.

Mohd. Sallehuddin berkata,  karnival itu terbahagi kepada lapan kluster iaitu Kesihatan, Pelancongan, Produk Industri Asas Tani, Kulinari, Perkembangan Awal Kanak-Kanak, Florikultur dan Segar.

Menurut beliau, ia akan dirasmikan Penasihat Pembangunan Keusahawanan dan Ikhtisas Wanita Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil hari ini.

"kesemua produk pertanian dan industri asas tani yang dijual di Kluster Segar yang dijual pada harga antara lima hingga 20 peratus lebih murah daripada pasaran," katanya.

Tambah beliau, paling menarik, gerai jualan di kluster berkenaan juga menawarkan 25,000 biji kobis bulat yang dijual pada harga RM2 sebiji.

"Setiap biji kobis bulat yang dijual seberat lebih dua kilogram (kg). Ia bermakna sekilo kobis berkenaan cuma berharga kira-kira RM1 sahaja dan 50 peratus lebih murah dari nilai pasaran," katanya.

Thursday, April 19, 2018

Wan Nawawi bersara awal, beri laluan jadi calon BN Parlimen Kuala Terengganu

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail mengumumkan persaraan awal bagi memberi laluan kepadanya untuk dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Wan Nawawi, 61, berkata, beliau akan menamatkan perkhidmatannya sebagai penjawat awam pada Ahad ini, empat bulan lebih awal dari tarikh asal iaitu Ogos depan.

"Sedih hendak meninggalkan perkhidmatan awam, pastinya tempoh 37 tahun sebagai kakitangan kerajaan memberi pengalaman amat berharga kepada saya untuk menempuh masa mendatang.

"Saya terpaksa melepaskan jawatan (Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu) kerana terpilih untuk bertanding sebagai calon BN bagi P36 Kuala Terengganu (pada PRU-14)," katanya ketika ditemui selepas beliau mengetik kad perakam waktu terakhir sebagai penjawat awam di Wisma Darul Iman di sini hari ini.


Wan Nawawi berkata, beliau ditawarkan untuk menjadi calon BN bagi Parlimen Kuala Terengganu oleh kepimpinan BN sejak kira-kira enam bulan lalu. - K! ONLINE 

TFC II puas kecewakan JDT II

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

TERENGGANU Football Club II (TFC II) akhirnya melakar kemenangan sulung di gelanggang sendiri selepas menumpaskan Johor Darul Ta’zim II (JDT II) 2-1 pada aksi Liga Premier di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu kelmarin.

Tiga mata yang diperoleh itu amat berharga kerana ia merupakan kemenangan kedua yang berjaya dilakar anak-anak buah Mustaffa Kamal Abd. Wahab sepanjang tujuh aksi Liga Premier setakat ini.

Mustaffa berkata, para pemain telah menunjukkan peningkatan yang membanggakan dengan memainkan peranan masing-masing di tengah padang secara berkesan sepanjang 90 minit perlawanan.

“Kita layak untuk mendapat tiga mata ini kerana telah bermain dengan komitmen tinggi sehingga mampu menumbangkan JDT II yang dibarisi beberapa pemain kebangsaan.

“Selalunya kita mudah dibolosi menerusi taktik set-piece, namun kali ini kita pula berjaya menjaringkan gol kemenangan menerusi cara tersebut,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan kelmarin.

Mustaffa berkata, gol kemenangan berpunca daripada sepakan percuma pada minit ke-76 tersebut dihasilkan menerusi tandukan pemain pertahanan, Muhammad Radhi Mohd. Yusof yang beraksi buat pertama kali dengan TFC II.

Jelas beliau, Radhi merupakan salah seorang daripada pemain TFC I termasuk penyerang Korea Selatan, Lee Jun-hyeob yang dilepaskan untuk beraksi dengan pasukannya baru-baru ini.

“Begitupun, barisan serangan kami yang dikemudi oleh Akanni-Sunday Wasiu dan Jun-hyeob dilihat masih memerlukan masa untuk membentuk keserasian.

“Saya akui Sunday Wasiu agak bergelut untuk mendapatkan semula sentuhannya selepas gandingannya sebelum ini, Bruno Suzuki beralih ke TFC I,” katanya.

TN50 polisi terbaik untuk pembangunan negara

KUALA NERUS - Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang merupakan inisiatif pembangunan negara dalam tempoh 30 tahun dari tahun 2020 hingga 2050 merupakan polisi terbaik kerajaan Barisan Nasional yang berpandangan jauh.

Veteran UMNO, Tan Sri Dr. Syed Hamid Albar berkata, TN50 membentuk dasar jelas  bagi menyediakan rakyat negara ini terutama dalam kalangan generasi muda untuk berdepan dengan Resolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0).

Beliau yang juga bekas Menteri Luar Negeri berkata, tanpa sebarang persediaan rapi, rakyat negara ini sudah pasti akan menghadapi kesukaran untuk berhadapan dengan cabaran baru  pada era IR 4.0.

"TN50 adalah polisi terbaik. Kita telah meletakkan sasaran dan matlamat untuk 30 tahun lagi selepas berakhirnya Wawasan 2020.

"Yang penting, kita perlu memastikan rakyat negara ini berjaya menghadapi dengan IR 4.0 termasuk dalam isu-isu melibatkan sumber manusia," katanya ketika ditemui selepas menjadi salah seorang panel pada Persidangan Antarabangsa Modal Insan di sini semalam.

Persidangan bertemakan Pemupukan Sumber Manusia ditengah-tengah Revolusi Perindustrian 4.0 itu merupakan anjuran bersama Pusat Pengajian Sumber Manusia, Universiti Kebangsaan Malaysia dengan kerjasama Pertubuhan Legasi Tun Abdullah Ahmad Badawi.

TFCII enggan beri laluan mudah kepada Felda United

TERENGGANU FC II (TFCII) mengharapkan ketajaman pemain import Korea Selatan, Lee Jun-Hyeob untuk mengempur pendahulu liga  Felda United pada aksi Liga Premier di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam ini, lapor MOHD. AZLI ADLAN.

Pengendali TFCII, Mustaffa Kamal Abd. Wahab berkata, beliau mengakui persefahaman anak buahnya sedikit terjejas apabila tiga pemain tonggak termasuk penyerang utama, Bruno Junichi Suzuki diserap masuk untuk memperkuatkan pasukan 'abang', TFC1 baru-baru ini.

"Begitu pun, kemasukan beberapa pemain-pemain TFC1 termasuk Jun-Hyeob diyakini mampu memberi nafas baharu kepada pasukan ini.

"Saya juga berharap penyerang kelahiran Korea Selatan itu dapat membuktikan kemampuan sebenarnya dalam ujian pertama dia untuk membantu TFCII berhadapan Felda United malam esok (ini)," katanya.

Mustaffa Kamal berkata, beliau optimis penyerang import berusia 28 tahun itu mampu untuk menyerlah bersama kelab baharunya tersebut sekali gus menjadi duri dalam daging terhadap pasukan pelawat yang dikendalikan jurulatih berpengalaman, B. Sathianathan.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, TFCII telah mengguna rehat panjang sebelum ini untuk membuat persiapan cukup rapi bagi menghadapi Felda United yang juga dikenali sebagai The Fighters.

"Kita sedar Felda United dibarisi pemain berkualiti dan satu-satunya pasukan dalam Liga Premier yang mengekalkan rekod kemenangan dalam semua lima aksi sebelum ini.

"Begitupun, ia tidak bermakna TFCII akan memberi laluan mudah kepada pasukan tersebut dan pastinya kami juga mahu menang di hadapan penyokong sendiri," katanya.

habis

Wednesday, April 18, 2018

Papar kejayaan anak Terengganu

KUALA TERENGGANU – Barisan Nasional (BN) Terengganu mula memasang seba­nyak 72 papan iklan yang memaparkan 144 kisah kejayaan utama kerajaan ne­geri sepanjang tempoh lima tahun sejak Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) di lokasi-lokasi strategik sekitar bandar raya ini.

Kisah kejayaan menerusi papan iklan tersebut meliputi bidang sosial dan keagamaan, ekonomi, keusahawanan, sukan, pendidikan dan pemba­ngunan fizikal merupakan testimoni BN Terengganu untuk terus menerima kepercayaan rakyat negeri itu pada PRU-14.

Ia termasuklah 14 cerita kejayaan anak-anak kelahiran Terengganu pada peringkat nasional dan antarabangsa sebagai mengiktiraf kehebatan dan semangat juang mereka.

Antara cerita kejayaan anak jati Terengganu itu ialah kejayaan pendaki solo, Mohd. Noor Mat Amin, 51, menawan tujuh puncak Banjaran Himalaya, Asia Tengah yang setiap satu mempunyai ketinggiannya melebihi 5,000 meter dari aras laut pada tahun lalu.

Pencapaian jurufoto Utusan tersebut dalam Cabaran Himalaya dari 26 April hingga 14 Mei 2017 membolehkan beliau menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records.

Anak jati Kuala Nerus tersebut diiktiraf sebagai rakyat Malaysia pertama berjaya menawan kesemua tujuh puncak banjaran tertinggi di dunia.

Papan iklan yang memaparkan kejayaan Mohd. Noor di Jalan Kuala Berang berhampiran persimpanan masuk Pengadang Baru di sini menarik perhatian orang ramai yang melalui laluan utama tersebut.

Sebelum ini, 144 kisah kejayaan utama kerajaan ne­geri Terengganu berkenaan telah dipamerkan pada Ekspo Terengganu yang diadakan di Kompleks Sukan Negeri, Kuala Nerus pada 23 Februari hingga 4 Mac lalu.

Juruteknik disyaki cabul 12 murid perempuan diberkas

MOHD. AZLI ADLAN

MARANG - Tangisan seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun yang disedari seorang guru di hadapan tandas sebuah sekolah rendah di daerah ini pada akhir bulan lalu membongkar perbuatan pedofilio disyaki didalangi seorang juruteknik sejak lebih setahun lalu.

Lelaki berusia 20 tahun tersebut disyaki terlibat dalam sekurang-kurangnya 14 kes cabul melibatkan 12 kanak-kanak perempuan yang kebanyakan dilakukan di dalam kawasan sekolah rendah di daerah ini dan Kuala Terengganu sebelum berjaya diberkas polis pada 27 Mac lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Fazlisyam Abdul Majid berkata, kebanyakan mangsa merupakan murid perempuan berusia dalam lingkungan lapan hingga 12 tahun yang sedang menunggu ibu bapa mengambil mereka sama ada di dalam kawasan atau di luar pagar sekolah selepas waktu persekolahan.

Beliau berkata, modus operandi lelaki tersebut ialah memasuki kawasan sekolah antara pukul 1 tengah hari hingga 2 petang untuk mencari mangsa berpotensi sebelum memujuk murid perempuan tersebut memasuki kelas atau tandas untuk melakukan perbuatan cabul.

"Dia juga telah merakam video setiap perbuatan cabul tersebut di dalam telefon pintar miliknya untuk koleksi peribadi. Selain kawasan sekolah, suspek juga dipercayai melakukan perbuatan pedofilio terbabit di kawasan semak dan perumahan.


"Perbuatan jijiknya terbongkar apabila tangisan mangsa terakhir berusia lapan tahun selepas dicabul di dalam sebuah tandas sekolah pada 27 Mac lalu disedari seorang guru yang kemudian membawa kanak-kanak itu membuat aduan di Balai Polis Marang di sini," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Marang hari ini. - K! ONLINE 

Calon wanita di DUN Terengganu

KUALA NERUS – Barisan Nasional (BN) Terengganu akan menampilkan calon wanita untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, calon wanita terbabit berkemungkinan besar akan bertanding di salah satu daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan empat kerusi Parlimen negeri tersebut yang dimenangi pembangkang.

“Walaupun calon wanita itu diletakkan di kerusi yang dipertahankan pembangkang, kerusi berkenaan tidaklah sukar untuk dimenangi.

“Siapa, berapa dan di mana calon wanita terbabit akan bertanding di Terengganu ini biar­lah didedahkan pada hari pe­ngumuman calon BN negeri pada minggu depan,” katanya selepas menyampaikan Anugerah JKKK Terengganu di Stadium Tertutup Gong Badak di sini semalam.

Pada majlis tersebut, JKKK Rawai, Marang dinobatkan sebagai johan keseluruhan sekali gus menggondol hadiah wang tunai RM50,000 dan projek bernilai RM100,000.

Ahmad Razif berkata, pemilihan calon wanita untuk bertan­ding mewakili BN di Terengganu merupakan kehendak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak setelah penilaian teliti dari segenap aspek dilakukan.

Menurut beliau, pihaknya juga percaya calon wanita terbabit dapat diterima dengan baik oleh pemimpin setempat dan soko­ngan akar umbi di kawasan ter­babit sekali gus membolehkan BN menang.

“Kita tidak mahu sebarang perbuatan ‘cah keting’ (sabotaj) berlaku lagi pada PRU-14 kali ini dan bersiap sedia dengan penubuhan pasukan penyelesaian krisis untuk menangani sebarang kemungkinan. Saya akui ada beberapa penyandang wakil rakyat BN terpaksa digugurkan untuk memberi laluan kepada muka baharu.

Kali terakhir BN Terengganu meletakkan calon wanita untuk bertanding adalah pada PRU-12 (2008) iaitu bekas Ketua Puteri UMNO negeri, Nordiana Shafie di DUN Batu Burok tetapi tewas kepada calon Pas.