Translate

Friday, September 30, 2016

Sajak bahasa Mandarin 
tingkat minat sastera

SASTERA. Sebanyak 28 sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) seluruh negara menyertai pertandingan Deklamasi Sajak bahasa Mandarin peringkat kebangsaan di Dewan SJKC Chung Hwa Wei Sin, Kuala Terengganu baru-baru ini.

Timbalan Menteri Pendidikan, Chong Sin Woon berkata, pertandingan tersebut bertujuan mengasah bakat dan meningkatkan minat pelajar terhadap karya kesusasteraan Cina.

Beliau berkata, SJKC Connought 2, Cheras, Selangor muncul johan bagi kategori Sekolah Rendah manakala kategori Sekolah Menengah pula dimenangi oleh Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Yok Bin, Air Leleh, Melaka.

Thursday, September 29, 2016

Terengganu siap sedia hadapi banjir

KUALA NERUS - Kerajaan negeri Terengganu sudah bersiap sedia untuk menghadapi kemungkinan banjir besar pada musim tengkujuh yang dijangka melanda negeri ini bermula pertengahan November depan.
Menteri Besar, Abdul Razif Abd. Rahman berkata, mesyuarat persiapan menghadapi banjir melibatkan pelbagai agensi termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara telah diadakan baru-baru ini.
"Kerajaan negeri juga telah memutuskan untuk membeli 80 bot penyelamat tambahan melibatkan peruntukan RM800,000.
"Ia akan diagih-agihkan kesemua lapan daerah di negeri ini dalam masa terdekat dengan setiap daerah menerima 10 bot," katanya selepas merasmikan Kempen Keselamatan Nelayan di Laut peringkat Terengganu di Dataran Telok Ketapang di sini hari ini. - K! ONLINE

Anak wartawan sambilan Kosmo! maut kemalangan

SETIU - Seorang Pembantu Pembangunan Masyarakat Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) maut selepas motosikal yang ditungganginya bertembung sebuah kereta Toyota Vios di Jalan Merang berhampiran Kampung Pengkalan Atap, Batu Rakit, Kuala Nerus dekat sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 8 pagi itu, Mohd. Shaifullah, 31, yang anak sulung wartawan sambilan Kosmo!, Adnan Mohamad meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala.
Adnan, 57, berkata, sewaktu kejadian, Mohd. Shaifullah yang masih bujang dalam perjalanan ke tempat kerjanya di YPKT, Kuala Terengganu dari rumah mereka di Kampung Fikri di sini.
"Sewaktu melalui simpang tiga di laluan berkenaan, anak saya yang menunggang motosikal Yahama 125 ZR telah bertembung dengan sebuah kereta Toyota Vios sebelum dia terjatuh.
"Dia yang mengalami kecederaan parah di kepala meninggal dunia dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Batu Rakit untuk menerima rawatan," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini. - K! ONLINE

Wednesday, September 28, 2016

PDRM tiada maklumat sepupu tunang Gareth Bale sembunyi di Malaysia

KUALA NERUS - Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak mempunyai maklumat berhubung dakwaan sepupu tunang bintang bola sepak Real Madrid, Gareth Bale yang didakwa bersembunyi di negara ini selepas wanita itu menjadi buruan sindiket dadah.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, setakat ini, PDRM masih belum dihubungi oleh pihak berkuasa Britain berhubung kes melibatkan Epiphany Dring, 27, tersebut.
"Setakat ini kita belum dihubungi lagi. Kita hendak tengok fakta sebenar dan menunggu permohonan daripada pihak berkenaan (Polis Britain)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutup Perkhemahan Kor Kadet Polis peringkat kebangsaan di Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail, Telaga Batin di sini hari ini.
Noor Rashid berkata, sekiranya dakwaan tersebut berasas, tiga tindakan imigresen boleh diambil iaitu sama ada mengekstradisi wanita itu ke negara asal, mengusirnya keluar atau menahannya sebagai pendatang asing tanpa izin.
Portal Mail Online yang berpengkalan di Britain pada Ahad lalu melaporkan polis negara itu percaya Dring kini berada di Malaysia selepas menjadi buruan penjenayah setelah dipercayai melarikan wang berjumlah RM1.6 juta, sejumlah dadah dan jam mewah milik sindiket dadah terbabit. - K! ONLINE

Henti sebar video mengaibkan

KUALA NERUS - Orang ramai diingatkan agar menghentikan penyebaran video menunjukkan seorang wanita berusia 26 tahun dipukul dalam keadaan bogel di sebuah hotel di Pekan Sungai Golok, Thailand yang menjadi viral di laman sosial baru-baru ini.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, penyebaran video atau gambar berhubung insiden itu yang mengaibkan mangsa merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
"Kertas siasatan mengikut Seskyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 telah dibuka berhubung insiden tersebut.
"Sekiranya mana-mana orang (lain) menyebarkan video mendatangkan keaiban kepada orang terlibat (mangsa), dia juga melakukan kesalahan sama dan siasatan menyeluruh akan dilakukan," katanya sebagai mengulas rayuan ibu mangsa agar orang ramai tidak menyebarkan video mengaibkan anak perempuannya.
Terdahulu beliau ditemui selepas merasmikan penutup Perkhemahan Kor Kadet Polis peringkat kebangsaan di Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail, Telaga Batin di sini hari ini. - K! ONLINE

Monday, September 26, 2016

Dua warga emas nyaris maut kereta dihempap bancuhan simen konkrit

KUALA TERENGGANU – Dua warga emas nyaris maut selepas kereta yang mereka naiki tiba-tiba dihempap oleh bancuhan konkrit yang tertumpah dari tingkat empat sebuah bangunan hotel yang masih dalam pembinaan di Jalan Kampung Cina di sini semalam.

Kereta Nissan Sunny dinaiki Wan Nawang Wan Mamat, 62, dan rakannya A. Rahman A. Hamid, 63, rosak teruk dengan kesemua cermin kenderaan tersebut pe­cah berikutan impak dihempap bancuhan simen dari ketinggian 16 meter itu pada pukul 11.30 pagi.

Kejadian bermula selepas bekas mengandungi bancuhan simen yang sedang diangkat dengan kren untuk kerja-kerja pembinaan projek menaik taraf sebuah hotel tiba-tiba terbuka lalu mengenai kereta dipandu Wan Nawang.

Selain itu, tiga buah kenderaan iaitu Honda Accord, Perodua Kancil dan Mazda CX5 yang diletakkan di kawasan meletak kenderaan berhampiran turut mengalami kerosakan.

Wan Nawang berkata, sewaktu kejadian, dia dan A. Rahman dalam perjalanan ke sebuah kedai yang terletak di Kampung Cina dari Pasar Payang di sini.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, tiba-tiba saya terdengar bunyi kuat sebelum sesuatu menghempap bahagian atas kereta saya yang menyebabkan semua cermin pecah.

“Saya yang mengalami luka akibat terkena serpihan cermin terbabit panik terus membrek kecemasan. Mujur nyawa saya dan rakan (A. Rahman) tidak melayang,” katanya.

Wan Nawang berkata, keretanya yang rosak teruk itu kemudian ditunda ke rumahnya di Kampung Seberang Takir, Kuala Nerus.

Dia yang bekerja sendiri berkata, selain menanggung kos penundaan kenderaan itu, pihak kontraktor pembinaan yang bertanggungjawab terhadap kejadian tersebut juga berjanji akan menggantikan kereta baharu kepadanya sebagai ganti rugi dalam masa terdekat.

Wednesday, September 21, 2016

Dua warga emas cemas kereta dihempap bancuhan simen

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Dua warga emas nyaris maut selepas kereta yang dinaiki mereka tiba-tiba dihempap oleh bancuhan simen yang tertumpah dari tingkat empat sebuah bangunan hotel yang masih dalam pembinaan di Jalan Kampung Cina di sini hari ini.
Kereta Nissan Sunny dinaiki Wan Nawang Wan Mamat, 62, dan rakannya A. Rahman A. Hamid, 63, rosak teruk dengan kesemua cermin kenderaan tersebut pecah berikutan impak dihempap bancuhan kontrit dari ketinggian 16 meter itu pada pukul 11.30 pagi.
Kejadian bermula selepas bekas mengandungi bancuhan simen yang sedang diangkat dengan kren untuk kerja-kerja pembinaan projek menaiktaraf sebuah hotel tiba-tiba terbuka lalu mengenai kereta dipandu Wan Nawang.
Selain itu, tiga buah kenderaan Honda Accord, Perodua Kancil dan Mazda Lexus yang diletakkan di kawasan meletak kenderaan berhampiran turut mengalami kerosakan. - K! ONLINE

Tuesday, September 20, 2016

Mati ditembusi sembilan peluru

Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan ADNAN MOHAMAD

SETIU – Seorang tukang cat yang mahu memulakan kerjaya di tempat baharu ditemui maut dengan badan ditembusi sembilan peluru dalam kejadian di rumah bapa saudaranya di Kampung Jelapang, Sungai Tong dekat sini awal pagi semalam.

Semasa mayat ditemui pada pukul 4.30 pagi, Erdy Alias, 37, dikatakan berada seorang diri di rumah kayu yang terletak di dalam kebun getah kerana bapa saudaranya, Mohd. Zuki Nor, 37, yang juga tukang cat menziarah ahli keluarganya di Gong Badak, Kuala Nerus sejak Sabtu lalu.

Difahamkan, Erdy dari Kampung Kepas Dalam, Besut baru menumpang tinggal di rumah Mohd. Zuki pada 9 September lalu dan beker­ja dengan bapa saudaranya itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Wan Abd. Aziz Wan Hamzah berkata, Mohd. Zuki yang belum berkahwin menemui mayat anak saudaranya dalam keadaan terbaring berlumuran darah di depan pintu rumah semasa mahu memasuki kediamannya.

“Pada mulanya Mohd. Zuki hairan kerana pintu rumahnya terbuka pada awal pagi sebelum dia dikejutkan dengan pene­muan mayat anak saudaranya terbaring secara mengiring di depan pintu rumah,” kata beliau di sini semalam.

Menurut beliau, ekoran kejadian itu, Mohd. Zuki terus menghubungi polis untuk memaklumkan mengenai kematian anak saudaranya.

Wan Abd. Aziz memberitahu, pemeriksaan di rumah tersebut menjumpai beberapa anak peluru di tepi dinding dan pintu dapur selain sebutir kelongsong peluru di hadapan rumah ber­kenaan.

Katanya, siasatan awal mendapati sekurang-kurangnya dua pucuk pistol digunakan untuk menembak mangsa yang masih bujang.

Pemeriksaan forensik pula mendapati sembilan das tembakan tersebut masing-masing me­nembusi leher, lengan kiri, punggung, paha kiri, kaki kiri, dada kanan dan dada kiri mangsa.

Bagaimanapun, polis masih menyiasat motif kejadian tersebut.
“Semakan polis mendapati mangsa mempunyai tujuh rekod jenayah termasuk melibatkan penyalahgunaan dadah, ugutan jenayah dan mencederakan orang menggunakan senjata,” kata beliau.

Kes tersebut disiasat mengikut Seskyen 302 Kanun Ke­seksaan. Katanya, orang ramai terutama jiran-jiran yang mempunyai maklumat atau melihat kelibat individu tidak dikenali berada di kawasan tersebut pada hari kejadian diminta tampil membantu siasatan polis.

Sementara itu, seorang jiran mangsa, Azrul Azwan Moha­mad, 30, mendakwa, kali terakhir dia melihat Erdy apabila pemuda itu menegurnya  dari beranda rumahnya petang kelmarin.

Dia yang menyewa rumah terletak kira-kira 30 meter dari rumah tempat Erdy ditemui mati  mendakwa tidak mendengar sebarang bunyi mencurigakan sepanjang awal pagi semalam.

“Erdy ada beberapa kali menyapa saya sejak dia menetap di rumah Pok Dek (Mohd. Zuki) lebih seminggu lalu tetapi kami tidak berapa mesra kerana sifat Pok Dek dan Erdy yang pendiam dan suka buat hal sendiri.

“Saya hanya mengetahui kes ini selepas Pok Dek memberitahu dan bertanya sama ada mende­ngar bunyi orang bergaduh di rumahnya sepanjang malam tadi (semalam),” katanya.

Monday, September 19, 2016

Tukang cat maut dihujani sembilan das tembakan

SETIU - Seorang tukang cat ditemui maut dengan keadaan mengerikan dengan sembilan das tembakan menembusi badan di rumah bapa saudaranya di Kampung Jelapang, Sungai Tong dekat sini hari ini.
Sewaktu kejadian Erdy Alias, 37, hanya berseorangan di dalam rumah kayu tersebut yang terletak di perkampungan sunyi di dalam kebun getah kerana bapa saudaranya, Mohd. Zuki Nor yang juga tukang cat menziarahi ahli keluarganya di Gong Badak, Kuala Nerus sejak Sabtu lalu.
Difahamkan Erdy yang berasal dari Kampung Kepas Dalam, Kampung Raja, Besut baru menumpang rumah Mohd. Zuki untuk bekerja dengan bapa saudaranya itu mulai 9 September lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Wan Abd. Aziz Wan Hamzah berkata, Mohd. Zuki yang juga masih bujang telah menemui mayat anak saudaranya terbaring dengan kesan darah pada bahagian kepala di hadapan pintu rumah sebaik memasuki rumah tersebut pada pukul 4.30 pagi.
"Pada mulanya, dia hairan kerana pintu hadapan terbuka walaupun pada awal pagi sebelum menjumpai mayat anak saudara terbaring secara mengiring di hadapan pintu rumah.
"Dia seterusnya menghubungi polis untuk memaklumkan kejadian berkenaan tidak lama kemudian," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini. - K! ONLINE

THT muncul juara MHL 2016

Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan MUHAMMAD ZUHAILY BADLISHAH

PASUKAN Hoki Terengganu (THT) membuktikan keunggulan mereka selepas menjuarai Divisyen Premier Liga Hoki Malaysia (MHL) buat kali ketiga berturut-turut.

Kejayaan terbaharu itu hadir selepas THT berjaya menewaskan pasukan Tenaga Nasional Berhad (TNB) 3-1 pada aksi terakhir liga di Stadium Hoki Batu Buruk, Kuala Terengganu semalam.

Kemenangan itu membolehkan THT muncul juara musim ini dengan mengumpul 22 mata, satu mata mengatasi Sapura yang terpaksa berpuas hati di tempat kedua.

Ketua jurulatih THT, Sarjit Singh memuji kerja keras serta kekuatan mental para pemainnya sehingga mampu merangkul kejuaraan liga musim ini.

“Saingan pada tahun ini amat sengit. Pada lima perlawanan awal, THT hanya mampu memungut tujuh mata tetapi selepas itu, kami berjaya bangkit.

“Menjadi juara adalah mudah tetapi untuk mempertahankannya buat kali ketiga-tiga berturut bukan tugas mudah,” kata Sarjit ketika ditemui selepas tamat perlawanan semalam.

Tiga gol THT pada perlawanan tersebut dijaringkan oleh Mohd. Fitri Saari, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil dan Ismail Abu.
TNB selaku naib juara Piala Tan Sri P. Alagendra 2016, meraih gol saguhati hasil jaringan padang Muhamad Ramadan Rosli.

Sementara itu, pengendali Sapura, Yahya Atan berpuas hati dengan kejayaan mereka untuk muncul naib juara, namun berikrar akan mencabar THT untuk memburu gelaran juara Piala TNB selepas ini.

“Kami masih ada satu peluang lagi dan kami akan cuba yang terbaik memenangi Piala TNB selepas ini,” jelasnya.

Sapura muncul naib juara selepas menewaskan Maybank 2-1 hasil jaringan Gurbaj Singh dan Phillip Ross Burrowa di Stadium Hoki Tun Razak, Jalan Duta, Kuala Lumpur semalam.

Budak maut dihempap beg udara mengembung

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

BESUT – Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun maut selepas dihempap beg udara yang mengembung selepas kereta dipandu ayahnya terlibat dalam kemalangan melibatkan tiga buah kenderan di Jalan Kampung Gong Kemuntong, Jertih dekat sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 12.30 tengah hari, hentakan kuat beg udara daripada kereta Suzuki Swift  tersebut menyebabkan leher Mohd. Syawal Amsyar Mohd. Fakhruzi patah.

Difahamkan, Mohd. Syawal Amsyar dan ahli keluarganya yang menetap di Subang Jaya, Selangor  berada di negeri ini selepas pulang bercuti di Kampung Baharu Tok Dor, Jertih sempena Hari Raya Aidiladha dan Hari Malaysia.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Zamri Mohd. Rowi (gambar kecil) berkata, kemalangan melibatkan kereta dinaiki mang­sa berlaku ketika lalu-lintas sesak dan turut melibatkan dua buah kenderaan lain iaitu Perodua Kelisa dan Proton Iswara.

Beliau berkata, sewaktu kejadian, kereta Suzuki Swift dinaiki Mohd. Syawal Amsyar yang di pandu ayahnya, Mohd. Fakhruzi Sepian @Jusoh, 32, dalam perjalanan menghala ke pekan Jerteh dari Kampung Baharu Tok Dor dekat sini.

“Semasa kejadian mangsa berdiri di tempat duduk penumpang depan dengan memakai tali pinggang keledar manakala ibunya, Norma Mohd., 30, berada di tempat duduk penumpang belakang,” kata beliau kepada Kosmo! di sini semalam.

Menurut beliau, kemalangan itu berpunca daripada kereta di pandu bapa mangsa tidak dapat mengelak sebuah kenderaan lain lalu melanggar belakang kereta Proton Iswara.

“Hentaman tersebut menyebabkan kereta Proton Iswara terlanggar belakang Perodua Kelisa di hadapannya selain menyebabkan beg udara yang ber­ada di dalam papan pemuka kereta Suzuki Swift terbuka dan menghentam mangsa,” kata beliau.

Mohd. Zamri memberitahu, kesan hentakan beg udara tersebut menyebabkan leher Mohd. Syawal Amsyar patah sebelum dia yang tidak sedarkan diri dikejarkan ke Hospital Besut di sini.

“Sebaik tiba ke hospital, pakar perubatan hospital berkenaan mengesahkan mangsa telah me­ninggal dunia akibat kecederaan parah pada leher.

“Kedua-dua pemandu kereta Proton Iswara dan Perodua Kelisa serta kedua ibu bapa kepada mangsa tidak mengalami kece­deraan,” katanya.

Pada 14 Oktober 2015, seorang kanak-kanak perem­puan berusia lapan tahun maut akibat terpelanting apabila beg udara kereta dipandu abangnya mengembung setelah kenderaan itu terlanggar bonggol berhampiran rumahnya di Bandar Utama, Sungai Petani, Kedah.

Sunday, September 18, 2016

THT juara hatrik MHL

KUALA TERENGGANU - Pasukan Hoki Terengganu (THT) membuktikan keungggulan dengan muncul juara Divisyen Premier Liga Hoki Malaysia (MHL) tiga tahun berturut-turut yang berakhir hari ini.
Kejayaan itu menjelma selepas pasukan kendalian jurulatih, Sarjit Singh menewaskan Tenaga Nasional Berhad (TNB) 3-1 pada perlawanan terakhir liga di Stadium Hoki Batu Buruk, di sini.
Gol pertama THT dijaringkan Mohd. Fitri Saari menerusi pukulan penalti pada minit kelima.
Penyerang tuan rumah, Tengku Ahmad Tajudin Tengku Abdul Jalil menambah luka TNB selepas menewaskan S. Kumar pada minit ke-18.
Kumar yang juga penjaga gol kebangsaan terus tewas buat kali ketiga menerusi gol padang yang dijaringkan pemain THT, Ismail Abu pada minit ke-31.
Seminit kemudian, TNB yang merupakan naib juara Piala Tan Sri P. Alagendra memperoleh gol saguhati menerusi gol padang yang dijaringkan Muhamad Ramadan Rosli. - K! ONLINE

Mayat mangsa kedua lemas Sungai Getang ditemui

HULU TERENGGANU - Mayat Abdul Hadi Abd. Ghani, 14, yang lemas sewaktu mandi bersama tujuh rakan lain di Sungai Getang, Kuala Berang dekat sini semalam berjaya dijumpai kira-kira 25 jam selepas dia dilaporkan hilang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang, Mohd. Zamri Omar berkata, mayat pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Telanai, Marang itu ditemui pasukan mencari dan menyelamat selepas timbul di permukaan sungai pada pukul 6.33 petang hari ini.
"Bot pasukan mencari dan menyelamat telah melakukan beberapa kali pusingan di kawasan sekitar lokasi mangsa dilaporkan hilang bagi mewujudkan kocakan air.
"Ia bertujuan menyebabkan pusaran air sebagai pemangkin menolak mayat mangsa yang berada di dasar sungai berkenaan yang sedalam tiga hingga lima meter agar timbul ke permukaan (sungai)," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian di Kampung Sungai Getang, Kuala Berang di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, Mohd. Zamri memberitahu jenazah seorang lagi mangsa, Mohd. Atiqullah Idris, 14, yang telah berjaya dijumpai kelmarin telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pak Madah, Marang pada pukul 11 pagi hari ini.
Kosmo! semalam melaporkan Muhammad Atiqullah dan Abdul Hadi lemas selepas mandi di sungai berkenaan bersama enam rakan lain selepas menghadiri kenduri perkahwinan di Kampung Sungai Getang pada pukul 4 petang. - K! ONLINE

Seorang remaja lemas, rakan masih hilang semasa mandi di Sungai Getang


HULU TERENGGANU – Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun lemas manakala seorang lagi masih hilang selepas mandi di Sungai Getang, Kuala Berang dekat sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 4 petang itu, Muhammad Atiqullah Idris (gambar kecil) dan Abdul Hadi Abd. Ghani mandi di sungai berkenaan bersama enam rakan lain selepas menghadiri kenduri perkahwinan di Kampung Sungai Getang.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, mayat Muhammad Atiqullah telah dijumpai pasukan penyelamat tidak jauh dari lokasi mereka mandi pada pukul 7.20 malam.

“Operasi mencari Abdul Hadi yang merupakan pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Telanai, Marang akan disambung semula pukul 7 pagi esok (hari ini).

“Mayat Muhammad Atiqullah  yang merupakan pelajar tingkatan dua SMK Bukit Sawa, Marang telah dihantar ke Hospital Hulu Terengganu di sini untuk bedah siasat,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Mohd. Adli berkata, sebelum kejadian kedua-dua mangsa yang menetap di Kampung Pak Madah, Marang telah pergi ke maj­lis perkahwinan bersama enam lagi rakan mereka dengan menaiki motosikal di Kampung Sungai Getang.

Menurut beliau, sewaktu dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing, mereka singgah mandi di Sungai Getang berhampiran.

“Sewaktu kesemua remaja itu asyik mandi, ke­dua-dua mangsa telah memasuki kawasan yang agak dalam lebih tiga meter kerana kerja-kerja menyedut pasir telah dijalankan di lokasi itu sebelum ini.

“Melihat Muhammad Atiqullah dan Abdul Hadi terkapai-kapai sebelum tenggelam, enam rakannya yang lain telah bergegas naik ke tebing sungai untuk meminta pertolongan,” katanya.

Saturday, September 17, 2016

THT rampas takhta pendahulu MHL

JUARA bertahan, Pasukan Hoki Terengganu (THT) menghidupkan peluang untuk mengungguli saingan Divisyen Premier Liga Hoki Malaysia (MHL) 2016 selepas membelasah pendahulu liga, Sapura 4-1 di Stadium Hoki Batu Buruk, Kuala Terengganu semalam, lapor MOHD. AZLI ADLAN.

THT yang sebelum ini menghuni tangga ketiga, menjaringkan keempat-empat gol mereka pada perlawanan tersebut menerusi pukulan sudut penalti.

Penyerang import THT kelahiran Korea Selatan, Jang Jonghyun muncul wira selepas meledak hatrik pada minit kelima, 10 dan 21.
Bekas penyerang kebangsaan, Faizal Saari menambah derita skuad Sapura dengan menambah satu lagi gol pada minit ke-48 pada suku ketiga permainan juga menerusi pukulan sudut penalti.

Sapura yang baru meraikan kejayaan muncul juara sulung trofi Piala Tan Sri Alagendra, Selasa lalu sekadar mampu menjaringkan gol saguhati menerusi pukulan penalti Muhamamd Firhan Ashari pada minit ke-49.

Penjaga gol THT, Mohamad Hazrul Faiz Ahmad Sobri juga harus dipuji kerana bertindak cemerlang mengawal gawang pasukannya daripada dibolosi.

Dia berjaya menangkis banyak peluang yang dijelmakan barisan serangan Sapura yang diketuai pemain sensasi, Dengerouslee Mathew.

Kejayaan menewaskan Sapura tersebut membolehkan pasukan kendalian jurulatih, Sarjit Singh memungut tiga mata berharga, sekali gus merampas takhta liga dengan mengumpul 19 mata.

Sapura terpaksa turun di tangga kedua dengan 18 mata manakala Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) yang tewas mengejut 1-2 di tangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) pula berada di tempat ketiga.

Friday, September 16, 2016

THT rampas takhta pendahulu Divisyen Premier MHL

KUALA TERENGGANU - Juara bertahan, Pasukan Hoki Terengganu (THT) menghidupkan peluang untuk sekali lagi mengungguli Divisyen Premier Liga Hoki Malaysia (MHL) selepas membelasah pendahulu liga, Sapura 4-1 di Stadium Hoki Batu Buruk, Kuala Terengganu, Terengganu hari ini.
THT yang sebelum ini menghuni tangga ketiga meledak keempat-empat gol menerusi pukulan sudut penalti.
Penyerang import THT kelahiran Korea Selatan, Jang Jonghyun muncul wira selepas meledak hatrik pada minit 5, 10 dan 21.
Bekas penyerang kebangsaan, Faizal Saari menambah derita Sapura dengan menambah satu lagi gol pada minit ke-48 pada suku ketiga permainan juga menerusi pukulan sudut penalti.
Sapura yang baru meraikan kejayaan muncul juara sulung trofi Piala Tan Sri Alagendra Selasa lalu sekadar mampu menjaringkan gol saguhati menerusi pukulan penalti Muhammad Firhan Ashari pada minit ke-49. - K! ONLINE

Orang buta tubuh koperasi sendiri

KUALA NERUS – Kecacatan penglihatan bukan menghalang buat sekumpulan golongan kelainan upaya di negeri ini menubuhkan Koperasi Persa­tuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis).

Pengerusinya, Mohd. Fauzi Mansor berkata, penubuhan koperasi itu membuktikan golongan buta juga mampu berdikari untuk menjana pendapatan.

“Setelah hampir tiga bulan ditubuhkan, koperasi ini telah memperoleh 43 orang anggota yang terdiri daripada golongan cacat penglihatan sepenuhnya. Kita yakin keahlian akan meningkat 2,000 orang,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Seberang Takir di sini baru-baru ini.

Mohd. Fauzi berkata, masalah utama golo­ngan cacat penglihatan ialah kekurangan peluang pekerjaan.

Sehubungan itu, beliau menjelaskan koperasi itu ditubuhkan bagi membolehkan mereka saling bantu-membantu menjana pendapatan menerusi kemahiran masing-masing.

“Koperasi Pertis kini giat memasarkan produk mesra golongan penglihatan seperti jam, kalkulator, kompas penunjuk arah kiblat, termometer dan mesin tekanan darah bersuara yang berharga semurah RM20,” katanya.

Wednesday, September 14, 2016

Maldives guna program pemulihan banduan negara

DUNGUN - Program pemulihan banduan yang dilaksana Jabatan Penjara mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila modul terbabit diguna pakai oleh kerajaan Maldives.
Ketua Pengarah Penjara, Datuk Seri Zulkifli Omar berkata, Perkhidmatan Pemulihan Maldives yang merupakan jabatan penjara bagi negara Asia Selatan itu mengguna pakai modul pemulihan Pelan Pembangunan Insan tersebut secara total.
"Modul pemulihan yang dijalankan Jabatan Penjara memberi kesan positif kerana secara konsisten berjaya mengurangkan bilangan banduan berulang pada kadar di bawah 10 peratus sejak beberapa tahun lalu.
"Lebih 98 peratus bekas banduan yang menyertai Sistem Parol dan Program Pemulihan Pemasyarakatan sejak masing-masing diperkenal pada tahun 2008 dan 2011 juga memperoleh pekerjaan mereka selepas dibebaskan," katanya pada program Mesej Dari Penjara anjuran Jabatan Penjara di Universiti Teknologi Mara Dungun di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Pengarah Penjara Pahang Datuk Ab. Basir Mohamad. - K! ONLINE

Tuesday, September 13, 2016

KBS, AADK kerjasama tangani dadah

BESUT - Kementerian Belia dan Sukan menjalin kerjasama dengan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) menubuhkan Pusat Intregasi Klien (PIK) yang bertujuan membantu bekas penagih kembali ke pangkuan masyarakat.
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, PIK menyediakan latihan kemahiran vokasional, kerohanian dan sokongan rakan sebaya kepada pelatih yang dipanggil sebagai Klien dalam tempoh tiga bulan.
"PIK merupakan sebahagian program strategi Lautan Biru Kebangsaan antara kementerian dan AADK untuk memulihkan bekas penagih dadah terbabit sepenuhnya.
"Latihan vokasional yang dilaksanakan dengan kerjasama Institut Kemahiran Belia Negara memberi peluang pekerjaan kepada Klien PIK, " katanya selepas menghadiri majlis Ramah Mesra di Pusat Integrasi Klien Besut di Kampung Raja di sini hari ini. - K! ONLINE

Monday, September 12, 2016

Kereta ditembak depan rumah

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

BESUT – Seorang penternak ikan terkejut apabila mendapati kereta Toyota Vios miliknya yang diletakkan di hadapan rumah di Kampung Paya Rawa di sini telah ditembak individu tidak dikenali pada Sabtu lalu.

Dalam kejadian pada pukul 2 pagi itu, tiga das tembakan dipercayai telah dilepaskan de­ngan dua daripadanya mengenai kereta tersebut.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata, sewaktu kejadian, pemilik kereta Toyota Vios terbabit yang berusia 23 tahun mendakwa terdengar bunyi letupan kuat seperti mercun di hadapan rumahnya.

“Begitu pun penternak ikan tersebut tidak mengendahkan­nya sebaliknya meneruskan tidur.

“Kesan tembakan itu hanya disedari pada pukul 5 petang sewaktu dia mahu menggunakan kereta itu. Berdasarkan pemerhatian, terhadap dua kesan tembakan di bahagian kanan but dan bahagian bawah pintu pemandu kereta Toyota Vios berwarna hitam berkenaan,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Mohd. Zamri berkata, mangsa kemudiannya telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Besut kerana bimbangkan keselamatan diri dan ahli keluarga yang lain.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati suspek melepaskan tembakan dengan menggunakan pistol jenis Revolver .380, namun motif kejadian masih disiasat.

“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960,” katanya.

Sunday, September 11, 2016

Kakitangan Kemas Terengganu dirai

HARGAI. Seramai 1,300 kakitangan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Terengganu diraikan dalam program Wihdatul Fikri sempena Hari Pendidik Kemas peringkat negeri di Primula Beach Resort, Kuala Terengganu, Terengganu baru-baru ini.

Pengarah Kemas Terengganu, Faridah Mat berkata, program tersebut bertujuan untuk menghargai sumbangan kakitangan agensi tersebut memberi khidmat kepada masyarakat dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak, jahitan, masakan dan sulaman di seluruh negeri ini.

“Sebagai perhargaan atas jasa mereka, seramai 1,106 kakitangan Kemas negeri dalam skim kontrak yang telah berkhidmat sekurang-kurangnya dalam tempoh 15 tahun telah diserap ke lantikan tetap mulai 1 Julai lalu,” katanya.

Saturday, September 10, 2016

Jaga ditahan bantu siasatan kes samun RM1.14 juta

KUALA TERENGGANU – Seorang pengawal keselamatan ditahan bagi membantu siasatan kes samun dua mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan tiga peti besi sebuah pasar raya di Kuala Nerus di sini melibatkan kerugian RM1.14 juta pada Ahad lalu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rosli Ab. Rahman berkata, suspek merupakan salah seorang daripada empat pengawal keselamatan yang diikat penjenayah ketika bertugas pada hari kejadian.

“Penahanan dilakukan selepas siasatan awal mengesyaki kemungkinan dia bertindak sebagai pemberi maklumat kepada kumpulan penjenayah yang dipercayai warga asing.

“Ujian air ken­cing yang dijalankan terhadap lelaki itu juga menunjukkan dia positif dadah,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di sini semalam.

Kosmo! 5 September lalu melaporkan empat pengawal keselamatan sebuah pasar raya di Kuala Nerus diikat dan dikurung sebelum sekumpulan tujuh penyamun memecah dua buah mesin ATM dan tiga peti besi di dalam premis terbabit.

Friday, September 9, 2016

Wanita hamil didakwa bunuh adik


Oleh MOHD. AZLI ADLAN

DUNGUN – Seorang suri rumah Fathin Nur Athirah Sabarudin, 21, yang sedang hamil anak sulung dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas pertuduhan membunuh adik perempuan bongsunya berusia dua tahun tujuh bulan yang disyaki didera pada akhir bulan lalu.

Suaminya pula Muhammad Hafiz ID Osmera, 21, turut dituduh membunuh Nadzirah Nur Safiah Sabarudin antara 30 Julai dan 29 Ogos lalu.

Kedua-dua suspek yang berpakaian lokap sekadar mengangguk faham selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Hazwanie Hussain Bustari.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mona Shazwani Kamarul Zaman manakala kedua-kedua tertuduh diwakili peguam bela, Hafizul Faris Che Razlan.

Berdasarkan pertuduhan, perbuatan itu didakwa dilakukan di rumah mereka di Jalan Tenggiri, Kampung Tebing Tembah, Paka di sini.
Fathin ialah kakak kandung kepada Nadzirah yang merupakan anak bongsu daripada lapan adik-beradik. 

Muhammad Hafiz pula bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah kilang elektronik di Taman Industri Paka di sini. 

Kedua-kedua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Hazwanie tidak menawarkan sebarang jaminan dan menetapkan sebutan semula kes pada 9 Oktober depan.

Muhammad Hafiz dihantar ke Penjara Marang manakala Fathin yang sedang hamil lima bulan pula dihantar ke Penjara Pengkalan Chepa, Kelantan.

Kosmo! 31 Ogos lalu melapor­kan Nadzirah meninggal dunia dengan keadaan badan dipenuhi parut, luka dan lebam pada kepala, dahi, bibir serta kaki disyaki mangsa dera kakak kandung dan abang iparnya.

Difahamkan, sebelum mening­gal dunia, Fathin menghubungi ibunya, Norida Royani Sarifudin, 38, yang bekerja di Kuala Lumpur memberitahu adiknya terkena air panas namun tidak serius.

Pengawal keselamatan ditahan bantu siasatan kes samun ATM, peti besi pasar raya

KUALA TERENGGANU - Seorang pengawal keselamatan ditahan bagi membantu siasatan kes samun dua mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan tiga peti besi pasar raya Sabasun 2 di Gong Badak, Kuala Nerus yang melibatkan kerugian RM1.14 juta pada Ahad lalu.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Rosli Ab. Rahman berkata, suspek merupakan salah seorang daripada empat pengawal kesalamatan yang bertugas pada hari kejadian.
"Penahanan dilakukan selepas siasatan awal mengesyaki kemungkinan dia bertindak sebagai pemberi maklumat kepada kumpulan penjenayah yang dipercayai terdiri daripada warga asing berkenaan.
"Ujian urin yang dijalankan terhadap lelaki itu juga menunjukkan dia positif dadah," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontijen Terengganu di sini hari ini.
Terdahulu beliau ditemui selepas menghadiri majlis Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial dan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri serta Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu. - K! ONLINE

Thursday, September 8, 2016

Suami isteri didakwa bunuh adik

DUNGUN - Sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh adik perempuan berusia dua tahun tujuh bulan pada akhir bulan lalu.
Fathin Nur Athirah Sabarudin, 21, dan suaminya, Muhammad Hafiz ID Osmera, 21, mengangguk faham selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Hazwanie Hussain Bustari.
Berdasarkan pertuduhan, Fathin dan Muhammad Hafiz didakwa membunuh Nadzirah Nur Safiah Sabarudin di rumah mereka di Jalan Tenggiri, Kampung Tebing Tembah, Paka di sini antara 30 Julai dan 29 Ogos lalu.
Hazwanie tidak menawarkan sebarang jaminan dan menetapkan sebutan semula pada 9 Oktober depan. - K! ONLINE

Koperasi OKU bergabung bentuk konsortium

KUALA NERUS – Satu konsortium yang menggabungkan 17 koperasi golongan kelainan upaya (OKU) akan diperkenalkan menjelang akhir tahun ini.

Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, ia merupakan inisiatif pihaknya untuk memperkukuhkan koperasi berkenaan demi kebajikan ahli.

“Kesemua koperasi OKU di negara ini mencatat perolehan tahunan masing-masing di bawah RM1 juta manakala keahlian keseluruhan sekitar 1,000 orang sahaja.

“Demi kelangsungan koperasi terbabit, Angkasa mencadangkan agar kesemuanya bergabung di bawah satu konsortium sebagai platform untuk memperolehi perolehan yang lebih besar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan majlis dialog bersama ahli Koperasi Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis) Terengganu Bhd. di sini semalam.

Abdul Fattah menjelaskan, penubuhan konsortium itu tidak bermakna setiap koperasi itu perlu dibubarkan tetapi setiap entiti itu hanya bergabung dari segi pemasaran dan model perniagaan.

Wednesday, September 7, 2016

Kereta ditembak depan rumah

BESUT - Seorang penternak ikan terkejut apabila mendapati kereta Toyota Vios miliknya yang diletakkan di hadapan rumah di Kampung Paya Rawa di sini telah ditembak individu tidak dikenali pada Sabtu lalu.
Dalam kejadian pada pukul 2 pagi itu, tiga das tembakan dipercayai telah dilepaskan dengan dua daripadanya mengenai kereta tersebut.
Ketua Polis Daerah Besut, Superindentan Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata, sewaktu kejadian, pemilik kereta Toyota Vios terbabit yang berusia 23 tahun mendakwa terdengar bunyi letupan kuat seperti mercun di hadapan rumahnya.
"Begitu pun penternak ikan tersebut tidak mengendahkannya sebaliknya meneruskan tidur.
"Kesan tembakan itu hanya disedari pada pukul 5 petang sewaktu dia mahu menggunakan kereta itu. Berdasarkan pemerhatian, terhadap dua kesan tembakan di bahagian kanan but dan bahagian bawah pintu pemandu kereta Toyota Vios berwarna hitam berkenaan," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini. - K! ONLINE

Belajar jadi doktor palsu di YouTube

Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan KASANABILAH KAMARUL ZAMAN

KUALA TERENGGANU – Tindakan licik gadis lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) menawarkan ­khidmat rawatan pemasangan pendakap gigi yang dipelajari menerusi  video YouTube berakhir­ dengan wanita itu didenda RM25,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam.

Nurul Nadzirah Mohd. Saidi, 21, membuat pe­ngakuan bersalah setelah kertas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Rofiah Mohamad.

Rofiah turut memerintahkan tertuduh yang dijadual bakal melangsungkan perkahwinan­nya pada bulan depan menjalani hukuman penjara tambahan selama dua tahun sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Nurul Nadzirah yang tidak diwakili peguam membayar denda tersebut. Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Khaikiyah Samsudin.

Berdasarkan pertuduhan, Nurul Nad­zirah didakwa menyediakan perkhidmatan klinik pergigian swasta tanpa tauliah dengan memberi rawatan pemasangan pendakap gigi kepada seorang remaja perempuan berusia 19 tahun.
Perbuatan yang dilakukan secara haram­ tanpa kebenaran Ketua Pengarah Kesihatan didakwa dilakukan tertuduh di sebuah bilik di tingkat dua Hotel Permai, Jalan Sultan Mahmud di sini pada pukul 10.05 malam 27 April lalu.

Mengikut fakta kes, Nurul Nadzirah yang mempelajari teknik rawatan pendakap gigi menerusi laman perkongsian video YouTube dan rakan-rakan me­ngenakan caj RM1,000 bagi setiap perkhid­matannya.

Tertuduh dikatakan telah lima bulan menawarkan khidmat pendakap gigi.

Perbuatan tertuduh yang hanya berkelulusan STPM adalah melanggar subseksyen 4(1) Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998.

Dia dituduh mengikut subseksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM300,000 atau penjara sehingga enam tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Nurul Nadzirah sewaktu membuat ra­yuan memohon agar dia dikenakan hukuman ringan kerana bakal berkahwin tidak lama lagi dan tidak mempunyai sebarang pekerjaan sebaliknya masih ditanggung oleh ibu bapa.

Mayat jurukimpal disyaki lemas ditemui di tebing Sungai Dungun

DUNGUN – Mayat seorang jurukimpal dipercayai lemas ditemui di tebing batu Sungai Dungun di Kampung Sungai Buaya di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 9.45 pagi itu, mayat Roslan Jusoh (gambar kecil), 55, ditemui di atas tebing batu sungai berkenaan oleh beberapa penduduk kampung yang kebetulan melalui kawasan berkenaan.

Abangnya, Shapii Jusoh, 65, berkata, dia terkejut dimaklumkan penemuan mayat adik kelapan dari sembilan beradik itu daripada salah seorang sepupunya pada pukul 10 pagi.

Dia membe­ritahu, sebelum kejadian, adik yang masih bujang keluar dari rumahnya di Jalan Teratai kira-kira tiga kilometer dari lokasi kejadian dengan basikal selepas solat Subuh.

“Sebelum keluar rumah, dia tidak memberitahu kami apa-apa kerana memang sikapnya yang pendiam. Sejak dua minggu lalu, adik saya di­serang demam panas dan sakit pinggang hingga sukar untuk bangun namun semakin pulih semalam (kelmarin),” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Shapii berkata, walaupun reda dengan pemergian Roslan, dia sekeluarga tidak menyangka dan terkejut dengan kematian adiknya yang masih belum diketahui puncanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacob berkata, mayat Roslan telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk dibedah siasat.

Beliau berkata, setakat ini, punca kematian mangsa belum diketahui dan dalam masih dalam siasatan.

Tuesday, September 6, 2016

Bekas tentera disyaki samun kedai serbaneka diberkas

KUALA TERENGGANU - Seorang bekas tentera yang disyaki menyamun dua kedai serbaneka 24 jam di sekitar bandar raya ini baru-baru ini berjaya ditahan di Kampung Pulau Ketam di sini semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman berkata, lelaki berusia 36 tahun tersebut diberkas dalam serbuan di rumahnya pada pukul 9.40 malam.
"Suspek dipercayai terlibat dalam dua kes samun kedai serbaneka di Jalan Hiliran, Chabang Tiga dan Bukit Tunggal di sini pada 17 Ogos dan Jumaat lalu. Kedua-dua kejadian samun tersebut masing-masing dilakukan pada pukul 7.30 pagi dan 1.20 pagi.
"Dalam kedua-dua kejadian samun itu, suspek dipercayai telah melarikan wang tunai dan rokok yang berjumlah keseluruhan kira-kira RM1,000. katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di sini hari ini. - K! ONLINE

RM260,000 lesap dalam 3 minit

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

DUNGUN – Perbuatan merompak mesin pengeluaran wang automatik (ATM) semakin menjadi-jadi di Terengganu apabila dua penjenayah bertopeng melarikan wang tunai RM260,000 selepas bertindak meletupkan mesin ATM sebuah bank di Kuala Du­ngun di sini semalam.

Kejadian tersebut merupakan kes kedua rompakan mesin ATM dalam tempoh dua hari di ne­geri itu selepas kejadian di pasar raya Sabasun 2, Gong Badak, Kuala Nerus kelmarin yang me­libatkan kerugian RM1.14 juta.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacob berkata, dua penjenayah bertopeng hanya mengambil masa kira-kira tiga minit untuk meletupkan dan melarikan wang tunai berjumlah RM260,000 dari mesin ATM bank itu yang terletak di Jalan Yahaya Ahmad pada pukul 5.50 pagi.

“Berdasarkan rakaman te­levisyen litar tertutup (CCTV) bank terbabit, dua penjenayah terbabit telah memasuki rua­ngan premis bank yang menempatkan tiga mesin ATM dan dua mesin deposit tunai pada pukul 5.47 pagi.

“Mereka mengumpil lapisan pertama mesin ATM yang terletak paling hampir dengan pintu utama menggunakan peralatan kuku kam­bing sebelum meletakkan objek dipercayai bahan letupan di dalamnya,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di sini semalam.

Ahmad Zailani berkata, ledakan daripada bahan letupan yang masih belum dikenal pasti kemudiannya berjaya memecahkan lapisan kedua mesin ATM terbabit yang mempunyai ciri-ciri keselamatan.

Menurut beliau, letupan ber­kenaan juga turut merosakkan sebuah CCTV, besi penghadang dan pintu utama bank berkenaan yang diperbuat daripada kaca.

“Kedua-dua penjenayah tersebut yang memakai jaket dan topi kemudian cuba memecahkan lapisan pertama satu lagi mesin ATM dengan menggunakan modus operandi sama tetapi gagal.

“Selepas itu, kerana kesuntukan masa, mereka bergegas melarikan komponen mesin ATM mengandungi wang tunai dianggarkan berjumlah RM260,000 dengan sebuah kenderaan yang sedang dikenal pasti,” katanya.

Ahmad Zailani berkata, sepa­sukan polis bergegas dengan sebuah kereta peronda sebaik siren amaran penggera keselamatan bank tersebut berbunyi akibat gegaran letupan berkenaan namun sebaik tiba di lokasi kejadian beberapa minit kemudian, kesemua penjenayah terbabit didapati telah menghilangkan diri.

Beliau berkata, Unit Pemusnah Bom dan Unit Forensik dari Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun telah diarahkan untuk melakukan siasatan berhubung kejadian samun mesin ATM terbabit.

7 penyamun ikat, kurung 4 pengawal kebas RM1.14 juta

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Empat pengawal keselamatan pasar raya Sabasun 2 di Gong Badak di sini semalam diikat dan dikurung sebelum sekumpulan tujuh penyamun memecah dua buah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan tiga peti besi di dalam pasar raya tersebut.

Dalam kejadian pukul 2.15 pagi hingga 6.15 pagi, penyamun dipercayai warga asing itu berjaya melarikan wang tunai berjumlah RM1.14 juta selepas berada di dalam premis tersebut lebih empat jam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Wan Abd. Aziz Wan Hamzah berkata, dalam tempoh empat jam itu, suspek-suspek dipercayai berpecah bagi  memecah dua buah mesin ATM dan tiga peti besi yang terdapat dalam pasar raya terbabit.

Menurut beliau, kumpulan penjenayah itu mengikat keempat-empat pengawal keselamatan sebelum mereka dikurung di dalam sebuah stor.

“Ketika kejadian ada empat pengawal keselamatan bertugas sebelum seorang daripada mereka terserempak dengan kehadiran kumpulan penjenayah ketika membuat rondaan,” kata beliau ketika ditemui di tempat kejadian di sini semalam.

Abd. Aziz memberitahu, perompak itu melarikan wang dalam dua buah mesin ATM yang dipecah menggunakan gas Oxy-Acetylere manakala tiga buah peti besi itu pula dipecah menggunakan mesin pemotong besi.

Turut digunakan dalam rompakan itu ialah tukul besi dan kuku kambing. Mesin ATM yang dipecah itu membabitkan milik dua buah bank tempatan manakala tiga peti besi milik pasar raya terbabit.
Menurut beliau, kumpulan penyamun itu menutup suis televisyen litar tertutup (CCTV) dan alat penggera sebelum melakukan jenayah itu.

Kata beliau, polis yakin rompakan itu dirancang dengan teliti dan siasatan daripada semua sudut sedang dilaksanakan sama ada melibatkan pekerja mahupun bekas pekerja pasar raya berkenaan.

Sementara itu, salah seorang mangsa, Mohd. Azwadi Arifin, 49, berkata, sebelum kejadian dia bertugas bersama tiga rakannya iaitu Yaakub Jusoh, 45, Mohd. Fatihi, 31, dan Nawi Deraman, 75.

“Sewaktu saya buat rondaan di belakang pasar raya, saya terserempak dengan tujuh lelaki tidak dikenali.

“Tanpa sempat berbuat apa-apa, seorang daripada lelaki itu meletakkan parang ke leher saya, kedua-dua belah tangan saya diikat sebelum saya dikurung dalam stor,” katanya ketika ditemui Kos­mo! di sini semalam.

Sejurus selepas itu, kata Mohd. Azwadi, dia nampak ketiga-tiga rakan sekerjanya pula dibawa masuk ke dalam stor dengan tangan mereka juga diikat.

“Saya, Fatihi dan Nawi kemudian diletakkan dalam stor itu dan dikawal dua daripada tujuh lelaki terbabit,” ceritanya.

“Semasa kumpulan itu berkomunikasi sesama mereka, kami bertiga tidak faham kerana mengesyaki mereka mungkin warga Vietnam atau Kemboja,” katanya.

 Nawi pula memberitahu, mereka berempat hanya dapat melepaskan diri dengan membuka ikatan di tangan masing-masing pada pukul 6.45 pagi iaitu kira-kira 15 minit selepas kesemua penjenayah terbabit meninggalkan mereka.

“Dua, tiga bulan lalu, seorang lelaki pernah tanya mengenai bilangan pengawal keselamatan yang berkawal di pasar raya ini pada setiap malam. Pada masa itu saya tidak syak apa-apa,” katanya.

Monday, September 5, 2016

Penjenayah letup mesin ATM, RM260,000 dilarikan

MOHD. AZLI ADLAN


DUNGUN - Sebuah bank di Jalan Yahaya Ahmad, Kuala Dungun di sini mengalami kerugian sejumlah RM320,000 hari ini selepas salah sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) diletupkan sekumpulan penjenayah.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacob berkata, dalam kejadian pada pukul 5.47 pagi itu, dua suspek yang memakai topeng muka telah meletupkan mesin ATM itu dengan menggunakan bom bersumbu.
"Mereka bertindak melarikan mesin ATM yang mengandungi wang tunai itu sejurus lapisan keselamatannya berjaya diletupkan.
"Sebelum itu lapisan pertama mesin terbabit telah dipecahkan dengan menggunakan kuku kambing," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini. - K! ONLINE

Selaman Merdeka di Pulau Bidong


Oleh MOHD. AZLI ADLAN

SETIU - Seramai 40 penyelam mencipta kelainan bagi merai sambutan Hari Kebangsaan dengan melakukan selaman skuba sambil mengibarkan Jalur Gemilang di dasar perairan Pulau Bidong dekat sini hari ini.
Ketua Stesen Penyelidikan Marin Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Hasrizal Shaari berkata, program julung kali dianjurkan oleh UMT itu bertujuan untuk menyemai semangat kemerdekaan di samping menghargai keindahan alam sekitar di kalangan masyarakat.
"Peserta menyelam pada kedalaman kira-kira 10 meter di dasar perairan Pulau Bidong yang pernah menjadi penempatan pelarian Vietnam sehingga awal 1990-an.
"Sambil menikmati keindahan batu karang dan hidupan marin, mereka turut mengibarkan Jalur Gemilang sebagai simbol cinta terhadap negara," katanya selepas program Skuba Selaman Merdeka di perairan Pulau Bidong dekat sini hari ini. - K! ONLINE

Sunday, September 4, 2016

Mayat jurukimpal ditemui di tebing sungai

DUNGUN - Mayat seorang jurukimpal dipercayai lemas ditemui di tebing Sungai Dungun di Kampung Sungai Buaya di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 9.45 pagi itu, mayat Roslan Jusoh, 55, ditemui tersembam di atas sebuah batu di tebing sungai berkenaan oleh beberapa penduduk kampung yang kebetulan melalui kawasan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacob berkata, sebelum kejadian, Roslan yang masih bujang keluar dari rumahnya di Jalan Teratai kira-kira tiga kilometer dari lokasi kejadian dengan basikal selepas solat Subuh.
Beliau berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk dibedah siasat. - K! ONLINE

Pasar raya rugi RM1.14j, mesin ATM dan peti besi disamun

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS - Sebuah pasar raya di Gong Badak di sini kerugian RM1.14 juta selepas dua mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan tiga peti besi yang terdapat di dalam premis itu dipecahkan sekumpulan penjenayah hari ini.
Dalam kejadian 2.15 pagi itu, tujuh suspek yang dipercayai warga asing bertindak mengikat empat pengawal keselamatan sebelum mengurung mereka di dalam sebuah stor di dalam pasar raya tersebut.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Wan Abd. Aziz Wan Hamzah berkata, mereka kemudiannya memecah dua mesin ATM dipercayai menggunakan gas Oxy-Acetylere manakala tiga peti besi pula ditebuk dengan mesin pemotong besi.
"Sejurus selesai mengambil kesemua duit dalam mesin ATM dan peti besi itu yang dianggarkan berjumlah RM1.14 juta, kesemua penjenayah yang bersenjatakan parang dan sepucuk pistol bertindak melarikan diri pada pukul 6.30 pagi," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini. - K! ONLINE

Saturday, September 3, 2016

Empat klinik desa baharu bakal dibina

DUNGUN – Empat klinik desa yang sering ditenggelami banjir setiap kali musim tengkujuh di negeri ini akan dibina semula di tapak baharu bermula tahun depan.

Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr. Mohammad Omar berkata, jabatannya telah menerima peruntukan sebanyak RM20.5 juta bagi projek pembinaan semula kesemua klinik desa berkenaan di kawasan lebih tinggi.

“Klinik-klinik desa terlibat ialah Kampung Pasir Raja di sini, Kampung Pasir Gajah dan Kampung Seberang Tayur, Kemaman serta Kampung Pasir Akar, Besut.

“Kesemua klinik desa berkenaan sering ditenggelami banjir setiap kali musim tengkujuh menyebabkan Jabatan Kesihatan negeri memohon peruntukan untuk membinanya semula di lokasi baharu yang bebas bah," katanya selepas meninjau lokasi premis sementara Klinik Desa Kampung Pasir Raja di sini semalam.

Klinik desa sementara yang menelan kos RM280,000 itu bakal memberi perkhidmatan kepada tiga penduduk kampung berkenaan iaitu Kampung Pasir Raja, Kampung Syukur dan Kampung Jongok Batu di sini yang dianggarkan berjumlah 1,500 orang sehingga klinik desa baharu siap sepenuhnya.

Mohammad berkata, peruntukan tersebut telah diluluskan Kementerian Kesihatan baru-baru ini tersebut meliputi Klinik Desa Kampung Pasir Raja sebanyak RM7 juta, Seberang Tayur (RM5 juta), Pasir Gajah (RM5 juta) dan Pasir Akar (RM3.5 juta).

Friday, September 2, 2016

Produk inovasi SM Imtiaz Kuala Terengganu raih pingat di Romania

CEMERLANG. Sekolah Menengah Imtiaz Kuala Terengganu meraih kejayaan dalam pertandingan Pameran Inovasi dan Kreativiti Eropah yang diadakan di Palas Mall, Lasi, Romania baru-baru ini.

Pengetuanya, Mohd. Yusoff Othman berkata, pingat emas diraih menerusi produk Nifty Cleaner Kit yang merupakan set pencuci permukaan tingkap, bilah kipas, jeriji besi, dinding dan perabot.

Beliau berkata, produk Dr. Duster With Green Cleaner pula meraih pingat perak dalam kategori ubatan pada pertandingan yang disertai 40 negara seperti Amerika Syarikat, Britain, Rusia, Poland, Mesir dan Thailand.

"Pasukan sekolah yang dibimbing oleh guru Saripah Embong diwakili oleh pelajar tingkatan empat iaitu Afrina Mardhiah Ab. Manan dan Nur Athirah Noor Asa'ari," katanya.

Thursday, September 1, 2016

Nur Dhiyana johan Pencarian Anggun Ikon Hijabtista

JELITA. Agensi pencarian model, SRF Event Management & Services menganjurkan pertandingan Pencarian Anggun Ikon Hijabista di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu, Terengganu baru-baru ini.

Pengurusnya, Roslina Zakaria berkata, pertandingan tersebut bertujuan untuk mencari bakat baharu dalam bidang peragaan, pengacaraan dan lakonan dalam kalangan gadis Pantai Timur.

Beliau berkata, Nur Dhiyana Zakaria dari Kelantan muncul johan Pencarian Anggun Ikon Hijabista tersebut sekali gus menerima wang tunai RM2,500, pakej percutian dan hadiah iringan yang disampaikan isteri Menteri Besar Terengganu, Halina Zakaria.