Oleh MOHD AZLI ADLAN
KITA dikejutkan dengan tragedi menimpa Allahyarham Naim Hariri Kamaruddin yang terkorban akibat lemas di Pantai Kelulut, Marang, Terengganu pada 25 Disember lalu.
Insiden menimpa jurufisioterapi berasal dari Bandar Tun Razak, Cheras, Kuala Lumpur itu berlaku kira-kira 16 jam sebelum dia bakal diijabkabulkan dengan pilihan hati, Farah Nabilah Huda Ismail,27.
Sewaktu kejadian, Naim Hariri yang juga anak saudara Ratu Pop Etnik, Noraniza Idris dikatakan telah ditarik ombak ketika sedang mandi di Pantai Kelulut terletak berhampiran dengan sebuah chalet penginapan ahli keluarganya.
Senario yang meragut nyawa jejaka
berusia 31 tahun tersebut dikenali
dengan istilah arus karau atau dalam
bahasa Inggeris disebut rip current. Fenomena arus karau merupakan
perangkap maut kepada pengunjung
yang mandi-manda di pantai
terutama pada musim tengkujuh dan
Naim Hariri bukanlah satu-satunya
yang pernah menjadi korbannya.
Hampir setiap tahun terutama
pada musim tengkujuh, pasti
direkodkan kes lemas disebabkan
fenomena arus karau di pesisir pantai
Terengganu.
Satu lagi kes lemas disebabkan
fenomena arus karau yang menyayat
hati pernah berlaku di Pantai Teluk
Lipat, Dungun mengorbankan tiga
beradik perempuan, Nurain Salsabila
Zawawi, 6, Nurain Sofia, 8, dan Nurain
Fatma secara serentak pada 30
Disember 2018.
Kejadian pada pukul 6.45 petang itu
terjadi ketika ketiga-tiga beradik itu
bersiar-siar bersama ibu saudara di
gigi pantai sebelum ditarik ombak ke
tengah laut.Sementara itu, Rosmaria Mohd.
Nordin, 35, menceritakan pernah
berhadapan pengalaman ngeri
hampir ditarik ombak ke tengah laut
disebabkan arus karau ketika bersiarsiar di Pantai Teluk Ketapang, Kuala
Nerus beberapa tahun lalu.
Kakitangan swasta tersebut
memberitahu, sewaktu itu, dia berdiri
di gigi pantai sebelum meminta
rakannya merakamkan fotonya.
“Ombak besar datang secara tibatiba ketika saya ralit membetulkan
postur tubuh untuk bergambar. Ia
seolah-olah mahu menarik saya jauh
ke laut.
“Mujur kawan ambil tindakan
pantas memegang tubuh saya
daripada dihanyutkan arus. Sejak itu, baru saya sedar bahayanya
ancaman arus karau,” ujarnya kepada
Panorama baru-baru ini.
Apa itu arus karau?
Pensyarah Pusat Pengajian Sains
Marin dan Sekitaran Universiti
Malaysia Terengganu (UMT), Dr.
Effi Helmy Ariffin berkata, secara
teknikalnya, arus karau merupakan
arus laut yang melalui saluran sempit
di pesisir pantai sebelum bergerak
semula menuju ke arah laut.
Beliau memberitahu, antara faktor
menyebabkan fenomena itu adalah
permukaan pantai mempunyai
sekurang-kurangnya dua beting pasir
yang mengganggu pergerakan air
dibawa ombak untuk kembali ke laut.
“Arus karau juga boleh terbentuk
apabila ombak bergerak pada
sudut tegak ke arah pantai sekali
gus mencetuskan arus yang sejajar
dengan pesisiran pantai.
“Ia menuju ke arah laut dengan
kelajuan hingga lebih dua meter per
saat bergantung kepada kekuatan dan
kekerapan ombak, pasang surut air
laut dan permukaan pantai,” katanya.
Effi Helmy menjelaskan, kehadiran
arus karau boleh dikesan apabila
terdapat bahagian permukaan air
yang lebih tenang mengunjur dari gigi
pantai ke laut berbanding kiri dan
kanannya yang lebih berombak dan
mempunyai buih-buih putih.
Tambahnya, pengunjung pantai sering beranggapan bahagian tenang
itu sebagai selamat tetapi sebenarnya
perangkap maut.
“Bahagian itu sebenarnya
mempunyai arus karau yang akan
menarik benda berhampiran
termasuk yang mandi ke tengah laut.
“Mangsa lemas dibawa arus ke
tengah laut biasanya panik dan cuba
kembali berenang kembali ke pantai,
namun akan kehabisan tenaga kerana
kekuatan fenomena itu mengatasi
keupayaan manusia,” ujarnya.
Effi Helmy berkata, arus karau
boleh berlaku pada mana-mana
pantai tetapi lebih cenderung di
kawasan berombak tinggi sekurangkurangnya setengah meter.
Beliau berkata, fenomena air
pasang besar juga boleh mencetuskan
arus karau walaupun di pantai
yang landai seperti Pantai Pandak,
Chendering, Kuala Terengganu.
“Pengunjung tidak digalakkan
untuk melakukan aktiviti di pantai
sewaktu berlaku fenomena air pasang
besar yang mencetuskan arus karau
biasanya berlaku pada hujung bulan.
“Saya mencadangkan pihak
berkaitan memasang papan tanda
jadual air pasang sebagai peringatan
kepada pengunjung tentang ancaman
arus karau,” katanya.
Effi Helmy memberitahu, pantai
landai itu sebenarnya selamat untuk
aktiviti air termasuk mandi-manda
jika di luar fenomena air pasang besar
kerana ketiadaan arus karau.
Ujarnya, ancaman arus karau
bukan sahaja boleh berlaku di
pantai-pantai di Terengganu seperti
Pantai Pandak, Pantai Teluk Bidara
dan Teluk Lipat, Dungun malah
kebanyakan pantai peranginan lain
yang mempunyai ciri-ciri berkenaan.
Memberi tip untuk menyelamatkan
diri semasa berhadapan dengan arus
karau, beliau memberitahu kunci
utama adalah bertenang.
“Jangan cuba berenang melawan
arus kerana ia menyebabkan
kehilangan tenaga. Sebaliknya, cuba
berenang ke bahagian kiri dan kanan
yang tiada arus.
“Sesudah selamat di kawasan
yang tidak ada arus, berenang pula
mengikut arus menuju ke gigi pantai
bagi menyelamatkan diri. “Sekiranya tiada tenaga untuk
berenang, biarkan sahaja arus karau
membawa diri hingga ke hujung atau
bahagian kepala, sebelum masuk ke
bahagian ombak yang menghala ke pantai.