Translate

Friday, October 25, 2019

Pelajar UniSZA ke kuil Hindu laku kajian lapangan

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Sekumpulan pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang ditularkan di dalam media sosial berada di sebuah kuil Hindu di bandar raya ini sebenarnya terlibat dalam aktiviti kajian lapangan bagi kursus Agama dan Masyarakat.

Ketua Pusat Pengajian Antropologi dan Dakwah, UniSZA, Mohamad Hafis Amat Simim berkata, pelajar terbabit merupakan jurusan Sains Sosial (Antropologi dan Dakwah) yang ditugaskan membuat penyelidikan berhubung praktis agama dan juga kepercayaan masyarakat. 

Beliau berkata, kumpulan 13 pelajar yang kesemuanya beragama Islam berkenaan telah memilih sebuah kuil di Kuala Terengganu bagi menjalankan kajian lapangan bagi memahami praktis agama Hindu.

"Mereka hanya bertindak sebagai penyelidik dengan melakukan aktiviti temubual bersama responden dan tidak terlibat langsung dalam mana-mana ritual agama Hindu yang dilakukan di dalam kuil tersebut.

"Ingin ditegaskan program penyelidikan yang dijalankan itu bersifat akademik dan tidak menyentuh mana-mana sensitiviti agama Hindu mahu pun Islam," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohamad Hafis berkata demikian sebagai mengulas penularan gambar kumpulan pelajar tersebut di dalam kuil terbabit yang menerima kecaman segelintir netizen ekoran salah faham.

Beliau juga menjelaskan program kajian lapangan berkenaan telah mendapat persetujuan pengurusan kuil Hindu terbabit selain makanan yang disediakan kepada kumpulan pelajar tersebut sepanjang aktiviti itu disediakan katering Muslim.

"Kursus ini diselia oleh Profesor dan ahli akademik yang berpengalaman dalam bidang sains sosial. Ada juga pelajar lain dalam kursus sama mengkaji agama dan kepercayaan lain seperti Islam, Kristian, Yahudi dan Buddha.


"Sehubungan itu,  kami memohon penularan isu ini yang berniat jahar bukan sahaja mahu menjatuhlam kredibiliti dan reputasi pelajar UniSZA malah ingin mencetuskan ketegangan antara masyarakat dan agama di negara ini dapat dihentikan," katanya. - K! ONLINE

Thursday, October 24, 2019

JBPM pertimbang beri anugerah kepada Narresh, Mohd. Hafizan

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mempertimbang untuk memberi anugerah kepada dua saksi Inkues Kematian Muhammad Adib Mohd. Kassim iaitu R. Narresh dan Mohd. Hafizan Nordin.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata,  anugerah tersebut sebagai menghargai jasa Narresh dan Mohd. Hafizan yang telah bergadai nyawa membantu anggota bomba berkenaan sewaktu insiden rusuhan di sebuah kuil Sri Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

"InsyaAllah kita akan mempertimbangkan (anugerah kepada Narresh dan Mohd. Hafizan). Kita hargai semua pihak yang banyak membantu.

"Kita ada Jawatankuasa khas yang menilai apa-apa penganugerahan termasuk pingat bukan sahaja untuk (kakitangan) jabatan tetapi rakyat dan agensi lain," katanya selepas menyaksikan perlawanan akhir kejohanan bola sepak Piala Ketua Pengarah JBPM di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah sini hari ini.

Mahkamah Koroner Shah Alam pada 27 September lalu memutuskan kematian Muhammad Abib yang terlibat dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Mariamman berpunca daripada perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu tidak dikenali.

Koroner Rofiah Mohamad membuat keputusan itu selepas meneliti dan menilai semua keterangan 30 saksi termasuk Narresh dan Mohd. Hafizan yang masing-masing merupakan sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan bekas tentera.


Keputusan tersebut melegakan Narresh yang dikecam teruk manakala Mohd. Hafizan kehilangan pekerjaaan akibat insiden tersebut sekali gus membuktikan kebenaran keterangan mereka sepanjang inkues. - K! ONLINE

Wednesday, October 23, 2019

16 nelayan Vietnam terjun ke laut elak ditahan APMM

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Sekumpulan 16 nelayan Vietnam yang disyaki mencerobohi perairan negara nekad terjun ke laut apabila menyedari dikejar kapal Maritim Malaysia (APMM) pada kedudukan 108 batu nautika dari muara Sungai Terengganu dekat sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 9.57 pagi itu,  kesemua nelayan asing berusia dalam lingkungan 15 hingga 47 tahun berkenaan telah berenang ke arah Pelantar Minyak Berganding bagi mencari perlindungan namun digagalkan pasukan penguat kuasa APMM.

Pengarah Maritim Zon Kemaman, Rashidilhadi Abd. Rashid berkata, bot nelayan yang dikepung kapal maritim APMM itu bertindak melarikan diri dengan memecut laju ke arah pelantar minyak tersebut yang terletak kira-kira lima batu nautika dari lokasi mereka menangkap ikan.

Beliau berkata, kesemua suspek nekad terjun ke laut dan berenang ke arah tangga pelantar sebaik bot nelayan mereka menghampiri kira-kira 100 meter ke Pelantar Minyak Berganding.

"Pekerja pesisir pantai yang berada di pelantar minyak itu segera menutup pintu akses utama sebelum membantu anggota penguat kuasa APMM menahan 16 nelayan asing terbabit.

"Ini kes pertama nelayan Vietnam yang mahu ditahan APMM bertindak nekad terjun dari bot semata-mata mahu mengelak ditahan," katanya pada sidang akhbar di Pejabat APMM Terengganu di sini hari ini.

Rashidilhadi berkata, pemeriksaan mendapati kesemua suspek tersebut tidak memiliki dokumen perjalanan dan permit kerja yang sah.

Tambah beliau, bot nelayan Vietnam itu juga tidak memiliki kebenaran untuk menangkap ikan di perairan negara oleh Jabatan Perikanan.

"Bot, peralatan menangkap ikan, hasil laut dan minyak diesel yang dianggarkan bernilai hampir RM1 juta telah disita dan ditunda ke Jeti Pejabat APMM Terengganu.


"Kes disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63," katanya. - K! ONLINE

Tuesday, October 22, 2019

Tiga beradik yatim piatu sukar tidur rindukan ibu bapa

MOHD. AZLI ADLAN

MARANG -  Tiga beradik yang menjadi yatim piatu tidak dapat melelapkan mata selama tiga hari lantaran terlalu rindu ibu bapa mereka, Muhammad Noor Idham Ramli, 31, dan Surawati Mohd., 33, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 134, Jalan Kuantan - Seremban berhampiran Muadzam Shah, Rompin, Pahang pada Khamis lalu.

Nenek mereka, Zainab Mamat, 61, yang juga ibu Surawati berkata, Aryan Rizqy, 6;  Areesh Razeen, 4; dan Arfaan Rakeen, 2, sering merengek teringat Allahyarham ibu bapa mereka dan masih trauma dengan tragedi berkenaan.

"Arfaan Rakeen yang masih menyusu badan asyik menyebut nama Mummy dan Daddynya. Buat masa ini, lima ibu saudaranya yang masih mempunyai anak kecil bergilir-gilir menjadi ibu susuannya.

"Areesh Razeen pula pagi semalam tiba-tiba memberitahu saya Mummy dan Daddynya datang menyuapkan kek kepadanya dan dua beradik lain. Saya yang tabah menerima berita kematian anak dan menantu sebelum ini hiba hingga mengalirkan air mata," katanya.

Terdahulu dia ditemui selepas menerima kunjungan 20 kakitangan Hotel Permai diketuai 
Pengurus Besarnya, Noralizan Abdul Rahman di rumahnya di Kampung Gong Merawang, Rhu Muda di sini hari ini.

Selain menghulurkan sumbangan kepada anak-anak Muhammad Noor Idham yang merupakan kakitangan Hotel Permai, mereka turut meraikan ulang tahun kelahiran Aryan Rizqy ke-6 yang sepatutnya disambut kelmarin.

Sementara itu, Noralizan berkata, Aryan Rizqy dan adik beradiknya telah dijadikan anak angkat Hotel Permai demi kebajikan ketiga-tiga anak Allahyarham Surawati dan Muhammad Noor Idham berkenaan.


Kosmo! Online pada Khamis lalu melaporkan hajat Surawati merai sambutan ulang tahun kelahirannya dan anak sulung di Cameron Highlands tidak kesampaian apabila maut bersama suami dalam kemalangan yang berlaku pada pukul 5 pagi. - K! ONLINE

Monday, October 21, 2019

Beli produk kraf tempatan dengan imbas kod QR

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Kraftangan Malaysia bakal memperkenal sistem pembelian produk kraf tempatan seperti batik, songket, ukiran kayu dan logam yang lebih mudah dan menjimatkan kos dengan menggunakan teknologi terkini mulai tahun hadapan.

Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Ibrahim Ismail berkata, pelanggan termasuk pelancong yang berminat dengan produk kraf tempatan dipamerkan hanya perlu mengimbas kod respons pantas (QR) di mesin pengimbas di premis jualan terpilih di dalam dan luar negara bagi melakukan pembelian.

"Imbasan di kod QR itu membolehkan pelanggan melakukan transaksi pembelian secara talian dan produk akan dihantar terus ke negara asal atau lokasi dikehendaki tanpa perlu membawa pulang produk kraf berkenaan secara fizikal.

"Ia secara tidak langsung memudahkan pelanggan terutama pelancong tanpa perlu bimbang risiko kerosakan selain menjimatkan ruang dan kos di premis jualan Kraftangan Malaysia di dalam negeri mahu pun luar negara," katanya selepas menghadiri Sesi Libat Urus bersama Usahawan Kraf di Kraftangan Malaysia cawangan Terengganu, Chendering di sini hari ini.

Ibrahim berkata, konsep pembelian menerusi imbasan kod QR itu bakal diperkenalkan di beberapa premis jualan perintis di pintu-pintu masuk negara seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Pulau Langkawi sempena Tahun Melawat Malaysia pada awal tahun hadapan.


Menurut beliau, Kraftangan Malaysia dengan kerjasama Kementerian Pelancongan juga akan membuka pusat jualan menggunakan konsep teknologi sama di Pusat Informasi Pelancongan (ITC) di London, Britain; Paris, Perancis; dan China. - K! ONLINE

Sunday, October 20, 2019

Hajat Surawati sambut ulang tahun kelahiran bersama anak tidak kesampaian

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Allahyarham Surawati Mohd. yang terkorban bersama suaminya dalam kemalangan di Kilometer 134, Jalan Kuantan - Seremban berhampiran Muadzam Shah, Rompin, Pahang hari ini merancang untuk menyambut sambutan ulang tahun kelahirannya ke-33 bersama anak sulungnya di Cameron Highlands, Pahang pada Sabtu ini.

Dalam kejadian pada pukul 5 pagi itu, suami Surawati, Muhammad Noor Idham Ramli, 31, meninggal dunia di lokasi kejadian manakala suri rumah berkenaan pula menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Rompin, Pahang kira-kira tiga jam kemudian.

Adik Surawati, Syaidatul Fatihah, 30, berkata, sewaktu kejadian, pasangan suami isteri bersama tiga anak mereka iaitu Aryan Rizqy, 6;  Areesh Razeen, 4; dan Arfaan Rakeen, 2, dalam perjalanan ke rumah keluarga Muhammad Noor Idham di Port Dickson, Negeri Sembilan.

"Mereka kemudiannya merancang mendaki sebuah puncak gunung di Cameron Highlands sebelum meraikan sambutan ulang tahun kelahiran Aryan Rizqy yang genap enam tahun pada Sabtu ini di pusat penganginan itu.

"Saya difahamkan kakak saya (Surawati) turut berhasrat meraikan sama ulang tahun kelahirannya ke-33 lebih awal yang sepatutnya pada 30 Oktober depan bersama-sama anak sulungnya pada hari berkenaan," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Syaidatul Fatihah berkata,  Surawati dan Muhammad Noor Idham menggemari aktiviti pendakian dan sering membawa ketiga-tiga bersama-sama kegiatan riadah itu.

Sementara itu, dia memberitahu sempat menemani Surawati untuk membeli kain batik dan pakaian sebagai ole-ole di Pasar Besar Kedai Payang di sini pada Ahad lalu untuk dihadiahkan kepada keluarga mertuanya.

Ujarnya, sebelum itu, Surawati sempat meminta pendapat ibu mereka tentang hasratnya untuk menghadiahkan kain batik kepada ibu mertuanya.

"Ibu saya mencadangkan agar Allahyarham kakak membeli kain batik lepas kerana ia banyak kegunaannya termasuk sekiranya berlaku kematian.

"Sebenarnya saya pelik kerana sebelum ini kakak dan suami lebih gemar membeli produk makanan tradisional Terengganu sebagai buah tangan setiap kali pulang ke kampung mertua," katanya.

Syaidatul Fatihah memberitahu jenazah Surawati dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seberang Marang sebaik tiba di rumah mereka di Kampung Gonf Merawang, Rhu Muda, Marang pada lewat malam.


Dalam kemalangan yang mengorbankan Surawati dan Muhammad Noor Idham yang merupakan kakitangan Hotel Permai di sini, tiga anak mereka terselamat dan hanya mengalami kecederaan ringan. - K! ONLINE

Saturday, October 19, 2019

Bapa kudung kaki tak mengaku dera anak kandung

KUALA TERENGGANU – Seorang bapa golongan kelainan upaya (OKU ) yang kudung kaki kanan dihadapkan ke Mahkamah Se­syen di sini semalam atas pertuduhan mendera anak lelakinya berusia tiga tahun di daerah Marang pada akhir bulan lalu.

Tertuduh (gambar) yang merupakan seorang pe­nganggur me­ngaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman.

Mengikut pertuduhan, lelaki berusia 39 tahun itu didakwa menganiaya anak lelakinya sehingga menyebabkan kecede­raan fizikal dan emosi di sebuah rumah di daerah Marang antara 12 hingga 24 September lalu.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Mohd Izzat Wan Abdullah manakala tertuduh pula tidak diwakili peguam.

Mahkamah tidak menawarkan jaminan kepada lelaki tersebut dan menetapkan sebutan semula kes pada 5 November depan.

Kosmo! pada 27 September lalu melaporkan seorang budak lelaki berusia tiga tahun yang disyaki didera bapa kandung berjaya diselamatkan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu di sebuah rumah di daerah Marang.

Mangsa diselamatkan kira-kira pukul 1 tengah hari dalam kea­daan mukanya lebam dan mulut bengkak.

Friday, October 18, 2019

Didenda RM5,000 sebab melacur

KUALA TERENGGANU – Dua wanita yang melacurkan diri di sebuah hotel di Batu Burok di sini pada akhir bulan lalu didenda RM5,000 setiap seorang oleh Mahkamah Majistret di sini semalam.

Kedua-dua tertuduh, Nur Amalina Abd. Malek, 26, dan Norshamimi Zakaria, 29, yang merupakan penganggur mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.

Mengikut pertuduhan, Nur Amalina dan Norshamimi didakwa mencari langganan bagi aktiviti persundalan di sebuah hotel di Batu Burok di sini antara pukul 9 malam dan 10.30 malam pada 30 September lalu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lee Ka Full, manakala Nur Amalina dan Norshamimi tidak diwakili peguam.

Difahamkan kedua-dua tertuduh yang ditahan dalam serbuan oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu pada pukul 10.30 malam menggunakan aplaksi MiChat untuk menawarkan perkhidmatan seks kepada pelanggan.

Thursday, October 17, 2019

‘Mummy, daddy datang suap kek’

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

MARANG – Tiga beradik yang menjadi yatim piatu tidak dapat melelapkan mata ekoran terlalu rindu kepada ibu bapa mereka, Muhammad Noor Idham Ramli, 31, dan Surawati Mohd., 33, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 134, Jalan Kuantan-Seremban berhampiran Muadzam Shah, Rompin, Pahang pada Khamis lalu.

Nenek mereka, Zainab Mamat, 61, yang juga ibu Surawati berkata, Aryan Rizqy, 6, Areesh Razeen, 4, dan Arfaan Rakeen, 2, sering merengek teringatkan ibu bapa mereka dan masih trauma dengan tragedi itu.

“Arfaan yang masih menyusu badan asyik menyebut nama mummy dan daddy. Areesh pula pagi semalam (kelmarin) tiba-tiba memberitahu saya mummy dan daddy datang menyuapkan kek kepadanya dan dua beradik lain. Saya hiba hingga mengalirkan air mata,” katanya.

Terdahulu, Zainab ditemui selepas menerima kunjungan kakitangan Hotel Permai diketuai Pengurus Besarnya, Noralizan Abdul Rahman di rumahnya di Kampung Gong Merawang, Rhu Muda di sini semalam.

Selain menghulurkan sumba­ngan kepada anak-anak Muhammad Noor Idham yang merupakan kakitangan Hotel Permai, kunjungan itu turut meraikan u­lang tahun kelahiran Aryan  ke-6 yang sepatutnya disambut kelmarin.
Zainab berkata, dia akan memelihara ketiga-tiga cucunya itu yang sebelum ini menetap di Pulau Duyong, Kuala Terengganu.

“Saya akan dibantu sebahagian anak-anak lain yang me­netap berhampiran. Kami akan menguruskan proses penukaran sekolah Aryan yang memasuki tahun satu pada tahun depan di Sekolah Kebangsaan Bukit Ga­sing di sini,” jelasnya.

Sementara itu, Noralizan berkata, ketiga-tiga beradik itu akan dijadikan anak angkat Hotel Permai demi menjaga kebajikan mereka.
“Mereka diberikan bantuan kewangan bulanan sementara fa­edah pencen penakat diluluskan Perkeso.

“Lebih menyedihkan, Muhammad Noor bersikap luar biasa memohon maaf kepada sebahagian besar rakan sekerjanya sebelum menghabiskan syif kerja terakhir pada hari Rabu seolah-olah mengetahui kematiannya,” katanya.

Kosmo! kelmarin melaporkan hajat Surawati merai sambutan ulang tahun kelahiran yang ke-33 bersama anak sulungnya di Cameron Highlands tidak kesampaian apabila maut bersama suami dalam kemalangan pada pukul 5 pagi Khamis lalu.

Pasangan suami isteri itu bersama tiga anak mereka dalam perjalanan ke rumah keluarga Muhammad Noor di Port Dickson, Negeri Sembilan.
Kereta Myvi dipandu Muhammad Noor dikatakan terbabas sebelum memasuki laluan bertentangan kemudian berlanggar dengan sebuah lori Isuzu.

Wednesday, October 16, 2019

Bapa durjana didakwa

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU –  Seorang pemandu lori dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas empat pertuduhan memperkosa, melakukan seks luar tabii dan menghasilkan video pornografi anak kandung perempuannya yang merupakan golongan orang kelainan upaya (OKU) kategori masalah pembelajaran pada bulan lalu.

Tertuduh yang berusia 41 tahun itu membuat pengakuan bersalah sebaik kesemua pertuduhan berkenaan dibacakan di hadapan Hakim Jamaludin Mat.

Berdasarkan pertuduhan pertama dan kedua, dia didakwa merogol anak kandungnya yang berusia 12 tahun di sebuah rumah di daerah Marang pada pukul 11 pagi, 20 September lalu sebelum mengulanginya semula di beranda rumah sama pada pukul 5 pagi keesokan harinya.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara 10 tahun hingga 30 tahun dan dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua pula, lelaki itu didakwa melakukan persetubuhan di luar tabii terhadap anak sulung daripada dua beradik itu di lokasi sama pada pukul 11 pagi, 20 September lalu.

Dia didakwa mengikut Sek­syen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Lelaki itu turut menghadapi pertuduhan keempat iaitu dakwaan menghasilkan video pornografi menggunakan telefon bimbit meliwat mangsa pada masa, tarikh dan lokasi sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 5 Akta Kesalahan-Ke­salahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan maksimum enam sebatan jika sabit kesalahan.

Jamaludin menetapkan esok sebagai sebutan bagi mende­ngar fakta kes dan menjatuhkan hukuman.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amer Abu Bakar Abdullah, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Perbuatan bapa kepada dua anak terbongkar itu selepas isteri­nya berusia 33 tahun menghantar mangsa anak sulung mereka untuk pemeriksaan di sebuah klinik kesihatan di Marang setelah mengadu me­ngalami kesakitan pada kemaluan baru-baru ini.

Tuesday, October 15, 2019

UniSZA universiti perintis kempen MyDebit

PERINTIS. Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu menjadi institusi pengajian tinggi awam tempatan pertama bagi kempen MyDebit iaitu pembayaran tanpa tunai menggunakan kad debit.

Naib Canselor UniSZA, Prof. Datuk Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata, kempen MyDebit anjuran Payments Network Malaysia Sdn. Bhd. (PayNet) tersebut bertujuan untuk menggalakkan penggunaan kad debit sebagai kaedah pembayaran tanpa tunai dalam kalangan warga universiti termasuk pelajar dan pensyarah.

“Penggunaan kad debit bukan sahaja memudahkan transaksi tanpa perlu membawa wang tunai malah mengurangkan kos dan risiko pengurusan tunai sewaktu melakukan pembayaran di kaunter.

“Kaedah pembayaran elektronik merupakan komponen kritikal dalam era ekonomi digital masa kini yang bukan sahaja memudahkan kehidupan seharian malah mampu meningkatkan produktiviti,” katanya ketika melancarkan Kempen MyDebit sempena Karnival Kewangan Islam UniSZA di Kuala Terengganu baru-baru ini.

Monday, October 14, 2019

Tingkatkan SOP di lokasi rusuhan

KUALA TERENGGANU – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menambah baik Prosedur Operasi Standard (SOP) tugasan di kawasan rusuhan atau demonstrasi bagi mempertingkat aspek ke­selamatan semua pihak.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata, penambahbaikan itu meliputi pelbagai aspek termasuk perlindungan diri, peralatan, latihan dan kesiapsiagaan.

Beliau berkata, SOP yang ditambah baik itu telah diedarkan kepada setiap negeri dan sesi jelajah turut dijalankan bagi memberi penerangan berkaitan falsafah serta tafsiran arahan oleh barisan pegawai kanan operasi kepada anggota serta kakitangan JBPM.

“Selepas berlakunya kejadian yang menimpa arwah Muhammad Adib Mohd. Kassim, kita telah menubuhkan jawatan kuasa khas dalam JBPM yang berkecuali untuk menyiasat dan melihat aspek-aspek penambahbaikan termasuk juga kolaborasi dengan agensi-agensi lain,” katanya.

Beliau berkata demikan kepada pemberita di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah sini semalam.

Pada 27 September lalu, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan kematian Muhammad Adib dalam kejadian rusuhan di sebuah kuil di Subang Jaya, Selangor pada tahun lalu akibat perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu tidak dikenali.

Koroner Rofiah Mohamad membuat keputusan itu selepas menilai keterangan 30 saksi serta 137 bahan bukti yang dikemukakan sepanjang prosiding inkues berlangsung sejak Februari lalu.
Mengulas lanjut, Mohammad Hamdan memberitahu, pihaknya mempertimbang untuk memberi anugerah kepada dua saksi inkues iaitu R. Narresh dan Mohd. Hafizan Nordin bagi menghargai jasa ke­dua-dua individu tersebut yang bergadai nyawa membantu mang­sa semasa kejadian rusuhan tersebut.

“Insya-Allah, kita akan mempertimbangkannya dan kita menghargai semua pihak yang membantu bomba dan ia (penganugerahan) dikendalikan oleh satu jawatan kuasa khas,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berharap permohonan elaun perkhidmatan kebombaan dapat dipertimbangkan untuk kelulusan dalam Bajet 2020 yang dibentangkan Jumaat depan.

Elaun berjumlah RM200 sebulan yang telah dipohon sejak tiga tahun lalu itu dapat memberi manfaat kepada seramai 14,500 anggota dan pegawai JBPM di seluruh negara.

Sunday, October 13, 2019

UniSZA IPTA perintis kempen bayaran tanpa tunai MyDebit

KUALA NERUS – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menjadi institusi pengajian tinggi awam (IPTA) pertama di­pilih sebagai pe­rintis bagi Kempen MyDebit, pembayaran tanpa tunai menggunakan kad debit, anjuran Payments Network Malaysia Sdn. Bhd. (PayNet).

Pengerusi PayNet, Datuk Ahmad Hizzad Baharuddin berkata,  kempen tersebut bertujuan menggalakkan penggunaan kad debit sebagai kaedah pembayaran tanpa tunai dalam kalangan warga universiti termasuk pelajar dan pensyarah.

“Penggunaan kad debit bukan sahaja memudahkan transaksi tanpa perlu membawa wang tunai malah mengurangkan kos dan risiko pengurusan tunai sewaktu  pembayaran di kaun­ter.

“Melaluinya, warga universiti berpeluang memenangi hadiah keseluruhan berjumlah RM50,000 sekiranya melakukan transaksi menggunakan kad debit sepanjang tempoh 1 Ogos lalu hingga 31 Januari tahun depan,”  katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan pelancaran Kempen MyDebit sempena Karnival Kewangan Islam UniSZA yang disempurnakan Naib Canselor UniSZA, Prof. Datuk Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan di sini baru-baru ini.

Turut hadir Ketua Perbankan Pengguna Bank Islam Malaysia Bhd., Zamree Mohamad.

Saturday, October 12, 2019

16 nelayan Vietnam terjun laut elak ditahan APMM

KUALA TERENGGANU – Sekumpulan 16 nelayan Vietnam yang disyaki menceroboh per­airan negara nekad terjun ke dalam laut selepas menyedari mereka dikejar sebuah kapal Maritim Malaysia (APMM) pada kedudukan 108 batu nautika dari muara Sungai Terengganu dekat sini kelmarin.

Dalam kejadian pukul 9.57 pagi itu, kesemua nelayan asing berusia lingkungan 15 hingga 47 tahun itu turut berenang ke arah pelantar minyak berhampiran bagi mencari perlindungan, namun berjaya digagalkan penguat kuasa APMM.

Pengarah Maritim Zon Kemaman, Rashidilhadi Abd. Rashid berkata, bot nelayan yang dikepung kapal APMM itu bertindak melarikan diri de­ngan memecut laju ke arah pelantar minyak yang terletak kira-kira lima batu nautika dari lokasi mereka menangkap ikan.

“Pekerja pesisir pantai yang berada di pelantar minyak itu segera menutup pintu akses utama sebelum membantu anggota penguat kuasa APMM menahan 16 nelayan asing terbabit.

“Ini kes pertama nelayan Vietnam yang mahu ditahan APMM bertindak nekad terjun dari bot semata-mata mahu mengelak ditahan,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat APMM Terengganu di sini semalam.

Rashidilhadi berkata, pemeriksaan mendapati kesemua nelayan asing itu tidak memiliki dokumen perjalanan dan permit kerja yang sah.

Tambah beliau, bot nelayan Vietnam itu juga tidak memiliki kebenaran untuk menangkap ikan di perairan negara oleh Jabatan Perikanan.

“Bot, peralatan menangkap ikan, hasil laut dan minyak diesel yang dianggarkan bernilai hampir RM1 juta telah disita dan ditunda ke Jeti Pejabat APMM Terengganu.

“Kes disiasat mengikut Sek­syen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Friday, October 11, 2019

Aktiviti bersifat akademik di kuil Hindu

KUALA TERENGGANU – Sekumpulan pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang ditularkan dalam media sosial berada di sebuah kuil Hindu di bandar raya ini sebenarnya terlibat dalam aktiviti kajian lapangan bagi kursus Agama dan Masyarakat.

Ketua Pusat Pengajian Antropologi dan Dakwah, UniSZA, Mohamad Hafis Amat Simim berkata, pelajar tersebut merupakan jurusan Sains Sosial (Antropologi dan Dakwah) yang ditugaskan membuat penyelidikan berhubung praktis agama dan kepercayaan masyarakat.

Beliau berkata, kumpulan 13 pelajar yang kesemuanya beragama Islam itu memilih sebuah kuil di Kuala Terengganu bagi menjalankan kajian lapangan untuk memahami praktis agama Hindu.

“Mereka hanya bertindak sebagai penyelidik dengan melakukan aktiviti temu bual bersama responden dan tidak terlibat langsung dalam mana-mana ritual agama Hindu yang dilakukan di dalam kuil tersebut.

“Saya ingin menegaskan bahawa program penyelidikan yang dijalankan itu bersifat akademik dan tidak me­nyentuh mana-mana sensitiviti agama Hindu mahu pun Islam,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Mohamad Hafis berkata demikian sebagai mengulas penularan gambar kumpulan pelajar tersebut di dalam kuil terbabit yang menerima kecaman segelintir netizen ekoran salah faham.

Beliau turut menjelaskan, program kajian lapangan itu mendapat persetujuan pengurusan kuil Hindu tersebut selain makanan yang disediakan kepada kumpulan pelajar berkenaan sepanjang aktiviti itu disediakan katering Muslim.

“Kursus ini diselia oleh profesor dan ahli akademik yang berpengalaman dalam bidang sains sosial. Ada juga pelajar dalam kursus sama mengkaji agama dan kepercayaan lain seperti Islam, Kristian, Yahudi dan Buddha,” katanya.

Thursday, October 10, 2019

Tak sempat sambut hari lahir

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Allahyarham Surawati Mohd., yang terkorban bersama suaminya dalam kemalangan di Kilometer 134, Jalan Kuantan - Se­remban berhampiran Muadzam Shah, Rompin, Pahang kelmarin merancang untuk menyambut hari ulang tahun kelahiran ke-33 bersama anak sulungnya di Came­ron Highlands, Pahang pada hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 5 pagi itu, suami Surawati, Muhammad Noor Idham Ramli, 31, meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala suri rumah berkenaan pula menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Rompin kira-kira tiga jam kemudian.

Adik Surawati, Syaidatul Fatihah, 30, berkata, sewaktu kejadian, pasa­ngan suami isteri itu bersama tiga anak mereka ia­itu Aryan Rizqy, 6; Areesh Razeen, 4; dan Arfaan Rakeen, 2, dalam perjalanan ke rumah keluarga Muhammad Noor Idham di Port Dickson, Negeri Sembilan.

“Mereka kemu­diannya me­rancang mendaki sebuah gunung di Ca­meron Highlands sebelum meraikan sambutan ulang tahun kelahiran Aryan Rizqy yang genap enam tahun hari ini di pusat peranginan tersebut.

“Saya difahamkan kakak saya (Surawati) turut berhasrat meraikan ulang tahun kelahiran ke-33 lebih awal yang sepatutnya pada 30 Oktober depan bersama-sama anak sulungnya pada hari berkenaan,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Syaidatul Fatihah berkata, Surawati dan Muhammad Noor Idham yang merupakan kakita­ngan Hotel Permai di sini menggemari aktiviti pendakian dan sering membawa ketiga-tiga anaknya menyertai kegiatan riadah itu.

Sementara itu, dia memberitahu sempat menemani Surawati untuk membeli kain batik dan pakaian sebagai cenderamata di Pasar Besar Kedai Payang di sini pada Ahad lalu untuk dihadiahkan kepada keluarga mertuanya.

Ujarnya, sebelum itu, Surawati sempat me­minta pendapat ibu mereka tentang hasrat untuk menghadiahkan kain batik kepada ibu mertuanya.

“Ibu saya mencadang­kan agar allahyarham kakak membeli kain batik lepas kerana ia banyak kegunaan termasuk sekiranya berlaku kematian.

“Sebenarnya saya pelik kerana sebelum ini kakak dan suami lebih gemar membeli produk makanan tradisional Terengganu sebagai buah tangan setiap kali pulang ke kampung mertua,” katanya.

Syaidatul Fatihah memberitahu, jenazah Sura­wa­ti dikebumikan di Ta­nah Perkuburan Islam Seberang Marang di Kampung Gong Merawang, Rhu Muda, Marang malam kelmarin.

Tiga anak mereka yang turut terlibat dalam kemalangan itu terselamat dan hanya mengalami kece­deraan ringan.

Wednesday, October 9, 2019

Bapa durjana dijel 40 tahun

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU –  Seorang bapa menerima padah selepas tergamak merogol dan melakukan seks luar tabii terhadap anak pe­rempuan kan­dungnya yang merupakan golongan orang kelainan upaya (OKU) kategori masalah pembelajaran pada bulan lalu.

Pemandu lori itu dijatuhi hukuman penjara selama 40 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam.

Selain itu, lelaki berusia 44 tahun yang turut menghasilkan video pornografi perlakuan seks dengan mangsa yang merupakan anak sulung daripada dua adik-beradik tersebut turut dikenakan 24 sebatan oleh Hakim Nooriah Osman.

Nooriah turut memerintahkan tertuduh berada di bawah pengawasan selama setahun mengikut Seksyen 27 Akta Kesalahan Jenayah Seksual Terhadap kanak-Kanak 2017 sebaik dibebaskan kelak.

“Sumbang mahram me­rupakan perbuatan amat keji dan terkutuk lebih-lebih lagi terhadap anak tertuduh yang merupakan OKU.

“Sepatutnya, tertuduh bertanggungjawab mendidik anak itu bukan mengambil kesempatan atas ketidakupayaannya. Ia meninggalkan trauma berpanjangan terhadap kanak-kanak,” katanya ketika membacakan penghakimannya semalam.

Berdasarkan pertuduhan pertama dan kedua, dia didakwa merogol anak kandungnya yang berusia 11 tahun 11 bulan sewaktu kejadian di sebuah rumah di daerah Marang pada pukul 11 pagi, 20 September lalu sebelum mengulanginya semula di beranda rumah sama pada pukul 5 pagi keesokan harinya.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara 10 tahun hingga 30 tahun dan dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ketiga pula, lelaki itu didakwa me­lakukan persetubuhan di luar tabii terhadap kanak-kanak perempuan itu di lokasi sama pada pukul 11 pagi 20 September lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Ke­seksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Lelaki itu turut menghadapi pertuduhan keempat iaitu dakwaan menghasilkan video pornografi meliwat mangsa dengan menggunakan telefon bimbit pada masa, tarikh dan lokasi sama.

Tertuduh didakwa me­ngi­kut Seksyen 5 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan minimum enam sebatan jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, perbuatan lelaki itu terbongkar selepas isterinya berusia 33 tahun terlihat klip video perlakuan tersebut yang berdurasi lima minit sembilan saat di dalam telefon pintar milik suaminya pada 22 Oktober lalu.

Mangsa kemudiannya mengaku dipaksa bapa kandungnya untuk melakukan hubungan seks sejak berusia enam tahun.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zulfazliah Mahmud manakala tertuduh pula tidak diwakili peguam.

Enam beradik yatim piatu sekelip mata

DUNGUN – Enam beradik menjadi yatim piatu dalam sekelip mata apabila ibu bapa mereka maut selepas kereta yang dinaiki bertembung dengan sebuah kenderaan pelbagai guna di Jalan Kerteh 2 dekat sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 11 pagi itu, Kamal Hisham Mustaffa Mohamad, 35, dan isteri, Norhapisah Idris, 34, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah pada kepala.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, dua anak pasa­ngan suami isteri itu yang turut mengikut mereka iaitu Muhammad Darwish Iqbal, 9, dan Muhammad Danish Irfan, 11, pula cedera parah pada kepala.

Menurutnya, dua lagi mangsa yang menaiki Perodua Alza iaitu Mohd. Zulkifli Ab. Aziz, 39, dan  Mohd. Suhaimi Mat Hasan, 22, pula cedera pada bahagian kaki.

“Kemalangan itu berlaku selepas kereta Proton Wira dipandu Kamal Hisham yang dalam perjalanan ke Felda Kerteh 2 dari Kampung Sura Hujung di sini dikatakan hilang kawalan lalu terbabas memasuki laluan bertentangan.

“Kereta itu kemudiannya bertembung dengan Perodua Alza,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Baharudin memberitahu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Paka mengambil masa kira-kira lima minit untuk mengeluarkan mayat Kamal Hisham Mustaffa dan Norhapisah yang tersepit di dalam kereta.

Katanya, mayat Kamal Hi­sham dan Norhapisah dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat, manakala kesemua mangsa yang cedera pula dikejarkan ke unit kecemasan hospital sama.

Sementara itu, ibu saudara Kamal Hisham Mustaffa, Ramlah Jusoh, 67, berkata, ketika kejadian, pasangan suami isteri itu dalam perjalanan pulang selepas mengambil Muhammad Darwish Iqbal dan Muhammad Danish Irfan dari asrama mereka di Sekolah Kebangsaan Pasir Raja dekat sini.
Empat lagi anak mereka iaitu Dayyainah Atirah, 3; Muhammad Daim Amin, 6; Muhammad Dhiyauddin Hisham, 8, dan Muhammad Danial, 12, tidak mengikut dan tinggal di rumah mereka di Kampung Sura Hujung.

“Selalunya mereka bawa ke­semua anak jika mahu ke mana-mana tetapi hari ini (semalam) pelik ditinggalkan pula,” kata­nya di Hospital Dungun.

Tuesday, October 8, 2019

A. Kadir dekati mahasiswa UMT

ILMU. Penuntut Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mendapat peluang beramah mesra dengan Penasihat Media dan Komunikasi Perdana Menteri, Datuk A. Kadir Jasin di kampus universiti itu di Kuala Nerus baru-baru ini.

Pada majlis tersebut, A. Kadir berkongsi perkembangan semasa termasuk peranan media sosial dalam menyampaikan berita kepada masyarakat dan mahasiswa.

Jelasnya, pemindahan pola penonton dan pembaca daripada media arus perdana kepada media sosial berasaskan Internet merupakan fenomena global.

“Ini ujian kepandaian, kehandalan dan kemampuan pemilik dan pengurusan media arus perdana untuk menangani saingan daripada media berasaskan Internet,” kata beliau.

Sunday, October 6, 2019

UniSZA universiti perintis kempen MyDebit

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menjadi institusi pengajian tinggi awam tempatan perintis kepada kempen MyDebit iaitu pembayaran tanpa tunai menggunakan kad debit.

Naib Canselor UniSZA, Prof. Datuk Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata, kempen MyDebit anjuran Payments Network Malaysia Sdn. Bhd. (PayNet) tersebut bertujuan untuk menggalakkan penggunaan kad debit sebagai kaedah pembayaran tanpa tunai dalam kalangan warga universiti termasuk pelajar dan pensyarah.

"Penggunaan kad debit bukan sahaja memudahkan transaksi tanpa perlu membawa wang tunai malah mengurangkan kos dan risiko pengurusan tunai sewaktu melakukan pembayaran di kaunter.

"Kaedah pembayaran elektronik merupakan komponen kritikal dalam era ekonomi digital masa kini yang bukan sahaja memudahkan kehidupan seharian malah mampu meningkatkan produktiviti," katanya ketika melancarkan Kempen MyDebit sempena Karnival Kewangan Islam UniSZA di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi PayNet, Datuk Ahmad Hizzad Baharuddin dan Ketua Perbankan Pengguna Bank Islam Malaysia Berhad, Zamree Mohamad.

Hassan Basri berkata, serentak dengan pelancaran kempen MyDebit berkenaan, warga UniSZA berpeluang untuk memenangi hadiah keseluruhan berjumlah RM50,000 sekiranya melakukan transaksi menggunakan kad debit sepanjang tempoh 1 Ogos lalu hingga 31 Januari tahun depan.


Sehubungan itu, beliau menyeru warga UniSZA agar bertukar kepada transaksi tanpa tunai bukan sahaja untuk memenangi hadiah tetapi sebagai menyertai kehendak kelompok masyarakat digital selaras dengan Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0). - K! ONLINE

Saturday, October 5, 2019

JPJeBid jana perolehan RM27.23 juta

KUALA TERENGGANU –Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendapat perolehan sebanyak RM27.23 juta sejak sistem bidaan nombor pendaftaran kenderaan secara elektronik (JPJeBid) dilancarkan pada April lalu.

Timbalan Pengarah (Pelesenan) JPJ, Mohd. Hafiz Sham­sari ber­kata,  nombor pendaftaran kende­raan siri ALL yang dikeluarkan JPJ Perak pada bulan lalu men­ca­tatkan bidaan ter­tinggi iaitu sebanyak RM3.38 juta.

“Nombor pendaftaran ken­deraan ALL 1 pula mencatatkan bidaan tertinggi sejak sistem JPJeBid dilancarkan iaitu RM278,000.

“Setakat ini semua negeri ke­cuali Melaka, Selangor dan Ne­geri Sembilan telah melaksanakan sistem JPJeBid termasuk terbaharu, Terengganu pada Khamis ini,” katanya pada sidang akhbar pembukaan bidaan nombor pendaftaran kenderaan siri TCD di pejabat JPJ Terengganu di sini semalam.

Turut hadir, Pengarah JPJ Terengganu, Zulkarnain Yasin.
Mohd. Hafiz berkata, seramai 84,093 pengguna telah berdaftar dengan sistem JPJeBid yang boleh dimuat naik menerusi aplikasi Google Play dan App Store mulai 15 April lalu.

Sementara itu, Zulkarnain berkata, bidaan secara elektronik­ nombor pendaftaran kenderaan siri TCD selama lima hari dari 3 hingga 7 Oktober ini dijangka mampu menjana pe­rolehan antara RM700,000 hingga RM1 juta.

Beliau berkata, unjuran itu berdasarkan perolehan daripada bidaan tiga siri terdahulu iaitu TCA, TCB dan TCC yang dilakukan secara manual iaitu antara RM641,000 dan RM944,000.

Friday, October 4, 2019

TM ONE sedia kemudahan jalur lebar berkelajuan 5 Gbps di UniSZA

KUALA TERENGGANU – Seramai 13,000 pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bakal menikmati akses Internet yang lebih pantas menerusi penyediaan sambungan Internet berkelajuan tinggi oleh Telekom Malaysia Bhd. (TM) menerusi, TM ONE.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Taufek Omar berkata, ketiga-tiga kampus institusi pengajian tinggi awam (IPTA) tersebut di Gong Badak, Kuala Nerus; Kuala Terengganu dan Tembila, Besut bakal menikmati kemudahan jalur lebar berkelajuan 5 Gbps.

Menurut beliau, kapasiti itu akan menghubungkan ketiga-tiga kampus UniSZA bagi membolehkan komuniti termasuk pelajar di universiti berkenaan berkomunikasi antara satu sama lain dengan lebih pantas dan efisyen,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis menandatangani perjanjian antara TM dengan UniSZA di sini semalam.
Turut hadir Naib Canselor UnisZA, Prof. Datuk Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan dan Pengerusi TM, Rosli Man.

Sebelum ini, berdasarkan perjanjian selama lima tahun yang ditandatangani bersama TM pada tahun 2014, UniSZA hanya dilengkapi kemudahan jalur lebar berkelajuan 1 Gbps.

Thursday, October 3, 2019

Rampasan bot nelayan asing dilupus di tengah laut

MOHD. AZLI ADLAN

MARANG - Operasi Naga secara bersepadu untuk membanteras pencerobohan hasil laut negara mula menampakkan kesannya dengan penahanan 128 bot nelayan asing dalam tempoh lima bulan sejak pelancarannya 24 April lalu.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, Operasi Naga disasar dapat mengurangkan kira-kira 50 peratus kerugian akibat ketirisan hasil laut disebabkan pencerobohan nelayan asing berkenaan yang kini berjumlah RM6 bilion setahun dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Beliau berkata, bagi menunjukkan mesej ketegasan kerajaan menangani isu tersebut, kesemua bot nelayan asing akan dilupuskan dengan cara menenggelamkannya sebagai tukun tiruan di perairan negara sebaik dilucut hak oleh mahkamah.

Beliau berkata, setakat ini, sebanyak lapan bot nelayan asing yang dirampas menerusi Operasi Naga meliputi Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Luar Negeri dan Kementerian Pertahanan telah dilupuskan melibatkan nilai hampir RM12 juta.

"Ia termasuk lima bot nelayan asing yang ditenggelamkan hari ini. Langkah ini diharap memberi mesej jelas dan tegas kepada nelayan asing agar tidak lagi menangkap hasil laut secara haram di perairan negara.


"Saya juga mengambil kesempatan ini untuk memberi amaran kepada pemegang lesen (menangkap ikan) tempatan, jangan sesekali menjual dan menggadainya kepada bot (nelayan) asing," katanya selepas menyaksikan proses menenggelamkan lima bot nelayan berkenaan di perairan Pulau Marang dekat sini hari ini. - K! ONLINE

Kampus UniSZA bakal dilengkapi kemudahan jalur lebar berkelajuan 5Gbps

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Seramai 13,000 pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bakal menikmati akses Internet yang lebih pantas menerusi penyediaan sambungan Internet berkelajuan tinggi oleh Telekom Malaysia Berhad (TM) menerusi, TM ONE.

Naib Canselor UniSZA, Prof. Datuk Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata, ketiga-tiga kampus institusi pengajian tinggi awam (IPTA) tersebut di Gong Badak, Kuala Nerus; Kuala Terengganu dan Tembila, Besut bakal menikmati kemudahan jalur lebar berkelajuan 5Gbps.

Beliau berkata, kapasiti jalur lebar berkelajuan tinggi berkenaan akan menghubungkan ketiga-tiga kampus UniSZA bagi membolehkan komuniti termasuk pelajar di universiti berkenaan berkomunikasi antara satu sama lain dengan lebih pantas dan efisyen.

"Ia juga membolehkan aplikasi berkaitan pendidikan yang kreatif dan inovatif diakses dengan lebih cepat dan teratur seiring dengan kehendak Revolusi Industri 4.0.

"Kemudahan sambungan Internet berkelajuan tinggi tersebut juga memberi ruang untuk UniSZA memperkasa dan memperluas lagi program pembelajaran sepanjang hayat dan maya kepada komuniti," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu beliau menandatangani perjanjian dengan TM ONE yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Taufek Omar pada majlis yang disaksikan Pengerusi TM, Rosli Man.

Hassan memberitahu perkhidmatan rangkaian premium disediakan TM ONE berkenaan juga bakal memudahkan lagi proses penyalinan manuskrip lama peradaban Melayu dan Islam secara digital yang sedang dirintis UniSZA.


"Proses penyalinan manuskrip lama secara digital itu memerlukan pengstoran yang besar dan kami telah dimaklumkan TM bersedia untuk menyediakan kemudahan berkenaan," katanya. - K! ONLINE

Wednesday, October 2, 2019

Kawat hulur sumbangan kepada kakitangan Utusan, Kosmo!

KUALA TERENGGANU - Kelab Wartawan Media Terengganu (Kawat) hari ini tampil menghulurkan bantuan berupa wang tunai kepada kakitangan Utusan Malaysia dan Kosmo! biro Terengganu.

Sumbangan tersebut disampaikan oleh Presiden Kawat, Khairul Azlam Mohamad kepada lapan petugas Utusan Malaysia dan Kosmo! yang diketuai Ketua Biro Utusan Malaysia Terengganu, Radhuan Hussain dan Penolong Ketua Biro Kosmo! Terengganu, Mohd. Azli Adlan.

Khairul Azlam berkata, Kawat didukung pengamal media dari seluruh negeri ini terpanggil untuk menghulurkan bantuan sebagai menzahirkan solidariti dan keprihatinan terhadap kakitangan dua akhbar berkenaan yang kini menghadapi masalah kewangan.

Beliau berkata, sebahagian besar bantuan tersebut merupakan sumbangan peribadi ahli-ahli Kawat yang dikutip pada Mesyuarat Agung Tahunan kelab berkenaan baru-baru ini.

"Kawat sentiasa memberi keutamaan terhadap kebajikan ahli dan kami prihatin dengan kesukaran dihadapi rakan-rakan di Utusan Malaysia dan Kosmo! sejak beberapa bulan lalu.

"Kami berharap rakan-rakan dapat terus bersabar dan istiqamah dengan tugasan yang diamanahkan pada waktu sukar sekarang ini, " katanya pada majlis penyerahan sumbangan di sini hari ini. - K! ONLINE

Suami panas baran pukul isteri dihukum penjara lapan bulan

KUALA TERENGGANU – Perbuatan tidak berperikemanusiaan seorang lelaki yang membelasah iste­rinya sehingga cedera pada muka dan badan akhirnya berbalas apabila dia dihukum penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini semalam.

Majistret Noor Mazrinie Mahmood membuat keputusan itu selepas tertuduh, Rohazan Hashim, 47, membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan pertuduhan, Rohazan didakwa mencederakan isterinya, Norliani Mohd. Nordin, 40, di sebuah rumah di Flat Bukit Kecil di sini pada pukul 6.30 petang, 24 Mei lalu.

Mengikut fakta kes, tertuduh dan isterinya dikatakan telah berselisih faham berhubung masalah anak sehingga mereka bertengkar mulut.

Lelaki itu yang naik berang kemudian bertindak memukul mangsa sehingga bengkak pada muka, luka pada bibir selain beberapa kecede­raan lain pada badan.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan L. Rathna manakala Rohazan pula tidak diwakili peguam.

Sistem JPJeBid jana perolehan RM27.23 juta

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memperolehi perolehan lebih RM27.23 juta sejak sistem bidaan nombor pendaftaran kenderaan secara elektronik iaitu JPJeBid dilancarkan sejak bulan April lalu.

Timbalan Pengarah (Pelesenan) JPJ, Mohd. Hafiz Shamsari berkata,  nombor pendaftaran kenderaan siri ALL yang dikeluarkan JPJ Perak pada bulan lalu mencatatkan bidaan tertinggi iaitu lebih RM3.38 juta.

"Nombor pendaftaran kenderaan ALL 1 pula mencatatkan bidaan tertinggi sejak sistem JPJeBid dilancarkan iaitu RM278,000.

"Setakat ini semua negeri kecuali Melaka, Selangor dan Negeri Sembilan telah melaksanakan sistem JPJeBid termasuk terbaharu, Terengganu pada lusa (Khamis ini)," katanya pada sidang akhbar pembukaan bidaan nombor pendaftaran kenderaan siri TCD di pejabat JPJ Terengganu di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah JPJ Terengganu, Zulkarnain Yasin.


Sementara itu, Zulkarnain berkata, bidaan secara elektronik nombor pendaftaran kenderaan siri TCD selama lima hari dari 3 Oktober hingga 7 Oktober ini dijangka bakal menjana perolehan antara RM700,000 hingga RM1 juta. - K! ONLINE

Tuesday, October 1, 2019

Kementerian Pendidikan teliti cadangan NUTP lantik warden asrama sepenuh masa

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS - Kementerian Pendidikan menyambut baik cadangan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) agar pelantikan warden asrama dilakukan dalam kalangan bukan guru sekolah.

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata, pihaknya akan melakukan kajian melibatkan semua pemegang taruh terlibat terlebih dahulu terhadap impak pelaksanaan cadangan berkenaan.

"Keputusan melantik warden asrama secara lantikan luar dan berasingan daripada golongan guru akan memberi kesan kepada banyak sekolah yang mempunyai asrama.

"Kita perlu melakukan libat urus dengan guru-guru dan Jabatan Perkhidmatan Awam (berhubung cadangan tersebut)," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Seminar Lindungi Diri dan Keluarga 2.0 di Universiti Malaysia Terengganu di sini hari ini.

Seminar anjuran Pertubuhan Ikram Malaysia cawangan Terengganu bertemakan Pendidikan Seksualiti dan Salah Laku Remaja itu turut dihadiri Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMT, Prof. Dr. Noor Azuan Abu Osman dan Ketua Wanita Ikram Terengganu, Saidah Mamat.


Nie Ching berkata demikian sebagai mengulas cadangan NUTP sebagai respons keputusan penghakiman Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada Ahad lalu yang membenarkan tuntutan RM616,634.20 oleh seorang pelajar Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (Sesma) yang menjadi mangsa buli pada empat tahun lalu. - K! ONLINE

TFC IV juara Piala Belia

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Terengganu Football Club IV (TFC IV) muncul juara Piala Belia selepas menewaskan juara bertahan, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor FC (PKNS) dengan agregat 1-0 malam tadi.

Pada aksi perlawanan akhir kedua di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini itu, TFC IV menang 1-0 hasil jaringan penyerang, Muhammad Muslihuddin Atiq Mat Zaid pada minit ke-62.

Sebelum itu, kedua pasukan pelapis berkenaan terikat 0-0 pada aksi akhir pertama di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 21 September lalu.

Kejayaan itu sebagai menebus kekecewaan TFC IV yang tumbang 1-2 kepada lawan sama, PKNS FC pada aksi akhir Piala Belia musim lalu.

Ia juga penawar kepada kekecewaan peminat bola sepak Terengganu selepas tiga pasukan senior, TFC yang terkandas di peringkat suku akhir Piala Malaysia manakala TFC II dan TFC III pula masing-masing kecundang pada aksi separuh akhir Piala Cabaran dan Piala Presiden musim ini.

Terdahulu, TFC IV hampir memperolehi gol awal namun sepakan gunting penjaring terbanyak kejohanan, Muhammad Isa Raman terkena palang gol pada minit ke-10.


Pasukan pelawat pula memperolehi peluang terbaik pada minit ke-61 namun rembatan kencang Muhammad Hadi Mohamad gagal menembusi gawang TFC IV. - K! ONLINE