Translate

Friday, September 30, 2022

Tidak perlu tergesa-gesa laksana PRU-15

Oleh MOHD AZLI ADLAN

DUNGUN – Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) disaran tidak dilaksanakan secara tergesa-gesa pada hujung tahun ini kerana keutamaan harus diberikan bagi menghadapi musibah banjir yang bakal tiba.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, beliau percaya rata-ratanya rakyat juga kurang bersetuju sekiranya perlu mengundi pada musim tengkujuh.

“Lagi pun kebanyakan sekolah yang merupakan pusat mengundi biasanya akan turut digunakan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) buat mangsa banjir.

“Sebahagian besar penjawat awam yang terlibat secara langsung dalam pilihan raya juga perlu turun padang menguruskan bencana banjir dalam tempoh itu,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan projek pemulihan muara Sungai Dungun di sini hari ini.

Terdahulu, cadangan mengadakan PRU-15 pada tahun ini yang dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet mingguan kelmarin difahamkan mendapat respons berbelah-bahagi.

Sebahagian wakil Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan) Pas dikatakan mahu kerajaan memberi tumpuan kepada pengurusan ekonomi dan banjir terlebih dahulu.

Sehubungan itu, Tuan Ibrahim mencadangkan agar PRU-15 lebih baik diadakan pada tahun hadapan. – KOSMO! ONLINE


Kontraktor maut kemalangan di LPT 2

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU – Seorang kontaktor maut selepas kenderaan pacuan empat roda, Mitsubishi Triton dipandunya terlibat dalam kemalangan di Kilometer 385.4, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT 2) berhampiran Ajil di sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 9.15 pagi itu, mangsa, Mohd. Hafiz Fahmi Mat Bedin, 33, meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian kepala, kaki dan tangan.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, sewaktu kejadian, Mohd. Hafiz Fahmi dikatakan dalam perjalanan ke Kemaman dari rumahnya di Kampung Jati, Gong Badak, Kuala Nerus.

Beliau berkata, mangsa yang merupakan seorang kontraktor dikatakan ke Kemaman atas urusan kerja.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan Mitsubishi Triton dipandunya dikatakan tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas.

“Kenderaan itu kemudiannya merempuh pembahagi jalan di laluan kiri lebuh raya,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Adli berkata, impak kemalangan itu menyebabkan Mohd. Hafiz Fahmi telah tercampak keluar dari kenderaannya.

Tambah beliau, mangsa lelaki itu telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu di sini untuk dibedah siasat. – KOSMO! ONLINE

Tauke syarikat pembinaaan didakwa kemuka dokumen palsu Penjana Kerjaya

 Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang wanita yang juga pemilik sebuah syarikat pembinaan dan renovasi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan memalsukan dokumen bagi Program Insentif Pengambilan Pekerja 1.0 (Penjana Kerjaya 1.0) pada dua tahun lalu.

Tertuduh, Ezza Suria Muda, 37, yang merupakan pemilik syarikat ESM Suria Enterprise membuat pengakuan tidak bersalah sebaik kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dazuki Ali.

Berdasarkan kedua-dua pertuduhan, dia didakwa memalsukan dokumen berupa Borang Pendaftaran Pekerja di bawah Peraturan-Peraturan (Am) Keselamatan Sosial Pekerja 1971.

Dokumen palsu mengandungi senarai pekerja ESM Suria Enterprise didakwa digunakan bagi tujuan untuk menipu Pertubuhan Keselamatan Pekerja (Perkeso).

Kedua-dua perbuatan tersebut didakwa dilakukan tertuduh di Akademi Binaan Malaysia (ABM) cawangan Wilayah Timur di Hulu Terengganu pada 3 November dan 23 November 2020.

Kosmo! 15 Julai lalu melaporkan Perkeso mengambil tindakan proaktif menggantung bayaran Penjana Kerjaya berjumlah RM423 juta.

Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed memaklumkan, tindakan itu diambil disebabkan terdapat majikan yang mengemukakan tuntutan palsu dan menyeleweng dana Penjana Kerjaya. – KOSMO! ONLINE

Aktiviti merempit di KT Bypass dibanteras

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seramai 134 notis kompaun atas pelbagai kesalahan trafik telah dikeluarkan dalam operasi dilaksanakan di Jalan Pintasan Kuala Terengganu atau Kuala Terengganu (KT) Bypass berhampiran Bukit Bayas di sini semalam.

Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Wan Rukman Wan Hassan berkata, operasi bersepadu melibatkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) itu turut menyita 17 motosikal.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum ini telah menerima banyak aduan ramai berhubung KT Baypass sering menjadikan golongan remaja untuk berlumba dan menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya.

“Sehubungan itu, operasi bersepadu telah dilancarkan bagi membanteras aktiviti tidak sihat itu dalam pemantauan selama lima jam sehingga pukul 9 malam tadi,” katanya di sini hari ini.

Wan Rukman berkata, walaupun tiada tangkapan dilakukan, sebanyak 17 motosikal telah disita mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi siasatan dan pemeriksaan lanjut.

Beliau berkata, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Terengganu telah diarahkan untuk mempertingkatkan operasi membendung aktiviti samseng jalanan terutama pada hujung minggu. – KOSMO! ONLINE

Surat peringatan kejadian culik disahkan palsu

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Dokumen dikeluarkan pengurusan beberapa sekolah di negeri ini berhubung pengingatan kepada ibu bapa murid dan pelajar berhubung kejadian penculikan yang tersebar di media sosial baru-baru ini disahkan palsu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md. Isa berkata, semakan dengan pengurusan sekolah terlibat mengesahkan mereka tidak pernah mengeluarkan surat dan kenyataan tersebut.

“Tiada laporan polis diterima berhubung kes penculikan dan cubaan menculik daripada mana-mana pihak di Terengganu setakat ini. Sehubungan itu, Polis Terengganu menafikan kewujudan dakwaan (kes culik dan cubaan menculik) itu,” katanya di sini hari ini.


Rohaimi berkata, pihaknya kesal dengan penyebaran berita palsu tersebut yang dikhuatiri boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat setempat.

Jelas beliau, Polis Diraja Malaysia (PDRM) amat terbuka dengan sebarang pengingatan dengan kemungkinan jenayah, namun mengaitkannya dengan kes yang pernah wujud adalah amat tidak bertanggungjawab.

“Apapun, saya telah mengarahkan ketua-ketua polis daerah di Terengganu agar meningkatkan rondaan di kawasan sekitar sekolah bagi meningkatkan keyakinan awam.

“Saya juga meminta ahli masyarakat supaya bertenang. Pihak sekolah juga diharap sentiasa berhubung dengan pihak polis melalui ketua polis daerah atau Pegawai Perhubungan Sekolah masing-masing berhubung sebarang isu berkait keselamatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Sungai Menerong bebas bakteria leptospirosis

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU – Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) menafikan dakwaan tular di aplikasi WhatsApp kononnya kawasan perkelahan, Sungai Menerong, Hulu Terengganu masih tercemar dengan bakteria leptospirosis atau kencing tikus.

Pengarah Kesihatan Terengganu, Datuk Dr. Kasemani Embong berkata, kali terakhir air sungai yang terletak di Hulu Berang itu dikesan positif dengan bakteria berkenaan pada 21 April lalu.

“JKNT hanya menerima satu kes penyakit leptospirosis berkait dengan aktiviti riadah di Sungai Menerong pada 21 April lalu dengan keputusan sampel tanah dan air mengesahkannya.

“Begitu pun, tiada kes baharu leptospirosis berkaitan dengan aktiviti riadah di Sungai Menerong dilaporkan selepas tarikh tersebut,” katanya di sini hari ini.

Kasemani berkata, tindakan penambahbaikan telah dilaksanakan melibatkan pelbagai agensi kerajaan bagi memastikan kawasan perkelahan tersebut bebas daripada ancaman kencing tikus pada Jun lalu.

Tambah beliau, pemantauan berkala telah dilakukan dengan Sungai Menerong disahkan bebas sepenuhnya daripada bakteria leptospirosis.

“Sehubungan itu, saya menasihatkan orang ramai mendapatkan maklumat tepat daripada agensi berkaitan sebelum menularkan sesuatu berita yang dikhuatiri palsu,” katanya. – KOSMO! ONLINE

KPWKM tumpu kesihatan mental mangsa banjir

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Kementerian Pembangunan Wanita, Kebajikan dan Masyarakat (KPWKM) akan turut memberi fokus membantu kesihatan mental mangsa banjir pada musim tengkujuh tidak lama lagi.

Timbalan Menterinya, Datuk Siti Zailah Mohd. Yusoff berkata, sebahagian mangsa terutama mereka yang pertama kali berhadapan dengan musibah banjir dikhuatiri mengalami gangguan emosi.

“Seramai lebih 1,000 kaunselor bertauliah telah bersiap bersedia bertugas terutama di pusat pemindahan sementara (PPS) bagi membantu mangsa banjir terbabit menangani tekanan.

“Perkhidmatan bimbingan kaunseling terhadap mangsa banjir tersebut akan turut dibantu sebahagian anggota Skuad Waja yang telah menerima kursus dan latihan khas,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu beliau ditemui selepas merasmikan sambutan Hari Sayyidatina Aishah anjuran kerajaan negeri Terengganu.

Dalam perkembangan sama, Siti Zailah berkata, seramai 326,500 sukarelawan yang mendaftar dalam Skuad Waja sudah bersiap sedia membantu mangsa banjir menjelang monsun Timur Laut tidak lama lagi.

Tambah beliau, mereka berperanan membantu agensi bertanggungjawab melancarkan operasi lebih 6,000 PPS yang dijangka dibuka di seluruh negara.

“Mereka juga berperanan membantu menangani isu-isu psikososial dalam kalangan mangsa banjir,” katanya. – KOSMO! ONLINE

KASA giat laksana persiapan hadapi banjir

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

DUNGUN – Persiapan menghadapi banjir pada musim tengkujuh bermula bulan November ini sedang giat dijalankan agensi di bawah Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA).

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, antara persiapan yang sedang dilakukan ialah penyelenggaraan pintu air, pemasangan pam air dan kerja-kerja mendalamkan kawasan takungan air di kawasan berisiko banjir di seluruh negara.

“Kesemua kerja-kerja persiapan terbabit dilakukan di ratusan kawasan-kawasan ‘hotspot’ (berisiko tinggi) banjir yang telah dikenal pasti di seluruh negara.

“Ia bagi memastikan semua aset itu berfungsi dengan baik pada musim tengkujuh nanti,” katanya selepas melancarkan projek pemuliharaan muara Sungai Dungun di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Tuan Ibrahim memberitahu, sebanyak 50 empangan sabo sedang dibina secara berperingkat di kawasan berisiko berlaku kejadian kepala air di seluruh negara.

Jelas beliau, empangan itu kelak akan berfungsi sebagai penahan puing termasuk bongkah batuan dan kayu selain melambatkan aliran air sekiranya berlaku fenomena kepala air di kawasan terlibat.

“Ia bertujuan untuk mengurangkan impak kepala air yang dikhuatiri bakal menjejaskan keselamatan pengunjung atau penduduk setempat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Bot nelayan Vietnam ceroboh perairan negara dimusnahkan APMM

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Sebuah bot nelayan Vietnam yang telah dilucut hak selepas menceroboh perairan negara pada tahun lalu dilupuskan oleh Maritim Malaysia (APMM) hari ini.

Timbalan Pengarah (Operasi) Maritim Terengganu, Ariffin Ghazali berkata, bot nelayan asing itu dilupuskan dengan dihancurkan komponennya.

Beliau menjelaskan, prosedur melupuskan secara dihancurkan itu dilaksanakan bagi bot nelayan asing beratnya di bawah 70 tan berdaftar kasar (GRT) yang tidak sesuai dijadikan tukun tiruan.

“Sebelum ini, bot nelayan Vietnam tersebut telah berjaya ditahan atas kesalahan menceroboh perairan negara pada 17 Julai tahun lalu.

“Sewaktu ditahan, dua kru bot itu sedang mencandat sotong secara haram pada kedudukan 112 batu nautika dari Kuala Terengganu,” katanya di sini hari ini.

Ariffin berkata, tindakan pelupusan berkenaan diambil mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985.

KUALA TERENGGANU – Sebuah bot nelayan Vietnam yang telah dilucut hak selepas menceroboh perairan negara pada tahun lalu dilupuskan oleh Maritim Malaysia (APMM) hari ini.

Timbalan Pengarah (Operasi) Maritim Terengganu, Ariffin Ghazali berkata, bot nelayan asing itu dilupuskan dengan dihancurkan komponennya.

Beliau menjelaskan, prosedur melupuskan secara dihancurkan itu dilaksanakan bagi bot nelayan asing beratnya di bawah 70 tan berdaftar kasar (GRT) yang tidak sesuai dijadikan tukun tiruan.

“Sebelum ini, bot nelayan Vietnam tersebut telah berjaya ditahan atas kesalahan menceroboh perairan negara pada 17 Julai tahun lalu.

“Sewaktu ditahan, dua kru bot itu sedang mencandat sotong secara haram pada kedudukan 112 batu nautika dari Kuala Terengganu,” katanya di sini hari ini.

Ariffin berkata, tindakan pelupusan berkenaan diambil mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985.

Monday, September 5, 2022

Piala FA: Terengganu umum 11 September cuti peristiwa

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri Terengganu mengumumkan 11 September depan sebagai cuti peristiwa sempena kejayaan Terengganu FC (TFC) mara ke perlawanan akhir Piala FA.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, cuti peristiwa terbabit bagi memudahkan rakyat negeri itu yang bakal melakukan perjalanan jauh ke Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur untuk menyaksikan aksi terbabit.

“Bagi memberikan keselesaan perjalanan pulang dan memastikan penyokong Terengganu tidak terburu-buru di atas jalan raya, kerajaan negeri (Terengganu) bersetuju mengisytiharkan 11 September depan sebagai cuti peristiwa.

“Susun dan atur masa perjalanan pulang dengan baik tanpa perlu tergesa-gesa,” katanya di sini hari ini.

Perlawanan akhir Piala FA antara TFC menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) berlangsung sehari sebelumnya iaitu 10 September sedangkan keesokannya iaitu Ahad merupakan hari bekerja bagi Terengganu.

Ahmad Samsuri berkata, penyokong tegar skuad Sang Penyu diseru mengutamakan keselamatan diri sepanjang dalam perjalanan pergi dan pulang menyaksikan aksi terbabit.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu turut berharap penyokong TFC dapat menunjukkan adab dan akhlak baik dengan tidak melibatkan diri dalam sebarang insiden tidak sepatutnya sepanjang menyaksikan perlawanan akhir Piala FA tersebut.

TFC yang dikemudi pengendali, Mohd. Nafuzi Zain mara ke pentas akhir Piala FA selepas menumpaskan Selangor FC menerusi penentuan sepakan penalti pada saingan separuh akhir. – KOSMO! ONLINE


Gerai musnah, ibu tunggal tidak berupaya bangkit semula

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU – Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Perum­pamaan tepat buat ibu tunggal, Siti Zaliha Abdullah, 34, yang kehilangan mata pencarian akibat banjir besar pada Februari lalu.

Lebih menyedihkan rumah pusaka yang dihuni wanita itu bersama empat anaknya terma­suk seorang orang kelainan upaya (OKU) mengalami kerosakan te­ruk terutama dapur.

Siti Zaliha memberitahu, dia hilang sumber pendapatan buat keluarga selepas gerai makanan yang diusahakan berhampiran Sekolah Kebangsaan Lubuk Periuk, Ajil di sini musnah dihanyut banjir.

“Semua peralatan memasak, barang berniaga rosak.

“Saya tiada keupayaan untuk bangkit semula kerana kekura­ngan modal dan kini terpaksa bekerja sebagai pembantu di sebuah kedai makan berhampiran,” katanya yang menerima bantuan bulanan jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM250.

Luahnya, dengan pendapatan purata RM25 sehari sebagai pembantu kedai tidak mencukupi bagi menyara empat anak termasuk bongsu, Nursay­yidatina Khadijah Abdullah, 7, yang menghidap celebral palsy.

“Kos membeli susu khas dan lampin pakai buang untuk anak OKU saya sangat besar selain memerlukan penjagaan khusus.

“Tiga anak lain berusia 11 hingga 14 tahun pula masih bersekolah dan mereka memerlukan belanja keseluruhan RM15 sehari,” luahnya.

Tambah Siti Zaliha, mereka sekeluarga kini menumpang sementara di rumah kakaknya yang terletak di kampung sebelah di­sebabkan tidak mampu membaiki kerosakan rumah pusaka.

Sehubungan itu, dia berharap agar ada pihak yang dapat membantu dirinya membuka kembali gerai makanan bagi mengubah nasib keluarga.

“Kalau ada yang sudi membantu membaiki kerosakan rumah pusaka, dapatlah kami berpindah masuk semula ke kediaman tinggalan keluarga saya ini,” katanya.

Mereka yang ingin membantu boleh menghulurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional Siti Zaliha, 1150029000052833 atau menghubunginya di talian 019-917 0430.

Ular sawa 90 kg telan anak lembu baru lahir

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU – Seorang pengusaha lembu terkejut apabila mendapati anak lembu ternakannya yang baru dilahirkan beberapa hari lalu dimakan seekor ular sawa di Kampung Tapah di sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 9.16 pagi itu, ular sawa yang seberat 90 kilogram telah menelan anak lembu tersebut di kawasan kandang sebelum keluar menuju ke kawasan semak-samun berhampiran.

Pegawai Pertahanan Awam Hulu Terengganu, Mohd. Zabri Abd. Razak berkata, sepasukan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat tentang kejadian tersebut tidak lama kemudian.

“Pencarian menjumpai ular sawa sepanjang 20 meter berkenaan di kawasan semak berhampiran.

“Usaha untuk menangkap haiwan reptilia berkenaan mengambil masa hampir sejam,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Zabri berkata, ular sawa kekenyangan tersebut berjaya dijinakkan dengan menggunakan peralatan menjerut.

Tambah beliau, haiwan reptilia berkenaan akan diserahkan ke Jabatan Perlindungan Haiwan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE

Sunday, September 4, 2022

Lori muatan balak terbalik elak kenderaan Perodua Alza

 Oleh MOHD AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU – Gara-gara cuba mengelak sebuah kenderaan pelbagai guna, Perodua Alza yang tiba-tiba membuat pusingan U, sebuah lori membawa muatan lori balak terbalik di Kilometer 35, Jalan Kuala Terengganu-Bukit Besi berhampiran Kampung Tok Randok di sini hari ini.

Dalam kemalangan pada pukul 9.15 pagi itu turut menyebabkan wanita berusia 64 tahun yang memandu Perodua Alza terbabit tersebut mengalami sakit dada kerana terkejut.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, sewaktu kejadian, lori membawa muatan kayu balak tersebut sedang dalam perjalanan ke Kampung Jerung, Marang dari Belukar Bukit di sini.

“Sewaktu tiba di lokasi kejadian, pemandu lori yang berusia 61 tahun cuba mengelak sebuah kenderaan Perodua Alza yang tiba-tiba keluar dari bahu jalan sebelum membuat pusingan U.

“Begitu pun lori tersebut tetap terlanggar sisi kanana kenderaan dipandu wanita yang mengusahakan kantin terbabit,” kataya di sini hari ini.

Mohd. Adli berkata, impak perlanggaran itu menyebabkan lori membawa muatan kayu balak tersebut hilang kawalan lalu terbabas merempuh sebatang tiang elektrik di tepi jalan.

Beliau berkata, ia menyebabkan lori tersebut terbalik menyebabkan muatan kayu balak bertaburan.

“Kes disiasat mengikut Peraturan 13 Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959,” katanya. – KOSMO! ONLINE.