HULU TERENGGANU – Seorang pengawal keselamatan tergamam apabila menyaksikan pergaduhan dua wanita yang kemudiannya meragut nyawa salah seorang daripada mereka di Batu 23, Jalan Kuala Berang, di sini semalam.
Ketika kejadian pada pukul 3 pagi itu, lelaki yang enggan dikenali tersebut sedang bertugas di pos pengawal sebuah premis kerajaan berhampiran lokasi kejadian.
Pada mulanya dia dikejutkan apabila terdengar jeritan seorang wanita meminta pertolongan.
“Saya yang keluar ke arah jalan kemudian ternampak wanita yang meminta pertolongan itu tiba-tiba dilanggar oleh sebuah kereta Honda Jazz.
“Rempuhan itu menyebabkan mangsa tercampak ke dalam longkang berhampiran,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Pengawal keselamatan tersebut juga mendakwa, suspek seorang wanita yang dilihat melanggar mangsa kemudiannya keluar dari Honda Jazz berkenaan sebelum melarikan diri dengan menaiki kenderaan lain yang tidak dapat dikenal pasti.
Katanya, kejadian tersebut berlaku pantas menyebabkannya tidak mampu berbuat apa-apa.
“Saya memberanikan diri menghampiri longkang tersebut sebelum mendapati mangsa dalam keadaan tertiarap.
“Selepas itu, saya laporkan kejadian ini kepada pihak berkuasa sebelum mendapati wanita yang dilanggar tersebut telah meninggal dunia,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment