Translate

Tuesday, March 25, 2014

Jenazah Tengku Azman selamat dikebumi di Makam Diraja Selangor

KLANG - Jenazah Raja Bendahara Selangor, Almarhum  Tengku   Azman   Shah  selamat dikebumikan di Makam Diraja Selangor, Istana Alam  Shah  di sini semalam.

Bapa saudara Sultan Selangor Selangor, Sultan Sharafuddin Idris  Shah  itu mangkat akibat sakit tua di Hospital  Tengku  Ampuan Rahimah di sini pada pukul 2.31 petang kelmarin.

Istiadat pemakaman tersebut dihadiri Sultan Sharafuddin, balu Almarhum,  Tengku  Thuraya Sultan Ibrahim dan ahli kerabat diraja Selangor.

Turut hadir, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Mohammed Khusrin Munawi dan Mufti negeri, Datuk Mohd. Tamyes Abd. Wahid.

Terdahulu, solat je-nazah almarhum Tengku Azman diadakan di Masjid Istana Diraja pada pukul 10 pagi.

Tengku   Azman   Shah  merupakan putera Sultan Selangor ketujuh, Sultan Hisamuddin Alam  Shah  telah diputerakan di Klang pada tahun 1931.

Almarhum yang merupakan salah seorang Ahli Dewan Diraja Selangor dan pernah menjadi pemangku Raja Selangor meninggalkan enam putera dan puteri serta 10 cucunda.

Tuesday, March 18, 2014

Dadah: Pemandu lori dihukum gantung

SHAH ALAM - Seorang pemandu lori dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis ganja kira-kira dua tahun lalu.
Mohd. Zabri Md. Daud, 43, melakukan kesalahan tersebut di tepi sebuah rumah di Taman Medan, Petaling Jaya di sini pada pukul 3.10 petang, 13 Januari 2012.
Dia yang didapati mengedar dadah jenis ganja seberat 473.3 gram didakwa mengikut Sekyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - KOSMO!

Sunday, March 16, 2014

Polis siasat rumah juruterbang pesawat MH370

SHAH ALAM - Kediaman Semi-D milik juruterbang pesawat MH370, Kapten Zaharie Ahmad Shah di Laman Seni, Seksyen 13 di sini diserbu polis tidak lama selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan siasatan kehilangan pesawat itu menjurus ke arah kru dan penumpangnya.
Tinjauan Kosmo! Ahad mendapati tiga anggota polis dari Bukit Aman yang menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna tiba di pekarangan pos pengawal taman perumahan tersebut pada pukul 2.40 petang.
Pengawal keselamatan membenarkan mereka memasuki kawasan tersebut 10 minit kemudian manakala pengamal media tidak dibenarkan masuk.
Anggota polis terbabit berada di dalam rumah Zaharie dipercayai untuk mendapatkan maklumat tambahan mengenai misteri kehilangan pesawat berkenaan.
Mereka berada di rumah juruterbang tersebut hampir dua jam sebelum dilihat keluar. Bagaimanapun tidak diketahui apakah barangan yang dibawa keluar dari banglo berkembar berkenaan.
Zaharie kini menjadi tumpuan selepas Najib pada sidang akhbarnya semalam memaklumkan pergerakan pesawat itu selepas ia hilang daripada radar utama tentera menunjukkan ia telah dilakukan dengan sengaja oleh seseorang di dalam pesawat itu.

Saturday, March 15, 2014

Kursus Asuhan dan Didikan Awal Kanak-Kanak berjaya


LATIHAN. Seramai 35 pengusaha taska sekitar Selangor menghadiri Kursus Asuhan dan Didikan Awal Kanak-Kanak di Bangunan Darul Ehsan, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Presiden Persatuan Taska Selangor, Mahanom Basri berkata, kursus selama tiga bulan tersebut bertujuan untuk melatih pengasuh dan pendidik taska bertauliah berkenaan tentang teknik asuhan awal kanak-kanak terkini.

Beliau berkata, silibus kursus asuhan awal kanak-kanak terbabit mengguna pakai silibus kokurikulum Permata Negara.

“Persatuan Taska Selangor juga mengambil inisiatif memperkenalkan buku log yang akan diwajibkan kepada pengusaha taska di Selangor bagi memudahkan penyimpanan rekod aktiviti kanak-kanak jagaan dan memudahkan ibu bapa memantau perkembangan anak mereka,” katanya.

Pengetua boleh tutup sekolah

Oleh NORHAYATI YAHAYA dan MOHD. AZLI ADLAN
berita@kosmo.com.my

SHAH ALAM - Pengetua dan guru besar di Selangor yang mengesan ada pelajar yang mengalami masalah mata berair atau merah akibat jerebu dibenarkan untuk menutup serta-merta sekolah mereka walaupun daerah terbabit tidak menunjukkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 200.
Pengarah Pendidikan Selangor, Datuk Mahmud Karim berkata, pihaknya memandang serius masalah jerebu yang berlaku ketika ini dan kebenaran tersebut diharap dapat mengurangkan risiko kepada pelajar dan murid terlibat.
"Kita benarkan pengetua dan guru besar menggunakan budi bicara masing-masing untuk menutup sekolah.
"Selain itu, mana-mana daerah yang masih menunjukkan bacaan melebihi 200 iaitu kategori sangat tidak sihat juga diarah tutup serta-merta," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Wednesday, March 12, 2014

Nelayan pukat tunda ceroboh kawasan dihukum

TANJONG KARANG - Nelayan pukat tunda yang didapati menceroboh secara sengaja kawasan nelayan zon A iaitu lima batu nautika ke bawah dari pesisir pantai akan dikenakan hukuman pengantungan lesen selama setahun secara serta-merta berkuatkuasa Jun depan.

Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Ahamad Sabki Mahmood berkata, penguatkuasaan hukuman baharu itu dilaksakan setelah pihaknya menerima banyak aduan daripada nelayan pesisir pantai mengenai pencerobohan yang dilakukan nelayan pukat tunda yang sepatutnya hanya beroperasi di Zon B antara lima batu nautika hingga 15 batu nautika.

“Selain mengganggu periuk nasi nelayan Zon A, pencerobohan nelayan pukat tunda turut mengganggu dan merosakkan sumber iaitu anak-anak ikan dan batu karang.

“Oleh itu, kita ketatkan penguatkuasaan mengantung lesen selama setahun nelayan Zon B selain hukuman denda RM3,000 dan merampas peralatan bot jika bersalah memasuki kawasan lima batu nautika ke bawah mulai Jun depan,” katanya di sini semalam.

Ahamad Sabki memberitahu, sebelum ini, tindakan kompaun hanya dikenakan kepada bot nelayan pukat tunda yang mencerobohi kawasan dua batu nautika dari pesisir pantau.

Hapus tapak pelupusan haram

Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan ABDUL RAZAK IDRIS
berita@kosmo.com.my

SHAH ALAM - Kewujudan sebuah tapak pelupusan sampah haram di tebing Sungai Klang, Seksyen 36 di sini menyebabkan pencemaran bau sehingga mewujudkan suasana tidak selesa kepada penduduk Kampung Sri Kandis berdekatan.
Kawasan tapak pelupusan sampah seluas 500 meter sepanjang tebing Sungai Klang itu didakwa penduduk telah dijadikan lokasi pembuangan sampah domestik sejak dua bulan lalu.
Seorang penduduk, Hidayat Mohd. Yusof, 37, berkata, pemerhatiannya mendapati lokasi itu dijaga oleh beberapa individu tidak dikenali kerana setiap lori yang memasuki kawasan tersebut untuk membuang sampah dikenakan caj sebanyak RM20.
"Penduduk kampung sekarang bimbang dengan keselamatan mereka selain tidak selesa dengan bau busuk.
"Lebih merisaukan jika kawasan itu kerap dikorek untuk aktiviti penanaman sampah akan menyebabkan tebing Sungai Klang runtuh dan kemungkinan kampung ini dilanda banjir," katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam. 

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kampung Sri Kandis, Muhni Kasdan berkata, air sungai tersebut juga dikhuatiri tercemar dengan kegiatan haram itu.

“Hampir setiap hari, saya perhatikan berpuluh-puluh lori yang penuh muatan bahan buangan dipercayai dari kilang berhampiran keluar masuk ke kawasan tersebut.

“Sebuah mesin jengkaut akan memasukkan sampah-sarap berkenaan ke dalam lubang yang dikorek berhampiran tebing sungai sebelum ia ditimbus semula dengan tanah,” dakwanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.

Sementara itu Ketua Penerangan UMNO Bahagian Kota Raja, Amad Amdan Jemiran berkata, pihaknya dan penduduk mendesak pihak berkuasa tempatan segera mengatasi masalah itu.

Sunday, March 9, 2014

Selangor yakin pampasan ambil alih air tidak lebih RM9.65b

SHAH ALAM - Kerajaan negeri  Selangor  yakin bayaran pampasan pengambilalihan empat syarikat konsesi perkhidmatan  air  di negeri tersebut tidak akan melebihi RM9.65 bilion seperti yang ditawarkan dalam perjanjian Memorandum Persefahaman ( MoU ) ditandatangani pada 26 Februari lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Pemerbadanan Menteri Besar (MBI),  Faekah  Husin berkata, kerajaan negeri telah membuat pertimbangan sewajarnya terhadap semua senario termasuk risiko kemungkinan pemegang saham syarikat-syarikat konsesi terbabit membawa isu tersebut ke timbang tara antarabangsa sebelum tawaran itu dibuat.

"MBI yakin penilaian harga ekuiti yang memberi pulangan tahunan sebanyak 12 peratus kepada pemegang saham tersebut tidak akan dipertikai oleh timbang tara antarabangsa.

"Sehingga kini tiada sebarang penolakan mengenai penilaian harga yang ditawarkan telah diterima," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

 Faekah  mengulas dakwaan Ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen dari Parti Keadilan Rakyat bahawa pampasan pengambilalihan RM9.65 bilion mungkin melonjak sehingga RM14 bilion ekoran klausa timbang tara antarabangsa membolehkan syarikat konsesi meminta bayaran lebih.

Tiga politeknik cemerlang terima sijil penghargaan

TERBAIK. Tiga  politeknik  yang mencapai keputusan cemerlang dalam sistem Penarafan  Politeknik  ( Polyrate ) 2013 menerima sijil penghargaan daripada Kementerian Pendidikan di  Politeknik   Banting , Kuala Langat, Selangor baru-baru ini.

Ketua Pengarah Jabatan Pengajian  Politeknik , Datuk Mohlis Jaafar berkata, ketiga-tiga  politeknik  tersebut ialah  Politeknik  Sultan Azlan Shah (PSAS), Perak;  Politeknik  Sultan Haji Ahmad Shah (PSHAS), Pahang dan  Politeknik  Ibrahim Sultan (PIS), Johor.

Beliau berkata,  Polyrate  2013 yang dilakukan oleh kumpulan penilai bebas bagi menilai kualiti latihan, pengajaran dan pembelajaran 32  politeknik  di negara ini memberi tahap tertinggi, Tier-Enam iaitu Terbilang kepada PSAS, PSHAS dan PIS.

"Ia merupakan pencapaian membanggakan kerana ketika pertama kali penilaian ini dilakukan pada tahun 2011, tahap tertinggi yang dicapai cuma Tier-Lima iaitu Terbaik," katanya.

Dua warga Sri Lanka didakwa klon kad ATM

SHAH ALAM - Dua lelaki warga Sri Lanka termasuk seorang berstatus pelarian dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas 72 tuduhan mengklon kad pengeluaran wang automatik (ATM) antarabangsa untuk tujuan penipuan hampir RM50,000 pada bulan lalu.

N. Kabilthev, 33, dan S. Shanmugaraja, 26, dituduh melakukan kesalahan tersebut di sebuah rumah di Taman Cempaka, Ampang dekat sini pada 17 Februari lalu.

Kabilthev merupakan pemegang kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Orang Pelarian (UNHCR) manakala Shanmugaraja pula memasuki negara ini pada September tahun lalu menggunakan visa pelancong yang sudah tamat tempoh pada awal Januari lalu.

Berdasarkan fakta kes, kedua-dua tertuduh memiliki 72 kad pelbagai jenis yang telah diklon menjadi kad ATM  bagi membolehkan transaksi pengeluaran wang tunai dilakukan di mesin ATM.

Jalur magnetik yang terdapat pada belakang setiap kad-kad tersebut telah diklon dengan data akaun bank pemilik luar negara.

Transaksi haram menggunakan kad klon berkenaan didapati dilakukan di beberapa mesin ATM lima buah bank sekitar Lembah Klang dengan kerugian RM48,918 dari Januari 2013 hingga bulan lalu.

Kabilthev dan Shanmugaraja dituduh mengikut Seksyen 474 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan bagi setiap pertuduhan.

Kedua-dua tertuduh yang diwakili peguam bela, C. Vignesh Kumar mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Tamil.

Hakim Datuk Noradidah Ahmad menolak permohonan Vignesh Kumar untuk membebaskan kedua-dua tertuduh dengan wang jaminan jamin memandangkan mereka terlibat dalam pertuduhan yang terlalu banyak.

“Kebarangkalian untuk kedua-dua tertuduh untuk melarikan diri agak besar. Tertuduh kedua juga sebelum ini tidak mengambil apa-apa langkah untuk memperbaharui visa pelancong yang telah tamat tempoh,” katanya.

Beliau menetapkan sebutan semula kes tersebut pada 27 Mac ini.

Kosmo! 20 Februari lalu melaporkan kehidupan mewah dua lelaki warga Sri Lanka yang menyewa sebuah rumah di Taman Cempaka, Ampang terbongkar selepas serbuan dijalankan mendapati mereka terlibat dalam sindiket pengklonan kad ATM antarabangsa.

Saturday, March 8, 2014

1,000 penduduk Klang terima BR1M secara tunai

BANTUAN. Seramai 1,000 penduduk sekitar daerah Klang menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2014 secara tunai di pekarangan Pejabat UMNO Bahagian Klang, Pelabuhan Klang, Selangor baru-baru ini.
Ketua UMNO Bahagian Klang, Datuk Nasarruddin M. Zin berkata, penerima tersebut merupakan sebahagian daripada 25,000 penerima bantuan tersebut dari sekitar daerah Klang yang dikesan tidak mempunyai atau mengemaskini akaun bank.
Beliau berkata, baki penerima BR1M terbabit bakal mendapat bantuan secara berperingkat-peringkat yang akan dihantar ke alamat rumah masing-masing secara pos.
"Rata-rata rakyat dari pelbagai kaum yang menerima BR1M 2014 berterima kasih dengan Kerajaan Persekutuan yang sentiasa menunaikan janji membantu mengurangkan beban sara hidup," katanya.

Gerakan buru PATI digiat ekoran serangan ke atas anggota polis

KLANG - Kejadian warga asing menyerang dua anggota polis sehingga menyebabkan seorang daripada mereka maut di  Taman   Sentosa  dekat sini semalam menjadi perangsang kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mempergiatkan lagi gerakan membanteras kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI) di negara ini.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wan  Junaidi  Tuanku Jaafar (gambar) berkata, kejadian itu menunjukkan sebahagian warga asing sudah keterlaluan dan semakin berani melanggar undang-undang dan mengasari anggota keselamatan negara ini.

"Insiden warga asing menyerang anggota keselamatan sehingga menyebabkan kematian tidak pernah berlaku sebelum ini.

"Ini perlu dijadikan pengajaran berguna kepada kita agar semua pihak memberi sokongan padu terhadap usaha kerajaan untuk membanteras PATI," kata beliau selepas menziarahi keluarga Allahyarham Raja Aizam Raja Mohd. di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini semalam.

Anggota polis berpangkat koperal yang hampir 30 tahun berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu maut selepas ditikam sekumpulan warga asing dipercayai warga Indonesia sewaktu mengadakan rondaan cegah jenayah di  Taman   Sentosa  di sini.

Turut parah dalam kejadian itu Koperal Mohd. Aidil Mustafa, 29 tahun.

Wan  Junaidi  berkata, KDN bertekad untuk menjejaki semua suspek yang terlibat dalam serangan hendap ke atas anggota polis itu.

Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar turut menyifatkan tindakan menyerang anggota keselamatan itu sebagai sangat melampau dan tidak boleh dibiarkan.

Sehubungan itu, Khalid memberi amaran kepada mana-mana pihak terutamanya warga asing agar tidak melampaui batas dengan melanggar undang-undang negara.

Mohd. Aidil tak sedap hati sebelum buat rondaan

KLANG - Koperal Mohd. Aidil Mustafa, 29, ada meluahkan rasa tidak sedap hati beberapa jam sebelum diserang hendap sekumpulan warga asing yang mahu ditangkap kerana tiada dokumen perjalanan di Taman Sentosa dekat sini semalam.

Isterinya yang juga seorang anggota polis, Lans Koperal  Norhazwani   Harun , 27, berkata, perasaan itu disuarakan suaminya sewaktu mereka berbual menerusi panggilan telefon pada pukul 8.30 malam kelmarin.

"Sebelum memulakan tugas rondaan cegah jenayah malam semalam (kelmarin), suami ada menghubungi saya.

"Dia ada beritahu tidak sedap hati untuk bertugas tetapi saya cuba redakan kebimbangannya dengan mengatakan ia perkara biasa buat anggota polis seperti kami," katanya ketika ditemui di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 4.30 pagi itu, Mohd. Aidil cedera parah di belakang kepala, tangan kanan dan muka manakala rakannya Koperal Raja Aizam Raja Mohd., 53, pula maut akibat ditetak di belakang kepala manakala perutnya dilibas dengan pisau rambo.

 Norhazwani  yang bertugas di Balai Polis Tumpat, Kelantan memberitahu, dia bergegas ke HTAR dengan menaiki kapal terbang dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa, Kelantan sebaik dimaklumkan mengenai kejadian buruk menimpa suaminya pada pukul 6 pagi.

Dia yang telah berkahwin dengan Mohd. Aidil sejak empat tahun lalu dikurniakan dua orang anak yang berusia setahun dan tiga tahun.

Sementara itu, Raja Aizam meninggalkan isteri, Norsalmah Nordin, 50-an dan empat orang anak termasuk seorang perempuan yang berusia dalam lingkungan 17 hingga 25 tahun.

Anak saudara Raja Aizam, Delima Ismail seorang pelakon berkata, jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Sayong Lembah, Kuala Kangsar, Perak malam tadi.

Delima yang popular dengan watak Kak Limah dalam filem Hantu Kak Limah Balik Rumah berkata, Raja Aizam yang merupakan anak kedua daripada tiga beradik merupakan seorang yang peramah dan komited dengan kerjaya sebagai anggota polis.

Begitupun isteri mangsa, Norsalmah dan keempat-empat anaknya enggan ditemu bual kerana masih trauma dan bersedih dengan tragedi yang menimpa ketua keluarga mereka.

Friday, March 7, 2014

Dua koperal diserang hendap

Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan ADLAN JAAFAR
berita@kosmo.com.my

KLANG - Dedikasi dua anggota polis melakukan rondaan cegah jenayah di Taman Sentosa dekat sini semalam bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka maut manakala seorang lagi cedera parah akibat diserang hendap sekumpulan warga Indonesia yang cuba ditangkap kerana tiada dokumen pengenalan diri.
Anggota polis yang terbunuh ialah Koperal Raja Aizam Raja Mohd. 53, manakala rakannya, Koperal Mohd. Aidil Mustafa, 29, cedera parah. Kedua-dua anggota polis itu ditetak, ditikam dan dilibas dengan pisau rambo dan parang oleh dua daripada sekumpulan enam warga asing yang bertindak agresif ketika cuba diberkas.
Dalam pergelutan itu, dua lelaki Indonesia yang menyerang anggota polis itu mati ditembak oleh anggota polis yang cedera parah.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, kejadian pada pukul 4.30 pagi itu berlaku ketika dua anggota polis yang menaiki kereta peronda memasuki kawasan perumahan di Taman Sentosa dan terserempak dengan sekumpulan enam warga asing termasuk tiga wanita di Lorong Yusuf Shahbudin 44D.
Dua anggota polis terbabit bertugas di Unit Kereta Peronda Ibu Pejabat Pejabat Polis Daerah Klang Selatan.
Menurut beliau, pemeriksaan mendapati kesemua warga asing tersebut tiada dokumen dan menyebabkan Raja Aizam dan Mohd. Aidil cuba menahan mereka.
Bagaimanapun, Khalid memberitahu, ketika Raja Aizam dan Mohd. Aidil mahu menahan sekumpulan warga Indonesia itu, dua lelaki yang masing-masing bersenjatakan pisau rambo dan parang menyerang dari belakang Raja Aizam dan Mohd. Aidil.
"Serangan itu mengenai belakang kepala, tangan dan muka kedua-dua anggota polis terbabit sebelum Raja Aizam kemudian turut dilibas di perut menyebabkan dia rebah," kata beliau.
Khalid berkata demikian selepas menziarah Mohd. Aidil dan jenazah Raja Aizam di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini semalam.
Turut hadir Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd. Shukri Dahlan dan Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Kamarulzaman Mamat.
Selepas itu, beliau berkata, seorang suspek itu merampas pistol milik Raja Aizam yang sudah rebah dan tersungkur di dalam longkang.
"Suspek itu mengacukan pistol itu ke arah Mohd. Aidil namun Mohd. Aidil bernasib baik kerana suspek tidak tahu menggunakan senjata api itu," kata beliau.
Kesempatan itu diambil Mohd. Aidil untuk merampas semula pistol itu sebelum melepaskan tembakan yang menyebabkan kedua-dua lelaki yang menyerangnya maut di tempat kejadian.
Salah seorang suspek yang mati mempunyai tatu di bahagian dada.
" Mohd. Aidil kemudian turut mengacukan pistol ke arah empat lagi warga asing lain sebelum sebuah kereta peronda polis datang ke lokasi kejadian untuk memberi bantuan," kata beliau.
Raja Aizam disahkan meninggal dunia dalam perjalanan ke HTAR manakala Mohd. Aidil masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital sama.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Difahamkan, kawasan perumahan di lokasi kejadian menjadi penempatan ramai warga asing.

Khalid kutuk tindakan serang anggota polis

KLANG - Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengutuk keras tindakan ganas sekumpulan warga asing yang menyerang dua anggota polis sehingga menyebabkan satu kematian manakala seorang lagi cedera parah di Taman Sentosa dekat sini pagi tadi.
Beliau berkata, tindakan menyerang anggota keselamatan itu sebagai keterlaluan, sangat melampau dan tidak boleh dibiarkan.
"Saya beri amaran keras kepada mana-mana pihak terutama warga asing agar tidak melampaui batas.
"Kita akan mengambil tindakab tegas terhadap mana-mana pihak yang mencabar Polis Diraja Malaysia," katanya ketika ditemui selepas menziarah jenazah anggota polis yang terbunuh di Rumah Mayat Hospital Tengku Ampuan Rahimah di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 4.30 pagi itu, kereta peronda polis yang dinaiki Koperal Raja Aizam Raja Mohd., 53, dan Koperal Mohd. Aidil Mustafa, 29, diserang lima warga asing di Lorong Yusuf Shahbuddin 44D, Taman Sentosa dekat sini.
Akibat tikam dengan parang dan pisau di bahagian kepala dan badan, Raja Aizam meninggal dunia manakala Mohd. Aidil cedera parah. - KOSMO!

Suami isteri bersalah membunuh pembantu rumah warga Indonesia

SHAH ALAM - Sepasang suami isteri dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah membunuh pembantu rumah warga Indonesia pada tiga tahun lalu.
Jururunding pendawaian, Fong Kong Meng, 58, dan isterinya, Teoh Ching Yen, 56, dari Taman Sea, Petaling Jaya dekat sini didapati menyebabkan kematian Isti Komariah, 26, dari Jawa Timur, Indonesia pada 5 Jun 2011.
Hakim Datuk Noor Azian Shaari memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan punca kematian pembantu rumah itu disebabkan keengganan kedua-dua tertuduh memberi makanan secukupnya dan rawatan kesihatan kepada pembantu rumah dalam tempoh 14 Mei 2010 hingga 5 Jun 2011. - KOSMO!

Balasan buat suami isteri kejam

MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my


SHAH ALAM – Sepasang suami isteri dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam setelah didapati bersalah membunuh amah Indonesia pada kira-kira tiga tahun lalu.
Fong Kong Meng, 58, dan isterinya, Teoh Ching Yen, 56, dari Taman Sea, Petaling Jaya dekat sini didapati bersalah menyebabkan kematian Isti Komariah dari Jawa Timur, Indonesia yang meninggal dunia dalam keadaan kurus kering dan kesan lebam serta calar di beberapa bahagian badan pada 6 Jun 2011.

Hakim Datuk Noor Azian Saari berkata, pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Nordin Ismail berjaya membuktikan punca kematian mangsa disebabkan keengganan kedua-dua tertuduh memberi makanan mencukupi dan rawatan perubatan kepada wanita Indonesia tersebut.

“Sebab kematian tidak dapat disangkal lagi apabila fizikal mangsa didapati menyusut mendadak kepada 26 kilogram (kg) pada hari kematian daripada 46 kg sewaktu mula bekerja dengan kedua-dua tertuduh pada Disember 2008.

“Hujah pembelaan pula sekadar penafian semata-mata dan gagal membangkitkan keraguan terhadap pembuktian yang dikemuka pihak pendakwaan,” katanya ketika membacakan penghakiman beliau di Mahkamah Tinggi Shah Alam di sini semalam.

Berdasarkan fakta kes, Kong Meng yang merupakan bekas juruteknik dan isterinya, Ching Yen dituduh dengan niat bersama membunuh Ismi Komariah dengan cara tidak memberi memberi makanan secukupnya dan mendapatkan rawatan perubatan kepada pembantu rumah Indonesia itu dari 14 Mei 2010 hingga 5 Jun 2011.

Mangsa disahkan meninggal dunia sebaik sahaja dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya, Petaling Jaya dekat sini oleh kedua-dua majikannya itu pada pukul 7.50 pagi, 6 Jun 2011.

Hasil bedah siasat pula mendapati terdapat kesan lebam baharu dan lama serta calar pada bahagian belakang, dahi serta lengan Ismi Komariah.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Kong Meng dan Ching Yen yang mempunyai sepasang anak kembar berusia 17 tahun dan diwakili peguam bela, Zahela Al-Hayat dan Thong Seng Kong kelihatan tenang di kandang pesalah sewaktu penghukuman itu dibacakan Noor Azian.