Translate

Wednesday, June 27, 2018

Anak perantau Wakaf Tapai anjur karnival bola sepak

RIADAH. Kumpulan Perantau Anak Jati Wakaf Tapai menganjurkan Karnival Bola Sepak Evergreen Wakaf Tapai sempena Hari Raya Aidilfitri dan Piala Dunia 2018 di Padang Astaka, Kuala Berang, Hulu Terengganu baru-baru ini.

Pengerusi Kumpulan Perantau Anak Jati Wakaf Tapai, Megat Hafizi Megat Omar berkata, karnival yang dirasmikan Presiden Kelab Bola Sepak Wakaf Tapai, Mohd. Khusairi Mohamad Nor tersebut bertujuan mengeratkan hubungan anak jati Kampung Wakaf Tapai termasuklah dalam kalangan perantau yang pulang berhari raya.

Beliau berkata, tiga pasukan dinamakan sempena skuad bola gergasi dunia yang sedang beraksi pada kejohanan Piala Dunia 2018 iaitu Argentina, Brazil dan Jerman berentap pada karnival tersebut.

“Pada perlawanan akhir, Argentina muncul juara selepas menewaskan Jerman 2-1. Karnival tersebut turut diserikan dengan kehadiran pemain kebangsaan, Norfarhan Mohamad yang juga anak jati Wakaf Tapai,” katanya.

Tuesday, June 26, 2018

PDRM tolak desas-desus rombakan pada masa terdekat

MOHD. AZLI ADLAN

SETIU - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menolak desas-desus akan berlakunya rombakan sama ada melibatkan perjawatan tertinggi mahupun struktur jabatan pasukan keselamatan tersebut dalam masa terdekat.

Pengarah Pengurusan PDRM Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Ghafar Rajab berkata, beliau masih belum mendengar mahu pun menerima arahan pengstrukturtan semula PDRM daripada pucuk pimpinan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) buat masa ini.

"Setakat ini, saya sendiri sebagai Pengarah Pengurusan (PDRM Bukit Aman) tidak menerima arahan daripada Ketua Polis Negara (Tan Sri Mohamad Fuzi Harun) atau KDN berhubungan rombakan itu.

"Begitupun, sekiranya menerima arahan rasmi kelak sama ada untuk membesar atau mengurang (jabatan) atau melibatkan pergajian, saya tidak mempunyai masalah untuk melaksanakannya kerana ia memang tugas Jabatan Pegurusan (PDRM Bukit Aman),"  katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan kompleks Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Setiu yang turut dihadiri Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail dan Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Zulkifli Mat Deris di Permaisuri di sini hari ini. - K! ONLINE

Monday, June 25, 2018

KEPUTUSAN PEMILIHAN BAHAGIAN UMNO TERENGGANU

SETIU

Ketua Wanita : Wan Nasiah Wan Abdul Majid
Ketua Pemuda : Ahmad Abaidillah Arifin
Ketua Puteri : Norfuzilawary Yusoof

KEMAMAN

Ketua Wanita : Rosmiza Mokhtar
Ketua Pemuda : Hashim Ali
Ketua Puteri : Hafizah Zakaria


KUALA NERUS

Ketua Wanita : Norhayati Ismail
Ketua Pemuda : Muhammad Hanafi Hassan
Ketua Puteri : Sharidah Rani @ Mohamad Nawi

KUALA TERENGGANU

Ketua Wanita : Rozalina Mokhtar @ Omar
Ketua Pemuda : Armi Irzan Mohd.
Ketua Puteri : Nia Notieya Zaharuddin

HULU TERENGGANU

Ketua Wanita : Zurina Abd Rahman
Ketua Pemuda : Tengku Haphiz Tengku Putera
Ketua Puteri :  Wan Khatijah W. Bakar

MARANG

Ketua Wanita : Toh Puan Zaitun Mat Amin
Ketua Pemuda : Zul Fadli Rozi
Ketua Puteri : Nur Hazwani Roslam

DUNGUN

Ketua Wanita : Datuk Zainun Abu Bakar
Ketua Pemuda : Norhisham Johari
Ketua Puteri : Nor Raidah Abdul Razet

BESUT

Ketua Wanita : Engku Naimah Engku Taib
Ketua Pemuda : Mohd. Rozaini Mohd. Rasli
Ketua Puteri : Jamilah Sulaiman @ Ismail

Pas Terengganu bakal kemukakan Dasar Pelancongan Negeri sebagai garis panduan

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri Terengganu diterajui Pas akan mewujudkan Dasar Pelancongan Negeri sebagai garis panduan dan hala tuju pembangunan industri pelancongan di negeri Pantai Timur berkenaan.
 Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Terengganu, Mohd. Nor Hamzah berkata, dasar yang turut menjadi garis panduan untuk pelancong terma­suk bukan Islam itu dijamin tidak akan memberi tekanan pelancong-pelancong bukan Islam.

 “Dasar Pelancongan Ne­geri itu sedang disiapkan. Ia dijamin akan memberi ruang secukupnya kepada mereka untuk menikmati keindahan semula jadi ne­geri tersebut tanpa rasa bimbang.

 “Setakat ini, kita mengekalkan peraturan sedia ada yang telah ditetapkan kerajaan negeri terdahulu (Barisan Nasional),” katanya dalam satu kenya­taan semalam.

 Kosmo! semalam melaporkan kerajaan Pas Terengganu tidak berhasrat untuk menghalang pelancong bukan beragama Islam dari dalam mahu pun luar negara untuk mengadakan aktiviti pelancong termasuk memakai bikini di kawasan pantai dan pulau peranginan di negeri tersebut.

 Mohd. Nor berkata, keputusan itu selaras dengan sikap toleransi kerajaan negeri dalam mengurus keharmonian masyarakat kerana pakaian bikini adalah hak pelancong bukan Islam dan dianggap lazim di kawasan pelancongan.

Sunday, June 24, 2018

BN harus pandang serius pengunduran parti komponen, wakil rakyat

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Tindakan sebahagian parti-parti komponen dan wakil rakyat meninggalkan kerjasama komponen Barisan Nasional (BN) selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) tidak boleh dipandang ringan dan perlu ditangani secara serius.

Calon Presiden UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, perkara itu berkemungkinan tidak berlaku sekiranya pemimpin parti-parti komponen berkenaan mengadakan mesyuarat untuk membincangkan hala tuju BN selepas komponen tersebut tewas pada PRU-14 baru-baru ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Gua Musang berkata, kepimpinan BN sepatutnya mencari jalan untuk meredakan tindakan parti-parti komponen dan wakil rakyat yang berundur daripada kerjasama komponen tersebut.

"Sepatutnya diadakan mesyuarat bersama-sama pemimpin parti-parti komponen untuk bercakap mengenai masa depan BN sesudah kalah pada pilihan raya (PRU-14) tetapi kita tidak dengar pula. Tiba-tiba parti itu, parti ini tarik diri daripada BN.

"Kita dengar pula seorang wakil rakyat UMNO (Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali) keluar parti. Memang hak mereka tetapi sekurang-kurangnya biar lah ada perbincangan. Takkan kita hendak berpeluk tubuh membiarkan mereka sedangkan mereka bertanding atas simbol dan perjuangan kita (BN)," katanya selepas menghadiri majlis suai kenal bersama perwakilan UMNO Terengganu di sini hari ini.

Tengku Razaleigh berkata, biar pun masih belum mempunyai hak untuk campur tangan, tindakan parti-parti komponen dan beberapa wakil rakyat meninggalkan BN termasuk terbaharu parti Gerakan Rakyat Malaysia dan Noor Azmi berkenaan amat menggusarkan beliau.


BN yang sebelum ini dianggotai 13 parti komponen kini tinggal tiga sahaja iaitu BN, MCA dan MIC berikutan pengunduran yang lain termasuk di Sabah dan Sarawak berikutan keputusan buruk pada PRU-14. - K! ONLINE

Kolej Siswa UMT agih 200 bubur lambuk kepada pelajar

KONGSI REZEKI. Sebanyak 200 pek bubur lambuk diagihkan kepada pelajar di Kolej Siswa, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Kuala Nerus, Terengganu baru-baru ini.

Pengetua Kolej Siswa UMT, Awang Koding Che Tom berkata, pemberian bubur lambuk itu bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan antara kakitangan pengurusan kolej kediaman dengan pelajar institusi pengajian tinggi awam tersebut.

“Ia juga bagi berkongsi rezeki menerusi pengagihan bubur lambuk yang enak tersebut sempena bulan Ramadan mulia ini,” katanya.

Saturday, June 23, 2018

UMNO Terengganu tubuh Tabung Prihatin bantu kakitangan lantikan politik diberhentikan

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS - Badan Perhubungan UMNO Terengganu mengambil inisiatif menubuhkan Tabung Prihatin UMNO Terengganu bagi membantu kakitangan agensi kerajaan negeri lantikan politik yang ditamatkan perkhidmatan berikutan keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Pengerusi UMNO negeri, Datuk Seri Ahmad Razif berkata, seramai 1,000 kakitangan agensi kerajaan negeri seperti Unit Komunikasi Negeri, Agensi Transformasi Rakyat Terengganu dan pusat khidmat masyarakat bakal kehilangan pekerjaan masing-masing berkuatkuasa 1 Julai ini.

"UMNO Terengganu mewujudkan Tabung Prihatin sebagai rasa simpati dan prihatin serta membantu meringankan beban golongan terbabit dalam tempoh sebulan dua sebelum mereka memperolehi pekerjaan baharu.

"Sebagai permulaan, Badan Perhubungan UMNO Terengganu akan menyumbang RM100,000. Saya juga akan menyumbang gaji, elaun dan wang pencen saya bagi tempoh dua bulan berjumlah kira-kira RM50,000 untuk tabung ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO Bahagian Kuala Nerus di sini hari ini.

Perwakilan setiap sayap UMNO bahagian tersebut sebulat suara memilih Muhammad Hanafi Hassan sebagai Ketua Pemuda,  Norhayati Ismail (Ketua Wanita) dan

Sharidah Rani @Mohamad Nawi (Ketua Puteri). - K! ONLINE

Usahawan muda hasilkan keropok lekor perisa tandoori

DUNGUN – Keenakan keropok lekor Terengganu tidak perlu diperkenalkan lagi.

Selain perisa asli yang diperbuat daripada isi ikan selayang, tepung sagu dan garam, keropok lekor kini turut mempunyai perisa keju untuk kepelbagaian rasa.

Kehendak pelanggan terutama dari luar Terengganu yang berbeza-beza telah membuka idea untuk seorang anak muda, Aliff Shazwan Harun daripada Aliff Jaya Trading & Services menghasilkan keropok lekor sejuk beku perisa kari, tandoori dan lada hitam.

Aliff Shazwan, 26, berkata, idea mencipta keropok lekor berperisa timbul sewaktu dia menghadiri kursus pembuatan sosej di sebuah akademi kulinari di Kuala Lumpur beberapa tahun lalu.

“Saya terfikir, kalaulah sosej yang berasaskan isi ayam boleh dipelbagai perisanya, kenapa tidak keropok lekor sedangkan ia diperbuat daripada isi ikan.

“Setelah beberapa kali percubaan, saya berjaya menghasilkan produk sejuk beku keropok lekor perisa tandoori, kari, lada hitam dan keju sejak lebih setahun lalu,” katanya ketika ditemui di kilangnya di Kawasan Perindustrian Pulau Serai di sini baru-baru ini.

Maklumat lanjut mengenai produk keropok lekor sejuk beku ini boleh diperoleh menerusi laman web premierlekor.com.

Friday, June 22, 2018

Lapan kematian dicatat di Terengganu

KUALA NERUS - Sebanyak 143 kemalangan termasuk tujuh insiden melibatkan kematian dicatatkan di Terengganu sejak Op Selamat 13 sempena musim perayaan Hari Raya Aidilfitri dilancarkan pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail berkata, tujuh kemalangan maut berkenaan telah menyebabkan lapan kematian iaitu sekali ganda berbanding cuma empat dalam tempoh sama pada tahun lalu.

"Kebanyakan kemalangan itu berlaku di jalan persekutuan iaitu 52 kes, jalan bandaran (43) dan jalan negeri (28). Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) pula sekadar mencatatkan 10 kes kemalangan setakat ini.

"Sebanyak 4,966 saman trafik juga telah dikeluarkan sepanjang tempoh sama dan ia kenaikan mendadak berbanding 3,227 kompaun pada tahun lalu," katanya selepas menyaksikan pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya di Plaza Tol Gemuruh di sini semalam.

Kempen sempena Op Selamat 13 itu dilancarkan Pengerusi Jawatankusa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu, Hanafiah Mat.

Friday, June 15, 2018

TSG optimis empat pelumba bakal menyerlah di Indonesia

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

TERENGGANU Cycling Team (TSG) menerusi empat pelumbanya optimis mampu mengharumkan nama negara pada Sukan Asia di Jakarta dan Palembang, Indonesia pada Ogos depan.

Ketua Pegawai Eksekutif TSG, Ahmad Farhan Abdul Wahab berkata, Mohd. Shahrul Mat Amin (gambar kecil) dan Nur Amirul Fakhruddin Mazuki menjadi sandaran bagi acara trek, manakala Irwandi Lakasek dan Afiq Huznie Othman pula merupakan harapan bagi acara lebuh raya.

“Berdasarkan prestasi semasa dan kecemerla­ngan yang pernah dirintis pada Sukan SEA 2017, kami berkeyakinan Mohd. Shahrul dan Nur Amirul merupakan prospek terbaik untuk merangkul pingat emas dalam acara trek.

“Bagi acara lebuh raya pula, Irwandi dan Afiq Huznie bakal memperkuatkan pasukan negara untuk memberi saingan se­ngit pada Sukan Asia edisi kali ini,” katanya di Kuala Terengganu kelmarin.

Ahmad Farhan berkata, persiapan keempat-empat atlet berkenaan berada pada tahap 80 peratus untuk menghadapi Sukan Asia dan ia bakal dipertingkatkan menjelang dua bulan ter­akhir menjelang tema­sya berkenaan.

Menurut beliau, pasukan TSG termasuk Mohd. Shahrul, Nur Amirul, Irwandi dan Afiq Huznie tekun menjalani latihan walaupun pada bulan Ramadan.

“TSG juga telah menyertai dua kejohanan iaitu di Filipina dan Korea Selatan sepanjang bulan Ramadan ini. Alhamdulillah, pencapaian agak memberangsangkan apabila kami meraih tempat kedua dan ketiga keseluruhan bagi setiap pertandingan itu.

“Kita juga akan menyertai beberapa kejohanan lain seperti di Tour of Rwanda pada masa terdekat untuk membantu persiapan empat atlet tersebut ke Sukan Asia,” katanya.
Ahmad Farhan percaya prestasi Mohd. Shahrul, Nur Amirul Fakhruddin, Irwandi dan Afiq Huznie akan memuncak, sekali gus bakal mengharumkan nama negara dalam acara berbasikal dan temasya terbesar Asia itu kelak.

“Tahun 2018 merupakan kebangkitan buat TSG bermula dengan pencapaian cemerlang pada Le Tour de Langkawi Mac lalu.

“Saya percaya ia akan memberi kesan positif kepada skuad berbasikal negara untuk mempamerkan aksi cemerlang pada Sukan Asia nanti,” katanya.

Thursday, June 14, 2018

13 peniaga mercun, bunga api ditahan di Kuala Terengganu

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Seramai 13 peniaga mercun dan bunga api termasuk tiga wanita berjaya ditahan polis di sekitar bandar raya ini sepanjang bulan Ramadan ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Suffian Sulaiman berkata, kebanyakan suspek berusia 20 hingga 50 tahun tersebut ditahan berniaga di bazar Ramadan dan pasar malam sekitar bandar raya ini dari awal Ramadan sehingga semalam.

"Sejumlah mercun dan bunga api pelbagai jenis yang dianggarkan bernilai RM10,000 turut berjaya dirampas.


"Siasatan awal mendapati kesemua suspek menjual bunga api dan mercun berkenaan tanpa lesen," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di sini hari ini. - K! ONLINE 

Wednesday, June 13, 2018

Lapan kematian, 4,966 saman trafik dikeluarkan di Terengganu sejak pelancaran Ops Selamat 13

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS - Sebanyak 143 kemalangan termasuk tujuh insiden melibatkan kematian dicatatkan di Terengganu sejak Op Selamat 13 sempena musim perayaan Hari Raya Aidilfitri dilancarkan pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail berkata, tujuh kemalangan maut berkenaan telah menyebabkan lapan kematian iaitu sekali ganda berbanding cuma empat dalam tempoh sama pada tahun lepas.

"Kebanyakan kemalangan itu berlaku di jalan persekutuan iaitu 52 kes selain di jalan bandaran (43) dan jalan negeri (28). Di Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) pula, sebanyak 10 kes kemalangan dicatatkan setakat ini.

"Sebanyak 4,966 saman trafik juga telah dikeluarkan sepanjang tempoh sama dan ia kenaikan mendadak berbanding 3,227 kompaun pada tahun lalu," katanya selepas menyaksikan pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya di Plaza Tol Gemuruh di sini hari ini.

Kempen sempena Op Selamat 13 itu dilancarkan Pengerusi Jawatankusa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu, Hanafiah Mat.


Aidi berkata, peningkatan jumlah kemalangan maut dan saman trafik yang dikeluarkan itu amat mengusarkan pihaknya dan beliau menyeru pengguna jalan raya agar lebih berhati-hati, tidak gopoh dan lebih berhemah ketika memandu ke destinasi masing-masing pada musim perayaan ini. - K! ONLINE 

Tuesday, June 12, 2018

Ahmad Razif sedia lepaskan jawatan sebagai Presiden PBSNT

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

DATUK Seri Ahmad Razif Abd. Rahman akan melepaskan jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) untuk memberi laluan kepimpinan baharu kerajaan negeri dite­rajui Pas memainkan peranan sewajarnya terhadap perkembangan pasukan bola sepak tempatan.
Beliau yang juga bekas Menteri Besar Terengganu berkata, peralihan kepimpinan baharu badan induk bola sepak negeri ber­kenaan dijangka berlaku pada mesyuarat agung tahunan PBSNT yang dijadualkan bulan depan.

“Saya akan menyerahkan jawatan No. 1 (Presiden) dalam PBSNT dan telah menawarkannya kepada kepimpinan baharu kerajaan negeri.

“Ia bagi memastikan sukan bola sepak negeri ini terus berdaya saing, apatah lagi persatuan (PBSNT) ini memang berkait rapat dengan kerajaan negeri,” katanya ketika ditemui pada majlis Iftar anjuran Kelab Wartawan Terengganu di Kuala Terengganu kelmarin.

Ahmad Razif merupakan Presiden PBSNT bagi penggal 2017 hingga 2020 setelah menang tanpa bertanding pada kongres luar biasa persatuan itu  Disember 2016.

Beliau yang menggantikan Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid merupakan arkitek penjenamaan semula bola sepak Terengganu yang kini dikenali sebagai Terengganu Football Club (TFC) dan menggunakan pakai sistem pasukan pelapis (feeder team).

Pengunduran Ahmad Razif dalam kepimpinan PBSNT kelak dijangka diikuti oleh beberapa pegawai lain dalam persatuan bola sepak tersebut termasuk setiausaha agungnya, Datuk Tengku Farouk Husin Tengku Abdul Jalil.

Sebelum ini, Timbalan Pre­siden I PBSNT, Datuk Wan Nawa­wi Wan Ismail bertindak mele­takkan jawatannya pada 15 Mei lalu berikutan peralih­an kuasa kerajaan negeri pada Pilihan Raya Umum ke-14 baru-baru ini.

Monday, June 11, 2018

Ahmad Razif mahu lepas jawatan Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu

MOHD. AZLI ADLAN dan KAMARIAH KHALIDI

KUALA TERENGGANU - Bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman bercadang untuk melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO negeri.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir berkata, pengundurannya bertujuan memberi laluan kepada kepimpinan baharu bagi mengembalikan kekuatan UMNO di Terengganu.

“Saya telah berbincang dengan Pemangku Presiden UMNO (Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi) dan telah mencadangkan beberapa nama (sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu).

“Begitupun, beliau (Ahmad Zahid) meminta saya bersabar dan menggalas dahulu jawatan tersebut buat sementara waktu,” katanya ketika menghadiri majlis Iftar bersama pengamal media anjuran Kelab Wartawan Terengganu di sini semalam.

Ahmad Razif berkata, antara nama yang telah dicadangkan beliau untuk menjadi Pengerusi Perhubungan UMNO negeri ialah Datuk Rosol Wahid (Ahli Parlimen Hulu Terengganu), Datuk Rozi Mamat (ADUN Telemong), Datuk Muhammad Pehimi Yusof (ADUN Jertih) dan dua bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh dan Datuk Seri Ahmad Said. - K! ONLINE

Tauke balak dituduh rasuah pegawai perhutanan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang tauke balak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas pertuduhan memberi rasuah seba­nyak RM5,000 kepada seorang pegawai Jabatan Perhutanan Terengganu pada dua bulan lalu.

Tertuduh, Tan Teo Liong, 56, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Jamaludin Mat.

Berdasarkan pertuduhan, Teo Liong didakwa memberi suapan berupa wang tunai RM5,000 kepada seorang penolong pengarah operasi Jabatan Perhutanan Terengganu di sebuah kilang kayu, MJ Wood Industries, Kampung Bintang, Setiu pada pukul 1.30 petang, 2 April lalu.

Perbuatan itu didakwa sebagai dorongan agar pegawai tersebut tidak mengambil tindakan terhadap kayu bulat milik tertuduh yang tidak mempu­nyai cop tanda tukul Jabatan Perhutanan.

Ketiadaan cap tanda tukul tersebut pada kayu bulat merupakan kesalahan mengikut Seksyen 15 Akta Perhutanan Negara 1984.

Tertuduh didakwa melakukan ke­salahan mengikut Seksyen  17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sekurang-kurangnya lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amer Abu Bakar Abdullah manakala tertuduh diwakili peguam bela, Latifah Ariffin.

Mahkamah menetapkan jaminan RM10,000 selain syarat tambahan perlu melaporkan diri di Balai Polis Jerteh, Besut setiap bulan.

Kes ditetapkan untuk sebutan pada 30 Julai hadapan. Tertuduh membayar jaminan tersebut.

Sunday, June 10, 2018

Bas Amphicoach dijadikan produk pelancongan di Kuala Terengganu

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri Terengganu yang diterajui Pas tidak berhasrat menggunakan bas Amphicoach yang bernilai RM3.3 juta untuk kegunaan operasi menyelamat mangsa banjir seperti matlamat asal pembelian kenderaan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Terengganu, Ariffin Deraman berkata, berdasarkan dua sesi ujian yang dilakukan sebelum ini, bas itu didapati tidak mampu melakukan operasi menyelamat tetapi lebih sesuai dijadikan produk pelancongan.

“Keunikan kenderaan ini yang merupakan satu-satunya bas dua alam yang terdapat di Asia pasti menggamit pelancong.

“Kami berhasrat menjadikan bas ini sebagai salah satu pakej tambahan di Taman Tamadun Islam (TTI) di sini dan digunakan untuk menyusuri Sungai Terengganu pada awal tahun depan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima taklimat berhubung bas Amphicoach daripada pegawai Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Pelancongan ne­geri di sini semalam.

Sebelum ini, pembelian bas Amphicoach merupakan idea bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said bagi kegunaan operasi menyelamat pada musim banjir dan produk pelancongan pada April 2014.

Dalam perkembangan sama, Ariffin memberi­tahu, bas tersebut masih dalam proses penyelenggaraan setelah mengalami kerosakan pada injap enjin sewaktu dipandu uji buat kali kedua pada pertengahan Mac lalu.

“Kerajaan negeri Terengganu dijangka menerima secara rasmi bas ini selepas kerja-kerja penyelenggaraan dan urusan lesen daripada Jabatan Pengangkutan Jalan dan Jabatan Laut selesai pada bulan Oktober depan,” katanya.

Saturday, June 9, 2018

Penjawat awam Terengganu terima bonus raya RM500

KUALA TERENGGANU – Seramai 12,000 penjawat awam kerajaan negeri Terengganu bakal menerima bantuan khas sempena Hari Raya Aidilfitri sebanyak RM500 setiap seorang.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Terengganu, Mohd. Nor Hamzah (gambar) berkata, pemberian bonus raya tersebut melibatkan semua kakitangan kerajaan negeri termasuk berstatus kontrak dan sementara.

“Pemberian bonus raya ini membabitkan peruntukan sebanyak RM6.3 juta. Pembayaran itu juga akan dilunaskan selepas Hari Raya Aidilfitri,” katanya kepada pembe­rita selepas menghadiri Mesyuarat Exco kerajaan negeri di Wisma Darul Iman di sini semalam.

Mohd. Nor memberitahu, kerajaan negeri diterajui Pas tidak dapat membayar imbuhan raya tersebut sebelum 1 Syawal berikutan urusan pentadbiran dan masalah teknikal.

Friday, June 8, 2018

Bonus raya penjawat awam Terengganu dibayar 12 Jun ini

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Pembayaran bantuan khas sebanyak RM500 sempena Hari Raya Aidilfitri kepada kakitangan kerajaan negeri Terengganu yang sepatutnya dibayar selepas 1 Syawal akan dipercepatkan pada Selasa depan.

Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pembayaran bonus raya itu melibatkan semua 12,000 kakitangan kerajaan negeri termasuk berstatus kontrak dan sementara.

"Kerajaan negeri Terengganu bersetuju membayar bantuan khas Aidilfitri kepada semua penjawat awam negeri sebanyak RM500. 

"Bantuan khas Aidilfitri terbabit akan dibayar pada 12 Jun ini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.


Kosmo! hari ini melaporkan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Terengganu, Mohd. Nor Hamzah memberitahu pembayaran bonus raya itu pada mulanya dijangka hanya akan dilunaskan selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri berikutan urusan pentadbiran dan masalah teknikal. - K! ONLINE

Thursday, June 7, 2018

Tauke balak didakwa rasuah pegawai Jabatan Perhutanan

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Seorang tauke balak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memberi rasuah sebanyak RM5,000 kepada seorang pegawai Jabatan Perhutanan Terengganu pada dua bulan lalu.

Tertuduh, Tan Teo Liong, 56, membuat pengakuan tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Jamaludin Mat.

Berdasarkan pertuduhan, Teo Liong didakwa memberi suapan berupa wang tunai RM5,000 kepada seorang penolong pengarah operasi Jabatan Perhutanan Terengganu di sebuah kilang kayu, MJ Wood Industries, Kampung Bintang, Setiu pada pukul 1.30 petang, 2 April lalu.

Pemberian suapan tersebut didakwa sebagai dorongan agar pegawai itu tidak mengambil tindakan terhadap kayu bulat milik tertuduh yang tidak mempunyai cop tanda tukul Jabatan Perhutanan.

Ketiadaan cop tanda tukul tersebut pada kayu bulat terbabit merupakan kesalahan mengikut Seksyen 15 Akta Perhutanan Negara 1984.


Teo Liong didakwa mengikut Seksyen  17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sekurang-kurangnya lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana yang lebih tinggi. - K! ONLIN

Penjawat awam Terengganu terima bonus raya RM500

KUALA TERENGGANU - Seramai 12,000 penjawat awam kerajaan negeri Terengganu bakal menerima imbuhan sebanyak RM500 setiap sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Terengganu, Mohd. Nor Hamzah berkata, pemberian bonus raya tersebut melibatkan semua kategori kakitangan kerajaan negeri termasuk berstatus kontrak, sementara dan adhoc.

"Pemberian bonus raya ini membabitkan peruntukan sebanyak RM6.3 juta. Kita berharap ia dapat meringankan pembelanjaan penjawat awam negeri ini untuk menyambut raya (Aidilfitri).

"Pembayaran itu juga mungkin akan dilunaskan selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Exco Mingguan di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Mohd. Nor memberitahu, kerajaan negeri Terengganu diterajui Pas tidak dapat membayar imbuhan raya tersebut sebelum 1 Syawal berikutan urusan pentadbiran dan masalah teknikal.

"Sepatutnya ia (bonus raya) dibayar pada 7 Jun (hari ini) tetapi kita berkemungkinan tidak sempat menunaikannya sebelum Aidilfitri kerana kesuntukan masa," katanya. - K! ONLINE

Tujuh ahli Geng Jepun diberkas

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

MARANG – Polis berjaya menumpaskan kumpulan penjenayah dikenali Geng Jepun yang aktif dalam aktiviti mencuri kabel telekomunikasi dan bateri di sekitar Marang, Hulu Terengganu dan Kuala Terengganu baru-baru ini.

Kejayaan itu hasil penahanan tujuh anggota kumpulan itu yang dipercayai terlibat dalam sekurang-kurangnya 12 kes kecurian sejak setahun lalu.

Difahamkan, salah seorang yang ditahan ialah dalang kumpulan tersebut dikenali dengan panggilan Jepun.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Fazlisyam Abdul Majid berkata, kesemua suspek berusia 21 hingga 42 tahun itu ditahan di sekitar daerah ini antara 26 Mei hingga 31 Mei lalu.

Katanya, turut ditahan ialah seorang lelaki berusia 42 tahun yang dipercayai berperanan sebagai pembeli bagi barangan curi tersebut.

“Serbuan di sebuah rumah di Kampung Tasek di sini berjaya menemui 90 kilogram (kg) tembaga kabel telekomunikasi dan 200kg bateri yang dipercayai dicuri oleh kumpulan tersebut. Kesemua rampasan tersebut bernilai RM2,030.

“Beberapa botol gas metana kosong yang dipercayai digunakan untuk membakar kabel te­lekomunikasi bagi mendapatkan tembaga dan peralatan seperti parang, gergaji, sabit, tukul besi dan sarung tangan turut ditemui dalam serbuan berkenaan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang di sini semalam.

Jelasnya, polis turut merampas sebuah motosikal Yahama 125 dan van jenis Ve­nette yang dipercayai digunakan untuk mengangkut kabel telekomunikasi dan bateri curi tersebut.

Menurut beliau, modus ope­randi yang digunakan kumpulan tersebut ialah dua ahlinya akan bertindak memotong kabel telekomunikasi sementara dua orang lagi berperanan sebagai pemantau di kawasan sekitar sebelum melarikan diri dengan menaiki motosikal atau kereta.

“Tembaga diperoleh dengan cara membakar atau kabel te­lekomunikasi itu disiat sebelum dijual kepada peraih. Siasatan awal mendapati tembaga dijual pada harga RM17 sekilogram manakala bateri pula RM2.50 bagi berat sama.

“Pemeriksaan juga mendapati enam suspek positif dadah jenis methamphetamine. Empat daripada mereka termasuk dalang yang berusia 30 tahun juga mempunyai rekod jenayah lampau pecah rumah, memiliki barangan curi dan pe­nyalahgunaan dadah,” katanya.

Wednesday, June 6, 2018

Pembantu tukang masak hina polis ditahan

KUALA TERENGGANU – Seorang pembantu tukang masak ditahan polis kelmarin bagi membantu siasatan berhubung tindakannya memuat naik ke­nyataan berbaur jelek menghina pasukan keselamatan di laman Facebook baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisio­ner Idris Abdul Rafar berkata, lelaki berusia 24 tahun tersebut ditahan di rumahnya di Kampung Merbau Patah di sini pada pukul 2.10 pagi.

“Serbuan turut merampas sebuah telefon pintar jenama Asus Z000ud berserta kad sim dan bateri yang dipercayai digunakan untuk memuat naik kenya­taan berbau jelek berkenaan di laman Facebook menggunakan akaun peribadinya.

“Siasatan awal mendapati suspek mengaku memuat naik ke­nyataan menghina Polis Diraja Malaysia tersebut kerana benggang di saman akibat tidak memakai tali pinggang keledar olah seorang anggota polis trafik di bandar raya ini baru-baru ini,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Idris berkata, pemeriksaan juga mendapati lelaki itu tidak memiliki rekod jenayah lampau dan ujian urinnya juga negatif.

Geng pecah rumah Mie Tiger tumpas di Marang

MARANG – Lima lelaki termasuk dua remaja bawah umur yang dipercayai anggota Geng Mie Tiger diberkas selepas aktif melakukan aktiviti pecah rumah di sekitar daerah ini dan Kuala Terengganu minggu lalu.

Penahanan kesemua suspek berusia antara 14 hingga 37 tahun itu dipercayai mampu menyelesaikan sekurang-ku­rangnya 10 kes pecah rumah yang kebanyakannya berlaku di sekitar Bukit Payung di sini sejak setahun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Fazlisyam Abdul Majid berkata, kesemua suspek termasuk seorang pelajar tingkatan dua sebuah sekolah di daerah ini berjaya ditahan dalam serbuan di sekitar daerah ini pada Jumaat dan Sabtu lalu.

“Dalang sindiket ini dikenali sebagai Mie Tiger yang ber­usia 29 tahun dan dia memiliki 15 rekod jenayah lampau sejak tahun 2003.

“Dia dipercayai merekrut remaja berusia 14 tahun dan seorang lagi remaja keciciran sekolah berusia 16 tahun yang berperanan untuk memasuki rumah yang dipecah masuk berikutan fizikal mereka yang kecil,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Marang di sini semalam.

Fazlisyam berkata, serbuan di sebuah rumah di Bukit Payung  di sini telah menemui sebahagian barangan berharga yang dipercayai dicuri kumpulan terbabit seperti komputer riba, jam tangan, beg sandang dan beg tangan.

Menurut beliau, serbuan itu juga telah merampas pemotong besi, topeng muka dan sarung tangan yang digunakan kesemua suspek sewaktu melakukan aktiviti pecah rumah terbabit selain bungkusan mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu.

“Modus operandi Geng Mie Tiger ialah mengenalpasti rumah yang tidak berpenghuni terutama pada hujung minggu dan waktu solat tarawih untuk dipecah masuk,” ujarnya.

Tuesday, June 5, 2018

Bas Amphicoach Terengganu untuk tujuan pelancongan sahaja bukan misi musim banjir

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri Terengganu yang diterajui Pas tidak berhasrat menggunakan bas Amphicoach yang mempunyai fungsi dua alam untuk kegunaan operasi menyelamat mangsa banjir seperti matlamat asal pembeliannya.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Terengganu, Ariffin Deraman berkata, sebaliknya, bas bernilai RM3.3 juta buatan Malta terbabit akan digunakan sepenuhnya untuk tujuan tarikan pelancongan.

"Berdasarkan dua sesi ujian yang dilakukan sebelum ini, kami berpendapat bas Amphicoach tidak mampu melakukan 'kerja berat' seperti operasi menyelamat mangsa banjir tetapi lebih sesuai sebagai produk pelancongan.

"Keunikannnya yang merupakan satu-satunya bas dua alam yang terdapat di Asia pasti menggamit pelancong. Sehubungan itu, kami berhasrat menjadikannnya salah satu pakej tambahan di Taman Tamadun Islam (TTI) di sini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima taklimat berhubung bas Amphicoach daripada Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Pelancongan negeri di sini hari ini.


Ariffin berkata, pakej menyusuri Sungai Terengganu dengan bas Amphicoach di TTI terbabit dijangka dapat dilaksanakan pada awal tahun hadapan. - K! ONLINE

Mayat bayi lelaki masih bertali pusat ditemui di pusat pembuangan sampah

DUNGUN - Beberapa pengutip sampah tergamam dengan penemuan mayat bayi lelaki yang masih bertali pusat di pusat pembuangan sampah Bukit Lat, Kampung Serdang di sini hari ini.

Mayat bayi yang dipercayai baru dilahirkan itu dijumpai di dalam beg plastik hitam di pusat pembuangan sampah terbabit pada pukul 2.30 petang.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superitendan Baharudin Abdullah berkata, mayat bayi lelaki berkenaan ditemui sewaktu salah pengutip sampah di lokasi berkenaan bertindak mengoyakkan beg plastik hitam terbabit untuk tujuan memudahkan proses penguraian.

Beliau berkata, pengutip sampah terlibat yang berumur 45 tahun itu kemudiannya memaklumkan penemuan mayat tersebut kepada pihak polis.

"Sepasukan forensik kemudiannya bergegas ke lokasi kejadian sebelum menghantar mayat bayi lelaki berkenaan ke Unit Forensik Hospital Dungun di sini untuk tindakan lanjut.

"Siasatan awal mendapati mayat bayi itu berkemungkinan di buang di dalam tong sampah di sekitar daerah ini sebelum dikutip lori sampah bagi tujuan pelupusan ke tempat pembuangan sampah berkenaan," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini. - K! ONLINE

Irfan masih bengang dengan Wan Muhammad Azraie

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

PENJAGA gol utama Terengganu Football Club I (TFCI), Wan Muhammad Azraie Wan Teh berkemungkinan besar kehilangan posisinya dalam kese­belasan utama pada aksi Liga Super menentang kelab Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) di Stadium Perak, Ipoh malam ini.

Pengendali TFC I, Irfan Bakti Abu Salim berkata, beliau masih tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya dengan prestasi buruk Wan Muhammad Azraie yang melepaskan gol-gol mudah sehingga skuad Penyu di­belasah 3-0 oleh Kuala Lumpur pada aksi Sabtu lalu.

“Saya akan berbincang dengan jurulatih penjaga gol (TFC I) terlebih dahulu siapa penjaga gol yang akan diturunkan untuk menentang PKNP FC esok (malam ini).

“Apa pun yang pasti saya akan melakukan rombakan pada skuad TFC I bagi memastikan tiga mata berharga pada perlawanan itu,” katanya kepada Kosmo! di Kuala Terengganu semalam.
Selain Wan Muhammad Azraie, TFC I memiliki tiga lagi penjaga gol iaitu Mohd. Suffian Abdul Rahman, Syazwan Yusoff dan Faizal Yusoff.

Irfan berkata, beliau akan memastikan hanya pemain yang benar-benar bersedia dan cergas akan diturunkan bagi mengharungi aksi de–ngan skuad kendalian Abu Bakar Fadzim itu.
Katanya, beliau juga telah merangka strategi ampuh untuk memerangkap PNKP FC di gelanggang lawan.

“Kemenangan dengan PKNP FC amat penting untuk memulihkan semula moral pemain yang terjejas teruk akibat kekalahan de–ngan Kuala Lumpur.

“Tiga mata berharga itu juga membolehkan kita terus menghambat pendahulu liga (Johor Darul Ta’zim), sekali gus kembali ke landasan untuk memburu tiga terbaik liga musim ini,” kata­nya.

Berkat berbuka puasa bersama 600 pelajar UMT

MESRA. Badan Kerja Amal Wanita Profesional Terengganu, Selangor dan Kuala Lumpur (Berkat) meraikan 600 pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) pada majlis berbuka puasa di Pusat Islam Sultan Mahmud, UMT, Kuala Nerus, Terengganu baru-baru ini.

Presiden Berkat, Prof. Datuk Dr. Nor Aieni Mokhtar berkata, program tersebut diadakan bagi mengeratkan hubungan pihak badan amal tersebut dengan penuntut UMT.

“Pada majlis itu, pelajar UMT dalam kalangan keluarga kurang berkemampuan turut menerima sumbangan daripada Berkat,” katanya.

Monday, June 4, 2018

Geng pecah rumah Mie Tiger tumpas di Marang

MOHD. AZLI ADLAN

MARANG - Lima lelaki termasuk dua remaja bawah umur yang dipercayai anggota Geng Mie Tiger yang dipercayai aktif melakukan aktiviti pecah rumah di daerah ini dan Kuala Terengganu berjaya diberkas polis pada hujung minggu lalu.

Penahanan kesemua suspek yang berusia antara 14 hingga 37 tahun berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya 10 kes pecah rumah yang kebanyakannya berlaku di sekitar Bukit Payung di sini sejak setahun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Fazlisyam Abdul Majid berkata, kesemua suspek termasuk seorang pelajar tingkatan dua sebuah sekolah di daerah ini berjaya ditahan dalam serbuan di sekitar daerah ini pada Jumaat dan kelmarin.

"Dalang sindiket ini dikenali sebagai Mie Tiger yang berusia 29 tahun dan dia memiliki 15 rekod jenayah lampau sejak tahun 2003.

"Dia dipercayai merekrut remaja berusia 14 tahun dan seorang lagi remaja keciciran persekolahan berusia 16 tahun yang berperanan memasuki rumah yang dipecah masuk berikutan fizikal mereka yang kecil," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Marang di sini hari ini.


Fazlisyam berkata, serbuan di sebuah rumah di Bukit Payung  di sini telah menemui sebahagian barangan berharga yang dipercayai dicuri geng jenayah terbabit seperti komputer riba, jam tangan, beg sandang dan beg tangan. - K! ONLINE

Geng Jepun aktif curi kabel telekomunikasi tumpas

MOHD. AZLI ADLAN

MARANG - Geng Jepun yang disyaki aktif dalam aktiviti mencuri kabel telekomunikasi dan bateri di sekitar Marang, Hulu Terengganu dan Kuala Terengganu lumpuh dengan penahanan tujuh anggotanya di sekitar daerah ini baru-baru ini.

Penahanan kesemua suspek yang berusia dalam lingkungan 21 hingga 42 tahun dipercayai dapat menyelesaikan sekurang-kurangnya 12 kes kecurian kabel telekomunikasi dan bateri di kesemua daerah berkenaan sejak setahun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Fazlisyam Abdul Majid berkata, kesemua suspek termasuk seorang lelaki berusia 42 tahun dipercayai pembeli barangan curi berkenaan ditahan di sekitar daerah ini antara 26 Mei dan 31 Mei lalu.

"Serbuan di sebuah rumah di Kampung Tasek di sini berjaya menemui 90 kilogram (kg) tembaga kabel telekomunikasi dan 200 kg bateri dipercayai dicuri yang nilai keseluruhannya dianggarkan RM2,030.


"Beberapa botol gas metana kosong yang dipercayai digunakan untuk membakar kabel telekomunikasi bagi mendapatkan tembaga dan peralatan seperti parang, gergaji, sabit, tukul besi dan sarung tangan turut ditemui dalam serbuan berkenaan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Marang di sini hari ini. - K! ONLINE

Sunday, June 3, 2018

Perkeso Terengganu rai anak yatim, ibu tunggal

IFTAR. Pertubuhan Keselamatan Sosial Terengganu (Perkeso) Terengganu menerusi Kelab Sukan dan Kebajikan (Kespert) merai anak yatim dan ibu tunggal pada majlis Berbuka Puasa di Wisma Perkeso Terengganu, Kuala Terengganu baru-baru ini.

Yang Dipertua Kespert, Mohd. Sabri Ramli berkata, majlis tersebut bertujuan untuk berkongsi kegembiraan bersama golongan kurang bernasib baik pada bulan Ramadan.

“Pada majlis sama lima ibu tunggal yang baru kehilangan suami masing-masing turut menerima faedah pengurusan jenazah berjumlah RM2,000 dan pencen penakat antara RM800 hingga RM1,400 yang disampaikan oleh Timbalan Pengarah Perkeso Terengganu, Norihan Ibrahim,” katanya.