Translate

Saturday, September 30, 2023

Konsert mini Gamelan Cilik Terengganu diiktiraf MBOR

KUALA TERENGGANU – Konsert mini Gamelan Cilik oleh 90 murid dan pelajar sekolah rendah dan menengah seluruh Terengganu diktiraf sebagai persembahan gamelan oleh murid paling ramai oleh Malaysia Book of Records (MBOR). 

 Pengarah Jabatan Pelancongan Terengganu, Fadli Yusof Zakaria berkata, konsert mini gamelan tersebut berlangsung di Kampung Budaya Terengganu di sini pada Jumaat lalu. 

 “Konsert mini berkenaan menampilkan 80 jenis alatan muzik gamelan dalam satu masa seperti kromong, gambang, saron pekin, saron baron, saron demong, kenong, gong agong, suwukan, gong ibu anak dan saron demun.

 “Ia merupakan idea Pengerusi Puspanita Terengganu, To’ Puan Seri Norzaini Abd. Latif yang amat prihatin dalam pengembangan seni muzik dan tari dalam kalangan murid,” katanya di sini semalam.

 Terdahulu, beliau menerima sijil pengiktirafan daripada wakil MBOR, Siti Nurhanim Mohd. Noh. 

 Fadli Yusof berkata, sebelum ini, Kumpulan Pemuzik dan Penari Tetap Negeri Terengganu (Suktra Terengganu) telah menghantar Adiguru terdiri daripada jurulatih muzik dan tari untuk melatih pelajar yang berbakat dan berpotensi di sekolah. 

Katanya, sekolah-sekolah berkenaan adalah yang terlibat dalam program Tunas Suktra.

Friday, September 29, 2023

Gaji naik ketepi persepsi sinis netizen


 Oleh MOHD. AZLI ADLAN

 KUALA TERENGGANU – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) yakin kerajaan akan menepati janji menaikkan gaji sektor awam menjelang pembentangan Bajet 2024 pada Oktober depan.

 Presiden Cuepacs, Datuk Adnan Mat percaya kata-kata sinis netizen yang mencadangkan inisiatif tersebut dibatalkan ekoran keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri pada Sabtu lalu tidak akan mempengaruhi keputusan kerajaan.

 “Ini pandangan yang serong dan tidak berperlembagaan kerana anggota Perkhidmatan Awam telah melakukan tugas dan kerajaan ini majikan kami. 

 “Kerajaan telah bersetuju untuk meningkatkan gaji, kami amat yakin kerajaan mampu untuk melaksanakannya. Keputusan PRN dilihat positif atau negatif itu tajuk lain,” katanya pada program Perhimpunan bersama Penjawat Awam Terengganu di sini semalam. 

 Adnan berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini jelas kekal komited dalam merealisasikan inisiatif meningkatkan gaji penjawat awam terbabit.

 Jelas beliau, komitmen berterusan menunjukkan Anwar amat prihatin dan memahami kesukaran penjawat awam khususnya yang berada dalam kumpulan gaji terendah. 

 “Sistem saraan baharu sedang giat dijalankan (Jabatan Perkhidmatan Awam) dengan sesi libat urus melibatkan enam kluster telah selesai. 

 “Harapan kami agar permintaan seperi gaji minimum RM1,800, penstrukturan tangga gaji dan kenaikan pangkat dapat dipenuhi dalam sistem saraan baharu itu,” katanya. 

 Dalam perkembangan sama, Adnan juga memohon kerajaan mempertimbangkan kenaikan imbuhan tetap perkhidmatan awam sebelum sistem saraan baharu terbabit dikuatkuasakan. 

Jelas beliau, kenaikan imbuhan sekurang-kurangnya RM100 sebulan itu bertujuan meningkatkan pendapatan bersih penjawat awam. 

 “Ia untuk meningkatkan kuasa beli penjawat awam untuk mendepani kos sara hidup yang semakin tinggi. 

 “Kita faham sistem saraan baharu mungkin memerlukan kajian dan memakan masa untuk dilaksanakan,” katanya.

Thursday, September 28, 2023

Ahmad Samsuri dilantik semula

KUALA TERENGGANU– Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu buat penggal kedua di Balairong Seri Istana Syarqiyyah di sini semalam. 

 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ru Redang dari Pas itu selesai mengangkat sumpah di hadapan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin pukul 3.18 petang.

 Selain Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden Pas, 10 ADUN Perikatan Nasional (PN) juga melafaz sumpah jawatan sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri atau Exco Terengganu bagi penggal ke-15.

 Mereka terdiri daripada sembilan wakil rakyat Pas dan seorang ADUN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). 

 Empat muka baharu yang dilantik sebagai Exco Terengganu ialah Ketua Badan Pimpinan Bersatu negeri, Datuk Razali Idris yang juga ADUN Kijal serta Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi (Batu Burok), Hishamuddin Abd. Karim (Tepoh) dan Maliaman Kassim (Ajil) dari Pas. 

 Enam Exco Terengganu yang dikekalkan, Datuk Satiful Bahri Mamat (Paka), Dr. Azman Ibrahim (Jabi) dan Wan Sukairi Wan Abdullah (Wakaf Mempelam). Ariffin Deraman (Alor Limbat), Hanafiah Man (Cukai) dan Mohd. Nurkhuzaini Ab. Rahman (Kota Putera) turut mengangkat sumpah sebagai Exco Terengganu. 

 Empat Exco Terengganu yang digugurkan adalah Datuk Mohd. Nor Hamzah yang merupakan ADUN Bukit Payung dan Dr. Mamad Puteh (Kuala Berang) sementara Datuk Dr. Alias Razak dan Tengku Datuk Tengku Hassan Tengku Omar pula tidak bertanding di kerusi DUN masing-masing untuk memberi laluan kepada muka baharu. 

 Ahmad Samsuri yang juga bekas Ketua Jabatan Kejuruteraan Aeroangkasa, Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia (UPM) mula menjawat Menteri Besar Terengganu pada 10 Mei 2018.

Wednesday, September 27, 2023

LKIM sedia stok penimbal 1,700 tan metrik ikan musim tengkujuh

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KEMAMAN – Sebanyak 1,700 tan metrik ikan pelagik akan menjadi stok penimbal sebagai persiapan menjelang musim tengkujuh yang dijangka bermula bulan depan.

Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil berkata, stok penimbal tersebut bagi menangani isu kekurangan bekalan ikan yang biasanya akan berlaku sepanjang monsun Timur Laut.

Beliau berkata, kebanyakan nelayan tempatan tidak boleh turun ke laut bagi menangkap ikan pada musim tengkujuh ekoran cuaca buruk dan ombak bergelora.

“LKIM telah menubuhkan jawatankuasa kerja bagi memastikan bekalan ikan untuk pengguna tempatan terus mencukupi pada musim tengkujuh nanti.

“Ikan-ikan yang akan dijadikan sebagai stok penimbal terbabit sedang disimpan di dalam bilik sejuk beku milik LKIM dan pihak swasta di seluruh negara,” katanya
pada program Rahmah Mesra Madani bersama nelayan Kuala Kemaman di sini hari ini.

Seramai 50 nelayan kawasan tersebut menerima peralatan penangkapan ikan sebagai bantuan LKIM mengikut program Peningkatan Pendapatan Nelayan B40.

Muhammad Faiz berkata, ikan pelagik yang dijadikan stok penimbal terbabit telah disejuk beku dengan teknologi pembekuan pantas individu (IQF)bagi memastikan kesegarannya.

Sehubungan itu, beliau berharap pengguna tidak meragui kualiti ikan jenama Q’Fish yang dijadikan stok penimbal terbabit. – KOSMO! ONLINE

Mohd. Nor dilantik Speaker DUN Terengganu

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Bendahari Pas Terengganu, Datuk Mohd. Nor Hamzah dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu baharu bagi penggal ke-15 hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payung itu sebelum ini merupakan bekas Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Terengganu bagi penggal lalu.

ADUN Seberang Takir, Khazan Che Mat dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pula dilantik sebagai Timbalan Speaker DUN Terengganu.

Pencalonan Mohd. Nor, 51, dan Khazan, 54, telah dicadangkan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar dan disokong oleh ADUN Paka, Datuk Satiful Bahri Mamat.

Mereka masing-masing mengangkat sumpah jawatan tersebut dihadapan Setiausaha DUN Terenganu, Zulkefly Isa.

Pada majlis sama, seramai 32 wakil rakyat Terengganu turut mengangkat sumpah jawatan didahului Ahmad Samsuri yang juga ADUN Ru Redang diikuti yang lain.

Mesyuarat Pertama Persidangan Pertama DUN Terengganu yang akan bermula pada 1 Oktober ini bakal mencipta sejarah apabila buat pertama kalinya tanpa pembangkang.

Pada Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN15) pada 12 Ogos lalu, Perikatan Nasional (PN) terdiri daripada 27 wakil Pas dan lima Parti Bersatu Pribumi Malaysia (Bersatu) menyapu bersih semua 32 kerusi DUN dipertandingkan di Terengganu. – KOSMO! ONLINE.

Mahkamah: Kemenangan Pas di Parlimen Kemaman dibatalkan

 Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Kemenangan calon Pas, Che Alias Hamid di kerusi Parlimen Kemaman pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada akhir tahun lalu dibatalkan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu di sini hari ini.

Hakim Datuk Anselm Charles Fernandis memutuskan demikian selepas mendapati wujud unsur sogokan kepada pengundi di kawasan Parlimen terbabit sewaktu kempen PRU15.

Beliau yang juga merupakan Hakim Mahkamah Tinggi Melaka memerintahkan pihak responden iaitu
Che Alias membayar kos sebanyak RM30,000 kepada pihak pempestiyen.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said pada 3 Januari lalu memfailkan petisyen memohon mahkamah membatalkan keputusan PRU15 bagi Parlimen Marang, Kemaman dan Kuala Terengganu.

Kesemua petisyen itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu atas dakwaan berlakunya pengagihan wang secara berleluasa di ketiga-tiga kawasan tersebut sewaktu PRU15.

Pada mulanya, petisyen bagi Parlimen Kemaman tersebut telah dibatalkan di Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 12 Februari lalu.

Begitupun, Mahkamah Persekutuan memerintahkan petisyen pilihan raya tersebut ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan penuh setelah rayuan Badan Perhubungan UMNO Terengganu diterima pada 2 Jun lalu.

Pada PRU15, Che Alias memenangi kerusi Parlimen Kemaman dengan majoriti 27,179 undi menewaskan tiga calon lain iaitu Ahmad (Barisan Nasional), Hasuni Sudin (Pakatan Harapan) dan Rosli Ab. Ghani (Pari Pejuang Tanah Air). – KOSMO! ONLINE

Jabatan agama Islam bantu basmi penipuan online

 

KUALA TERENGGANU – Jabatan Kehakiman Syariah menyarankan jabatan agama Islam negeri-negeri memainkan peranan lebih proaktif membantu memberi kesedaran kepada masyarakat terhadap sindiket penipuan online. 

Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah, Datuk Mohd. Amran Mat Zain berkata, inisiatif itu penting bagi membantu mengurangkan kes penipuan babit kerugian harta umat Islam yang semakin menjadi-jadi.

 “Pihak berkuasa agama Islam negeri-negeri disyorkan turun padang melipatgandakan usaha memberi penerangan dan kesedaran kepada masyarakat supaya sentiasa berwaspada dengan scammer.

 “Platform khutbah Jumaat serta majlis ilmu di masjid dan surau perlu dimanfaatkan agar masyarakat benar-benar memahami kaedah menangani isu-isu penipuan tersebut,” katanya ketika merasmikan Seminar Scammer Islamic: Wadah atau Padah? anjuran Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Terengganu di sini semalam. 

 Beliau berkata, sindiket penipuan kini semakin berani mempergunakan agama Islam bagi memperdaya mangsa menerusi kempen derma dan wakaf, pakej umrah dan jualan produk meragukan. 

 “Ia termasuk penipuan kutipan sumbangan orang ramai kononnya bagi pembinaan masjid atau pusat tahfiz,” katanya

Tuesday, September 26, 2023

Laluan UMNO untuk diterima semula rakyat masih berliku

 BATU PAHAT – Laluan UMNO untuk diterima semula oleh rakyat dilihat masih berliku apabila hanya menang 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 108 calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini. 

Di Terengganu, Barisan Nasional (BN) tidak berjaya memenangi satu pun kerusi daripada 27 calon bertanding, manakala di Kedah juga gagal memperoleh sebarang kerusi daripada 15 calon dan di Kelantan, BN hanya memperoleh satu kerusi daripada 31 calon. 

Di Selangor, BN yang bertanding di 12 kerusi berjaya memenangi dua kerusi dan di Pulau Pinang memperoleh dua kerusi daripada enam calon, manakala di Negeri Sembilan BN mendapat 14 kerusi daripada 17 calon bertanding. 

 Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkasi berkata, bukan mudah untuk parti itu mencari formula baharu bagi menarik semula sokongan orang Melayu dan perlu fokus kepada agenda ekonomi rakyat dan negara. 

 “Kepimpinan UMNO tidak perlu panik seperti mahu tinggalkan Kerajaan Perpaduan. 

 “Mereka yang kalah dan berumur 45 tahun ke atas dalam PRN jangan bertanding lagi dalam Pilihan Raya akan datang,” katanya dalam akauan Facebook miliknya semalam. 

Mohd. Puad turut membayangkan bahawa jawatan dalam parti bukan tiket percuma untuk dicalonkan sebagai calon, namun UMNO perlu menampilkan ‘ayam sabung’ tulen. 

 Menurutnya, menteri UMNO mesti menyelamatkan parti ini bagi mengelakkan rakyat meluat pada tingkah laku UMNO, perlu naratif baharu dan disampaikan kepada pengundi. 

 Di Kuala Terengganu, veteran UMNO, Tan Sri Idris Jusoh berkata, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi wajib memikul bertanggungjawab atas prestasi teruk BN di enam negeri terbabit termasuk Terengganu.

“UMNO kalah teruk di PRN semalam (kelmarin). UMNO kalah 100 peratus di Terengganu,” katanya yang juga bekas Pengerusi UMNO Terengganu.

Monday, September 25, 2023

Suspek parah, motif kes bunuh belum diketahui

KUALA NERUS – Siasatan berhubung kes pembunuhan membabitkan seorang pemandu kereta sewa pada Khamis lalu masih belum dapat dijalankan berikutan suspek masih dalam keadaan tidak stabil. 

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, lelaki berusia 29 tahun itu cedera parah dipercayai akibat bergelut dengan mangsa, Mohd. Latif Idrus, 51. 

“Suspek mengalami pendarahan dalaman akibat kesan tikaman yang hampir mengenai paru-parunya. 

Dia masih dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu. Keadaannya masih tidak stabil,” katanya ketika ditemui di sini semalam. 

Sehubungan itu, Mazli memberitahu, motif kejadian yang meragut nyawa Mohd. Latif masih belum diketahui. 

Beliau menjelaskan, pihaknya telah mendapat perintah reman selama tujuh hari terhadap suspek sehingga Khamis ini. 

“Siasatan akan dilakukan sebaik suspek stabil. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh,” katanya. 

Kosmo! semalam melaporkan mayat seorang pemandu kereta sewa ditemui dalam keadaan berlumuran darah dan kesan kecederaan pada leher di tempat duduk belakang kenderaan miliknya. 

Dalam kejadian pada pukul 10.56 malam itu, kereta sewa itu dipandu secara melawan arus oleh suspek sehingga melanggar beberapa kenderaan pengguna lain.

 Kes pembunuhan itu terbongkar apabila kereta sewa terbabit dikejar orang ramai sebelum terbabas berhampiran Klinik Kesihatan Seberang Takir.

Sunday, September 24, 2023

Gelombang hijau kebal di Terengganu

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

MARANG – Gelombang hijau yang dijelmakan rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) oleh Perikatan Nasional (PN) terus kekal di Terengganu.

 Setakat pukul 8.45 malam tadi, gabungan itu mendahului undian tidak rasmi di semua kerusi-kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan. 

Sebanyak 30 kerusi menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara gabung BN-PH dengan PN yang menggunakan logo Pas iaitu bulan. 

 DUN Bandar pula menyaksikan tiga penjuru antara BN, Pas dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), manakala Hulu Besut pula melibatkan seorang calon bebas. Setakat pukul 9 malam, 

PN telah memenangi 18 kerusi DUN mengikut keputusan tidak rasmi. 

 Antara DUN tersebut adalah Jabi, Tepoh, Buluh Gading, Seberang Takir, Bukit Tunggal, Bukit Payung, Telemung, Manir dan Kuala Berang.

DUN Seberang Takir dan Telemung sebelum ini masing-masing disandang bekas Menteri Besar, Datuk Seri Abdul Razif Abd. Rahman dan Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Rozi Mamat. 

PN hanya memerlukan empat lagi kerusi DUN untuk membentuk kerajaan negeri Terengganu secara majoriti mudah. 

Kiraan sama menunjukkan, bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman tewas di DUN Seberang Takir.

Saturday, September 23, 2023

Fasa genting Terengganu di tangan pengundi

 Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Hala tuju Terengganu untuk tempoh lima tahun lagi akan ditentukan oleh 931,6534 pengundi yang bakal menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih pada Pilihan Raya Negeri (PRN) hari ini.  

Penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 yang dijadual akan berakhir pada tahun 2028 merupakan fasa genting bagi masa depan negeri ini.

 Projek Laluan Rel Pantai Pantai Timur (ECRL) yang dijangka beroperasi pada awal tahun 2027 berupaya menjadi pemangkin perubahan landskap ekonomi Terengganu. 

Kewujudan perkhidmatan kereta api tersebut bukan sahaja memudahkan akses penduduk, namun menyediakan peluang kepada Pengkalan Bekalan Kemaman untuk muncul sebagai transit kargo utama di Pantai Timur. 

Peluang limpahan kewujudan ECRL harus diambil kerajaan negeri Terengganu yang bakal dibentuk nanti bagi mempelbagai sumber pendapatan untuk mengurangkan kebergantungan terhadap hasil royalti petroleum semata-mata. 

Projek-projek mega lain seperti Lebuh Raya Pantai Timur 3 (LPT 3) dan industri telaga penyahkarbonan juga dijangka bakal memberi limpahan kepada rakyat Terengganu sepanjang penggal DUN ke-15 kelak. 

Hanya kerajaan stabil yang diterajui pemimpin berkaliber dan berpandangan jauh mampu mengoptimumkan potensi besar tersebut demi kemakmuran negeri serta kebajikan rakyat. 

Dalam pada itu, PRN bakal menjadi kayu pengukur sejauh mana gaya politik baharu Barisan Nasional (BN) yang bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) diterima pengundi Melayu. 

Sebagai negeri yang mempunyai lebih 96 peratus pengundi Melayu, PRN hari ini juga menjadi medan menguji penerimaan terhadap hasrat Perikatan Nasional (PN) yang mahu menjadi ‘hero’ baharu kaum majoriti tersebut. 

Sebelum DUN dibubarkan pada bulan Jun lalu, kerajaan negeri Terengganu dikuasai Pas dengan 22 kerusi, manakala BN pula 10 kerusi. 

Pas diketuai Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar bertanding di DUN Ru Redang, selain dua Exco kanan iaitu Datuk Satiful Bahri Mamat dan Datuk Mohd. Nor Hamzah pula masing-masing di Paka dan Bukit Payung. 

 Hulubalang Parti Pribumi Bersatu Terengganu Malaysia (Bersatu) telah dihantar untuk mengempur panglima-panglima UMNO seperti Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Ahmad Said di DUN Kijal; bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman (Seberang Takir) dan Datuk Rozi Mamat (Telemung)


Tiga tahun perintah, kenapa PN tidak naik subsidi padi? – Anwar

KUALA TERENGGANU – Perdana Menteri mempersoal tindakan Perikatan Nasional (PN) yang cuba menumpang kredit inisiatif menaikkan kadar subsidi harga padi diambil kerajaan Perpaduan pada Selasa lalu. 

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sekiranya benar memperjuangkan isu membela nasib pesawah padi, inisiatif itu sepatutnya sudah lama dilaksanakan sewaktu tiga tahun PN berkuasa sebagai kerajaan dahulu.

 Ujarnya, sebaliknya Kerajaan Perpaduan yang menaikkan Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) daripada RM360 per tan metrik kepada RM500 per tan metrik walaupun baru lapan bulan mentadbir negara.

 “Kata memang itu (kenaikan subsidi harga padi) cadangan kita (PN). Tiga tahun ( jadi kerajaan Persekutuan), kenapa tidak buat, pasal apa tidak naik (subsidi) harga padi. 

“Rancanglah tiga tahun lagi, kami (Kerajaan Perpaduan) hendak perintah (negara),” katanya pada Jelajah Perpaduan Madani di Program Perumahan Rakyat (PPR) Hiliran di sini kelmarin. 

Beliau mengulas dakwaan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin, kenaikan kadar subsidi harga padi yang diumumkan kerajaan merupakan perjuangan Ahli Parlimen Sungai Besar, Datuk Muslimin Yahaya dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

 Selasa lalu, Anwar mengumumkan kenaikan SSHP dari RM360 per tan metrik kepada RM500 per tan metrik bagi membolehkan pesawah menerima sekurang-kurangnya RM1,700 per tan metrik. 

Beliau berkata, inisiatif itu merupakan pendekatan kerajaan bagi membantu meningkatkan pendapatan golongan tersebut. 

Dalam perkembangan sama, Anwar turut mempersoalkan kecaknaan Bersatu dan Pas terhadap kebajikan rakyat sewaktu menganggotai Kerajaan Pusat dari tahun 2020 hingga 2022. 

Katanya, antara masalah rakyat tinggalan PN yang diselesaikan segera Kerajaan Perpaduan ialah pelarasan tangga gaji penjawat awam, kemudahan tandas sekolah dan kebajikan anggota polis di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah. 

“Kerajaan saya mewarisi beban hutang tinggi, tetapi dalam tempoh lapan bulan, kami sudah melakukan yang terbaik,” katanya.

Friday, September 22, 2023

Proses pengundian awal lancar

Oleh MOHD. YUNUS YAKKOB, JAMLIAH ABDULLAH, MOHD. AZLI ADLAN, SAFINA RAMLI dan ROHANA MOHD. NAWI 

PETALING JAYA – Proses pengundian awal Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri melibatkan pegawai dan anggota keselamatan serta ahli keluarga mereka semalam berjalan lancar. 

Di Shah Alam, Selangor, seramai 26,557 pegundi menunaikan tangungjawab dalam pengundian awal di seluruh negeri itu sejak awal pagi.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitcha berkata, ia melibatkan 18,557 pegawai dan anggota serta pasangan termasuk Pasukan Gerakan Am (PGA) bagi Kontinjen Selangor. 

Menurutnya, selebihnya adalah 8,000 pegawai dan anggota tentera serta pasangan. 

“Jumlah pusat mengundi awal sebanyak 68 pusat dengan 93 saluran mengundi.

 “Arahan telah diberikan kepada pegawai dan anggota polis sebagai rakyat negara ini adalah wajib melaksanakan mengundi,” katanya pada sidang akhbar selepas meninjau proses pengundian awal di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor. 

Di Terengganu, sebanyak 6,957 anggota keselamatan dan ahli keluarga tidak lupa menunaikan tanggungjawab mengundi awal untuk PRN dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Terengganu semalam.

 Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, ia merangkumi 4,395 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) seramai 1,884 orang dan ahli keluarga PDRM serta ATM (678). 

 “Sebanyak 35 saluran mengundi awal dibuka di seluruh Terengganu termasuk lima di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Terengganu,” katanya. 

Di Alor Setar, Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, sebanyak 6,839 pegawai dan anggota PDRM Kontinjen Kedah serta pasangan melaksanakan tanggungjawab membuang undi awal di seluruh negeri.

 Jumlah itu membabitkan 710 pegawai dan 5,976 anggota di empat saluran mengundi dan seramai 1,273 anggota serta pegawai polis pula terlibat dalam pasca PRN bagi mengawal keselamatan seluruh negeri. 

Di Pulau Pinang, seramai 6,451 pegawai kanan dan pegawai rendah polis melaksanakan undi awal di 28 pusat mengundi melalui 33 saluran di IPK dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD). 

Seramai 217 pegawai polis ditugaskan bagi melancarkan proses pengundian awal itu. 

Di Kota Bharu, Kelantan, seramai 11,205 PDRM dan ATM yang berdaftar sebagai pengundi pada PRN menunaikan tanggungjawab mengundi awal semalam. 

Terdapat 33 tempat mengundi awal di seluruh negeri ini termasuk di kem Pasukan Gerakan Am dan kem Desa Pahlawan.

Thursday, September 21, 2023

Perkeso bantu pesakit strok terlantar

SETIU – Penderitaan seorang Kakitangan Syarikat Air Terengganu (Satu) yang terlantar akibat strok sejak lima bulan lalu mendapat perhatian Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso). 

Pengarah Perkeso Terengganu, Farihah Che Hussin berkata, Zulkifli Ab. Ghani, 51, menerima bantuan segera berupa susu khas, lampin pakai buang dan kerusi khas bagi pesakit terlantar. 

“Kami segera meluluskan sebaik menerima borang permohonan pencarum Perkeso tersebut pada bulan lalu. 

“Pemberian bantuan pemulihan tersebut berdasarkan syor doktor yang merawatnya,” katanya ketika menziarah Zulkifli di rumahnya di Kampung Bukit Merah, Chalok di sini semalam. 

Farihah berkata, Zulkifli yang merupakan kakitangan Satu cawangan Setiu turut akan dirujuk kepada persidangan jemaah doktor Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu pada 14 Ogos depan.

 Jelas beliau, ia merupakan sebahagian prosedur bagi kelulusan permohonan ilat pencarum Perkeso tersebut. 

“Dia yang sudah berkhidmat di Satu sejak tahun 1999 juga bakal menyertai program pemulihan di Pusat Rehabilitasi Perkeso Kuala Terengganu tidak lama lagi. 

“Kami harap bantuan ini amat dapat meringankan beban keperluan Zulkifli dan keluarga,” katanya.

 Farihah berkata, pencarum Perkeso tersebut juga akan menerima rawatan dan pemulihan bagi membantunya pulih dan kembali bekerja demi kelangsungan hidup sekeluarga.

Wednesday, September 20, 2023

Tak logik lesen memandu siap 3 hari

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

KUALA TERENGGANU – Kementerian Pengangkutan me ngingatkan orang ramai agar lebih berwaspada dengan kewujudan sindiket penipuan yang menawarkan lesen terbang palsu di media sosial. 

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, ia merupakan antara taktik baharu digunakan sindiket penipuan bagi memperdaya mangsa menyerahkan wang sehingga menyebabkan kerugian ribuan ringgit. 

Beliau menegaskan, tiada jalan singkat untuk memperoleh lesen memandu kecuali mengikut saluran ditetapkan di sekolah memandu bertauliah.

 “Kalau mana-mana pihak kata mereka boleh beri lesen (memandu) dengan cara mudah tanpa perlu pergi ke kelas dan menjalani ujian memandu, ia adalah skim penipuan.

 “Sekarang memang banyak penipuan, mereka hendak tipu duit mangsa tetapi lesen (memandu) tidak dapat,” katanya kepada Kosmo! di Kampung Cina di sini kelmarin. 

Terdahulu beliau ditemui pada Program Ramah Mesra bersama Menteri Pengangkutan. 

Anthony mengulas laporan Kosmo! kelmarin tentang kewujudan sindiket lesen terbang palsu yang semakin aktif di media sosial sejak akhir-akhir ini. 

Modus operandi sindiket tersebut ialah meletakkan gambar individu berpakaian seragam Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pada profil akaun media sosial bagi memperdaya mangsa. 

Sindiket itu biasanya akan mendiamkan diri dan berhenti berhubungan dengan mangsa sebaik wang pendahuluan diserahkan tanpa menyerahkan dokumen dijanjikan. 

Sehubungan itu, Anthony berharap orang ramai tidak mudah mempercayai pakej menawarkan lesen terbang dalam tempoh seawal tiga hari yang jelas tidak logik. 

Tambah beliau, kementeriannya akan terus mengingatkan orang ramai tentang ancaman penipuan tersebut bagi mengelakkan lebih ramai lagi terperangkap. 

“Kalau sindiket itu beri lesen terbang pun itu bukanlah yang sah. Ia bukan sahaja boleh dikenakan tindakan undang-undang tetapi boleh mengundang implikasi buruk sekiranya berlaku sesuatu di jalan raya kelak,” katanya.

Tuesday, September 19, 2023

Berpada hias bendera parti pada lori

KUALA TERENGGANU – Para pemandu kenderaan diingatkan agar berpada-pada serta tidak berlebihan dalam menghias bendera atau simbol parti politik sempena musim Pilihan Raya Negeri (PRN) pada ketika ini. 

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, walaupun memahami keghairahan memberi sokongan terhadap parti politik yang disukai itu wajar diraikan, keselamatan jalan raya tetap perlu diberikan keutamaan. 

“Sebarang pemasangan bendera parti politik terutama pada kenderaan berat wajar tidak sesekali mengabaikan keselamatan jalan raya kepada semua pihak. 

“Janganlah sampai mengganggu penglihatan pemandu sewaktu berada di jalan raya,” katanya pada Program Ramah Mesra bersama Menteri Pengangkutan di Kampung Cina di sini kelmarin. 

Anthony Loke mengulas keghairahan segelintir pemilik kenderaan berat, khususnya lori yang dilihat keterlaluan memasang bendera parti politik sempena PRN di enam negeri pada ketika ini. 

Beliau berkata, pemasangan bendera parti politik terbabit juga seharusnya tidak mengganggu pemanduan pengguna jalan raya lain. 

“Begitupun, saya rasa tidak perlulah sampai ada larangan khusus (pemasangan bendera parti politik pada kenderaan). 

“Paling penting kita perlu bertimbang rasa antara satu sama lain, sentiasa berwaspada dan berhati-hati di jalan raya,” katanya.

Monday, September 18, 2023

Cadangan wujud dua Pasar Payang dibantah

 

KUALA TERENGGANU – Sebahagian besar peniaga Pasar Besar Kedai Payang di sini membantah cadangan untuk memisahkan kumpulan itu kepada dua bahagian menjelang hujung tahun ini. 

Seorang peniaga, Norlia Ambak, 56, berkata, berdasar taklimat awal Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), pengusaha kraftangan, emas dan tekstil akan berpindah ke kompleks perniagaan baharu yang terletak bersebelahan. 

“Peniaga keropok dan barangan basah seperti kami pula kekal di Pasar Besar Kedai Payang 2 yang sebenarnya cuma diwujudkan sebagai bangunan sementara.

 “Ini amat mengejutkan dan bertentangan dengan janji MBKT sewaktu kami bersetuju berpindah bagi memberi laluan kepada pembangunan semula Pasar Besar Kedai Payang lima tahun lalu,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam. 

Kosmo! pada 17 Julai lalu melaporkan kompleks baharu Pasar Besar Kedai Payang yang dibina sejak 2017 akan mula beroperasi akhir tahun ini. 

Kompleks moden itu dilengkapi kemudahan penyaman udara, eskalator dan mesra orang kelainan upaya. 

Norlia berkata, kewujudan dua premis perniagaan itu bertentangan dengan konsep Pasar Besar Kedai Payang sebagai pusat sehenti produk makanan dan tradisional.

 Seorang lagi peniaga, Nasaruddin Jusoh, 36, pula bimbang kewujudan dua premis Pasar Besar Kedai Payang akan menyebabkan perniagaan mereka merudum.

 “Dahulu peniaga Pasar Besar Kedai Payang dipisahkan, sebahagian mereka diarahkan supaya berniaga di Bazar Warisan, tetapi tidak dapat sambutan. 

 “Pengunjung lebih gemar dengan konsep asal menempatkan semua peniaga dalam satu premis, akhirnya Bazar Warisan ditutup dan terbiar sehingga sekarang," katanya.

Sunday, September 17, 2023

Dua yatim piatu jadi anak angkat ditanggung dan dijaga Perkeso

KUALA NERUS – Dua beradik yang menjadi yatim piatu sekelip mata setelah ibu bapa mereka maut dalam kemalangan pada akhir bulan Ramadan lalu menerima bantuan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso). 

Ketua Cawangan Skuad Perkeso Prihatin, Rosmasita Mohamed berkata, Che Ku Nur Batrisya Che Ku Yusof Ali, 18, dan adiknya, Che Ku Furqan Izuddin, 11, layak menerima faedah pencen penakat berjumlah RM1,109.99 sebulan. 

“Mereka akan menerima faedah pencen penakat itu secara bulanan sehingga berusia 21 tahun atau sehingga habis pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda. 

“Perkeso juga serahkan faedah pengurusan mayat berjumlah RM2,000 yang disampaikan kepada ibu saudara, Fatimah Ahmad, 50, yang kini merupakan penjaga mereka,” katanya selepas menyampaikan bantuan itu di Felda Belara di sini semalam. 

Pada 25 April lalu dilaporkan ibu bapa dua beradik itu iaitu Che Ku Yusoff Ali Che Ku Embong, 52, dan Siti Faridaf Ahmad, 46, maut selepas kereta Perodua Myvi dinaiki bertembung dengan bas ekspres di Kilometer 21.8, Jalan Kuala Terengganu - Kota Bharu berhampiran Sungai Ikan di sini. 

Dalam nahas dua hari sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri tersebut, Che Ku Nur Batrisya yang turut menaiki kereta tersebut cedera parah di kedua-dua tangan dan kaki serta pinggang. 

Sewaktu kejadian, mereka dalam pulang ke kampung di Felda Belara selepas membeli persiapan raya.

 Rosmasita berkata, Che Ku Furqan Izuddin yang merupakan murid tahun lima Sekolah Kebangsaan Belara di sini juga akan dijadikan anak angkat Perkeso Terengganu. 

Jelas beliau, kebajikan kanak-kanak itu terutama melibatkan pendidikannya akan ditanggung dan dipantau Perkeso

Saturday, September 16, 2023

TDMP sasar 100% pekerja am tempatan di ladang sawit

KUALA TERENGGANU – Anak syarikat Kumpulan TDM Berhad, TDM Plantation Sdn. Bhd. (TDMP) menyasarkan penggunaan 100 peratus pekerja am dan 70 peratus penuai dalam kalangan warga tempatan menjelang tahun 2027. 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hamdan Ibrahim berkata, pendekatan itu selaras dengan dasar kerajaan yang mengutamakan pekerja tempatan dalam industri perladangan dan komoditi. 

Tambahnya, strategi telah dirangka bagi mencapai sasaran itu dalam tempoh empat tahun seperti meningkatkan penggunaan mekanisasi dan teknologi pertanian tepat di ladang-ladang kepala sawit milik TDMP.

 “Penggunaan mekanisasi diharap dapat menarik minat pekerja tempatan untuk menyertai industri perladangan. 

“Selain itu, ia juga bagi meningkatkan kecekapan produktiviti dan mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga buruh manusia di ladang kelapa sawit,” katanya di sini semalam. 

Hamdan berkata, pihaknya juga akan menyediakan program latihan berterusan bagi memperkasa kemahiran pekerja tempatan dalam penggunaan peralatan terkini dan moden. 

“Syarikat menawarkan tangga gaji dan insentif berbaloi bagi menarik minat lebih ramai warga tempatan terutamanya untuk menjadi penuai buah kelapa sawit selain kemudahan perumahan percuma dan perkhidmatan perubatan percuma buat pekerja ladang dan ahli keluarga mereka,” katanya.

Friday, September 15, 2023

Pulau Rhu jadi taman negeri

 

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

DUNGUN – Kerajaan negeri Terengganu berhasrat untuk mewartakan Pulau Rhu yang terletak di Kuala Besut sebagai taman negeri terbaharu. 

 Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Tengku Datuk Seri Farok Hussin Tengku Abd. Jalil berkata, setakat ini tiga lokasi telah diwartakan sebagai taman negeri iaitu Hutan Simpan Lawit-Cenana dan Tembat di Kenyir, Hulu Terengganu; Tanah Bencah Setiu dan Pulau Tenggol di sini. 

 Beliau berkata, Pulau Bidong, Kuala Nerus pula dalam proses pewartaan sebagai taman negeri Terengganu keempat yang dijangka selesai tidak lama lagi. 

 “Pulau Rhu berpotensi untuk diangkat sebagai taman negeri Terengganu terbaharu bagi memastikan kelestarian khazanah semula jadinya terpelihara. 

 “Selain itu, ia meningkatkan imej pulau terbabit bagi menarik kehadiran pengunjung tetapi dalam keadaan terkawal,” katanya selepas merasmikan program Pembersihan Pantai dan Dasar Laut di Pulau Tenggol di sini semalam. 

Seramai kira-kira 100 sukarelawan terlibat dalam program gotong-royong terbabit bagi memastikan keindahan Pulau Tenggol yang baharu diwartakan taman negeri Terengganu pada bulan Februari lalu. Dalam perkembangan berkaitan, 

Tengku Farok Hussin berkata, Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu sedang melakukan kajian untuk memperluaskan pewartaan status Taman Negeri Pulau Tenggol sehingga ke perairannya.

 Jelas beliau, setakat ini, pewartaan tersebut hanya terbatas kepada kawasan daratan Pulau Tenggol yang seluas kira-kira 50 hektar. 

 “Daya tarikan Pulau Tenggol ialah dasar perairannya kaya dengan koleksi terumbu karang mempersona yang sudah mula menarik perhatian ramai peminat aktiviti selaman skuba.

 “Kita rasa wajar perairan Pulau Tenggol turut diwartakan sebagai taman negeri bagi meningkatkan kecaknaan awam,” katanya. 

 Tengku Farok Hussin berkata, Pulau Tenggol terkenal antara pusat selaman skuba.

Thursday, September 14, 2023

UMT cipta unjam moden bantu nelayan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

KUALA NERUS – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berjaya menghasilkan unjam moden yang lebih tahan lasak bagi membantu komuniti nelayan di Tok Jembal di sini, meningkatkan hasil pendapatan mereka sehingga RM2,000 sebulan. 

 Unjam itu berfungsi sebagai perumah buat ikan-ikan pelagik yang bernilai komersial selain mampu merosakkan pukat tunda yang menjadi ancaman kelestarian ekosistem pesisir pantai selama ini. 

Naib Canselor UMT, Prof. Datuk Dr. Mazlan Abd. Ghaffar berkata, projek unjam moden itu merupakan program di bawah Skim Geran Pemindahan Ilmu dan Teknologi UMT bernilai RM20,000. 

 Menurutnya, produk hasil inovasi pasukan penyelidik yang diketuai Dr. Fazrul Hisam Abd. Aziz tersebut lebih tahan lama berbanding unjam konvensional buatan nelayan tempatan.

 “Unjam moden ini menggunakan pemberat yang diperbuat daripada gegelung kontrik berbanding guni pasir dan tong plastik yang digunakan unjam tradisional. 

 “Gegelung kontrik bukan sahaja lebih tahan lama, malah boleh berfungsi sebagai tukun tiruan yang menjadi perumah buat ikan-ikan pelagik,” katanya di Pantai Panjang, Tok Jembal, di sini semalam.

 Terdahulu, beliau melepaskan 20 bot membawa 100 unjam moden yang akan ditenggelamkan di sekitar perairan Tok Jembal. 

Mazlan berkata, daun kelapa dan teja yang ditenggelami bersama unjam moden akan menjadi penarik kehadiran ikan ke unjam. 

Menurutnya, kajian UMT mendapati, unjam moden tersebut mampu menarik kehadiran ikan pelagik seperti selar, kembung, kerisi dan selayang dalam tempoh seawal seminggu. 

 “Unjam modem tersebut juga mampu merosakkan pukat tunda yang sering menceroboh dan menjadi ancaman kepada kelestarian ekosistem pesisir pantai selama ini. 

“Projek perintis di Pantai Tok Jembal ini disasar memberi manfaat kepada 2,500 nelayan setempat,” ujarnya. 

 Tambahnya, unjam moden tersebut diharap mampu meningkatkan lagi populasi ikan di pesisir pantai terbabit, sekali gus merangsang tangkapan nelayan tradisional dan meningkatkan pendapatan mereka sehingga RM2,000 sebulan.

UMT lepas unjam di Tok Jembal


 WARGA Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bersama nelayan pada program pelepasan unjam moden di perairan Pantai Panjang, Tok Jembal, Kuala Nerus, Terengganu baru-baru ini.

Wednesday, September 13, 2023

Pekerja gudang didakwa membunuh

 

KUALA TERENGGANU – Seorang pekerja gudang dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas pertuduhan membunuh pemandu kereta sewa dua minggu lalu.

 Muhammad Hanif Mohd. Rosli, 29, mengangguk faham pertuduhan itu di hadapan Majistret Nik Mohd. Tarmizi Nik Mohd. Shukri. 

Dia didakwa membunuh Mohd. Latif Idris, 51, di dalam sebuah kereta sewa di hadapan Klinik Kesihatan Seberang Takir, Kuala Nerus antara pukul 10.09 malam hingga 10.56 malam, 10 Ogos lalu. 

Muhammad Hanif didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

 Mahkamah tidak menawarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 27 September ini. 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Khairuddin Idris, manakala tertuduh pula diwakili peguam, Mohd. Shahrir Mat Jusoh. 

Pada 12 Ogos lalu, Kosmo! melaporkan mayat Mohd. Latif ditemui dalam keadaan berlumuran darah dan kesan tikaman pada bahagian leher di tempat duduk belakang kereta sewa miliknya.

Ayuh kembali satukan barisan pada 31 Ogos

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

SEMINGGU lagi kita bakal bersama-sama menyambut Hari Kebangsaan ke-66. Begitupun kehangatannya dirasakan masih suam-suam kuku dengan tidak banyak lagi Jalur Gemilang berkibaran terutama secara sukarela oleh rakyat jelata. 

Di Terengganu misalnya, bendera dan replika parti politik lebih mudah dilihat berbanding Jalur Gemilang. 

Senario itu seolah-olah kita masih belum kebah daripada ‘demam’ Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri yang sudah pun berakhir 12 Ogos lalu. 

Sentimen perbezaan doko­ngan politik perlu dikendurkan segera, sebaliknya tanggal 31 Ogos ini harus dimanfaatkan bagi mentautkan kembali rakyat negara ini. 

 Demografik masyarakat majmuk Malaysia yang dibina mengikut acuan akomodasi memerlukan keharmonian dan kesatuan sentiasa dipupuk. 

 Prinsip federalisme yang menjadi pembentukan Malaysia juga harus diperteguhkan kerana kesatuan hati seluruh rakyat amat diperlukan untuk terus membina negara. 

 Sehubungan itu, sebarang polemik yang merenggangkan rakyat terutama melibatkan sambutan Hari Kebangsaan mesti diketepikan. 

 Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Datuk Dr. Jeneri Amir berkata, ahli politik tidak seharusnya menghantar signal salah kepada rakyat sewaktu sambutan Hari Kebangsaan hampir tiba.

Beliau berkata, mereka seharusnya menjadi medium untuk menyatukan rakyat pada hari keramat berkenaan. 

 “Ia selaras dengan matlamat sambutan Hari Kebangsaan yang bertujuan menyeramakkan perpaduan dan semangat kebangsaan dalam kalangan rakyat. 

 “Jangan sesekali mencetuskan sebarang polemik yang boleh menyemarak sentimen memberi implikasi negatif terhadap perpaduan yang dibina selama ini,” katanya baru-baru ini. 

 Jeneri berkata, sentimen tersebut dibimbangi memberi mesej salah terhadap masyarakat khususnya generasi. 

 Jelasnya, impaknya amat buruk dan mampu menjadikan keamanan dan kemakmuran yang dibina sejak hampir tujuh dekad lalu musnah. 

 Saranan itu dipersetujui Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Terengganu, Raja Datuk Kamarul Bahrin Raja Ahmad Shah yang akur Hari Kebangsaan tahun ini merupakan medium terbaik menyatukan semula rakyat tanpa mengira fahaman politik. 

 Beliau berkata, sudah sampai masanya, sebarang perbezaan pendapat dan fahaman diketepikan.

 “Sebaliknya fokus perlu diberikan untuk bersatu hati membina dan memakmurkan semula negara.

 “Kita perlu kembali merapatkan saf menyumbang membantu negara mengatasi kekalutan global yang sedang berlaku kini,” katanya.

 Raja Kamarul Bahrin berkata, kestabilan negara tidak boleh diganggu gugat oleh sentimen sempit yang cuba membakar kebencian rakyat. 

 Sebaliknya, beliau mengharapkan semangat persaudaraan tulen harus terus dipupuk sebagai memelihara nikmat yang telah Allah kurniakan selama ini.

SPRM tahan penjawat awam siasat tender baiki kenderaan jabatan

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang penolong tadbir kanan dan isterinya ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam berhubung kes menyalahgunakan kuasa melibatkan pemberian tender bernilai RM130,000.

Sumber berkata, penjawat awam yang bertugas di sebuah jabatan kerajaan negeri dipercayai memberikan 70 perolehan pembaikan kenderaan kepada syarikat milik isterinya.

“Dia juga dipercayai mengesyorkan kerja-kerja pembaikan kenderaan jabatan berkenaan kepada bengkel sebuah koperasi yang mempunyai kepentingan dengan dirinya.

“Lelaki itu merupakan ahli lembaga koperasi merangkap setiausaha jawatan kuasa perdagangan koperasi tersebut,” katanya di sini hari ini.

Sumber memberitahu, siasatan awal mendapati kesemua transaksi pemberian tender itu dilakukan pada 2021 hingga 2022.

Tambah beliau, pasangan tersebut ditahan sewaktu memberi keterangan di Pejabat SPRM Terengganu di sini pada pukul 11 pagi semalam.

“Mereka dijangka dibawa ke Mahkamah Majistret di sini esok bagi proses permohonan reman,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid, yang dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Tuesday, September 12, 2023

Jabatan agama Islam bantu basmi sindiket penipuan

 Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Jabatan Kehakiman Syariah menyarankan jabatan agama Islam negeri-negeri memainkan peranan lebih proaktif membantu memberi kesedaran terhadap masyarakat terhadap sindiket penipuan online.

Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah, Datuk Mohd. Amran Mat Zain
berkata, inisiatif itu penting bagi membantu mengurangkan kes penipuan melibatkan kerugian harta umat Islam yang semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini.

“Pihak berkuasa agama Islam negeri-negeri disyorkan untuk turun padang melipatgandakan usaha memberikan penerangan dan
kesedaran kepada masyarakat supaya sentiasa berwaspada dengan aktiviti scammer (penipuan).

“Platform khutbah Jumaat serta majlis ilmu di masjid dan surau perlu dimanfaatkan agar masyarakat benar-benar memahami kaedah menangani isu-isu penipuan tersebut,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar Scammer Islamic: Wadah atau Padah? anjuran Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Terengganu.

Mohd. Amran berkata, jabatan agama Islam negeri-negeri juga perlu menjalin kerjasama lebih erat dengan agensi berkaitan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) bagi menangani isu terbabit.

Beliau berkata, sindiket penipuan kini semakin berani mempergunakan agama Islam bagi memperdaya mangsa menerusi kempen derma dan wakaf, pakej umrah dan jualan produk meragukan.

“Ia termasuk penipuan kutipan sumbangan orang ramai kononnya bagi pembinaan masjid arau pusat tahfiz yang tiada semakan atau audit dokumen berkaitan daripada pihak berkuasa.

“Taktik sama juga digunakan pihak tertentu menggunakan ayat al-Quran dan hadis serta ciri agama lain tanpa disiplin betul hanya untuk melariskan produk jualan mereka,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Azlan Al-Amin Group bakal jual rumah serendah RM220,000

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

BESUT – Syarikat Azlan Al-Amin Group Holdings Sdn. Bhd. (Azlan Al-Amin Group) bakal membangunkan sebuah projek perumahan bercampur di tanah seluas kira-kira 12 hektar di Alor Lintah di sini bermula awal tahun depan.

Pengarah Urusannya, Mohamad Azlan Al-Amin berkata, nilai pembangunan kasar (GDV) bagi projek berkenaan adalah kira-kira RM60 juta.

“Projek perumahan tersebut kini dalam peringkat kelulusan agensi bertanggungjawab sebelum pembinaan dijangka bermula selewat-lewatnya pada bulan Januari tahun hadapan. 

“Penjualan lot rumah hanya akan dibuka pada tahun hadapan dengan projek pembinaannya disasar siap sepenuhnya dalam tempoh tiga tahun,” katanya ketika ditemui di tapak projek perumahannya di Alor Lintah di sini.

Mohamad Azlan menjelaskan, ini adalah langkah awalnya dalam bidang pemaju hartanah  meskipun sebelum ini sudah berpengalaman terlibat dalam bidang transaksi jual beli tanah yang diceburinya sejak 10 tahun lalu. 

“Harga rumah yang akan ditawarkan nanti akan lebih mampu milik memandangkan kos boleh dijimatkan memandangkan tanah tapak projek tersebut milik syarikat,” jelas beliau.

Projek fasa pertama itu akan melibatkan jualan rumah teres setingkat yang dicadang berharga  RM220,000 sehingga kepada lot banglo yang dijangka dijual pada harga RM330,000. 

Tambah beliau,  Azlan Al-Amin Group seterusnya bakal membangunkan kira-kira 650 lot rumah lagi bagi fasa kedua dan ketiga di tapak projek perumahan sama dalam tempoh lapan tahun.

Jelas beliau, projek perumahan itu amat strategik kerana berdekatan dengan kemudahan asas serta berhampiran pekan Jertih dan Kota Putera yang merupakan nadi pembangunan daerah ini. 

“Saya berharap inisiatif ini akan dapat membantu rakyat terutamanya bumiputera untuk memiliki rumah sendiri kerana harga ditawarkan mampu milik dan lebih murah sedikit daripada pasaran. 

“Azlan Al-Amin Group juga tidak menolak kemungkinan membina projek perumahan di tanah dimiliki di negeri-negeri lain sekiranya projek perintis ini mendapat sambutan menggalakkan,” katanya. -KOSMO! ONLINE

UMT hasil unjam moden bantu nelayan tradisional

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menghasilkan unjam moden yang lebih tahan lasak bagi membantu komuniti nelayan di Tok Jembal di sini.

Projek unjam moden tersebut merupakan program di bawah Skim Geran Pemindahan Ilmu dan Teknologi UMT bernilai RM20,000.

Naib Canselor UMT, Prof. Datuk Dr. Mazlan Abd. Ghaffar berkata, produk hasil inovasi pasukan penyelidik diketuai Dr. Fazrul Hisam Abd. Aziz tersebut lebih tahan lama berbanding unjam konvensional buatan nelayan tempatan.

“Unjam ini menggunakan pemberat diperbuat daripada gegelung kontrik menggantikan guni pasir dan tong plastik. Ia bukan sahaja lebih tahan lama malah bakal berfungsi sebagai tukun tiruan yang menjadi perumah buat ikan-ikan pelagik bernilai komersial,” katanya di Pantai Panjang, Tok Jembal di sini hari ini.

Terdahulu beliau melepaskan 20 bot membawa 100 unjam moden terbabit yang akan ditengelamkan di sekitar perairan Tok Jembal.

Mazlan berkata, unjam modem itu juga mampu merosakkan pukat tunda yang sering menceroboh dan menjadi ancaman kepada kelestarian ekosistem pesisir pantai selama ini.

Jelas beliau, daun kelapa dan teja yang ditenggelami bersama unjam terbabit sebagai menarik kehadiran ikan ke unjam juga boleh ditukar secara berkala hasil inovasi UMT terbabit. – KOSMO! ONLINE

Bayi lelaki dibuang berhampiran pusat tahfiz

Oleh MOHD AZLI ADLAN

BESUT – Seorang lelaki terkejut menemukan bayi dipercayai baru dilahirkan di wakaf rehat berhampiran sebuah pusat tahfiz di Kampung Raja di sini hari ini.

Dia menjumpai bayi lelaki itu sewaktu sedang mengecat di dalam premis di pusat tahfiz terbabit pada pukul 8 pagi.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, lelaki terbabit terdengar bunyi tangisan bayi sewaktu melakukan kerja-kerja mengecat.

“Dia terkejut menjumpai bayi lelaki seberat kira-kira 2.6 kilogram (kg) diletakkan di dalam bekas plastik berwarna merah di kawasan wakaf rehat di luar premis pusat tahfiz.

“Penemuan itu kemudiannya dimaklumkan kepada pihak berkuasa sebelum sepasukan polis ke lokasi berkenaan pada pukul 9.20 pagi,” katanya di sini semalam.

Abdul Rozak berkata, bayi lelaki yang masih bernyawa berkenaan segera dihantar ke Unit Kecemasan Hospital Besut di sini untuk menerima rawatan.

Beliau berkata, pemeriksaan awal pegawai perubatan mendapati bayi tersebut mengalami jangkitan kuman pada tali pusatnya.

“Siasatan awal mendapati wakaf rehat berhampiran pusat tahfiz itu terletak berhampiran jalan utama.

“Pusat tahfiz berkenaan yang semua pelajarnya lelaki pula tidak dilengkapi televisyen litar tertutup (CCTV),” katanya. – KOSMO! ONLINE

Rungutan pengunjung Pulau Kapas dapat perhatian

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

MARANG – Kerajaan negeri Terengganu berjanji akan mencari mekanisme terbaik bagi menyelesaikan isu caj berganda yang didakwa membebankan
pengunjung Pulau Kapas di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Datuk Razali Idris berkata, rungutan pengunjung pulau peranginan terkenal tersebut ambat diambil berat.

Beliau berkata, pihaknya telah mengadakan pertemuan dengan semua pemegang taruh yang terlibat dalam industri pelancongan di Pulau Kapas seperti Majlis Daerah Marang dan Jabatan Taman Laut bagi membincangkan isu tersebut.

“Saya mengambil maklum harga tike bot (pelancong) dan caj dikenakan. Kita akan mempermudahkan penyelesaian agar pengunjung (Pulau Kapas) tidak terbeban.

“Kita juga mengambil perhatian isu caj tempat letak kenderaan serta rungutan terhadap kemudahan (di Jeti Marang) yang tidak mencukupi dan kurang memuaskan,” katanya di sini hari ini.

Sebelum ini, tular rungutan pengunjung Pulau Kapas yang dikenakan caj berganda mencecah RM50 di tiga kaunter berlainan sebelum menaiki bot di Jeti Marang.

Dakwa netizen, walaupun caj meningkat berbanding cuma RM30 sebelum tahun 2021, kemudahan disediakan Majlis Daerah Marang seperti tempat letak kereta dan tandas masih kurang memuaskan.

Razali berkata, kerajaan negeri Terengganu akan menambah balik fasiliti terdapat di Jeti Marang yang merupakan pintu masuk utama ke Pulau Kapas.

Sehubungan itu, beliau akan melakukan perbincangan dengan agensi kerajaan Persekutuan berkaitan bagi tujuan tersebut. – KOSMO! ONLINE

Pulau Rhu, Besut dicadang Taman Negeri Terengganu kelima

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

DUNGUN – Kerajaan negeri Terengganu berhasrat untuk menggazetkan Pulau Rhu yang terletak di Kuala Besut sebagai taman negeri terbaharu.

Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Tengku Datuk Seri Farok Hussin Tengku Abd. Jalil berkata, setakat ini, tiga lokasi telah digazetkan sebagai taman negeri iaitu Hutan Simpan Lawit-Cenana dan Tembat di Kenyir, Hulu Terengganu; Tanah Bencah Setiu dan Pulau Tenggol di sini.

Beliau berkata, Pulau Bidong, Kuala Nerus pula dalam proses pewartaan sebagai taman negeri Terengganu keempat yang dijangka selesai tidak lama lagi.

“Pulau Rhu berpotensi untuk diangkat sebagai taman negeri Terengganu terbaharu bagi memastikan kelestarian khazanah semula jadinya terpulihara.

“Selain itu, ia meningkatkan imej pulau terbabit bagi menarik kehadiran pengunjung, tetapi dalam keadaan terkawal,” katanya selepas merasmikan program Pembersihan Pantai dan Dasar Laut di Pulau Tenggol di sini hari ini.

Seramai kira-kira 100 sukarelawan terlibat dalam program gotong-royong terbabit bagi memastikan keindahan Pulau Tenggol yang baharu digazetkan taman negeri Terengganu pada bulan Februari lalu.

Dalam perkembangan berkaitan, Tengku Farok Hussin berkata, Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu sedang melakukan kajian untuk memperluaskan pewartaan status Taman Negeri Pulau Tenggol sehingga ke perairannya. – KOSMO! ONLINE

Monday, September 11, 2023

Mahkamah: Pekerja gudang dituduh bunuh pemandu kereta sewa

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang pekerja gudang dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang pemandu kereta sewa pada dua minggu lalu.

Tertuduh, Muhammad Hanif Mohd. Rosli, 29, sekadar mengangguk faham dan tiada pengakuan direkodkan sebaik pertuuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nik Mohd. Tarmizi Nik Mohd. Shukri.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa membunuh mangsa, Mohd. Latif Idris, 51.

Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di dalam sebuah kereta sewa di hadapan Klinik Kesihatan Seberang Takir, Kuala Nerus antara pukul 10.09 malam hingga 10.56 malam, 10 Ogos lalu.

Muhammad Hanif didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Mahkamah tidak menawarkan tertuduh diikat bebas dan menetapkan sebutan semula kes pada 27 September depan.

Kosmo! 12 Ogos lalu melaporkan mayat Mohd. Latif ditemui dalam keadaan berlumuran darah dan kesan tikaman pada bahagian leher di tempat duduk belakang kereta sewa miliknya. – KOSMO! ONLINE