Translate

Showing posts with label Analisis PRU-14. Show all posts
Showing posts with label Analisis PRU-14. Show all posts

Tuesday, March 18, 2025

Mat gian disyaki punca 106 hektar hutan Cenderawasih terbakar

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

MARANG – Kebakaran hutan di Cenderawasih, Pekan, Pahang sejak 3 Mac lalu yang setakat ini telah memusnahkan 106 hektar disyaki berpunca daripada perbuatan nakal sekumpulan individu disyaki penagih dadah.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, siasatan awal mendapati kebakaran tersebut bermula dari salah satu kawasan hutan terbabit yang menjadi lokasi berkumpul golongan terbabit.

-Advertisement-

“Saya yakin ini (kebakaran disebabkan) perbuatan manusia. Mula-mula syak (berpunca daripada) pengusaha kebun nanas (berhampiran).

“Begitupun selepas menjejak plot pergerakan kebakaran, ia didapati bermula dari tempat perkumpulan aktiviti tidak sihat (penagihan dadah),” katanya di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur, Wakaf Tapai di sini hari ini.

Kebakaran yang berlaku di Cenderawasih hampir dua minggu lalu itu bukan sahaja menjejaskan kawasan hutan malah kebun nanas milik penduduk tempatan.

Sebelum ini, kawasan ladang kelapa seluas 76 hektar di Jalan Pintasan Kuantan-Sg Ular berhampiran Gebeng, Kuantan, Pahang juga terbakar sebelum berjaya dipadamkan sepenuhnya pada minggu lalu.

Dalam perkembangan sama, Nor Hisham berkata, salah satu daripada dua sektor dalam kawasan hutan di Cenderawasih terbabit yang terbakar telah berjaya dipadamkan pada Jumaat lalu.

Beliau berkata, tumpuan kini untuk memadamkan sepenuhnya satu lagi sektor yang masih terbakar. – KOSMO! ONLINE

Monday, April 30, 2018

PKR tempang tanpa Pas di Terengganu

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

SERAMAI 140 calon daripada tiga parti politik disahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam layak bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Terengganu.

Barisan Nasional (BN), Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) masing-masing menampilkan 40 calon bagi merebut lapan kerusi Parlimen dan 32 kerusi DUN di negeri Pantai Timur terbabit.

Tiada seorang pun calon bebas yang menawarkan diri untuk bertanding di mana-mana kerusi Parlimen dan DUN Terengganu kelmarin.

Antara yang menarik perhatian pada hari penamaan calon di Terengganu kelmarin ialah kesemua 40 calon PKR ha­dir ke lapan pusat penamaan calon dari Besut hingga Kemaman dengan diiringi penyokong yang terlalu sedikit.

Misalnya, calon PKR bagi Parlimen Marang dan empat DUN iaitu Rhu Rendang, Pengkalan Berangan, Bukit Payong dan Alor Limbat hanya di­iringi kira-kira 30 penyokong sewaktu memasuki Pejabat Pejabat Tanah dan Daerah Marang yang merupakan pusat penamaan calon parlimen berkenaan bagi menghantar borang pencalonan.

Senario itu mengundang senyuman sinis ahli Pas termasuk Presidennya, Datuk Abdul Hadi Awang yang bertanding di Parlimen Marang dan Pengarah Pilihan Raya Pas, Prof. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

Mana tidaknya, ia kontra dengan kehadiran ribuan penyokong BN dan Pas di situ bagi memberi sokongan padu kepada calon parti masing-masing.

Kehambaran kehadiran penyokong pembangkang itu tidak jauh berbeza di tujuh pusat penamaan calon lain di seluruh Terengganu termasuk di lokasi Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Razali Idris yang merupakan calon PKR bagi Parlimen Hulu Terengganu.

Paling ramai pun, kira-kira 100 penyokong mengiringi calon-calon PKR Parlimen dan DUN Kuala Terengganu termasuk Datuk Raja Bahrin Shah Raja Ahmad dan Azan Ismail yang merupakan Pengerusi dan Timbalan Pengerusi gabu­ngan pembangkang itu di peringkat negeri.

Ia seakan-akan mengesahkan dakwaan Pas sebelum ini yang mengatakan kekuatan jentera parti pembangkang lain tidaklah sehebat mana sehinggakan terpaksa ditampung oleh jentera pilihan raya Pas bagi memastikan kemenangan mereka pada PRU-13.

Kekurangan bendera PKR di seluruh Terengganu sejak Parlimen dibubarkan pada awal bulan ini juga bagaikan me­nyerlahkan kekerdilan jentera parti PKR, PPBM dan Amanah di negeri ini.

Mengulas isu tersebut, Azan mengakui jentera PKR negeri tidaklah sehebat BN mahupun Pas tetapi dakwanya, ia bukan indikator parti pembangkang tersebut akan ‘bungkus awal’ di Terengganu pada PRU-14.

“Senario PRU-14 tidak sama dengan PRU-12 mahupun PRU-13. Saya percaya mood pengundi berbeza dan berharap mereka dapat memberikan undi protes buat kami bagi membentuk kerajaan,” kata calon PKR bagi DUN Bandar tersebut kepada Kosmo! baru-baru ini.

Sunday, April 15, 2018

Rekod perkhidmatan terbaik BN Terengganu jadi taruhan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

DEWAN Undangan Negeri (DUN) Terengganu telah dibubarkan secara rasmi pada Isnin lalu dan mandat yang diberikan kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) dipulangkan semula kepada rakyat.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman pastinya boleh menghela nafas lega seketika kerana sebelum ini beliau mengakui kuasa yang dimiliki untuk menerajui kerajaan negeri dengan mandat tipis iaitu 17 daripada keseluruhan 32 kerusi DUN bukannya mudah.

Kewibawaan Ahmad Razif teruji apabila kerajaan negeri yang diterajui beliau sejak 12 Mei 2014 kehilangan lebih RM1 bilion sumber pendapatan ekoran kejatuhan harga minyak di pasaran dunia.

“Banyak penjimatan dilakukan sejak tiga tahun ini tetapi ia tidak sesekali melibatkan kebajikan rakyat. Tiada satu sen bantuan dan insentif kepada rakyat negeri ini dikurangkan sebaliknya ditambah,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Dengan slogan Terengganu Molek Doh (Terengganu sudah bagus), kerajaan negeri di­terajui BN ditadbir berlandaskan prinsip Transformasi Terengganu Baharu (TTB) dan maqasid syariah.

Setiap rakyat Terengganu yang berjumlah kira-kira 1.25 juta orang menikmati bantuan dan insentif sejak dilahirkan sehingga ke akhir hayat

Bayi yang lahir di negeri ini menerima insentif RM100 dalam bentuk simpanan Skim Simpanan Pendidikan Nasional 1Malaysia dan jumlahnya bakal meningkat sehingga RM500 mengikut bilangan kelahiran dalam sesebuah keluarga.

Bantuan tidak terhenti setakat itu sahaja, belia kelahiran Terengganu berkelayakan yang hendak melangsungkan perkahwinan juga ditaja merangkumi persalinan pernikahan dan persandingan, upah kadi, majlis resepsi serta pakej bulan madu.

Sesudah berumah tangga, mereka juga berpeluang memiliki tanah untuk membina rumah yang boleh dipohon menerusi lapan pejabat tanah dan daerah di Terengganu.

Rakyat negeri itu yang ditimpa penyakit juga tidak dilupakan menerusi penubuhan Tabung Darul Iman yang memberi bantuan perubatan dan kewangan segera.

Ahmad Razif berkata, kerajaan negeri yang diterajui beliau juga menyambung kesinambungan dasar-dasar menteri besar terdahulu.
Menurutnya, antara projek yang berjaya dipulihkan ialah Pusat Transformasi Bandar Kuala Terengganu, kawasan bebas cukai Tasik Kenyir serta pe­nerimaan bas Amphicoach untuk kegunaan menyelamat mangsa banjir dan pelancongan.

Sementara itu, Naib Ketua Pemuda UMNO Terengganu, Datuk Najmil Faiz Mohamed Aris berkata, rakyat negeri tersebut perlu melihat rekod perkhidmatan cemerlang BN yang menerajui kerajaan negeri dalam pertimbangan mereka pada hari pengundian PRU-14 pada 9 Mei depan.

Katanya, rakyat Terengganu yang pernah merasai pengalaman ditadbir Pas pada 1999 hingga 2004 pastinya boleh membuat perbandingan corak pemerintahan antara pembangkang dan BN.

“Saya optimis lebih banyak kejayaan mampu dicipta BN jika menerima mandat lebih besar pada PRU-14,” katanya.