Translate

Thursday, January 31, 2019

Wakil rakyat bergelar Datuk dibebaskan dengan jaminan SPRM

KUALA TERENGGANU – Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)  bergelar Datuk di negeri ini yang ditahan reman sejak Isnin lalu bagi membantu siasatan berhubung tuntutan palsu berjumlah RM500,000 dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam.

Sumber SPRM berkata, wakil rakyat berusia 54 tahun itu dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM20,000.

“Beliau telah dibebaskan selepas proses soal siasat bagi membantu menyelesaikan kes tuntutan palsu itu.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Kosmo! pada Selasa melaporkan, Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Se­syen/Majistret Kuala Terengganu, Noradila Ab. Latiff membenarkan seorang ahli politik direman selama tiga hari bagi membantu siasatan membuat tuntutan palsu berjumlah RM500,000 kepada sebuah pejabat tanah dan daerah di negeri tersebut pada bulan Mei tahun lalu.

Tuntutan tersebut bagi 32 projek di Dewan Undangan Negeri Permaisuri yang disyaki tidak pernah dilaksanakan.

Terdahulu, seorang pengerusi badan bukan kerajaan dan seorang pegawai daerah di daerah ini ditahan reman SPRM bagi membantu siasatan kes tersebut  masing-masing pada 9 Januari dan 14 Januari lalu.

Sumber SPRM memberi­tahu, kedua-dua lelaki yang masing-masing berusia 38 dan 59 tahun telah dibebaskan selepas berakhirnya tempoh reman mereka.

Kadar indeks jenayah Terengganu menurun 19.3 peratus tahun lalu

KUALA TERENGGANU – Kadar indeks jenayah Terengganu menurun 19.3 peratus pada tahun lalu berban­ding tempoh sama pada tahun 2017.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail berkata,  sebanyak 1,823 kes jenayah kekerasan dan komersial direkodkan sepanjang tahun lalu berbanding 2,257 kes pada tahun sebelumnya.

“Seramai 1,206 kes atau 66.2 peratus kes jenayah yang dilaporkan pada tahun 2018 berjaya diselesaikan.
“Sebagai perbandi­ngan, 1,706 daripada 2,257 kes yang dilaporkan pada tahun 2017 berjaya diselesaikan,” katanya selepas menyempurnakan majlis pemakaian pangkat pegawai rendah polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di sini semalam.

Seramai 17 anggota polis terdiri daripada 13 Sarjan dan tiga Sarjan Mejar menerima pangkat masing-masing pada majlis itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Aidi berkata, IPK Terengganu akan memberi fokus untuk membanteras aktiviti mencuri motosikal sepanjang tahun 2019.

Sehubungan itu, beliau memberitahu, pemeriksaan mengejut akan dilakukan secara kerap di kawasan letak ken­deraan mahupun secara sekatan jalan raya di seluruh negeri bagi mengesan motosikal-motosikal yang dilaporkan hilang.

Bot penambang Seberang Takir dijenamakan semula

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Kerajaan negeri Terengganu akan menjenamakan semula bot penambang Seberang Takir dengan memperkenalkan pakej Jejak Warisan Pesisir Air iaitu menyelusuri Sungai Terengganu dari muara hingga ke Kampung Je­ram, Manir, Kuala Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Terengganu, Ariffin Deraman berkata, inisiatif itu bertujuan untuk menonjolkan keunikan industri bot penambang Seberang Takir yang kini sudah berusia lebih 60 tahun selain keindahan pesisir Sungai Terengganu.

Beliau berkata, pengusaha bot penambang yang menawarkan per­khidmatan menyeberang sungai dari Jeti Seberang Takir ke Pasar Payang de­ngan caj RM1 bagi satu perjalanan kini sudah berkurangan kepada 17 orang berbanding 70 orang pada masa dahulu ekoran peredaran masa.

“Kerajaan negeri melihat perlunya transformasi perkhidmatan bot penambang tradisional ini sebagai satu produk pelancongan yang bukan sahaja mampu menggamit pengunjung mengenali produk pesisir air Sungai Terengganu, malah menonjolkan keunikan bot itu sebagai warisan Terengganu.
“Pakej Jejak Warisan Pesisir Air itu dicadang menyusuri lokasi pelanco­ngan di sepanjang muara Sungai Terengganu seperti Pasar Payang, Kampung Cina, Taman Tamadun Islam, Kampung Jeram, perkampungan keropok losong Rumah Warisan Haji Su dan Muzium Terengganu,” katanya kepada pembe­rita selepas menyampaikan insentif berjumlah keseluruhan RM19,000 kepada 17 pengusaha bot penambang Seberang Takir berkenaan di sini semalam.

Ariffin berkata, pengusaha bot penambang terlibat akan menjalani latihan seperti keusahawanan, bahasa Inggeris, etika dan sistem lalu lintas air sebagai persediaan bagi menawarkan pakej pelancongan terbaharu terbabit.

Wednesday, January 30, 2019

60 penerima SIP Perkeso mula terima faedah

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Kumpulan pertama yang terdiri daripada 60 pencarum yang kehilangan pekerjaan di Terengganu mula menerima faedah Skim Insurans Pekerjaan (SIP) daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) hari ini.

Pengarah Perkeso Terengganu, Nora Yaacob berkata, kesemua penerima faedah tersebut menerima elaun pendapatan berkurangan berjumlah 80 peratus daripada gaji bulanan masing-masing melibatkan amaun keseluruhan RM132,000.

"Perkeso Terengganu menerima 77 permohonan SIP daripada pencarum yang kehilangan pekerjaan sejak awal tahun ini dengan 60 daripadanya telah diluluskan.

"Pada tahun lalu, seramai 128 pencarum yang kehilangan pekerjaan termasuk bekas pekerja projek ECRL (Laluan Rel Pantai Timur) juga telah dibantu kembali bekerja menerusi bantuan interim," katanya.

Terdahulu beliau ditemui selepas menyampaikan faedah SIP kepada 60 penerima di Wisma Perkeso Terengganu di sini hari ini.


Selain itu, Siti Halimah Abu Bakar, 57, iaitu balu kakitangan Utusan Melayu (M) Berhad, Rosalan Muda, 56, yang meninggal dunia setelah rebah di pejabat akibat darah tinggi pada 23 November lalu turut menerima faedah pencen penakat bulanan sebanyak RM2,567.50 pada majlis tersebut. - K! ONLINE

Muhammad Syukur bakal dilantik Ikon Kapa

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Muhammad Syukur Khamis, 14, yang terkenal sekelip mata selepas gambarnya bermesra dengan sekumpulan kerbau menjadi tular di media sosial sejak dua ming­gu lalu bakal dilantik sebagai ikon Kadet Sekolah Pertahanan Awam (Kapa).

Ketua Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Datuk Roslan Wahab berkata, pelantikan Muhammad Syukur yang juga anggota Kapa di sekolahnya akan diumumkan secara rasmi pada perhimpunan agensi peringkat kebangsaan yang bakal diadakan di Seremban, Negeri Sembilan pada Mac ini.

“Saya lihat Muhammad Syu­kur mempunyai potensi untuk dijadikan Ikon Kapa bagi menggalakkan lebih ramai pelajar sekolah menengah lain di negara ini menyertai badan beruniform tersebut.

“Selain akan dipelawa me­nyertai program-program anjuran APM terutamanya di peringkat sekolah-sekolah, kita juga akan memberi pendedahan kepada dia untuk meningkatkan keyakinan diri,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan majlis pemakaian pangkat Muhammad Syukur sebagai Lans Koperal Kapa di Sekolah Mene­ngah Kebangsaan (SMK) Padang Midin di sini semalam.

Turut hadir Pengarah APM Terengganu, Che Adam A. Rahman; Pengarah Pendidikan negeri, Shafruddin Ali Husin dan Pengetua SMK Padang Midin, Zah Mohamad.
Roslan berkata, Muhammad Syukur merupakan Ikon Kapa pertama yang dilantik dalam kalangan pelajar.

Dalam perkembangan sama, APM juga bersetuju untuk menaik­kan pangkat Muhammad Syu­kur daripada ahli biasa kepada Lans Koperal Kapa atas kapasiti sahsiahnya yang baik dan mengharumkan nama badan beruniform itu.

Sementara itu, Muhammad Syu­kur berkata, dia menyertai Kapa sejak tingkatan satu lagi kerana meminati kesungguhan dan kegigihan APM melakukan kerja-kerja penyelamatan.

Shahidan Datuk Bandar Kuala Terengganu keenam

KUALA TERENGGANU – Pegawai Daerah Besut, Shahidan Embok, 57, (gambar), dilantik sebagai Datuk Bandar Kuala Terengganu baharu berkuat kuasa semalam.

Beliau yang merupakan Datuk Bandar Kuala Terengganu keenam menggantikan Samiun Salleh, 58, yang bertukar sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT).

Perubahan jawatan itu turut melibatkan 93 perjawatan awam kerajaan negeri Terengganu lain termasuk Pegawai Da­erah Kuala Nerus, Tengku Farok Hussin Tengku Jalil yang kini dilantik Timbalan Setia­usaha Kerajaan Negeri (Pengurusan) Terengganu.

Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, perubahan 95 penjawat awam termasuk melibatkan kebanyakan pihak berkuasa tempatan dan pejabat tanah dan daerah di seluruh negeri ini merupakan pertukaran biasa yang di­amalkan sebelum ini.

Stor pejabat SK Seri Payong terbakar

BESUT – Seramai kira-kira 500 murid dan guru Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Payong, Jertih di sini cemas selepas stor pejabat yang terletak di aras atas bangunan sekolah itu tiba-tiba terbakar semalam.

Dalam kejadian pukul 9 pagi itu, 70 peratus daripada stor yang me­nempatkan dokumen dan buku rekod mengajar tersebut musnah dalam kebakaran yang disyaki di­sebabkan litar pintas.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jertih,  Mohd. Zamri Omar berkata, sepasukan anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat berhubung kebakaran itu pada pukul 9. 12 pagi.

“Kami menerima maklumat tentang kebakaran stor yang terletak bersebelahan bilik guru dan pejabat SK Seri Payong.

“Kebakaran yang berlaku di aras paling atas bangunan tiga tingkat itu berjaya dipadamkan sepenuh­nya pada pukul 10 pagi,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Mohd. Zamri berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kejadian masih disiasat serta jumlah kerugian juga sedang ditaksir.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Terengganu, Shafruddin Ali Hussin berkata, stor pejabat yang terbakar itu menyimpan buku rekod mengajar, fail dan lain-lain dokumen sekolah berkenaan.

Menurut beliau, setakat ini, kerugian disebabkan kebakaran itu dianggarkan berjumlah RM12,000.

“Alhamdulillah tiada sesiapa yang mengalami kecederaan dan proses pembelajaran di sekolah itu berjalan seperti biasa,” katanya.

Tuesday, January 29, 2019

Pusat memanah untuk orang buta dibuka di Terengganu

KUALA NERUS – Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis) Wilayah Terengganu telah mengambil langkah proaktif dengan membuka pusat mema­nah khas untuk golongan orang kurang upaya (OKU) masalah penglihatan.

Pusat memanah yang berkeluasan 487.68 meter persegi di Kampung Telaga Daing, Seberang Takir di sini itu juga dipercayai yang pertama diwujudkan di negara ini khusus untuk golongan OKU.

Ia sekali gus memberi peluang kepada 51 ahli Pertis untuk menceburi sukan memanah.

Pengerusinya, Mohd. Fauzi Mansor berkata, pusat memanah yang dikendalikan sepenuhnya oleh pihaknya itu telah me­ng­adaptasi sistem sukan memanah untuk orang buta yang telah digunapakai di Britain dan Perancis.

“Pemanah yang terdiri daripada individu masalah penglihatan akan dibantu untuk melepaskan anak panah ke sasaran dengan bantuan garisan penunjuk diperbuat daripada paip plastik dan bantuan minimum oleh jurupandu arah.

“Ia membuktikan orang buta juga boleh menceburi sukan memanah, bukan sahaja sebagai aktiviti riadah tetapi juga sunah yang digalakkan Nabi Muhammad SAW,” katanya kepada pemberita pada majlis perasmian pusat memanah tersebut yang disempurkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan, Wan Sukairi Wan Abdullah semalam.

Mayat suspek cubaan samun ditemui

BESUT – Mayat seorang lelaki yang dipercayai suspek kes cubaan samun pada Isnin lalu ditemui lemas di Sungai Jerteh berhampiran Kampung Dengir, Kuala Besut dekat sini semalam.

Pasukan mencari dan penyelamat berjaya menemui mayat lelaki berusia 46 tahun itu yang terapung di permukaan sungai ber­kenaan pada pukul 8.50 pagi.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata, lelaki terbabit yang berasal dari Kampung Telok Alor Lintah, Jerteh di sini dipercayai cuba menyamun seorang wanita yang juga penternak lembu pada pukul 6 petang, Isnin lalu.

“Dalam kejadian di kawasan ternakan wanita itu yang terletak di Kampung Dengir, Kuala Besut, lelaki terbabit bersenjatakan sebilah golok dipercayai mahu menyamun barangan kemas dipakai mangsa berusia 63 tahun berkenaan.

“Begitupun jeritan wanita ter­babit telah menakutkan suspek sebelum bertindak melarikan diri dengan terjun ke dalam Sungai Jerteh,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Mohd. Zamri berkata, pasukan mencari dan menyelamat yang terdiri daripada anggota pelbagai agensi dengan bantuan penduduk kampung telah ditubuhkan setelah menerima maklumat berhubung kejadian itu.

Menurut beliau, mayat suspek telah dijumpai pada hari ketiga operasi mencari dan menyelamat semalam sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Besut di sini untuk dibedah siasat.

Populariti Muhammad Syukur perlu dikawal

SEBELUM 10 Januari lalu, Muhammad Syukur Khamis, 14, cuma budak kampung biasa yang berwajah polos, berhati lurus dan tekun membantu bapanya mengusahakan haiwan ternakan seperti kerbau, lembu, kambing dan angsa di Kampung Banggol Katong, Kuala Terengganu.

Setiap pagi, pelajar tingkatan dua itu akan berbasikal sejauh hampir enam kilometer ke sekolah­nya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Midin, Kuala Terengganu.

Sebaik menyelesaikan kerja sekolah setiap petang, remaja itu akan ke kandang ternakan ba­panya pula di Kampung Kubang Bujuk, Kuala Terengganu.

Rutin setiap hari sejak Muhammad Syukur berusia empat tahun menjadikan dia akrab dengan ternakan bapanya, Khamis Jusoh, 63, sehingga menarik perhatian jurugambar profesional dan amatur untuk menjadikan ia sebagai subjek foto.

Rezeki bagi remaja itu apabila beberapa foto dia bermesra bersama sekumpulan kerbau bapanya yang dirakam jurugambar, Mohd. Nazri Sulaiman dua tahun lalu te­lah memenangi anugerah ‘Street/People Photographer of The Year Asian Geographic-Image of Asia 2018’ dan ‘Remarkable Award’ di Siena
International Photography Award 2018, Itali baru-baru ini.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri kemudiannya memuat naik gambar tersebut dalam akaun Facebooknya dengan status memuji keakraban Muhammad Syukur bersama kerbau sehingga tular di media sosial.

Sejak itu, kehidupan Muhammad Syukur berubah 360 darjah. Dia bukan sahaja mendapat perhatian istimewa daripada rakan-rakan sekampung dan sekolah malah rumahnya juga didatangi be­ratus-ratus tetamu setiap ming­gu untuk bertemu dan merakam gambar fotogeniknya bersama haiwan ternakan.

Wakil Kerajaan Negeri Terengganu juga me­ngunjungi kandang ternakan bapanya untuk melihat potensi sebagai lokasi pelancongan komuniti.

Pendedahan tersebut adalah sesuatu yang baharu buat Muhammad Syukur dan ia jelas dapat dilihat daripada raut wajahnya apabila dinobatkan anugerah Murid Unggul oleh Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Terengganu.

Perkara itu disentuh Pengetua SMK Padang Midin, Zah Mohamad yang me­ngakui di sebalik usaha untuk menghargai bakat unik Muhammad Syukur, hakikat yang tidak boleh dilupakan remaja itu baru berusia 14 tahun dan masih mentah dengan si­tuasi baharu tersebut.

Katanya, pelajar itu yang kini semakin dikenali dengan gelaran ‘Mowgli Malaysia’ memerlukan bimbingan guru dan ahli keluarga untuk menghadapi kilauan publisiti yang terlalu mendadak.

“Apa yang penting Muhammad Syukur perlu mengilapkan lagi persona­liti unik yang kini dimiliknya agar membesar sebagai individu berjaya apabila dewasa kelak,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Sementara itu bapanya, Kha­mis memberitahu, setiap hari rumahnya akan dikunjungi te­tamu yang mahu merakam gambar anak bongsunya itu bersama haiwan ternakannya.

Menurutnya, sekurang-ku­rang­­nya tiga individu berkunjung ke kandang kerbaunya pada hari persekolahan manakala ia akan meningkat sehingga 300 orang pada hujung minggu.

“Saya akui jadual Syukur terlalu padat hampir setiap hari. Kadangkala kami sekeluarga terpaksa tolak temu janji pihak tertentu sehingga segelintir mereka anggap kami mula sombong dan pilih kasih.

“Apa pun saya sekeluarga perlu tegas untuk membenarkan sesi fotografi diadakan pada hari persekolahan pada pukul 6 petang hingga 7 petang sahaja kerana keutamaannya masih kepada pelajaran,” ujarnya.

Khamis yang juga bapa kepada lapan anak berkata, dia tidak mahu Muhammad Syukur hilang fokus dan keciciran dalam pelajarannya.

Dalam pada itu, jurugambar sambilan, Abdullah Deen Mohd. Zain, 44, yang merupakan antara jurugambar terawal yang merakam momen Muhammad Syukur bersama haiwan ternakan me­ngakui turut menerima tempias publisiti remaja berkenaan.

Ujar beliau, kariernya sebagai jurugambar bukan sahaja makin dikenali malah telah menerima ba­nyak permintaan untuk membeli karya-karya­nya terutama melibatkan foto Muhammad Syukur.

KPDNHEP kesan ejen syarikat penapis air terkenal disyaki cuba perdaya pengguna

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu menyerbu cawangan sebuah syarikat pengedar penapis air terkenal dari Korea Selatan kerana disyaki melanggar Akta Jualan Langsung dan Skim Anti Piramid 1993 baru-baru ini.

Serbuan premis tersebut di Dataran Austin, Kuala Nerus pada 14 Januari lalu dilakukan selepas mendapat aduan daripada tiga pengguna yang mendakwa diperdaya ejen syarikat jualan langsung itu pada empat bulan lalu.

Pengarah KPDNHEP Terengganu, Saharuddin Mohd. Kia berkata,  kesemua pengguna mendakwa ejen syarikat jualan langsung berkenaan mengunjungi rumah mereka di Kelulut,  Marang menawarkan produk penapis air dan penapis udara yang kononnya percuma.

"Mereka mendakwa telah menyerahkan salinan Mykad dan kad debit bank selepas menerima produk yang dikatakan percuma tersebut.

"Begitu pun, kesemua mangsa tiba-tiba surat pengingatan bank antara RM217 dan RM364 berhubung tunggakan pembayaran ansuran bulanan produk penapis air dan udara berkenaan baru-baru ini sebelum membuat aduan kepada pihak kami pada 8 Januari lalu," katanya pada sidang akhbar di Pejabat KPDNHEP Terengganu di sini hari ini.


Saharuddin berkata, salah seorang pengadu juga mendakwa perlu melunaskan tunggakan ansuran bank walaupun tidak menerima produk penapis air tersebut. - K! ONLINE

Buruh tak mengaku pukul isteri guna paip

KUALA TERENGGANU – Seorang buruh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas pertuduhan mencederakan isterinya dengan menggunakan batang paip polivinil klorida (PVC) minggu lalu.

Tertuduh, Mustaffa Ali, 37, yang juga bapa kepada lima anak bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan tersebut dibacakan di hadapan Hakim Wan Azimah Yaacob.

Berdasarkan pertuduhan, Mustaffa didakwa sengaja memukul isteri­nya, Wan Hamidah Wan Ahmad, 31, sehingga ce­dera dengan menggunakan sebatang paip PVC.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di rumah mereka di Kampung Belukar Sukai di sini pada pukul 4.30 pagi, 6 Januari lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 304 Kanun Ke­seksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun atau denda jika sabit kesalahan.

Wan Azimah membenarkan Mustaffa dibebaskan dengan wang jaminan RM12,000 de­ngan seorang penjamin.

Monday, January 28, 2019

Jualan My Best Buy di pejabat cawangan FAMA seluruh negara setiap bulan

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Jualan My Best Buy anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang menawarkan barangan keperluan pada harga lebih murah daripada pasaran akan diadakan setiap bulan di perkarangan pejabat cawangan agensi itu di seluruh negara.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) FAMA, Datuk Nazipah Jamaluddin berkata, Jualan My Best Buy yang bertujuan membantu warga bandar menangani kesan kenaikan kos sara hidup tersebut akan diadakan pada setiap hujung minggu keempat setiap bulan.

Beliau berkata, Jualan My Best Buy memberi penekanan kepada jualan produk industri kecil dan sederhana, barangan segara dan kawalan seperti ikan, minyak masak serta tepung gandum pada harga sehingga 20 peratus lebih rendah daripada pasaran.

"Jualan My Best Buy ini telah diperkenal sejak tahun 2014 dan dahulunya dilaksanakan di pasar tani dan pasar pagi terpilih di seluruh negara.

"Pada tahun ini kita mengubah pendekatan dengan menganjurkannya di perkarangan pejabat cawangan FAMA di seluruh negara agar lebih ekonomik dan mendekatkan pelanggan dengan agensi kami," katanya selepas merasmikan Jualan My Best Buy di perkarangan pejabat FAMA Terengganu di sini hari ini.

Nazipah berkata, sejak penganjurannya hampir lima tahun lalu, sambutan diterima daripada pengguna amat menggalakkan dengan kehadiran kira-kira 2.7 juta orang dan nilai jualan hampir RM48.3 juta. - K! ONLINE

TFC bakal kembali beraksi di Stadium Sultan Mizan musim depan

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS - Penyokong tegar Terengganu Football Club (TFC) mendapat berita gembira apabila pasukan kesayangan mereka bakal kembali beraksi di gelanggang rasmi, Stadium Sultan Mizan, Kuala Nerus pada musim 2020.

Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Malaysia Football League (MFL) merupakan pentadbir Liga Malaysia telah bersetuju untuk membaiki padang stadium tersebut yang telah mengalami kerosakan serius sejak dua musim lalu.

"Padang Stadium Sultan Mizan akan diperbaiki MFL untuk digunakan semula pasukan utama kita, TFC.

"Jika projek penukaran padang pada tahun ini berjaya, Stadium Sultan Mizan akan menjadi venue pasukan utama (TFC) mulai musim 2020," katanya ketika merasmi majlis pengenalan pemain dan jersi baharu musim 2019 di Stadium Tertutup Gong Badak di sini malam tadi.

Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, pembukaan semula Stadium Sultan Mizan yang berkapasiti 25,000 penonton tersebut bakal memberi lebih keselesaan kepada penyokong tegar skuad Penyu.


Kali terakhir Stadium Sultan Mizan menjadi gelanggang rasmi TFC (dahulu dikenali sebagai Terengganu) pada musim 2016 dan sejak dua musim lalu, skuad Penyu berkongsi venue dengan pasukan adik, TFC II (dahulu dikenali sebagai T-Team) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah yang hanya boleh memuatkan 10,000 penonton. - K! ONLINE

Hoki: THT akur tewas 2-3 dengan TNB

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Tenaga Nasional Berhad (TNB) meleburkan rekod tanpa kalah Pasukan Hoki Terengganu (THT) apabila menewaskan juara bertahan itu 3-2 pada aksi keenam Liga Hoki Malaysia (MHL) di Stadium Hoki Batu Burok, Kuala Terengganu sebentar tadi.

Pasukan pelawat yang juara Piala Tan Sri Alagrandra bermula garang apabila mendahului menerusi jaringan padang, Muhammad Noor Firdaus Rosdi pada minit ke-6.

Tersentak ketinggalan, THT memperkemaskan serangan dan berhasil menyamakan kedudukan menerusi jaringan yang dihasilkan pukulan sudut penalti pemain import Korea Selatan, Jung Manjae pada minit ke-19.

TNB kembali ke depan menjadikan kedudukan 2-1 menerusi serangan pantas yang disudahkan pemain kebangsaan, Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi pada minit ke-31.

Pakar flick Korea Selatan, Jang Jonghyun melegakan THT yang juga juara bertahan seketika apabila menyamakan kedudukan 2-2 pada minit ke-49.


Shello Silverius muncul wira menjaringkan gol kemenangan hasil kelam kabut di kawasan D tuan rumah menjadikan kedudukan 3-2 menerusi jaringan padang gol pada minit ke-59. - K! ONLINE

ADUN kena reman tiga hari

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENG­GANU – Seorang Ahli Dewan Undangan Ne­geri bergelar Datuk di negeri ini ditahan reman selama tiga hari sehingga Rabu ini bagi membantu siasatan berhubung dakwaan membuat tuntutan palsu berjumlah RM500,000 pada Mei tahun lalu.

Perintah reman di­keluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Se­syen/ Majistret Ku­ala Terengganu, Noradila Ab. La­tiff di Mahkamah Majistret di sini semalam.

Sumber Suruhanjaya Pencegahan Ra­suah Malaysia (SPRM) berkata, ahli politik berusia 54 tahun yang juga Naib Ke­tua UMNO Bahagian itu ditahan sewaktu memberi ketera­ngan di pejabat SPRM cawa­ngan Terengganu pada pukul 5 petang kelmarin.

“Lelaki itu ditahan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan mengemukakan tuntutan palsu kira-kira RM500,000 kepada Pejabat Daerah dan Tanah Setiu pada bulan Mei 2018.

“Tuntutan tersebut adalah bagi 32 projek di Dewan Undangan Negeri Permaisuri yang disyaki tidak pernah dilaksanakan,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Sumber itu berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 tahun lalu, ahli politik tersebut memenangi kerusi Dewan Unda­ngan Nege­ri (DUN) di Terengganu dengan majoriti 1,970 undi.

Sebelum ini, seorang pengerusi badan bukan kerajaan dan seorang pegawai daerah ditahan reman SPRM bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut masing-ma­sing pada 9 Januari dan 14 Januari lalu.

Sumber SPRM memberitahu, kedua-dua lelaki yang masing-ma­sing berusia 38 dan 59 tahun telah dibebaskan selepas berakhirnya tempoh reman mereka.

Proses tukar status Lee Tuck kepada pemain tempatan bermula

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Skuad Terengganu Football Club (TFC) akan memulakan proses penukaran status perancangnya, Lee Andrew Tuck kepada pemain tempatan pada masa terdekat.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Hishamuddin Abdul Karim berkata, pihaknya sebagai badan induk yang menaungi TFC telah mendapat 'lampu hijau' daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) beberapa hari lalu.

"Proses untuk menukar status Lee Tuck sebagai pemain tempatan dijangka bermula selepas selesai majlis memperkenalkan pemain dan jersi TFC pada esok (hari ini).

"Begitupun, kami bersepakat ia tidak menjadi keutamaan kepada PBSNT dan Lee Tuck sendiri untuk disegerakan," katanya selepas merasmikan kedai konsep bola sepak premium, Football Republic di Jalan Sultan Sulaiman di sini hari ini.

Turut hadir memeriahkan majlis perasmian premis perniagaan milik Al-Ikhsan Sports Sdn. Bhd. itu ialah lima tonggak TFC iaitu Lee Tuck, Kipre Tchetche, Igor Zonjic, Syamim Yahya dan Ilham Amirullah Razali.


Sebelum ini, Lee Tuck, 31, yang berasal dari Halifax, England teruja dengan ura-ura FAM untuk menukar statusnya kepada pemain tempatan seperti pemain naturalisasi pertama negara, Mohamadou Sumareh bagi memperkuat Harimau Malaya. - K! ONLINE

Kadar indeks jenayah Terengganu menurun 19.3 peratus pada 2018

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Kadar indeks jenayah Terengganu menurun 19.3 peratus pada tahun lalu berbanding tempoh sama pada tahun 2017.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail berkata,  sebanyak 1,823 kes jenayah kekerasan dan komersial direkodkan sepanjang tahun lalu berbanding 2,257 kes pada tahun sebelumnya.

"Sebanyak 1,206 kes atau 66.2 peratus kes jenayah yang dilaporkan pada tahun 2018 berjaya diselesaikan.

"Sebagai perbandingan 1,706 daripada 2,257 kes yang dilaporkan pada tahun 2017 berjaya diselesaikan," katanya selepas menyempurnakan majlis pemakaian pangkat pegawai rendah polis di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Terengganu di sini hari ini.


Seramai 17 anggota polis terdiri daripada 13 Sarjan dan tiga Sarjan Mejar menerima pangkat masing-masing pada majlis itu. - K! ONLINE

Sunday, January 27, 2019

TFC I sedia tukar status Lee Tuck

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

TERENGGANU FC I (TFC I) akan memulakan proses penukaran status perancangnya, Lee Andrew Tuck kepada pemain tempatan dalam masa terdekat.

Timbalan Presiden Persa­tuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Hishamuddin Abdul Karim berkata, pihaknya sebagai badan induk yang menaungi TFC I telah mendapat ‘lampu hijau’ Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung perkara itu beberapa hari lalu.

“Proses untuk menukar status Lee Tuck sebagai pemain tempatan dijangka bermula selepas selesai majlis memper­kenalkan pemain dan jersi TFC I esok (hari ini).

“Bagaimanapun, kami bersepakat ia bukan keutamaan buat PBSNT dan Lee Tuck,” katanya selepas merasmikan kedai konsep bola sepak premium, Football Republic di Jalan Sultan Sulaiman di Kuala Terengganu semalam.

Turut hadir memeriahkan majlis perasmian ialah lima tonggak TFC I iaitu Lee Tuck, Kipre Tchetche, Igor Zonjic, Syamim Yahya dan Ilham Amirullah Razali.

Hishamuddin berkata, PBSNT juga memutuskan untuk tidak menambah pemain import baharu meskipun Lee Tuck yang mempunyai pertalian dengan negara ini menerusi neneknya dijangka bergelar pemain tempatan tidak lama lagi.

Menurutnya, PBSNT berpendirian pemain sedia ada dalam skuad TFC I mampu membawa cabaran naib juara Piala Malaysia pada saingan musim ini tanpa penambahan pemain import baharu.

“Kita tidak bercadang untuk mengambil pemain import baharu biar pun Lee Tuck sudah berstatus tempatan nanti ke­cuali barisan kejurulatihan me­rasakan keperluan itu,” katanya.

Lebih 10 lori bijih besi tersadai tepi jalan diserbu JPJ

HULU TERENGGANU – Tindakan lebih 10 operator lori bijih besi yang enggan melalui sekatan jalan raya di Jalan Kuala Jenering-Aring dekat sini membawa padah apabila Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyerbu lokasi penyembunyian mereka semalam.

Pengarah JPJ Terengganu, Zulkarnain Yassin berkata, sekatan jalan raya yang diadakan di FT 36 Seksyen 12 Jalan Kuala Jenering-Aring 8 berhampiran Pengkalan Gawi dekat sini sejak Rabu lalu mendapati tidak banyak lori membawa bijih besi melalui­nya berbanding hari biasa.

“Risikan kemudiannya mendapati banyak operator lori bijih besi itu memberhentikan kenderaan mereka di Seksyen 40 Jalan Kuala Jenering-Aring 8 yang terletak kira-kira 30 kilometer dari lokasi sekatan jalan raya dipercayai untuk mengelak daripada diperiksa.

“Hari ini (semalam) kami menyerbu lokasi itu dan terdapat lebih 10 lori membawa bijih besi tersadai di lokasi berkenaan,” kepada pembe­rita semalam.

Zulkarnain berkata, pe­meriksaan awal mendapati kebanyakan lori yang ditinggalkan di tepi jalan itu bukan sahaja disyaki membawa lebih muatan malah melakukan pelbagai kesalahan lain seperti cukai jalan tamat tempoh.

Muhammad Syukur bakal dilantik Ikon Kadet Sekolah Pertahanan Awam

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Muhammad Syukur Khamis, 14,  yang menjadi  terkenal sekelip mata selepas gambarnya bermesra dengan sekumpulan kerbau menjadi tular di media sosial sejak dua minggu lalu bakal dilantik sebagai ikon Kadet Sekolah Pertahanan Awam (Kapa).

Ketua Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Datuk Roslan Wahab berkata, pelantikan Muhammad Syukur yang juga anggota Kapa di sekolahnya akan diumumkan secara rasmi pada perhimpunan agensi peringkat kebangsaan yang bakal diadakan di Seremban, Negeri Sembilan pada Mac depan.

"Saya lihat Muhammad Syukur mempunyai potensi untuk dijadikan Ikon Kapa bagi menggalakkan lebih ramai pelajar sekolah menengah lain di negara ini menyertai badan beruniform tersebut.

"Selain akan dipelawa menyertai program-program anjuran APM terutama di peringkat sekolah-sekolah, kita juga akan memberi pendedahan kepada dia (Muhammad Syukur) untuk meningkatkan keyakinan diri," katanya.

Terdahulu beliau ditemui selepas menyempurnakan majlis pemakaian pangkat Muhammad Syukur sebagai Lans Koperal Kapa di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Midin di sini hari ini.


Roslan berkata, Muhammad Syukur merupakan ikon Kapa pertama yang dilantik dalam kalangan pelajar. - K! ONLINE

Sebahagian Jalan Ajil - Jerangau ditutup akibat mendapan tanah

MOHD. AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU - Sebahagian Jalan Ajil - Jerangau berhampiran Sekolah Kebangsaan Perah di Kampung Pela, Ajil di sini terpaksa ditutup kepada pengguna jalan raya akibat kejadian tanah runtuh lewat malam tadi.

Lubang sebesar kira-kira dua meter itu di laluan berkenaan yang berlaku pada pukul 11.50 malam tersebut dipercayai terjadi akibat mendapan tanah.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, sepasukan anggota polis telah bergegas ke lokasi kejadian kira-kira sembilan minit kemudian selepas menerima maklumat tentang kejadian tanah runtuh berkenaan.

"Hasil perbincangan dengan wakil syarikat penyelenggaraan jalan raya, Roadcare (M) Sdn. Bhd., kita mengambil keputusan untuk menutup sepenuhnya laluan berkenaan untuk kegunaan semua pengguna mulai pukul 1.20 pagi tadi.

"Papan tanda pemberitahuan telah dipasang di persimpangan Bukit Besi, Dungun dan lampu isyarat pekan Ajil di sini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohd. Adli berkata,  buat sementara waktu, pengguna boleh menggunakan tiga jalan alternatif iaitu Jalan Kampung Tok Dor - Kampung Mok Mek,  Felda Bukit Bading; persimpangan lampu isyarat Ajil – Bukit Perah – Marang dan Bukit Besi – Jerangau – Kuala Dungun.


Menurut beliau, kerja-kerja pembaikan jalan sedang dilakukan Roadcare manakala punca pemendapan jalan tersebut sedang disiasat. - K! ONLINE

Permohonan Lesen Motosikal Terengganu Sejahtera dibuka mulai 1 Februari depan

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Permohonan untuk program Lesen Motosikal Terengganu Sejahtera (LMTS) yang menawarkan lesen motosikal B2 secara percuma kepada belia negeri ini bakal dibuka mulai 1 Februari depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, seramai 25,000 belia kelahiran negeri ini dalam lingkungan 16 hingga 40 tahun yang masih belum memiliki lesen berkenaan disasar untuk menerima manfaat tersebut.

"Program LMTS telah diluluskan menerusi Bajet 2019 dengan peruntukan RM7 juta merupakan salah satu manifesto Pas sekiranya menjadi kerajaan negeri Terengganu pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

"Permohonan untuk program yang bertujuan untuk meringankan beban rakyat negeri ini akan dibuka secara manual dan atas talian selama sebulan mulai 1 Februari depan," katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco Mingguan di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Wan Sukairi berkata, borang permohonan program LMTS boleh diperolehi di pusat khidmat Dewan Undangan Negeri, Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di kawasan masing-masing di seluruh negeri ini.

Menurut beliau, permohonan tersebut juga telah dibuat menerusi atas talian di laman web, http://idana.terengganu.gov.my mulai 1 Februari depan. - K! ONLINE

Saturday, January 26, 2019

Pertis buka pusat memanah untuk orang buta

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS - Kekurangan diri akibat masalah penglihatan tidak menjadi halangan kepada 51 ahli Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis) Wilayah Terengganu untuk terlibat dalam sukan memanah tradisional.

Pertis mengambil inisiatif membuka pusat memanah khas untuk golongan orang kurang upaya masalah penglihatan difahamkan pertama di negara ini di kawasan seluas 487.68 meter persegi di Kampung Telaga Daing, Seberang Takir di sini bagi memenuhi hasrat ahli-ahlinya itu.

Pengerusi Pertis Wilayah Terengganu, Mohd. Fauzi Mansor berkata, pusat memanah yang dikendalikan sepenuhnya oleh pihaknya tersebut telah mengadaptasi sistem sukan memanah untuk orang buta yang telah digunapakai di Britain dan Perancis.

"Pemanah terdiri daripada individu masalah penglihatan akan dibantu untuk melepaskan anak panah ke sasaran dengan bantuan garisan penunjuk diperbuat daripada paip plastik dan bantuan minimum oleh jurupandu arah yang merupakan individu normal.

"Ia membuktikan orang buta juga boleh menceburi sukan memanah bukan sahaja sebagai aktiviti riadah tetapi  juga sunnah yang digalakkan Nabi Muhammad," katanya kepada pemberita.


Terdahulu beliau ditemui selepas menyaksikan perasmian pusat memanah tersebut oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan, Wan Sukairi Wan Abdullah di Kampung Telaga Daing, Seberang Takir di sini hari ini. - K! ONLINE

TFC I yakin beri cabaran dalam saingan Liga Super 2019

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

BIARPUN tanpa pembelian pemain-pemain bintang, pasukan naib juara Piala Malaysia, TFC I optimis dapat mengekalkan reputasi mereka sebagai pasukan yang mampu mencabar kejua­raan Liga Super pada saingan musim ini.

Pengendali TFC I, Irfan Bakti Abu Salim (gambar) berkata, pasukannya meletakkan sasaran untuk berada di kelompok tiga pasukan teratas Liga Super selain merangkul salah satu kejua­raan sama ada trofi Piala Malaysia atau pun Piala FA.

“Musim lalu kita hampir-hampir menjadi naib juara Liga Super namun terpaksa berpuas hati di tangga kelima dalam persaingan yang ditentukan pada aksi terakhir.

“Kita juga muncul naib juara Piala Malaysia dan mara ke suku akhir Piala FA. Jadi, tahun ini, KPI (indeks penunjuk prestasi) yang diberikan kepada saya ialah menjulang sekurang-kurangnya satu piala atau layak ke saingan ACL (Liga Juara-Juara Asia),” katanya kepada Kos­mo! baru-baru ini.

Irfan Bakti turut percaya pasukannya akan mencapai momentum yang diharapkan pada kempen kali ini setelah mereka semakin serasi bersama.

Jurulatih berpengalaman itu menjelaskan struktur utama dalam barisan pemain skuad Penyu tidak banyak berubah dan masih ditunjangi pemain-pemain sama sejak beliau kembali mengendali TFC I tiga musim lalu.

“Saya juga berpuas hati dengan prestasi pemain tengah import baharu, Sanjar Shaakhmedov dari Uzbekistan yang semakin menunjukkan kemajuan.

“Dia telah menjaringkan tiga gol dan menghasilkan beberapa gerakan gol dalam siri perlawanan persahabatan pramusim termasuk di Vietnam sebelum ini,” katanya.

Irfan Bakti juga berharap sentuhan penyerang sensasi TFC I yang juga kapten pasukan, Kipre Tchetche akan lebih tajam pada musim ini.

Tambah beliau, barisan serangan skuad Penyu juga masih diperkuat de­ngan khidmat dua pemain berpengalaman iaitu Mohamad Ashari Samsudin dan Abdul Malik Mat Ariff.

TLHT sekat kemaraan LISHC

PASUKAN Hoki Wanita Terengganu (TLHT) melepasi ujian getir apabila berjaya menewaskan Lioning Infinite Space HC (LISHC) 4-2 pada aksi Liga Hoki Wanita Malaysia (MWHL) di Stadium Hoki Batu Burok, Kuala Terengganu semalam.

LISHC yang juga pasukan jemputan dari China bermula garang apabila mendahului seawal minit kelima menerusi gol padang Liu Xinyu.

Susulan itu, TLHT menggandakan serangan sebelum pemain import dari India, Jaswinder Singh meledak hatrik pada minit ke-15, 26 dan 41.

Dua gol awal dihasilkan Jaswinder menerusi gol padang manakala satu lagi dengan pukulan sudut penalti.

Pasukan pelawat hampir  mendahului pada minit ke-19, namun pukulan sudut penalti diambil Li Feng berjaya ditampan keluar penjaga gol TLHT, Bakhavaddin Glizal.

Feng menebus kesilapan dengan menjaringkan gol pe­nyamaan menerusi pukulan su­dut penalti menjadikan kedudukan 2-2 pada minit ke-33.

Bekas tonggak kebangsaan, Siti Rahmah Othman melengkapkan kemenangan TLHT dengan gol keempat menerusi gol padang pada minit ke-46.

Sementara itu, jurulatih TLHT, Iman Gobinathan ber­kata, beliau lega anak-anak buahnya melepasi cabaran LISHC yang dianggap antara pasukan terkuat pada saingan MWHL musim ini.

“Kita bernasib baik pasukan pelawat memiliki masalah de­ngan cuaca yang agak panas hari ini (semalam) dan anak-anak buah saya berjaya mengambil kesempatan itu,” katanya.

Tekong nelayan Vietnam ceroboh perairan negara didenda RM500,000

KEMAMAN - Gara-gara menceroboh perairan negara untuk menangkap ikan secara haram, seorang tekong bot nelayan Vietnam didenda RM500,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Tertuduh, Nguyen Thanh Truong, 47, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Badrul Munir Mohd. Hamdy.

Thanh Truong gagal membayar denda tersebut dan telah dihantar ke Penjara Marang untuk menjalani hukuman penjara selama dua tahun.

Berdasarkan pertuduhan, dia ditahan bersama empat awak-awak yang juga warga Vietnam telah ditahan pasukan penguat kuasa Maritim Malaysia (APMM) ketika menangkap ikan secara haram pada kedudukan kira-kira 76.9 batu nautika dari Tanjung Mat Amin, Kuala Kemaman dekat sini pada 16 Ogos 2017.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8(a) Akta Perikanan 1985 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Afiq Taqiudin Roslan manakala tertuduh diwakili peguam bela, Saifullah Che Mat. - K! ONLINE

Restoran mamak diserbu

KUALA TERENGGANU – Sebuah restoran mamak yang terletak di sebuah pasar raya besar di bandar raya ini diserbu pe­nguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) semalam kerana disyaki cuba mengelirukan pelanggan dengan mempamerkan logo halal biarpun tidak pernah memiliki sijil pengesahan tersebut.

Ketua Penguat Kuasa KPDNHEP Terengganu, Zulfamy Mat Udi berkata, pemeriksaan menjumpai satu logo halal ditampal pada peti sejuk yang digunakan untuk menyimpan bahan mentah di bahagian dapur restoran terbabit.

Beliau berkata, restoran ber­kenaan telah 10 tahun beroperasi dan terkenal di bandar raya ini peti sejuk tersebut digunakan untuk menyimpan bahan mentah restoran itu.

 “Pemeriksaan mendapati pe­ngurusan restoran mamak ter­babit tidak pernah memohon sijil pengesahan halal daripada pihak berkuasa. Tindakan mempamerkan logo halal tersebut dikhua­tiri boleh mengelirukan orang ramai terutama dalam kalangan pelanggan beragama Islam,” katanya selepas operasi di sini semalam.

Zulfamy berkata, pemeriksaan juga mendapati restoran mamak yang turut mempamerkan ayat-ayat suci al-Quran itu dikendalikan pengusaha beragama Islam manakala sebahagian pekerjanya juga beragama Islam serta selain bahan mentah digunakan juga daripada sumber halal.

Friday, January 25, 2019

TLHT tewaskan PKS-Uniten 3-2

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Pasukan Hoki Wanita Terengganu (TLHT) meneruskan kecemerlangan dengan menumbangkan juara bertahan, PKS-Uniten 3-2 pada aksi keenam Liga Hoki Wanita Malaysia (MWHL) di Stadium Batu Burok di sini sebentar tadi.

Tuan rumah bermula garang apabila mendahului menerusi pukulan sudut penalti diambil pakar flick dari India, Jaspreet Kaur pada minit ke-14.

Terdahulu, kelebihan TLHT mendahului 1-0 tidak bertahan lama selepas PKS-Uniten berjaya menyamakan kedudukan menerusi gol padang tonggak kebangsaan, Hanis Nadiah Onn seminit kemudian.

Juara bertahan itu terus menunjukkan karakter sebenar apabila berjaya mendahului 2-1 menerusi gol padang pemain import dari Indonesia, Syasya Rifqah Sanip pada minit ke-28.

Serangan berterusan tuan rumah akhirnya membuahkan hasil menjadikan kedudukan 2-2 menerusi gol padang pemain kebangsaan, Nur Syafiqah Mohd. Zain.


Jaringan kemenangan yang dicari-cari kemudiannya menjelma selepas Jaspreet meledak gol ketiga menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-53. - K! ONLINE

TFC I fokus perkukuh bahagian sayap skuad Sang Penyu

PENGENDALI Terengganu FC I (TFC I), Irfan Bakti Abu Salim mengakui skuadnya masih merasai kekosongan posisi sayap susulan dua perancang, Mohd. Faiz Nasir dan J. Pathiban telah me­nyertai pasukan lain musim ini.

Beliau berkata, bahagian sayap sebelum ini dikemudi Mohd. Faiz dan Pathiban namun masing-ma­sing telah berhijrah ke Sela­ngor dan Perak.
Justeru, Irfan memberi keutamaan untuk memantapkan ke­dua-dua posisi yang di­tinggalkan itu menjelang aksi pembukaan Liga Malaysia (Liga M) 2019 awal Februari depan.

“Saya masih belum berpuas hati dengan pres­tasi anak-anak buah saya sepanjang tempoh pramusim setakat ini terutama bahagian sayap.

“Kebanyakan serangan yang dicipta dalam dua siri perlawanan persahabatan sebelum ini mudah ‘dimatikan’ lawan di bahagian tengah dan pemain penyerang TFC I kurang menerima umpanan menyengat,” katanya ketika ditemui Kosmo! Ahad di Kuala Terengganu semalam.

Pada dua perlawanan persahabatan pramusim baru-baru ini, TFC I seri 0-0 dengan Kelantan tetapi tewas 1-2 dengan pasukan adik, TFC II.

Bagaimanapun, Irfan memberitahu, senario itu tidak begitu merisaukannya kerana percaya kekurangan tersebut mampu diperbaiki dalam tempoh pramusim berbaki lebih dua minggu lagi.

Jurulatih berpengalaman itu juga percaya pemain-pemain baharu yang mengisi posisi sayap seperti Ahmad Syamim Yahya, Khairul Azrin Khazali dan Khairul Anwar Shahrudin mampu mencapai persefahaman­ dengan rakan pasukan lain.

“Hanya tiga atau empat aksi persahabatan lagi, saya rasa semua anak buah saya termasuk pemain baharu akan semakin serasi bersama.

“Saya juga berpuas hati dengan kesungguhan ditunjukkan import baharu, Sanjar Shaakhmedov dari Uzbekistan yang tiba 4 Januari lalu walaupun masih me­ngalami masalah bahasa,” katanya.

Thursday, January 24, 2019

Abang lemas ketika cuba selamatkan adik

HULU TERENGGANU – Naluri kasih sayang seorang abang yang sanggup terjun untuk menyelamatkan adik perem­puan yang hampir lemas berakhir dengan tragedi apabila dia pula yang lemas di kawasan Air Terjun Belukar Bukit, Ajil dekat sini kelmarin.

Dalam kejadian pada pukul 5.25 petang itu, mayat Mohamad Aisar Hisyam Mohd. Kamal, 22,  yang tenggelam di dasar air terjun itu ditemui pasukan mencari dan menyelamat lebih sejam kemudian.

Adik perempuannya, Nur Aifaa Diyana, 21, pula berjaya diselamatkan pengunjung lain yang turut menyaksikan kejadian tersebut.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, sewaktu kejadian, kedua-dua beradik itu bersama enam ahli keluarganya yang lain sedang berkelah di kawasan air terjun terbabit pada pukul 4.10 petang.

“Mayat mangsa berjaya ditemui di dasar sungai terbabit pada pukul 6.40 petang sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu di sini untuk dibedah siasat.

“Adik perempuannya (Nur Aifaa Diyana) pula yang masih lemah sedang dirawat di wad hospital sama dan keadaannya kini dilaporkan stabil,” katanya.

Difahamkan, Mohamad Aisar Hisyam yang baru menamatkan latihan di Akademi Binaan Malaysia cawangan Johor baru-baru ini bersama ahli keluarganya yang berasal dari Johor Bahru, Johor bercuti di rumah saudara mereka di Gong Badak, Kuala Nerus sebelum berkunjung ke kawasan air terjun tersebut untuk berkelah.

Kawasan air terjun itu pernah ditutup tiga tahun lalu selepas meragut lima nyawa sekeluarga pada 19 Disember 2015 sebelum kembali dibuka pada Mac 2017.

Wednesday, January 23, 2019

Terengganu Ladies kekal rekod tanpa kalah

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Terengganu Ladies meneruskan rentak kemenangan dengan menewaskan pencabar terdekat, Blue Warriors 3-2 pada aksi ketiga Liga Hoki Wanita Malaysia (MWHL) 2019 di Stadium Hoki Batu Burok di sini sebentar tadi.

Bekas tonggak kebangsaan, Siti Rahmah Othman yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-33 hari ini, muncul wira apabila meledak gol kemenangan Terengganu Ladies ketika aksi berbaki enam minit untuk tamat.

Dua lagi gol pasukan bimbingan Iman Gobinathan itu diperoleh menerusi jaringan import Kazakhstan, Vera Domashneva dan Nur Syuhada Suhaimi.

Blue Warriors yang merupakan juara Piala Vivian May Soars tahun lalu, terpaksa akur pulang dengan tangan kosong apabila sekadar menjaringkan dua gol menerusi Norbaini Hashim dan Norazlin Sumantri.

Sementara itu, PKS Uniten bernasib baik apabila satu gol jaringan Hanis Nadiah Onn membolehkan skuad juara bertahan tersebut menang tipis 1-0 ke atas Kuala Lumpur (KL) Wipers di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil sebentar tadi.


Gol tunggal penyerang skuad kebangsaan pada minit ke-13 itu melegakan PKS Uniten kerana perlawanan tersebut terpaksa ditamatkan awal susulan hujan lebat selepas tamat separuh masa pertama menyebabkan permainan tidak dapat diteruskan. - K! ONLINE

JPJ serbu lori bawa muatan bijih besi elak sekatan jalan raya

MOHD. AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU - Helah operator lori membawa bijih besi disyaki lebih muatan mengelak sekatan jalan raya di Jalan Kuala Jenering-Aring dekat sini tidak berhasil apabila Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bertindak menyerbu 'lokasi penyembunyian' mereka hari ini.

Pengarah JPJ Terengganu, Zulkarnain Yassin berkata, sekatan jalan raya menerusi operasi bersepadu diketuai agensinya di FT 36 Seksyen 12 Jalan Kuala Jenering -Aring 8 berhampiran Pengkalan Gawi dekat sini sejak Rabu lalu mendapati tidak banyak lori membawa bijih besi melaluinya.

Tambah beliau, tiada satu pun lori bijih besi atau amang melalui sekatan jalan raya tersebut sejak dua hari lalu sedangkan kebiasaannya ia merupakan laluan utama kenderaan terbabit sehingga mendapat aduan penyebab utama kerosakan jalan di jalan berkenaan.

"Risikan kemudiannya mendapati banyak operator lori bijih besi itu bertindak memberhentikan kenderaan mereka di Seksyen 40 Jalan Kuala Jenering-Aring 8 yang terletak kira-kira 30 kilometer dari lokasi sekatan jalan raya dipercayai untuk mengelak daripada diperiksa.

"Hari ini kita telah serbu lokasi dan terbukti terdapat lebih 10 lori membawa bijih besi 'tersadai' di lokasi berkenaan," katanya kepada pemberita selepas mengetuai Ops Tutup di Pengkalan Gawi dekat sini hari ini.


Zulkarnain berkata, pemeriksaan awal mendapati kebanyakan lori yang ditinggalkan di tepi jalan itu bukan sahaja disyaki membawa lebih muatan malah melakukan pelbagai kesalahan lain seperti tamat cukai jalan. - K! ONLINE

Pegawai daerah ditahan bantu siasatan tuntutan palsu RM500,000

KUALA TERENGGANU – Seorang pegawai daerah di negeri ini ditahan reman selama enam hari sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan kes mengeluarkan peruntukan berjumlah RM500,000 untuk 32 program tidak dilaksana pada tahun lalu.

Perintah reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret dan Sesyen Kuala Terengganu, Roszita Md. Saad di sini semalam.

Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, suspek berusia 59 tahun itu ditahan ketika memberi keterangan di pejabat agensi itu pada pukul 5 petang kelmarin.

Katanya, suspek dipercayai mengeluarkan dua cek masing-masing berjumlah RM300,000 dan RM200,000 atas nama sebuah badan bukan kerajaan (NGO).

“Peruntukan itu dikatakan bagi pelaksanaan 32 program di Dewan Undangan Negeri Permaisuri. Siasatan mempercayai peruntukan itu tidak pernah dituntut oleh NGO terbabit selain kesemua program itu tidak pernah dilaksanakan,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Tuesday, January 22, 2019

TLHT tewaskan LISHC 4-2

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Pasukan Hoki Wanita Terengganu (TLHT) melepasi ujian getir untuk merakam keempat berturut-turut selepas menewaskan Lioning Infinite Space HC (LISHC) 4-2 pada aksi keempat Liga Hoki Wanita Malaysia (MWHL) di Stadium Hoki Batu Burok di sini sebentar tadi.

LISHC yang juga pasukan jemputan dari China bermula garang apabila mendahului seawal minit kelima menerusi gol padang Liu Xinyu.

Tersentak ketinggalan, TLHT menggandakan serangan sebelum pemain import dari India, Jaswinder Singh meledak hatrik pada minit ke-15, 26 dan 41.

Dua gol awal dihasilkan Jaswinder menerusi gol padang manakala satu lagi pula dengan pukulan sudut penalti.

Pasukan pelawat hampir kembali mendahului pada minit ke-19 namun pukulan sudut penalti diambil Li Feng berjaya ditampan keluar penjaga gol TLHT, Bakhavaddin Glizal.

Feng menebus kesilapan dengan menjaringkan gol penyamaan menerusi pukulan sudut penalti menjadikan kedudukan 2-2 pada minit ke-33.


Bekas tonggak kebangsaan, Siti Rahmah Othman melengkapkan kemenangan TLHT dengan gol keempat menerusi gol padang pada minit ke-46. - K! ONLINE

THT belasah Nur Insafi 6-1

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Pasukan Hoki Terengganu (THT) membelasah Nur Insafi 6-1 pada aksi ketiga Liga Hoki Malaysia (MHL) di Stadium Hoki Batu Burok, Kuala Terengganu sebentar tadi.

Pemain import dari Korea Selatan, Jung Manjae cemerlang meledak hatrik untuk THT yang kesemuanya dihasilkan menerusi gol padang pada minit 15, 23 dan 31.

Rakan senegara, Jang Jonghyun yang juga pakar flik pula menyumbang dua gol menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-7 dan 15.

Gol keenam tuan rumah pula disumbang penyerang kebangsaan, Faizal Saari menerusi jaringan padang pada minit ke-47.

Faizal hampir menambah gol peribadi kedua pada penghujung suku keempat namun pukulan sudut penaltinya berjaya ditampan keluar penjaga gol Nur Insafi, Kairulnizam Ibrahim.


Terdahulu Nur Insafi cuba bangkit melawan apabila berjaya menyamakan kedudukan menjadi 1-1 menerusi jaringan padang pemain kebangsaan, Joel Samuel Van Huizen pada minit ke-11. - K! ONLINE