Translate

Wednesday, August 19, 2020

Seni tembaga Terengganu perlukan pewaris

 PERMINTAAN terhadap periuk tembaga yang semakin melonjak sejak akhir-akhir ini telah meningkatkan motivasi Salleh Mohd. agar tidak berputus asa meneruskan legasi perusahaan pembuatan produk tembaga buatan tangan selagi hayat di kandung badan.

Pak Leh berkata, seni pertukangan tembaga merupakan warisan yang pernah menjadi kebanggaan penduduk Kampung Ladang khususnya dan Terengganu amnya.

"Walau pun Kampung Ladang kini hanya tinggal sejarah atas faktor pembangunan namun hati nurani saya sukar untuk membiarkan seni pertukangan tembaga ini terus pupus sama sekali.

"Saya akui sukar untuk mencari anak muda yang mempunyai keinginan tinggi untuk menjadi tukang tembaga yang memerlukan penumpuan tinggi, berpanas namun tidak menjanjikan pendapatan lumayan," katanya.

Pak Leh berkata, beliau menerima ramai pelatih daripada Perbadanan Kraf tangan Malaysia namun terlampau sedikit yang meneruskan kerjaya dalam bidang pertukangan tembaga selepas tamat latihan.

Begitupun beliau yang berusia 76 tahun berharap salah seorang daripada sembilan anak akan mewarisi kemahirannya dan ia disandarkan kepada anak lelaki keenamnya, Ahmad Sufie, 28.

Sementara itu, Ahmad Sufie memberitahu beliau telah mengikut ayahnya menghasilkan produk tembaga buatan tangan sejak berusia 18 tahun sebaik menamatkan alam persekolahan.

"Walaupun sudah hampir 10 tahun mengikuti ayah, saya merasakan ilmu pertukangan tembaga masih belum lengkap dan masih banyak lagi yang perlu dipelajari.

"Bagi saya yang paling susah dalam pembuatan produk tembaga ialah kemahiran meleburkan logam tembaga di dalam dapur. Bukan sahaja perlu berhadapan dengan suhu yang sangat panas tetapi kecekapan dan kemahiran sangat penting kerana sebarang kesilapan pada tahap ini akan menyebabkan barangan mahu dihasilkan tidak menjadi," ujar beliau.

EKSTRA PERIUK TEMBAGA

 - Diperbuat daripada logam tembaga tulen


- Pembuatan secara buatan tangan memakan masa hampir dua minggu 


- Pada masa kini, ia dihasilkan pada saiz 10 inci hingga 14 inci


- Berharga antara RM350 hinga RM920 mengikut saiz


- Tahan lasak dan mampu bertahan sehingga 100 tahun


Tuesday, August 18, 2020

Masalah mendapan pasir pelabuhan LKIM selesai

 

KUALA TERENGGANU - Masalah mendapan pasir yang menyukarkan bot-bot nelayan laut untuk mudik ke jeti Pelabuhan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Chendering di sini bagi mendaratkan hasil laut sejak hampir tujuh tahun lalu bakal diselesaikan tidak lama lagi.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah diberi peruntukan RM15 juta untuk mengorek mendapan pasir di jeti pelabuhan itu.

"Pasir terbabit akan digunakan untuk menambak Pantai Rusila, Marang yang teruk terjejas dengan hakisan. Sehubungan itu, projek ini menyelesaikan dua masalah di Pelabuhan LKIM Chendering dan pantai itu sekali gus.

"Apabila projek ini siap, pelabuhan ini dapat beroperasi semula secara optimum seperti sebelum ini. Dasar kementerian kini ialah untuk mengutamakan  pemulihan insfastruktur sedia ada yang bermasalah," katanya ketika meninjau Pelabuhan LKIM Chendering di sini semalam.

Turut hadir Pengarah LKIM Terengganu, Tengku Mohd. Anuar Tengku Mahmood dan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran negeri, Mohd. Sor Othman.

Dalam pada itu, Che Abdullah berkata, isu mendapan pasir merupakan antara punca utama kemerosotan Pelabuhan LKIM Chendering sehingga menjejaskan pendaratan ikan iaitu hanya 1,334.47 metrik tan pada tahun lalu. 

Sebagai perbandingan, beliau memberitahu, pelabuhan berkenaan pernah merekodkan pendaratan ikan sebanyak 17,109.09 metrik tan pada tahun 2012.

"Masalah kekurangan pendaratan ikan disebabkan masalah mendapan pasir ini bukan sahaja merugikan hasil negara malah turut menjejaskan operasi aktiviti-aktiviti hiliran lain seperti pembekalan ais dan pemprosesan isi ikan," jelasnya.

Dua lelaki curi tabung derma diburu

 

KEMAMAN - Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor ditahan reman selama enam hari sehingga Selasa depan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes rasuah pada dua tahun lalu.

Perintah reman itu dibenarkan Penolong Pendaftar, Masni Hajar Ghazali di Mahkamah Majistret di sini semalam.

Sumber SPRM berkata, suspek yang berusia 30 tahun disyaki telah meminta dan menerima rasuah berjumlah RM30,000 pada tahun 2018.

"Dia yang berkhidmat di bahagian siasatan jenayah narkotik sebuah ibu pejabat polis daerah di negeri ini disyaki melakukan perbuatan tersebut sebagai dorongan meringan kesalahan seorang individu yang ditahan polis.

"Individu tersebut telah diberkas polis kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Sumber SPRM berkata, lelaki itu telah ditahan sewaktu tampil memberi keterangan di pejabat agensi tersebut di daerah ini pada kelmarin.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga  20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Penternak rugi RM30,000

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

DUNGUN - Seorang penternak lembu menanggung kerugian lebih RM30,000 selepas 12 lembu peliharaannya hilang dipercayai di curi di kandang haiwan tersebut di Taman Murni Perdana, Paka dekat sini sejak Februari lalu.

Mohd. Sukari Awang, 56, berkata, kejadian terbaharu kelmarin apabila tujuh ekor lembu miliknya yang berusia antara satu tahun setengah dan tiga tahun hilanhg pada pukul 6.45 pagi.

Katanya, ia merupakan kali ketiga lembu-lembu peliharaannya dicuri sejak awal tahun ini melibatkan kerugian lebih RM30,000.

"Kali pertama kandang lembu saya seluas kira-kira 0.2 hektar dicerobohi pada akhir Februari lalu melibatkan kehilangan empat ekor lembu, seminggu kemudian pada awal Mac, seekor  lagi dicuri.

"Awal pagi semalam (kelmarin), tujuh lagi lembu yang masing-masing seberat hampir 100 kilogram bernilai keseluruhan RM15,000 pula di curi. Sekarang ini, saya hanya mempunyai empat anak lembu," katanya sayu ketika ditemui dekat sini semalam.

Mohd. Sukari berkata, kali terakhir dia melihat tujuh ekor lembu itu ialah sewaktu beliau meninggalkan kandang pada pukul 10.45 malam untuk pulang ke rumahnya yang terletak kira-kira 500 meter dari situ.

Beliau percaya kehilangan haiwan ternakannu itu didalangi oleh sekumpulan individu yang menggunakan lebih daripada satu kenderaan.

"Saya jumpa kesan tayar kenderaan dan aksesori kereta dipercayai kereta Perodua Axia yang tertanggal dipercayai digunakan penjenayah terbabit berhampiran kandang lembu saya.

"Laporan polis telah dibuat dan saya minta orang ramai terutama di sekitar daerah ini tidak mempunyai lembu bertanda seperi mempunyai tali putih di leher dan telinganya berlubang yang dijual dengan harga murah kerana dikhuatiri ia haiwan ternakan saya yang dicuri," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah yang dihubungi mengesahkan menerima kes tersebut.

Beliau berkata, kes itu sedang disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.


AKPK terima 800 pelanggan setiap hari

 KUALA TERENGGANU -  Pejabat Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK)  di seluruh negara menerima kunjungan hampir 32,000 pelanggan sepanjang tempoh  59 hari pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 10 Jun lalu.

Pengurus Besar Bahagian Operasi AKPK, Nor Fazleen Zakaria berkata, rata-rata pelanggan terbabit memerlukan perkhidmatan nasihat dan pengurusan kewangan serta hutang akibat terjejas dengan pandemik Covid-19.

Beliau berkata, ia menunjukkan peningkatan ketara berbanding sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu.

"Secara purata, AKPK menerima 800 pelanggan sehari di semua cawangan di seluruh negara sejak pembukaan pada 10 Jun lalu.

"Kebanyakan pelanggan itu mahu membuat penstrukturan semula pinjaman masing-masing dan 75 peratus daripadanya berusia 30 hingga 50 tahun," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri program BSN Myfirst, Duit For Baby di Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu di sini semalam.

Nor Fazleen berkata, seramai 1.08 juta individu direkod telah menghadiri sesi perkhidmatan kaunseling kewangan AKPK sejak ia ditubuhkan pada tahun 2006.


Persatuan Ragbi Terengganu terima insentif kerajaan negeri RM150,000

HARGAI. Skuad Ragbi Terengganu yang cemerlang merangkul kejuaraan berganda Piala Agong dan Tujuh Sebelah Kebangsaan diraikan di Hotel Primula, Kuala Terengganu baru-baru ini.

Yang Dipertua Persatuan Ragbi Terengganu, Amir Amri Muhammad berkata, majlis itu bertujuan untuk menghargai sumbangan pemain, barisan kejurulatihan dan pengurusan yang telah bertungkus-lumus mencapai kecemerlangan berkenaan.

Katanya, pada majlis berkenaan, kerajaan negeri Terengganu turut menyerahkan insentif kemenangan sebanyak RM150,000 yang disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah.

"Semoga ganjaran itu bakal meningkatkan motivasi kepada skuad ragbi negeri untuk terus mencetak kejayaan pada masa akan datang," katanya.


Monday, August 17, 2020

Polis makan suap RM30,000 direman

 

KEMAMAN - Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor direman enam hari bagi membantu siasatan kes rasuah pada dua tahun lalu.

Perintah reman itu dibenarkan Penolong Pendaftar, Masni Hajar Ghazali di Mahkamah Majistret di sini semalam selepas mendengar permohonan Suruhanraya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sumber SPRM berkata, suspek yang berusia 30 tahun disyaki telah meminta dan menerima rasuah berjumlah RM30,000 pada tahun 2018.

"Dia yang berkhidmat di bahagian siasatan jenayah narkotik sebuah ibu pejabat polis daerah di negeri ini disyaki melakukan perbuatan tersebut sebagai dorongan meringan kesalahan seorang individu yang ditahan polis.

"Individu tersebut telah diberkas polis kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Tambah sumber itu, suspek ditahan sewaktu tampil memberi keterangan di pejabat SPRM daerah ini pada kelmarin.


Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga  20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.


Buruh ladang didakwa bunuh rakan

 KUALA TERENGGANU - Seorang buruh ladang kelapa sawit warga Indonesia mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini semalam atas pertuduhan membunuh rakan sekerjanya pada enam bulan lalu.

Tertuduh, Junianto, 29, turut menghadapi satu lagi pertuduhan mencederakan isteri mangsa sehingga parah.

Dia membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed. 

Mengikut pertuduhan, dia didakwa membunuh Zukanain Abd. Aziz, 39, di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Beril, Paka, Dungun pada pukul 2.45 pagi, 12 Februari lalu.

Junianto didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Tertuduh turut didakwa mencederakan isteri Zukananin, Rosnah Muhamed, 34, sehingga parah di lokasi, masa dan tarikh sama.

Dia menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebatan jika sabit kesalahan.

Abdul Wahab tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap Junianto dan menetapkan sebutan semula kes pada 6 September depan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amer Abu Bakar Abdullah manakala tertuduh diwakili peguam, Azura Alias. 

Akhbar sebelum ini melaporkan tertuduh menetak Zukanain hingga maut manakala isteri mangsa parah di tangan kanan.

TDM ambil alih ladang THP-YT

 Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Kumpulan TDM Bhd. (TDM) yang merupakan anak syarikat kerajaan negeri Terengganu, telah mengambilalih THP-YT Plantation Sdn. Bhd. (THP-YT Plantation).

THP-YT sebelum ini adalah anak syarikat milik penuh TH Plantations Bhd. (TH Plantations)

Pengerusi TDM, Raja Datuk Idris Raja Kamarudin berkata, proses pengambilalihan tersebut telah dimuktamadkan minggu lalu.

“TDM menguasai 70 peratus kepentingan ekuiti dalam THP-YT Plantation manakala selebihnya dimiliki Yayasan Terengganu.

“Melalui pemilikan tersebut, syarikat telah mengambil alih pengurusan Ladang Bukit Bidong, Setiu yang seluas 2,594.50 hektar,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.

Dalam makluman TH Plantations kepada Bursa Malaysia pada bulan Mac lalu, syarikat telah memeterai perjanjian pembelian saham dengan TDM bagi melupuskan 70 peratus kepentingan saham dalam THP-YT dengan pertimbangan tunai sebanyak RM7 juta.

Raja Idris menjelaskan,daripada keseluruhan ladang tersebut, sebanyak 2,307 hektar dari keluasan Ladang Bukit Bidong ditanam dengan pokok kelapa sawit.

“Usia purata tanaman kelapa sawit juga positif iaitu antara dua hingga sembilan tahun,” katanya.

Tambah beliau, pengambilalihan ladang kelapa sawit itu juga telah meningkatkan keluasan kawasan tananam kontan milik TDM kepada 33,653 hektar berbanding 31,346 hektar sebelum ini.

Ladang Bukit Bidong di bawah pegurusan THP-YT Plantation juga strategik kerana terletak berhampiran dengan kilang kelapa sawit TDM Sungai Tong, Setiu.

Berdasarkan faktor-faktor berkenaan, Raja Idris optimis terhadap pengambilalihan berkenaan bakal menyumbang peningkatan kapasiti dan kecekapan sekali gus menurunkan kos pemprosesan yang ditanggung kumpulan.

“Pengambilalihan tersebut juga di sasar dapat diterjemah dalam kecekapan operasi yang akan meningkatkan keuntungan kumpulan dalam jangka masa panjang,” katanya.

TDM memiliki 16 ladang kelapa sawit dan tiga kilang di Terengganu dan Indonesia

UniSZA jadikan SK Redang sebagai sekolah angkat

 BERBAKTI. Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menjadikan Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Redang sebagai sekolah angkat pada majlis khas di Pulau Redang, Kuala Nerus, Terengganu baru-baru ini.

Naib Canselor UniSZA, Prof Datuk Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata, inisiatif itu merupakan salah satu program khidmat komuniti institusi pengajian tinggi awam tersebut.

Beliau berkata, ia merupakan medium yang memberi ruang kepada warga UniSZA termasuk pelajarnya untuk mendekati komuniti setempat dengan menyumbang ilmu, kemahiran dan tenaga mereka.

"Kita harap warga universiti dapat berkongsi pengalaman mereka terutama untuk menaikkan semangat kepada para pelajar agar mereka lebih tekun untuk mencapai impian masing-masing," katanya.


Kucing cedera pipi tercucuk mata kail diselamatkan

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Penderitaan seekor kucing jalanan yang cedera selepas pipinya tercucuk mata kail berakhir apabila dia diselamatkan Persatuan Haiwan Malaysia di muka kuala Tanjung berhampiran Jambatan Angkat Kuala Terengganu di sini kelmarin.

Ketua Negeri Persatuan Haiwan Malaysia cawangan Terengganu, Aieza Safura Ismail berkata, beliau terpanggil untuk menyelamatkan kucing jalanan tersebut setelah mengetahui kisahnya menerusi status Facebook salah seorang rakannya beberapa hari lalu.

“Saya bergegas ke muka Kuala Tanjung semalam untuk menjejak kucing jalanan terbabit. Usaha untuk mencari dan menangkapnya agak mencabar dan mengambil masa kira-kira sejam sebab haiwan itu gemar menyorok di celah-celah batu di lokasi berkenaan.

“Sebaik menjumpainya, hati saya sayu kerana pipi kirinya sudah bernanah akibat tercucuk mata kail yang dipercayai sejak seminggu lalu,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Aieza Safura, 25, berkata, beliau bergegas ke sebuah klinik haiwan di Kuala Nerus untuk merawat kucing jalanan tersebut.

Beliau berkata, kucing tersebut masih ditempatkan di klinik haiwan terbabit untuk menerima rawatan lanjut akibat kecederaan terbabit.

“Saya menamakan kucing jantan itu sebagai King dan akan memeliharanya. Sebelum ini saya sudah memelihara 20 ekor kucing di rumah,” katanya.

Dalam pada itu, Aieza Safura tidak menolak kemungkinan King terkena mata kail yang ditinggal pemancing memandangkan muka Kuala Tanjung merupakan antara lokasi popular aktiviti tersebut di bandar raya ini.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan kaki pancing agar lebih bertanggungjawab dengan tidak meninggalkan sisa aksesori memancing merata-rata kerana dikhuatiri boleh mengundang bahaya bukan sahaja kepada haiwan malah manusia juga. – K! ONLINE

Tengku Sri Laksamana Raja Terengganu mangkat

 Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Tengku Sri Laksamana Raja, Tengku Sulaiman Ibni Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah, 80, telah mangkat hari ini.

Baginda yang juga ayahanda saudara Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin mangkat kerana jangkitan paru-paru di Hospital Gleneagles, Kuala Lumpur pada pukul 10.15 pagi.

Setiausaha Sulit Sultan Terengganu, Hadi Hassan berkata, jenazah Tengku Sulaiman di bawa ke Istana Maziah di sini untuk upacara penghormatan terakhir.

“Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail dan kerabat diraja yang lain berangkat untuk memberi penghormatan terakhir kepada almarhum.

“Jenazah baginda dijadual dimakamkan di Makam Diraja Masjid Abidin di sini selepas solat Maghrib (hari ini),” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Tengku Sulaiman merupakan ayahanda kepada penyanyi Anis Suraya, Shawn Baharin dan Shaharum.

Sementara Anis Suraya yang terkenal dengan lagu ‘Cinta tersimpul rapi’ telah memuat naik status memaklumkan berita dukacita itu di akaun Facebook peribadinya.

“Mohon sedekahkan al-Fatihah dan sama-sama doakan supaya almarhum ayahanda (saya) ditempatkan bersama orang-orang yang beramal soleh,” katanya. – K! ONLINE

Sunday, August 16, 2020

Program Korban Muhibbah raikan 200 asnaf di Kemaman

IBADAH. Badan bukan kerajaan, Agensi Pengurusan dan Pembelajaran al-Quran menganjurkan program Korban Muhibbah di Kampung Air Putih, Kemaman, Terengganu baru-baru ini.

Pengerusi program,  Muhamad Kisfi Zainal berkata, sebanyak tujuh ekor lembu dan seekor kambing telah dikorbankan pada program berkenaan.

Katanya, program itu yang diadakan secara gotong-royong mengikut prosedur operasi standard normal baharu itu bertujuan untuk menyantuni masyarakat setempat terutama dalam kalangan kurang berkemampuan.

"Daging korban itu diagih-agihkan kepada 200 penduduk sekitar terutama dalam kalangan golongan asnaf yang memerlukan," katanya.


Tiga jam berkandas angkara kepala air

 Oleh MOHD. AZLI ADLAN

SETIU -  Empat beradik termasuk dua wanita panik apabila mereka terperangkap di dalam Hutan Lipur Lata Payung dekat sini selama hampir tiga jam akibat terperangkap dengan fenomena kelapa air kelmarin.

Dalam kejadian pada pukul 7.22 malam itu, kesemua mangsa yang berusia dalam lingkungan 18 hingga 28 tahun berjaya diselamatkan sepasukan anggota bomba.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Setiu, Zul Azman Jamaludin berkata, sebelum kejadian, keempat-empat mangsa sedang leka menjala ikan di dalam sebatang sungai di dalam hutan lipur itu.

"Mereka pergi ke Hutan Lipur Lata Payung dekat sini untuk menjala ikan selepas solat Asar dan merancang untuk pulang sebelum maghrib.

"Bagaimanapun kesemua mangsa terkandas apabila jalan denai yang dilalui terputus akibat dilimpahi air sungai akibat fenomena kepala air," katanya kepada Kosmo! semalam.

Difahamkan fenomena kepala air itu berpunca daripada hujan lebat yang berlaku di kawasan hulu sungai.

Zul Azman berkata, seramai 14 anggota bomba telah bergegas di lokasi kejadian setelah dihubungi oleh salah seorang mangsa.

Jelasnya, pasukan bomba menghadapi kesukaran dalam usaha menyelamat kerana air sungai yang sangat deras dan parasnya tinggi.

"Kami telah menggunakan teknik 'main line' iaitu mangsa yang memakai jaket keselamatan merentasi sungai berkenaan de ngan tali  yang diikat pada sebatang kayu.

"Sepanjang proses merentasi sungai itu, setiap mangsa dibantu dan diiringi oleh anggota bomba," katanya.

Zul Azman berkata, operasi menyelamat selesai sepenuhnya pada pukul 10.12 malam dan kesemua mangsa tidak cedera.


Ajal tercampak 10 meter dirempuh Toyota Vios

 KUALA TERENGGANU - Seorang pemuda maut selepas motosikal jenis Yamaha LC 135 yang dinaikinya bertembung dengan sebuah kereta Toyota Vios di Jalan Manir - Kuala Terengganu berhampiran Kubang Jela, Manir dekat sini kelmarin.

Dalam kejadian pada pukul 8 malam itu, Mohamad Eiry Wahab, 22, yang parah pada bahagian kepala dan beberapa anggota badan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din berkata,  sewaktu kejadian, Mohamad Eiry dikatakan dalam perjalanan ke Batu Enam, Kuala Nerus dari rumahnya di Kampung Kebor Air, Manir.

"Setibanya di lokasi kejadian, motosikal Yamaha LC 135 yang dinaiki mangsa dikatakan bertembung dengan sebuah kereta Toyota Vios dipandu seorang wanita berusia 29 tahun.

"Rempuhan itu menyebabkan mangsa terpelanting sejauh kira-kira 10 meter ," katanya kepada Kosmo! semalam.

Abdul Rahim berkata, pemandu Toyota Vios dan dua penumpangnya terselamat tanpa sebarang kecederaan.

Jenazah mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kebor Air pada pukul 1 petang semalam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pukat gading rosakkan habitat ikan negara

 KUALA TERENGGANU - Pencerobohan nelayan Vietnam sudah menjadi 'duri dalam daging' terhadap periuk nasi nelayan tempatan di Pantai Timur termasuk Terengganu sejak sekian lama.

Pengerusi Persatuan Nelayan Terengganu (Penentu), Mat Yassim Mohamed berkata, sebelum ini dianggarkan RM6 bilion hasil laut dari perairan negara ini dicuri oleh nelayan warga asing pada setiap tahun.

"Nelayan tempatan bukan sahaja kehilangan sumber rezeki malah menghadapi ancaman daripada bot nelayan negara jiran ini yang segelintirnya dilengkapi dengan senjata api.

"Penggunaan pukat gading oleh nelayan Vietnam juga sedikit sebanyak memusnahkan habitat ikan  yang dikhuatiri memberi kesan negatif kepada kelestarian sumber laut negara pada masa hadapan," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Sehubungan itu, Mat Yassim berkata, Penentu memberi sokongan padu terhadap langkah penguatkuasaan undang-undang maritim yang dilaksana Maritim Malaysia (APMM).

Beliau berkata, Ops. Naga yang merupakan operasi bersepadu pelbagai agensi penguat kuasa termasuk APMM terbukti berkesan apabila berjaya menahan 183 bot dan lebih 1,600 nelayan Vietnam di sekitar perairan Pantai Timur sepanjang tahun lalu.

"Kalau boleh kami mahu Ops Naga ini diteruskan walaupun diancam pandemik Covid-19 dengan pengamalan prosedur operasi standard normal baharu.

"Penentu juga setuju dengan cadangan APMM agar hukuman sebat dikenakan terhadap nelayan asing yang menceroboh perairan negara," katanya.

Mat Yassim berkata, hukuman keras itu bakal memberi mesej jelas kepada nelayan asing terhadap ketegasan pihak berkuasa tempatan untuk membendung isu pencerobohan perairan negara.


Nelayan Vietnam rakus tangkap ikan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Kerakusan nelayan Vietnam mencerobohi perairan negara khususnya Terengganu tidak berkurangan biar pun penularan pandemik Covid-19 sejak awal tahun ini.

Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd. Ramli berkata, sebanyak 97 bot nelayan Vietnam dikesan memasuki perairan negeri ini dipercayai untuk menangkap ikan secara haram sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.

Beliau berkata, ia meliputi 89 bot nelayan Vietnam yang telah diusir kapal penguat kuasa Maritim Malaysia (APMM) pada fasa awal PKP manakala baki lapan pula ditahan dalam tempoh kurang dua minggu sejak 24 Jun lalu.

"Pada peringkat awal fasa PKP, APMM hanya mengambil tindakan mengusir (bot-bot nelayan Vietnam) sebagai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Begitu pun, penahanan semula dengan SOP norma bahari terpaksa dilakukan setelah mendapati pendekatan pengusiran tidak begitu berkesan dalam menangani isu pencerobohan nelayan asing di perairan negara," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Muhammad Suffi berkata, sebelum ini, tindakan pengusiran nelayan Vietnam pada tempoh fasa awal PKP dilakukan dengan tindakan sedikit keras sebagai menunjukkan keseriusan penguatkuasaan APMM.

Jelas beliau, bot nelayan asing yang dikenalpasti menceroboh perairan negara akan ditahan sebelum peralatan menangkap ikan mereka dirosakkan agar mereka tidak boleh menangkap ikan lagi.

"Cara itu pada mulanya berkesan namun tidak berapa lama kemudian memang ada nelayan asing lain yang masuk menangkap ikan secara haram," ujarnya.

Muhammad Suffi memberitahu, pegurusan tertinggi APMM memutuskan untuk melaksanakan penahanan semula nelayan asing dengan normal baharu.

Jelas beliau, antara SOP normal baharu itu ialah anggota penguat kuasa memakai pelindung muka, sarung tangan dan penutup mulut, saringan awal terhadap nelayan asing di dalam bot masing-masing dan ujian pengesahan Covid-19 oleh Kementerian Kesihatan.

"Selain itu lokap menempatkan suspek juga telah disanitasi terlebih dahulu dan permohonan perintah reman terhadap nelayan asing itu juga dilakukan secara persidangan video sahaja," katanya.

Dalam pada, Muhammad Suffi berkata, penahanan lapan bot nelayan  Vietnam itu melibatkan rampasan hampir RM8 juta meliputi bot,peralatan menangkap ikan, minyak diesel dan hasil laut.

Ujarnya,penahanan nelayan Vietnam sehingga 4 Julai lalu juga telah mencecah hampir 70 orang termasuk ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).


Periuk Tembaga Terengganu

 - proses pembuatan memakan masa dua minggu.

- acuan periuk tembaga diperbuat daripada campuran lilin, tanah liat dan pasir yang dikeringkan.

- acuan tersebut kemudiannya dibakar pada suhu 1,300 darjah celcius di dalam dapur yang dibuat di dalam tanah.

- jongkong tembaga juga dileburkan pada suhu sama sebelum dituang panas-panas ke dalam acuan periuk tembaga.

- periuk tembaga dikeluarkan daripada acuan selepas disejukkan selama beberapa jam sebelum dikilatkan dengan menggunakan mesin tempaan.

Saturday, August 15, 2020

Masakan jadi lebih enak guna periuk tembaga

 MARANG - Memasak dengan periuk tembaga mampu menjadikan masakan berkuah seperti gulai, kari, kurma, kerutuk dan opor lebih sedap kerana pemanasannya sekata.

Adiguru Tembaga, Salleh Mohd., 76, berkata, periuk yang diperbuat sepenuhnya daripada logam tembaga sukar luntur seperti perkasasan dapur lain.

"Ini sekali gus tidak menukar rasa lauk yang dimasak dengan rempah-ratus.

"Lauk yang dimasak di dalam periuk tembaga juga dikatakan lebih tahan lama," katanya.

Selain itu, perkasasan dapur tradisional itu juga telah tahan lasak, mudah dijaga dan tidak mudah karat.

"Masakan akan jadi lebih sedap jika dimasak di dalam periuk tembaga yang sering digunakan," katanya ketika ditemui di bengkel perusahaannya di Pulau Kerengga di sini baru-baru ini.

Salleh yang berpengalaman dalam pembuatan barangan tembaga sejak 30 tahun lalu berkata, periuk tembaga mampu bertahan sehingga 100 tahun jika digunakan dengan cermat.


Dalam perkembangan berkaitan, beliau yang juga pengusaha Terengganu Tembaga berkata, industri pembuatan produk tembaga yang merupakan warisan Kampung Ladang, Kuala Terengganu semakin suram sejak tahun 1990-an sehingga tidak ramai tukang logam mahu meneruskan legasi tersebut.

Tetap laris walaupun terpakai

 KUALA TERENGGANU - Tak dapat beli baharu, terpakai pun jadi.

Itu yang dilakukan sebahagian pelanggan yang ghairah mahu memiliki periuk tembaga Terengganu seperti digunakan pereka fesyen terkenal, Datuk Rizalman Ibrahim.

Peniaga barangan antik, Shamsudin Abdul Rashid, 68, berkata, beliau berjaya menjual lebih 10 buah periuk tembaga terpakai sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sejak 10 Jun lalu.

"Rata-rata pelanggan yang terdiri daripada pelancong berasal luar Terengganu memberitahu mereka mencari periuk tembaga seperti digunakan Datuk Rizalman untuk memasak.

"Mereka membeli periuk tembaga terpakai dijual saya sebagai alternatif setelah produk baharu habis dijual," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Shamsudin yang merupakan Ahli Persatuan Seni Purba Terengganu berkata, setiap periuk tembaga terpakai dijualnya pada harga antara RM200 hingga RM1,000 mengikut saiz.

Menurut beliau, kebanyakan periuk tembaga terpakainya berusia antara 30 tahun dan 70 tahun milik penduduk tempatan yang sudah tidak digunakan, saya baiki dan kilatkan semula seperti baharu," katanya.

Seorang pembeli, Nor Azrul Mansor, 41, yang berasal dari Pulau Pinang sanggup ke Terengganu untuk memenuhi permintaan isterinya bagi memiliki periuk itu.

"Isteri saya mahu memasak menggunakan periuk tembaga setelah menonton rancangan masakan Rizalman pada bulan Ramadan lalu.

"Sebenarnya kami mahu membeli yang baharu tetapi sudah kehabisan. Alang-alang sudah sampai di Pasar Payang 2, kami beli yang terpakai," katanya.

Kilauan periuk tembaga Terengganu

 

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Periuk tembaga buatan Terengganu yang sebelum ini semakin jarang digunakan kembali menjadi buruan sejak tiga bulan lalu setelah ia dipromosi secara tidak langsung oleh pereka fesyen terkenal, Datuk Rizalman Ibrahim.

Permintaan terhadap perkasasan dapur buatan tangan warisan Kampung Ladang di sini tersebut meningkat mendadak selepas tular menerusi rancangan memasak dihos Rizalman yang disiarkan di sebuah stesen televisyen berbayar pada bulan Ramadan lalu.

Penangan tular terbabit menyebabkan lot kedai, Tembaga Terengganu di Pasar Payang 2 di sini yang merupakan satu-satunya kedai menjual produk periuk tembaga Terengganu di negeri ini menjadi tumpuan ramai hampir setiap hari.

Walaupun harganya mencecah antara RM350 hingga RM920 mengikut saiz, ratusan periuk tembaga buatan tangan Terengganu Tembaga yang diusahakan Salleh Mohd., 76, telah terjual sejak pertengahan Mac lalu.

Jurujual Tembaga Terengganu, Noor Asrunazawati Awang, 35, berkata, kesemua stok periuk tembaga yang sebelum ini tersimpan lama di rak jualan habis diborong pelanggan dalam tempoh lebih tiga bulan ini.

Beliau berkata, kebanyakan pelanggan yang ditemui memberitahu tertarik untuk menggunakan perkasasan dapur tradisional tersebut selepas menonton rancangan memasak Rizalman atau melihat gambarnya menerusi akaun Instagram peribadi pereka fesyen berkenaan.

"Ia merupakan fenomena luar biasa kerana sebelum ini purata dua buah periuk tembaga sahaja terjual setiap minggu. Kini bukan sahaja semua stok habis malah kami tidak menang tangan untuk menyiapkan tempahan yang diterima bertalu-talu.

"Bilangan pelanggan dari seluruh negara yang mengunjungi lot kedai kami juga meningkat mendadak sejak kelonggaran merentas negeri dibenarkan kerajaan pada 10 Jun lalu manakala pembelian menerusi atas talian pula telah bertambah sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan," katanya ketika ditemui Kosmo! Ahad baru-baru ini.

Noor Asrunazawati berkata, walaupun menerima ratusan tempahan, pihaknya hanya mampu menyiapkan tiga buah periuk tembaga setiap hari kerana produk itu merupakan buatan tangan yang memerlukan tempoh kira-kira dua minggu untuk disiapkan bagi menjamin kualitinya.

"Ada juga pelanggan terutama yang dari luar Terengganu yang tidak sabar terus mengunjungi bengkel perusahaan kami di Pulau Kerengga, Marang semata-mata untuk membeli periuk tembaga.

"Mereka sanggup menunggu berjam-jam periuk tembaga itu siap sebelum terus membelinya," katanya.

Noor Asrunazawati berkata, setakat ini, pihaknya menjual periuk belanja dengan empat saiz daripada 25.4 sentimeter hingga 35.56 sentimeter.

"Namun periuk bersaiz 27.94 sentimeter berharga RM480 setiap satu yang paling laris dijual," katanya.

Tempuh cabaran Orang Perang Masa Penat

 LASAK. Seramai 91 anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman menyertai pertandingan Orang Perang Masa Penat di Dataran Kuala Kemaman, Terengganu baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kemaman,  Superintendan Hanyan Ramlan berkata, pertandingan itu bertujuan untuk meningkatkan jati diri, ketahanan mental dan fizikal dan semangat kerjasama dalam kalangan anggota polis.

Katanya, setiap peserta secara berkumpulan perlu meredah enam cabaran di kawasan hutan, bukit dan paya sejauh 8.2 kilometer yang menguji mental dan fizikal.

"Pertandingan Orang Perang Masa Penat peringkat Kemaman ini dimenangi kumpulan Enjin dari Balai Polis Air Putih dan Pasir Gajah," katanya.

Jangan sampai wujud kluster ibadah korban

 Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Umat Islam di negara ini diingatkan agar sentiasa berwaspada dan  mematuhi prosedur operasi standard (SOP) berkaitan ibadah ditetapkan kerajaan bagi mengelak kewujudkan kluster baharu sepanjang Aidiladha ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, sebarang kealpaan orang ramai terutama sewaktu melaksanakan ibadah korban dan solat sunat Aidiladha dikhuatiri boleh mewujudkan kluster baharu Covid-19.

"Kita telah mengeluarkan SOP lengkap ibadah korban yang boleh dilihat melalui laman web, Facebook dan Instagram kementerian.

“Jaga perkara ini (patuhi SOP), kita tidak mahu ada kluster berkaitan ibadah berlaku lagi,” katanya selepas melancarkan program  Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Peduli : Cuci-cuci dan Musa'adah Pasca Covid-19 di Kolej Universiti Darul Quran Islamiyyah, Kubang Lembik, Manir dekat sini semalam.

Dalam program yang turut dihadiri Pengerusi Yadim, Nasruddin Hassan itu, beliau menyampaikan sumbangan keperluan harian kepada golongan berpendapatan rendah (B40) dan asnaf yang terjejas dengan pandemik Covid-19.

Zulkifli berkata, beliau mempunyai keyakinan tinggi terhadap rakyat negara ini khususnya umat Islam yang telah menunjukkan kepatuhan tinggi terhadap peraturan normal baharu sejak kelonggaran beribadat di masjid kembali diberikan kerajaan baru-baru ini.

Ujar beliau, pemantauan pihaknya mendapati pematuhan jemaah masjid terhadap SOP digariskan kerajaan amat tinggi iaitu 99.5 peratus.

"Lebih bulan solat Jumaat dibenarkan di dalam masjid dan saya nampak keadaannya masih teratur dan terkawal.

"Kita sudah ada SOP yang cukup baik. Saya sentiasa berdoa supaya tidak ada sebarang kluster ibadah sama ada solat, haji, korban atau lain-lain," katanya.


Ta Win bakal melabur RM2.4 bilion di Kemaman


KUALA TERENGGANU – Syarikat pengeluar produk tembaga, Ta Win Holdings Bhd. (Ta Win) bakal membangunkan taman perindustrian mesra alam di Lembah Perasing, Kemaman melibatkan pelaburan RM2.4 bilion.

Pengarah Urusan Kumpulan Ta Win, Datuk Seri Ngu Tieng Ung berkata, Terengganu Ecocycle Park yang seluas 202.5 hektar itu dijangka menjadi pusat sehenti pembuatan produk logam bukan feros seperti tembaga yang terulung di Asia Tenggara.

“Terengganu Ecocycle Park yang di inspirasi daripada pembangunan bandar mesra alam, Kitakyushu di Jepun tersebut merupakan usaha sama Ta Win dan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (Permint).

“Taman perindustrian mesra alam yang pertama di Asia Tenggara berkenaan bakal dibangunkan dalam empat fasa yang dijangka siap dalam tempoh sembilan tahun,” katanya di sini semalam.

Terdahulu beliau menandatangani Perjanjian Usaha sama dengan Ketua Pegawai Eksekutif Permint, Wan Adnan Wan Derahman pada majlis yang disaksikan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar.

Tieng Ung berkata, pembangunan Terengganu Ecocycle Park akan dibahagikan kepada tiga zon iaitu teknologi teras seluas 34.43 hektar, teknologi sub teras (101.25 hektar) dan teknologi sokongan (66 83 hektar).

Beliau menjelaskan, sejajar dengan perancangan masa depan, Ta Win juga bercadang untuk memindahkan ibu pejabat dan kilang miliknya ke Terengganu Ecocycle Park apabila projek itu mula beroperasi kelak.

“Taman perindustrian ini juga amat strategik dengan lokasinya berhampiran Pelabuhan Kuantan dan Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah, Kuantan,” katanya.

Friday, August 14, 2020

Golden Pharos teroka industri hiliran balak

 Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU -.Golden Pharos Berhad (Golden Pharos) bercadang meneroka peluang perniagaan baru dalam industri hiliran pembalakan sebagai inisiatif untuk mengurangkan impak negatif Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif Golden Pharos, Datuk Nadza Abdul berkata, dua cabang industri hiliran pembalakan itu ialah pemprosesan produk cip kayu dan pembinaan stesen janakuasa mini hidro.

"Cip kayu tersebut akan diproses daripada lebihan ranting dan dahan pokok balak yang selama ini tidak dioptimumkan penggunaannya. 

"Selain itu,  Golden Pharos juga mahu memanfaatkan aliran deras sungai-sungai yang terdapat di dalam kawasan konsesi balak kami dengan membina stesen janakuasa mini hidro," katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Agung Tahunan Golden Pharos di sini semalam.

Golden Pharos yang merupakan anak syarikat kerajaan negeri Terengganu mengumumkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM8.98 juta bagi tahun kewangan 2019.

Ini berpunca daripada pasaran lemah dalam industri kaca, kelewatan aktiviti pembalakan dan penggunaan standard perakaunan baharu.

Nadza berkata, kedua-dua projek berasaskan industri hiliran itu bakal menjana pendapatan baharu buat syarikat berkenaan.

Jelasnya, cadangan tersebut kini dalam peringkat penyediaan laporan kajian kebolehlaksanaan.

Tambah beliau, Golden Pharos masih mengambil kira kebajikan 446 kakitangannya semasa pandemik Covid-19.

"Kami memberi jaminan bahawa syarikat ini tidak bercadang untuk melaksanakan skim pemberhentian pekerja," katanya.

Penjual jam tangan tiruan ditahan KPDNHEP

SETIU - Hasrat seorang peniaga mahu mencari keuntungan mudah dengan menjual jam tangan berjenama tiruan tidak kesampaian apabila premisnya di Bari dekat sini di serbu pasukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) kelmarin.

Serbuan pada pukul 12 tengah hari itu berjaya merampas 125 unit jam tangan berjenama tiruan terbabit yang dianggarkan bernilai RM2,500.

Ketua Cawangan KPDNHEP Besut, Azani Ismail berkata, operasi serbuan di rumah suspek berusia 29 tahun yang turut dijadikan perniagaan tersebut turut di sertai wakil syarikat jam tangan berjenama terbabit.

"Sebelum itu, syarikat tersebut yang memiliki cap dagang produk itu membuat aduan selepas mengesyaki  jam tangan yang dijual suspek berkemungkinan palsu.

"Sehubungan itu, serbuan berkenaan berjaya merampas semua barang tiruan yang disyaki palsu terbabit selain menahan peniaga tersebut," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Azani berkata, suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019.

Menurut beliau, lelaki itu berhadapan dengan hukuman denda maksimum RM10,000 bagi setiap barangan tiruan atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.


TDM bakal tawar produk baharu berkaitan rawatan Covid-19

 Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Kumpulan TDM Bhd. yang memiliki empat rangkaian hospital di negara ini sedang membuat persiapan untuk menawarkan perkhidmatan baharu berkaitan rawatan dan pencegahan Covid-19.

Pengerusinya, Raja Datuk Idris Raja Kamarudin berkata, strategi itu bertujuan untuk mengembangkan lagi pertumbuhan pendapatan kumpulan selain mempelbagaikan lagi punca pendapatan bagi menghadapi cabaran dalam persekitaran ekonomi yang sukar kini.

“Perkhidmatan baharu itu akan diumumkan tidak lama lagi,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan ke-55 TDM di sini semalam.

TDM memiliki empat rangkaian hospital di Kuala Terengganu; Kuantan, Pahang, Kuala Lumpur dan Petaling Jaya, Selangor.

Selain itu, Raja Idris menjelaskan, prestasi anak syarikat kerajaan negeri Terengganu bagi suku pertama tahun ini agak memberangsangkan apabila masih mencatatkan pertumbuhan sebanyak tiga peratus.

“Sektor peladangan dan kesihatan yang diterajui TDM telah berjaya menyumbang pendapatan sebanyak RM107.8 juta pada suku pertama tahun ini.

"Bagi sektor perladangan, TDM akan memberi tumpuan meningkatkan produktiviti dan mengoptimumkan kos pengeluaran yang disokong asas-asas jangka panjang,” katanya.

Pemandu lori dipenjara setahun simpan harta curi

 KUALA TERENGGANU - Perbuatan seorang pemandu lori menerima harta curi berupa wang tunai RM30,000 yang didapati menerusi sindiket penipuan kad pengeluaran  wang automatik (ATM) pada dua tahun lalu membawa padah apabila dihukum penjara setahun oleh Mahkamah Majistret di sini semalam.

Majistret Abdul Hayyi Salim menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Sharuddin Sulaiman, 49, selepas tertuduh didapati bersalah pada akhir kes pembelaan.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa menerima harta curi berupa wang tunai RM30,000 milik seorang warga emas berusia 60 tahun.

Perbuatan tertuduh didakwa dilakukan di sebuah bank di Kuala Berang, Hulu Terengganu  pada pukul 11.30 pagi 8 Ogos 2018.

Sharuddin didakwa mengikut Seksyen Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Abdul Hayyi membenarkan permohonan penangguhan hukuman penjara 12 bulan oleh tertuduh yang akan mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi.



Warung tersohor antara 98 premis diarah tutup

 KUALA TERENGGANU - Sebuah warung sarapan pagi terkenal yang sering menjadi tumpuan ramai di Jalan Panji Alam di sini diarahkan tutup selama tiga hari sehingga Khamis ini oleh Pejabat Kesihatan Terengganu berikutan kegagalan mematuhi arahan penjarakan sosial.

Tindakan penguatkuasaan tersebut turut dikenakan  terhadap sebuah kedai nasi dagang tersohor di Batu Burok di sini yang dikompaun RM1,000.

Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr. Nor Azimi Yunus berkata,  dua premis makanan itu merupakan sebahagian daripada 117 restoran dan kedai makan di seluruh negeri ini yang dikenakan tindakan sepanjang penguatkuasaan Ops. Patuh Khas Perintah Kawalan Pergerakan (PKPP) sejak 19 Julai lalu.

"Premis makanan terbabit didapati melakukan kesalahan seperti tidak menjarakkan meja pelanggan sejauh sekurang-kurangnya dua meter dan tidak merekod butiran dan suhu pelanggan serta pekerja.

"Setakat ini, 108 premis makanan telah dikenakan kompaun makala 98 daripadanya  pula diarahkan tutup antara tiga hingga tujuh hari mengikut keseriusan ketidakpatuhan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengetuai operasi penguatkuasaan di sebuah warung sarapan pagi terkenal di Jalan Panji Alam di sini semalam.

Nor Azimi berkata, setakat ini, pihaknya yang telah melakukan pemeriksaan penguatkuasaan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 terhadap 3,317 premis makanan di seluruh Terengganu.

Ujar beliau, selain tindakan penutupan premis dan kompaun, 1,201 premis turut diberi amaran untuk membaiki kepatuhan prosedur operasi standard PKPP.

"Saya lihat segelintir (pengusaha premis makanan) tidak ambil cakna SOP terutama rekod butiran dan suhu badan pelanggan sampai dalam buku log, ada suhu (badan) yang  direkodkan langsung tidak munasabah seperti 24 dan 34 celsius.

"Kita harap orang ramai patuh dengan arahan kerajaan kerana kes Covid-19 menunjukkan trend peningkatan," katanya.

Lapan premis makanan kotor di Kemaman dan Dungun diarah tutup

 

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KEMAMAN – Sebanyak lapan premis makanan di daerah ini dan Dungun yang dikesan beroperasi dalam keadaan kotor telah diarah tutup selama 14 hari oleh Jabatan Kesihatan Terengganu.

Timbalan Pengarah Kesihatan (Keselamatan dan Kualiti Makanan) Terengganu, Che Ghani Sidek berkata, kesemua premis makanan itu diarah tutup mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 kerana tahap kebersihan berada di bawah piawaian ditetapkan.

Beliau berkata, operasi bersepadu sama yang dijalankan selama dua hari berakhir hari ini juga telah mengeluarkan 53 kompaun atas pelbagai kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

“Antara kesalahan utama yang dikesan ialah gagal menghadiri Latihan Pengendali Makanan daripada Sekolah Latihan Pengendali Makanan diiktiraf dan tidak melakukan suntikan pelalian anti-typhoid.

“Selain itu, kompaun juga dikeluarkan atas kesalahan tidak memakai apron dan kasut dan memakai anting-anting semasa pengendalian makanan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Che Ghani berkata, nilai keseluruhan kompaun yang dikeluarkan sepanjang dua hari operasi tersebut ialah RM23,850.

Beliau berkata, sebanyak 47 premis makanan dan 264 orang pengendali makanan telah diperiksa pasukan penguat kuasa yang terdiri daripada 80 anggota Jabatan Kesihatan negeri dan agensi lain.

“Pada operasi sama, dua mesin menjual air juga telah disita kerana beroperasi tanpa lesen mengikut Peraturan 360 (C)(4) Peraturan-Peraturan Makanan 1985,” katanya. – K! ONLINE

Thursday, August 13, 2020

Penduduk Kampung Pinang Merah ketakutan diancam beruang matahari

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

DUNGUN – Seramai 1,000 penduduk Kampung Pinang Merah, Paka dekat sini dalam ketakutan akibat ancaman sekumpulan beruang matahari sejak sebulan lalu.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Pinang Merah, Che Wan Mustaffa Che Wan Kamal berkata, beruang matahari terbabit telah memusnahkan banyak sarang kelulut dan pokok kelapa yang diusahakan penduduk kampung.

“Kemusnahan sarang kelulut dan pokok kelapa yang dipercayai dilakukan lebih daripada seekor beruang matahari itu semakin menjadi-jadi sejak seminggu lalu menyebabkan penduduk mengalami kerugian lebih RM10,000.

“Tambah membimbangkan penduduk mendakwa pernah terserempak dengan haiwan liar itu berkeliaran di sekitar kawasan kampung walaupun waktu siang,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini hari ini.

Seorang penduduk, Zaleha Abu Bakar, 55, berkata, setakat ini, lima sarang kelulut miliknya yang terletak di halaman rumahnya telah dimusnahkan beruang matahari berkenaan.

“Kejadian terbaharu berlaku pada malam tadi. Biasanya kumpulan haiwan liar ini akan datang antara pukul 10.30 malam hingga 1 pagi.

“Beruang matahari itu akan mengambil madu kelulut yang menunggu masa untuk dituai di dalam sarang berkenaan,” katanya. – K! ONLINE

Nyaris maut, pokok mangga hempap rumah

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

DUNGUN – Keluarga seorang tukang rumput nyaris maut selepas rumah yang mereka diami musnah ditimpa pokok mangga yang tumbang dalam kejadian ribut di Kampung Bukit Merah, Paka dekat sini semalam.

Kejadian pada pukul 5.30 petang itu turut menyebabkan Mohd. Abdullah, 63, cedera ringan di bahagian kepala akibat ditimpa siling rumahnya yang runtuh.

Dia berkata, sewaktu kejadian, dia yang baru pulang dari tempat kerja sedang duduk bersama isteri, Noraini Mohd Zin, 51, di rumah tamu sementara anak tirinya, Mohd. Lokman Mohd. Lazim, 20, di luar rumah.

“Kejadian berlaku sekelip mata, angin bertiup kencang beserta hujan lebat dalam tempoh 10 minit sebelum pokok mangga yang berusia lebih 70 tahun tumbang lalu menghempap bumbung rumah kami.

“Anak lelaki saya (Mohd. Lokman) bergegas masuk ke dalam dalam rumah untuk menyelamat kami suami isteri,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Pokok mangga yang tumbang berkenaan terletak di hadapan rumah keluarga tersebut berukuran lebar lebih kurang setengah meter.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Taman Indah Permai, Bukit Merah, Rayah Mohd. berkata, rumah Mohd. akan diperbaiki dengan peruntukkan Pejabat Dewan Undangan Negeri Paka pada masa terdekat. – K! ONLINE

Wednesday, August 12, 2020

Lelaki angkut mayat rakan guna motosikal

Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan NOOR HAYATI MAMAT

HULU TERENGGANU - Dua pekerja ladang terpaksa menggunakan motosikal untuk membawa mayat rakan mereka ke rumah kongsi selepas mangsa ditemui mati dipercayai akibat dipanah petir dalam kejadian di sebuah ladang di Kampung Dusun Cheting, Kuala Berang di sini kelmarin.

Kejadian dikatakan berlaku ketika mangsa, Maniadi, 40, yang juga buruh warga Indonesia sedang mengaitu buah kelapa sawit.

Mayat itu ditemui terbaring berhampiran sebatang pokok kelapa sawit di dalam ladang itu oleh dua rakan senegaranya pada kira-kira pukul 2.50 petang.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, kemalangan menimpa mangsa hanya dimaklumkan dua rakannya selepas membuat laporan polis di Balai Polis Kuala Berang di sini pada pukul 5.45 petang.

"Berdasarkan keterangan saksi, mereka telah keluar untuk keluar bekerja mengait buah kelapa sawit pada pukul 2.30 petang sebelum mayat mangsa ditemui pada 10 minit kemudian. 

"Kejadian berlaku sewaktu ribut petir," katanya di sini semalam.

Mohd. Adli berkata, rakan mangsa yang terkejut dan panik dengan kejadian itu kemudian bertindak membawa pulang mayat mangsa ke rumah kongsi mereka di Tersat, Kuala Berang.

Jarak antara lokasi mayat mangsa ditemui dengan rumah pekerja ladang ialah 2.5 kilometer.

"Polis yang tiba di rumah kongsi terbabit pada pukul 9.45 malam mendapati terdapat kesan terbakar pada telapak tangan kanan Maniandi dipercayai akibat terkena panahan petir.

"Setakat ini, tiada kesan kecederaan lain dijumpai pada fizikal mangsa yang berasal dari Umetalo, Indonesia," katanya.

Mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu di sini untuk dibedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Nombor pendaftaran kenderaan khas UMT 1 hingga 9999 dilancarkan

 

JANA PENDAPATAN. Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melancarkan nombor pendaftaran kenderaan  khas di Kuala Nerus, Terengganu baru-baru ini.

Naib Canselor UMT, Prof. Datuk Dr. Nor Aieni Mokhtar berkata, penjualan nombor pendaftaran kenderaan khas UMT 1 hingga 9999 itu merupakan inisiatif Pusat Keusahawan dan Alumni institusi pengajian tinggi awam tersebut.

Katanya, penjualan nombor pendaftaran kenderaan khas yang bertujuan untuk mendapat dana untuk pembangunan penyelidikan dan aktiviti alumni UMT tersebut.

"Hasil jualan nombor pendaftaran ini dijangka mampu menjana pendapatan sehingga RM5 juta," katanya.

Tuesday, August 11, 2020

Lelaki tetak lembu didenda RM30,000

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

BESUT -  Perbuatan kejam seorang buruh pada minggu lalu sanggup menetak seorang lembu yang sepatutnya dikorbankan pada Aidiladha tidak lama lagi berbalas apabila dia didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam.

Hakim Wan Azimah Yaacob memerintahkan hukuman demikian apabila Adnan Muhammad, 37, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan.

"Perbuatan kejam tertuduh tidak mencerminkan sikap kemanusiaan dan tidak harus dibiarkan. 

"Mendatangkan trauma kepada haiwan (lembu)  itu kerana setiap yang bernyawa pasti merasa kesakitan biar pun tidak mempunyai akal," katanya sebelum membacakan penghakimannya.

Wan Azimah juga mengarahkan tertuduh menjalani hukuman penjara tambahan 12 bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut. 

Adnan gagal membayar denda dan dihantar untuk menjalani hukuman penjara di Penjara Marang.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa menetak seekor lembu jantan dengan sebilah parang sehingga menyebabkan kecederaan parah pada bahagian ekor, punggung dan kepala haiwan berkenaan.

Adnan menyerang lembu  jantan berusia dua tahun kerana tidak berpuas hati dengan pemilik lembu itu yang juga sepupunya.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan demikian di tepi sebuah kandang lembu milik sepupu lelakinya berusia 56 tahun di Kampung Gerai Muda, Jerteh di sini pada pukul 6 pagi, 21 Julai lalu.

Pemiliknya bercadang untuk menyembelih lembu seberat 150 kilogram itu sebagai ibadah korban pada Hari Raya Aidiladha yang bakal disambut pada 31 Julai ini.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 29 (1) (e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang memperuntukkan hukuman denda antara RM20,000 hingga RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun jika sabit kesalahan.

Wanita dituduh pukul jiran sampai patah tangan

 KUALA TERENGGANU -  Seorang suri rumah berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda selepas didakwa oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam atas pertuduhan memukul jirannya sehingga patah tangan.

Tertuduh, Noor Aini Mohammad, 35, membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Azhar Othman.

Nor Aini didakwa memukul Adib Rahim Awang, 57, hingga cedera parah dengan menggunakan sebatang kayu.

Kesalahan itu dilakukan di jalan yang berhadapan dengan sebuah rumah di Taman Sri Payong, Bukit Payong, Marang pada pukul 7.15 malam, 14 Julai lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan  hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan.

Mahkamah membenarkan tertuduh dibebaskan dengan wang jaminan RM3,000 dan seorang penjamin.

Kosmo! semalam melaporkan Noor Aini dihadapkan ke Mahkamah Majistret Marang atas pertuduhan mengugut untuk mencederakan anak jirannya dengan sebilah parang.

Difahamkan kejadian berpunca daripada salah faham selepas tertuduh menyangka mangsa yang berusia 25 tahun memarahi anak perempuannya selepas kucing peliharaan mereka memasuki rumah jiran.

Pembantu kedai makan maut, motosikal rempuh belakang lori rosak

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KEMAMAN – Seorang pembantu kedai makan maut selepas motosikal Honda EX5 yang ditunggangnya merempuh belakang sebuah lori treler yang rosak di Kilometer 154, Jalan Kuantan-Kuala Terengganu berhampiran Chukai dekat sini malam tadi.

Dalam kejadian pada pukul 8.33 malam itu, Mohamed Zawi, 56, cedera parah di bahagian kepala dan beberapa anggota badan akibat perlanggaran tersebut sebelum disahkan meninggal dunia sewaktu sedang menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Kemaman tidak lama kemudian.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, sewaktu kejadian, mangsa dikatakan dalam perjalanan ke bandar Chukai dari rumahnya di Taman Fitri Fasa 2 di sini.

“Sewaktu tiba di lokasi kejadian, motosikal Honda EX5 yang ditunggangi mangsa gagal mengelak lalu merempuh belakang sebuah lori treler membawa muatan tanah yang rosak dan diletakkan di bahu jalan,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Hanyan berkata, Mohamed telah dikejarkan ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia sewaktu sedang menerima rawatan pada pukul 9.15 malam.

“Mayat mangsa kemudiannya telah dihantar ke unit forensik hospital sama untuk dibedah siasat. Kes di siasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – K! ONLINE

APMM tahan dua bot nelayan Vietnam di perairan Terengganu

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – APMM berjaya menahan dua bot nelayan Vietnam yang disyaki menceroboh perairan negara pada kelmarin.

Kedua-dua bot nelayan Vietnam itu masing-masing ditahan kapal maritim (KM) Tok Bali pada pukul 10 pagi hingga 12 tengah hari.

Pengarah Maritim Terengganu, Kapten Maritim Muhammad Sufi Mohd. Ramli berkata, sewaktu ditahan nelayan di dua bot nelayan itu sedang leka menangkap ikan pada kedudukan 94 batu nautika dan 107 batu nautika dari muara Sungai Terengganu.

“Seramai 31 nelayan Vietnam termasuk seorang tekong berusia 18 hingga 50 tahun telah berjaya ditahan.

“APPM juga berjaya merampas 1.5 tan ikan, 2,000 liter diesel, peralatan menangkap ikan dan bot yang dianggarkan bernilai RM3 juta,”
katanya pada sidang akhbar di Pejabat Maritim Terengganu di sini hari ini.

Muhammad Sufi berkata, pemeriksaan mendapati kesemua nelayan Vietnam terbabit tidak memiliki dokumen penjalanan dan permit kerja yang sah.

Menurut beliau, mereka ditahan bagi membantu siasatan mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1963.

“APMM telah menahan 27 bot nelayan Vietnam melibatkan 301 tekong dan awak-awak di perairan Terengganu sejak
pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) hampir sebulan lalu,” katanya. – K! ONLINE

Trend pelancongan Terengganu pasca PKP

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KELONGGARAN merentas ne­ge­­ri berikutan pelaksanaan Pe­­rintah Kawalan Pergerakan Pe­mu­lihan (PKPP) pada 10 Jun lalu kembali merancakkan sektor pe­lancongan domestik.

Rakyat negara ini mula melancong ke pusat-pusat peranginan seluruh negara biar pun dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat ekoran penula­ran pandemik Covid-19  yang belum reda.

Terengganu juga tidak terkecuali, lokasi tumpuan pelancong seperti Pasar Kedai Payang, Kuala Terengganu kembali penuh, ma­nakala tempahan bilik penginapan di pulau-pulau peranginan juga melebihi 90 peratus pada cuti Aidiladha minggu lalu.

Biar pun tanpa pelancong ­asing, industri pelancongan Te­rengganu kembali bangkit dan dijangka pulih lebih cepat.

Pengarah Jabatan Pelanco­ngan Terengganu, Ab. Rashid Jusoh berkata, unjuran kemasukan pelancong pada tahun ini telah ditingkatkan semula kepada 4.5 juta orang berikutan sambutan positif berkenaan.

Beliau berkata, sasaran awal 5.4 juta kemasukan pelancong pada tahun 2020 terpaksa diturunkan kepada 3.8 juta ekoran pelaksana­an Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu.

“Begitu pun berdasarkan aliran kemasukan semula pelancong selepas pelaksanaan PKPP, kita opti­mis mampu capai 4.5 juta orang sehingga akhir tahun ini,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Sebagai rekod, tahun lalu Te­rengganu me­nerima 5.27 juta pe­lancong terma­suk 1.02 juta dari luar negara.

Ab. Rashid berkata, Jabatan Pelancong negeri dengan kerjasama pe­main industri pelancongan tem­patan lain telah bekerja keras melakukan kerja-kerja promosi berterusan sejak fasa awal Perin­tah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Walaupun pada masa itu akti­viti pelancongan tidak dibenarkan, kita tidak berpeluk tubuh dan merasakan perlu mengekalkan kesedaran tentang produk pelancongan di Terengga­nu.

“Kita mahu negeri ini men­­­jadi destinasi idaman untuk dikunju­ngi menerusi slogan Ingat Pantai, Ingat Terengganu; Ingat Pu­­lau, Ingat Terengganu,” kata­nya.

Ab. Rashid berkata, antara pendekatan promosi ialah penyiaran klip video produk pe­lancongan Terengganu di semua medium media sosial.

Sementara itu, Pengarah Tou­rism Malaysia Wilayah Timur, Ahmad Zulfa Shafie berkata, kehadi­ran ramai pelancong domestik di pulau-pulau peranginan terkenal di negeri ini sedikit sebanyak te­lah mengimbangi kehilangan dras­­tik pelancong asing ekoran penularan pandemik Covid-19.

Beliau berkata, sebelum ini, segmen pelancongan di pulau-pulau di Terengganu khususnya Pulau Perhentian, Pulau Redang dan Pulau Kapas telah didominasi pelancong luar negara.

“Biar pun tanpa pelancong ­asing, kadar penginapan bilik pe­nginapan di pulau-pulau itu mencapai purata 70 peratus pada hujung minggu dan 50 peratus pa­da hari biasa. 

“Fakta yang menarik ialah kebanyakan bilik penginapan yang diduduki tersebut merupakan pa­­kej premium dan berharga mahal yang sebelum ini biasanya di tempah pelancong luar negara,” katanya.

Sebaliknya Ahmad Zulfa memberitahu, bilik penginapan pakej bajet pula kurang di tempah.

Ujar beliau, senario tersebut menunjukkan kebanyakan pelancong domestik yang berkunjung ke pulau peranginan berkenaan terdiri daripada golongan berpendapatan tinggi yang sebelum ini berkemungkinan besar gemar melancong ke luar negara.

“Kita tidak boleh tolak mereka memilih untuk melakukan pelancongan domestik berikutan lara­ngan ke luar negara masih dikuat kuasakan,” katanya.

Penyu agar terperangkap dalam timbunan kayu mati diselamatkan bomba

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KEMAMAN – Seekor penyu agar betina ditemui terperangkap di dalam timbunan tunggul pokok kayu mati di Pantai Cagar Hutan, Kampung Labohan, Kerteh dekat sini hari ini sebelum diselamatkan pasukan bomba.

Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Shahrizal Shamsudin berkata, penyu seberat 150 kilogram tersebut ditemui penduduk di bawah timbunan tunggul kayu mati itu pada pukul 8.20 pagi.

“Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kerteh di sini telah bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat.

“Kerja-kerja memotong tunggul pokok kayu itu terpaksa dilakukan bagi mengeluarkan haiwan reptilia terbabit,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Shahrizal berkata, penyu agar betina yang dipercayai tersesat berkenaan berjaya dikeluarkan dalam keadaan selamat setelah kerja-kerja pemotongan tunggul kayu selesai.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati haiwan reptilia itu tidak mempunyai sebarang kecederaan sebelum dilepaskan semula ke laut. – K! ONLINE.